Friday, August 04, 2017

6 Fakta Kas-kas (Biji Popi) Yang Anda Perlu Tahu

6 Fakta Kas-kas (Biji Popi) Yang Anda Perlu Tahu

Penggunaan biji kas-kas sebagai rempah di dalam masakan dan makanan untuk melariskan jualan sentiasa menjadi perbualan hangat.

Fakta Kas-kas

Kas-kas menjadi agak kontroversi kerana dikatakan mampu menyebabkan ketagihan kepada penggunanya.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa telah menegaskan bahawa pengunaan kas-kas tidak pernah dihalang oleh pihak polis kerana jumlah bahan yang digunakan di dalam masakan terlalu kecil dan tidak memudaratkan kesihatan.

Apakah kas-kas atau biji popi ini sebenarnya? Mari kita baca 6 fakta dan sejarah penggunaan Kas-kas.

1. Asal-usul

Kas-kas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum. Kas-kas dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum.

2. Kandungan narkotik (dadah)

Menurut Ensiklopedia Britannica, kas-kas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair opium hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak, namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.

3. Pengeluar utama kas-kas

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Republik Czech merupakan pengeluar utama kas-kas dunia pada tahun 2012 dengan 24.6 ribu tan metrik setahun diikuti oleh Turki (16.2 ribu tan) dan Sepanyol (11 ribu tan).

4. Penggunaan kas-kas dalam masakan

Kas-kas lazimnya digunakan di benua Amerika Utara dan Eropah sebagai salah satu ramuan pastri seperti mufin dan bagel.

Di Asia Selatan, kas-kas popular sebagai rempah yang dicampur bersama dengan serbuk kari.

5. Kas-kas tidak menyebabkan ketagihan

Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Madya Razak Lajis berkata walaupun kas-kas berasal daripada tumbuhan yang sama dengan heroin dan morfin, kas-kas tidak akan menyebabkan ketagihan.

6. Kas-kas dan restoran mamak

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata kas-kas hanya digunakan dalam kuantiti yang sedikit sebagai penambah perasa makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kisah Pemuda Yang Masuk Syurga Kerana Tidak Menyakiti Perasaan Orang Lain

Kisah Pemuda Yang Masuk Syurga Kerana Tidak Menyakiti Perasaan Orang Lain

Ada satu kisah tentang tingkah laku seorang pemuda yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai bakal penghuni syurga.

Pemuda Syurga

Kisahnya sangat menakjubkan untuk dijadikan iktibar buat kita semua.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik, ketika para sahabat selesai menunaikan solat bersama Nabi, tiba-tiba baginda bersabda, "Sebentar lagi akan datang seorang lelaki yang bakal menjadi penghuni syurga."

Kemudian datanglah seorang pemuda lalu di hadapan mereka dengan bekas air wuduk dijanggutnya manakala tangan kirinya memegang sandal.

Keesokan harinya, Nabi menyatakan hal yang sama kemudian muncul lagi pemuda yang sama. Kejadian itu berulang selama tiga hari berturut-turut.

Setelah Nabi bangkit dari tempat duduknya, seorang sahabat baginda bernama Abdullah bin Amr mengikuti lelaki tersebut.

Dia ingin mengetahui amalan apakah yang dilakukannya sehingga Nabi menyebut sebanyak tiga kali sebagai penghuni syurga.

Abdullah bin Amr pun meminta izin untuk menginap selama tiga hari di rumah pemuda tersebut.

Setelah mendapat keizinan, Abdullah bin Amr sedikit pun tidak melepaskan pandangannya dari pemuda itu untuk mengetahui pekerjaannya, amalan seharian dan perbuatannya.

Selepas tiga hari mengamati pemuda itu, Abdullah bin Amr tidak pernah melihatnya bangun solat ditengah malam kecuali berzikir setiap kali terjaga daripada tidur, takbir hingga menjelang subuh dan bercakap dengan baik.

Perkara itu menyebabkan Abdullah terpaksa menerangkan perkara sebenar dan berkata, "Aku menginap di rumahmu semata-mata ingin tahu amalan apakah yang kau lakukan supaya aku dapat mengikuti amalan itu.

"Terus-terang, aku tidak melihat engkau mengerjakan amalan yang berpahala besar.

"Lalu, apa sebenarnya amalan yang engkau kerjakan sehingga Nabi berkata demikian?"

Pemuda itu kemudiannya menjawab, "Sebagaimana yang kamu lihat, aku tidak mengerjakan amalan apa-apa.

"Cuma, aku sentiasa berusaha untuk tidak menyinggung perasaan orang lain, sama ada kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga, jiran dan semua orang yang ada disekelilingku.

"Aku sebolehnya tidak mahu mereka sakit hati atau tersinggung dengan ucapan apa perbuatanku."

Kata pemuda itu lagi, "Aku juga berusaha untuk memaafkan dan tidak marah, kerana aku tahu bahawa Nabi tidak suka marah dan mudah memaafkan.

"Selain itu, aku juga berusaha untuk menjaga silaturahim, menjalin hubungan baik dengan sesiapa pun dan menyambung semula silaturahim yang putus."

Mendengarkan penerangan pemuda itu, Abdullah pun berkata, "Demi Allah, engkau benar-benar ahli syurga.

"Semua amalan yang engkau sebutkan itu adalah amalan yang sangat sukar untuk aku lakukan."

Daripafa kisah di atas, menjelaskan bahawa akhlak sedemikianlah yang dapat mengangkat darjat manusia sebagai ahli syurga meskipun orang itu pada dasarnya biasa-biasa saja.

Oleh itu, hindarilah rasa iri atau menyimpan hasad dengki dalam hati kita.

Jangan ada sedikit pun keinginan untuk memfitnah, mencaci, menyakiti atau bercerita tentang aib orang.

Dengan memaafkan segala kesalahan orang lain dan tidak membawa perasaan buruk itu sampai ke tempat tidur sebenarnya dapat membuatkan hati menjadi lebih tenang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pemuda Penghuni Syurga, Kisahnya Membuatkan Anda Terpukau

-SENTIASAPANAS.COM

Sejarah Penganjuran Sukan SEA

Sejarah Penganjuran Sukan SEA

Pada mulanya, Sukan SEA dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara atau Sukan SEAP yang bertujuan untuk menggalakkan kerjasama, persefahaman dan menguatkan hubungan antara negara-negara rantau Asia Tenggara.

Logo Sukan SEA

Sukan Asia Tenggara (SEA), temasya sukan dwi-tahunan membabitkan 11 negara Asean, dikendalikan Persekutuan Sukan Asia Tenggara dengan kerjasama Komiti Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Asia.

Indonesia dan Filipina kemudiannya menyertai Sukan SEAP ke-8 pada tahun 1975 dan kemudiannya Persekutuan SEAP menukar nama kepada Pertubuhan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan temasya dwi-tahunan ini dikenali sebagai Sukan SEA.

Brunei menyertai Sukan SEA ke-10 di Jakarta, Indonesia, dan Timor-Leste pada Sukan SEA ke-22 di Hanoi, Vietnam.

SEJARAH

Pada asalnya, Sukan Asia Tenggara diberi nama Sukan Semenanjung Asia Tenggara atau Sukan SEAP. Pada 22 Mei 1958, semua delegasi dari negara semenanjung Asia Tenggara menghadiri Sukan Asia ke-3 di Tokyo, Jepun untuk melakukan perjumpaan dan telah disetujui banyak pihak untuk mengadakan pertubuhan sukan ini.

Sukan SEAP yang dibentuk di konsepkan oleh Laung Sukhumnaipradit iaitu Naib Presiden Komiti Olimpik Thailand pada masa itu.

Cadangan ini diterima dan sukan ini dipromosikan kepada negara-negara semenanjung Asia Tenggara. Tujuan Sukan Asia Tenggara adalah bahawa acara sukan serantau akan membantu menggalakkan kerjasama, persefahaman dan menguatkan hubungan antara negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Thailand, Burma (kini; Myanmar), Malaya (kini; Malaysia), Laos, Vietnam Selatan, dan Kemboja (juga Singapura menyertai kemudiannya) dijadikan sebagai anggota sukan ini. Kebanyakan negara bersetuju bahawa temasya ini diadakan secara dwi-tahunan. Komiti Persekutuan Sukan SEAP mula dibentuk selepas itu.

Sukan SEAP pertama diadakan di Bangkok, Thailand, yang disertai 527 atlet dan pegawai rasmi dari Thailand, Burma, Malaysia, Singapura, Vietnam Selatan dan Laos, yang mengambil bahagian dalam 12 acara sukan.

Sukan SEAP ke-8 pada 1975, Persekutuan SEAP membawa masuk kontinjen negara dari Indonesia dan Filipina. Dua negara itu diterima pada 1977, tahun yang sama yang mana Persekutuan SEAP menukar nama kepada Pertubuhan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan temasya dwi-tahunan ini dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara. Brunei diterima masuk pada Sukan SEA ke-10 di Jakarta, Indonesia, dan Timor-Leste pada Sukan SEA ke-22 di Hanoi, Vietnam.

EDISI SUKAN SEA

Sukan Semenanjung Asia Tenggara

Sukan Semenanjung Asia Tenggara

Sukan Asia Tenggara

Sukan Asia Tenggara

Nota:
1~ Ditukar nama selepas Filipina & Indonesia menyertai temasya ini.
2~ Ia adalah kali pertama dalam sejarah SEAG sebuah bandar bukan ibu negara menjadi tuan rumah temasya ini.
3~ Ini kali pertama dalam sejarah SEAG yang venues temasya ditempatkan di dua bandar iaitu Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh. Daerah lain termasuk Haiphong, Hải Dương, Nam Định, Ninh Bình, Phú Thọ, Vĩnh Phúc dan Hòa Bình.
4~ Daerah lain yang menjadi tuan rumah adalah beberapa bandar dalam Metro Manila, Los Baños dan Calamba City di Laguna, Cebu, Bacolod, Angeles dan Subic, Zambales.
5~ Bandar raya Chonburi dan Bangkok antara lokasi di mana Sukan SEA ke-24 diadakan.
6~ Palembang adalah tuan rumah rumah temasya, Jakarta akan menyokong tuan rumah bersama

PENGANJURAN
  • Kedudukan penganjuran dari 1959 ke 1975.
  • Kedudukan penganjuran dari Sukan SEA 1977–semasa.
Penganjuran

Nota:
1~ Kemboja sepatutnya menganjurkan Sukan SEA ke-3 tetapi dibatalkan berikutan situasi tidak mengizinkan.
2~ Singapura telah diberi hak penganjuran Sukan SEA ke-27 tetapi ia memilih untuk melepaskan hak tersebut kemudian.

PUNGUTAN PINGAT

Sehingga Sukan Asia Tenggara 2017.

Pingat Sukan SEA 2017

Pingat Sukan SEA 2019.

Pingat Sukan SEA 2019

MENGERATKAN HUBUNGAN NEGARA

Setelah sekian lama menempa nama di persada antarabangsa dan kini sekali lagi semua rakyatnya diseru agar mencipta sejarah untuk bersama-sama bersatu dan berganding bahu dalam mencapai keamanan, kemajuan dan kemakmuran.

Ia juga menunjukkan bahawa dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah temasya pertama Sukan Asia Tenggara diadakan selepas penubuhan Komuniti ASEAN.

Sukan akan memainkan peranan penting menyatupadukan seluruh komuniti di Asia Tenggara dalam meraikan kecemerlangan dan meningkatkan semangat juang berbekalkan semangat setiakawan yang jitu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (4 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (4 Ogos)

Tanggal 4 Ogos merupakan hari ke 216 (hari ke 217 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 149 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Raja Sebastian
Raja Sebastian.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perlembagaan di Kepulauan Cook (1965).

Peristiwa

1578 - Raja Sebastian (gambar) hilang dalam Pertempuran Alcácer Quibir di Maghribi, mencetuskan krisis dinasti di Portugal.

1704 - Perang Warisan Sepanyol: Armada gabungan Inggeris–Belanda menawan Gibraltar daripada Sepanyol.

1790 - Akta tarif yang baru diluluskan di Amerika Syarikat mendirikan Pendapatan Pembekalan Cutter.

1914 - Perang Dunia Pertama: Mengikut lunas Perjanjian London 1839, United Kingdom mengisytiharkan perang terhadap Jerman sebagai gerak balas terhadap pencerobohannya ke atas Belgium.

1964 - Insiden Teluk Tonkin: Kapal pembinasa Tentera Laut A.S. USS Maddox dilaporkan diserang kali kedua oleh angkatan perang Vietnam Utara.

1983 - Satu rampasan kuasa yang dipimpin Blaise Compaoré menjadikan Thomas Sankara Presiden Republik Volta Atasan (Burkina Faso kini).

1984 - Cukup setahun selepas merampas kuasa di Republik Volta Atasan, Presiden Thomas Sankara menukar nama negara itu menjadi Burkina Faso.

2008 - Satu serangan terhadap pos polis berhampiran Kashgar di Xinjiang, China menyebabkan kematian 16 pegawai manakala 16 lagi cedera.

2010 - Lebih 50 orang disahkan maut dan ribuan lagi terpaksa berpindah akibat kebakaran liar di Daerah Persekutuan Pusat Rusia.

Kelahiran

1834 - John Venn, seorang ahli logik dan falsafah British.

1901 - Louis Armstrong, seorang ahli muzik Amerika Syarikat.

1950 - Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak ke - 6.

1961 - Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat ke-44.

1982 - Luca Antonini, pemain bola sepak A.C. Milan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Ogos)

sumber: wikipedia

Thursday, August 03, 2017

Misteri Salasilah Keturunan Tun Mahathir?

Misteri Salasilah Keturunan Tun Mahathir?

Hangat dan sensasi sekarang ini diperkatakan mengenai perkataan Kutty atau Kerala yang dikaitkan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, saat ini.

Salasilah Tun Mahathir

Ia menjadi ‘panas’ kembali setelah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan latar belakang identiti tokoh veteran itu ketika berucap baru-baru ini.

Pembongkaran bekas tahanan politik era Mahathir itu menyebabkan ramai pemimpin pembangkang ‘melenting’ walhal selama 22 tahun pentadbiran bekas perdana menteri tersebut, mereka hina dengan pelbagai gelaran buruk.

Siapa yang tidak boleh lupa ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu selepas dipecat jawatan dalam kerajaan pada 1998, nama Mahathir diejek dan asal-usul keturunannya diaibkan sebagai bahan jenaka politik.

Susulan itu, sebuah portal tempatan, Kedahnews.com melawat Rumah Kelahiran Mahathir di No.18, Lorong Kilang Ais off Jalan Pegawai Seberang Perak di bandar raya ibu negeri Kedah yang popular dalam kalangan pelancong.

Hasilnya agak hampa apabila salasilah keturunan sebenar ketua kerajaan yang paling lama mentadbir negara kita itu dan bersumberkan Arkib Negara hanyalah dari keturunan sebelah ibu Mahathir, Wan Tempawan Wan Hanapi.

Walhal sebagai Muslim, ia sepatutnya mengikut nasab di sebelah bapa. Tinjauan mendapati salasilah di sebelah ibunya adalah dari keturunan Wan Su yang juga merupakan Dato’ Temenggong Kulut di Bukit Lada, Kedah.

Susur galur itu diikuti nenek moyangnya iaitu Wan Net Wan Su, Wan Aman Wan Net dan anaknya, Wan Tam Wan Aman yang bernikah dengan Wan Mat Zahir tetapi kemudian bercerai untuk bernikah dengan Cik Mohd. Hassan.

Wan Tam bagaimanapun bercerai untuk kahwin semula dengan bekas suami terdahulu, Wan Mat. Dia melahirkan Wan Hanapi yang berkahwin dengan Cik Rabiah iaitu datuk dan nenek kepada Mahathir di sebelah ibu.

Hasil perkahwinan pasangan ini maka lahirlah ibu Mahathir iaitu Wan Tempawan pada tahun 1895. Dia mulanya bernikah dengan Wan Hassan, tetapi bercerai dan kemudian berkahwin dengan Mohamad bin Iskandar.

Hasil perkahwinan kedua-dua ibu bapa Mahathir itu dikurniakan enam orang anak iaitu Rafiah (Puteh), Habsah (Bibi), Mahadi, Johara, Mashahor dan Mahathir yang terakhir sebagai bongsu apabila lahir pada 10 Julai, 1925.

Difahamkan Mahathir juga ada dua orang abang dan seorang kakak lagi hasil perkahwinan terdahulu bapanya, Mohamad. Namun tiada sebarang maklumat yang mendedahkan butiran perkahwinan pertama ayahnya itu.

Maklumat di Rumah Kelahiran Mahathir tentang susur galur bapanya juga sangat sedikit iaitu hanya menjelaskan mengenai dirinya sahaja yang lahir pada 1881 dan meninggal dunia pada tahun 1960 dalam usia 81 tahun.

Malah keturunan Mohamad terhenti di peringkat datuknya, Iskandar yang dikatakan berasal dari Pulau Pinang.

Info rasmi Arkib Negara itu juga sekaligus menafikan dakwaan disiarkan laman Facebook, Mukhriz Mahathir FC.

Ia mengatakan datuk Mahathir, Iskandar, kononnya berasal dari Kerala, India.

“Yang datang dari Kerala bukan Ayahanda Tun M tetapi Nenda Tun M bernama Iskandar. Kerala adalah bukan Bangsa asal India tetapi berketurunan Yaman,” tulis pentadbir laman Facebook pro-Mukhriz tersebut sebelum ini.

Tinjauan juga mendapati tiada sebarang perkataan Kutty atau ungkapan ‘Anak Lelaki (a/l)’ tertulis pada nama bapa atau datuk Mahathir, malah tidak disebut Mohamad atau Iskandar berasal dari keturunan Yaman.

Maklumat di Rumah Kelahiran Mahathir itu secara tidak langsung mencetuskan tanda tanya cepumas, apakah sebenarnya keturunan bapa tokoh tersebut atau adakah rahsia itu sengaja disorok?

Kita nantikan jawapan dari Tun Mahathir sendiri.

BACA INI JUGA: Tun Mahathir Pernah Seleweng RM30 Bilion?

sumber: mynewshub

2 Isteri Tak Kisah Rani Kulup Pikat Datuk Vida

2 Isteri Tak Kisah Rani Kulup Pikat Datuk Vida

Selepas tidak menerima sebarang jawapan daripada Siti Zabedah Kasim mengenai hasratnya untuk memperisterikan peguam itu, Abdul Rani Kulup Abdullah meluahkan hasratnya untuk menyunting pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman pula.

Abdul Rani Kulup Abdullah

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah itu berkata, beliau berharap Datuk Vida membuka peluang untuknya.

"Ayah boleh menjadi suami yang baik," katanya.

Sementara itu ketika ditanya bagaimana penerimaan isterinya mengenai hasratnya itu, Abdul Rani berkata, isterinya 'tidak kisah'.

"Isteri-isteri Ayah 'steady'," jelasnya yang mesra disapa dengan panggilan ayah.

Sebelum ini menerusi satu perkongsian di Facebooknya Abdul Rani menyatakan kesudiannya untuk menjadikan Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, sebagai isterinya.

Katanya, beliau sudi memperisterikan Siti Kasim sekiranya wanita itu belum bersuami.

“Siti Kasim jangan kau kutuk, janganlah kau hina dia, dia pun manusia macam kita juga yang memerlukan kasih sayang.

“Ayah kan cinta wanita, seandai kata Siti Kasim ni, tak ada masalah bagi Ayah, Ayah boleh ambil dia sebagai isteri, kalau dia tiada suamilah, kalau ada suami tak bolehlah kan,” katanya sambil tergelak.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga menyatakan hasrat untuk berduet dengan Datuk Vida.

"Lagu terpulang kepada Datuk Vida," katanya.

Terdahulu, Datuk Vida yang sah bercerai talak satu pada April lalu menginginkan calon suami mempunyai mata berwarna kelabu, ala-ala jejaka mat saleh dan seseorang yang suka beli-belah.

“Dia kena ada karakter yang saya mahukan, bermata kelabu tapi ada ke calon seperti itu. Dia juga kena terima diri saya seadanya. Lelaki mana sanggup terima kalau sekali ‘shopping’ saya borong 14 ‘handbag’. Pengsan lelaki tu.

“Dalam banyak-banyak resume, ada yang dari Finland dan Scotland. Tapi saya tak tengok pun lagi, takut nanti terjatuh cinta,” katanya berseloroh mengenai ciri-ciri calon suami diingininya.

Semoga berjaya ye Rani Kulup.

BACA INI JUGA: Datuk Vida Terkilan Anak Dikata 'Buruk dan Hitam'

sumber: nona

Video Seram Lapangan Terbang Phuket Berhantu

Video Seram Lapangan Terbang Phuket Berhantu

Sebuah video seram yang dikongsikan seorang netizen, Chiang Mai Elephant, di laman Facebook, mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket yang didakwa ‘berhantu’.

Phuket

Walaupun pihak berkuasa Thailand segera tampil menafikan, rata-rata tetap percaya apa yang dilihat itu adalah entiti sebenar.

Menerusi video berdurasi kurang dari 10 saat itu, kelihatan beberapa individu terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa berjalan melalui jejantas udara (aero bridge) di lapangan terbang itu.

Apa yang peliknya, jejantas tersebut sebenarnya tidak disambungkan dengan mana-mana pintu kapal terbang.

Netizen di media sosial mula berasa seram sehingga ada yang mengatakan lapangan terbang itu telah dimasuki roh jahat.

“Ya Tuhanku, mereka bergerak secara terbang dan kaki pun tak bergerak,” tulis seorang netizen.

Bagaimanapun menurut pihak berkuasa, video tersebut dirakam oleh ketua juruterbang dan menjelaskan fenomena tersebut terjadi akibat pantulan cermin.

Namun, kebanyakan netizen tetap berpendapat biarpun disebabkan pantulan cermin namun ia agak mustahil kerana jelas kelihatan ia seperti orang sedang berjalan dalam keadaan terapung.

Tonton video dibawah, lawat di youtube atau muat turun di sini (mediafire).

BACA INI JUGA: Video Viral Bayi Ditolak Entiti Misteri


sumber: mynewshub

Kenapa Pemberontak Houthi Menyerang Mekah?

Kenapa Pemberontak Houthi Menyerang Mekah?

Pemberontak Houthi yang menguasai Yaman telah melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu ke Mekah. Kenapa Houthi cuba menghancurkan Mekah? Dari mana mereka memperoleh peluru berpandu? Siapa yang membantu mereka?

Pemberontak Houthi

Serangan peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak Houthi sebelum ini pada Oktober 2016 dari Scud jenis Burkan-1 ke Mekah pernah dilaporkan.

Jika sebelum ini puak Houthi menafikan mereka menyasarkan lapangan udara Raja Abdul Aziz di Jeddah, kali ini dalam serangan terbaharu, mereka mengakui sasaran serangan peluru berpandu mereka ialah Pangkalan tentera Udara Raja Fahad yang sangat hampir dengan Masjidil Haram.

Mujur, pada jarak 69 kilometer dari Mekah ia telah dipintas oleh Arab Saudi di kawasan Al-Wasliya di Taif.

Kenapa mereka menyerang Mekah?

Jawapannya kerana perang saudara di Yaman yang sedang berlangsung.

Situasi terkini di Yaman menyaksikan Perang Saudara antara Houthi di bawah pimpinan Abdul Malik Badruddin Al-Houthi yang disokong Iran dengan Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi semakin meruncing.

Dari segi teknikalnya, Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Saudi ialah pemerintah Yaman yang sah kerana beliau menang besar dalam pilihan raya 2012 selepas Ali Abdullah Saleh berundur sewaktu peristiwa Arab Spring.

Meskipun seorang Sunni, beliau memperoleh sokongan besar termasuklah daripada warga Syiah hinggakan peratus undian beliau mengatasi jumlah pengundi Sunni yang sedia ramai di Yaman.

Namun, Houthi menarik balik sokongan kepada beliau dan merampas kuasa pada awal 2015 apabila AbdRabu cuba bertindak mengurangkan subsidi petrol dan mewujudkan desentralisasi kuasa yang dilihat bakal memiskinkan lagi wilayah Saada Houthi di utara kerana akan wujud kemungkinan isu agihan peruntukan kewangan yang tidak setara dari kerajaan pusat kelak.

Presiden AbduRabbu yang dipaksa meletak jawatan selepas ditahan Pemberontak Houthi telah bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menuntut kembali kedudukan beliau sebagai Presiden Yaman yang sah.

Disebabkan Houthi mendapat sokongan kuat Tehran, maka AbdRabbu terpaksa mendapatkan sokongan Arab Saudi.

Lalu Arab Saudi di bawah Menteri Pertahanan Putera Mohammad Bin Salman mengambil pendirian campur tangan ketenteraan (Operasi 'Decisive Storm') di Yaman sejak Mac 2015.

Sekutu Saudi seperti UAE turut menjadi mangsa serangan Houthi apabila kapal tenteranya dibedil di pelabuhan Mocha, Yaman.

Lebih membebankan, Arab Saudi kini ketiadaan sokongan Qatar akibat pemulauan yang dilaksanakan Riyadh dan sekutunya.

Sebenarnya, perkembangan yang lebih bahaya berlaku sekitar pertengahan Julai 2017 apabila Houthi menyatakan bahawa mereka telah berjaya menembak peluru berpandu ke kemudahan minyak milik Saudi di pelabuhan Laut Merah di Yanbu.

Bahkan pihak Amerika Syarikat mengesahkan dakwaan ini.

Hal ini membimbangkan kerana jarak antara Saada iaitu tempat di mana peluru berpandu tersebut dibedil Houthi di Yaman dengan Yanbu adalah sejauh 900 kilometer.

Hal ini bermakna sistem persenjataan Houthi kini mampu untuk menyerang mana-mana tempat dalam wilayah Arab Saudi – termasuklah dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.

Dari mana pemberontak Houthi memperoleh lambakan peluru berpandu?

Jawapannya dari Iran yang menyalurkan peluru dan aset ini menerusi Pelabuhan Hodeiba di Barat Yaman.

Kenapa Iran membantu Houthi?

Iran menyokong Houthi kerana kepentingan strategiknya di Laut Merah dan Teluk Aden. Inilah sebabnya Iran telah menghantar pelbagai bantuan kewangan dan persenjataan besar-besaran kepada Houthi sejak 2004 lagi.

Banyak kali bantuan persenjataan Iran disekat atau dirampas oleh pihak berkuasa Yaman, bahkan sebelum dikuasai Houthi.

Disebabkan inilah Arab Saudi dan AbdRabu Mansour Hadi cuba untuk mengetatkan akses pelabuhan ini yang dimanipulasi Iran-Houthi.

Langkah yang paling wajar bagi menamatkan perang ini adalah dengan rundingan yakni menguatkuasakan kembali Resolusi PBB 2216 yang menuntut puak pemberontak Houthi untuk mengembalikan senjata kepada kerajaan dan kembali ke rundingan bersama AbdRabbu Mansour Hadi.

Namun Houthi berkeras untuk menguasai Yaman melalui langkah bersenjata dan enggan menghadiri sebarang rundingan damai seperti pada April 2016.

Maka campur tangan ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya – yang juga berisiko ke atas nyawa orang awam – boleh difahami sebagai satu-satunya pilihan bukan sahaja untuk menghentikan perang saudara di Yaman, tetapi juga mencegah serangan Houthi ke atas wilayah Arab Saudi itu sendiri.

Akibatnya, nyawa orang awam di Mekah, Yaman, dan Arab Saudi terus menjadi taruhan.

Nota editor: Abdul Muein Abadi, Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BACA INI JUGA: Mengapa Arab Lebih Memusuhi Hamas dan Ikhwan Muslimin Berbanding Israel?

sumber: sinarharian

Merdeka Bermaksud 'Kekayaan, Keagungan Dan Kekuasaan'

Merdeka Bermaksud 'Kekayaan, Keagungan Dan Kekuasaan'

Tahukah anda apa sebenarnya maksud perkataan dan istilah Merdeka yang sering kila laungkan saat menyambut hari kemerdekaan setiap tahun?

10 Fakta Sejarah Merdeka

Istilah “Merdeka” berasal dari bahasa Sanskrit Maharddhika yang bermaksud, “kekayaan, keagungan dan kekuasaan”.

Dalam konteks kontemporari, istilah Merdeka ini melambangkan kedaulatan sesebuah negara.

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu dibuat pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan Timbalannya Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia ke-5) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tahun 1956.

Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.

Sempena menjelang Bulan Merdeka 2018, elok kita rujuk 10 fakta menarik mengenai merdeka.

Tahukah Anda?

1. Pilihanraya Persekutuan Pertama diadakan pada 27 Julai 1955. UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS dan Parti Buruh bertanding merebut 52 kerusi dipertandingkan.

2. Siti Rahmah rakyat pertama menyerahkan gelang emas (hadiah pernikahan dari ayahnya) kepada Tunku Abdul Rahman untuk biaya ke London dalam rangka menuntut kemerdekaan Malaysia dari Inggeris. Dia kemudian dikenali sebagai “Tokoh Gelang Kemerdekaan”.

Mengimbau peristiwa ucapan Tunku Abdul Rahman pada Persidangan Umno di Dewan Hang Tuah Bandar Hilir, Melaka pada 1955.

“Saya ni nak pi London. UMNO tak dak duit, saya pun tak dak duit. Saya jual istana, ayahanda duk murka. Ayahanda suruh saya jadi raja, saya tak mau, saya nak jadi Presiden UMNO, bagi Malaya merdeka”.

3. Perjalanan Tunku Abdul Rahman bersama rombongan kemerdekaan ke London menggunakan kapal laut. Kenapa?

a. Tempoh belayar digunakan untuk merangka dan menyusun segala hujah dan membidas segala pertanyaan dan kekeliruan yang akan diajukan pihak British. Selain memupuk semangat kebersamaan di kalangan delegasi merdeka.

b. Delegasi pulang menggunakan kapal terbang kerana mereka ingin menyegerakan berita gembira kepada rakyat tanah air.

Pada 1hb Januari 1956, Tunku dan rombongan bertolak ke Karachi, Pakistan dengan kapal laut MV Asia dari Singapura.

4. Tunku melaungkan Pengisytiharan “MERDEKA” sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat

5. Dokumen Pemahsyuran Kemerdekaan 1957 ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu yang dalam tulisan jawi dan Bahasa Inggeris.

6. Pada 21 Mac 1956, satu suruhanjaya bebas dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

7. Rombongan Tunku sampai di London pada 14hb Januari 1956. Mereka kemudiannya berunding dengan perwakilan British, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan dan Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu. Rundingan bermula 16 Januari hingga 6 Februari 1956.

8. Draf Perlembagaan dibincangkan di London pada 10 Mei 1957. Antaranya, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan

9. Bendera Union Jack diturunkan dengan diiringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai menandakan berakhirnya pentadbiran Britih di Tanah Melayu.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan Negaraku.

10. Runding Baling diadakan pada 28 hingga 29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menyelesaikan isu pemberontakan komunis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Lagenda Batu Sumpah Keningau Asal-usul 16 September Hari Malaysia

sumber: mynewshub

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (3 Ogos)

Tarikh 3 Ogos merupakan hari ke 215 (hari ke 216 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 150 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Evangeline Lilly
Evangeline Lilly.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Niger (1960) dan Hari Bendera di Venezuela.

Peristiwa

435 - Pengasas Nestorianisme Nestorius dibuang negeri oleh Maharaja Byzantine Theodosius II ke sebuah biara di Mesir.

1914 - Perang Dunia Pertama: Jerman mengistiharkan perang ke atas Perancis.

1916 - Di London, nasionalis Ireland Sir Roger Casement digantung kerana peranannya dalam Pemberontakan Easter di Ireland.

1923 - Calvin Coolidge menjadi Presiden Amerika Syarikat, menggantikan Warren G. Harding yang meninggal dunia hari sebelumnya.

1940 - Perang Dunia Kedua: Askar Itali di bawah pimpinan Jeneral Guglielmo Nasi menyerang Somaliland British, antara langkah terawal Kempen Afrika Timur.

1948 - Whittaker Chambers menuduh Alger Hiss sebagai ahli komunis dan pengintip Soviet.

1958 – Kapal selam berkuasa nuklear USS Nautilus melakukan pelayaran di bawah permukaan air yang pertama merentasi Kutub Utara.

2005 - Presiden Mauritania Maaouya Ould Sid'Ahmed Taya digulingkan semasa menghadiri pengebumian Raja Fahd di Arab Saudi.

2005 - Datuk Bandar Teheran Mahmoud Ahmadinejad memulakan penggalnya sebagai Presiden Iran yang keenam.

2010 - Lebih 90 orang terbunuh dan 200 lagi cedera dalam rusuhan di Karachi, Pakistan.

2013 - Robert Mugabe terpilih kembali sebagai Presiden Zimbabwe.

Kelahiran

1903 - Habib Bourguiba, Presiden Tunisia yang pertama.

1979 - Evangeline Lilly, pelakon Kanada.

1987 - Zaquan Adha, pemain bola sepak Malaysia.

1987 - Aidil Zafuan, pemain bola sepak Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (2 Ogos)

sumber: wikipedia

Wednesday, August 02, 2017

Apa Itu Jantan Kacak Piaraan Wanita Kaya?

Apa Itu Jantan Kacak Piaraan Wanita Kaya?

Apa itu jejaka piaraan? Lebih kurang begini. Sejak bercinta sampai berkahwin, gadis atau isteri, memilih secara rela dan berbangga-bangga untuk menyara si jantan kacak.

Jejaka+Piaraan

Malang paling sarkartik terhadap wanita ialah apabila terhegeh-hegeh gilakan lelaki kacak apatah lagi, kalau perhubungan disadvantage, terutama kalau dah kahwin, maksudnya, isteri yang hodoh dapat berlaki jantan yang kacak.

Sepuluh kali lebih malang lagi kalau cinta jantan diperoleh wanita dengan membeli dengan wang dan piaraan.

Bagi wanita, semua ini OK saja. Wang dan limpahan tajaan bukanlah beban malah, ia adalah cara berkesan memenangi cinta jantan yang hensem ini.

Ada kes, jutawanis kahwin lelaki hensem tapi tidak reti bekerja (bukan malas, cuma tak pandai bekerja).

Wanita menaja jantan piaraan ini, diberikan kemewahan, cukup makan pakai malah, motorsikal besar dan kereta mewah yang harganya bukan kepalang.

Sebagai lelaki, apa yang menjadi tanggungjawab lelaki ialah, berlagak bahagia.

Maksudnya, si jantan atau si suami piaraan ini hanya perlu berlagak dirinya suami paling bahagia.

Si lelaki memainkan peranan untuk memenuhi impian isteri, menampakkan pada dunia dengan mengahwininya, si isteri menjadi wanita paling bertuah di dunia.

Jadi, si jantan hanya perlu sentiasa buat-buat comel konon bahagialah! Atau berlagak macam dirinya ialah piala hebat milik wanita yang memiaranya.

Sebenarnya, jantan kelas piaraan ini sukar dijaga. Diberi makan kenyang pun, diberi kemewahan wang dan glamer pun, lelaki ini akan menggatal dalam diam.

Sebab hakikatnya, wanita atau isteri yang membelanya itu hanya disayangi kerana sumber wang dan kemewahan.

Dalam dunia hari ini banyak wanita berduit merasakan, memiliki jantan hensem sebagai teman atau suami, sama sahaja seperti memiliki beg tangan jenama Birkin atau sebentuk cincin berlian 24 karat.

Wanita berduit percaya, seperti beg tangan mewah dan cincin berlian, seorang lelaki yang dibeli akan menjadi miliknya. Lelaki yang dipelihara adalah perhiasan dirinya.

Hakikatnya, jantan yang dibayar untuk mendapatkan cinta, sama saja seperti anjing peliharaan.

Anjing? Ya! Tak kasar pun. Hanya merujuk pada peribahasa, seperti melepas anjing tersepit.

Anjing tersepit berbeza dengan peribahasa 'anjing takkan menggigit tangan orang yang memberinya makan!'

Apabila membaca kisah-kisah wanita hodoh diperdaya dan dizalimi lelaki piaraan ini, kita menyedari realiti bahawa, isteri yang terkena hanya akan menyedari hakikat ini setelah semuanya sudah terlambat.

Setelah terkena, baru si isteri sedar, Birkin yang dimilikinya ialah jenama tiruan dari China atau, cincin berliannya hanya kaca palsu yang berkilauan.

Kita melihat realiti begini sejak dulu. Ambisi wanita hodoh yang berduit mahu memiliki jantan hensem. Bagi wanita jenis ini, nampak kaya pun apa gunanya. Kuasa wang mesti ditafsir sebagai mampu membeli cinta.

Selalunya, jantan piaraanlah yang beruntung.

Kerap kali cinta buta wanita, menjadikan lelaki piaraan ini bertaraf dewa sekalipun kantoi menipu atau curang atau sampai tahap si jantan sanggup menyepak terajang – si isteri tetap memuja dewanya.

Sangat untung lelaki hensem ini, sebab wanita jenis ini tetap akan percaya, cinta jantan hensem mampu ditebusnya dengan menambahkan wang dan kemewahan!

Untung kan?

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub