Thursday, May 18, 2017

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa


Sambutan Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun bagi tujuan mempromosi peranan dan fungsi muzium yang telah ditetapkan sebagai Hari Muzium Antarabangsa hasil resolusi Persidangan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) yang diadakan pada tahun 1977.

Hari Muzium Antarabangsa

Sejak itu, Hari Muzium Antarabangsa disambut di seluruh dunia dengan jumlah penyertaan muzium yang semakin bertambah saban tahun.

Tahun 2018 mencatatkan rekod tertinggi dengan penglibatan lebih 36,000 buah muzium dari lebih 158 buah negara di seluruh dunia meraikan sambutan Hari Muzium Antarabangsa.

Sambutan Hari Muzium boleh dilihat sebagai peluang dan kesempatan yang sangat baik untuk pihak muzium mengorak langkah yang lebih jauh ke arah globalisasi, bagi merencana masa depan industri permuziuman yang lebih komprehensif dan berdaya saing.

Dalam dunia teknologi hari ini yang melangkaui jarak dan sempadan, institusi muzium tidak harus ketinggalan untuk mencipta pendekatan dan sasaran baharu yang berpotensi membuka ruang dan peluang yang lebih besar untuk muzium kekal relevan dalam cabaran masa hadapan.

Pada masa yang sama di sebalik kemajuan teknologi yang serba canggih itu, muzium juga harus mendekati kumpulan-kumpulan minoriti bagi melengkapkan khalayaknya yang pelbagai.

Untuk tujuan itu, muzium perlu bersedia untuk menerima sasaran kelompok baru ini dengan mencipta dan mempelbagaikan kaedah dalam menterjemah dan mempersembah koleksi mereka agar kekal relevan sebagai institusi yang mendukung warisan, sejarah dan budaya negara.

Idea asas Penganjuran Hari Muzium Antarabangsa oleh ICOM adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan muzium dalam masyarakat.

Oleh itu, penganjuran Hari Muzium Antarabangsa merupakan salah satu strategi untuk mendekati masyarakat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengenali muzium secara lebih dekat.

Selari dengan matlamat itu, pelbagai aktiviti khususnya yang melibatkan penyertaan bersama warga muzium dan orang ramai telah disusun.

Selamat menyambut Hari Muzium Antarabangsa.

BACA INI JUGA:

sumber: newsabahtimes

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon