Sunday, June 07, 2020

SBDJ Siri 150: Di Tawan Dara Kubu


Bot yang dinaiki makin rapat ke tebing, perjalanannya seolah-olah menyusur bibir tebing. Kalau boleh, biar bot berjalan tanpa berhenti di mana-mana, saya merasa senang duduk berdua dan berdekatan dengan Nurul Hayat.

SBDJ siri 139

Kehadirannya membuat saya lupa nama-nama gadis yang pernah mengetuk pintu hati kecil saya.

Menurut cerita Nurul Hayat, sebaik saja pemuda nakal yang dipanggil Unang itu mahu pulang ke rumah untuk membawa hasil buruannya iaitu seekor kijang dara, dia tidak menemui jalan pulang.

Tanda-tanda penunjuk pulang yang dibuat pada pokok semuanya hilang. Apa yang ditemuinya ialah denai yang dilalui oleh anak dara KUBU. Denai itu ditemuinya di mana-mana.

Di hujung denai dia ternampak anak dara KUBU berdiri dengan keadaan yang amat mengghairahkan.

Bahagian kemaluan ditutup dengan sehelai daun yang lebar, begitu juga dengan bahagian buah dada.

Gadis KUBU nampak cukup cantik, tidak selekeh seperti yang dilihat pada sebelah pagi.

Setiap denai yang terbentang di depan mengeluarkan bau yang cukup harum. Gadis KUBU menggamit Unang.

Tanpa membuang masa Unang terus memburu si gadis hingga sampai ke kawasan perkampungan orang KUBU. Hasil buruannya terus dibuang.

Sebaik saja memasuki ke kawasan perkampungan, Unang mendapati gadis KUBU duduk di atas pelantar kecil yang dibuat dari buluh kuning.

Pelantar itu diletakkan di atas tanah lapang yang dikelilingi dengan garisan bulat.

Garisan bulat itu tidak bersambung, bahagian garisan yang terputus diletakan ketul batu sungai yang diletakkan bertindih.

Di situ juga dibakar sejenis sabut yang dihasilkan dari pokok hutan. Sabut yang dibakar mengeluarkan asap nipis.

Terdapat lima garisan yang terputus tetapi garisan yang di depan gadis saja yang sabutnya dibakar.

Tidak jauh dari garisan bulat, arah sebelah kanan terdapat seorang tua yang hanya memakai cawat duduk bersila di atas batu.

Tangan kanannya memegang kayu bercabang dua. Rambut putihnya menutup sebahagian dari bahagian belakangnya.

Mulut orang itu berkumat-kamit membaca mantera. Setiap kali mantera selesai dibaca dia terus menghembus ke arah Unang.

Sebaik sahaja Unang melangkah dan berada dalam garisan, dia terus membuka baju dan seluar dipakai. Unang terpaku di situ dalam keadaan bogel.

Gadis KUBU melompat dari pelantar lalu membalut tubuh Unang dengan kulit kayu. Unang benar-benar berada dalam dunia orang KUBU. Dia lupa dengan dunia luar.

Dalam beberapa detik orang-orang KUBU, sama ada lelaki dan perempuan terus mengerumuni Unang.

Lelaki tua yang duduk di atas batu terus bangun dan mengisytiharkan Unang dan gadis KUBU menjadi pasangan suami isteri.

Lama kelamaan Unang lupa pada bahasanya sendiri, makan pakai, bercakap dan patuh dengan pantang dan petua orang KUBU.

TUTUR

Sejak itu Unang tidak pulang-pulang ke kampungnya. Ada orang yang terserempak dengan Unang tetapi, dia tidak bertutur dalam bahasa sendiri kecuali bahasa KUBU.

Biasanya, Unang selalu mengelakkan diri dari bertemu dengan orang kampungnya.

"Itulah kisah Unang yang menyayat perasaan. Kamu harus hati-hati bila melihat keadaan orang yang aneh berkeliaran di jalanan. Kamu harus mengunci mulut."

Sebaik saja selesai mendengar cerita dari Nurul Hayat, saya anggukkan kepala dan berazam mahu mematuhi cakapnya. Saya tak mahu kisah Unang terjadi pada saya.

"Aku ingat pesan kamu," kata saya.

"Bagus, aku tak mahu kamu jadi korban kerana kelancangan mulut sendiri."

"Benarkah Hayat?" tanya saya gementar.

"Iya," jawabnya lembut.

Perasaan saya gementar, ada sesuatu yang beralun dan berombak dalam hati nurani saya.

Hati nurani seorang muda yang sedang memburu sesuatu yang indah dalam alam ini.

Kata-kata yang lahir dari mulut Hayat menggambarkan ada sebuah janji dan harapan yang ditumpahkan oleh Nurul Hayat kepada saya. Setidak-tidaknya begitulah tanggapan saya.

Wajah Nurul Hayat saya renung, dia juga merenung wajah saya. Anak mata kami bertembung, saya lihat Nurul Hayat menarik nafas, saya juga demikian.

Tanpa disedari telapak tangan kami bercantum. Tergenggam dengan erat.

Saya bagaikan lupa suasana sekitar, kulit telapak tangan Nurul Hayat yang lembut membuat saya terpesona.

Saya tersentak bila Nurul Hayat menarik tangannya. Dia terus tunduk sambil meletakkan mukanya ke kepala lutut. Saya tidak sedar berapa lama saya menggenggam tangannya.

Saya tahu Nurul Hayat terasa malu dan berdosa kerana menyentuh telapak tangan saya yang bukan muhrim. Saya tidak tahu siapakah di antara kami yang memulakan.

Bagi menenangkan perasaan saya cuba menyentuh bahu Nurul Hayat dan di saat saya mengangkat tangan terdengar suara Datuk. Niat segera saya batalkan.

Saya terus menoleh ke belakang. Datuk berdiri di tengah bot sambil merenung tajam ke arah saya.

Dari renungan itu saya dapat buat kesimpulan yang Datuk kurang senang dengan perbuatan saya duduk berdua-dua dengan perempuan.

Saya tahu perbuatan itu memang salah dan kurang sopan tetapi, apakan daya saya sudah terlanjur.

Saya cuba tersenyum. Datuk terus jegilkan biji mata dan saya jadi serba salah.

Datuk pernah berkata, bila seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim duduk berdekatan, syaitan akan berada di tengah-tengahnya untuk menggoda.

Entah mengapa kata-kata itu secara mendadak terus muncul dalam kepala saya.

Bagi menenteramkan perasaan serba salah yang berkecamuk dalam hati, saya segera bangun. Beredar dari sisi Nurul Hayat.

Sudah tentu tindakan saya itu menimbulkan rasa terkejut dalam diri Nurul Hayat.

"Kenapa Tamar?" tanyanya.

"Renung ke belakang," kata saya tanpa menoleh ke arahnya.

Dia segera menoleh ke arah yang saya katakan. Nurul Hayat segera faham, cepat-cepat dia bangun lalu beredar ke sebelah kiri bot dan saya beredar ke sebelah kanan.

TURUN

Bila melihat kami sudah berjauhan, Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Dia terus turun ke bahagian enjin bot menemui ayah Nurul Hayat.

Hati saya terasa damai. Bagaimana perasaan Nurul Hayat? Sukar untuk saya ramalkan.

Walau apa pun, sudah sepuluh minit masa berlalu. Saya dan Nurul Hayat terus membisu.

Masing-masing buat hal sendiri, merenung air yang mengalir, renung dedaun dan pepokok yang tumbuh di bibir tebing.

Bila saya benar-benar yakin Datuk tidak akan muncul lagi, perlahan-lahan saya melangkah ke arah Nurul Hayat yang berdiri membelakangi saya. Dia begitu asyik merenung rimbunan pepokok di tebing.

"Hai! Apa yang kau fikirkan, Nurul?"

Nurul Hayat segera menoleh ke arah saya. Dia senyum, tetapi sepasang matanya terus menyorot setiap liku bot.

Macam ada sesuatu yang dicarinya. Saya tahu, dia mencari Datuk kalau-kalau masih berada di bahagian atas bot.

"Cakap Nurul, apa yang kau fikirkan?" ulang saya lagi.

"Aku merasa terhibur, kerana bot kita sudah memasuki kawasan perkampungan," tuturnya dan saya anggukkan kepala.

Bot terus bergerak dalam jarak yang agak dekat dengan tebing.

"Jauhkah lagi Nurul?"

"Kadang-kadang aku rasa pelik dengan kamu Tamar, sekejap kamu panggil aku Hayat, sekejap kamu panggil Nurul. Kamu panggil ikut sedap mulut saja," Nurul melahirkan rasa kurang senang.

"Panggil apa pun, orangnya tetap sama, sekarang aku nak tahu jauh ke lagi?"

Nurul Hayat gelengkan kepala sambil tersenyum panjang. Agaknya terasa lucu dengan perangai saya.

Ikut suka kamulah, apa yang mahu kamu fikirkan tentang diri ini, fikir saya dalam hati kecil.

Bila melihat saya tidak memberi sebarang reaksi sama ada positif atau negatif, Nurul Hayat bersikap macam biasa kembali, seolah-olah tidak ambil kisah tentang apa yang mahu saya sebut mengenai dirinya. Itulah yang menyenangkan hati saya.

"Tak jauh lagi," jawab Nurul Hayat lembut.

Dan tanpa diminta dia terus menyebut nama Kampung Olak Kemang, Ulu Gedung, Tengaj, Jelmu, Mudung Laut, Tahtul Yaman dan Tanjung Laut.

Nurul Hayat juga menekankan bahawa kampung-kampung yang terletak di daerah Pelayangan dan Danau Teluk itu memang menyimpan suasana kehidupan yang amat bersahaja.

Sejak dulu hingga kini para penduduk kampung tersebut masih mempertahankan cara hidup dan tradisi lama.

"Kenapa ada Tanjung Johor di Jambi, sepatutnya nama ini ada di Semenanjung," potong saya yang sudah bosan mendengar tutur kata Nurul Hayat yang seolah-olah mempamerkan rasa megah dan bangga dengan tempat sendiri.

"Orang dari Johor yang membukanya sebab itulah dipanggil Tanjung Johor."

"Aku faham sekarang tapi, adakah lagi keturunan orang yang membuka kampung itu Nurul?"

"Itu aku tak tahu. Kalau kamu nak buat penyiasatan aku boleh tolong."

"Kamu memperolok-olokkan aku Nurul?"

Kata-kata yang saya ucapkan membuatkan Nurul Hayat terpampam.

Di tengah-tengah rasa terkejut itu, dia menarik nafas dalam-dalam untuk mencari ketenangan dan saya terus menatap air sungai yang mengalir jernih.

"Kamu selalu memikirkan hal-hal yang buruk tentang aku Tamar. Aku tak ada niat mahu mempermainkan kamu. Aku bercakap benar."

"Aku ni kadang-kadang terlalu ikutkan perasaan, maafkan aku. Kalau kamu sedia menolong, beri masa pada aku untuk membuat persiapan dan perancangan yang teliti, Nurul. "

"Bila agaknya Tamar."

"Mungkin minggu depan, kalau Datuk aku izinkan."

"Kamu tak takut berjumpa dengan orang KUBU," kata Nurul Hayat, kemudian dia ketawa.

Saya mengalami kejutan. Supaya tidak ketara saya terus tersenyum.

Hati kecil saya segera membuat kesimpulan bahawa Nurul Hayat tidak serius dalam hal ini. Dia sekadar mahu menguji kesungguhan hati saya.

Tak mengapa, kalau tadi dia tersinggung dengan tindakan saya, sekarang giliran saya pula menerimanya, saya mendamaikan hati yang mula baran.

Nurul Hayat membetulkan tudungnya yang terlibas atas bahu kiri akibat di tiup angin.

"Kau duduklah, aku ada hal," kata Nurul Hayat sambil memulakan langkah menuju ke bahagian tengah bot.

"Kamu mahu ke mana Nurul?"

"Ke bawah, nak jumpa ayah."

"Buat apa jumpa ayah, ada masalah?"

"Nak bantu dia, nak tengok macam mana dia rapatkan bot ke tebing," sahut Nurul Hayat tanpa mahu memandang wajah saya. Dia terus turun ke bahagian bawah bot.

Saya terus duduk berdiri lutut. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan, apa yang pasti saya sungguh kecewa dengan sikap Nurul Hayat yang meninggalkan saya sendiri.

Saya terus memeluk lutut sambil merenung ke depan, sayup-sayup ternampak jambatan Aur Duri.

Bot besar dan kecil di samping sampan bergerak bebas di bawahnya. Tanpa disedari bot yang saya tumpangi sudah berada di kawasan sungai kota Jambi.

PELABUHAN

Dari tengah sungai Batanghari saya merenung kota Jambi yang nampak tenang di bawah sinar matahari petang. Bangunan lama dan baru berdiri seiring.

Saya tidak mengagak berapa luas dan besar kota tersebut, saya kira besarnya mungkin sebesar bandar Melaka.

Manusia dan kenderaan bergerak dengan aman. Manakala di pelabuhannya berlabuh bot-bot besar dan tongkang. Bot-bot penumpang datang silih berganti.

Semua yang saya lihat membuat saya terlupa tentang Nurul Hayat. Apa yang ada di hati saya ialah rasa terharu yang amat sangat. Impian saya hampir menjadi kenyataan.

"Itulah pekan Jambi. Kita nak mendarat di situ. Kita mendarat di seberang pekan Jambi. Bila kita dah mendarat, aku kenalkan kamu dengan sanak saudara sebelah aku.

"Bila ada masa kita pergi ke bandar Palembang dan beberapa tempat lagi," saya menoleh ke arah suara tersebut.

Apa yang saya lihat ialah wajah Datuk yang mempamerkan senyum. Saya tidak sedar, bila dia berdiri di sisi saya.

Mungkin kerana terlalu gembira menyebabkan Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Penuh kemesraan.

"Tamar, aku tinggalkan tanah Jambi ni dulu, masa aku muda belia, masa aku bujang. Sekarang aku pulang dengan membawa seorang cucu," kata Datuk dalam nada suara yang terharu.

Matanya terus merenung ke arah permukaan air sungai Batanghari yang mengalir lembut. Datuk alihkan renungan ke bangunan di kota Jambi yang berdiri kaku. Saya kira batin Datuk menemui kepuasan yang tiada taranya.

"Tamar!"

"Iya tuk."

"Kamu suka dengan apa yang kamu tengok ni?"

"Suka tuk."

"Kalau diizinkan Allah, selepas bertemu saudara mara Datuk di sini, kita pergi ke tanah Kerinci."

"Iya tuk," saya segera anggukkan kepala dan tidak kuasa mahu mengajukan sebarang pertanyaan lagi.

Bosan. Terlalu banyak rancangan yang tidak disusun muncul dalam kepala Datuk. Bot terus bergerak.

"Kenapa tak turun di sini tuk?" tanya saya setelah menyedari bot yang dinaiki mengubah haluan.

Tidak menuju ke pelabuhan kota Jambi seperti apa yang saya harapkan.

"Barangkali ayah Nurul Hayat tak tahu yang kita nak turun di sini tuk," sambung saya dengan tenang. Datuk tersenyum lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

"Kita tak turun di pekan Jambi, Tamar. Kita mendarat di seberang pekan Jambi," ujar Datuk lembut.

Senyum kepuasan terus berlari di kelopak bibirnya. Benarlah, apa yang Datuk katakan. Kerana itu bot ubah haluan ke arah tebing yang bertentangan dengan pekan Jambi.

Makin lama bot makin dekat dengan daratan dan akhirnya rapat di tebing sungai.

"Ini Kampung Mudung Laut namanya Tamar," Datuk memberikan penerangan.

"Orang-orang di Jambi menyebut kampung-kampung yang terdapat di tebing sebelah sini, sebagai Kampung Seberang," lanjut Datuk lagi.

Saya tetap macam tadi terus anggukkan kepala. Pertanyaan akan diajukan kepada Datuk bila difikirkan perlu.

Enjin bot dimatikan tetapi bot masih bergerak menuju ke pelantar. Bahagian tepi bot sebelah kanan bergesel dengan bahagian tepi pelantar. Badan bot bergegar.

Nurul Hayat dan ayahnya segera keluar dari bahagian enjin bot. Dengan tangkas sekali Nurul Hayat melompat ke atas pelantar.

Si ayah segera melemparkan tali bot ke arah Nurul Hayat. Dengan cekap sekali Nurul Hayat membelitkan tali bot ke batang kayu yang memang disediakan di situ.

Fuad Hassan segera melangkah ke atas pelantar. Datuk juga melangkah ke pelantar.

Saya masih belum bertindak, masih tercegat di tengah perut bot. Nurul Hayat memandang ke arah saya dengan senyum.

"Hai, kenapa tercegat di situ macam patung, ke marilah," kata Datuk.

Saya segera melangkah dan berdiri di bibir bot. Dengan penuh keyakinan saya pun melompat, namun kerana tidak dapat mengimbangi badan dengan baik, saya terdorong ke depan dan terbabas ke tepi pelantar.

Nasib baik saya dapat memeluk tiang tempat pengikat tali bot. Kalau tidak tentu saya jatuh ke dalam sungai.

Nurul Hayat tidak dapat menahan rasa lucu, bila melihat saya memeluk tiang. Dia ketawa.

"Kenapa ketawakan orang yang susah," Fuad Hassan menegur kelakuan Nurul Hayat.

Ketawa Nurul Hayat tersentap. Dia tersipu-sipu malu tetapi masih sempat memberikan kerlingan tajam kepada saya.

"Sampai di sini saja tugas saya," Fuad Hassan merenung wajah Datuk sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Telapak tangan Datuk dan Fuad Hassan bercantum erat.

"Terima kasih, budi kamu susah saya nak balas," sahut Datuk. Telapak tangan mereka masih berpadu erat.

"Tak payah nak balas-balas."

"Apa kamu nak balik ke Kuala Tungkal? Hari dah petang benar. Kalau tengok pada condongnya matahari dah pukul lima lebih."

Datuk dongakkan wajahnya ke arah matahari. Telapak tangannya dan telapak tangan Fuad Hassan tidak lagi bercantum.

"Tidak. Kalau saya balik ertinya saya menempah bahaya," Fuad Hassan menarik nafas dalam-dalam.

"Boleh jadi saya berada di sini dalam sehari dua. Boleh jadi seminggu dua. Saya menanti dan berharap ada orang yang nak menyewa bot saya ke Kuala Tungkal, tidaklah saya balik kosong saja," lanjut Fuad Hassan.

"Maksudnya menyewa untuk bawa barang."

"Iya," angguk Fuad Hassan.

"Apa barangnya, Fuad."

"Macam-macam, kadang-kadang getah, hasil tanaman kampung dan apa saja," jelas Fuad Hassan penuh yakin. Datuk anggukkan kepala.

DIALOG

Dalam masa Datuk berdialog dengan Fuad Hassan, saya mengambil kesempatan menjeling dan genyit mata ke arah Nurul Hayat. Dia tersenyum sambil mengetap gigi.

"Jadi malam ni kau bermalam di mana Fuad?"

"Bermalam di rumah adik ipar saya," ungkap Fuad Hassan.

Dia terus mencuit bahu Nurul Hayat memberi isyarat supaya bergerak. Saya jadi tak tentu arah.

Tidak dapat memberikan lambaian tangan kerana mata Datuk dan Fuad Hassan tertumpu ke arah saya.

Fuad Hassan dan Nurul Hayat melangkah ke arah sebuah kedai runcit. Saya gembira kerana Datuk juga menuju ke arah kedai tersebut.

Saya masih mempunyai peluang untuk berkata sesuatu dengan Nurul Hayat. Sekurang-kurangnya menjeling atau melemparkan senyum ke arahnya.

Sebaik saja sampai di depan kedai runcit, lagi sekali Datuk dan Fuad Hassan bertentang wajah.

Saya bergerak ke sana, bergerak ke sini di belakang Datuk. Cari peluang untuk bercakap dengan Nurul Hayat.

Saya tahu dia juga resah gelisah macam saya. Malangnya kesempatan yang dicari tidak muncul. Hampa dan kecewa menguasai diri.

"Terima kasih atas bantuan awak," untuk sekian kalinya Datuk berkata demikian.

Amat keterlaluan menghargai jasa orang, cara begini tidak sesuai dengan saya.

"Pertolongan saya terlalu kecil," balas Fuad Hassan. Datuk senyum.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 150/284

BACA: SBDJ Siri 149: Syaitan Jadi Dampingan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon