Sunday, June 07, 2020

Gara-gara Lathi Challenge, Benar-benar Di Ganggu Jam 4 Pagi!?

Gara-gara Lathi Challenge, Benar-benar Di Ganggu Jam 4 Pagi!?

Video Lathi Challenge yang dihasilkan seorang pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berjaya mencuri perhatian ramai sehingga menerima ratusan ribu tontonan dalam masa yang singkat.

Aiman Lathi Challenge

Menurut Aiman Shahiran Ahmad Fadzil, 22, dia bersengkang mata selama 48 jam demi menyempurnakan video itu yang berdurasi kurang satu minit.

Dalam video itu, dia memaparkan transformasi wajah biasa kepada karakter seorang puteri sebelum berubah menjadi karakter hantu dengan wajah yang cukup menyeramkan.

Mesra disapa Aiman, dia sempat berkongsi kejadian aneh yang menimpa sewaktu penggambaran video tersebut.

"Saya tak tidur, shoot dan edit selama 48 jam. Part hantu tu saya shoot sekitar pukul 4 pagi.

"Tiba-tiba sahaja black out, lampu terpadam tapi lagu masih bermain. Lagu itu pun macam ada aura tersendiri, saya baca orang kata ada ritual dan sebagainya. Saya pun tak tahu.

"Memang rasa seram sekejap, kenapa part hantu je lampu nak terpadam? Sebelum tu OK je. Sebelum tu juga saya dah check semua tiada masalah, tapi tiba-tiba black out," ujarnya.

Menurut penuntut bidang Filem dan Televisyen itu, dia sanggup menyewa kostum tradisional untuk menyempurnakan rakaman tersebut.

Malah, dia juga dibantu ibunya dalam mengenakan kostum tersebut sebelum membuat tiga bahagian rakaman bersendirian.

"Saya dengan mak yang terlibat, mak bantu untuk pakai kostum termasuklah perhiasan di kepala. Selebihnya saya buat sendiri."

Hantu Lathi Challenge

Menurut Aiman, ada kisah seram yang berlaku sewaktu penggambaran video itu.

"Sebenarnya saya dapat banyak mesej, ramai minta buat Lathi Challenge tu sebab mereka tahu saya sentiasa buat video mekap, sebab tu saya hasilkan.

"Hasilnya memuaskan, saya puas hati walaupun tak tidur 48 jam," ujarnya.

Bercakap mengenai respon orang ramai, Aiman mengakui bersyukur apabila menerima sokongan yang tidak putus-putus sejak video itu dikongsi.

Namun katanya, sudah menjadi ragam media sosial, pasti ada sahaja segelintir individu yang akan bercakap perihal negatif mengenai dirinya.

"Saya kan lelaki, orang pertikai tapi saya tak kisah sebab saya buat video itu sekadar satu karakter.

"Saya tak kisah, biasanya saya tak baca pun. Jika tidak saya padam dan sekat akaun mereka.

Aiman Lathi Challenge kena ganggu hantu

Penuntut Aswara ini enggan mengendahkan segelintir komen negatif yang mempertikaikan dirinya di laman sosial.

"Bukannya saya pakai macam tu kat luar. Saya sebenarnya terharu ramai orang hargai seni saya buat. Terkejut dengan sambutan orang ramai," ujarnya yang mula belajar teknik solekan secara serius sejak berusia 14 tahun.

Malah, Aiman sewaktu berusia 18 tahun juga pernah mewakili Malaysia ke Los Angeles dan menyertai pertandingan mekap kesan khas Nyx Face Awards di sana.

Lebih membanggakan, dia berjaya menempatkan dirinya dalam kedudukan tiga teratas dengan sentuhan magis yang dihasilkan di wajah sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 150: Di Tawan Dara Kubu

SBDJ Siri 150: Di Tawan Dara Kubu

Bot yang dinaiki makin rapat ke tebing, perjalanannya seolah-olah menyusur bibir tebing. Kalau boleh, biar bot berjalan tanpa berhenti di mana-mana, saya merasa senang duduk berdua dan berdekatan dengan Nurul Hayat.

SBDJ siri 139

Kehadirannya membuat saya lupa nama-nama gadis yang pernah mengetuk pintu hati kecil saya.

Menurut cerita Nurul Hayat, sebaik saja pemuda nakal yang dipanggil Unang itu mahu pulang ke rumah untuk membawa hasil buruannya iaitu seekor kijang dara, dia tidak menemui jalan pulang.

Tanda-tanda penunjuk pulang yang dibuat pada pokok semuanya hilang. Apa yang ditemuinya ialah denai yang dilalui oleh anak dara KUBU. Denai itu ditemuinya di mana-mana.

Di hujung denai dia ternampak anak dara KUBU berdiri dengan keadaan yang amat mengghairahkan.

Bahagian kemaluan ditutup dengan sehelai daun yang lebar, begitu juga dengan bahagian buah dada.

Gadis KUBU nampak cukup cantik, tidak selekeh seperti yang dilihat pada sebelah pagi.

Setiap denai yang terbentang di depan mengeluarkan bau yang cukup harum. Gadis KUBU menggamit Unang.

Tanpa membuang masa Unang terus memburu si gadis hingga sampai ke kawasan perkampungan orang KUBU. Hasil buruannya terus dibuang.

Sebaik saja memasuki ke kawasan perkampungan, Unang mendapati gadis KUBU duduk di atas pelantar kecil yang dibuat dari buluh kuning.

Pelantar itu diletakkan di atas tanah lapang yang dikelilingi dengan garisan bulat.

Garisan bulat itu tidak bersambung, bahagian garisan yang terputus diletakan ketul batu sungai yang diletakkan bertindih.

Di situ juga dibakar sejenis sabut yang dihasilkan dari pokok hutan. Sabut yang dibakar mengeluarkan asap nipis.

Terdapat lima garisan yang terputus tetapi garisan yang di depan gadis saja yang sabutnya dibakar.

Tidak jauh dari garisan bulat, arah sebelah kanan terdapat seorang tua yang hanya memakai cawat duduk bersila di atas batu.

Tangan kanannya memegang kayu bercabang dua. Rambut putihnya menutup sebahagian dari bahagian belakangnya.

Mulut orang itu berkumat-kamit membaca mantera. Setiap kali mantera selesai dibaca dia terus menghembus ke arah Unang.

Sebaik sahaja Unang melangkah dan berada dalam garisan, dia terus membuka baju dan seluar dipakai. Unang terpaku di situ dalam keadaan bogel.

Gadis KUBU melompat dari pelantar lalu membalut tubuh Unang dengan kulit kayu. Unang benar-benar berada dalam dunia orang KUBU. Dia lupa dengan dunia luar.

Dalam beberapa detik orang-orang KUBU, sama ada lelaki dan perempuan terus mengerumuni Unang.

Lelaki tua yang duduk di atas batu terus bangun dan mengisytiharkan Unang dan gadis KUBU menjadi pasangan suami isteri.

Lama kelamaan Unang lupa pada bahasanya sendiri, makan pakai, bercakap dan patuh dengan pantang dan petua orang KUBU.

TUTUR

Sejak itu Unang tidak pulang-pulang ke kampungnya. Ada orang yang terserempak dengan Unang tetapi, dia tidak bertutur dalam bahasa sendiri kecuali bahasa KUBU.

Biasanya, Unang selalu mengelakkan diri dari bertemu dengan orang kampungnya.

"Itulah kisah Unang yang menyayat perasaan. Kamu harus hati-hati bila melihat keadaan orang yang aneh berkeliaran di jalanan. Kamu harus mengunci mulut."

Sebaik saja selesai mendengar cerita dari Nurul Hayat, saya anggukkan kepala dan berazam mahu mematuhi cakapnya. Saya tak mahu kisah Unang terjadi pada saya.

"Aku ingat pesan kamu," kata saya.

"Bagus, aku tak mahu kamu jadi korban kerana kelancangan mulut sendiri."

"Benarkah Hayat?" tanya saya gementar.

"Iya," jawabnya lembut.

Perasaan saya gementar, ada sesuatu yang beralun dan berombak dalam hati nurani saya.

Hati nurani seorang muda yang sedang memburu sesuatu yang indah dalam alam ini.

Kata-kata yang lahir dari mulut Hayat menggambarkan ada sebuah janji dan harapan yang ditumpahkan oleh Nurul Hayat kepada saya. Setidak-tidaknya begitulah tanggapan saya.

Wajah Nurul Hayat saya renung, dia juga merenung wajah saya. Anak mata kami bertembung, saya lihat Nurul Hayat menarik nafas, saya juga demikian.

Tanpa disedari telapak tangan kami bercantum. Tergenggam dengan erat.

Saya bagaikan lupa suasana sekitar, kulit telapak tangan Nurul Hayat yang lembut membuat saya terpesona.

Saya tersentak bila Nurul Hayat menarik tangannya. Dia terus tunduk sambil meletakkan mukanya ke kepala lutut. Saya tidak sedar berapa lama saya menggenggam tangannya.

Saya tahu Nurul Hayat terasa malu dan berdosa kerana menyentuh telapak tangan saya yang bukan muhrim. Saya tidak tahu siapakah di antara kami yang memulakan.

Bagi menenangkan perasaan saya cuba menyentuh bahu Nurul Hayat dan di saat saya mengangkat tangan terdengar suara Datuk. Niat segera saya batalkan.

Saya terus menoleh ke belakang. Datuk berdiri di tengah bot sambil merenung tajam ke arah saya.

Dari renungan itu saya dapat buat kesimpulan yang Datuk kurang senang dengan perbuatan saya duduk berdua-dua dengan perempuan.

Saya tahu perbuatan itu memang salah dan kurang sopan tetapi, apakan daya saya sudah terlanjur.

Saya cuba tersenyum. Datuk terus jegilkan biji mata dan saya jadi serba salah.

Datuk pernah berkata, bila seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim duduk berdekatan, syaitan akan berada di tengah-tengahnya untuk menggoda.

Entah mengapa kata-kata itu secara mendadak terus muncul dalam kepala saya.

Bagi menenteramkan perasaan serba salah yang berkecamuk dalam hati, saya segera bangun. Beredar dari sisi Nurul Hayat.

Sudah tentu tindakan saya itu menimbulkan rasa terkejut dalam diri Nurul Hayat.

"Kenapa Tamar?" tanyanya.

"Renung ke belakang," kata saya tanpa menoleh ke arahnya.

Dia segera menoleh ke arah yang saya katakan. Nurul Hayat segera faham, cepat-cepat dia bangun lalu beredar ke sebelah kiri bot dan saya beredar ke sebelah kanan.

TURUN

Bila melihat kami sudah berjauhan, Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Dia terus turun ke bahagian enjin bot menemui ayah Nurul Hayat.

Hati saya terasa damai. Bagaimana perasaan Nurul Hayat? Sukar untuk saya ramalkan.

Walau apa pun, sudah sepuluh minit masa berlalu. Saya dan Nurul Hayat terus membisu.

Masing-masing buat hal sendiri, merenung air yang mengalir, renung dedaun dan pepokok yang tumbuh di bibir tebing.

Bila saya benar-benar yakin Datuk tidak akan muncul lagi, perlahan-lahan saya melangkah ke arah Nurul Hayat yang berdiri membelakangi saya. Dia begitu asyik merenung rimbunan pepokok di tebing.

"Hai! Apa yang kau fikirkan, Nurul?"

Nurul Hayat segera menoleh ke arah saya. Dia senyum, tetapi sepasang matanya terus menyorot setiap liku bot.

Macam ada sesuatu yang dicarinya. Saya tahu, dia mencari Datuk kalau-kalau masih berada di bahagian atas bot.

"Cakap Nurul, apa yang kau fikirkan?" ulang saya lagi.

"Aku merasa terhibur, kerana bot kita sudah memasuki kawasan perkampungan," tuturnya dan saya anggukkan kepala.

Bot terus bergerak dalam jarak yang agak dekat dengan tebing.

"Jauhkah lagi Nurul?"

"Kadang-kadang aku rasa pelik dengan kamu Tamar, sekejap kamu panggil aku Hayat, sekejap kamu panggil Nurul. Kamu panggil ikut sedap mulut saja," Nurul melahirkan rasa kurang senang.

"Panggil apa pun, orangnya tetap sama, sekarang aku nak tahu jauh ke lagi?"

Nurul Hayat gelengkan kepala sambil tersenyum panjang. Agaknya terasa lucu dengan perangai saya.

Ikut suka kamulah, apa yang mahu kamu fikirkan tentang diri ini, fikir saya dalam hati kecil.

Bila melihat saya tidak memberi sebarang reaksi sama ada positif atau negatif, Nurul Hayat bersikap macam biasa kembali, seolah-olah tidak ambil kisah tentang apa yang mahu saya sebut mengenai dirinya. Itulah yang menyenangkan hati saya.

"Tak jauh lagi," jawab Nurul Hayat lembut.

Dan tanpa diminta dia terus menyebut nama Kampung Olak Kemang, Ulu Gedung, Tengaj, Jelmu, Mudung Laut, Tahtul Yaman dan Tanjung Laut.

Nurul Hayat juga menekankan bahawa kampung-kampung yang terletak di daerah Pelayangan dan Danau Teluk itu memang menyimpan suasana kehidupan yang amat bersahaja.

Sejak dulu hingga kini para penduduk kampung tersebut masih mempertahankan cara hidup dan tradisi lama.

"Kenapa ada Tanjung Johor di Jambi, sepatutnya nama ini ada di Semenanjung," potong saya yang sudah bosan mendengar tutur kata Nurul Hayat yang seolah-olah mempamerkan rasa megah dan bangga dengan tempat sendiri.

"Orang dari Johor yang membukanya sebab itulah dipanggil Tanjung Johor."

"Aku faham sekarang tapi, adakah lagi keturunan orang yang membuka kampung itu Nurul?"

"Itu aku tak tahu. Kalau kamu nak buat penyiasatan aku boleh tolong."

"Kamu memperolok-olokkan aku Nurul?"

Kata-kata yang saya ucapkan membuatkan Nurul Hayat terpampam.

Di tengah-tengah rasa terkejut itu, dia menarik nafas dalam-dalam untuk mencari ketenangan dan saya terus menatap air sungai yang mengalir jernih.

"Kamu selalu memikirkan hal-hal yang buruk tentang aku Tamar. Aku tak ada niat mahu mempermainkan kamu. Aku bercakap benar."

"Aku ni kadang-kadang terlalu ikutkan perasaan, maafkan aku. Kalau kamu sedia menolong, beri masa pada aku untuk membuat persiapan dan perancangan yang teliti, Nurul. "

"Bila agaknya Tamar."

"Mungkin minggu depan, kalau Datuk aku izinkan."

"Kamu tak takut berjumpa dengan orang KUBU," kata Nurul Hayat, kemudian dia ketawa.

Saya mengalami kejutan. Supaya tidak ketara saya terus tersenyum.

Hati kecil saya segera membuat kesimpulan bahawa Nurul Hayat tidak serius dalam hal ini. Dia sekadar mahu menguji kesungguhan hati saya.

Tak mengapa, kalau tadi dia tersinggung dengan tindakan saya, sekarang giliran saya pula menerimanya, saya mendamaikan hati yang mula baran.

Nurul Hayat membetulkan tudungnya yang terlibas atas bahu kiri akibat di tiup angin.

"Kau duduklah, aku ada hal," kata Nurul Hayat sambil memulakan langkah menuju ke bahagian tengah bot.

"Kamu mahu ke mana Nurul?"

"Ke bawah, nak jumpa ayah."

"Buat apa jumpa ayah, ada masalah?"

"Nak bantu dia, nak tengok macam mana dia rapatkan bot ke tebing," sahut Nurul Hayat tanpa mahu memandang wajah saya. Dia terus turun ke bahagian bawah bot.

Saya terus duduk berdiri lutut. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan, apa yang pasti saya sungguh kecewa dengan sikap Nurul Hayat yang meninggalkan saya sendiri.

Saya terus memeluk lutut sambil merenung ke depan, sayup-sayup ternampak jambatan Aur Duri.

Bot besar dan kecil di samping sampan bergerak bebas di bawahnya. Tanpa disedari bot yang saya tumpangi sudah berada di kawasan sungai kota Jambi.

PELABUHAN

Dari tengah sungai Batanghari saya merenung kota Jambi yang nampak tenang di bawah sinar matahari petang. Bangunan lama dan baru berdiri seiring.

Saya tidak mengagak berapa luas dan besar kota tersebut, saya kira besarnya mungkin sebesar bandar Melaka.

Manusia dan kenderaan bergerak dengan aman. Manakala di pelabuhannya berlabuh bot-bot besar dan tongkang. Bot-bot penumpang datang silih berganti.

Semua yang saya lihat membuat saya terlupa tentang Nurul Hayat. Apa yang ada di hati saya ialah rasa terharu yang amat sangat. Impian saya hampir menjadi kenyataan.

"Itulah pekan Jambi. Kita nak mendarat di situ. Kita mendarat di seberang pekan Jambi. Bila kita dah mendarat, aku kenalkan kamu dengan sanak saudara sebelah aku.

"Bila ada masa kita pergi ke bandar Palembang dan beberapa tempat lagi," saya menoleh ke arah suara tersebut.

Apa yang saya lihat ialah wajah Datuk yang mempamerkan senyum. Saya tidak sedar, bila dia berdiri di sisi saya.

Mungkin kerana terlalu gembira menyebabkan Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Penuh kemesraan.

"Tamar, aku tinggalkan tanah Jambi ni dulu, masa aku muda belia, masa aku bujang. Sekarang aku pulang dengan membawa seorang cucu," kata Datuk dalam nada suara yang terharu.

Matanya terus merenung ke arah permukaan air sungai Batanghari yang mengalir lembut. Datuk alihkan renungan ke bangunan di kota Jambi yang berdiri kaku. Saya kira batin Datuk menemui kepuasan yang tiada taranya.

"Tamar!"

"Iya tuk."

"Kamu suka dengan apa yang kamu tengok ni?"

"Suka tuk."

"Kalau diizinkan Allah, selepas bertemu saudara mara Datuk di sini, kita pergi ke tanah Kerinci."

"Iya tuk," saya segera anggukkan kepala dan tidak kuasa mahu mengajukan sebarang pertanyaan lagi.

Bosan. Terlalu banyak rancangan yang tidak disusun muncul dalam kepala Datuk. Bot terus bergerak.

"Kenapa tak turun di sini tuk?" tanya saya setelah menyedari bot yang dinaiki mengubah haluan.

Tidak menuju ke pelabuhan kota Jambi seperti apa yang saya harapkan.

"Barangkali ayah Nurul Hayat tak tahu yang kita nak turun di sini tuk," sambung saya dengan tenang. Datuk tersenyum lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

"Kita tak turun di pekan Jambi, Tamar. Kita mendarat di seberang pekan Jambi," ujar Datuk lembut.

Senyum kepuasan terus berlari di kelopak bibirnya. Benarlah, apa yang Datuk katakan. Kerana itu bot ubah haluan ke arah tebing yang bertentangan dengan pekan Jambi.

Makin lama bot makin dekat dengan daratan dan akhirnya rapat di tebing sungai.

"Ini Kampung Mudung Laut namanya Tamar," Datuk memberikan penerangan.

"Orang-orang di Jambi menyebut kampung-kampung yang terdapat di tebing sebelah sini, sebagai Kampung Seberang," lanjut Datuk lagi.

Saya tetap macam tadi terus anggukkan kepala. Pertanyaan akan diajukan kepada Datuk bila difikirkan perlu.

Enjin bot dimatikan tetapi bot masih bergerak menuju ke pelantar. Bahagian tepi bot sebelah kanan bergesel dengan bahagian tepi pelantar. Badan bot bergegar.

Nurul Hayat dan ayahnya segera keluar dari bahagian enjin bot. Dengan tangkas sekali Nurul Hayat melompat ke atas pelantar.

Si ayah segera melemparkan tali bot ke arah Nurul Hayat. Dengan cekap sekali Nurul Hayat membelitkan tali bot ke batang kayu yang memang disediakan di situ.

Fuad Hassan segera melangkah ke atas pelantar. Datuk juga melangkah ke pelantar.

Saya masih belum bertindak, masih tercegat di tengah perut bot. Nurul Hayat memandang ke arah saya dengan senyum.

"Hai, kenapa tercegat di situ macam patung, ke marilah," kata Datuk.

Saya segera melangkah dan berdiri di bibir bot. Dengan penuh keyakinan saya pun melompat, namun kerana tidak dapat mengimbangi badan dengan baik, saya terdorong ke depan dan terbabas ke tepi pelantar.

Nasib baik saya dapat memeluk tiang tempat pengikat tali bot. Kalau tidak tentu saya jatuh ke dalam sungai.

Nurul Hayat tidak dapat menahan rasa lucu, bila melihat saya memeluk tiang. Dia ketawa.

"Kenapa ketawakan orang yang susah," Fuad Hassan menegur kelakuan Nurul Hayat.

Ketawa Nurul Hayat tersentap. Dia tersipu-sipu malu tetapi masih sempat memberikan kerlingan tajam kepada saya.

"Sampai di sini saja tugas saya," Fuad Hassan merenung wajah Datuk sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Telapak tangan Datuk dan Fuad Hassan bercantum erat.

"Terima kasih, budi kamu susah saya nak balas," sahut Datuk. Telapak tangan mereka masih berpadu erat.

"Tak payah nak balas-balas."

"Apa kamu nak balik ke Kuala Tungkal? Hari dah petang benar. Kalau tengok pada condongnya matahari dah pukul lima lebih."

Datuk dongakkan wajahnya ke arah matahari. Telapak tangannya dan telapak tangan Fuad Hassan tidak lagi bercantum.

"Tidak. Kalau saya balik ertinya saya menempah bahaya," Fuad Hassan menarik nafas dalam-dalam.

"Boleh jadi saya berada di sini dalam sehari dua. Boleh jadi seminggu dua. Saya menanti dan berharap ada orang yang nak menyewa bot saya ke Kuala Tungkal, tidaklah saya balik kosong saja," lanjut Fuad Hassan.

"Maksudnya menyewa untuk bawa barang."

"Iya," angguk Fuad Hassan.

"Apa barangnya, Fuad."

"Macam-macam, kadang-kadang getah, hasil tanaman kampung dan apa saja," jelas Fuad Hassan penuh yakin. Datuk anggukkan kepala.

DIALOG

Dalam masa Datuk berdialog dengan Fuad Hassan, saya mengambil kesempatan menjeling dan genyit mata ke arah Nurul Hayat. Dia tersenyum sambil mengetap gigi.

"Jadi malam ni kau bermalam di mana Fuad?"

"Bermalam di rumah adik ipar saya," ungkap Fuad Hassan.

Dia terus mencuit bahu Nurul Hayat memberi isyarat supaya bergerak. Saya jadi tak tentu arah.

Tidak dapat memberikan lambaian tangan kerana mata Datuk dan Fuad Hassan tertumpu ke arah saya.

Fuad Hassan dan Nurul Hayat melangkah ke arah sebuah kedai runcit. Saya gembira kerana Datuk juga menuju ke arah kedai tersebut.

Saya masih mempunyai peluang untuk berkata sesuatu dengan Nurul Hayat. Sekurang-kurangnya menjeling atau melemparkan senyum ke arahnya.

Sebaik saja sampai di depan kedai runcit, lagi sekali Datuk dan Fuad Hassan bertentang wajah.

Saya bergerak ke sana, bergerak ke sini di belakang Datuk. Cari peluang untuk bercakap dengan Nurul Hayat.

Saya tahu dia juga resah gelisah macam saya. Malangnya kesempatan yang dicari tidak muncul. Hampa dan kecewa menguasai diri.

"Terima kasih atas bantuan awak," untuk sekian kalinya Datuk berkata demikian.

Amat keterlaluan menghargai jasa orang, cara begini tidak sesuai dengan saya.

"Pertolongan saya terlalu kecil," balas Fuad Hassan. Datuk senyum.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 150/284

BACA: SBDJ Siri 149: Syaitan Jadi Dampingan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Legenda Sarjan Korom, Pahlawan Murut Yang Menentang Tentera Jepun

Legenda Sarjan Korom, Pahlawan Murut Yang Menentang Tentera Jepun

Kehebatan Sarjan Korom ketika menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia Ke 2 dahulu, sering menjadi bualan generasi lama, namun perjuangan dan pengorbanan beliau semakin dilupakan dari ingatan generasi baharu hari ini.

Legenda Sarjan Korom

Individu hebat bernama Sarjan Korom ini, berasal dari Kampung Sumatalun dalam daerah Pensiangan di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau merupakan salah seorang pahlawan Murut yang sangat terkenal pada zaman penjajahan Jepun.

Sarjan Korom dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang sangat tinggi dan menurut cerita lisan masyarakat tempatan, dia menerima kekuatan yang luar biasa selepas tidur di atas rumpun bambu.

Sewaktu beliau sedang tidur nyenyak, tiba-tiba muncul seorang wanita yang sangat cantik dan menawarkan kepadanya kuasa sakti, tetapi dengan syarat beliau harus memperisterikan wanita tersebut.

Selepas itu, Sarjan Korom amat digeruni oleh musuh kerana ilmu batinnya yang sangat luar biasa.

Sebagai bukti, Sarjan Korom pernah diseksa dengan pelbagai jenis seksaan oleh pihak Jepun.

Antaranya, disebat sehinggalah ditarik dengan kereta selepas diikat dengan jip dan yang peliknya, tiada satu pun dari semua seksaan dapat melukakan badan Sarjan Korom.

Beliau juga dikatakan pernah dikenakan hukuman pancung tetapi pedang milik Jepun dikatakan tidak mampu menembusi lehernya.

Pingat Victoria Cross

Sarjan Korom pernah mengetuai satu serangan ke atas markas tentera Jepun dan berjaya membebaskan 500 orang tentera British yang berada dalam tahanan.

Beliau juga pernah menyusup masuk ke Pulau Berhala untuk membebaskan dua orang pegawai tinggi tentera British.

Sarjan Korom kemudiannya dijemput oleh pihak British untuk menerima pingat penghargaan di London pada 17 Jun 1946.

Sarjan Korom telah dianugerahkan pingat Victoria Cross sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangannya membebaskan dua pegawai tinggi British itu.

Penglibatan Sarjan Korom dalam perang Dunia Kedua, dikatakan telah banyak membantu tentera British dan Australia (Tentera Bersekutu) dalam membebaskan tahanan yang ditawan oleh tentera Jepun.

Sarjan Korom meninggal dunia pada tahun 1960 di Pensiangan Sabah kerana sakit dan kawasan kubur Sarjan Korom dikatakan memiliki kuasa mistik.

Dikatakan bahawa, sekiranya ada binatang seperti tikus yang memasuki kawasan kuburnya, pasti akan mati serta-merta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sejarah

Saturday, June 06, 2020

Apa Itu Lathi Challenge? Benarkah Ia amalan Syirik?

Apa Itu Lathi Challenge? Benarkah Ia amalan Syirik?

Lathi Challenge di media sosial adalah cabaran kreativiti solekan pada wajah seseorang sebelum berubah menjadi watak yang menakutkan, menggunakan lagu tema yang menggabungkan elemen muzik elektronik dan tradisional budaya Jawa berjudul Lathi, nyanyian Weird Genius dan Sara Fajira.

Lathi Challenge syirik atau tidak

'Lathi Challenge' dikatakan bermula selepas remaja dari Indonesia, Jharna Bhagwani, tampil menyahut cabaran pengikut untuk membuat kandungan klip video menggunakan lagu Lathi pada 18 Mei 2020 yang lalu.

Jharna menghasilkan kandungan memaparkan transformasi solekan dari wajah cantik bertukar menjadi hantu, selain menari mengikut lagu sambil mengenakan pakaian tradisional Jawa.

Laporan itu menyebut, Lathi, sebuah lagu hit di Indonesia yang menggunakan judul dan bahasa Jawa yang bermaksud 'dari lidah, batinku atau tutur kata' diterbitkan pada 27 Februari lalu.

Karya itu didendangkan pemuzik dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka, Weird Genius secara kolaborasi bersama rapper dari Surabaya, Sara Fajira.

Walaupun video klip itu dikatakan seolah-olah memuja atau menyeru pontianak, lirik lagu terbabit berkisar wanita yang terjebak dalam hubungan cinta toksik.

Kemudian, Lathi Challenge menjadi hangat di Malaysia selepas seorang selebriti, Mawar Rashid, menyahut cabaran ini dan mendapat perhatian ramai kerana kekreatifan video dalam masa yang sama timbul rasa seram apabila memaparkan solekan seperti hantu.

Maksud Lirik Lagu Lathi

Bagi mereka yang pertama kali mendengar melodi lagu ini, pada awalnya terasa seperti lagu bahasa Inggeris biasa dan sedikit meremang apabila muncul rentak gamelan di pertengahan lagu.

Lagu Lathi merupakan single pertama dari kumpulan pemuzik genre EDM, Weird Genius dengan kolaborasi bersama rapper dari Surabaya, Sara Fajira.

Kumpulan pemuzik ini terdiri daripada dua Youtuber serta seorang DJ yang semuanya berasal dari Indonesia.

Diberi judul Lathi yang mengambil perkataan dari bahasa Jawa Kuno, membawa makna ucapan atau secara harfiahnya bermaksud lidah.

Menurut portal Indonesia, lagu ini diinspirasi daripada pengalaman mereka yang terjebak dengan hubungan percintaan toksik dan didominasi dengan pembohongan serta ego.

Mohon Maaf

Wan Dazrin Lathi Challenge

Sehari selepas membuat teguran mengenai cabaran Lathi Challenge yang menjadi kegilaan netizen pada waktu ini, pendakwah bebas Wan Dazrin Wan Din tampil mengemukakan permohonan maaf.

Ia gara-gara maklum balas netizen khususnya dari negara seberang, Indonesia, yang mendakwa pendakwah tersebut secara tidak langsung menghina bangsa Jawa.

Menerusi posting dengan tajuk 'Permohonan Maaf Terbuka kepada Orang-orang Jawa' pada Sabtu, Wan Dazrin mengakui kekhilafannya dalam penggunaan kata dalam menyampaikan teguran dan nasihat.

"Saya sebenarnya bertujuan menasihati umat Islam di Malaysia untuk berhati-hati dengan 'Sesetengah kepercayaan ritual daripada perbuatan Lathi Challenge dan tidak pernah berhasrat menuduh budaya Jawa secara keseluruhan.

"Saya minta maaf ya. Dengan ini, saya akan memadam nasihat itu. Bertujuan menarik balik perkataan 'Jawa' yang mungkin menyebabkan kemarahan dan sensitiviti orang-orang Jawa yang dikasihi.

"Maafkan saya atas kekhilafan penggunaan perkataan dalam nasihat yang disampaikan," tulis pendakwah itu yang dimuat naik di Twitter.

Wan Dazrin juga menegaskan, dia tidak pernah menghukum mana-mana Lathi Challenge sebagai haram.

"Saya bukan Mufti. Saya minta hentikan perbuatan itu bertujuan atas nasihat-menasihati. Hentikan supaya umat Islam tidak menjadi semakin lalai atau rugikan masa yang ada daripada Allah SWT.

"Jika nasihat saya itu boleh dan sudi diambil, maka ambillah. Jika ingin meneruskan berkarya, membuat Lathi Challenge, maka silakanlah.

"Saya bukan sesiapa untuk menghalangnya. Itu adalah 100 peratus hak dan pilihan kalian sendiri khususnya umat Islam di serata dunia," kata pendakwah ini lagi.

Permohonan maaf tersebut dikemukakan bagi memberi penjelasan di atas perkongsiannya pada Jumaat, sebelum pendakwah itu bertindak memadam posting itu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk.

"Sekali lagi, sebagai ucapan yang terakhir sebelum saya 'padamkan' kesalahan penggunaan perkataan yang menyebabkan orang Jawa mungkin terasa dan sebagainya.

"Saya memohon maaf terbuka ini tandanya saya menerima nasihat kalian. Terima kasih semua buat orang-orang Jawa yang prihatin dan penyayang," tulisnya.

Unsur Syirik?

Terdahulu, Wan Dazrin menerusi perkongsian awalnya meminta orang ramai berhenti melakukan cabaran Lathi Challenge kerana ia mengandungi unsur syirik dan khurafat.

"Hanya Allah SWT saja yang tahu apa yang terlintas dalam hati saya tadi bila saya ditontonkan dengan video #LathiChallenge. Sungguh ia memang menakutkan.

"Bahkan bukan menakutkan saja, hiburan seperti itu cukup mengancam jati diri seorang Muslim dengan bahaya syirik dan khurafat yang wujud dari kepercayaan tarian tradisi sesetengah budaya Jawa yang sangat kuat percaya pada bomoh dan ilmu hitam. Hati-hati kalian," tulis Wan Dazrin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

5 Jenis Saman Boleh Di Tuntut Jika Di Langgar Pemandu Mabuk

5 Jenis Saman Boleh Di Tuntut Jika Di Langgar Pemandu Mabuk

Ada pihak yang mengatakan bahawa sistem undang-undang Malaysia tidak adil sebab kalau seorang pemandu mabuk didapati bersalah, hanya denda diberikan dan dibayar kepada kerajaan, bukannya kepada keluarga si mati.

Cara saman pemandu mabuk

Sebenarnya, betul, duit denda itu tidak akan diberikan kepada keluarga si mati namun begitu, ada cara dan hak untuk keluarga si mati mendapat ganti rugi daripada pemandu mabuk ini. Keluarga boleh failkan saman ke atas pemandu mabuk tersebut.

"Bila boleh saman?"

"Anytime."

Maknanya, pemandu mabuk akan menghadap dua mahkamah berbeza. Satu, mahkamah yang membicarakan kes jenayah yang dilakukan. Dua, mahkamah yang membicarakan kes saman keluarga si mati.

Mahkamah tersebut, hakim yang mengendalikan bukanlah orang yang sama, perbicaraannya bukan pada tarikh yang sama, dan hukuman juga tidak akan sama.

2 PROSEDUR BERBEZA

Yang sedang mereka alami sekarang ini adalah prosedur jenayah. Yang keluarga si mati saman si pemandu mabuk adalah prosedur sivil.

Dua perkara yang berbeza. Satu, negara Malaysia saman. Dua, keluarga si mati saman.

Dalam undang-undang Malaysia, mana-mana ahli keluarga yang merasai kesakitan atau suffer ke atas kematian yang dilakukan oleh orang lain, ada hak untuk menyaman.

Keluarga si mati boleh meminta sekurang-kurangnya dua tuntutan (claim)

1. Dependency Claim

Iaitu, tuntutan keluarga si mati yang menuntut agar pemandu mabuk ini membayar sejumlah wang yang sepatutnya arwah boleh sediakan kalau arwah masih hidup sehingga berumur 55 tahun. Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 7(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Contohnya, jika arwah ini masa hidup, dia menampung RM2500 sebulan untuk menyara keluarga, maka ada pengiraan tentang saraan ini, yang syaratnya, saraan itu wajib dibayar terus kepada ahli keluarga yang betul-betul menerima duit tersebut.

Sila rujuk Peguam masing-masing. Sama ada kiraan itu diterima atau tidak, ianya tertakluk kepada keputusan hakim.

2. Bereavement Claim

Keluarga si mati boleh menuntut pemandu mabuk untuk 'membayar' kesedihan yang dialami satu keluarga sebab matinya si arwah.

Contohnya, disebabkan arwah meninggal, anak-anak menangis menyebut nama arwah siang malam, isteri jadi macam orang gila sebab hilang tempat bermanja, suami rasa trauma sebab isteri mati dalam keadaan tragis. Tuntutan ini tidak boleh lebih RM30,000.

3. Loss Of Support

Berbeza dengan Dependency tadi, Loss Of Support ini lebih kepada perbuatan yang tidak mengeluarkan wang. Ianya tuntutan ke atas kehilangan tempat untuk bergantung dari segi tenaga.

Contohnya, arwah merupakan ibu yang ada anak kecil. Suami memang bergantung pada arwah untuk menjaga anak, bagi susu, mandikan, pakaikan baju dan tidurkan anak tersebut. Disebabkan arwah sudah meninggal, tiada siapa hendak membuat kerja-kerja itu.

Maka, suami boleh menuntut dari pemandu mabuk tentang kehilangan support (sokongan) ini.

4. Estate Claim

Yakni, tuntutan kecederaan si mati. Keluarga tersebut boleh menuntut kepada pemandu mabuk sejumlah bayaran disebabkan 'kesakitan' yang dialami oleh si mati. Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 8(5) Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Kalau arwah masih hidup, arwahlah yang membuat tuntutan ini, tetapi, sebab arwah sudah pergi, keluarga arwah pula yang menuntut, tetapi hanya bergantung kepada laporan perubatan doktor.

Sebab apa perlu bergantung kepada laporan perubatan doktor? Sebab, keluarga tidak tahu si mati sakit macam mana.

Keluarga boleh menuntut kesakitan, penderitaan semasa kemalangan dan kehilangan tubuh badan si mati.

Jumlah tersebut tidak dispesifikkan, dan keluarga boleh menuntut seberapa banyak yang dimahukan, namun semuanya terserah kepada hakim.

Dalam tuntutan ini juga, keluarga boleh menuntut bil hospital, duit transport dan duit membaiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

5. Tuntutan kos guaman

Sekiranya keluarga si mati menang, keluarga boleh menuntut supaya pemandu mabuk ini membayar kesemua kos guaman mereka.

Had Tempoh Saman

Bagi Dependency Claim, Bereavement dan Loss of Support ini, tempoh untuk memulakan saman adalah dalam masa tiga tahun selepas kematian.

Sekiranya, meninggal pada 21 Mei 2020, hari terakhir untuk memfailkan saman adalah pada 20 Mei 2023. Selepas itu, keluarga tidak lagi boleh menuntut.

Bagi Estate Claim, tempoh untuk memulakan saman adalah dalam tempoh 6 tahun selepas kematian.

Kalau keluarga ini menang dan selepas itu pesalah masuk penjara pula sebab kalah kes jenayah, lepas tu dia tak nak bayar saman itu, macam mana?

Kalau pemandu ini kalah saman, tapi tidak mahu bayar, ada beberapa perkara yang keluarga ini boleh lakukan:
  • Minta mahkamah supaya mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sita semua aset dan barang yang dia ada, kemudian lelong sampai cukup duit.
  • Minta orang lain yang berhutang dengan pemandu mabuk ini supaya selepas ini segala hutang dibayar kepada keluarga itu sahaja.
  • Jual share syarikat pemandu mabuk ni kalau ada.
  • Minta Mahkamah declare (isytihar) pemandu mabuk ini bankrap sekiranya pampasan melebihi RM50,000.

Berdoalah kita agar tingkat kesedaran pemandu-pemandu mabuk ini supaya jangan jadi bodoh dengan memandu ketika kepala pening.

Dan berdoa, agar Tuhan lindungi kita menjadi kedua-dua pihak, agar tidak menjadikan kita mangsa dan juga pemangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Bahaya Telur 'Expired' Boleh Menyebabkan Keracunan Makanan!

Bahaya Telur 'Expired' Boleh Menyebabkan Keracunan Makanan!

Penggunaan telur yang sudah tamat tempoh boleh menurunkan kualiti makanan yang dimasak, sekali gus berisiko mempercepatkan proses pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Bahaya telur expired

Menurut pakar Sains Makanan dari Universiti Sains Malaysia (USM), beberapa kaedah perlu dititikberatkan ketika menggunakan telur dalam masakan kerana ia mempunyai kandungan protein tinggi daripada telur putih diperlukan oleh bakteria untuk membiak.

Telur dibeli sebaik-baiknya perlu disimpan di dalam peti ais pada suhu di bawah empat darjah selsius untuk memastikan bakteria tidak aktif, selain mencuci dulu kulitnya ketika hendak digunakan.

Sekiranya menggunakan telur lama, kemungkinan akibat kontaminasi bakteria seperti salmonella.

Perkara paling penting untuk mengetahui telur sudah rosak ialah dari segi baunya. Jika berbau ia menunjukkan koloni bakteria sudah banyak sangat di dalamnya yang boleh memudaratkan jika dimakan.

Bagaimanapun, telur yang tamat tempoh memang masih boleh digunakan sekiranya belum rosak, namun kualitinya sudah menurun dan fungsinya juga berbeza iaitu menghasilkan produk yang tidak kembang dan padat teksturnya.

Cara Mengetahui Telur Rosak

Antara ciri-ciri kualiti telur sudah menurun ialah kuningnya sudah tidak pejal lagi dan telur putih sangat cair.

Justeru, kaedah penyimpanan terbaik ialah di dalam peti ais bagi mengurangkan risiko telur cepat busuk dan basuh sebelum menggunakannya kerana kita bimbang terdapat bakteria di kulit telur yang boleh memberi kesan kepada makanan.

Telur yang dibeli kebiasaannya mampu bertahan selama tiga hingga lima minggu jika disimpan dalam peti ais dan tiga minggu pada suhu bilik selepas dibeli.

Dalam proses masakan, banyak kemungkinan risiko pembiakan bakteria boleh berlaku, iaitu ketika proses penyediaan di mana semasa memecahkan telur, boleh terjadinya kontaminasi silang iaitu bakteria dari kulit telur mengenai tangan, sekali gus berpindah kepada masakan.

Selain itu, kemungkinan juga ketika proses masakan, bakteria dalam telur tidak 100 peratus mati yang membolehkan risiko pembiakan dalam makanan.

Panduan Kepada Peniaga

Cara ketahui telur masik elok
Cara mudah ketahui telur masih elok atau tidak.

Contohnya, dalam penyediaan puding buih, agar-agar yang dimasak bersama gula dan air diadun sebati bersama putih dan kuning telur yang terlebih dahulu dipukul sehingga kembang sebelum disimpan sejuk.

Jika terdapat bakteria dalam telur, sudah tentu ia mudah membiak kerana telur tidak dimasak dalam penyediaan puding buih.

Faktor lain ialah tempoh antara makanan itu dimasak dan dihantar kepada pelanggan. Lagi lama tempoh penghantaran, lagi tinggi risiko bakteria membiak apatah lagi sekiranya suhu penghantaran itu adalah panas dan sesuai untuk proses pembiakan.

Bagi makanan berasaskan telur, waktu yang seelok-eloknya tidak 'dibiarkan' dalam tempoh melebihi empat jam dan amat penting bagi penjual menggunakan kaedah pembungkusan paling sesuai dan penjagaan suhu yang baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Gig Ekonomi: Era Bekerja Dari Rumah

Gig Ekonomi: Era Bekerja Dari Rumah

Financial Times mendefinisikan 'gig' Ekonomi sebagai "sikap masyarakat yang lebih memilih untuk bekerja sendiri dengan melakukan pelbagai perkhidmatan separuh masa (atau freelance) hanya dari rumah tanpa perlu datang ke pejabat setiap hari.

Era Gig economi

Frasa atau istilah "gig ekonomi" mula diperkenalkan semasa puncak krisis kewangan 2009, dimana keadaan ketika itu memaksa segelintir masyarkat untuk bekerja separuh masa dimana jua mereka berada akibat pengangguran yang tinggi.

Namun, istilah gig telah diperkenalkan lebih awal lagi dan sering digunakan dalam industri muzik.

Dengan kemajuan teknologi yang begitu pantas dan pesat menyebabkan peranan pekerjaan semakin berubah.

Ramai yang kini tidak lagi memilih untuk bekerja dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, terutamanya anak muda.

Mereka lebih memilih untuk bekerja di rumah atau dimana juga mereka berada seperti menjadi digital nomad.

Perkembangan gig ekonomi juga telah menyebabkan peniaga-peniaga cuba menawarkan kontrak kepada media massa bagi sesuatu projek sebagai langkah pengurangan kos operasi.

Individu yang memiliki kemahiran sesuai dengan projek tersebut boleh memohon untuk melaksanakan projek tersebut dan menjana pendapatan.

Gig Ekonomi sering diidentitikan dengan bisnes yang dijalankan oleh Uber, Grab, Airbnb dalam bidang hartanah dan sebagainya.

Gig ekonomi juga tidak terlepas daripada pembangunan sistem digital dimana ia menjadi platform penting dalam perhubungan dan aktiviti perniagaan.

Kerajaan sendiri telah mengambil insiatif penting dalam mendepani ekonomi digital atau gig ekonomi melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

MDEC telah melancarkan beberapa platform seperti eRezeki dan eUsahawan untuk membantu rakyat Malaysia menghasilkan wang dengan menyelesaikan pekerjaan atas talian.

Perkembangan ini menyebabkan pakar berpendapat bahawa pekerjaan masa depan harus bersifat sangat fleksibel. Tidak ada lagi pekerjaan seumur hidup.

Mereka yang dapat memanfaatkan arus teknologi dan digital ini akan dapat menghasilkan keuntungan dan pendapatan, hanya dengan bekerja secara online dari rumah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: intraday

Bahaya 'Baby Walker' Yang Ramai Ibu Bapa Tak Tahu

Bahaya 'Baby Walker' Yang Ramai Ibu Bapa Tak Tahu

Secara lazimnya, ramai menyangka bahawa baby walker digunakan bertujuan untuk menguatkan otot kaki pada kanak-kanak supaya mereka cepat berjalan namun begitu, melalui perkongsian oleh doktor Ahmad Luqman Bukhari, lain pula yang dihujahkannya.

Bahaya Baby Walker
Gambar hiasan.

Menurutnya, baby walker sebenarnya tidak memberi manfaat langsung pada perkembangan fizikal. Malah, ia sebenarnya boleh membuatkan rangsangan pada otak dan otot kaki semakin berkurangan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasannya seperti berikut:

Saya yakin tak ada mak ayah yang sanggup nak biarkan anak kecil dalam baby walker kalau pernah nampak macam mana seksanya baby meraung kesakitan akibat melecur tersimbah air panas yang dia capai sendiri masa tengah naik walker tu.

Ada setengah kes tu, ibu bapa sendiri yang menangis sampai bengkak dua-dua belah mata bila tengok si comel pengsan tak bergerak lepas terjatuh dari walker.

Bila dah siap buat CT scan kepala, baru tahu rupa-rupanya ada bleeding pada otak anak dan retak dekat tempurung kepala. Masa tu menyesal pun dah tak guna.

Cuma realiti yang berlaku, ramai mak ayah yang tak pernah diuji dengan benda ini, dia pandang remeh bila kita nasihat supaya elakkan penggunaan walker ni.

Di Kanada, baby walker sudah pun diharamkan sepenuhnya. American Academy of Pediatrics pun siap suruh buang lagi walker kalau ada kat dalam rumah atau mana-mana pusat penjagaan kanak-kanak.

Doktor-doktor semua dah tak sanggup nak tengok ribuan kes baby tercedera termasuklah kes melecur, kes trauma dan tersepit yang dikejarkan ke jabatan kecemasan setiap tahun.

Lagi satu, mana yang kata dia beli walker supaya anak cepat berjalan, nak beritahu juga yang fakta tu salah sebenarnya.

Baby Walker tu sebetulnya tak memberi manfaat pun pada perkembangan fizikal anak kita, bahkan ia membuatkan rangsangan pada otak dan otot kaki anak kita menjadi semakin berkurang.

Kalau betul nak anak kita cepat berjalan, biarkan je dia berguling, bermain dan merangkak atas lantai dalam rumah kita tu sebab itulah sebenarnya aktiviti yang bagus untuk kuatkan fizikal dia.

Mana yang dah baca ni, bantu saya kongsikan info penting ni pada mak ayah yang lain ye. Lagi-lagi yang tengah tunggu nak timang cahaya mata tu.

Lebih baik gunakan duit yang ada untuk beli benda yang lebih penting daripada belanjakan untuk benda yang berisiko tinggi untuk cederakan anak kesayangan kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siakapkeli

Covid-19: Garis Panduan Lengkap Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah

Covid-19: Garis Panduan Lengkap Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah

Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang membabitkan aspek pelaksanaan dan pengurusan prasarana, termasuk kehadiran murid serta penjarakan sosial di bilik darjah, dewan makan asrama serta kantin.

Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah

Garis panduan baharu di sekolah akan membabitkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

PELAKSANAAN (PENGURUSAN SEKOLAH)

Kehadiran guru dan murid ke sekolah adalah seperti berikut:

1. Kehadiran guru tertakluk pada arahan perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa.

2. Kehadiran murid ke sekolah secara berfasa dan dimulai dengan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).

3. Murid selain yang akan menduduki SPM, SVM, STPM, STAM termasuk MBK pada tidak perlu hadir ke sekolah. Mereka kekal meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

4. Waktu persekolahan boleh dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan pendaftar negeri.

5. Perhimpunan sekolah dan aktiviti lain yang membabitkan murid, guru atau warga sekolah berkumpul secara beramai-ramai tidak dibenarkan.

6. Pentadbir mesti memberikan fokus kepada lima aspek dalam pengurusan sekolah, iaitu pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, PdP, peranan ibu bapa/penjaga dan pengurusan asrama.

Pengurusan Prasarana

7. Pentadbir bertanggungjawab;
  • Memastikan kawasan dan bangunan sekolah termasuk semua bilik PdP dibersihkan sebelum sesi persekolahan bermula dan pada setiap hari selepas tamat sesi persekolahan.
  • Memastikan fokus utama pembersihan adalah pada permukaan yang sering disentuh dan pada paras ketinggian yang boleh dicapai oleh tangan seperti tombol pintu, suis lampu, singki, kepala paip, butang lif, pengepam tandas, pelapik duduk tandas, susur tangan di laluan pergerakan murid bagi sekolah yang mempunyai MBK dan lain-lain.
  • Menyediakan pelan perancangan susun atur bilik-bilik PdP dengan mengoptimumkan penggunaan bilik-bilik khas dan lokasi-lokasi lain yang bersesuaian dan boleh berfungsi dengan baik untuk PdP.
  • Memastikan semua bilik PdP disusun atur mengikut arahan penjarakan sosial sebelum sekolah dibuka.
  • Memastikan susunan meja bagi setiap kelas mesti berada dalam jarak satu meter antara satu dengan yang lain. Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.
  • Memastikan pengudaraan dan pencahayaan yang mencukupi bagi setiap bilik PdP, bilik guru dan pejabat.
  • Memastikan pengusaha kantin hanya menyediakan makanan berbungkus. Penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan.
  • Memastikan murid makan di dalam bilik PdP di bawah seliaan guru pada waktu rehat.
  • Memastikan murid yang makan di dewan makan asrama pada waktu rehat dalam makluman guru bertugas.
  • Memastikan bilik kesihatan/bilik sakit di sekolah harian dan sekolah berasrama dijadikan sebagai bilik isolasi bagi murid yang bergejala sebelum mendapatkan rawatan.
  • Bilik ini perlu dibekalkan dengan pelitup muka serta sabun/cecair sanitasi tangan (hand sanitizer).

8. Menyediakan pelan lokasi untuk diletakkan tanda penjarakan sosial dengan menggunakan pita pelekat berwarna di lokasi yang bersesuaian seperti yang berikut:
  • Bilik PdP: Tanda penjarakan diletakkan pada kaki meja baris hadapan dan baris tepi pertama untuk rujukan.
  • Kantin: Tanda penjarakan diletakkan pada ruang berbaris untuk pembelian dan pengambilan makanan serta laluan ke singki.
  • Bilik guru/pejabat: Tanda penjarakan diletakkan pada kerusi, meja, kaunter dan tempat mengimbas kehadiran.
  • Lif: Tanda penjarakan diletakkan mengikut kapasiti lif.

9. Menyediakan pelan laluan pergerakan terarah atau sehala. Tanda penjarakan diletakkan untuk memandu arah pergerakan murid dalam kawasan sekolah termasuk asrama.

10. Menyediakan tong sampah bertutup dan dipastikan sentiasa ditutup.

11. Menyediakan sabun di lokasi yang bersesuaian seperti kantin, tandas dan surau, manakala cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) boleh disediakan di lokasi seperti bilik PdP, pejabat dan bilik guru.

12. Mempamerkan bahan bercetak mengenai langkah kebersihan dan keselamatan di lokasi strategik seperti laluan murid, kantin, bilik PdP, pejabat, bilik guru, ruang menunggu dan asrama sebelum sesi persekolahan bermula. Pentadbir hendaklah memuat turun bahan bercetak terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari laman sesawang KKM

13. Meletakkan peringatan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di pintu masuk utama sekolah.

TANGGUNGJAWAB PENTADBIR, GURU DAN IBU BAPA

14. Peranan dan tanggungjawab umum pihak yang terbabit adalah seperti berikut.

Pentadbir Sekolah:
  • Memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
  • Memastikan murid, guru dan warga sekolah yang hadir ke sekolah berada dalam keadaan sihat dan selamat.
  • Memberikan penerangan dan pendidikan berterusan kepada murid, guru dan warga sekolah mengenai penularan jangkitan COVID-19 dengan memperincikan kepentingan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan cecair sanitasi tangan , penggunaan pelitup muka apabila perlu serta kepentingan amalan penjarakan sosial.
  • Memastikan murid, guru dan warga sekolah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
  • Memastikan murid mendapat akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan sokongan dan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi-agensi yang berkaitan.
  • Memantau PdP yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru.
  • Melaporkan perkembangan pembelajaran murid kepada ibu bapa atau penjaga.
  • Membuat keputusan untuk menangani isu pengoperasian sekolah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan serta mengambil kira pandangan pihak yang berkaitan seperti PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Guru:
  • Menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) seperti yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran.
  • Melaksanakan PdP yang bersesuaian dengan kesediaan murid dan situasi semasa.
  • Mengingatkan murid untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial
  • Memaklumkan pentadbir sekolah jika terdapat murid yang bergejala.

Ibu Bapa/Penjaga:
  • Memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal COVID-19 sebelum hadir ke sekolah.
  • Membantu anak/anak jagaan belajar mengikut kemampuan ibu bapa/penjaga.
  • Memberikan motivasi kepada anak/anak jagaan untuk terus belajar.

KESELAMATAN MURID DAN GURU

Tanggungjawab pentadbir

15. Merujuk prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan jangkitan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan oleh KPM pada 13 Mac 2020.

16. Memastikan murid, guru dan warga sekolah berada dalam keadaan sihat untuk hadir ke sekolah.

17. Pemakluman awal perlu diberikan kepada mereka sebelum sekolah dibuka semula.

18. Memastikan saringan demam serta gejala batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas dilakukan terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan ini di dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah sempit atau berhampiran dengan jalan utama. Ini bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial

19. Memastikan masa senggang diperuntukkan bagi pengambilan suhu badan murid yang berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah.

20. Melantik guru bertugas untuk:
  • Mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan pulang.
  • Memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengimbas suhu badan.
  • Mengawal pergerakan murid semasa rehat.

21. Memastikan murid, guru dan warga sekolah sentiasa mematuhi penjarakan sosial pada setiap masa dengan pengawasan guru.

22. Memastikan hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan dibuat melalui siar raya pada waktu pagi, waktu rehat dan sebelum tamat sesi persekolahan setiap hari. Peringatan secara berterusan dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

23. Memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun. Sekiranya tiada air dan sabun, cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) boleh digunakan.

24. Memastikan guru atau pembantu pengurusan murid membantu Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti gambar rajah timbul dan peralatan khas mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitasi tangan (hand sanitizer).

25. Memastikan kedudukan murid dijarakkan dengan selang satu tempat duduk apabila mereka menaiki kenderaan sekolah seperti bas, van atau 'coaster'.

26. Mengingatkan murid untuk mematuhi dan menggunakan laluan pergerakan yang disediakan.

27. Membekalkan pelitup muka kepada murid yang bergejala dan mereka diasingkan di bilik kesihatan/bilik sakit sementara menunggu ibu bapa atau penjaga membawa mereka pulang.

28. Memastikan murid yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah sentiasa memakai pelitup muka.

29. Memastikan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan normal baharu di sekolah.

30. Memberikan taklimat keselamatan kepada kontraktor pembersihan, pengusaha kantin dan pembekal perkhidmatan makanan bermasak di asrama serta membuat penegasan supaya sentiasa mengingatkan pekerja mereka mengenai perkara berikut:
  • Mengimbas suhu badan mereka setiap hari sebelum memulakan tugas.
  • Tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah jika bergejala.
  • Mematuhi arahan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan prosedur keselamatan yang lain.
  • Mengamalkan kebersihan tangan atau 'hand hygiene' (memadai mencuci tangan dengan air bersih dan sabun).

31. Memastikan tindakan berikut diambil sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah yang disahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)

32. Mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD.

33. Memberikan kerjasama kepada anggota PKD.

34. Mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

35. PdP akan berlaku dalam dua kaedah iaitu PdP di sekolah dan PdP di rumah. Murid yang dibenarkan hadir ke sekolah akan mengikuti PdP di sekolah, sementara murid lain akan mengikuti PdP di rumah.

36. Pentadbir perlu mengambil tindakan berikut bagi melancarkan pelaksanaan PdP;
  • Mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan PdP;
  • Menyusun jadual PdP dengan mengambil kira bilangan kelas yang beroperasi dan kesediaan guru serta murid. Guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan turut dilibatkan.
  • Melakukan semakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi menyusun semula perancangan PdP.
  • Melaksanakan pemantauan PdP.
  • Memberikan bimbingan secara berfokus kepada guru untuk memastikan pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

37. Guru yang melaksanakan PdP di sekolah hendaklah:
  • Merancang pelbagai kaedah penyampaian PdP yang bersesuaian. Kaedah PdP yang boleh diterokai adalah seperti pembelajaran teradun (blended learning) iaitu gabungan pengajaran bersemuka dan penggunaan teknologi secara dalam talian.
  • Merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial.
  • Memastikan semua PdP yang dilaksanakan tidak membabitkan aktiviti luar bilik darjah.
  • Memastikan semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

38. Guru yang melaksanakan PdP di rumah hendaklah:
  • Mempelbagaikan kaedah penyampaian PdP mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan kesesuaian setempat.
  • Menggunakan kaedah PdP yang bersesuaian seperti pembelajaran dalam talian, TV pendidikan, radio atau media sosial bagi murid yang bersedia untuk mengikuti kaedah pembelajaran terbabit.
  • Mengambil kira capaian internet, pemilikan serta keupayaan penggunaan alat peranti dan kesediaan murid untuk melaksanakan PdP secara dalam talian.
  • Memberi latihan dalam buku teks, buku kerja atau disediakan sendiri oleh guru bagi murid yang tidak mempunyai akses internet.
  • Melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Projek dengan menggunakan sumber yang mudah didapati oleh murid sekiranya bersesuaian.
  • Menggunakan kaedah serahan bahan PdP di sekolah. Bahan dimasukkan dalam kotak serahan yang diletakkan dalam pondok keselamatan untuk penyerahan dan pengambilan bahan oleh guru dan ibu bapa/penjaga mengikut jadual yang ditetapkan.
  • Melaksanakan pentaksiran bilik darjah berdasarkan hasil kerja murid seperti latihan, kuiz dan lain-lain yang boleh dikemukakan secara dalam talian atau serahan tangan.
  • Melaksanakan pentaksiran bilik darjah apabila sesi persekolahan bermula bagi murid yang tidak dapat menyerahkan tugasan mereka secara dalam talian atau serahan tangan.

PEMBABITAN IBU BAPA/PENJAGA, PENGURUSAN ASRAMA

39. Ibu bapa/penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah.

40. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan penularan jangkitan COVID-19:
  • Memberi kesedaran kepada anak/anak jagaan berkaitan penjarakan sosial sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan.
  • Menasihati anak/anak jagaan supaya tidak berjabat tangan (bersalaman) atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling.
  • Menasihati anak/anak jagaan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan sebelum dan selepas makan.
  • Menggalakkan ibu bapa/penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak/anak jagaan.
  • Menyarankan ibu bapa/penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah untuk anak/anak jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin.
  • Memastikan anak/anak jagaan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah.
  • Menasihati anak/anak jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain.
  • Menjaga kebersihan dan keselamatan anak/anak jagaan sebelum dan selepas pulang dari sekolah dengan kerap membasuh tangan dan mandi.

41. Membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik serta mengikut keperluan pihak sekolah.

42. Membantu pihak sekolah menyediakan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan untuk kegunaan pihak sekolah (jika mampu dan berkeperluan).

Pengurusan Asrama

43. Pentadbir bertanggungjawab memastikan;
  • Pengangkutan bas disediakan oleh KPM untuk murid yang berada di luar kawasan untuk kembali ke asrama bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Seni Malaysia (SSeM), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) kecuali ibu bapa/penjaga yang hendak menghantar anak mereka sendiri.
  • Murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama. Sekiranya mereka tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum bersedia untuk balik ke asrama.
  • Murid yang menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM digalakkan tinggal di asrama sekiranya kemudahan asrama mencukupi.
  • Saringan kesihatan dilakukan semasa pendaftaran masuk ke asrama. Murid yang didapati mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celsius dan ke atas atau bergejala perlu diasingkan di bilik kesihatan/bilik sakit, diberikan pelitup muka untuk dipakai dan dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga

44. Persediaan pihak sekolah sebelum murid masuk ke asrama:
  • Katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain. Bahagian bawah katil dua tingkat (double-decker) sahaja digunakan.
  • Tanda penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian (tandas, bilik air/mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri).
  • Jadual penggiliran waktu makan disediakan di dewan makan sekiranya perlu.
  • Tempat beratur dan kedudukan tempat makan di dewan makan diletakkan penandaan bagi penjarakan sosial (contoh: jarak satu meter untuk beratur semasa mengambil makanan dan menghantar dulang makan di dewan makan asrama) dan tanda tempat duduk dengan penjarakan sosial semasa waktu makan.
  • Susunan tempat duduk kelas persediaan (prep) ditandakan dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter.
  • Alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama.

45. Makluman dan peringatan berkaitan penjarakan sosial dalam kalangan murid perlu dilaksanakan sebelum murid pulang dari sekolah dan ketika murid berada di asrama.

46. Perhimpunan/perjumpaan (melebihi 10 orang) dalam kalangan murid di asrama tidak dibenarkan. Warden perlu memantau keberadaan murid di asrama.

47. Semasa di asrama, murid yang tidak sihat perlu diasingkan dan diberi pelitup muka untuk dipakai serta dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.

48. Murid hendaklah melaporkan dengan segera kepada warden sekiranya diri sendiri atau rakan mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.

49. Solat berjemaah di surau dan semua aktiviti berkumpulan ditangguhkan. Murid digalakkan menggunakan sejadah sendiri untuk solat.

50. Pelawat hanya dibenarkan berjumpa dengan murid di asrama sekiranya terdapat urusan kecemasan. Pelawat perlu mendapat kebenaran daripada pentadbir/Ketua Warden sahaja.

51. Pemantauan secara berkala perlu diadakan bagi memastikan murid sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan berada dalam keadaan sihat.

52. Aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam tidak dibenarkan sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

53. Jadual bertugas kepada semua guru secara penggiliran disediakan bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA

54. Pengurusan IPS merangkumi enam aspek, iaitu pengurusan pentadbiran, pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, pengurusan pengajaran dan pembelajaran (PdP), peranan ibu bapa/penjaga dan pengurusan asrama.

Pengurusan Pentadbiran

55. IPS bertanggungjawab menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Menghadapi COVID-19 dan jawatankuasa itu mencakupi perkara yang berikut:
  • Jawatankuasa yang ditubuhkan boleh terdiri daripada jawatankuasa sedia ada pada peringkat IPS masing-masing dan hendaklah berupaya untuk melaksanakan peranan yang ditetapkan
  • Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh Ahli Lembaga Pengelola (ALP), pentadbir dan guru. IPS boleh melibatkan ibu bapa/penjaga dalam jawatankuasa ini. Bilangan ahli jawatankuasa mengikut kesesuaian IPS
  • Jawatankuasa ini berperanan untuk:
    • Merancang pengoperasian semula IPS berdasarkan ketetapan dalam garis panduan ini.
    • Mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa/penjaga dan pihak berkepentingan secara berkala.
    • Memantau pelaksanaan pengurusan premis dan kemudahan sebelum pengoperasian semula dan sepanjang pengoperasian IPS.
    • Memastikan sebarang perhimpunan yang membabitkan kan murid atau warga IPS tidak dilaksanakan.
    • Memantau status kesihatan murid, guru dan kakitangan.
    • Melapor status kesihatan murid, guru dan kakitangan yang bergejala kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
    • Menyediakan laporan pengoperasian semula IPS kepada Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah.

Perancangan Penggal Persekolahan

56. Jawatankuasa bertanggungjawab:
  • Mengkaji dan merancang semula penggal persekolahan dengan mengambil kira perkara berikut:
    • Tempoh pembelajaran yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut keperluan
    • Jumlah hari persekolahan untuk melaksanakan kurikulum masing-masing
    • Tempoh masa persediaan bagi pentaksiran dan peperiksaan awam (sekiranya berkaitan).

57. Menyediakan maklumat penggal persekolahan yang terkini untuk diedar kepada ibu bapa/penjaga sebelum pengoperasian semula IPS.

Perancangan Pengurusan Yuran dan Bayaran

58. Jawatankuasa menyelaras semula perkara berkaitan pengurusan yuran dan bayaran dengan:
  • Membincangkan pengurusan yuran dan bayaran pada peringkat pengurusan tertinggi IPS yang melibatkan ALP. Sebarang keputusan hendaklah mengambil langkah menang-menang antara pihak IPS dengan ibu bapa/penjaga.
  • Membuat pertimbangan sewajarnya dalam keadaan semasa penularan jangkitan COVID-19 disebabkan faktor mendatang yang tidak diduga dan memberi kesan kepada semua pihak termasuk ibu bapa/penjaga.
  • Mengadakan libat urus dengan ibu bapa/penjaga. Kaedah yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah ialah perbincangan, taklimat, perundingan atau pemakluman awal dengan merujuk terma dan perjanjian bertulis.

59. Mempertimbangkan penyelarasan semula yuran berdasarkan perkara yang berikut:
  • Pembayaran kepada perkhidmatan yang tidak dapat disediakan semasa PKP seperti bayaran makanan, pengangkutan, aktiviti pembelajaran yang memerlukan bayaran tambahan.
  • Ibu bapa/penjaga yang terjejas pendapatan atau mata pencarian mereka akibat PKP atau ibu bapa/penjaga adalah pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19 atau perkara lain yang berkaitan.

60. Meneliti maklumat murid dan ibu bapa/penjaga atas keperluan ibu bapa/penjaga yang terjejas akibat wabak COVID-19 atau PKP.

Pengurusan Murid Antarabangsa

61. Jawatankuasa bertanggungjawab:
  • Menyemak rekod kesihatan dan perjalanan murid antarabangsa baharu atau yang sedang mengikuti pendidikan di IPS.
  • Mengambil langkah kawalan ke atas murid antarabangsa baharu seperti berikut:
    • Mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris.
    • Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.
    • Merujuk murid antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris, surat arahan kuarantin daripada KKM) kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
    • Memastikan murid berkenaan hanya boleh hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Pengurusan Sumber Manusia

62. Jawatankuasa bertanggungjawab:
  • Menyemak rekod kesihatan dan perjalanan guru dan pekerja sebelum pengoperasian semula.
  • Mengambil langkah kawalan berikut ke atas guru dan kakitangan yang bergejala atau mempunyai rekod perjalanan luar negara dalam tempoh PKP:
    • Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM
    • Merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi tujuan pengesahan rekod.

63. Memastikan guru dan kakitangan yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat arahan kuarantin daripada KKM, merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi tujuan pengesahan rekod) dilarang untuk bertugas dan seterusnya dirujuk kepada PKD terdekat bagi arahan kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari.

64. Memastikan guru dan kakitangan berkenaan hanya boleh kembali bertugas selepas mendapat pelepasan daripada KKM.

65. Mengambil langkah kawalan ke atas kemasukan guru antarabangsa baharu yang memegang pas penggajian seperti berikut:
  • Mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris.
  • Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.

66. Memastikan guru antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris) dirujuk kepada JIM.

67. Memastikan guru berkenaan hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Pengurusan Prasarana

68. Jawatankuasa bertanggungjawab memastikan:
  • Bilik darjah, bilik-bilik khas, bilik guru, pejabat, kantin dan kemudahan-kemudahan lain seperti asrama, bilik sakit, tandas serta mana-mana kawasan dan persekitaran yang membabitkan penggunaan oleh murid, guru, kakitangan dan ibu bapa/penjaga dibersihkan.
  • Susunan perabot dan kelengkapan bilik PdP mengambil kira penjarakan sosial minimun satu meter antara setiap meja murid. Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.
  • Susunan perabot dan kelengkapan bilik guru dan pejabat dengan mengambil kira penjarakan sosial dan membuat tanda penjarakan di kerusi, meja, kaunter dan tempat mengimbas kehadiran.

Keselamatan Murid, Guru dan Kakitangan

69. Jawatankuasa hendaklah memastikan perkara berikut dilaksanakan:

Pemeriksaan kesihatan:
  • Melaksanakan saringan pintu masuk (gate keeping screening) kepada semua murid, guru dan kakitangan semasa masuk ke IPS yang meliputi:
  • Pemeriksaan suhu badan
  • Penggunaan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer)
  • Pemantauan gejala seperti demam, batuk, selesema sakit tekak dan sesak nafas
  • Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang bergejala, mereka hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.
  • Ibu bapa/penjaga disaran tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya murid bergejala.
  • Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan peraturan baharu di sekolah.

Pemeriksaan rekod perjalanan:
  • Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang mempunyai perjalanan luar negara, mereka hendaklah mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM
  • Murid, guru atau kakitangan yang tidak memenuhi syarat (mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM) hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.

Pengurusan kes positif COVID-19:
  • Mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD.
  • Memberi kerjasama kepada anggota PKD.
  • Mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.

70. Menyediakan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan mengikut keperluan di setiap pintu masuk/keluar IPS, bilik PdP, bilik guru serta bilik sakit.

71. Menyediakan pelitup muka bagi murid, guru atau kakitangan yang menunjukkan gejala.

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

72. Jawatankuasa bertanggungjawab memastikan:

Perancangan PdP;
  • Meneruskan pembelajaran melalui platform yang bersesuaian seperti e-pembelajaran (e-learning) atau pembelajaran maya (virtual learning).
  • Guru perlu merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial.

Kelengkapan dan peralatan PdP;
  • Memastikan semua kelengkapan dan peralatan telah dibersihkan sebelum aktiviti PdP dilaksanakan
  • Memastikan semua kelengkapan dan peralatan untuk aktiviti PdP berfungsi.

Pelaksanaan aktiviti PdP;
  • Aktiviti hendaklah mengikut waktu pembelajaran yang telah diluluskan semasa pendaftaran IPS. Sebarang aktiviti di luar waktu pembelajaran tidak dibenarkan.
  • Aktiviti PdP dihadkan di bilik PdP sahaja dan hendaklah mengambil kira penjarakan sosial yang ditetapkan.
  • PdP secara e-pembelajaran dilaksanakan bagi murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran di bilik darjah disebabkan penjarakan sosial. Jika murid tiada akses atau menghadapi kesukaran akses kepada PdP secara e-pembelajaran, pihak sekolah perlu berbincang dengan ibu bapa/penjaga untuk menentukan kaedah PdP yang bersesuaian.
  • Aktiviti luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum tidak dibenarkan sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh KPM.

73. Pembabitan ibu bapa/penjaga

Ibu bapa/penjaga boleh membantu pihak IPS dengan:
  • Memastikan anak/anak jagaan dibekalkan dengan pelitup muka.
  • Mengingatkan anak/anak jagaan berkenaan penjarakan sosial dan kebersihan semasa di IPS.
  • Memantau tahap kesihatan anak/anak jagaan dan memaklumkan kepada IPS sekiranya bergejala serta mendapatkan konsultasi kesihatan.
  • Tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya bergejala.
  • Mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh KKM, KPM dan pihak IPS.

74. Pengurusan Asrama

Jawatankuasa bertanggungjawab:
  •  Mengamalkan penjarakan sosial satu meter meliputi:
    • Susun atur katil dan perabot di bilik asrama.
    • Susun atur kerusi di dewan makan.
    • Tidak membenarkan murid yang bergejala kembali ke asrama.

Melaksanakan saringan pintu masuk (gate keeping screening) ke kawasan asrama kepada murid, guru dan kakitangan yang meliputi:
  • Pemeriksaan suhu badan.
  • Penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer).
  • Pemantauan gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan sesak nafas.

75. Memastikan dewan makan sentiasa bersih dan penyedia serta pengendali makanan mematuhi garis panduan penyediaan makanan yang ditetapkan oleh KKM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Friday, June 05, 2020

4 Sebab Kenapa Pesakit Darah Tinggi Patut Makan Nanas

4 Sebab Kenapa Pesakit Darah Tinggi Patut Makan Nanas

Buah nanas dianggap sebagai buah paling berbahaya bagi wanita-wanita yang sedang hamil, tetapi sebenarnya buah nanas sangat baik untuk tubuh dan memiliki banyak khasiat dan manfaat untuk kesihatan.

Nanas Sembuh Darah Tinggi

Berikut empat alasan kenapa anda harus memakan buah nanas mulai dari sekarang.

1. Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi

Selain mengurangkan pembengkakan, bromelain yang terkandung di dalam nanas juga sangat berkesan mengurangkan penyakit tekanan darah tinggi.

2. Vitamin C

Selain jeruk, nanas juga mengandungi Vitamin C yang tinggi, yang boleh membuatkan kulit tampak lebih cerah dan putih!

3. Terdapat 10 Nutrisi

Satu-satunya buah yang mengandungi 10 nutrisi sekali gus adalah buah nanas. Jadi, ketika anda memakan buah ini, maka keperluan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh akan langsung terpenuhi.

4. Melancarkan Pencernaan

Kandungan bromelain dalam nanas mampu membantu sistem pencernaan yang berfungsi menghilangkan konstipasi dan membersihkan usus besar.

Bromelain adalah kandungan enzim yang berfungsi memecahkan protein dan mengurangkan pembengkakan.

Kandungan Nutrisi Buah Nanas

Buah nanas sememangnya buah yang mempunyai banyak khasiat dan menyegarkan.

Berikut adalah kandungan nutrisi buah nanas bagi setiap 1 Cup (165g):
  • Kalori - 82 kcal
  • Lemak - 0.2g
  • Kolestrol - 0
  • Sodium - 2mg
  • Potassium - 120mg
  • Karbohidrat - 15g (Serat 2g, Gula 11g)
  • Protein - 1g

Kandungan Nutrisi Nanas Berdasarkan Keperluan Harian (RDI):
  • Vitamin C - 131%
  • Mangan - 76%
  • Vitamin B6 - 9%
  • Copper - 9%
  • Thiamin - 9%
  • Folate - 7%
  • Potassium - 5%
  • Magnesium - 5%
  • Niacin - 4%
  • Pantothenic acid - 4%
  • Riboflavin - 3%
  • Nanas juga mengandungi Vitamin A, K, Phosphorus, Zink dan Kalsium.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2