Saturday, January 06, 2018

Tradisi Tinggalkan Bayi Dalam Cuaca Sejuk Scandinavia


Apabila musim sejuk atau hujan, biasanya ibu bapa sangat jarang membawa anak-anak keluar dari rumah kecuali terpaksa namun, berlainan dengan tradisi di negara-negara Nordik, meninggalkan anak tidur diluar rumah ketika cuaca sejuk adalah pemandangan biasa di sana.

Bayi tidur diluar cuaca sejuk

Ibu bapa di negara-negara ini melakukan amalan unik ini bagi meningkatkan kesihatan anak-anak mereka.

Negara-negara Nordik atau Scandinavia merujuk kepada sebuah kawasan di Eropah Utara yang terdiri daripada negara Denmark, Finland, Iceland, Norway, Sweden, Kepulauan Faroe, Greenland dan Aland.

Di Sweden terutamanya bandar besar seperti Stokholm, adalah pemandangan biasa melihat bayi di dalam kereta sorong dibawa mengelilingi bandar sebelum ditinggalkan tidur di luar rumah sekalipun dalam keadaan cuaca sejuk melampau.

Bayi akan dibiarkan berada diluar rumah dalam keadaan salji tebal, sehari sekali selama satu jam setengah.

Selain majoriti penduduk menjalankan rutin yang sama, sebuah pra sekolah, Forskolan Orren di Stockholm, mewajibkan perkara yang sama ke atas semua pelajarnya.

Semua bayi akan dibiarkan menghabiskan masa di laman luar bermula jam 9 pagi sehingga 3 petang sekalipun cuaca disekitar -15 darjah selsius dan hanya dibenarkan masuk ke dalam sekolah untuk makan atau cuaca buruk.

Begitulah rutin setiap hari sehinggalah anak-anak itu mencapai usia tiga tahun.

Di Denmark, cara yang sama juga dilakukan setiap hari dan paling mengejutkan, bayi akan ditinggalkan dalam kereta sorong sendirian sambil ibu bapanya menikmati hidangan di cafe atau restoran.

Walau bagaimanapun, bayi akan dipakaikan baju dan selimut tebal sebelum dimasukkan ke dalam kereta sorong, dibawa berjalan-jalan sebelum ditinggalkan sebaik bayi tertidur.

Membantu Perkembangan Otak

Bayi tidur diluar cuaca sejuk

Menurut pengkaji, adalah sangat penting bagi bayi mendapatkan udara segar untuk kekal sihat.

Kajian turut membuktikan bahawa amalan membiarkan bayi tidur di luar rumah dalam cuaca sejuk membantu bayi daripada terkena batuk dan penyakit lain.

Suhu sejuk di luar rumah juga terbukti mampu membuatkan bayi tidur lena pada waktu siang.

Saintis juga menyatakan bahawa bayi yang tidur di luar rumah akan memiliki pola tidur yang sangat berkualiti berbanding di dalam rumah.

Malah, bayi yang biasanya hanya tidur selama dua jam pada waktu siang mampu tidur lebih lama sehingga tiga jam ketika berada di luar rumah.

Selain itu, tidur yang mencukupi juga dapat memastikan otak dan tubuh kanak-kanak berkembang dengan baik.

Atas alasan inilah mengapa ibu bapa di negara-negara Scandinavia mengamalkan tradisi ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Perkara Yang Anda Sepatutnya Lakukan Apabila Melihat Anak Orang Lain Menangis Dan Mengamuk

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon