Monday, July 09, 2018

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Pernahkah anda terfikir, dalam penganjuran sesebuah kejohanan sukan besar seperti Piala Dunia FIFA, siapakah yang mendapat keuntungan kewangan? Adakah negara penganjur? Adakah FIFA? Adakah penaja dan lain-lain?

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Fédération Internationale de Football Association (FIFA) atau International Federation of Association Football adalah sebuah badan pentadbir bebas bola sepak, yang kerap kali memainkan peranan dalam penganjuran kejohanan antarabangsa sukan itu.

Persatuan tersebut telah ditubuhkan pada awal 1900an bertujuan untuk mengawasi dan menyelia kejohanan sukan bola sepak, yang semakin lama semakin mendapat tempat di hati masyarakat dunia.

Beribu pejabat di Zurich, FIFA telah dibentuk secara sah sebagai persatuan yang tidak berkeuntungan (non-profit), walaupun secara realitinya kejohanan anjurannya bukan sahaja membawa populariti, malah keuntungan berjuta-juta dolar Amerika setiap tahun.

Berapa Kos Yang Ditanggung oleh Negara Penganjur?

Bagi negara yang memenangi bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia FIFA, mereka secara automatik layak menyertai kejohanan akhir kejohanan tersebut, namun ianya hadir dengan harga yang sangat tinggi kepada ekonomi negara terbabit.

Secara asasnya, negara-negara yang ingin menganjurkan kejohanan tersebut perlu membida kepada FIFA berapa jumlah pengecualian cukai yang sanggup mereka berikan kepada persatuan tersebut.

Jerman telah menawarkan pengecualian cukai sebanyak $USD272 juta kepada FIFA untuk memenangi bida Piala Dunia 2006, manakala Afrika Selatan dan Brazil pula pada jumlah yang tidak didedahkan masing-masing untuk penganjuran Piala Dunia FIFA 2010 dan 2014.

Perjanjian bidaan tersebut akan menjadikan semua lokasi permainan Piala Dunia FIFA sebagai zon bebas cukai, dengan rakan kongsi korporat FIFA turut dikecualikan daripada cukai pendapatan dan jualan.

Pengecualian cukai bermakna sesebuah negara penganjur akan kehilangan sebahagian daripada pendapatannya.

Bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2014, Brazil dianggarkan telah membelanjakan sebanyak $USD15 bilion untuk membina stadium dan sistem pengangkutan baharu, di samping beberapa infrastruktur yang lain.

Antara stadium paling mahal yang dibina semata-mata untuk kejohanan tersebut adalah Mane Garrincha Stadium, yang menelan belanja sebanyak $USD550 juta.

Namun, stadium ini hanya beberapa kali sahaja digunakan selepas tamatnya kejohanan Piala Dunia dan kini ianya dijadikan sebagai tapak letak kenderaan terutamanya bas.

Bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2018, Rusia mungkin tidak akan membelanjakan $USD51 bilion seperti yang dilakukannya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi, namun kos penganjuran Piala Dunia dikatakan akan meningkat sebanyak sekitar $USD12 bilion.

Beberapa pegawai rasmi kerajaan Rusia mendakwa penganjuran Piala Dunia FIFA 2018 akan menambah kos antara $USD26 bilion hingga $USD31 bilion kepada ekonomi negara tersebut.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri Rusia, Arkady Dvorkovich, persediaan untuk kejohanan itu sahaja telah menelan belanja sebanyak $USD14 bilion kepada KDNK negara, bersamaan dengan 220,000 jumlah pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Kerajaan Rusia tidak menyatakan bagaimana penganjuran kejohanan tersebut dapat memberi manfaat kepada ekonomi negara, menyebabkan ianya menjadi topik pertikaian utama dalam kalangan pengkritik.

Adakah Industri Pelancongan Semakin Rancak Dengan Penganjuran Kejohanan Seperti Piala Dunia FIFA?

Kejohanan sukan terutama bola sepak sudah pasti akan menarik ramai peminat untuk mengunjungi negara penganjur bagi menyaksikan permainan pasukan kegemaran mereka.

Namun, kehadiran pelancong yang ramai secara serentak sebenarnya memberi kesan yang negatif kepada pergerakan trafik.

Akibatnya, ramai pelancong akhirnya 'hilang mood' untuk mengunjungi tarikan utama sesuatu destinasi.

Sama ada kejohanan sukan meningkatkan kehadiran pengunjung luar atau tidak, buktinya setakat ini menunjukkan sebaliknya.

Dalam kedua-dua Sukan Olimpik di Beijing dan London masing-masing pada tahun 2008 dan 2012, statistik menunjukkan kunjungan luar semakin berkurangan ketika acara ini berlangsung.

Contohnya, ketika Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, muzium terkenal UK iaitu British Museum menyaksikan penurunan pengunjung sebanyak 22 peratus ketika acara itu berlangsung.

Siapa Sebenarnya Yang Untung Dari Segi Kewangan?

Terdapat beberapa aliran pendapatan yang wujud untuk para penganjur, termasuklah melalui penjualan tiket, jualan barangan, penajaan dan perjanjian berlesen, namun aliran pendapatan paling besar adalah hasil daripada hak penyiaran televisyen.

Badan penganjur FIFA mengambil sebahagian besar keuntungan daripada pendapatan tersebut, berbanding negara penganjur itu sendiri, walaupun FIFA tidak langsung menyumbang wang untuk menampung kos penganjuran.

Pada Piala Dunia FIFA 2014, FIFA memperolehi pendapatan sebanyak $USD4.8 bilion, di mana $USD2.43 bilion hasil hak penyiaran, manakala penajaan dan penjualan tiket masing-masing menyumbang sebanyak $USD1.6 bilion dan $USD527 juta.

Daripada jumlah tersebut, FIFA memperolehi keuntungan bersih sebanyak $USD2.6 bilion.

Pada Piala Dunia FIFA 2018, pendapatan buat FIFA dianggarkan meningkat kepada $USD6 bilion, 25% lebih tinggi berbanding daripada penganjuran pada tahun 2014.

Dengan sebanyak 3.2 bilion tontonan dianggarkan untuk kejohanan tersebut, pendapatan daripada hak penyiaran dianggarkan akan meningkat kepada $USD3 bilion.

Kesimpulan

Piala Dunia FIFA: Pihak Mana Sebenarnya Yang Mengaut Keuntungan Lumayan?

Sama ada negara penganjur memperolehi keuntungan kewangan daripada kejohanan tersebut atau tidak, ianya tidak dapat dipastikan secara jelas kerana memerlukan perbandingan statistik secara menyeluruh.

Namun yang pasti, FIFA mendapat keuntungan kewangan yang sangat besar.

Sesetengah negara penganjur tidak terlalu memfokuskan kepada kos penganjuran, sama ada mereka untung secara kewangan dan ekonomi atau tidak.

Sebaliknya, mereka menggunakan kejohanan seperti Piala Dunia FIFA atau Olimpik untuk memberi signal kepada dunia bahawa mereka mampu menganjur kejohanan besar dunia dan membuktikan bahawa infrastruktur mereka setanding negara-negara maju lain.

Apapun alasannya, keuntungan bukan semata-semata dari segi kewangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon