Tuesday, July 10, 2018

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA


Trofi Piala Dunia FIFA yang sangat ikonik itu sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia dan hampir semua orang mengenalinya namun, disebalik kehebatan trofi ini, terdapat sejarah tersurat tentang bagaimana ia boleh tercipta dan berdiri gah sehingga ke hari ini.

Trofi Piala Dunia FIFA

Jom kami kongsikan sejarah bagaimana trofi Piala Dunia yang anda lihat pada hari ini dicipta.

Kisah Dewi Emas

Piala Jules Rimet yang sebelum itu diberikan nama "Victory", dihadiahkan kepada pemenang Piala Dunia sehingga tahun 1970.

Presiden FIFA ketiga iaitu Jules Rimet meluluskan undi untuk memulakan kejohanan bola sepak global buat kali pertama pada tahun 1929.

Setahun kemudian, beliau menganugerahkan piala tersebut kepada pasukan Uruguay yang memenangi Piala Dunia yang pertama dalam sejarah.

Piala itu kemudiannya dinamakan semula sebagai penghormatan kepada jasa Jules Rimet selepas Perang Dunia Kedua.

Direka oleh pengukir Perancis, Abel Lafleur, piala tersebut menggambarkan dewi Yunani purba yang sedang menjulang cawan berbentuk decagonal.

Patung idaman itu adalah seberat 3.8 kilogram dan diperbuat daripada perak sterling bersalut emas di atas dasar lapis lazuli.

Trofi ini diberikan nama jolokan "Dewi Emas" dan pada plak emas yang dilekatkan kepada empat bahagian pada tapak trofi ini, setiap nama negara yang pernah memenangi Piala Dunia dari tahun 1930 hingga 1970 diukir, iaitu Uruguay, Itali, Jerman, England dan Brazil.

Selepas memenangi Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970 di Mexico, Brazil mendapat hak untuk menyimpan piala tersebut selama-lamanya, menurut peraturan FIFA ketika itu.

Tiga kecurian dan seekor anjing

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA
Piala Jules Rimet.

Pada tahun 1930, Piala Jules Rimet memulakan pelayaran sulungnya ke Uruguay di atas kapal transatlantik iaitu Conte Verde.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, piala ini disimpan oleh Itali yang memenangi Piala Dunia 1938.

Itali yang pada ketika itu sangat tidak selamat untuk menyimpan trofi berharga di tengah-tengah kekacauan yang melanda, membuatkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Ottorino Barassi memutuskan untuk menyembunyikannya dengan cara yang kelihatan seperti kecurian.

Beliau secara diam-diam mengeluarkan trofi itu dari peti besi bank dan menyembunyikannya di dalam sebuah kotak kasut di bawah katilnya, dengan harapan bahawa Nazi tidak akan menemuinya di situ.

Trofi tersebut selamat dan pada tahun 1950, ia dianugerahkan kepada Uruguay, yang memenangi kejohanan Piala Dunia selepas perang, sekali lagi.

Pada 20 Mac 1966, 4 bulan sebelum Piala Dunia 1966 berlangsung di England, Piala Jules Rimet telah dicuri ketika dipamerkan di Westminster Centrall Hall, walaupun dengan kawalan keselamatan 24 jam, yang menyebabkan kegemparan hebat.

Seluruh pasukan polis London dikerah untuk mencari pencuri trofi ini yang menuntut wang tebusan sebanyak £15,000.

Mereka dengan tergesa-gesa menghasilkan replika trofi ini bagi menggantikan yang asal, sekiranya ia tidak dapat ditemui semula sebelum kejohanan bermula.

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Namun, seekor anjing bernama Pickles telah menyelamatkan keadaan untuk England apabila berjaya menemui piala tersebut yang dibalut dengan suratkhabar ketika bersiar-siar bersama tuannya, David Corbett.

David yang merupakan peminat bola sepak tahu apa yang berada dalam bungkusan surat khabar itu dan menyerahkan trofi tersebut kepada pihak berkuasa.

Terdapat khabar angin bahawa David Corbett dijemput ke majlis makan malam sebagai tanda penghormatan ketika England memenangi Piala Dunia pada tahun tersebut dan dihadiahkan £6,000, manakala anjingnya diberikan bekalan makanan seumur hidup.

Trofi replika yang dihasilkan atas alasan keselamatan itu dijual pada lelongan kepada FIFA dengan harga £254,500 pada tahun 1997.

Piala Jules Rimet kemudiannya berpindah ke Brazil pada tahun 1970, namun itu bukanlah pengakhiran bagi kontroversi yang dialaminya.

Berita bahawa trofi Dewi Emas itu hilang sekali lagi telah menggemparkan dunia pada Disember 1983.

Beberapa orang telah mencuri trofi tersebut dari kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil di Rio, dengan membuka pintu belakang kabinet menggunakan rod besi.

4 lelaki tersebut didakwa dan disabitkan kesalahan atas kesalahan mencuri dan trofi itu gagal ditemui.

Jadi, mengikut jejak langkah England, Brazil terpaksa menghasilkan replika Piala Jules Rimet dan tiada siapa tahu apa yang berlaku kepada trofi asli tersebut.

Ramai yang percaya bahawa sama ada ia dicairkan dan dijual, atau menjadi koleksi peribadi seseorang.

Sejarah trofi Piala Dunia yang baharu

Trofi Piala Dunia FIFA Baru

Selepas meyerahkan Piala Jules Rimet kepada Brazil, FIFA terpaksa mengarahkan penggantian trofi untuk Piala Dunia 1974.

53 penyertaan diterima bagi tender reka bentuk piala yang baru, yang diumumkan pada tahun 1971 daripada pengukir di 7 buah negara.

Silvio Gazzaniga, pengukir dari Itali, yang dinobatkan sebagai pemenang mereka bentuk piala yang baru, telah menghantar dua reka bentuk yang mana dimenangi oleh rekabentuk pertama.

"Untuk menghasilkan simbol universal, saya mendapat ilham daripada dua imej asas, iaitu atlet yang berjaya dan dunia.

"Saya ingin mencerminkan kegembiraan pemain bola sepak yang memenangi kejuaraan, seorang lelaki yang berubah disebabkan kemenangannya, tetapi tanpa ego manusia yang tinggi.

"Wira sukan ini yang memeluk dunia dengan tangannya, mencerminkan kekuatan yang diperlukan untuk melakukan pengorbanan setiap hari dengan ahli pasukannya dan ciri-ciri sejagat sukan seperti komitmen dan kebebasan," jelas Silvio Gazzaniga.

Khabar angin mengatakan bahawa Silvio tinggal di studionya selama seminggu untuk menghasilkan trofi tersebut.

Beliau sendiri kemudiannya mengakui bahawa sebenarnya sebahagian besar daripada kerja itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun, trofi tersebut diperbuat daripada emas pepejal, butiran lebih halus yang dihasilkan membuktikan ianya adalah satu cabaran besar dan terpaksa ditambah selepas pembentangan pertama trofi ini.

Trofi emas seberat 5 kilogram

Trofi Piala Dunia FIFA Gold

Tidak seperti trofi sebelumnya, trofi baru ini diperbuat daripada 5 kilogram emas 18 karat.

Trofi ini berukuran 36.8 sentimeter tinggi dan seberat 6.142 kilogram. Tapaknya berdiameter 13 sentimeter dengan dua lapisan malachite, sepadan dengan warna padang bola sepak.

Trofi ini menggambarkan dua tokoh manusia yang sedang menjunjung Bumi.

"Kedua-dua pemain yang mengangkat tangan mereka melambangkan pasukan pada saat kegembiraan dan keghairahan kemenangan.

"Sfera di bahagian atas dibentuk bagi menggambarkan imej benua-benua. Ini juga melambangkan bola sepak dan dunia, manakala garis-garis di antara dua pemain ini menggambarkan tenaga dalam sukan bola sepak," jelas Silvio.

Bahagian tapak trofi Piala Dunia diperbuat daripada dua cincin malachite hijau, dipisahkan oleh cincin emas yang tertulis nama kejohanan "FIFA World Cup".

Ia dilengkapi dengan plat emas yang mana diukir atasnya nama negara pemenang dalam bahasa tempatan, sebagai contoh "1974 Deutschland" atau "1994 Brazil".

Nama tersebut disusun dalam bentuk bulatan, meninggalkan ruang untuk pemenang seterusnya.

Di mana trofi ini disimpan?

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Sebelum tahun 2006, trofi ini akan diserahkan kepada negara yang menjadi juara, yang akan disimpan sehinggalah cabutan akhir Piala Dunia yang akan datang namun, ia tidak lagi dilakukan sedemikian.

Menurut peraturan semasa FIFA, pemenang kejohanan akan menerima trofi replika tembaga bersalut emas dan trofi sebenar akan dipamerkan di Muzium Bola Sepak Dunia FIFA di Zurich, Switzerland sejak tahun 2006.

Ia hanya dibawa keluar dan dipamerkan ketika Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca-Cola di Cabutan Akhir bagi kejohanan tersebut dan juga di atas padang, serta di atas pentas ketika perlawanan akhir kejohanan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon