Monday, August 19, 2019

Ayam Kampung Kacuk: Potensi Lumayan, Cepat Membesar Dan Mudah Diternak


Ayam Kampung Kacuk merupakan ayam ternakan yang paling sesuai dan lumayan diternak kerana kadar tumbesarannya yang amat pantas, iaitu antara 75 hingga 90 hari berbanding ayam kampung asli iaitu 6 hingga 7 bulan.

Ayam Kacuk Kampung
Ayam Kacuk Kampung.

Ayam Kampung Kacuk dihasilkan daripada pembiakan terancang, namun rupa dan bentuk badannya mirip ayam kampung asli.

Prestasi pertumbuhannya juga amat cepat dan dianggap lebih baik berbanding ayam kampung asli yang terdapat di kampung-kampung.

Apa yang istimewa adalah, ternakan Ayam Kampung Kacuk tidak menggunakan sebarang suntikan antibiotik kerana ia hidup sama seperti ayam kampung biasa tetapi pembesarannya lebih cepat.

Ciri-ciri Ayam Kacuk

Ciri-ciri menarik yang terdapat pada ayam Kampung Kacuk ialah warna kulit dan warna kakinya yang berwarna kuning.

Ayam Kampung Kacuk mempunyai balung tunggal dan tidak pandai bergaduh, tidak melompat atau terbang melebihi lima kaki tinggi.

Jadi, hanya dengan menggunakan pagar mata punai pun, ayam Kampung Kacuk hanya akan berlegar-legar disekitar reban.

Kepada bakal penternak atau para penternak yang mencari ciri-ciri terbaik seekor ayam Kampung Kacuk, ingat pesanan ini; jangan sekali-kali membeli anak ayam yang paruh telah dipotong (paruh atas lebih pendek). Jangan beli anak-anak ayam Kampung Kacuk yang dijual di pasar-pasar.

Ingat juga pesanan kedua ini; kualiti anak ayam bukan di tentukan oleh nombor kod seperti SASSO 154 atau KH B1 atau lain-lain berbentuk nombor, tetapi kualitinya anda sendiri yang menentukan setelah anda menternak sehingga boleh dijual.

Analisis perkara berikut ini;
  • Kadar kematiannya kurang 5%.
  • Kaki dan kulit berwarna kuning.
  • Paruh tidak dipotong.
  • Tumbesarannya sekata.
  • Dagingnya pejal dan rasanya sedap.
  • Kalau mahu menternak untuk jual daging, pilihlah ayam Kampung Kacuk sebab lebih berat (2–3 bulan: >1.5 kg ).
  • Kalau bela ayam kampung biasa, kena tunggu 6-7 bulan, itu pun lebih ringan kecuali guna baka sabung atau baka komersial seperti KH B1 (Super Kedah).

CARA PEMAKANAM AYAM KAMPUNG KACUK

Disini saya sertakan jadual pengiraan ringkas untung-rugi dalam menternak ayam Kampung Kacuk.

Walaupun begitu, jadual ini adalah sangat asas dan hanya sesuai sebagai rujukan untuk membina jadual anda sendiri mengikut keupayaan ladang masing-masing.

Berdasarkan kiraan sebenar bagi 200 ekor Ayam Kampung Kacuk yang dipelihara selama 2 bulan, berat akhir ayam adalah sekitar 1.4-1.7 kg per ekor menjadikan purata berat adalah sekitar 1.55 kg per ekor.

Pemakanan

Komersial:
  • 1-14 hari - Starter.
  • 14 - 32/35 hari - Grower.
  • 32/35 - sehingga jual - Finisher.

Jika anak ayam berada pada minggu ke-2, maka cara kira pemberian jumlah dedak adalah seperti berikut;
  • Seekor ayam perlu 25 gram sehari, ada 200 ekor ayam, maka 25g x 200 ekor = 5 kg sehari; iaitu 2.5 kg diberi pada sebelah pagi dan 2.5 kg diberi pada sebelah petang/malam.

Jika anak ayam berada pada minggu ke-5, maka cara kira pemberian jumlah dedak adalah seperti berikut;
  • Seekor ayam perlu 50 gram sehari, ada 200 ekor ayam, maka 50g x 200 ekor = 10 kg sehari; iaitu 5 kg diberi pada sebelah pagi dan 5 kg diberi pada sebelah petang/malam.

Harga dedak di anggarkan RM100 per guni. Anda bebas memilih harga dedak anda sendiri berdasarkan per guni 50kg.

Jadual ini dihasilkan dengan menggunakan dedak yang mengandungi protein 19-21%. Jika kurang dari ukuran itu, dikhuatiri keputusan adalah sangat jauh berbeza.

*Cara kiraan juga sama untuk makanan ayam berasaskan jagung dsb.

DAUN KETUM AYAM TINGGI PROTEIN

Ayam Kacuk Kampung Kaki Kuning

Ketika ini cabaran utama industri ternakan ayam adalah harga makanan yang terlalu mahal sehingga menyebabkan ada pengusaha kecil-kecilan gulung tikar.

Sumber makanan utama ayam seperti jagung umpamanya agak mahal dan kerajaan perlu mengimport kira-kira RM3 bilion untuk tujuan itu.

Melihat kepada masalah tersebut, seorang pengusaha ternakan tempatan memulakan kajian bagi mencari makanan alternatif mengantikan dedak.

Pengusaha terbabit, Supardi Bai, menggunakan daun Madre de Agua (Trichanthera gigantean) yang mengandungi protein yang tinggi sebagai alternatif yang baik kepada penternak ayam untuk mengurangkan kebergantungan kepada dedak.

Nama ''Ketum Ayam'' ini sebenarnya bukanlah Pokok Ketum Biasa (Mitragyna speciosa), yang ada unsur kimia Mitragyne dan boleh memabukkan dengan kesan seakan mengambil dadah.

Daun berkenaan yang beliau namakan sebagai `ketum ayam’ dikatakan tidak beracun dan tidak mengandungi antinutritif yang membolehkan proteinnya diserap terus ke dalam badan untuk membantu mempercepatkan tumbesaran.

Berkongsi lebih lanjut inisiatifnya untuk menghasilkan makanan ayam sendiri, Supardi memberitahu, antara faktor yang mendorongnya adalah harga makanan ayam terlalu mahal.

Selain itu, beliau inginkan makanan ayam yang diketahui kandungan nutrisi sekiranya dihasilkan sendiri.

Beliau mendakwa daging ayam yang diberi ketum ayam kurang lemak dan teksturnya lebih kenyal serta rasanya lebih manis berbanding ayam yang diberi dedak 100 peratus manakala telurnya mengandungi lebih Omega-3.

Pengilang dedak yang juga penternak sudah semestinya mengutamakan ternakan mereka dari segi nutrisi dan jangka-hayat dedak sebelum menjual ‘baki ’dedak mereka.

Dalam industri ternakan ayam, penternak-penternak kecil tidak mempunyai pilihan melainkan membeli dedak dari syarikat-syarikat besar dengan harga hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga kos mereka setelah diambil kira dengan kos bahan mentah, pekerja, fasiliti, pengurusan, pengedaran, peruncit dan margin keuntungan.

Berkelulusan ijazah dari Okayama Universiti Jepun, Supardi yang mesra dipanggil Pak Tam menjalankan kajian tentang daun berkenaan sejak tahun 2012.

Bermula dengan adaptasi terhadap cuaca dan persekitaran di Malaysia, seterusnya kajian penambahbaikan untuk makanan ayam telah dijalankan.

Pelbagai cubaan antaranya merebus dengan ikan masin, rebus dengan perencah sup, kisar dan gaul dengan dedak, kisar untuk minuman, biskut atau cekodok dan banyak lagi cuba dan jaya dijalankan.

Percubaan-percubaan ini diberikan kepada sejumlah ayam kacuk dalam beberapa siri ternakan.

Berasaskan keputusan percubaan-percubaan ini, sampel terdiri daripada campuran daun tua, sedang dan muda telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dianalisis pada November 2015.

Beliau mendakwa, hasil analisis menunjukkan kandungan protein kasar yang tinggi iaitu sebanyak 23.3 peratus sebaliknya nilai lemak kasar adalah rendah iaitu 2.6 peratus, malah menurut data-data kajian di luar negara juga menunjukkan kandungan protein melebihi 20 peratus.

Kandungan protein ini jauh lebih tinggi berbanding rumput napier sekitar 14 peratus, daun kelapa sawit 15 peratus dan dedak (antara 10 peratus hingga 21 peratus).

Walau bagaimanapun, perlu dingat bahawa sama seperti semua tumbuhan lain, kandungan nutrisi adalah berkadar terus dengan kesuburan.

Pokok ini ditanam pada jarak minimum 5 x 5 kaki, sesuai ditanam di tanah yang agak lembab, subur dan agak terlindung seperti di celah pokok pisang, durian dan sebagainya.

Pengairan yang konsisten juga dapat membantu kesuburan dan memaksimumkan kandungan protein.

Pokok Madre membesar sehingga 5-10 meter, mempunyai dahan yang agak kuat dan daun yang lebar mencecah 35x17cm berbentuk oval berhujung tirus. Ianya hanya mengeluarkan bunga apabila cukup matang.

Kandungan protein tertinggi didapati pada tempoh 2-3 minggu dari daun mula bertunas. Anda disarankan untuk memetik daun pada setiap 2-3 minggu.

Pokok yang berumur 4 bulan selepas penanaman boleh menghasilkan sehingga 250gram daun segar pada setiap penuaian. Cantas pangkal pokok apabila meningkat tinggi sekitar 5 kaki.

Ini membolehkan tunas baru tumbuh di pangkal pokok dan tunas ini lebih segar berbanding tunas yang tumbuh di dahan! Ia juga bertujuan untuk menyenangkan penuaian.

Pokok berdahan lembut ini cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian lima kaki dalam tempoh empat bulan.

Walau bagaimanapun, menurut pengalamannya, pokok tidak akan naik subur di tanah yang kering dan tidak bernutrisi.

Sekiranya berminat, dapatkan khidmat nasihat Jabatan Pertanian untuk memastikan kesesuaian tanah sebelum menanam. Pokok berkenaan boleh mencecah ketinggian antara 10 hingga 15 kaki.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja mencantas perlu dibuat untuk menghasilkan tunas baru yang subur di samping memudahkan memetik daun. Penjagaan pokok tersebut amat mudah.

Selain siput babi yang amat menyukai tunas muda, pada peringkat awal ia boleh dikatakan hampir tiada musuh.

Sekiranya terdapat kuye (kulat putih seperti tanaman cili dan sayur-sayuran), semburkan racun serangga sekali-sekala apabila perlu.

Pembajaan sekali sekala menggunakan najis ternakan sudah memadai dam berbeza dengan kelapa sawit atau getah, daun ini boleh mula dituai seawal dua bulan selepas penanaman.

Petik daunnya sahaja dan biarkan pucuk mengeluarkan daun muda yang baru. Daunnya yang lebar mempercepatkan kerja penuaian sama ada menggunakan gunting atau dengan tangan.

Pohon yang berusia setahun boleh menghasilkan 500 gram atau lebih daun segar sekali tuai bergantung kepada kesuburan.

Sehektar tanah boleh menghasilkan lebih 20 tan daun segar setahun mengatasi hasil kelapa sawit mahupun getah.

Pemberian kepada ternakan

Ayam Kacuk Kampung Betina

Buat masa ini, ternakan yang sesuai diberi makan daun ini ialah ayam kampung dan kambing yang tidak lepas bebas, ayam kacuk, itik dan ayam belanda, burung puyuh, ikan lampam dan tilapia.

Pada peringkat permulaan mungkin ada penolakan disebabkan ternakan telah biasa dengan makanan rutin.

Bagi mengatasinya, tarik perhatian ternakan dengan menggunting memanjang daun pada saiz satu milimeter tetapi tidak putus pada urat tunjang dan kemudian gantungkan. Ia akan bergoyang dan akan menarik perhatian ayam untuk mematuk.

Ulang selama dua hari dan boleh diracik dan berikan terus pada hari ketiga, dengan tujuan supaya senang dimakan dan mengelakkan kerja-kerja tambahan untuk mengoyakkan daun, kerana daun berkenaan agak tebal dan sedikit liat untuk dikoyak.

Selain diberikan dalam bentuk segar, ia juga boleh diproses menjadi sumber protein dengan menggaulkan dengan ubi kayu dan lain-lain.

Pada peringkat awal, antara satu hingga empat minggu, berikan secara berperingkat pada kadar kurang daripada 30 peratus keperluan makanan harian. Ini kerana pada peringkat ini tulang belum dapat menampung kadar kenaikan berat ayam.

Ternakan Ayam Kampung Kacuk yang dijalankan di Johor mendapati ayam menjadi lebih sihat dengan kadar kematian 0.3 peratus.

Kadar tumbesaran meningkat kepada dua kilogram (jantan) dan 1.7 kilogram (betina) pada umur 10 minggu.

Menurut beberapa tukang masak dan penggemar ayam kampung, dagingnya lebih kenyal dan manis berbanding Ayam Kampung Kacuk yang diberi dedak secara berterusan.

Daun ini telah digunakan sebagai makanan ternakan sejak sekian lama di negara-negara tropika dan difahamkan tiada simptom negatif seperti keracunan dilaporkan.

Pada masa ini, masih belum ada kajian spesifik berkaitan manfaatnya dalam bidang perubatan.

Kajian juga sedang dijalankan bagi membuat percubaan menambahkan lemak kasar dan kalsium kepada tumbuhan ini dengan kaedah tut dengan harapan daun ini akan lebih hampir kepada nutrisi lengkap untuk ternakan.

Matlamat utama kajian tersebut adalah menjadikan daun berkenaan sebagai sumber protein makanan ternakan bagi menggantikan hampas kacang soya yang diimport.

Dengan campuran ubi kayu sebagai sumber karbohidrat, maka pengusaha dapat memenuhi 80 peratus keperluan nutrisi ternakan dan semuanya produk tempatan.

MASALAH AYAM LAMBAT MEMBESAR

Kenapa penternak komersial boleh menjual ayam dengan berat 1.5 kg atau lebih dengan hanya pelihara selama 35-40 hari, tetapi ada penternak ini telah pelihara hampir dua bulan tetapi masih tidak mencapai berat seperti berat komersial?

Di sini kami akan cuba terangkan beberapa faktor yang mempengaruhi pemakanan dan tumbesaran ayam.

Ransum Pemakanan

Syarikat pengeluar makanan ternakan komersial telah mengeluarkan dedak mengikut kegunaan penternakan kita. Perbezaan yang nyata dari kandungan protien, kalsium dan lain-lain lagi.

Bagi ayam pedaging, makanan dirumus khas mengandungi kandungan protien yang tinggi bagi tujuan penggemukan. Bagi ayam baka dan penelur, makanannya pula dirumus mengandungi kandungan protien yang rendah berbanding dedak pedaging dan mengandungi unsur kalsium bagi pembentukan cengkerang telur.

Jenis dedak

Pastikan sebelum membeli, kita kena tahu dedak yang sesuai mengikut ternakan kita:
  • Anak (Pedaging /Penelur/Baka): Selalu ditulis perkataan starter/pemula dll.
  • Pedaging: Selalu diguni dedak akan ditulis perkataan Starter, Grower, Feeder, Penggemuk dll. Dedak ini khusus diformulasi bagi meningkatkan kadar tumbesaran dalam masa yang singkat.
  • Penelur: Selalu di guni akan tertulis perkataan layer.
  • Baka: Selalu di guni tertulis perkataan breeder.

Bentuk dedak
  • Anak (Pedaging /Penelur/Baka): Dalam bentuk mash (serbuk) dan crumble (dedak kasar).
  • Pedaging: Dalam bentuk crumble (dedak kasar) atau pellet.
  • Penelur dan Baka: Dalam bentuk mash (serbuk). Selalunya akan kelihatan jagung-jagung hancur dalam dedak tersebut.

Warna dedak

Pedaging:
  • Kuning: Ransum pemakanan mempunyai kandungan protien dari unsur-unsur tumbuhan.
  • Hitam: Ransum pemakanan mempunyai kandungan protien dari unsur-unsur haiwan (ikan dll). Penggunaan dedak hitam amat digalakkan untuk memaksimum tumbesaran (ayam cepat besar).
  • Baka dan Penelur: Dedak berwarna kuning dan kelihatan jagung atau kulit jagung bersama-sama dedak ini.

Waktu makan
  • Pedaging: Pada masa sekarang, dah ada guideline jumlah pemakanan sehari dari umur sehari hingga umur pasaran. Cuma pemberian biasanya dibuat dua kali iaitu sekali pagi dan sekali petang.
  • Penelur/Baka: Selepas 14 hari, dicadangkan memberi makan terus menerus sehingga umur hampir ke 16 minggu (dedak bentuk crumble). Lampu jika boleh dipasang pada waktu malam sehingga umur 1 bulan. Selepas itu, ayam diberi makan pada waktu siang sahaja.
  • Penelur/Baka: Pada umur 16 minggu, ayam boleh diasuh untuk mula menggunakan makanan baka/penelur. Makanan baka/penelur diberi dengan kadar yang bersesuaian. Tidak boleh diberi makan terus menerus. Hanya sekali di waktu pagi dan sekali di waktu petang. Jika diberi makan tanpa had, ayam akan menjadi gemuk dan produktiviti telur akan berkurang atau terhenti.

Pertukaran makanan

Pastikan sewaktu mahu menukar makanan ke bentuk yang lain atau jenama yang lain, makanan tersebut ditukarkan secara beransur-ansur selama beberapa hari sebelum bertukar sepenuhnya kepada makanan yang baru bagi mengelakkan ayam tersebut terkejut dengan perubahan makanan kerana kesannya, ayam tersebut perlu menyesuaikan makanan tersebut dan mungkin akan murung kerana makanan bertukar dan hilang selera makan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon