Thursday, June 30, 2016

Rahsia Kejayaan Bola Sepak Iceland Di Peringkat Dunia!


Iceland pernah mencapai ranking ke-23 dunia dari Julai 2015 sehingga Oktober 2015 sebelum kini menghuni rangking ke-34 (FIFA) dunia ketika artikel ini ditulis.

Iceland Euro2016.jpg

Dengan populasi penduduk kurang dari setengah juta orang, Iceland membuktikan saiz populasi negara mereka yang kecil bukanlah penghalang untuk mencari 23 pemain yang mampu bersaing secara kompetitif dalam kempen kelayakan EURO 2016.

Fakta menarik tentang Iceland

1. Iceland mempunyai musim bola sepak terpendek di dunia iaitu dari 20 Mei sehingga 30 September akibat musim sejuk yang amat ekstrem.

Ketika musim sejuk, Iceland hanya mendapat 3 jam cahaya matahari. Suhu pula boleh mencecah -30 darjah selsius.

2. Dengan populasi lebih kurang sama dengan bandar Kajang (332,529), liga bola sepak Iceland mempunyai 5 level.

3. Liga teratas Iceland, Úrvalsdeild karla, mempunyai 12 pasukan. Ia adalah liga semi-pro.

4. Pemain bola sepak Iceland lebih banyak menyasarkan peluang bermain di luar Iceland untuk menjadi pemain profesional. Ketika ini Iceland mempunyai 58 pemain profesional senior dan 23 pemain muda yang bermain di luar Iceland.

5. Iceland mempunyai 639 jurulatih berlesen UEFA B dan 196 jurulatih berlesen UEFA A dan 13 jurulatih berlesen UEFA Pro. Ini menjadikan Iceland antara negara yang mempunyai antara nisbah jurulatih:pemain yang tertinggi di Eropah.

6. Pemain bola sepak Iceland yang mempunyai profil paling besar adalah Eidur Gudjohnsen, yang pernah menyertai pasukan Barcelona dan Chelsea.

Ciri-ciri positif pemain Iceland

Pemain bola sepak Iceland dikatakan mempunyai ciri-ciri positif berikut sehingga menyebabkan mereka menjadi pilihan pasukan luar Iceland.

Ciri-ciri tersebut adalah:
  • Mendengar kata pengurus, jurulatih.
  • Bekerja keras.
  • Mudah menyesuaikan diri di negara luar.
  • Boleh mempelajari bahasa baru.
  • Mempunyai kepimpinan yang tinggi. Sebagai contoh, ramai pemain Iceland dipilih sebagai kapten pasukan seperti Eidur Gudjohnsen (Chelsea), Ivar Ingimarsson (Reading), Hallgrímur Jónasson (Odense BK), Kári Árnason (Malmö FF).

Bagaimana Iceland mewujudkan ramai pemain bola sepak profesional?

1. Iceland mempunyai ramai anak muda yang bercirikan atlet

kelas berenang.jpg

Kerajaan Iceland mewajibkan kelas berenang sekali seminggu di setiap sekolah di Iceland. Ini membolehkan anak muda yang berumur dari 6 hingga 17 tahun di Iceland sentiasa cergas dari segi fizikal.

2. Semua pihak terlibat sama dalam membangunkan bola sepak Iceland

Persatuan Bola Sepak Iceland.jpg

Pembangunan akar umbi merupakan bajet terbesar Persatuan Bola Sepak Iceland. Kerja Persatuan Bola Sepak Iceland turut dimudahkan dengan kerjasama ibu bapa, ahli politik, sekolah dan lain-lain.

3. Jurulatih berpendidikan tinggi

Jurulatih berpendidikan tinggi.jpg

Di Iceland, hanya jurulatih yang berkelayakan dan dibayar sahaja boleh melatih pemain 5 tahun dan ke atas. Kebanyakan guru pendidikan jasmani di sekolah biasa merupakan jurulatih bola sepak yang berkelayakan.

Hampir 50% daripada jurulatih di Iceland telah mempunyai lesen kejurulatihan UEFA B dan ke atas.

Info peribadi semua jurulatih (berlesen dan tak berlesen) di Iceland seperi nama penuh, nombor IC, nombor telefon, alamat, nama kelab, peringkat umur pemain yang dilatihnya dan alamat email disimpan dalam database Persatuan Bola Sepak Iceland.

Jurulatih juga sentiasa diberitahu mengenai kursus baru dan pengumuman penting dari semasa ke semasa.

Trivia: Jurulatih termuda di Iceland berumur 16 tahun.

4. Kelab tempatan mengamalkan polisi ‘buka pintu’

Kelab-kelab bola sepak Iceland sentiasa menerima pemain dari pelbagai peringkat umur (5-34 tahun) namun bukan untuk first team. Hal ini bermakna semua orang boleh menyertai pasukan kegemaran mereka!

5. Pemain yang berlatih bersungguh-sungguh tanpa gaji atau elaun

Iceland+No+Salary.jpg

Disebabkan Iceland tidak mempunyai kelab profesional, manakala kelab-kelab yang bertanding dalam liga teratas mereka hanyalah pemain semi-pro, banyak pemain mereka bermain tanpa gaji dan elaun.

6. Mereka berlatih di dalam ‘kubah’

kubah+iceland.jpg

Hasil pelaburan besar Persatuan Bola Sepak Iceland, mereka telah membina sebilangan stadium tertutup, padang tiruan, dan padang mini di setiap sekolah.

Fakta Menarik Pasukan Iceland Euro 2016

Sebelum kejayaan yang tidak disangka itu, Iceland telah mengalahkan Austria, Belanda, Turki dan Republik Czech sebelum berjaya menempatkan dirinya di dalam tangga kelapan teratas.

Namun, apakah faktor yang membawa kepada kemenangan Iceland tempoh hari? Mari kenali pasukan ini dengan lebih dekat!

1. Salah seorang pengurusnya merupakan doktor gigi

Heimir Hallgrimsson.jpg

Heimir Hallgrimsson bekerja sebagai seorang pakar ortodontik dan juga menjadi pengurus bersama pasukan bola sepak negaranya.

Beliau bekerja di sebuah pulau berkeluasan 13 km persegi bernama Heimaey dengan populasi kurang daripada 5,000 orang dan jutaan burung puffin.

Hallgrimsson juga bakal menjadi pengurus sepenuh masa pasukan bola sepak Iceland selepas Euro 2016 tamat.

2. 10 peratus populasi Iceland ke Perancis untuk menyokong pasukan mereka

Iceland footballer fan.jpg

Iceland mempunyai bilangan penduduk yang lebih kurang sama dengan sebuah bandar kecil di England, iaitu lebih kurang 332,529 orang, jadi jika 10 peratus daripada bilangan ini, bermakna lebih 33 ribu penonton daripada Iceland sama-sama turun padang bagi memberi sokongan moral kepada skuad bola sepak mereka!

3. Mereka berlatih di dalam ‘kubah’

Oleh kerana suhu yang agak sejuk di negara itu, suhu paling tinggi yang pernah dicatatkan setakat ini adalah 10 hingga 13 darjah Celcius.

Namun, apa yang lebih menyukarkan keadaan adalah tempoh masa siang dan malam mereka yang unik, iaitu tempoh 20 jam pada waktu malam pada bulan Disember.

Jadi, sudah tentulah keadaan ini tidak sesuai untuk berlatih bermain bola sepak.

Oleh itu, Iceland telah membina fasiliti indoor khas untuk latihan sukan tersebut selama lebih 15 tahun.

4. Penjaga golnya merupakan pengarah filem

Hannes Halldorsson

Hannes Halldorsson mengarah filem sebelum menjadi penjaga gol skuad bola sepak Iceland. Antara hasil kerja beliau adalah mengarahkan klip video wakil Iceland semasa pertandingan nyanyian Eurovision 1012.

Kesimpulan

Walaupun Iceland merupakan negara berpopulasi kecil, mereka mampu menjadi pencabar di bola sepak Eropah dengan:
  • pengurusan Persatuan Bola Sepak Iceland yang berkualiti dan kerjasama daripada semua pihak
  • membuat pelaburan besar untuk memajukan infrastruktur dan pembangunan akar umbi dan
  • menaikkan jumlah jurulatih berlesen di peringkat akar umbi.

Bagaimana negara kita yang memiliki hampir 30 juta orang tetapi berada di ranking sekarang adalah sesuatu yang memalukan.

Jika sebuah negara kecil seperti Iceland boleh melakukannya, mengapa agaknya Malaysia tak boleh?

BACA INI JUGA: Bintang Bola Sepak Dunia Yang 'Gagal' Sebagai Jurulatih


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon