Wednesday, July 11, 2018

Apa Sebenarnya Sijil UEC Dan Benarkah Ia Akan Mengancam Kedaulatan Negara?

Apa Sebenarnya Sijil UEC Dan Benarkah Ia Akan Mengancam Kedaulatan Negara?

Isu sijil UEC ini sebenarnya sudah lama diperkatakan dan telah sekian lama didesak oleh pihak-pihak tertentu (seperti Dong Zong dan Dong Jiao Zong misalnya) supaya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia setaraf dengan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

Apa Sebenarnya Sijil UEC Dan Benarkah Ia Akan Mengancam Kedaulatan Negara?

Mereka mahu supaya sijil UEC diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam atau kolej/universiti swasta yang difrancaiskan daripada universiti awam dan juga kemasukan kepada penjawat awam.

Apa Sebenarnya UEC dan mengapa ia boleh menimbulkan sekian banyak polemik di dalam negara?

UEC adalah singkatan kepada frasa Unified Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Sijil ini merupakan sijil pembelajaran yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Terdapat juga situasi di mana pelajar-pelajar yang mengambil sijil UEC ini akan memiliki dua sijil sekaligus iaitu UEC dan SPM dengan tujuan membolehkan mereka untuk bekerja di sektor kerajaan atau memasuki universiti awam.

Secara umumnya, sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML) yang mana kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin.

UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek Sains dan semua subjek aliran Perdagangan.

Meskipun sijil ini diiktiraf di peringkat antarabangsa atau dengan perkataan lain ‘indah’ pada mata kasarnya, namun pada hakikatnya ia membawa lebih banyak kesan buruk dari baiknya.

Sebab itulah ramai orang menentang kerajaan Malaysia mengiktiraf sijil ini untuk kemasukan ke universiti awam yang ada di dalam negara.

Boleh dikatakan pengiktirafan terhadap sijil itu berupaya untuk memberi ancaman kepada kedaulatan Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, sijil UEC menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin dalam sistem pembelajaran dan peperiksaan mereka.

Hal ini sudah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yakni Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi Malaysia.

Apabila ada sahaja perkara (seperti sijil UEC itu) yang tidak menggunakan bahasa Melayu, ia sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati bersama sejak lama dahulu.

Bahasa merupakan antara medium untuk menyatukan penduduk bagi sesebuah negara.

Penggunaan satu bahasa yang sama untuk semua rakyat di sesebuah negara boleh merapatkan jurang perkauman yang luas terbuka.

Apabila UEC menggunakan bahasa Mandarin semata-mata, maka para pelajarnya akan lebih mahir dalam bahasa Mandarin berbanding bahasa kebangsaan untuk negara.

Lalu, bagaimana untuk merapatkan jurang perkauman yang luas terbuka sejak sekian lama?

Sistem pembelajaran dan peperiksaan berasaskan UEC langsung tidak mahu menggunakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Mereka menggunakan sistem atau dasar pendidikan yang dicedok daripada sistem atau dasar pendidikan yang terdapat di negara Taiwan.

Secara tidak langsung, telah wujud dua sistem atau dua dasar pendidikan dalam sesebuah negara.

Seperti mana yang acapkali mereka laung-laungkan ketika menolak RUU355 yang kononnya akan mewujudkan dua sistem undang undang di Malaysia!

Sikap tidak mahu menerima pakai sistem dan dasar pendidikan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia melambangkan sikap tidak patriotik atau sikap tidak cintakan negara dalam kalangan mereka.

Mereka meragui atau memandang rendah terhadap keberkesanan sistem atau dasar pendidikan yang telah berjalan sejak sekian lama dalam negara.

Sikap mereka ini sangat bahaya tehadap masa depan Malaysia dan tidak mustahil mereka akan mudah berpaling tadah apabila sesuatu berlaku kepada Malaysia.

UEC tidak wajar diiktiraf oleh kerajaan Malaysia kerana mereka tidak menjadikan pelajar mereka sebagai rakyat Malaysia sebaliknya menjadikan pelajar mereka bangsa Cina, sepekat-pekatnya.

Sikap mereka inilah yang menyebabkan perpaduan dan keharmonian kaum sukar untuk digapai dalam negara.

Integrasi nasional yang acapkali dilaung-laungkan oleh pemimpin negara memang tidak akan pernah terjadi sampai bila bila.

Sistem pembelajaran yang digunapakai oleh UEC iru menjadikan pelajar mereka terasing daripada kaum kaum lain yang wujud di dalam negara.

Mereka tidak akan bercampur gaul dengan kaum kaum lain yang ada di sekeliling mereka.

Sistem yang digunapakai oleh UEC itu bukan sahaja menyebabkan jurang perkauman luas terbuka malah kecintaan mereka terhadap negara boleh dipertikai juga.

Jika kerajaan bertekad untuk mengiktiraf UEC, maka akan berlakunya peningkatan jurang pendidikan yang telah berlaku sejak sekian lama.

Hal ini terjadi apabila ibu bapa yang berasa amat yakin dengan ‘keberkesanan’ UEC itu akan berlumba lumba untuk menghantar anak mereka ke SMPC yang ada di merata-rata.

Ini akan menyebabkan berlakunya percanggahan semangat perpaduan di Malaysia yang telah kerajaan war-warkan sejak beberapa lama.

Lalu, di manakah erti perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?

Jika UEC diiktiraf, akan berlakunya persaingan yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat pelajar di Malaysia.

Hal ini berlaku kerana sekolah Cina mempunyai kemudahan yang lebih baik daripada sekolah kebangsaan yang sedia ada.

Ini berikutan, masyarakat Cina sentiasa memberi bantuan dari segi wang ringgit untuk kepentingan pendidikan untuk kaum mereka.

Pengiktirafan terhadap sijil UEC juga boleh menafikan peluang kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputra ke IPTA yang ada dalam negara.

Seperti yang kita sedia maklum, prinsip meritokrasi merupakan prinsip utama untuk kemasukan ke semua IPTA di negara kita.

Para pelajar Melayu atau Bumiputra yang patuh kepada segala dasar dasar kerajaan akan mempunyai peluang yang tipis untuk masuk ke IPTA berbanding pelajar pelajar yang mengambil UEC iaitu seramai 20,000 orang setahun.

Jika seramai itu pelajar UEC diberi masuk ke IPTA dan ditambah pula dengan pelajar bukan Melayu yang lain yang diterima masuk ke IPTA melalui peperiksaan SPM, maka kuota untuk pelajar Melayu dan Bumiputra akan terhakis begitu sahaja.

Falsafah Pendidikan Negara yang digubal sebenarnya adalah untuk melahirkan para pelajar yang mengikut acuan Malaysia.

Sistem pembelajaran berasaskan UEC itu pula melahirkan pelajar pelajar yang mengikut acuan Cina atau negara Taiwan sana.

Dengan pengiktirafan sijil UEC tersebut, maka akan lahirlah pelajar yang mengikut nilai, budaya dan pemikiran Cina atau Taiwan dan bukannya Malaysia.

Jelaslah sekarang bahawa pengiktirafan terhadap sijil UEC itu memberi banyak kesan buruk dari baiknya.

Mengiktiraf sijil UEC itu boleh mengancam kedaulatan negara juga maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa sijil UEC itu tidak boleh diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Usahlah jadikan negara ini negara buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pembina

6 Sebab Jodoh 'Berat' Dan Lambat Sampai

6 Sebab Jodoh 'Berat' Dan Lambat Sampai

Rezeki, ajal maut dan jodoh semuanya di tangan Tuhan. Tidak ada satu pun yang kita boleh nafikan tentang ketentuan ini.

6 Sebab Jodoh 'Berat' Dan Lambat Sampai

Tapi bila jodoh lambat sampai, semua dah kelam kabut tak tentu arah fikir yang bukan-bukan. Kenapa orang tak nak dekat aku? Buruk sangat ke aku ni?

Walaupun tidak semua, namun ada segelintir individu yang masih single berfikiran seperti ini dan sebenarnya, terdapat beberapa faktor mengapa jodoh seseorang itu ‘berat’ dan lambat sampai.

Jom kita semak sebab-sebab apa yang membuatkan jodoh kita ‘berat’.

1. Usaha belum sempurna

Walaupun dah cuba berusaha, tapi usaha yang dilakukan itu belum cukup sempurna.

Contohnya, kita telah berusaha mencari jodoh, tetapi berhenti pada usaha yang ke 99.

Sedangkan mungkin Allah hendak memberikan kita jodoh dalam usaha yang ke 100.

Maksudnya, kita perlu terus berusaha dan yakin dengan perancangan Allah adalah yang sebaik-baiknya.

2. Terlalu memilih

Nak yang cantik, handsome, kulit putih atau paling kurang pun tinggi lampai. Taste tak mau kalah. Macam mana jodoh nak lekat kalau memilih sangat?

Dah kalau si hitam manis yang suka korang, nak tunggu juga ke si putih gebu masuk meminang? Fikir-fikir sendiri ya sis. Hiks!

3. Tidak berdoa

Bila dah usaha, jangan lupa untuk berdoa juga. Kalau solat pun malas, apa lagi nak berdoa.

Dekatkan diri kepada agama dan ikut segala suruhanNya. Dengan berdoa, In Sha' Allah semua masalah dapat diselesaikan.

4. Tiada daya penarik

Diri kita ibarat magnet kepada pasangan mahupun orang lain.

Cara untuk meningkatkan “power” magnet ini ialah dengan mengisi cas-cas positif iaitu tidak mempunyai perasaan hasad dengki atau marah kepada orang lain, sabar dan amalkan perkara-perkara mahmudah.

Banyakkan beristighfar, kerana dengan mengamalkan istighfar, ia dapat mencuci segala karat dalam hati.

5. Tidak dapat restu ibu bapa

Mungkin mak ayah belum bersedia untuk melepaskan anak mereka.

Emak mana yang tidak mahu melihat anaknya berkahwin, tetapi dalam hati masih tidak benar-benar mahu melepaskan anaknya.

Ia merupakan salah satu masalah besar juga.

Namun, jangan kerana sebab ini korang hilang kehormatan pada orang tua sendiri!

6. Yang baik selalunya datang lambat

Pernah dengar statement ni? Orang-orang tua selalu cakap, jodoh yang baik datang lambat sebab seseorang yang memetingkan kesempurnaan akan mencari dan terus mencari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Tuesday, July 10, 2018

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Trofi Piala Dunia FIFA yang sangat ikonik itu sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia dan hampir semua orang mengenalinya namun, disebalik kehebatan trofi ini, terdapat sejarah tersurat tentang bagaimana ia boleh tercipta dan berdiri gah sehingga ke hari ini.

Trofi Piala Dunia FIFA

Jom kami kongsikan sejarah bagaimana trofi Piala Dunia yang anda lihat pada hari ini dicipta.

Kisah Dewi Emas

Piala Jules Rimet yang sebelum itu diberikan nama "Victory", dihadiahkan kepada pemenang Piala Dunia sehingga tahun 1970.

Presiden FIFA ketiga iaitu Jules Rimet meluluskan undi untuk memulakan kejohanan bola sepak global buat kali pertama pada tahun 1929.

Setahun kemudian, beliau menganugerahkan piala tersebut kepada pasukan Uruguay yang memenangi Piala Dunia yang pertama dalam sejarah.

Piala itu kemudiannya dinamakan semula sebagai penghormatan kepada jasa Jules Rimet selepas Perang Dunia Kedua.

Direka oleh pengukir Perancis, Abel Lafleur, piala tersebut menggambarkan dewi Yunani purba yang sedang menjulang cawan berbentuk decagonal.

Patung idaman itu adalah seberat 3.8 kilogram dan diperbuat daripada perak sterling bersalut emas di atas dasar lapis lazuli.

Trofi ini diberikan nama jolokan "Dewi Emas" dan pada plak emas yang dilekatkan kepada empat bahagian pada tapak trofi ini, setiap nama negara yang pernah memenangi Piala Dunia dari tahun 1930 hingga 1970 diukir, iaitu Uruguay, Itali, Jerman, England dan Brazil.

Selepas memenangi Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970 di Mexico, Brazil mendapat hak untuk menyimpan piala tersebut selama-lamanya, menurut peraturan FIFA ketika itu.

Tiga kecurian dan seekor anjing

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA
Piala Jules Rimet.

Pada tahun 1930, Piala Jules Rimet memulakan pelayaran sulungnya ke Uruguay di atas kapal transatlantik iaitu Conte Verde.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, piala ini disimpan oleh Itali yang memenangi Piala Dunia 1938.

Itali yang pada ketika itu sangat tidak selamat untuk menyimpan trofi berharga di tengah-tengah kekacauan yang melanda, membuatkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Ottorino Barassi memutuskan untuk menyembunyikannya dengan cara yang kelihatan seperti kecurian.

Beliau secara diam-diam mengeluarkan trofi itu dari peti besi bank dan menyembunyikannya di dalam sebuah kotak kasut di bawah katilnya, dengan harapan bahawa Nazi tidak akan menemuinya di situ.

Trofi tersebut selamat dan pada tahun 1950, ia dianugerahkan kepada Uruguay, yang memenangi kejohanan Piala Dunia selepas perang, sekali lagi.

Pada 20 Mac 1966, 4 bulan sebelum Piala Dunia 1966 berlangsung di England, Piala Jules Rimet telah dicuri ketika dipamerkan di Westminster Centrall Hall, walaupun dengan kawalan keselamatan 24 jam, yang menyebabkan kegemparan hebat.

Seluruh pasukan polis London dikerah untuk mencari pencuri trofi ini yang menuntut wang tebusan sebanyak £15,000.

Mereka dengan tergesa-gesa menghasilkan replika trofi ini bagi menggantikan yang asal, sekiranya ia tidak dapat ditemui semula sebelum kejohanan bermula.

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Namun, seekor anjing bernama Pickles telah menyelamatkan keadaan untuk England apabila berjaya menemui piala tersebut yang dibalut dengan suratkhabar ketika bersiar-siar bersama tuannya, David Corbett.

David yang merupakan peminat bola sepak tahu apa yang berada dalam bungkusan surat khabar itu dan menyerahkan trofi tersebut kepada pihak berkuasa.

Terdapat khabar angin bahawa David Corbett dijemput ke majlis makan malam sebagai tanda penghormatan ketika England memenangi Piala Dunia pada tahun tersebut dan dihadiahkan £6,000, manakala anjingnya diberikan bekalan makanan seumur hidup.

Trofi replika yang dihasilkan atas alasan keselamatan itu dijual pada lelongan kepada FIFA dengan harga £254,500 pada tahun 1997.

Piala Jules Rimet kemudiannya berpindah ke Brazil pada tahun 1970, namun itu bukanlah pengakhiran bagi kontroversi yang dialaminya.

Berita bahawa trofi Dewi Emas itu hilang sekali lagi telah menggemparkan dunia pada Disember 1983.

Beberapa orang telah mencuri trofi tersebut dari kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil di Rio, dengan membuka pintu belakang kabinet menggunakan rod besi.

4 lelaki tersebut didakwa dan disabitkan kesalahan atas kesalahan mencuri dan trofi itu gagal ditemui.

Jadi, mengikut jejak langkah England, Brazil terpaksa menghasilkan replika Piala Jules Rimet dan tiada siapa tahu apa yang berlaku kepada trofi asli tersebut.

Ramai yang percaya bahawa sama ada ia dicairkan dan dijual, atau menjadi koleksi peribadi seseorang.

Sejarah trofi Piala Dunia yang baharu

Trofi Piala Dunia FIFA Baru

Selepas meyerahkan Piala Jules Rimet kepada Brazil, FIFA terpaksa mengarahkan penggantian trofi untuk Piala Dunia 1974.

53 penyertaan diterima bagi tender reka bentuk piala yang baru, yang diumumkan pada tahun 1971 daripada pengukir di 7 buah negara.

Silvio Gazzaniga, pengukir dari Itali, yang dinobatkan sebagai pemenang mereka bentuk piala yang baru, telah menghantar dua reka bentuk yang mana dimenangi oleh rekabentuk pertama.

"Untuk menghasilkan simbol universal, saya mendapat ilham daripada dua imej asas, iaitu atlet yang berjaya dan dunia.

"Saya ingin mencerminkan kegembiraan pemain bola sepak yang memenangi kejuaraan, seorang lelaki yang berubah disebabkan kemenangannya, tetapi tanpa ego manusia yang tinggi.

"Wira sukan ini yang memeluk dunia dengan tangannya, mencerminkan kekuatan yang diperlukan untuk melakukan pengorbanan setiap hari dengan ahli pasukannya dan ciri-ciri sejagat sukan seperti komitmen dan kebebasan," jelas Silvio Gazzaniga.

Khabar angin mengatakan bahawa Silvio tinggal di studionya selama seminggu untuk menghasilkan trofi tersebut.

Beliau sendiri kemudiannya mengakui bahawa sebenarnya sebahagian besar daripada kerja itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun, trofi tersebut diperbuat daripada emas pepejal, butiran lebih halus yang dihasilkan membuktikan ianya adalah satu cabaran besar dan terpaksa ditambah selepas pembentangan pertama trofi ini.

Trofi emas seberat 5 kilogram

Trofi Piala Dunia FIFA Gold

Tidak seperti trofi sebelumnya, trofi baru ini diperbuat daripada 5 kilogram emas 18 karat.

Trofi ini berukuran 36.8 sentimeter tinggi dan seberat 6.142 kilogram. Tapaknya berdiameter 13 sentimeter dengan dua lapisan malachite, sepadan dengan warna padang bola sepak.

Trofi ini menggambarkan dua tokoh manusia yang sedang menjunjung Bumi.

"Kedua-dua pemain yang mengangkat tangan mereka melambangkan pasukan pada saat kegembiraan dan keghairahan kemenangan.

"Sfera di bahagian atas dibentuk bagi menggambarkan imej benua-benua. Ini juga melambangkan bola sepak dan dunia, manakala garis-garis di antara dua pemain ini menggambarkan tenaga dalam sukan bola sepak," jelas Silvio.

Bahagian tapak trofi Piala Dunia diperbuat daripada dua cincin malachite hijau, dipisahkan oleh cincin emas yang tertulis nama kejohanan "FIFA World Cup".

Ia dilengkapi dengan plat emas yang mana diukir atasnya nama negara pemenang dalam bahasa tempatan, sebagai contoh "1974 Deutschland" atau "1994 Brazil".

Nama tersebut disusun dalam bentuk bulatan, meninggalkan ruang untuk pemenang seterusnya.

Di mana trofi ini disimpan?

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Sebelum tahun 2006, trofi ini akan diserahkan kepada negara yang menjadi juara, yang akan disimpan sehinggalah cabutan akhir Piala Dunia yang akan datang namun, ia tidak lagi dilakukan sedemikian.

Menurut peraturan semasa FIFA, pemenang kejohanan akan menerima trofi replika tembaga bersalut emas dan trofi sebenar akan dipamerkan di Muzium Bola Sepak Dunia FIFA di Zurich, Switzerland sejak tahun 2006.

Ia hanya dibawa keluar dan dipamerkan ketika Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca-Cola di Cabutan Akhir bagi kejohanan tersebut dan juga di atas padang, serta di atas pentas ketika perlawanan akhir kejohanan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Revolusi Bola Sepak 'Generasi Emas Belgium' Selepas Kegagalan Di Piala Dunia 1998

Revolusi Bola Sepak 'Generasi Emas Belgium' Selepas Kegagalan Di Piala Dunia 1998

Perkembangan bola sepak Belgium sehingga ke tahap hari ini adalah hasil revolusi bola sepak mereka yang dicetuskan ketika kegagalan mereka di Piala Dunia 1998.

Revolusi Bola Sepak 'Generasi Emas Belgium' Selepas Kegagalan Di Piala Dunia 1998

Kegagalan skuad Belgium dalam Piala Dunia 1998 berpunca daripada ketiadaan satu rejim latihan berteraskan ideologi bola sepak kebangsaan mereka.

Kepelbagaian doktrin sehingga 30 jurulatih bola sepak pelbagai latar belakang karier dan pencapaian dari seluruh negara digembleng sebagai asas revolusi bola sepak Belgium.

Ia diterjemah dalam satu cetak biru yang dinamakan ‘Purple Talent Project’ yang digerakkan pada 2006, kemudiannya dilancarkan pada 2007.

Antara intipati projek ini ialah memperkasa akademi tempatan seperti Anderlecht dan Genk dengan gabungan doktrin serta ideologi bola sepak Belgium yang bergantung kepada kepelbagaian budaya dan corak permainan yang saling melengkapi satu sama lain.

Faktor anak-anak imigran yang berjaya merubah kehidupam mereka dengan bola sepak Belgium seterusnya bebas ke segenap Eropah membina karier juga mendorong ramai anak-anak ini berminat untuk bermain untuk kelab-kelab remaja di Belgium.

Malah, dengan adanya kuota berstatus EU, Belgium dilihat sebagai ‘batu loncatan’ untuk bakat-bakat imigran ini berjaya di Eropah.

Latarbelakang keluarga imigran Belgium memenuhi hingga lebih 40% di dalam skuad Belgium ke Piala Dunia 2018 kali ini.

Bapa Lukaku sendiri asalnya nampak peluang ini dan sedar bahawa bakat anaknya hanya sesuai dan boleh berjaya di akademi remaja Anderlecht, misalnya.

Pemain yang diambil akademi remaja ini bukan sahaja belajar tentang bola sepak, tetapi turut diasuh untuk mendalami kepelbagaian budaya Belgium, apa yang mereka gelar pembelajaran dari jalanan tentang budaya dan bola sepak Belgium.

Tambah menarik, projek ini bukan sahaja meletakkan sasaran memenangi Piala Dunia atau mengejar kedudukan dan pengiktirafan, sebaliknya membentuk pemain bola sepak Belgium yang lengkap dan saling melengkapi satu sama lain.

Namun, hasilnya belum dapat dituai untuk beberapa tahun, bahkan mereka gagal ke Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, sebelum mereka muncul dan melakukan kejutan ketika beraksi di Piala Dunia 2014.

Pendekatan tidak konvensional ini yang pernah menjadi kritikan Persekutuan Bola Sepak Belgium akhirnya membuahkan hasil, membuktikan projek yang ketika itu digelar Purple Talent Programme’ berjaya.

Tahun 2014 adalah apabila dunia mula memandang tinggi Belgium sebagai salah satu kuasa bola sepak digeruni di peringkat antarabangsa dan ketika itu juga wujudnya sepasukan anak muda Belgium dari pelbagai latarbelakang kehidupan, budaya dan agama yang digelar Generasi Emas Belgium.

Janji ‘Purple Talent Programme’ mula dituai pada Piala Dunia 2018, apabila baka terbaik dari benih ideologi bola sepak Belgium dipetik dalam bentuk Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Marouane Fellaini dan Romelu Lukaku selain segenap pasukan Belgium yang lain berjaya mengalahkan Brazil.

Brazil sehingga beberapa hari lepas, nampaknya masih terikat dengan kebanggaan samba, bersifat individualistik selain egoistik yang mungkin dibezakan dengan pertembungan ideologi bola sepak Eropah dan Amerika Latin yang sangat berbeza.

Dengan kekalahan Brazil, Piala Dunia akan terus kekal di Eropah untuk empat tahun lagi.

Siapa tahu, mungkin bintang pertama akan lahir terbit dari jata Persekutuan Bola Sepak DiRaja Belgium bagi Piala Dunia kali ini?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Allah Panjangkan Usia Tun Mahathir

Allah Panjangkan Usia Tun Mahathir

Hari ini adalah ulangtahun kelahiran Tun Mahathir Mohamad yang ke-93. Beliau lahir pada 10 Julai 1925. Tidak seperti sebelum ini, ulangtahun kelahiran Tun Mahathir kali ini tentu saja memberi makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Allah Panjangkan Usia Tun Mahathir

Selepas memimpin Pakatan Harapan menumbangkan BN dan kini menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, di bahunya terletak tanggungjawab yang amat besar untuk memulihkan negara dan memimpinnya semula menuju landasan sebenar yang mampu memberi kesejahteraan kepada semua.

Tetapi, dalam waktu yang sama, beliau bukan lagi muda usianya. Dalam usia 93 tahun, bukan saja tidak ramai yang ada upaya untuk terus menikmati kehidupan seperti biasa, malah tidak ada yang mampu duduk di kerusi Perdana Menteri, apatah lagi untuk kali kedua.

Hanya kerana sayang dan cintakan negara yang telah dirosakkan oleh Najib Razak dan tidak sanggup melihat kerosakan yang lebih parah jika anak Tun Razak itu terus berkuasa, Tun Mahathir terpaksa menggagahkan dirinya bangun daripada persaraan dan sedia memikul tanggungjawab yang disandarkan oleh majoriti rakyat terhadapnya.

Sekarang tanggungjawab itu sudah ada di bahunya. Memikul tanggungjawab untuk memulihkan negara ternyata lebih berat daripada usaha menyingkirkan Najib dan menumbangkan BN.

Sempena ulangtahun kelahiran Tun Mahathir yang ke-93 ini, tiada lain yang kita harapkan selain mengharapkan agar beliau terus kuat, tabah dan gigih dalam usaha untuk membina semula dan menyelamatkan negara ini.

Dalam waktu yang sama, semoga Tuhan juga terus memberikan kesihatan serta kecergasan yang berkekalan, selain umur yang panjang agar Tun Mahathir sempat menyelesaikan misinya demi Malaysia bersama kabinet dan Pakatan Harapan.

Selamat hari lahir Tun Mahathir, rakyat Malaysia akan tetap bersamamu sehingga terhasil sebuah kejayaan yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudin

8 Moisturizer Pilihan Terbaik Untuk Mengatasi Masalah Kulit Berminyak

8 Moisturizer Pilihan Terbaik Untuk Mengatasi Masalah Kulit Berminyak

Sudah menjadi satu kewajipan bagi seorang perempuan untuk menggunakan moisturizer bagi memastikan kulit wajah tidak kering dan tampil segar sepanjang hari.

Tapi bagi mereka yang mempunyai masalah kulit berminyak tu, korang tahu tak moisturizer apa yang sesuai untuk dipakai?

Nah, berikut antara 8 jenis moisturizer yang boleh korang dapatkan di pasaran.

1. Hado Labo Whitening Perfect Gel

Hado Labo Whitening Perfect Gel

Pelembap dengan tekstur gel yang ada dalam produk ini memberikan penghidratan yang tahan lama untuk kulit wajah.

Mengandungi arbutin yang dapat membantu meringankan nada kulit dan bintik-bintik gelap bagi menjadikan kulit lebih licin.

Tambahan vitamin C dapat memulihkan kembali penampilan kulit kusam yang disebabkan oleh sinaran UV.

Ia juga dapat memberikan keseimbangan pada pH kulit dan jangan risau kerana produk ini bebas daripada wangian, minyak mineral, alkohol dan pewarna.

2. Elianto Calming & Moisture Texas Aloe Vera Soothing Gel 300ml

Elianto Calming & Moisture

Pelembap ini dapat memberikan keselesaan untuk kulit sensitif dan paling penting, ia dapat mengawal minyak yang berlebihan.

Mengandungi 99% kandungan lidah buaya yang mampu mengatasi masalah dan melembapkan kulit.

Produk ini bebas daripada paraben, pewarna tiruan, minyak mineral, minyak haiwan dan silikon.

Gel ini tidak melekit dan cepat meresap ke dalam kulit.

3. Aiken Tea Tree Oil Spot Away Moisturizer

Aiken Tea Tree

Pelembab yang memberi bauan daun teh dan mudah resap ke dalam kulit wajah.

Ia dapat membantu mengawal minyak dan memastikan kulit muka dalam pH yang sepatutnya dan lebih menarik lagi, ia tidak mengeringkan kulit korang.

Selepas beberapa kali penggunaan, korang akan merasakan kulit jadi lebih ringan, bebas jerawat dan kekal segar walaupun setelah seharian berada di luar.

4. OLAY Regenerist Revitalising Hydration Cream SPF 15

OLAY Regenerist

Menyediakan penghidratan optimum pada siang hari dan melindungi kulit daripada sinaran UVA/UVB yang berbahaya dengan SPF 15.

Ia membantu mengurangkan garis halus dan kedutan pada kulit.

Selain itu, produk ini juga dapat mengawal kulit berminyak dan memperbaharui lapisan permukaan kulit dengan sempurna.

5. SAFI Balqis P10 Krim Pelembap Siang 45g

SAFI Balqis P10

Krim pelembap ini mengandungi perlindungan UV tambahan, SPF15 yang memberi kesan dalam melindungi kulit daripada cahaya yang merbahaya.

Ia turut membantu untuk menyelesaikan masalah seperti garis penuaan, kulit berminyak, kusam dan tidak sekata.

Kesan seawal tiga minggu dapat dirasai dengan tekstur ringan dan lembut pada kulit wajah.

6. Laneige Water Bank Moisture Cream 50ml

Laneige Water Bank Moisture Cream

Menjadikan kulit lembap sepanjang hari dengan krim daripada bahan dasar air dan membantu mengawal minyak yang berlebihan pada wajah.

Produk ini telah diuji secara klinikal dan selamat untuk digunakan.

7. Garnier Men Turbolight Oil Control Shine Moist

8 Moisturizer Pilihan Terbaik Untuk Mengatasi Masalah Kulit Berminyak

Krim pencerah dan pelembap ini mengandungi volcanic mineralite dan ekstrak pemutih lemon yang membantu melawan masalah kulit dalam satu sapuan.

Produk ini juga dapat mengawal minyak yang berlebihan dan menutup pori-pori besar agar kulit kekal dalam pH yang diperlukan.

Bukan itu saja, ia membantu mencerahkan kulit dan mengekalkan kelembapan pada kulit supaya bebas minyak.

8. Himalaya Oil Free Radiance Gel Cream

8 Moisturizer Pilihan Terbaik Untuk Mengatasi Masalah Kulit Berminyak

Krim gel ringan dan tidak berminyak ini sesuai untuk digunakan setiap hari agar kulit licin dan bebas minyak.

Diperkaya dengan ramuan istimewa yang memberikan tiga manfaat iaitu menyerap dengan cepat ke dalam kulit, menghidratkan kulit dan memberi kulit licin sempurna.

Krim ini telah diuji secara dermatologi, bukan komedogenik, bebas minyak mineral dan paraben.

Selamat mencuba.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Monday, July 09, 2018

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Pernahkah anda terfikir, dalam penganjuran sesebuah kejohanan sukan besar seperti Piala Dunia FIFA, siapakah yang mendapat keuntungan kewangan? Adakah negara penganjur? Adakah FIFA? Adakah penaja dan lain-lain?

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Fédération Internationale de Football Association (FIFA) atau International Federation of Association Football adalah sebuah badan pentadbir bebas bola sepak, yang kerap kali memainkan peranan dalam penganjuran kejohanan antarabangsa sukan itu.

Persatuan tersebut telah ditubuhkan pada awal 1900an bertujuan untuk mengawasi dan menyelia kejohanan sukan bola sepak, yang semakin lama semakin mendapat tempat di hati masyarakat dunia.

Beribu pejabat di Zurich, FIFA telah dibentuk secara sah sebagai persatuan yang tidak berkeuntungan (non-profit), walaupun secara realitinya kejohanan anjurannya bukan sahaja membawa populariti, malah keuntungan berjuta-juta dolar Amerika setiap tahun.

Berapa Kos Yang Ditanggung oleh Negara Penganjur?

Bagi negara yang memenangi bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia FIFA, mereka secara automatik layak menyertai kejohanan akhir kejohanan tersebut, namun ianya hadir dengan harga yang sangat tinggi kepada ekonomi negara terbabit.

Secara asasnya, negara-negara yang ingin menganjurkan kejohanan tersebut perlu membida kepada FIFA berapa jumlah pengecualian cukai yang sanggup mereka berikan kepada persatuan tersebut.

Jerman telah menawarkan pengecualian cukai sebanyak $USD272 juta kepada FIFA untuk memenangi bida Piala Dunia 2006, manakala Afrika Selatan dan Brazil pula pada jumlah yang tidak didedahkan masing-masing untuk penganjuran Piala Dunia FIFA 2010 dan 2014.

Perjanjian bidaan tersebut akan menjadikan semua lokasi permainan Piala Dunia FIFA sebagai zon bebas cukai, dengan rakan kongsi korporat FIFA turut dikecualikan daripada cukai pendapatan dan jualan.

Pengecualian cukai bermakna sesebuah negara penganjur akan kehilangan sebahagian daripada pendapatannya.

Bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2014, Brazil dianggarkan telah membelanjakan sebanyak $USD15 bilion untuk membina stadium dan sistem pengangkutan baharu, di samping beberapa infrastruktur yang lain.

Antara stadium paling mahal yang dibina semata-mata untuk kejohanan tersebut adalah Mane Garrincha Stadium, yang menelan belanja sebanyak $USD550 juta.

Namun, stadium ini hanya beberapa kali sahaja digunakan selepas tamatnya kejohanan Piala Dunia dan kini ianya dijadikan sebagai tapak letak kenderaan terutamanya bas.

Bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2018, Rusia mungkin tidak akan membelanjakan $USD51 bilion seperti yang dilakukannya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi, namun kos penganjuran Piala Dunia dikatakan akan meningkat sebanyak sekitar $USD12 bilion.

Beberapa pegawai rasmi kerajaan Rusia mendakwa penganjuran Piala Dunia FIFA 2018 akan menambah kos antara $USD26 bilion hingga $USD31 bilion kepada ekonomi negara tersebut.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri Rusia, Arkady Dvorkovich, persediaan untuk kejohanan itu sahaja telah menelan belanja sebanyak $USD14 bilion kepada KDNK negara, bersamaan dengan 220,000 jumlah pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Kerajaan Rusia tidak menyatakan bagaimana penganjuran kejohanan tersebut dapat memberi manfaat kepada ekonomi negara, menyebabkan ianya menjadi topik pertikaian utama dalam kalangan pengkritik.

Adakah Industri Pelancongan Semakin Rancak Dengan Penganjuran Kejohanan Seperti Piala Dunia FIFA?

Kejohanan sukan terutama bola sepak sudah pasti akan menarik ramai peminat untuk mengunjungi negara penganjur bagi menyaksikan permainan pasukan kegemaran mereka.

Namun, kehadiran pelancong yang ramai secara serentak sebenarnya memberi kesan yang negatif kepada pergerakan trafik.

Akibatnya, ramai pelancong akhirnya 'hilang mood' untuk mengunjungi tarikan utama sesuatu destinasi.

Sama ada kejohanan sukan meningkatkan kehadiran pengunjung luar atau tidak, buktinya setakat ini menunjukkan sebaliknya.

Dalam kedua-dua Sukan Olimpik di Beijing dan London masing-masing pada tahun 2008 dan 2012, statistik menunjukkan kunjungan luar semakin berkurangan ketika acara ini berlangsung.

Contohnya, ketika Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, muzium terkenal UK iaitu British Museum menyaksikan penurunan pengunjung sebanyak 22 peratus ketika acara itu berlangsung.

Siapa Sebenarnya Yang Untung Dari Segi Kewangan?

Terdapat beberapa aliran pendapatan yang wujud untuk para penganjur, termasuklah melalui penjualan tiket, jualan barangan, penajaan dan perjanjian berlesen, namun aliran pendapatan paling besar adalah hasil daripada hak penyiaran televisyen.

Badan penganjur FIFA mengambil sebahagian besar keuntungan daripada pendapatan tersebut, berbanding negara penganjur itu sendiri, walaupun FIFA tidak langsung menyumbang wang untuk menampung kos penganjuran.

Pada Piala Dunia FIFA 2014, FIFA memperolehi pendapatan sebanyak $USD4.8 bilion, di mana $USD2.43 bilion hasil hak penyiaran, manakala penajaan dan penjualan tiket masing-masing menyumbang sebanyak $USD1.6 bilion dan $USD527 juta.

Daripada jumlah tersebut, FIFA memperolehi keuntungan bersih sebanyak $USD2.6 bilion.

Pada Piala Dunia FIFA 2018, pendapatan buat FIFA dianggarkan meningkat kepada $USD6 bilion, 25% lebih tinggi berbanding daripada penganjuran pada tahun 2014.

Dengan sebanyak 3.2 bilion tontonan dianggarkan untuk kejohanan tersebut, pendapatan daripada hak penyiaran dianggarkan akan meningkat kepada $USD3 bilion.

Kesimpulan

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Sama ada negara penganjur memperolehi keuntungan kewangan daripada kejohanan tersebut atau tidak, ianya tidak dapat dipastikan secara jelas kerana memerlukan perbandingan statistik secara menyeluruh.

Namun yang pasti, FIFA mendapat keuntungan kewangan yang sangat besar.

Sesetengah negara penganjur tidak terlalu memfokuskan kepada kos penganjuran, sama ada mereka untung secara kewangan dan ekonomi atau tidak.

Sebaliknya, mereka menggunakan kejohanan seperti Piala Dunia FIFA atau Olimpik untuk memberi signal kepada dunia bahawa mereka mampu menganjur kejohanan besar dunia dan membuktikan bahawa infrastruktur mereka setanding negara-negara maju lain.

Apapun alasannya, keuntungan bukan semata-semata dari segi kewangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Kronologi 13 Mangsa Pasukan Bola Sepak Thailand Yang Terperangkap Dalam Gua

Kronologi 13 Mangsa Pasukan Bola Sepak Thailand Yang Terperangkap Dalam Gua

Setelah sembilan hari pencarian, 12 remaja dan seorang jurulatih bola sepak yang terperangkap dalam gua akibat hujan lebat di Thailand akhirnya berjaya ditemui.

Kronologi 12 Remaja Dan Jurulatih Bola Sepak Thailand Yang Terperangkap Dalam Gua

Pasukan penyelamat gabungan Tentera Laut Thailand, Polis Federal Australia (AFP), 11 pakar penyelamat China, 32 tentera Amerika Syarikat, tiga penyelam dan seorang pakar gua dari Britain, juga pasukan penyelamat dari Myanmar dan Laos, berjaya menemui mereka di dalam Gua Tham Luang Nang Non, Thailand Utara, pada Isnin (2/7).

Kejadian ini berlaku apabila 12 remaja, ahli pasukan bola sepak Wild Boars dan jurulatih mereka memasuki Gua Tham Luang Nang Non, di Utara Thailand pada 23 Jun lalu.

Gua tersebut merupakan tempat yang sering dikunjungi pelancong, namun hanya boleh dimasuki sejauh satu kilometer.

Kerana alasan yang tidak diketahui, kanak-kanak ini dan jurulatih tersebut memberanikan diri untuk masuk lebih dalam ke gua tersebut dan mengabaikan papan tanda yang melarang pelancong untuk tidak masuk lebih jauh ketika musim hujan, yang biasanya bermula pada Julai.

Seorang penjaga taman nasional itu kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa selepas menemui peralatan kanak-kanak tersebut dan jurulatihnya selepas taman tutup. CI

BERIKUT ADALAH KRONOLOGI 13 MANGSA YANG TERPERANGKAP DALAM GUA DI THAILAND:

23 Jun: 12 remaja dan seorang jurulatih memasuki Gua Tham Luang di Chiang Rai.

24 Jun: Pihak berkuasa menemui kesan tapak tangan dan tapak kaki.

25 Jun: Pencarian di gua dimulakan. Tentera Laut Thailand membuat kenyataan di Facebook bahawa mereka menemui jejak 12 remaja di dinding gua, namun masih belum menemui mereka.

Air yang membanjiri gua menyebabkan pasukan bola sepak tersebut terperangkap.

26 Jun: Tentera Laut Thailand memasang kem di sekitar gua dan terus melakukan pencarian. Dua hari kemudian, mereka menghentikan pencarian kerana hujan lebat dan operasi menyelamat terlalu berbahaya.

27 Jun: Tiga pakar penyelam British memasuki gua namun terpaksa berpatah balik akibat banjir.

28 Jun:  Pasukan dari China tiba di lokasi. Perdana Mentri Thailand, Prayut Chan-o-cha turut hadir ke lokasi pencarian di gua.

29 Jun: Pasukan dari Australia bergabung dengan penyelamat antarabangsa melakukan pencarian.

30 Jun: Penyelam berjaya melepasi air banjir di dalam gua, namun masih jauh dari lokasi kesemua mangsa.

1 Julai: Penyelam tiba di kawasan lebih dalam di dalam gua

2 Julai: Pasukan penyelamat berjaya menemui lokasi kedua belas kanak-kanak tersebut dan jurulatihnya.

Khabar yang disambut gembira semua orang, kerana semua remaja dan pelatihnya selamat.

Tentera Laut Thailand juga telah berkongsi video ketika ketika pasukan penyelamat menemui mereka.

"Ada berapa orang semua?" kata penyelamat tersebut.

"13 orang" jawab kanak-kanak tersebut.

"13 orang, bagus! Kami akan menyelamatkan kamu, ramai orang yang datang untuk menyelamatkan kamu."

"Sekarang hari apa?" tanya kanak-kanak tersebut.

"Isnin, kamu sudah terperangkap disini selama 10 hari, kamu semua benar-benar kuat, kami akan menyelamatkan kamu," jawab penyelamat tersebut.

Walaupun dengan penemuan tersebut, pasukan penyelamat masih belum dapat mengeluarkan 12 remaja tersebut dan julatihnya dari gua.

3 Julai: Bekalan makanan dan ubat-ubatan diberi kepada kesemua mangsa.

4 Julai: Mangsa diajar menggunakan topeng menyelam dan alat pernafasan.

5 Julai: Pihak berkuasa berdepan cabaran menyelamat lebih sukar.

6 Julai: Seorang penyelam lemas ketika operasi menyelamat.

7 Julai: Lebih 100 cerobong digerudi dari permukaan gua dalam usaha menyelamat.

DIAJAR BERENANG

Kronologi 12 Remaja Dan Jurulatih Bola Sepak Thailand Yang Terperangkap Dalam Gua

Laluan gua yang sempit dan dibanjiri air serta dipenuhi lengkok berbahaya, dengan hampir tiada jarak penglihatan adalah cabaran terbesar pasukan penyelamat bagi mengeluarkan kesemua 13 mangsa.

Operasi mengepam air keluar dari gua Tham Luang Nang Non dilakukan selama 24 jam namun ia menemui kesukaran berikutan hujan lebat berterusan.

Faktor waktu yang semakin menekan membuatkan penyelamat terpaksa mengajar kesemua mangsa bagaimana bernafas dengan peralatan menyelam dalam usaha untuk keluar dari gua.

Bagaimanapun, pakar penyelam memberi amaran, misi itu amat berbahaya, kerana tiada seorang pun remaja berkenaan boleh berenang atau pernah menggunakan peralatan menyelam dan laluan sempit gua amat berbahaya walaupun buat penyelam berpengalaman.

Ini terutamanya, laluan sempit yang dinaiki air setinggi 750 meter, di mana penyelam gua berpengalaman mengambil masa sekitar tiga jam untuk mengemudinya.

DIJEMPUT KE FINAL PIALA DUNIA

Lawatan ke Moscow untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia Fifa 2018 sedang menanti 12 pemain remaja dan jurulatih ini, jika mereka berjaya keluar dengan selamat dan berada dalam keadaan sihat untuk melakukan perjalanan.

Jemputan itu disampaikan oleh Presiden Fifa, Gianni Infantino melalui surat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Jeneral Somyot Poonpanmoung.

Salinan surat itu disiarkan dalam Facebook FAT.

“Kami berharap, mereka dapat disatukan semula dengan keluarga masing-masing pada hari-hari yang akan datang dan tahap kesihatan mereka membolehkan mereka melakukan perjalanan, FIFA gembira untuk menjemput mereka sebagai tetamu kami untuk menyaksikan final Piala Dunia 2018 di Moscow,” demikian menurut Infantino dalam surat tersebut.

PENGUMPUL SARANG BURUNG BANTU MISI MENYELAMAT

Sekumpulan pengumpul sarang burung dari selatan Thailand menggunakan kepakaran memanjat mereka bagi mencari bukaan gua yang boleh dimasuki pasukan penyelamat untuk sampai kepada kesemua 13 mangsa yang terperangkap.

Mereka terdiri daripada lapan lelaki Muslim Thai berusia antara 20-an ke 50-an dari Pulau Libong di wilayah Trang, menjadikan sarang burung sebagai mata pencarian, kerja harian mereka termasuklah memanjat tebing curam dan meneroka gua.

"Seorang ahli kami menyaksikan misi menyelamat menerusi televisyen dan berfikir bagaimana kami dapat membantu?" kata ketua kumpulan terbabit, Abdulrawheep Khunraksa.

"Kami terfikir untuk menggunakan kemahiran kami bagi membantu operasi," katanya.

Dengan hanya berbekalkan tali, sarung tangan dan ilmu selok belok memanjat gunung, beberapa ahli kumpulan pengumpul sarang burung berkenaan memulakan pendakian curam bagi mencari jalan alternatif memasuki gua Tham Laung.

MENCARI LALUAN RAHSIA

Sementara itu, pasukan menyelamat juga sedang mencari jika terdapat cerobong atau lubang yang boleh dimasuki berbanding cuba membawa mangsa keluar menggunakan laluan air.

Walau bagaimanapun, pilihan paling selamat adalah mengeringkan air dalam gua bagi membolehkan mangsa merangkak sepanjang empat kilometer untuk keluar, namun, menurut pihak berkuasa, pilihan paling realistik adalah mengajar kanak-kanak itu menyelam berikutan ramalan hujan dan ribut yang bakal melanda.

Kesemua mangsa terpaksa berada lebih lama di dalam gua ketika pasukan penyelamat mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi mengeluarkan mereka dengan selamat, satu proses yang mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan.

PENYELAM MENINGGAL DUNIA KETIKA MENYELAMAT

Usaha menyelamat dan mengeluarkan 12 remaja lelaki bersama seorang jurulatih bola sepak di Thailand kini semakin mencabar selepas operasi itu dikejutkan dengan berita kematian seorang penyelam yang menyertai misi tersebut.

Bekas penyelam tentera laut berusia lingkungan 30-an, Saman Kunam dilaporkan meninggal dunia ketika dia dalam perjalanan keluar dari gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai selepas mangsa menghantar tangki oksigen pada jam 2 pagi (waktu tempatan).

Saman pengsan selepas menempatkan tangki oksigen tersebut.

Rakan penyelam lain cuba menyelamatkannya, namun gagal. Dia kemudiannya dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Secara keseluruhan, pasukan penyelam perlu menyelam kira-kira 12 jam dan setiap penyelam perlu membawa bekalan kira-kira tiga tangki oksigen untuk sampai ke lokasi mangsa.

EMPAT MANGSA BERJAYA DIKELUARKAN

Empat mangsa remaja yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, telah berjaya dikeluarkan pada Ahad dan disahkan oleh Narongsak Osottanakorn, bekas gabenor Chiang Rai yang juga merupakan ketua misi menyelamat operasi tersebut.

Menurut beliau, mangsa pertama yang dikeluarkan merupakan yang paling lemah antara 12 remaja yang terperangkap bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka sejak 23 Jun lalu.

Misi SAR juga terpaksa ditangguhkan kerana pasukan penyelamat memerlukan sekurang-kurangnya 10 jam untuk membuat persiapan bagi operasi seterusnya.
Sebelum ini, media melaporkan enam mangsa berjaya dikeluarkan tetapi Narongsak mengesahkan hanya empat yang selamat dibawa keluar setakat ini.

Terdahulu, dua mangsa pertama dilaporkan dikeluarkan sekitar jam 6 petang waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia).

Mangsa ketiga dilaporkan keluar dari gua tersebut pada jam 7.15 malam waktu tempatan manakala mangsa keempat dikeluarkan 30 minit kemudian.

'KAPAL SELAM MINI' SIAP DIUJI, SEDIA DIHANTAR

Kronologi 12 Remaja Dan Jurulatih Bola Sepak Thailand Yang Terperangkap Dalam Gua

Elon Musk berkongsi video ‘kapal selam mini’ yang dicadangkan pada Ahad bertujuan sebagai peranti dalam misi menyelamat mangsa yang terperangkap di gua Tham Luang.

Selepas empat mangsa berjaya dikeluarkan, Musk beberapa jam lalu berkongsi video ‘kapal selam’ kecil yang diuji di kolam renang dekat Los Angeles.

'Kapal selam' mini itu turut diuji untuk melalui kawasan yang sempit mengikut keperluannya dalam misi menyelamat mangsa di laluan mencabar di gua berkenaan.

Video berkenaan menunjukkan tiga individu berpakaian skuba sedang menguji ‘kapal selam’ berkenaan.

Tiub berkenaan mempunyai diameter sepanjang 31cm dengan berat ketika kering lebih kurang 40 kilogram, ia mudah untuk dibawa di kawasan separa berair dalam gua berkenaan, dengan rekaan yang tepat agar tidak menyebabkan laluan pada gua berkenaan tersumbat.

Elon Musk turut memberitahu 'kapal selam' mini berkenaan mengambil masa 17 jam untuk tiba di Thailand.

13 MANGSA GUA THAM LUANG BERJAYA DISELAMATKAN

Selepas detik mendebarkan selama 17 hari, kesemua lima mangsa terakhir yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang, sejak 23 Jun lalu berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.

Mangsa terakhir yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak itu dibawa keluar kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan.

Ini menjadikan sejumlah 12 pelajar dan seorang jurulatih berjaya diselamatkan sejak operasi bersepadu dilancarkan.

Kelima-lima mangsa itu dilihat dibawa keluar menaiki pengusung dari gua tersebut dan dihantar ke hospital wilayah berdekatan.

JEMPUTAN MANCHESTER UNITED

Sementara itu, pasukan bola sepak England, Kelab Bola Sepak Manchester United atau lebih dikenali di seluruh dunia sebagai "Red Devils" juga berasa lega kerana mangsa terakhir daripada pasukan bola sepak Mu Pa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua.

Pasukan itu dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter juga menyampaikan jemputan kepada 13 pemain remaja itu dan jurulatih mereka ke Stadium Old Trafford.

"Kami ingin menjemput pasukan dari Kelab Bola Sepak Ma Pu dan anggota penyelamat ke Old Trafford pada musim akan datang ini," kata pasukan itu.

Melalui jemputan itu, Manchester United menjadi organisasi bola sepak kedua selepas FIFA yang juga menjemput pasukan itu dan jurulatih mereka menyaksikan Final Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki di Moscow pada 15 Julai.

TERLEPAS KE PIALA DUNIA

Apabila ditanya sama ada mereka akan dibawa ke Rusia bagi menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia, remaja-remaja tersebut terlalu lemah untuk membuat perjalanan jauh dan hanya boleh menonton di kaca televisyen jika keadaan kesihatan mereka bertambah baik.

Tahniah!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Jangan Abaikan Hubungan Intim Demi Keharmonian Rumah Tangga

Jangan Abaikan Hubungan Intim Demi Keharmonian Rumah Tangga

Hubungan intim antara pasangan suami isteri bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, malah ia amat penting kerana mampu menjaga keharmonian, kerukunan serta kebahagiaan berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.

Jangan Abaikan Hubungan Intim Demi Keharmonian Rumah Tangga

Hubungan intim itu adalah sebahagian daripada naluri asas manusia yang boleh mencetuskan perasaan positif seperti kegembiraan, ketenteraman, rasa disayangi serta dihargai pasangan.

Bagi pasangan yang sudah berkahwin, hubungan kelamin mengeratkan lagi pertalian yang sudah terjalin sejak sekian lama, menambah rasa kasih dan memberi kesan positif kepada minda kerana memiliki teman rapat yang mampu berkongsi pelbagai kisah suka dan duka.

Minda yang positif amat penting kepada tubuh dalam usaha melawan sebarang penyakit termasuk kanser kerana sekiranya minda bersedia berhadapan apa saja, tubuh akan lebih kuat dan kembali sihat dalam masa yang lebih cepat.

Namun, ada ketikanya hubungan intim antara pasangan boleh terjejas akibat beberapa faktor kesihatan atau perasaan berkecamuk apabila berhadapan sesuatu penyakit yang serius.

Keadaan itu turut dialami wanita yang disahkan menghidap barah payudara.

Fikiran mereka terlalu dibelenggu oleh penyakit dihidapi hingga membuatkan ada antara mereka meletakkan kehendak hubungan intim ke tepi sedangkan ia adalah sebahagian daripada proses baik pulih pesakit.

Selain itu, perasaan malu terhadap perubahan yang dialami tubuh sepanjang menjalani rawatan seperti parut, berat turun mendadak dan kehila­ngan rambut, membuatkan sebahagian pesakit hilang keyakinan untuk bersama suami.

Mereka berasakan sudah hilang sifat kewanitaan dan rasa diri tidak cukup bagus untuk suami. Pada masa sama, rasa tidak selesa di bahagian rawatan menyebabkan ada yang enggan disentuh.

Ada juga pesakit yang mendengar nasihat atau percaya kepada kepercayaan tertentu yang tidak benar atau mempunyai sebarang asas, misalnya mereka bimbang hubungan intim akan menyebabkan bahagian parut tercedera lalu kanser terus merebak serta menyangka penyakit itu boleh berjangkit.

Hubungan intim juga boleh terjejas apabila ada suami yang terlalu sayangkan isteri mereka hingga sanggup mengetepikan keinginan untuk bersama kerana bimbang akan mencederakan atau membebankan pasangan membuatkan kedua-duanya sanggup melupakan sementara hubungan intim.

Rawatan kanser bermula daripada diagnosis hingga pembedahan, kemoterapi dan radiasi yang boleh mengambil masa lama iaitu antara enam bulan hingga setahun, malah pengambilan ubat boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Sedangkan hubungan kelamin antara suami isteri amat penting kerana ia mengukuhkan ikatan dan menunjukkan rasa sayang serta penghargaan, secara tidak langsung mewujudkan suasana positif dan meningkatkan keyakinan diri isteri untuk melawan kanser.

Berfikiran positif serta persediaan mental dari awal terutama sokongan kuat pasangan amat penting untuk melawan kanser.

Jika minda lebih bersedia, tubuh boleh berhadapan apa saja dan lebih cepat kuat dan sihat kembali.

Masalah hubungan intim selalu tidak diberi perhatian kerana sukar dibangkitkan, sama ada disebabkan rasa malu bertanya atau tidak tahu hendak bertanya kepada individu tertentu, rasa sensitif, menganggap ia perkara peribadi atau remeh.

Antara kebimbangan pesakit yang menyebabkan mereka tidak mahu melakukan hubungan intim apabila mereka takut mendapat jangkitan, takut sakit atau bimbang ubat kemoterapi akan ­berpindah kepada pasangannya.

Biarpun pasangan digalakkan tidak mengetepikan hubungan intim, pesakit dinasihatkan tidak mengandung sepanjang rawatan atau enam bulan selepas rawatan kemoterapi tamat bagi mengelak masalah pada bayi.

Bagi pesakit, persediaan mental dari awal selepas disahkan menghidap kanser amat penting dan mereka perlu faham tubuh akan mengalami beberapa perubahan ketara, bukan saja secara fizikal, tetapi mental.

Perubahan paling ketara adalah pada bahagian payudara kerana kesan parut atau tiada payudara selepas menjalani prosedur mastektomi yang secara tidak langsung mengundang perasaan rendah diri mengenai penampilan atau malu jika pasangan melihat tubuhnya.

Perasaan kurang menarik dan terjejasnya keyakinan boleh menyebab­kan dorongan keinginan kurang dalam diri untuk melakukan hubungan bersama pasangan.

Rangsangan pada payudara baru selepas prosedur rekonstruktif berkurang kerana saraf terpotong dan tidak sama seperti dulu selain berasa sedikit kebas.

Selepas pembedahan, ia akan bengkak sedikit, tetapi tidak sakit apabila sembuh, jadi tiada halangan untuk disentuh walaupun ia berparut.

Ketika rawatan radiasi, bahagian payudara menjadi kemerahan, melecet atau mengelupas, tetapi ia hanya bersifat sementara.

Bahagian bahu dan lengan pada sebelah payudara yang terjejas juga menjadi lemah, sakit atau bengkak sedikit.

Oleh itu, ia memerlukan sokongan misalnya penggunaan bantal atau mengalih posisi tangan supaya pesakit berasa lebih selesa ketika hubungan intim.

Rawatan kanser payudara tidak membabitkan perubahan rangsangan kelamin secara langsung untuk wanita menikmati hubungan intim bagaimanapun, kesan ubat-ubatan yang diambil boleh menyebabkan hormon terganggu dan kekeringan pada bahagian faraj yang boleh dibantu dengan penggunaan bahan pelincir dan dilakukan secara perlahan-lahan.

Sokongan suami amat penting dan kesabaran mereka amat dihargai kerana pasangan akan menjadi lesu selain sering rasa mual.

Amat penting untuk pesakit memahami penyakit yang dialaminya bukan salah diri sendiri sebaliknya adalah takdir.

Kanser payudara antara barah paling lazim berlaku di dunia, jadi wanita tidak perlu malu atau rasa bersalah dengan penyakit yang dihadapi.

Bagi pesakit yang mempunyai pelbagai persoalan termasuk masalah hubungan intim, mereka digalakkan berbincang dengan doktor ataupun mendapat­kan sokongan daripada bekas pesakit yang berjaya melawan kanser payudara.

Pasangan juga digalakkan memberi sokongan padu termasuk mengikuti sesi perundingan diadakan doktor bagi mendengar dan memahami penyakit itu sekali gus membantu pasangan menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dialami.

Perubahan hormon ketika rawatan sememangnya memberi impak dan menjejaskan keinginan seksual tetapi ia bersifat sementara, malah ada pasangan yang merasakan hubungan intim mereka lebih bermakna.

Menurut statistik yang dikeluarkan buku laporan Pendaftaran Kanser Negara 2012, dalam kajian selama tiga tahun antara 2003 hingga 2005, seorang daripada 19 wanita di Semenanjung Malaysia didapati mendapat kanser payudara.

Sebanyak 4,000 kes kanser payudara dikesan setiap tahun di negara ini, menjadikan pemeriksaan rutin sama ada melalui kaedah mamogram atau pemeriksaan sendiri untuk pengesanan awal amat penting dalam usaha merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

Pemberian susu ibu, sekurang-kurangnya selama enam bulan boleh mengurangkan risiko kanser berulang dan kadar kematian disebabkan kanser payu dara.

Hasil kajian yang diterbitkan di dalam Jurnal Institut Kanser Kebangsaan mendapati, dalam kalangan wanita yang mendapat kanser payu dara dan pernah menyusukan anaknya, pakar penyelidik mendapati risiko kanser berulang berkurang sebanyak 30 peratus malah kadar kematian juga berkurang seba­nyak 28 peratus.

Teknologi rawatan dan ubatan yang semakin canggih juga membantu merawat kanser dengan berjaya, namun kesedaran wanita untuk membuat pemeriksaan rutin dan mendapatkan rawatan pada peringkat awal amat penting.

Waktu terbaik untuk membuat pemeriksaan sendiri bagi mengesan sebarang keadaan tidak normal pada payu dara adalah satu minggu selepas kedatangan haid kerana ketika itu payu dara berada dalam keadaan paling lembut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Mansa Musa Raja Paling Kaya Dalam Sejarah

Mansa Musa Raja Paling Kaya Dalam Sejarah

Dalam dunia fiksyen Marvel Universe, kita semua tahu T’Challa atau Black Panther bukan saja merupakan pemerintah Wakanda, sebuah negara fiksyen Afrika, tetapi baginda juga dikenali sebagai superhero paling kaya di dunia kerana sumber asli vibranium, meletakkannya setaraf dengan Tony Stark/Iron Man (Marvel) dan Bruce Wayne/Batman (DC).

Mansa Musa Raja Paling Kaya Dalam Sejarah

Tetapi tahukah anda ada satu versi sebenar Black Panther di luar sana iaitu Maharaja Musa I dari Empayar Mali atau Mansa Musa yang memerintah antara 1312 hingga 1332/1337 Masihi.

Mengikut adat masyarakat ketika itu, seorang maharaja perlu melantik seorang pemangku raja sekiranya baginda hendak menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengadakan pelbagai ekspedisi yang memerlukannya pergi untuk satu tempoh masa tertentu.

Sekiranya sang raja tidak pulang dari urusannya, maka pemangku raja itu dipilih menaiki takhta.

Dalam kes Mansa Musa, maharaja sebelumnya Abubakari Keita II memulakan usaha mencari penghujung Lautan Atlantik.

Sebelum baginda keluar meninggalkan empayarnya, Musa I dilantik sebagai pemangku raja tetapi selepas beberapa tahun, tiada lagi kedengaran berita berkenaan Maharaja Abubakari Keita II.

Sebelum menaiki takhta pada tahun 1312, Musa I mengirim 2,000 kapal untuk mencari maharaja berkenaan.

Selepas semua kapal tidak kembali dari pencarian, ramai sebulat suara bersetuju mengangkat Musa I sebagai Maharaja Mali yang baru.

Semasa Mansa Musa mengambil alih pemerintahan, kebanyakan negara Eropah masih lagi bergelut dengan masalah penyakit, kebuluran dan perang saudara sesama monarki di benua berkenaan.

Tatkala itu, Empayar Mali berkembang luas, terima kasih kepada sumber asli yang baik seperti emas dan garam.

Pada era baginda, Empayar Mali mempunyai keluasan 2,000 kilometer per segi dan menguasai sebahagian besar wilayah Afrika seperti Mauritania, Mali, Senegal, Gambia, Chad dan Burkina Faso.

Dan dengan pertambahan wilayah ini, begitu juga wujud pertambahan pada kedudukan ekonomi rakyatnya.

Bagaimanapun, kemakmuran empayar ini tidak diketahui seluruh dunia ketika itu termasuk dunia Islam.

Jika ada pun, ia hanyalah khabar yang bersifat khabar angin dan tidak diketahui sejauh mana kekayaan yang dimiliki Empayar Mali.

Walaupun dikenali sebagai seorang pemerintah yang adil, Mansa Musa juga merupakan seorang yang warak.

Maka pada tahun 1324 Masihi, baginda memulakan perjalanan menunaikan haji di Makkah.

Bagaimanapun, Musa tidak mengembara keseorangan kerana baginda diiringi rombongan mengandungi puluhan ribu tentera, hamba dan bentara dengan memakai kain sutera Parsi dan membawa tongkat-tongkat emas.

Walaupun rekod berkenaan bilangan mereka tiada tetapi konvoi yang mengiringi baginda bergerak bersama kuda-kuda dan unta-unta yang membawa emas yang banyak.

Kehadiran rombongan ini menarik perhatian sesiapa saja yang melihat dan ada satu peristiwa yang akan memberi impak besar kepada Mesir lebih dari satu dekad.

Semasa berada di Mesir, Mansa Musa disambut oleh orang bawahan Sultan Mamluk, An-Nasir Muhammad yang merupakan pemerintah kesembilan dari dinasti berkenaan.

Dalam pertemuan itu, utusan itu menjemput baginda bertemu dengan Sultan An-Nasir tetapi ditolak Mansa Musa atas alasan baginda hanya singgah sebentar dalam perjalanan ke Baitullah.

Bagaimanapun, selepas dipujuk berulang-kali, baginda bersetuju mengadakan pertemuan dengan Sultan Mamluk berkenaan.

Apabila dua pemerintah ini bertemu, ia bermula dengan tegang apabila Musa enggan mencium kaki Sultan An-Nasir tetapi menjadi tenang apabila baginda memberi salam hormat kepada pemerintah Mesir itu.

Usai pertemuan, Sultan An-Nasir menawarkan penginapan sementara kepada Musa dan rombongannya dengan Maharaja Mali itu meninggalkan impak tersendiri di bumi Mesir.

Semasa baginda di Mesir, kemurahan hati Mansa Musa dan pembelian barang-barang asing menyebabkan jalan-jalan Kaherah dipenuhi dengan emas, satu sumber yang amat dihargai tetapi pada masa sama punyai bekalan yang terhad.

Tetapi kemurahan hati baginda itu telah menyebabkan harga emas jatuh dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi Mesir selama 12 tahun.

Kisah sama juga terjadi di tempat lain termasuk di Makkah dan Madinah dan untuk mengelakkan harga emas dari terus merosot, dalam perjalanan pulang ke Timbuktu, ibu negara Empayar Mali, Mansa Musa meminjam semua emas yang boleh dibawa dari semua peminjam wang di Mesir.

Tindakan baginda bukan saja berjaya menstabilkan semula harga komoditi itu tetapi menempa satu lagi sejarah sebagai satu-satunya individu yang dapat mengawal harga emas di Mediterranean secara langsung.

Namun baginda tidak hanya meninggalkan emas dalam perjalanan pergi dan balik dari Baitullah, Mansa Musa turut mendirikan ratusan masjid, sesetengah daripadanya terus berfungsi sehingga ke hari ini di Dukurey, Bako dan Wanko.

Satu wilayah yang sentiasa menjadi tumpuan Mansa Musa ialah wilayah Gao.

Wilayah ini yang kita kenali sebagai Mali hari ini menyaksikan Musa membina beberapa masjid sekembalinya baginda dari mengerjakan haji.

Selain Gao, Timbuktu turut menjadi tumpuan di mana pelbagai infrastruktur seperti sekolah, universiti, masjid dan perpustakaan.

Di sini juga terdirinya sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata lumpur iaitu Masjid Djinguereber.

Masjid yang dibina 500 tahun lepas terus berfungsi sehingga ke hari ini dan menjadi sebahagian dari empat madrasah yang membentuk Universiti Timbuktu.

Salah satu daripada madrasah berkenaan iaitu Universiti Sankore atau Madrasah Sankore ditukar peranan sebagai universiti penuh semasa akhir pemerintahan Mansa Musa.

Universiti berkenaan mempunyai koleksi buku terbesar di Afrika selepas Perpustakaan Agung Alexandria dengan mengandungi sejuta manuskrip dan mampu menempatkan 25,000 pelajar.

Kisah kekayaan dan pengaruh Mansa Musa terus tersebar walaupun selepas baginda mangkat antara 1332 atau 1337 Masihi.

Mansa Musa Raja Paling Kaya Dalam Sejarah
Atlas Mansa Musa.

Pada akhir abad ke-14, ahli kartografi Sepanyol bernama Abraham Cresques melukis satu atlas sebagai panduan kepada jurupandu pada Zaman Pertengahan Eropah.

Untuk menggambarkan kedudukan Timbuktu dan Empayar Mali, Cresques melukis imej Mansa Musa duduk di atas takhta sambil memegang cogan alam dan memakai mahkota diperbuat daripada emas.

Pada tangan kanannya, baginda memegang seketul emas.

Kisah Mansa Musa ini dilihat menjadi inspirasi kepada kisah Black Panther dan berkenaan soal kekayaannya, ianya sukar untuk digambarkan.

Bagi Profesor Madya Rudolph Ware dari Universiti Michigan, beliau berpandangan, “Bayangkan sebanyak emas yang kita boleh ambil dan miliki serta digandakan, itulah nilai sebenar kekayaan yang cuba digambarkan. Baginda merupakan orang paling kaya bagi sesiapa yang pernah melihatnya.”

Sebagai penutup, lihat sendiri kedudukan kekayaan Mansa Musa selepas inflasi:

1. Mansa Musa – $400 bilion

2. Keluarga Rothschild – $350 bilion

3. John D. Rockefeller – $340 bilion

4. Muammar Gaddafi – $200 bilion

5. Bill Gates – $136 bilion

6. Carlos Slim – $68 bilion

Tiada siapa yang kita kenali sebagai orang kaya yang dapat menyaingi nilai sebenar harta yang dimiliki Maharaja Mali itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, July 08, 2018

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Muzium sering disalah tafsir sebagai tempat penyimpanan barang lama malah lebih teruk apabila ia dikaitkan sebagai stor artifak berunsur berhala serta pemujaan manusia zaman dahulu kala.

Namun, pada zaman moden ini, perlu bagi muzium untuk mentakrifkan semula matlamat, fungsi, serta strategi mereka supaya tidak ketinggalan dek arus semasa.

Bagaimanapun, di sebalik perubahan pantas arus masa itu, terdapat juga pelbagai muzium yang memaparkan barangan aneh dan pelik sehingga popular dikunjungi.

Berikut 5 buah muzium di dunia yang berjaya menyimpan koleksi barangan unik sehingga kita sendiri tidak menjangka dan mungkin tidak tercapai akal waras.

1. Muzium Kematian Bangkok, Thailand

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Bagi penggemar sesuatu yang luar biasa, Muzium Perubatan Siriraj Bangkok, Thailand mungkin salah satu lokasi yang wajib dikunjungi paling kurang sekali seumur hidup.

Ini kerana, muzium yang lebih dikenali sebagai ‘Muzium Kematian’ ini menawarkan pameran tengkorak, mayat manusia dan organ sebenar yang telah diawet.

Muzium yang kurang dikenali ini terletak di tebing sungai Chao Phraya dan berada dalam bangunan Hospital Siriraj.

Difahamkan pada awal pembinaannya, hospital ini hanyalah berfungsi sebagai pusat rawatan dan penyelidikan.

Namun sekitar tahun 1972, salah satu bahagian hospital itu diubah menjadi ruang pameran perubatan buat tontonan umum.

Koleksi barang-barang yang terdapat di dalam muzium ini boleh dikatakan agak mengerikan kerana ia menempatkan keratan tubuh serta organ manusia dan termasuk mayat pembunuh.

2. Muzium Tandas, India

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Jauh di pedalaman pinggir bandar raya New Delhi, terdapat sebuah bangunan konkrit rendah berupa bangunan kecil dengan satu bilik yang panjang.

Bangunan itu dikenali sebagai Sulabh International Museum of Toilets menjadi muzium tandas pertama yang ada di dunia dan kewujudannya adalah untuk mendidik serta menggalakkan tabiat menjaga kebersihan.

Terdapat pelbagai replika dan bentuk tandas di pamerkan di dalam bangunan itu dari zaman kuno sehinggalah era moden serta contoh-contoh lawak jenaka dan sejarah yang berkaitan dengan tandas boleh didapati di muzium itu.

Koleksi sejarah tandas, dari zaman purba hingga moden disimpan di dalam muzium. Pelik kan?

3. Muzium Putus Cinta Zagreb, Croatia

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Muzium putus cinta atau lebih dikenali sebagai ‘Museum of Broken Relationships ‘ terletak di Zagreb, Crotia. Pelbagai kisah mengenai putus cinta dan ditinggalkan kekasih banyak tersimpan di dalam muzium ini.

Memetik sumber, lokasinya kini kekal di bangunan Barok Kulmer yang indah, betul-betul di Upper Town iaitu tempat bersejarah Zagreb yang menjadi tumpuan para pelancong.

Di dalam Muzium Putus Cinta ini, tersimpan lebih 800 koleksi peribadi dengan setiap satu daripadanya disertakan dengan catatan ringkas tentang cerita di sebalik, tarikh dan lokasi.

Koleksi yang terdapat di dalam muzium ini merupakan sumbangan daripada individu yang patah hati.

Barang kenangan saat manis bercinta disumbangkan oleh individu yang kecewa dari seluruh negara.

4. Muzium seni hodoh, Amerika Syarikat

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Muzium seni hodoh atau juga dikenali sebagai Museum Bad of Art (MOBA) ini khas bagi menghargai individu yang tidak memiliki bakat seni.

Ia terletak di Boston dan menempatkan lebih daripada 600 karya seni.

5. Muzium Rambut Avanos, Turki

5 Muzium Paling Pelik Di Dunia

Muzium ini terletak di Avanos, Cappadocia Turki bermula pada tahun 1979 dan pengasasnya ialah Chez Galip.

Memetik sumber, pada awalnya tempat ini merupakan sebuah kilang tembikar yang telah berusia 30 tahun.

Ia dibina daripada lumpur bermutu tinggi dari Sungai Merah.

Sumber berkata lagi, muzium ini bermula apabila Galip ditinggalkan oleh rakan-rakannya terutama sekali kekasihnya lalu menyebabkan dia kesunyian.

Malah difahamkan, muzium berkenaan telah menyimpan sejumlah 16,000 potongan rambut wanita yang pernah berkunjung ke situ dan setiap rambut tersebut disertakan nama, umur, alamat, hajat serta tarikh rambut diserahkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub