Wednesday, July 04, 2018

VAR Ragut Keaslian Piala Dunia 2018


Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mula memperkenalkan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) buat pertama kali pada kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

VAR Ragut Keaslian Piala Dunia 2018

Bagaimanapun, penggunaan VAR pada Piala Dunia kali ini telah menimbulkan banyak persoalan dan pertikaian yang tidak berkesudahan ekoran beberapa keputusan kontroversi berlaku pada perlawanan peringkat kumpulan lagi.

Apa tidaknya, teknologi tersebut telah menyumbang sejumlah 24 penalti setakat ini, sekali gus memecahkan rekod penalti paling tinggi sejak 28 tahun lalu.

Berbeza dengan kejohanan Piala Dunia 1990 di Itali, 1998 (Perancis) dan 2002 (Jepun dan Korea) yang menyaksikan hanya 18 penalti direkodkan, manakala Piala Dunia 2014 di Brazil mencatatkan 13 penalti.

Justeru, ramai pemain bola sepak, pengurus, jurulatih serta peminat mula mempersoalkan penggunaan teknologi tersebut termasuk hujah bahawa pengadil dan beberapa pembantu pengadil (pasukan VAR berpusat) masih melakukan kesilapan berdasarkan keputusan VAR.

Jadi, bagaimana keputusan akan menjadi jelas?

Setakat ini, sejumlah 10 daripada 24 penalti yang diberikan adalah menerusi keputusan semakan VAR.

Sebenarnya, teknologi VAR akan menjadi rujukan apabila berlaku tiga insiden utama iaitu gol, pemberian penalti dan layangan kad merah selain melibatkan kes mengenal pasti pemain jika berlaku kesilapan identiti.

Pertamanya, bila berlaku sesuatu insiden di atas padang, pengadil akan memaklumkan kepada pasukan VAR atau pasukan VAR sendiri akan mengesyorkan kepada pengadil bahawa keputusan mahupun kejadian itu harus disemak semula.

Seterusnya, pasukan VAR akan melakukan semakan dan kajian terhadap insiden terbabit menerusi rakaman video sebelum memberi nasihat kepada pengadil menerusi alat dengar yang terpasang di telinganya.

Jika pengadil masih ragu-ragu, dia boleh memutuskan untuk menyemak rakaman video yang disediakan di tepi padang sebelum membuat keputusan atau pengadil terbabit boleh menerima nasihat pasukan VAR untuk memutuskan tindakan yang sesuai.

Pasukan VAR pula terdiri daripada tiga pembantu pengadil (AVAR1, AVAR2 dan AVAR3) dan kesemua mereka merupakan pegawai tertinggi FIFA.

VAR Ragut Keaslian Piala Dunia 2018

Jawatankuasa Pengadil FIFA telah memilih 13 pengadil untuk pasukan VAR sepanjang kejohanan Piala Dunia di Rusia.

Pasukan VAR itu akan membantu pengadil daripada Bilik Operasi Video (VOR) yang berpusat di Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di Moscow.

Segala rakaman yang relevan daripada 12 stadium akan dibekalkan kepada VOR menerusi rangkaian optik fiber, manakala pengadil di atas padang di setiap stadium pula boleh berhubung dengan pasukan VAR menggunakan sistem radio fiber yang canggih.

Pasukan VAR itu boleh mengakses 33 kamera penyiaran dengan lapan daripadanya merupakan kamera gerakan super perlahan termasuk empat kamera gerakan ultra perlahan. Sebagai tambahan, mereka juga boleh mengakses dua kamera offside.

Dalam memastikan semua peminat bola sepak di stadium mahupun yang menonton televisyen dapat maklumat, mereka akan dimaklumkan mengenai proses semakan VAR dan FIFA telah membangunkan sistem pemberitahuan kepada badan penyiaran, pengulas sukan serta infotainment.

Mungkin bagi FIFA, penggunaan VAR pada Piala Dunia kali ini dilihat cuba menjadikan perlawanan bola sepak itu sempurna, namun pada penulis, ia menyebabkan sukan itu hilang keindahannya.

Sebagai peminat bola sepak, sudah pastinya penulis ingin menjangkakan sesuatu akan berlaku setiap kali bola berlegar di kawasan kotak penalti kerana jika seseorang pemain terjatuh, ia akan membuat semua orang cemas.

Lazimnya, semua pandangan akan tertumpu kepada pengadil sama ada akan ada penalti atau sebaliknya.

Tetapi kini, setiap insiden itu akan disemak dan dikaji, akhirnya ia mempengaruhi keputusan pengadil untuk memberi atau tidak penalti itu berbanding tindakan secara spontan atau lebih semula jadi.

Bukan bermaksud menolak kemodenan, namun bukan semua perkara harus diasimilasi dengan teknologi bagi memastikan keasliannya tetap terpelihara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon