Monday, August 31, 2015

Dari Sudut Manakah Kita Melihat Kemerdekaan?


Secara kasar kebanyakan orang menafsirkan kemerdekaan sebagai bebas daripada belenggu penjajahan yang bersifat fizikal.

Malaysia-Merdeka

Penjajahan yang berbentuk fizikal yang dikenali sebagai imperialisme merupakan suatu rentetan hidup yang sangat menghinakan suatu bangsa.

Selepas perang dunia kedua, imperialisme semakin meorosot dengan kemerdekaan negara-negara yang dijajah. Namun, kebanyakan negara-negara yang dijajah tersebut masih lagi belum keluar dari belenggu penjajah. Belenggu apa lagi?

Jika anda melihat kemerdekaan dari sudut fizikal semata-mata, kemerdekaan sebenarnya tidak dikecapi dengan sepenuhnya. Setelah penjajahan fizikal berakhir, negara-negara membangun masih lagi terjajah dengan sistem yang ditinggalkan oleh penjajah termasuk sistem sosial, ekonomi, perundangan dan pendidikan.

Bahkan, negara-negara tersebut kebanyakan masih tertindas dan ketinggalan dalam sudut ekonomi walaupun telah merdeka selama berpuluh tahun kerana dikawal oleh kuasa kapitalis.

Adakah kita sudah merdeka sekiranya ekonomi negara kita ditadbir dan dikawal oleh orang luar? Adakah kita rela hasil mahsul bumi kita dikaut dan dinikmat oleh orang luar secara tidak adil?

Ternyata ekonomi merupakan suatu sektor yang sangat penting dalam membangunkan sesebuah bangsa dan negara. Namun sekiranya pemikiran mereka masih terjajah, apa jua lapangan samada sosial, ekonomi, perundangan dan pendidikan pasti tidak dapat dibangunkan dengan identiti sendiri. Penjajahan pemikiran merupakan suatu bentuk serangan yang paling bahaya dan memberi impak yang besar.

Bukan menjadi suatu kesalahan meniru atau menggunakan teknologi atau apa jua perkara yang baik dan positif, malangnya kebanyakan manusia lebih cenderung kepada perkara-perkara yang menyeronokan, negatif dan merosakkan diri.

Sebagai contoh, ramai yang cenderung kepada gejala hedonisme dengan menjadi hiburan sebagai tumpuan hidup. Ramai juga manusia yang tertarik dengan dunia dan material sehingga mengabaikan nilai-nilai positif sehingga sanggup terlibat dengan rasuah, pecah amanah dan korupsi.

Kebanyakan manusia membuat tafsiran dan memahami suatu perkara dalam konteks duniawi sahaja lebih-lebih bagi mereka yang tidak beriman dengan kehidupan selepas mati.

Oleh itu, tafsiran bagi setiap perkara dalam kehidupan ini hanya dilihat pada sudut keduniaan yang hanya nampak oleh pandangan kasar secara fizikal.

Islam memberikan kefahaman yang lebih luas dalam perkara kemerdekaan. Syed Qutb menukilkan kisah dialog antara tentera Muslim yang diutus kepada panglima tentera Parsi yang menjadi prosedur sebelum peperangan dimulakan dalam Petunjuk Sepanjang Jalan sangat menarik dan wajar diperhatikan.

Panglima angkatan tentera Parsi iaitu Rustam bertanya kepada ketiga-tiga wakil iaitu Rab’a bin ‘Amir, Huzaifah bin Muhsan dan Al-Mughirah bin Syu’bah yang dihantar dalam tempoh tiga hari berturut-turut sebelum berlakunya peperangan Qadisiah.

Rustam bertanya kepada mereka, “Apakah yang mendorong kamu ke mari untuk berperang dengan kami?”

Jawapan mereka adalah bersamaan antara satu dengan yang lain, tidak berubah dan tidak berbeza. Jawapan mereka berbunyi begitu. “Bahawa Allah telah mengutus kami untuk mengajak dan menyeru tuan-tuan dan semua orang yang menumpahkan taat setianya kepada sesama manusia untuk bersama-sama dengan kami menyembah dan menumpah pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa, dan menarik mereka keluar daripada kesempitan hidup dunia kepada medan hidup yang lebih selesa di dunia dan akhirat, dari keganasan dan kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam lalu diutus-Nya utusan-Nya kepada seluruh umat manusia. Sesiapa sahaja menerima Islam maka kami sambut mereka dan kami akan meninggalkan negeri mereka, kami tinggalkan mereka terus berkuasa di negeri mereka sendiri. Sebaliknya sesiapa sahaja yang angkuh dan enggan menerima Islam maka kami akan memerangi mereka sehingga kami mendapat kurnia syurga Allah atau kami beroleh kemenangan.”

Kemerdekaan dalam pemahaman yang lebih luas ialah menarik manusia itu keluar dari kancah pengabdian oleh sesama manusia kepada pengabdian dan kepatuhan kepada Tuhan Yang Esa.

Namun kita tidak dapat lari daripada keperluan hidup di dunia ini, tetapi kehidupan di dunia yang fana ini sepatutnya tidak melalaikan kita kepada kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

Oleh itu, kemerdekaan yang lebih besar ialah terlepas daripada seksaan azab di akhirat nanti. Di dunia, kita perlu berusaha mendapatkan kemerdekaan seperti yang dinyatakan oleh tiga orang tentera Islam kepada Rustam dan kita juga perlu berusaha untuk memperolehi kemerdekaan di akhirat nanti (dengan izin dan rahmatNya).

BACA INI JUGA: Islam Diperangi Kerana Dolar Dan Minyak!

Sumber: Wmazmi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon