Tuesday, September 20, 2022

Kisah Kemunculan Semula Legenda Mat Kilau

Kisah Kemunculan Semula Legenda Mat Kilau

Kisah Mat Kilau sangat unik. Beliau diisytiharkan mati pada 1895 di Kelantan untuk mengelak daripada diburu penjajah British, kemudian muncul semula pada 1969 sebelum meninggal dunia kurang setahun selepas itu.

Keratan akhbar Mat Kilau

Selama lebih tujuh dekad, Mat Kilau berpindah-randah sehingga ke Pattani, Thailand sebelum menetap semula di Pahang dengan identiti baharu. Kemunculan semula beliau pada hari Jumaat, 26 Disember 1969 di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut menggemparkan negara.

Mat Siam

Mengikut kisah yang diceritakan Mat Kilau kepada wartawan Utusan Malaysia, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad, selepas tamat Perang Bahaman di Semantan, Pahang, beliau dan Dato' Bahaman telah mengundurkan diri. Dato' Bahaman akhirnya dikatakan meninggal dunia di Kelantan.

Beliau kemudiannya pulang semula ke Pahang pada tahun 1900, ketika Pahang di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abdullah.

Pada 1927, Mat Kilau dititahkan oleh Sultan Abdullah supaya menukar namanya kepada Mat Siam dan berpindah dari Kampung Tanjung Medang, Pekan ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran-Kuantan. Ini untuk mengelakkan beliau daripada dikesan oleh pihak British yang ketika itu masih berkuasa di Pahang.

Pada 26 Disember 1969, Mat Kilau menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Pulau Tawar. Selepas solat dan membaca al-Quran buat seketika, beliau membuat pengumuman dan mendedahkan identitinya sebagai Mat Kilau di hadapan lebih 100 jemaah masjid tersebut.

Beliau turut mendedahkan beberapa tanda pada badannya bagi membuktikan dirinya Mat Kilau, termasuk tahi lalat di pipi kanan, tahi lalat panjang di bahu kiri dan sebiji buntat embun yang tertanam di celah jari kelingking kaki kirinya.

Malah, beliau turut menunjukkan beberapa parut peluru di tubuhnya. Parut tersebut jumlahnya mencecah puluhan.

Wawancara Utusan Malaysia

Utusan Malaysia merupakan akhbar pertama yang mewawancara Mat Kilau secara eksklusif selepas pahlawan itu muncul semula. Wawancara tersebut disiarkan pada 29 Disember 1969 dengan tajuk "Sah: Pahlawan Mat Kilau maseh hidup".

Wawancara tersebut dijalankan oleh wartawan, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad dan dalam wawancara tersebut, Mat Kilau membahasakan dirinya sebagai Aki.

Menurut Nordin dan Haji Alang, pada usia 122 tahun, Mat Kilau masih boleh berjalan dengan gagah, cuma pandangan sedikit kabur. Malah, pendengarannya juga masih jelas.

Kepada Nordin dan Haji Alang, Mat Kilau menceritakan semula kisahnya yang bersama berperang dengan Dato Bahaman sebelum berundur dan menyembunyikan diri.

Ketika bercerita tentang kembalinya beliau ke Pahang pada 1900, Mat Kilau tiba-tiba berhenti dan menangis. Beliau kemudiannya mengucapkan tahlil dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Lahir di Pulau Tawar, mahu mati di Pulau Tawar

Hampir 15 minit Mat Kilau mendiamkan diri selepas menangis. Wartawan yang mewawancara juga tidak cuba mengajukan soalan lagi, sebaliknya menunggu pahlawan gagah itu bersedia meneruskan cerita.

"Aki gembira dapat berada dengan sanak saudara setelah 78 tahun berpisah. Aki lahir di Pulau Tawar dan mahu mati di sini juga," kata Mat Kilau sambil memandang ke wajah wartawan yang mewawancara.

Pandangannya dilempar kepada tetamu lain pula seraya berkata, "Aki tidak mempunyai sebarang ilmu untuk diberikan kepada anak-anak semua".

Mat Kilau kemudiannya melanjutkan cerita tentang peperangan lain, iaitu Perang Kuala Lipis-Budu yang menyaksikan beliau membunuh sepasukan tentera upahan British yang terdiri daripada tentera Sikh di Kuala Tembeling.

Dalam perang tersebut, Mat Kilau berhadapan dengan 'hujan peluru', sedangkan beliau hanya bersenjatakan sundang dan senjata lain.

Sundang yang digunakan dalam perang itu dikatakan disembunyikan di makam Tuan Senik, Beserah, Kuantan.

Digelar 'Babi Lemak'

Mat Kilau sekali lagi terdiam apabila dikemukakan soalan tentang pemergiannya dari negeri Pahang. Kata beliau, dia dihalau dari Pahang oleh penasihat British di negeri itu ketika itu, Hugh Clifford. Orang putih itu, kata beliau, turut menggelarnya sebagai 'babi lemak'.

"Sejak itulah Aki merantau dari kampung. Akhirnya Aki sampai di Kampung Penar dan Kampung Jambu di Pattani. Di sini Aki menjadi guru silat," katanya.

Kisah kemunculan semula Mat Kilau selepas puluhan tahun dianggap sudah meninggal dunia merupakan antara peristiwa paling menggemparkan yang pernah berlaku di negara ini.

Bukan sahaja kisah kepahlawanannya boleh menjadi inspirasi, malah kemampuannya untuk kekal sihat pada usia lebih seratus tahun terus menjadi tanda tanya.

Bagi mengesahkan identiti Mat Kilau, kerajaan Pahang telah menubuhkan jawatankuasa khas pada 8 Januari 1970 untuk menyiasat perkara tersebut.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Datuk Abdul Aziz Ahmad dan dianggotai Ibrahim Arshad, Abdul Razak Hitam, Kapten Mohd. Ali Muhammad, Zakaria Hitam dan Asaari Yaacob.

Jawatankuasa tersebut mengesahkan bahawa Mat Siam ialah Mat Kilau, melalui keterangan yang diberikan beberapa pihak seperti Tok Pawang Nong, Mustafa Awang Mat, Mek Munah, Pak Him serta dua bekas petugas di istana Sultan Abdullah, Idris Lambak dan Haji Abdul Hamid Lela.

Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, 10 hari selepas kerajaan Pahang mengesahkan identitinya.

Beliau meninggal dunia di Kampung Batu Lima, Kuantan di rumah yang didudukinya sejak berpindah ke kampung itu pada 1927.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, September 19, 2022

5 Kisah Mat Kilau Yang Anda Tidak Pernah Tahu

5 Kisah Mat Kilau Yang Anda Tidak Pernah Tahu

Mat Kilau merupakan antara nama besar, sebaris dengan nama-nama individu lain yang bangkit secara terbuka menentang penjajahan British. Sejarahnya mungkin secara ringkas sudah anda ketahui, tetapi bagaimana pula dengan beberapa kisah berbeza berkaitan beliau?

Berikut adalah lima kisah berbeza berkenaan Allahyarham Mat Kilau yang jarang mahu dikongsikan.

1. Semua gerakan Mat Kilau menentang British didalangi Sultan Pahang

Identiti Mat Kilau

Menurut perspektif British - semua insiden pemberontakan melibatkan Tok Bahaman, Imam Rasu (Tok Gajah) dan anaknya Mat Kilau sebenarnya berpunca daripada gerakan sulit didalangi Sultan Pahang sendiri.

Pendapat ini menimbulkan dilema di kalangan pegawai British yang mentadbir - kerana mereka tahu mereka perlu bekerjasama dengan Sultan, tetapi dalam masa yang sama perlu berhati-hati dengan kelicikan Sultan Pahang.

Pendapat ini disokong rekod British, kerana kebanyakan mangsa gerakan pemberontakan yang mati dibunuh bukan orang Melayu, sebaliknya individu berbangsa Cina dibawah perlindungan British, orang Sikh yang berkhidmat sebagai pegawai keselamatan dan ada juga melibatkan orang British sendiri.

Selepas Tok Bahaman menyerah diri, perbincangan berkenaan hukuman yang sepadan dengan jenayah yang telah mereka lakukan dimulakan.

Tetapi ekoran kebimbangan mereka terhadap pengaruh Sultan Pahang terhadap kumpulan pemberontak tersebut, British sukar membuat keputusan.

Sehinggakan bagi menghukum Tok Bahaman, ada idea untuk beliau dihantar saja ke tanah suci Mekah. Apa yang melucukan, idea itu ditolak kerana British risau orang Melayu melihat seandainya mereka memberontak, mereka dapat buat haji percuma ditaja British.

Mat Kilau yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kebun candu Kuala Lipis dan dua orang lelaki China di Bukit Kayu Arak, dilaporkan akan dihantar ke Pulau Andaman, lokasi di mana British membuang banduan-banduan dari India sekiranya berjaya diberkas dan dibicarakan.

2. Ayah Mat Kilau seorang yang cekap berpolitik

Dalam catatan sejarah, nama ayah Mat Kilau direkodkan sebagai 'Imam Rasu' atau gelarannya yang lebih terkenal 'Tok Gajah'. Bagi pihak penjajah yang bertungkus-lumus cuba menangkap Tok Gajah, gelaran yang mereka gunakan adalah 'Si Rasu.'

Beliau individu yang memainkan pengaruh yang sangat besar membentuk perjuangan anaknya Mat Kilau, selain daripada peranan besar dimainkan Orang Kaya Semantan iaitu Tok Bahaman (juga dirujuk sebagai Tok Rahman atau Tok Bahman).

Dalam satu operasi British, Imam Rasu menggunakan kepintarannya bermain politik di kalangan kesetiaan orang Melayu, menggunakan pengalamannya berbincang sehingga berjaya membuatkan seorang pemimpin pro-British bernama Penghulu Raja di Tembeling, Pahang berpaling tadah.

British pada ketika itu mengeluarkan arahan agar Penghulu Raja membina sekatan bagi menghalang pergerakan kumpulan pemberontak. Beliau pada awalnya menyatakan persetujuan tetapi mengamalkan sikap talam dua muka.

Benteng dibina demi memenuhi arahan, tetapi Imam Rasu, Mat Kilau dan para pengikut mereka dibenarkan Penghulu Raja untuk bermalam tidak jauh dari benteng tersebut hasil perbincangan dengan Tok Gajah. Siap mendapat perlindungan pasukan pengawal Penghulu Raja masa beradu.

Keesokannya, Tok Gajah dan pengikutnya meneruskan perjalanan ke Kelantan. Tidak jauh daripada kumpulan itu, Penghulu Raja turut bersama-sama bergerak mengekori kumpulan pemberontak tersebut dengan rombongan 30 orang lelaki, 70 orang wanita yang dikawal 17 laras senapang.

Pengkhianatan Penghulu Raja ini sangat mencabar British, kerana mereka tidak menyangka pengaruh individu pemberontak tersebut kepada orang Melayu.

Selepas British menyedari mereka dipermainkan, British mengeluarkan pengumuman bahawa Penghulu Raja dan semua pengikutnya yang berpaling tadah akan diampunkan sekiranya mereka kembali setia kepada British.

Tok Gajah berjaya memujuk Penghulu Raja untuk menggunakan pengaruh politik beliau, berjaya mengumpulkan kumpulan-kumpulan pahlawan sekitar Kelantan untuk sama-sama berjuang dengan mereka.

3. Identiti Mat Kilau menjadi polemik masyarakat

Selepas menyembunyikan diri berdekad-dekad lamanya daripada menjadi buruan British, Mat Kilau akhirnya keluar dari persembunyian pada penghujung tahun 1969.

Peristiwa ini mengejutkan semua pihak kerana majoriti berpendapat Mat Kilau telahpun mati terbunuh dalam satu insiden pertempuran dengan askar British, walaupun ada ura-ura mengatakan beliau terselamat dalam keadaan cedera parah.

Banyak pihak menafikan seorang lelaki tua yang kurus serta lebih dikenali dengan gelaran 'Mat Siam' adalah Mat Kilau yang terkenal.

Polemik mula timbul ekoran dakwaan tersebut, kerana dakwaan itu hanya bergantung kepada pengakuan individu itu semata-mata.

Kesangsian yang dipegang oleh sebilangan besar ahli masyarakat, tidak diterima ahli keluarga terdekat Mat Kilau.

Mereka tanpa rasa ragu-ragu percaya 'Mat Siam' atau apa saja gelaran yang pernah digunakannya seperti Mohamed bin Ibrahim, adalah Mat Kilau bin Imam Rasu yang sebenar.

Disahkan anaknya sendiri yang pada ketika itu sudah berusia 80 tahun, Mat Kilau ketika keluar dari persembunyian dipercayai sudah berusia 122 tahun dalam laporan akhbar. Hanya selepas penyelidikan dijalankan, angka ini diolah semula kepada 103/104 tahun.

Individu mengaku Mat Kilau itu didapati tetap mempunyai kemampuan mental yang kuat, masih sasa serta cukup memahami selok-belok urusan istana Pahang ketika dipanggil mengadap Sultan Pahang.

Kelakuan-kelakuan ini sedikit sebanyak menutup mulut mereka yang menafikan dakwaan yang timbul itu.

4. Usaha memfilemkan kisah beliau sudah lama berjalan tanpa hasil

Selepas kemunculan semula Mat Kilau daripada persembunyian serta pengesahan kerajaan negeri Pahang berkenaan identiti beliau, usaha untuk memfilemkan kisah hidup Mat Kilau mula digembar-gemburkan sekitar awal tahun 1970 - beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Pihak yang menyuarakan minat adalah rumah penerbitan Shaw yang ketika itu dikenali sebagai Pertubohan Shaw.

Shaw ketika itu sudah mengumumkan rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan Studio Merdeka (atau Merdeka Filem Productions) bagi memperhalusi idea tersebut.

Bagaimanapun ekoran masih banyak tanda tanya dan kontroversi berkenaan status sebenar kesahihan identiti Mat Kilau pada waktu tersebut, idea untuk memfilemkan kisah hidup beliau tidak menemui titik permulaannya.

Hanya pada tahun 2022, sebuah filem yang digarap berdasarkan kisah hidupnya serta ada elemen ditokok-tambah bagi mengangkat penceritaan berjaya diterbitkan.

Sambutan baik orang ramai terhadap filem ini membuktikan, masyarakat kita sebenarnya peduli tentang sejarah dan legasi orang lama.

5. Allahyarham Jins Samsuddin marah Mat Kilau dipakaikan Kot

Mat kilai berkot

Allahyarham Jins Samsuddin merupakan salah satu nama lama dan besar juga orang kuat industri perfileman kita.

Selepas kemunculan semula Mat Kilau dan wujud ura-ura kisah hidupnya difilemkan, Mat Kilau mula diberikan pendedahan dan peluang untuk muncul dalam media.

Dalam salah satu laporan yang disiarkan dalam akhbar berkenaan pahlawan tersebut yang ketika itu masih hidup, dipaparkan Mat Kilau berpakaian baju kot yang jelas peninggalan British.

Tindakan itu mendapat reaksi Jins Samsuddin yang menyifatkan pemilihan pakaian itu untuk dipakaikan kepada seorang pahlawan Melayu yang mengabadikan diri menentang penjajah, sebagai satu pengkhianatan kepada Mat Kilau dan juga kumpulan pahlawan Melayu di Pahang.

Menurut Jins Samsuddin, busana yang sepatutnya dipakai mestilah melambangkan orang Melayu, bertanjak dan berkeris agar lebih kena dengan kisah hidupnya.

Jins Samsuddin mengkritik mereka yang tidak sensitif dengan isu tersebut, sanggup memakaikan pahlawan Melayu pakaian yang menjadi legasi penjajah yang telah berjaya ditinggalkan.

Tidak ada maklum balas berkenaan kritikan itu direkodkan, sama ada oleh pihak penganjur majlis ataupun dari belah keluarga Mat Kilau sendiri.

Seandainya pada masa tersebut era internet, kami yakin isu ini pasti tular dan membawa kepada perbincangan hangat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, March 05, 2021

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Rambut Okiku atau 'Anak Patung Berhantu di Hokkaido' yang terletak di sebuah kuil di Iwamizawa, Jepun didakwa tumbuh seperti rambut manusia, dikatakan mempunyai semangat seorang budak perempuan.

Okiku
Gambar hiasan.

Terdapat banyak cerita legenda mengenai Okiku, tetapi yang paling popular adalah kisah anak patung Jepun tradisional itu dibeli oleh Eikichi Suzuki, seorang budak lelaki berumur 17 tahun dari Hokkaido, yang membelinya untuk adik perempuannya pada tahun 1918.

Budak perempuan itu, Kikuko yang berusia tiga tahun ketika itu, dikatakan sangat menyukai anak patung tersebut, membawanya ke mana sahaja dia pergi dan tidur dengannya setiap malam.

Tetapi, selepas Kikuko meninggal dunia ketika dia masih kecil, keadaan berubah menjadi aneh dan menyeramkan.

Keluarga Kikuko telah menyimpan anak patung itu di sebuah kuil kecil sebagai tanda mengenangnya. Mereka juga menamakannya sebagai 'Okiku' selepas anak perempuan mereka meninggal dunia dan mula berdoa untuknya.

Pada satu ketika, mereka melihat sesuatu yang sangat luar biasa!

Patung Okiku

Rambut anak patung ini tumbuh dan menjadi lebih panjang. Mereka menganggap keadaan ini menunjukkan anak patung itu mempunyai semangat Kikuko.

Pada tahun 1938, keluarga Kikuko memutuskan untuk berpindah dari Hokkaido dan bersetuju untuk anak patung itu kekal di pulau tersebut.

Jadi mereka meletakkan kepercayaan kepada sami-sami di Kuil Mannenji dan berkongsi rahsia menyeramkan itu dengan mereka.

Sejak itu Okiku kekal di kuil berkenaan dan orang ramai sering datang ke situ untuk melihat rambut yang dikatakan tumbuh pada patung itu, tetapi mereka tidak dibenarkan mengambil gambar.

Kini, Okiku mempunyai rambut panjang sehingga paras lutut. Ia mungkin lebih panjang, tetapi para sami sentiasa memotongnya dari semasa ke semasa.

Sebenarnya, bertindak seperti itu sangat membahayakan tetapi Grape melaporkan salah seorang sami mula melakukannya selepas bermimpi Okiku sendiri meminta rambutnya dipotong.

Kuil
Kuil Mannenji (wikipedia).

Sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan mengapa rambut anak patung itu terus tumbuh.

Sesetengah sumber mendakwa, pemeriksaan saintifik terhadap anak patung itu menunjukkan bahawa rambutnya adalah rambut manusia.

Malah ada yang mendakwa jika anda berada cukup dekat dengan Okiku dan melihat mulutnya yang separuh ternganga, anda dapat melihat giginya juga tumbuh seperti manusia.

Cerita Okiku telah menjadi ilham untuk penulisan novel, filem dan drama tradisional, yang mana unsur-unsur lebih menyeramkan ditambah.

Jadi jika anda berada di pulau Hokkaido, Jepun dan ingin melihat anak patung berhantu itu sendiri, pergilah ke Kuil Mannenji untuk bertemu Okiku, anak patung berhantu yang terkenal di Hokkaido.

Misteri kan?

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Tuesday, February 16, 2021

Kisah Legenda Golem

Kisah Legenda Golem

Konsep mencipta manusia buatan oleh seorang manusia sebenar tanpa penglibatan Tuhan bukanlah suatu perkara yang janggal dalam norma masyarakat terdahulu. Sebagai contoh dalam ilmu hitam Yahudi iaitu ilmu Kabbalah, terdapat beberapa legenda dan kisah yang menceritakan kewujudan makhluk kecil berupa manusia (homunculus) dan makhluk yang diperbuat daripada tanah liat (golem) menerusi amalan magis dan mistik, yang menggambarkan keupayaan manusia "berkongsi" kuasa Tuhan.

Golem
Gambar hiasan.

Penganut Kristian dan Yahudi pada ketika itu melarang perbuatan menghidupkan makhluk atas keupayaan sendiri, dan menganggap ia amalan syirik (blasphemy), melanggar batas kemanusiaan dan mempercayai ianya suatu perjanjian yang dibuat bersama Syaitan.

Sebelum kebangkitan ilmu sains, (iaitu zaman pra-sains), idea pembentukan manusia buatan (homunculus dan golem) sudah lama bertapak dalam amalan masyarakat lama.

Menurut sejarah, masyarakat ketika itu sudah pun mempunyai teknologi mekanikal, iaitu pergerakan automatik yang menggunakan kuasa stim dan pergerakan pasir.

Pada ketika itu, patung mekanikal (puppetry) sudah lama diamalkan, seperti burung mekanikal, patung ukiran bergerak dan teater patung mekanikal kecil.

Malah, selain dicipta sebagai suatu bentuk hiburan, patung-patung ini juga digunakan dalam ritual penyembahan mereka.

Agama Theurgy

Mereka mempercayai bahawa pembentukan manusia buatan oleh seorang manusia sebenar (puppetry) bukanlah untuk membentuk suatu bangsa manusia yang baru atau memberi "nyawa" kepada benda tidak hidup, akan tetapi sebaliknya merupakan penyediaan untuk kefahaman keagamaan Theurgy.

Theurgy adalah kefahaman agama yang mana mengamalkan ritual menyeru atau memanggil para 'Tuhan' untuk memasuki dan bersemadi didalam jasad seseorang manusia demi mencapai henosis (kesempurnaan diri).

Ia didirikan oleh aliran kefahaman NeoPlatonism pada era Zaman Pertengahan, dengan penggunaan patung (artificial intelligence) dalam amalan keagamaan ini seakan menjemput Tuhan mereka untuk bersemadi didalam jasad buatan ini.

Seperti magnet yang menarik kuasa Tuhan, lebih kurang, bahkan Pope Sylvester II pernah direkod berkomunikasi dengan suatu "kepala yang bergerak".

Golem

Golem merupakan makhluk mistik dari kepercayaan Yahudi yang dicipta oleh manusia melalui tanah liat atau lumpur, untuk melakukan tugasan dan melindungi tuannya.

Golem tidak mempunyai bentuk tubuh yang spesifik, hanya digambarkan sebagai makhluk tidak berbentuk.

Golem dipercayai boleh dikawal oleh penciptanya sendiri, atau diwariskan kepada orang lain.

Golem mempunyai kekuatan luarbiasa melebihi kemampuan manusia, akan tetapi tidak mempunyai kecerdasan otak, sekadar patung kosong yang menurut perintah sahaja.

Sejarah kisah golem awalnya diceritakan didalam kitab Talmud secara singkat dan agak kabur, menceritakan kisah Adam pada awalnya diperbuat daripada lumpur dan tanah liat tanpa sebarang bentuk manusia, hanya untuk 12 jam pertama kewujudannya.

Kemudiannya golem diceritakan pernah dicipta oleh Rava, seorang rabbi di Mahoza, yang menghantar golemnya berjumpa Rav Zeira di Israel.

Apabila ditanya soalan oleh Rav Zeira kepada golem tersebut, ia tidak menyahut akibat dari ketidakupayaannya untuk bersuara.

Lantas Zeira berkata, "Engkau diciptakan oleh yang berilmu, maka kembalilah engkau menjadi debu".

Akan tetapi kisah golem yang paling signifikan adalah berkenaan Golem Chelm yang dicipta oleh Rabbi Eliyahu (Elijah) dari Chelm.

Dikhabarkan, seorang pengamal ilmu Kabbalah pernah ternampak Rabbi Eliyahu mencipta sebuah golem dan mengarahkannya melakukan tugasan berat bagi pihaknya.

Pada dahi golem tersebu terdapat perkataan אמת (Emet) yang membawa maksud Kebenaran.

Akan tetapi, lama-kelamaan golem tersebut menjadi semakin besar dan Rabbi Eliyahu risau sekiranya golem ini menjadi terlampau besar, ia boleh memusnahkan dunia ini.

Maka Rabbi Eliyahu bertindak memadamkan satu huruf pada perkataan Emet menjadi מת (Met) yang membawa maksud Kematian dan sejurus memadam huruf tersebut, golem itu berderai menjadi debu semula. Kisah ini juga direkodkan oleh Rabbi Jacob Emden.

Golem juga dikatakan boleh dikawal dengan meletakkan satu skrol kecil yang mengandungi beberapa huruf membentuk shem, iaitu nama-nama Tuhan Judaism ke dalam mulut golem.

Dan Golem secara ringkasnya adalah makhluk yang diberi nyawa, tapi tidak memiliki roh.

ETIMOLOGI HOMUNCULUS DAN GOLEM

Homunculus berasal dari perkataan Latin homo (manusia) dan -culus (kata nama bagi sesuatu alatan atau pekakas).

Gabungan kedua perkataan ini membentuk homunculus (homunculi jika banyak) yang bererti, manusia kerdil.

Golem pula diambil dari perkataan Hebrew, gólem dan Yiddish, goylem yang membawa maksud objek tidak berbentuk (shapeless mass).

SAINS DISEBALIK HOMUNCULUS

Homunculi (homunculus) digambarkan sebagai jasad yang dibentuk oleh manusia melalui amalan magik.

Homunculi, seperti yang direkodkan oleh Paracelsus (1493-1541), adalah seorang manusia yang dibentuk melalui sperma laki-laki tanpa menjalani proses 'mengawan' bersama wanita mahupun melibatkan jasad seorang wanita (yang dipercayai adalah sumber sihir black magic, witchcraft).

Menurut beliau lagi; "Seorang homunculus boleh dicipta dengan cara meletakkan sperma didalam sebuah bekas kaca kedap udara, dan ditanam didalam baja (najis) kuda selama 40 hari, nescaya ia akan mula hidup dan bergerak.

"Beberapa seketika, ia akan mula membentuk seperti bentuknya jasad manusia, akan tetapi ia masih lut cahaya dan tiada badan yang sebenar.

"Jika ia kekal diberi Arcanum sanguinis hominis sehingga minggu ke 40, dan masih dibiarkan didalam baja kuda dengan suhu yang terkawal, ia akan tumbuh sepertimana tumbuhnya seorang kanak-kanak dari rahim wanita, lengkap dengan anggota. Akan tetapi ia bersaiz lebih kecil berbanding kanak-kanak biasa.

"Kami menggelarkannya homunculus. Ia boleh dibesarkan dan membesar, diajar dan belajar, membentuk logik, rasional dan mampu menjaga dirinya sendiri."

Ada yang berpendapat bahawa, "Arcanum sanguinis hominis" bermaksud darah manusia, manakala ada yang berpendapat ianya adalah sperma manusia, selain ia mungkin merujuk kepada ovum wanita.

Ada juga yang berpendapat bahawa Paracelsus sebenarnya sedang menerangkan tentang proses persenyawaan manusia diluar rahim (vitrofertilization), akan tetapi menggunakan konsep mistik dan magis untuk kefahaman masyarakat eranya.

Ini tidak jauh bezanya dengan amalan membentuk embrio melalui test tube yang diguna pakai hari ini, dimana baja diibaratkan sebagai inkubator meregulasikan suhu, berlarutan sehingga 40 hari sepertimana diperlukan embrio didalam rahim, dan melibatkan dua gametes (sperma dan ovum).

Amalan membentuk homunculus ini sebenarnya sudah dinyatakan dalam ilmu alchemy, suatu ilmu purba yang dibangunkan di Mesir.

Alchemy asasnya merupakan ilmu spiritual yang mengkaji rahsia pembentukan alam semulajadi, melalui kesedaran spiritual dan kepercayaan bahawa diri si pengkaji dan alam adalah satu.

Ilmu ini kemudiannya berubah mengikut zaman sehinggalah ia kini dikenali sebagai sains kimia.

SAINS DISEBALIK GOLEM

Kisah kewujudan golem banyak diimplementasi didalam karya fiksyen moden, seperti filem Frankenstein karya Mary Shelley atau tulisan bersiri The Lord Of The Rings, karya J.R.R. Tolkien.

Namun, adakah golem itu mampu dihidupkan secara saintifik?

Diteorikan bahawa ketika era agama Yahudi, golem hanya diciptakan daripada tanah liat dan lumpur, kerana besar kemungkinan pada ketika itu, masih tiada lagi mineral yang cukup kuat untuk dijadikan tubuh makhluk ini.

Pendek kata, lumpur dan tanah liat merupakan bahan paling banyak dan paling kukuh yang boleh digunakan untuk membentuk sebuah golem.

Manakala imej yang sering ditunjukkan didalam filem moden pula menggambarkan golem tercipta daripada objek-objek keras seperti kerikil, batuan bukit, berlian, magma, atau batu besar seperti yang dipertontonkan dalam siri Supernatural.

Sebenarnya, imej golem sudahpun bertapak dalam dunia serba moden kita ini, walaupun tidak diciptakan menggunakan batuan dan tanah liat, manusia sudahpun mencipta golem menggunakan besi, aloi dan campuran bahan metalik.

Ya, kita tidak memanggilnya sebagai golem, akan tetapi menggelarkannya sebagai robot yang dicirikan sebagai makhluk ciptaan manusia yang diberi nyawa tetapi tiada roh.

Robot acapkali ditugaskan untuk melindungi pemilik dan ahli keluarganya, habitatnya (rumah, bangunan, negara), dan diberikan tugasan-tugasan untuk dilengkapkan oleh tuannya.

Robot tidak berakal, dan tidak mampu bertutur (berkomunikasi). Ia perlu dikawal oleh manusia untuk beroperasi. Ia mempunyai keupayaan luarbiasa melebihi kemampuan manusia. Sama seperti golem, bukan?

Berkenaan penggunaan tulisan untuk mengaktifkan, mengawal dan mematikan golem, ini juga digunapakai ketika mengendalikan robot.

Walaupun tidak menggunakan nama Tuhan, tulisan-tulisan ini boleh diibaratkan seperti memasukkan kod atau data bagi menghidupkan, mengawal, dan mematikan robot-robot ini.

Data dan kod ini dicipta dalam bentuk kata kunci, analog dan lain-lain bentuk, dan ia mempunyai "kuasa" tersendiri, sama seperti penggunaan nama Tuhan.

Bahkan, terdapat suatu konferens bertajuk Beyond Artificial Intelligence telah dijalankan di Czech Republic pada tahun 2013 berkenaan pembuatan atau penciptaan artificial intelligence berdasarkan pembentukan golem, dan sebuah kertas kerja telah dihantar, bertajuk "Artificial Golem Intelligence".

PENUTUP

Ringkasnya, pembentukan homunculus dan penciptaan golem sebenarnya selari dengan pembentukan embrio daripada proses vitrofertilization dan penciptaan robot pada masa kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: fb

Monday, August 17, 2020

Legenda Batu Panggah, Rumah Yang Di Sumpah Kerana Cinta Terlarang!

Legenda Batu Panggah, Rumah Yang Di Sumpah Kerana Cinta Terlarang!

Sekiranya anda berpeluang menjejakkan kaki ke Borneo Highland Resorts, Sarawak, jangan lupa untuk melawat serta melihat sendiri keunikan Batu Panggah yang dikatakan mirip seperti wajah seorang manusia.

Legenda Batu Panggah

Panggah bermaksud Rumah Kepala, jadi Batu Panggah merujuk kepada Batu Rumah Kepala yang merupakan lambang kisah cinta terlarang antara dua insan.

Kononnya, pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang saling bermusuhan sehinggakan tiada seorang pun daripada mana-mana penduduk boleh menjejakkan kaki ke sempadan kampung yang lain.

Namun begitu, akhirnya terdapat seorang lelaki dan perempuan telah saling jatuh cinta antara satu sama lain.

Suatu hari, kisah cinta mereka sampai ke pengetahuan Tuai Rumah (ketua kampung) di kampung mereka.

Maka, suatu perintah telah dikeluarkan yang memberi arahan agar menangkap pasangan kekasih ini sama ada hidup atau pun mati!

Mendengarkan arahan tersebut, pasangan kekasih ini telah nekad untuk melarikan diri, namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana semasa dalam pelarian, hujan lebat telah turun mencurah-curah membasahi bumi.

Akibat hujan yang amat lebat, maka kedua pasangan bercinta ini telah mengambil keputusan untuk berlindung di sebuah rumah kayu.

Tetapi, rumah yang dimasuki mereka bukanlah sebarangan rumah kerana ia merupakan sebuah rumah yang digelar Rumah Kepala.

Dikatakan Rumah Kepala ini menjadi tempat menyimpan kepala dan tengkorak sebagai simbol kemenangan.

Tambahan lagi, legenda telah mengatakan bahawa orang perempuan serta kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada memasuki rumah tersebut.

Akibat daripada itu, kilat telah menyambar tepat ke Rumah Kepala lalu menukarkannya menjadi sebuah batu yang amat besar serta mempunyai wajah persis manusia.

Sejurus selepas panahan kilat itu juga, segala pintu keluar dari rumah tersebut telah ditutup dan kedua-dua pasangan itu terperangkap di dalamnya.

Akhirnya, apabila orang kampung sampai ke sana, maka tahulah mereka bahawa pasangan yang dicari mereka itu telah memasuki rumah itu kerana perubahan fizikal Rumah Kepala tersebut.

Maka, Rumah Kepala terus kekal sehingga sekarang menjadi batu yang diberikan nama Batu Panggah.

Siapa sangka di Malaysia juga terdapat batu seakan-akan mirip seperti batu di Kepulauan Easter.

Nampaknya, sebelum kita mengembara jauh ke Kepulauan Easter, eloklah kiranya jika mengembara di dalam negara terlebih dahulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Sunday, June 07, 2020

Legenda Sarjan Korom, Pahlawan Murut Yang Menentang Tentera Jepun

Legenda Sarjan Korom, Pahlawan Murut Yang Menentang Tentera Jepun

Kehebatan Sarjan Korom ketika menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia Ke 2 dahulu, sering menjadi bualan generasi lama, namun perjuangan dan pengorbanan beliau semakin dilupakan dari ingatan generasi baharu hari ini.

Legenda Sarjan Korom

Individu hebat bernama Sarjan Korom ini, berasal dari Kampung Sumatalun dalam daerah Pensiangan di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau merupakan salah seorang pahlawan Murut yang sangat terkenal pada zaman penjajahan Jepun.

Sarjan Korom dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang sangat tinggi dan menurut cerita lisan masyarakat tempatan, dia menerima kekuatan yang luar biasa selepas tidur di atas rumpun bambu.

Sewaktu beliau sedang tidur nyenyak, tiba-tiba muncul seorang wanita yang sangat cantik dan menawarkan kepadanya kuasa sakti, tetapi dengan syarat beliau harus memperisterikan wanita tersebut.

Selepas itu, Sarjan Korom amat digeruni oleh musuh kerana ilmu batinnya yang sangat luar biasa.

Sebagai bukti, Sarjan Korom pernah diseksa dengan pelbagai jenis seksaan oleh pihak Jepun.

Antaranya, disebat sehinggalah ditarik dengan kereta selepas diikat dengan jip dan yang peliknya, tiada satu pun dari semua seksaan dapat melukakan badan Sarjan Korom.

Beliau juga dikatakan pernah dikenakan hukuman pancung tetapi pedang milik Jepun dikatakan tidak mampu menembusi lehernya.

Pingat Victoria Cross

Sarjan Korom pernah mengetuai satu serangan ke atas markas tentera Jepun dan berjaya membebaskan 500 orang tentera British yang berada dalam tahanan.

Beliau juga pernah menyusup masuk ke Pulau Berhala untuk membebaskan dua orang pegawai tinggi tentera British.

Sarjan Korom kemudiannya dijemput oleh pihak British untuk menerima pingat penghargaan di London pada 17 Jun 1946.

Sarjan Korom telah dianugerahkan pingat Victoria Cross sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangannya membebaskan dua pegawai tinggi British itu.

Penglibatan Sarjan Korom dalam perang Dunia Kedua, dikatakan telah banyak membantu tentera British dan Australia (Tentera Bersekutu) dalam membebaskan tahanan yang ditawan oleh tentera Jepun.

Sarjan Korom meninggal dunia pada tahun 1960 di Pensiangan Sabah kerana sakit dan kawasan kubur Sarjan Korom dikatakan memiliki kuasa mistik.

Dikatakan bahawa, sekiranya ada binatang seperti tikus yang memasuki kawasan kuburnya, pasti akan mati serta-merta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sejarah

Wednesday, February 26, 2020

Misteri Meriam Keramat Segamat

Misteri Meriam Keramat Segamat

Bunyi dentuman kuat yang mengejutkan dan mencetuskan tanda tanya dikalangan penduduk terutamanya kawasan perkampungan di Segamat, terus kekal misteri dan ada yang mendakwa ia adalah petanda banjir besar akan berlaku.

Meriam Segamat

Seorang penduduk Kampung Jawa, Segamat berkata, ketika berada di rumahnya sekitar 9.30 malam, dia terdengar dentuman kuat yang tidak diketahui puncanya.

Bunyi berturutan didengari itu seolah-olah letupan meriam, tetapi sudah pasti bukan letupan dari kuari kerana kedudukan kuari jauh dari situ.

Tidak mungkin bunyi letupan itu daripada aktiviti meletup batu kerana ia hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja.

Cuaca pada masa itu juga baik dan mustahil untuk mengaitkannya dengan dentuman guruh atau petir.

Meriam Misteri

Kisah meriam misteri di daerah Segamat yang dikatakan akan meletup sendiri sebelum banjir melanda turut dikaitkan dan diceritakan sejak turun temurun.

Orang lama Segamat tentunya arif dengan kisah bunyi letupan meriam misteri itu dan sekiranya meriam itu meletup, mereka bersiap sedia kerana ia petanda banjir bakal melanda dan kebetulan ia berlaku pada 2006.

Kisah bunyi letupan meriam sebagai petanda awal banjir adalah berdasarkan cerita mulut ke mulut oleh generasi waris keluarga terdahulu.

Mitos Meriam Lama

Meriam Bendahara Tepuk
Meriam dipercayai milik Bendahara Tepuk ditemui pada bulan Disember 1981.

Cerita mengenai Bendahara Tepok atau juga dikenali sebagai Bendahara Lubok Batu tidak asing lagi bagi warga Segamat namun misteri cerita dan mitos sentiasa menjadi bualan sehingga kini.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa meriam yang dijumpai pada tahun 80an di bawah tapak Masjid Makam Lubok Batu kini dijaga dan disimpan rapi oleh pihak Muzium Melaka.

Apabila kita menceritakan tentang meriam keramat tersebut secara tidak langsung hal ini berkaitan tentang sejarah Masjid Makam Lubok Batu dan kisah sejarah Bendahara Tepok.

Masjid Makam Lubok Batu ini asalnya adalah pondok singgah untuk berteduh dan berehat bagi penziarah makam tersebut.

Penduduk kampung mempercayai pondok itu didirikan oleh pengikut-pengikut Bendahara Tepok.

Sebelum tahun 1918, orang-orang luar yang menyusur atau memudik sungai Segamat akan bersolat di Masjid Tebing Sungai di Pengkalan Esah.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Allahyarham Tuan Haji Yahya Bin Kubu, Ahli Pakar Sejarah Tempatan, bahawa Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang, Imam Masjid Teluk Belanga telah balik sementara ke Kampung Lubok Batu lalu mencadangkan supaya dibina sebuah surau untuk penduduk Kampung Lubok Batu.

Dengan terbinanya surau itu, Tuan Haji Dasil bin Mahmud telah dilantik menjadi imamnya, manakala bilal disandang oleh A. Bakar Bin Sudin.

Sekitar tahun 20an, Sungai Segamat masih menjadi laluan penting bagi orang-orang luar datang ke Segamat.

Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti perniagaan telah bertambah pesat kerana wujudnya "Pasar Tepi Sungai" di Pengkalan Lubok Batu.

Kemudian, surau itu diserahkan sebagai wakaf oleh Sultan Ibrahim dan tiada sesiapa yang berani merobohkan surau tersebut kerana surau itu dijaga oleh Istana Johor.

Pada tahun 1928, atas usaha Mohd Tap, Pegawai Daerah Segamat ketika itu, sebuah surau baru dari binaan batu yang pelan tapak dan reka bentuknya diambil dari Kota Tinggi telah dibina setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Ibrahim Al-Marhum Sultan Johor.

Semasa pengubahsuaian surau tersebut, jemaah surau telah menemui sebuah meriam lama yang diperbuat daripada batu berukuran empat kaki panjang yang tertanam dibawah mimbar masjid serta peluru-peluru diperbuat daripada batu (buat masa ini penulis masih tidak ketahui dimana simpannya meriam yang dijumpai pada tahun 1930).

Hal ini menyebabkan wujudnya mitos meriam keramat tersebut oleh orang-orang kampung.

Bah Merah

Sebelum meriam itu dijumpai, cerita-cerita mengenai meriam keramat tersebut sudah lama menjadi bualan cerita rakyat daerah Segamat khususnya penduduk Kampung Lubok Batu.

Ini kerana pada tahun 1926, banjir besar telah melanda daerah Segamat yang dikenali sebagai Bah Merah 1926.

Banjir itu telah menyebabkan harta benda dan nyawa terkorban, menyebabkan sungai Segamat menjadi lengang dan tidak berfungsi lagi sebagai laluan orang-orang luar datang ke sana.

Menurut orang-orang tua, terdapat beberapa petanda sebelum berlakunya banjir besar itu, antaranya orang-orang kampung akan terdengar bunyi tembakan meriam tiga hari berturut-turut pada waktu Asar (kononnya bunyi meriam keramat).

Meriam Masjid Lubok Batu
Meriam yang dijumpai di Masjid Lubok Batu pada bulan Mac 1979.

Pada tahun 1943, ketika penjajahan Jepun, surau tersebut dinaiktaraf kepada masjid, yang dirasmikan oleh Tuan Syed Ahmad Bin Syed Abdullah Al-Habshee, Kadi Daerah Segamat.

Pegawai-pegawai pula telah bertukar dan digantikan oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang sebagai Imam manakala Tuan Haji Abdul Samad bin Haji Karim sebagai bilal.

Ketika perasmian itulah nama masjid itu diberi nama Masjid Makam Lubok Batu.

Pada bulan Mac 1977, YB Dato Haji Ahmad Bin Arshad didalam ucapannya sebagai Pengerusi Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Gemereh, telah memohon dana bagi peruntukan membangunkan semula Masjid Makam Lubok Batu kerana penduduk Kampung Lubok Batu telah bertambah ramai dan masjid tersebut tidak dapat lagi menampung jemaah sedia ada.

Permohonan beliau telah dipersetujui oleh YAB Dato Haji Othman Bin Saat, Menteri Besar Johor pada ketika itu dalam ucapan balasnya pada hari perasmian Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Pada awal tahun 1980 masjid lama dirobohkan dan dibina bangunan masjid yang baharu.

Sekali lagi berita mengenai meriam keramat tersebut menggempar dan mengejutkan penduduk Kampung Lubok Batu setelah hampir 50 tahun berlalu mitos meriam lama dijumpai.

Setelah hampir keseluruhan masjid dirobohkan, ahli jemaah masjid menjumpai sebuah lagi meriam pada bulan Disember 1981.

Meriam tersebut dipercayai sebahagian daripada senjata Bendahara Tepok serta pengikut-pengikutnya ketika menentang Portugis.

Sejak puluhan tahun lagi penduduk Kampung Berata, Jalan Temenggong, Kampung Paya Dalam dan Taman Bendahara seringkali mendengar bunyi meriam berdentum sebelum turunnya hujan lebat dan banjir.

Hampir keseluruhan penduduk telah mendengar tembakan meriam keramat tersebut yang dahulu hanya dipercayai mitos semata-mata, kini menjadi bualan cerita benar rakyat daerah Segamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2