Sabtu, April 07, 2018

Kenapa Kapal Terbang Kebiasaannya Berwarna Putih?

Warna asas kapal terbang adalah warna putih dan tahukah anda kenapa jarang ada kapal terbang diwarnakan selain daripada warna tersebut, misalnya berwarna pelangi, bercorak dan sebagainya?

Ini penjelasan saintifik di sebalik kenapa majoriti kapal terbang diwarnakan dengan warna putih sahaja.

1. Pemantul haba

Kenapa Kapal Terbang Berwarna Putih?

Warna putih merupakan pemantul cahaya terbaik dan warna ini memantulkan hampir kesemua cahaya.

Ia juga mampu mengelakkan pembinaan haba dalam kapal terbang kerana warna-warna lain berkemungkinan akan menyerap cahaya, menghasilkan haba dan memanaskan badan kapal terbang.

Selain bagus di awan biru, warna putih juga membantu kapal terbang semasa berada di landasan apabila cuaca sedang panas terik.

Ia akan mengambil masa yang pantas untuk menyejukkan enjin berbanding kapal terbang berwarna lain.

2. Pemeriksaan mudah keretakan dan kemek pada fiuslaj

Kapal terbang sering melalui proses pemeriksaan berkala untuk mengenalpasti keretakan, kemek atau apa sahaja kerosakan pada bahagian permukaan.

Pemeriksaan ini sudah semestinya untuk tujuan keselamatan oleh itu, putih merupakan warna terbaik kerana kebiasaannya keretakan mempunyai warna yang gelap.

Selain itu, warna putih juga menyerlahkan tanda karat atau tompok kebocoran minyak kerana ia akan meninggalkan kesan berwarna gelap.

3. Kemalangan

Kenapa Kapal Terbang Berwarna Putih?

Menurut satu kajian yang dibuat oleh penyelidik dari Purdue University, fiuslaj yang berwarna putih mampu mengelakkan pertembungan dengan kawanan burung.

Ini kerana dalam situasi panas atau mendung, burung dengan pigmen penglihatan sensitif violet (VS) dan ultraviolet (UVS) akan dapat mengesan warna putih yang kontras secara kromatik berbanding warna lain seperti biru.

Selain itu, sekiranya berlaku kemalangan di tengah laut atau di landasan pada waktu malam atau dalam keadaan gelap, warna kapal terbang dapat dilihat dengan jelas.

Ada juga penjelasan lain mengenai pemilihan warna putih

1. Mengecat warna melibatkan kos yang tinggi

Dari segi kewangan, mengecat warna baru memerlukan pelaburan yang tinggi kerana ia melibatkan wang ringgit, masa dan tenaga manusia.

Menurut Boeing, proses mengecat sebuah kapal terbang Boeing Airbus mengambil masa antara dua hingga ke tujuh hari, bergantung kepada bajet.

Selain itu, menurut Boeing, lapisan-lapisan cat baru ini akan menambahkan berat kapal terbang yang akan mengakibatkan lebih banyak kos operasi. Syarikat penerbangan seboleh-bolehnya ingin mengelakkan isu seperti ini.

2. Harga kapal terbang akan jatuh sekiranya dicat dengan warna lain

Katakanlah anda seorang multi billionnaire yang mempunyai kapal terbang peribadi yang disimpan di hangar anda sendiri.

Sebelum ini, anda sudahpun mengecat kapal terbang itu dengan warna kesukaan anda. Sekiranya anda berniat mahu menjualnya untuk digantikan dengan yang baru, anda perlu bersedia untuk menerima tawaran harga yang lebih rendah.

Ini disebabkan syarikat atau individu yang mahu membeli semula kapal terbang anda itu perlu mengecat kembali dan ini akan melibatkan kos yang tinggi seperti disebut dalam poin di atas.

3. Warna putih tak luntur

Kenapa Kapal Terbang Berwarna Putih?

Apabila terbang di altitud yang tinggi sehingga terdedah kepada pelbagai keadaan atmosfera, kapal terbang berwarna kebiasaannya akan luntur.

Ini melibatkan banyak kerja penyenggaraan untuk memastikan tarikan estetik kapal terbang sentiasa dijaga.

Berlainan dengan warna putih yang tidak terlalu jelas berbeza walaupun telah menghabiskan masa yang panjang di udara.

Walaupun majoriti kapal terbang berwarna putih, ada juga kapal terbang yang diwarnakan berwarna-warni.

Sekarang anda dah tahu. Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Pesawat Perlu Habiskan Bahan Bakar Sebelum Mendarat?

sumber: iluminasi

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon