Sep 16, 2015

Lagenda Batu Sumpah Keningau Asal-usul 16 September Hari Malaysia

16 September adalah Hari Malaysia yang kita sambut dimana Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Tapi, pasti ramai yang masih tak tahu kenapa tarikh ini dipilih.

Selamat-hari-malaysia

Upacara sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun, rasanya tidak lengkap bagi memperingkati kelahiran 'Malaysia' dibumi Sabah khususnya di Pedalaman jika tidak melibatkan upacara menepung tawar sambil memperbaharui tekad dan ikrar taat setia kepada janji-janji yang terukir diatas 'Batu Sumpah' yang terletak diperkarangan Urusetia Pejabat Daerah Keningau.

Batu Sumpah yang dahulunya terletak di atas bukit Hotel Perkasa dibina khas ketika Sabah, terutamanya rakyat Pedalaman bersetuju menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963, yang dipelopori oleh pejuang-pejuang politik tempatan seperti mendiang OKK Sodomon Gunsanad, Datuk G.S Sundang, OKK Anthony Undan Andulag, Datuk Anthony Gibon dan ramai lagi.

Ketika daerah lain di Sabah sudah bersetuju untuk menyertai Sarawak dan Malaya untuk bersatu membentuk Malaysia, hanya daerah Keningau yang dikatakan 'berkeras' ketika itu.

Namun, setelah perundingan dijalankan, akhirnya pemimpin-pemipin di Pedalaman akhirnya bersetuju untuk bersama-sama dengan rakyat Negara Sabah, ketika itu, untuk sama-sama bersatu membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Batu Sumpah Keningau

Batu Sumpah Keningau

Ia hanyalah sebongkah batu berbentuk seperti tapak kaki bersaiz besar dan diletakkan dalam kedudukan berdiri.

Pada dinding batu seberat kira-kira dua tan itu pula diletakkan satu plak yang tertulis beberapa perkataan.

Bagi pengunjung yang melalui pekarangan Pejabat Daerah Keningau yang terletak kira-kira 110/145 kilometer dari Kota Kinabalu, batu itu mungkin hanya sebuah perhiasan untuk dijadikan latar semasa mengambil gambar.

Bagaimanapun, siapa sangka batu yang tertanam sejak berpuluh tahun itu sebenarnya menyimpan seribu sejarah cukup tinggi, malah turut dijadikan rujukan bagi golongan bijak pandai serta ahli politik.

Hakikatnya, batu itu adalah tanda sejarah agung dan bukti fizikal kepada penubuhan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia.

Dikenali sebagai Batu Sumpah Keningau, ia menjadi simbol setia dan tanda persetujuan rakyat pedalaman untuk membentuk Malaysia dengan Sabah menjadi rakan kongsi sama rata bersama Sarawak dan Tanah Melayu.

Perjalanan untuk mencapai kemerdekaan bukannya mudah apabila ia dilakukan dengan penuh berhati-hati, agar setiap keputusan dapat diterima umum.

Tidak cukup dengan itu, pandangan setiap komuniti juga diperhalusi apabila pemimpin juga turun padang sehingga ke setiap ceruk daerah bagi mendengar suara hati rakyat.

Lahirnya Malaysia

Bermula dari proses mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menyaksikan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan, gerak atur dikembangkan ke tanah Borneo bagi membentuk sebuah negara.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Sabah, Joanna Kitingan, semasa pembentukan Malaysia, rundingan dan penerangan tentang konsep Persekutuan telah dijalankan di peringkat ketua parti politik dan masyarakat.

Katanya, memandangkan masyarakat di bahagian pedalaman North Borneo (Sabah) ketika itu kurang memahami konsep Persekutuan dan Perlembangaan yang bakal digubah, maka wujud kerisauan dalam kalangan mereka terutamanya mengenai hak-hak rakyat Sabah.

Kesannya, pada peringkat awal cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia itu telah ditolak.

“Namun, hasil rundingan dan penerangan, mereka akhirnya bersetuju dan menerima konsep Persekutuan dengan syarat-syarat jaminan yang diperkuatkan dengan mendirikan batu sumpah.

Malaysia akhirnya dibentuk pada 31 Ogos 1963 dan pada ulangtahun pertama penubuhan Malaysia iaitu pada 31 Ogos 1964 dan batu sumpah ini telah dirasmikan oleh Menteri Buruh Persekutuan, Tan Sri Manickavasagam.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stephens dan pemimpin parti Pasok Momogun, mendiang Datuk G. S. Sundang.

Upacara bersumpah

Jelas Joanna lagi, Batu Sumpah Keningau mempunyai makna besar bukan hanya kepada masyarakat pedalaman, malah seluruh rakyat Sabah.

Ia kerana, batu sumpah itu adalah jaminan ber­­sumpah Kerajaan Malaysia kepada seluruh rakyat Sabah khususnya tentang hak-hak mereka.

“Tiga perkara penting yang direkodkan dalam plak dan diletakkan pada batu sumpah itu adalah kebebasan beragama di Sabah, tanah-tanah Sabah dikuasai oleh Kerajaan Sabah dan adat istiadat anak Sabah dihormati dan dipelihara oleh kerajaan,” tambahnya.

Antara pemimpin yang terlibat dalam menentukan ayat-ayat pada Batu Sumpah Keningau ialah pemimpin dari parti Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu seperti Datuk Anthony Undan Andulag, Datuk Angian Andulag, Datuk Arif Salleh dan Chu Shin Kee serta pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Arshad Abdul Rahim turut terbabit.

Tradisi bersumpah lazimnya dipraktikkan oleh masyarakat tempatan kerana mereka percaya tentang sesuatu perjanjian melalui upacara bersumpah adalah lebih kuat berbanding perjanjian melalui dokumen bersurat.

Menurut Joanna, setelah mendapat persetujuan daripada masyarakat pedalaman, tugas mencari batu yang sesuai untuk didirikan diberikan kepada Tan Sri Richard Lind yang merupakan Pegawai Daerah Keningau pada ketika itu.

“Beliau sendiri mencari Batu yang sesuai dan berjaya memilih seketul batu di tengah Sungai Pegalan berhampiran Kampung Senagang.

“Kontraktor tempatan telah dilantik untuk mengambil batu itu dan mengangkutnya ke Keningau sebelum didirikan di hadapan Pejabat Daerah Lama Keningau.

“Plak batu sumpah yang tertulis tiga perkara penting yang dituntut rakyat pedalaman pula ditempah khas dari sebuah syarikat di Singapura dikenali sebagai Thornycraft Shipyard,” katanya.

Batu Sumpah itu mempunyai ketinggian lebih kurang dua meter, 24 sentimeter tebal dan 1.5 meter lebar di bahagian atas.

Pada awalnya, ia ditempatkan di kawasan pejabat daerah lama terletak bersebelahan dengan hospital, namun kemudian dipindahkan ke tapak sekarang.

“Satu upacara tradisi iaitu pemotongan ayam telah dijalankan semasa perasmian batu sumpah itu pada tahun 1964.

“Upacara ini adalah untuk menandakan Sumpah Janji Kerajaan Malaysia dengan ma­syarakat pedalaman,” tambahnya.

Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah, Baszley Bee Basrah Bee, penggunaan batu sebagai simbol upacara bersumpah bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat pedalaman Sabah.

Tradisi Megalitik

Katanya, tradisi itu berkaitan dengan tradisi megalitik diamalkan masyarakat Kadazan Dusun 2,000 tahun dahulu.

“Tradisi megalitik merupakan tradisi menggunakan bongkah batu untuk sebarang bentuk binaan, tidak kira untuk binaan batu nisan, binaan dalam bentuk bangunan atau ukiran.

“Binaan batu ini biasanya didirikan untuk peringatan tentang suatu peristiwa penting agar diingati seperti mana wujudnya Batu Sumpah Kimanis ketika zaman Kesultanan Brunei.

“Justeru, penduduk pedalaman ketika itu mahukan sebuah batu sumpah didirikan kerana ia kekal abadi bersama hak-hak mereka yang telah dijamin dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, pemilihan dae­rah Keningau sebagai lokasi men­dirikan batu sumpah itu adalah berdasarkan status Keningau sebagai pusat pen­tadbiran kawasan pedalaman Sabah.

Tambah Baszley Bee lagi, pemilihan batu untuk dijadikan Batu Sumpah Keningau bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia berkaitan dengan kepercayaan.

Batu yang didirikan itu juga perlulah dalam bentuk yang asal seperti mana ketika ia ditemui.

“Batu itu tidak boleh dipecahkan atau direka bentuk sesuka hati, malah mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun, pemilihan Batu Sumpah Keningau ini turut melalui upacara tradisi melibatkan Bobohizan atau Bobolian.

“Bobolian adalah mereka yang mahir berkomunikasi dengan alam roh dengan menggunakan bahasa roh,” jelasnya tentang adat istiadat tradisi masyarakat Sabah.

Semoga kemerdekaan yang kita kecapi hari ini akan sentiasa terpelihara kedaulatanya.. Amiin..

BACA INI JUGA: Dari Sudut Manakah Kita Melihat Kemerdekaan?

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

SP akan saya merujuk..ada saya buat Entry hal ni dahulu tetapi asas asas ja tak berani jauh ke dalam nak cerita..budaya Keningau..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon