Wednesday, August 14, 2019

Adakah Mempelajari Jawi Itu Mengkhianati Kaum, Bahasa Dan Budaya Cina?


Keputusan tegas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meneruskan cadangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam buku teks sekolah untuk kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bagi sekolah vernakular melegakan banyak pihak.

Tulisan Khat

Tun Mahathir berkata, dia percaya kepada dasar kemakmuran bersama kerana kerajaan turut tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam bahasa Cina di negara ini.

Langkah tersebut juga ialah suatu yang istimewa di Malaysia berbanding di negara serantau yang lain, kerana tulisan dalam bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam proses pendidikan.

Isu itu menjadi bualan hangat apabila seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun Empat.

Memetik laporan akhbar Sin Chew Daily, subjek jawi akan diperkenalkan dalam kurikulum bahasa Melayu Darjah Empat di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Tambahan pula, cadangan tersebut dibantah dua pertubuhan pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Merujuk kepada kandungan dalam Dokumen Standart Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun Empat untuk kegunaan 2020 seperti dalam Standard Kandungan 4.4 yang menyebut 'mengaplikasikan, menghayati dan menghasilkan unsur keindahan dalam seni khat,' maka cadangan kerajaan itu bukanlah langkah yang dianggap mendatangkan implikasi negatif kepada sesetengah pihak.

Perkara itu jelas selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching ketika merasmikan Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 memberitahu tulisan jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak 2016 dan jika diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, tulisan itu akan diperkenalkan tahun depan memandangkan perancangan untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum sekolah sudah pun dimulakan sejak 2014 lagi.

Pencerahan

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu wawancara bersama sebuah portal menegaskan langkah kementerian memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah Empat bukannya bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular.

Ujarnya, masyarakat sewajarnya melihat pengenalan jawi sebagai suatu usaha mengenali warisan dan identiti negara.

Kerajaan juga tidak mengarahkan pembelajaran tulisan jawi secara menyeluruh malah ia tidak dimasukkan dalam peperiksaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, “Bukan semua (yang membantah) itu adalah ahli DAP tapi ada satu bahagian daripada DAP yang menentang jadi saya ingat kita boleh teruskanlah."

Perkara itu terbukti apabila Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman dilaporkan bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan menyifatkan pelaksanaan modul itu hanya bertujuan mengekalkan warisan seni khat di negara ini.

Selaras dengan usaha bagi memupuk warisan sejarah itu, beliau menyarankan agar semua pihak perlu bertenang dan mengelakkan daripada menjadikan isu itu satu sentimen yang boleh menakutkan mana-mana pihak.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendedahkan beliau pernah mempelajari sendiri tulisan jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969.

Ujarnya, usaha mempelajari tulisan tersebut tidak menjadikan beliau 'kurang Cina' sebaliknya mengukuhkan jati dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Lim Kit Siang sendiri pernah berkata, “Adakah seseorang yang mempelajari jawi itu mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina? Bagi saya, jawapannya tidak."

Langkah itu juga disokong tokoh bahasa di Malaysia antaranya Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dan Profesor Datuk Dr Nik Safiah Karim yang menyatakan pengenalan tulis khat dalam buku teks sekolah tidak akan menggugat kestabilan kaum dan agama.

Malah, ia adalah dasar budaya dan bahasa yang mempunyai nilai mendalam dalam tinggalan khazanah Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon