Monday, June 24, 2019

Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita

Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita

Dikatakan, banyak usaha-usaha pihak perseorangan mahupun organisasi berusaha mencari harta karun Yamashita ini, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain di Asia Tenggara namun, menurut pakar sejarah, dipercayai bahawa harta-harta karun tersebut sebenarnya tidak dapat ditemui lagi di Malaysia.

Harta Karun Jeneral Yamashita
Gambar hiasan.

Ini kerana, ketika tentera Jepun menyerang Tanah Melayu melalui Utara Semenanjung, mereka merampas dan menghimpunkan kesemua emas-emas itu dan terus dibawa ke Filipina melalui jalan laut.

Mereka mengumpulkan kesemua emas-emas dan terus dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa keluar dari Tanah Melayu.

Jadi, tidak ada yang disorokkan di Tanah Melayu mahupun Singapura ketika itu. Ini adalah satu pendapat, katanya.

Menurut pakar lagi, kebanyakan emas serta barang berharga yang dirampas adalah milik penduduk Tanah Melayu dan diambil dari bank-bank, kedai pajak gadai, kedai emas dan sebagainya.

Sebahagian besar emas yang dirampas oleh tentera Jepun adalah dari Myanmar, merupakan emas yang berbentuk patung Buddha dicuri dari kuil-kuil yang banyak terdapat di negara itu, termasuk batu permata, berlian serta barangan berharga lain yang dijarah dari Korea dan China.

Thailand juga menjadi sasaran tentera Jepun, namun disebabkan Jepun terikat dengan perjanjian bersama negara Gajah Putih itu, maka tidak banyak emas yang diambil dalam perjalanan mereka menyerang Tanah Melayu dan Singapura.

Banyak juga emas yang dicuri dari Sumatera dan Jawa, kemudian dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa ke Filipina.

Ditanya mengapa Filipina, kerana ia dianggap sebagai lokasi paling dekat dengan Jepun yang sekali gus menjadikan negara itu sebagai pusat pemerintahan dan operasi penting ketika itu.

Terdapat juga syarikat-syarikat Jepun yang bertapak di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua menjalankan aktiviti perlombongan tetapi bukan melombong emas.

Pihak Jepun tahu mengenai hasil bumi Tanah Melayu yang kaya dengan emas, tetapi mereka tidak menyasarkan kepada emas yang mudah dirampas.

Selain itu, tiada lombong emas yang dibuka oleh syarikat Jepun ketika itu, tetapi mungkin hasil bijih lain seperti timah dan besi yang lebih banyak.

Emas Yamashita

Menyentuh mengenai konspirasi emas Yamashita, pemburuan harta karun ini mula dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) yang sedar mengenai lokasinya di Filipina.

Selepas perang tamat, pihak CIA mula merancang agenda untuk mengaut emas yang dikatakan ditanam di bawah kubu bawah tanah di beberapa lokasi di Filipina.

Situasi menjadi lebih kompleks dengan komplot dan agenda rahsia untuk mendapatkan emas tersebut kerana menyedari nilainya yang teramat tinggi dan mampu membiayai sebuah kerajaan seperti AS yang mempunyai pelbagai perancangan untuk menguasai dunia.

AS melalui CIA menjadikan Filipina sebagai gerakan utama mereka selepas perang yang agak aktif dan hasilnya, wujud dakwaan yang mengatakan emas Yamashita telah diambil oleh AS sebaik Yamashita dihukum gantung selepas perbicaraan oleh AS di Filipina.

Terdapat dakwaan mengatakan AS membiayai perang dingin antara negara itu dengan Rusia menggunakan emas Yamashita ini malah, AS juga dikatakan membiayai Jepun menggunakan harta itu untuk mengekang penyebaran fahaman komunis di Asia.

Pada 1970-an, muncul seorang warganegara Filipina, Rogelio Roxas yang mendakwa menjumpai kubu simpanan harta karun yang turut mengandungi patung-patung Buddha emas padu.

Namun, penemuan itu menyebabkan wujudnya konflik apabila Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mendakwa harta itu merupakan milik negara dan merampas emas hasil penemuan Roxas itu.

Wujud juga dakwaan mengatakan Marcos yang turut mendapat sokongan AS, hidup mewah dari kekayaan hasil emas Yamashita yang tertanam di Filipina.

Pada tahun 1992, Imelda Marcos mengakui bahawa kekayaan suaminya dan dia adalah hasil dari emas Yamashita yang dianggarkan bernilai hampir 1 trilion Dollar AS.

YAMASHITA LETUP TEROWONG EMAS

Beberapa bulan sebelum Perang Dunia Kedua tamat di Filipina, beberapa pegawai tertinggi tentera Jepun sempat menyembunyikan bertan-tan ketulan emas dan harta karun lain di gua dan terowong-terowong rahsia dengan harapan mereka akan kembali untuk mengambilnya kemudian.

Kesemua harta itu adalah sebahagian daripada khazanah kekayaan yang dirampas dari 12 buah negara Asia termasuk di Tanah Melayu ketika pendudukan tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.

Menurut pengkaji sejarah Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji mengenai harta karun Yamashita, Sterling Seagrave, ketika pasukan tentera Jepun menyerang negara-negara di Asia Tenggara, mereka membawa bersama pasukan khas bagi mencuri, menjarah dan merampas segala barang dan harta bernilai di bank-bank, kilang, rumah, kedai emas, galeri selain merampas milikan orang awam.

Seagrave dalam satu wawancara bersama akhbar South China Morning Post berkata, sebelum pihak Jepun menyerah kalah, Yamashita dan beberapa putera raja mengadakan majlis perpisahan disertai jurutera-juruteranya di dalam terowong bawah tanah sedalam 67 meter di kawasan pergunungan Luzon di Filipina yang dipenuhi dengan ketulan-ketulan emas yang merupakan harta rampasan perang.

Semasa kesemua jurutera itu mabuk dan leka, Yamashita dan putera raja terlibat menyelinap keluar dan memasang bahan letupan dinamit kemudian meletupkan pintu masuk terowong berkenaan, sekali gus menguburkan jurutera-jurutera itu.

Pegawai tertinggi berkenaan melarikan diri ke Tokyo sementara Yamashita pula menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur tiga bulan kemudian dan sejak itu, kisah emas Yamashita menjadi perbualan hangat pelbagai pihak.

Seagrave turut mengakui pernah berjumpa dengan saksi semasa Yamashita meletupkan terowong bawah tanah pada malam tersebut.

Ben Valmores yang bertugas sebagai pembantu salah seorang putera raja itu dibenarkan keluar dari terowong tersebut sebelum ia diletupkan.

Valmores yang diarahkan menutup semua jalan keluar terowong-terowong Jepun di Filipina memberitahu Seagrave bahawa dia melihat sendiri emas-emas tersebut sebelum ia ditimbus di bawah tanah.

Seagrave kemudian mendakwa sumber kajiannya di Jepun memaklumkan kepadanya bahawa Valmores pernah berkhidmat dengan Putera Takeda Tsuneyoshi, cucu Maharaja Meiji.

Menurut sejarah, Jepun melancarkan kempen perangnya termasuk rancangan membawa pulang segala harta-harta bernilai yang dirampas di setiap negara yang diserang mereka.

Operasi Golden Lily

Melalui perancangan itu, Putera Chichibu telah diarahkan mengawal selia operasi di bawah organisasi dinamakan Kin No Yuri atau lebih popular dengan panggilan Operasi Golden Lily.

Sementara putera raja yang lain pula ditugaskan menyelia Operasi Golden Lily di kawasan-kawasan lain yang ditakluki Jepun ketika itu.

Seagrave berkata, pada 1998, dia pernah menguji Valmores dengan menunjukkan gambar lama kesemua putera-putera raja berkenaan yang diambil pada 1930, dan ternyata beliau masih mengingati Putera Takeda.

Katanya, dia pernah meluangkan masa dengan kesemua putera raja itu menghidangkan makanan dan teh ketika mereka sedang menyemak fail-fail kawasan simpanan harta-harta yang dirampas.

Adakah kenyataan Seagrave itu dapat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada misteri emas Yamashita ini?

Walau pelbagai teori, bukti serta kenyataan demi kenyataan timbul, emas Yamashita terus kekal menjadi misteri yang tidak pernah dapat diselesaikan.

Kenapa? Kerana pelbagai pihak hadir dengan agenda dan kepentingan tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Video Semburit Haziq-Azmin, Siapa Pihak Yang Untung Sebenarnya?

Video Semburit Haziq-Azmin, Siapa Pihak Yang Untung Sebenarnya?

Cui bono adalah ayat daripada bahasa Latin dan dalam Bahasa Melayu bermaksud, siapa untung, kerana ia membawa pengertian yang tepat untuk kita semua memahami apa yang sedang berlaku di persada politik tanah air dan tulisan kali ini akan membawa pencerahan kepada babak politik terkini.

Video Semburit Azmin
Gambar hiasan.

Untuk memahami pencerahan yang digarap ini, saya meminta pembaca melupakan klip video Haziq, yang pada hemat saya, klip ini akan dinobatkan dalam sejarah porno YouTube sebagai klip yang paling tidak erotik, tidak mengancam syahwat, klip bertogel yang potong stim terlampau.

Adegan ranjang di mana para protagonis dilihat amat kayu dan kaku. Penggambaran babak ais krim yang membawa kita ketawa terbahak-bahak.

Kepada yang belum menonton klip Haziq sila tepuk bahu dan ucap tahniah kepada diri sendiri. Tak perlu tercari-cari dan tertanya-tanya di mana boleh menonton klip ini. Anggaplah diri tuan-puan terselamat daripada terjerumus ke dalam kancah kebodohan. Amin.

Kepada yang telah menonton sila hentikan bertanya, kenapa klip video ini kabur dan tak jelas? Kenapa suntingan dilihat tunggang bin langgang?

Jangan tertanya-tanya dan berteori apabila melihat sosok yang dikatakan Haziq terus menjengokkan mukanya ke hadapan kamera ketika sedang tunduk menghisap ais krim. Yakinlah sosok ini sedang berusaha untuk berlakon mengikut arahan.

Dalam masa yang sama, saya amat yakin si Haziq ini tidak pernah mengikuti kuliah lakonan Aswara atau Akademi Seni Kebangsaan, jauh sekali terbaca atau membaca teknik lakonan ‘method acting’ dari Lee Strasbergs atau Elia Kazan.

Sebenarnya, kita tidak perlu ke Universiti Yale atau Cambridge untuk memahami politik. Tak perlu ada PhD dalam bidang politik untuk menjadi arif dalam politik.

Politik Malaysia amat mudah difahami dengan keupayan fikrah kita yang hanya lulusan sekolah jenis kebangsaan.

Caranya cukup senang. Kita kumpulkan berita satu persatu. Kita atur berita ini seperti peta. Kemudian kita baca dan lihat bagaimana berita-berita ini ikat mengikat dan kait mengait dalam satu naratif yang besar.

Walau pun semua berita ini terpisah-pisah, satu muncul di New York, satu di Batang Berjuntai atau satu di Menggatal, bila berita ini disusun dan diatur maka akan muncul – cerita besar atau meta narrative.

Politik, kuasa, harta

Wajib juga dinyatakan untuk kali ke seribu dalam tulisan ini bahawa, dalam politik tiada sesuatu pun yang berlaku tanpa dirancang.

Dalam politik semua disusun atur untuk mencapai sesuatu tujuan. Semua babak politik memiliki sosok di belakangnya yang merancang dan mentuntas projek, sama ada tujuan yang dirancang itu berhasil atau tidak bukan persoalan. Yang penting ia dirancang.

Garis bawah politik ialah kuasa. Garis bawah kuasa ialah mengawal dan memiliki harta kekayaan. Politik kiri atau kanan - politik Islam, kafir atau sekular - semuanya sama kerana politik, kuasa dan wang ringgit tidak memiliki agama.

Agama, bahasa, bangsa dan tuhan adalah konsep yang digunakan untuk mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan kuasa. Mustahil masih ada yang tidak faham apa yang saya tulis. Kan.

Cui bono? Siapa untung?

Ayat cui bono pertama kali diperkenalkan kepada dunia oleh Marcus Tilus Cicero (tahun 106-43 Sebelum Isa).

Cicero adalah negarawan Rom, ahli falsafah, peguam dan orator yang tersohor dan pernah menjadi konsul untuk Republik Rom pada tahun 63 Sebelum Isa.

Teknik cui bono ini digunakan oleh FBI, CIA, KGB, SB dan semua lembaga perisikan di dunia.

FBI menggunakan cui bono ketika melawan mafia dan dadah di New York. Cui bono - siapa untung - diubah suai kepada 'ikut aliran wang'. Dimana dolar dan dinar itu berhenti, maka di situlah puncanya. Mudah.

Daripada analisa, heboh Haziq sebenarnya sudah bermula pada malam 9 Mei 2018!

Garis masa

13 Ogos 2018 - Utusan Malaysia melaporkan ucapan ahli parlimen Kapar Abdullah Sani yang menuduh Daim Zainuddin dalang yang cuba menyekat Anwar menjadi perdana menteri.

28 September 2018 - Dalam akhbar the New York Post muncul tulisan L Todd Wood.

"...Mahathir Mohamad never intends for Anwar Ibrahim to be prime minister in his own right. The recordings confirmed the government is already backtracking on the deal by claiming that the two-year term was never put in writing and Mahathir Mohamad may stay on longer and nominate Azmin Ali instead...

"...The recordings from the informant have also provided evidence of a sex tape showing Anwar Ibrahim having gay sex with a teenager..."

Tulisan Todd Wood ini muncul di minggu yang sama Mahathir Muhamad telah hadir di New York untuk memberi ucapan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pelik tetapi benar, Anwar Ibrahim tidak menyaman wartawan The New York Post ini. Amin.

6 Oktober 2018 - Ketika Pilihan Raya Kecil Port Dickson, portal Astro Awani telah menulis berita bertajuk, "Dakwaan liwat pelajar Indonesia: Anwar setuju beri kerjasama kepada polis."

Berita Anwar meliwat pelajar Indonesia muncul hasil daripada berita yang dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi United Malays National Organisation, Lokman Adam.

Pelik tetapi benar, Anwar Ibrahim juga tidak menyaman Lokman Adam.

Pembaca wajib diberitahu semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan, wartawan terus bertanya kepada Mahathir tentang siapa penggantinya. Hampir dua minggu sekali soalan siapa ganti Mahathir diulang-ulang.

Dua tahun. Dua tahun. Dua tahun. Ia menjadi mantra Anwar dan konco-konconya.

8 Mei 2019 - Berita Harian melaporkan cakap Anwar bahawa dia telah berbincang dengan Mahathir dalam hal peralihan kuasa. Lagi cerita dua tahun.

29 Mei 2019 - Tiba-tiba, semasa di Tokyo Mahathir berkata tidak ada masa yang ditetapkan untuk peralihan kuasa. Jeng jeng jeng.

4 Jun 2019 - Pada Hari Bantai - iaitu petang raya - Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

5 Jun 2019 - Anwar Ibrahim kelihatan gelabah. Anwar menyusun rancangan untuk menggagalkan lantikan ketua baru SPRM.

6 dan 7 Jun 2019 - YB Nik Nazmi, YB William Leong dan YB Tan Yee Kew mula bergerak mengumpul tanda tangan orang ramai untuk menolak pelantikan Latheefa Koya.

10 Jun 2019 - Anwar tiba-tiba berubah. Dia kini menyokong pelantikan Latheefa Koya. Apa berlaku? Kenapa Anwar berubah fikiran.

Umum tidak tahu, rupa-rupanya ada berita di belakang berita. Ada babak lebih gempak dari berita Latheefa Koya. Berita gempak ini telah berjaya ditutup selama hampir dua minggu.

Berita dua orang anak muda yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bergelut, bergaduh dan nak bunuh membunuh. Bila?

Pergaduhan berlaku pada 16 Mei 2019.

7 Jun 2019 - Berita bocor setelah berjaya ditutup daripada diketahui umum. Berita ini dibocorkan oleh Malaysian Gazette. Yang dituduh membelasah ialah Farhash Wafa Salvador.

Kenapa bergaduh? Merebut apa? Berebut duit Yayasan Aman ke? Duit Yayasan hilang atau kunci pejabat yang hilang? Atau berebut duit raya dari towkay judi?

Laporan awal mengatakan rakaman CCTV di pejabat di alamat Lorong Tanjong 5/4f Bukit Gasing Petaling Jaya telah dipadam. Uik.

(Babak Selingan)

Farhash Wafa Salvador

Polis telah menyelesaikan siasatan kes dakwaan pukul yang berlaku di pejabat Presiden PKR Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Fadzil berkata polis akan menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

"Ya kita sudah ambil keterangan semua pihak terlibat dan lengkapkan siasatan. Kita akan hantar kertas siasatan kepada DPP nanti," katanya ringkas kepada pemberita.

Pada 10 Jun 2019 lalu, seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memukulnya di premis itu, pada 16 Mei 2019 lalu.

Lelaki itu juga menyerahkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta berkenaan kecederaan yang didakwa ekoran insiden itu. Kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum keadaan memburuk.

Laporan balas terhadap lelaki itu juga telah dibuat, yang didakwa terlibat menyalahgunakan dadah dan cuba masuk ke premis tanpa izin.

Lelaki itu yang bertugas sebagai penyelidik sukarela juga telah dipecat, dimaklumkan mempunyai kecederaan lampau dan bukannya cedera disebabkan insiden seperti yang didakwa.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

..sambungan
11 Jun 2019 - Gempar. Tiba-tiba, jam satu pagi klip video Haziq tersebar dan merebak. Wartawaan dan pemimpin PKR dari ranting ke cabang ke pimpinan pusat menerima klip video ini. Malah, dilaporkan Lokman Adam juga mendapat klip yang sama. Heboh heboh heboh.

12 Jun 2019 - Biro politik PKR buat sidang tergempar. Azmin tidak hadir. Tapi pelik lagi hairan Haziq tidak pula diberi surat amaran atau dipanggil untuk menerangkan duduk perkara.

13 Jun 2019 - Haziq membuat satu rakaman video di mana dia mengaku sebagai salah seorang dari dua lelaki berbogel di ranjang. Paling ajaib, dalam klip pengakuan ini Haziq dengan tidak semena-mena meminta SPRM menyiasat Azmin Ali.

Juga Haziq yang dilihat mengulum ais krim berpendapat Azmin Ali ini tidak layak untuk menjadi pemimpin negara.

Adakah ini kerana ais krim itu dirasa pahit oleh Haziq? Rasa ais krim pahit ini meyakinkan Haziq bahawa Azmin tidak boleh menjadi pemimpin. Paling pelik, apa hubungan babak hisap ais krim dengan SPRM?

Soalan dan pertanyaan ini hanya si pengarah dan penulis skrip video ini yang tahu mengapa SPRM wajib menyiasat kes hisap ais krim. Kah kah kah.

14 Jun 2019 - Polis mencari Haziq di rumah keluarganya di Sarawak. Ayah Haziq buat laporan rumah dipecah polis.

Ke mana Haziq menghilang? Klip video Haziq telah menular tapi belum sampai ke pengetahuan Penerbit Hollywood.

Media dan polis sedang memburu watak utama pelakon sado bernama Haziq. Wajah Haziq susah nak menyamar.

14 Jun 2019 - Melintasi jam 5 petang Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Manila. Manila? Ada apa di Manila? Apa sangkut paut dengan Duterte?

15 Jun 2019 - Haziq bebas.

17 Jun 2019 - Media di Sarawak melaporkan Datuk Seri Anwar marah dan enggan menjawab di mana hilangnya Farhash, kerana akhbar The Star menimbulkan nama Farhash.

18 Jun 2019 - Tiba-tiba si Farhash Salvador muncul. Bukan di Bukit Gasing tapi di alam siber melalui Facebook dan Whatsapp.

19 Jun 2019 - Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa Azmin meletakkan jawatannya jika terbukti bersalah berhubung kes video mirip seorang menteri.

Cui bono? Siapa untung?

Semua ini fakta yang dipungut daripada laporan media. Para pembaca sila nilai sendiri dan buat rumusan sendiri.

Sama seperti warga Rom dua ribu tahun dahulu, para pembaca di Malaysia juga pada 2019 memiliki fikrah yang berupaya memberi jawapan.

(Tonton video dibawah, "DALANG VIDEO AZMIN ALI & HAZIQ AZIZ AKHIRNYA TERBONGKAR!")

BACA INI JUGA:



sumber: malaysiakini

Hanya Mereka Yang 'Terpilih’ Akan Melihat Kota Ghaib Gunung Santubong

Hanya Mereka Yang 'Terpilih’ Akan Melihat Kota Ghaib Gunung Santubong

Sampai sahaja di kawasan Santubong yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak, orang ramai yang melihat pasti terpegun ketika memandang Gunung Santubong yang tersergam indah namun, di sebalik keindahan gunung tersebut, tersimpan kisah misteri yang hanya diketahui oleh sesetengah warga Santubong, Pasir Salak dan Pasir Panjang sahaja.

Kota Ghaib Gunung Santubong

Menurut cerita orang tua-tua di kawasan berkenaan, Santubong secara azalinya mempunyai sebuah kota ghaib yang didiami makhluk selain manusia.

Kota tersebut dikatakan dihuni golongan bunian dan jin. Kota itu kononnya berada di Gunung Santubong, namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Hanya orang yang mempunyai keistimewaan tersendiri saja dapat melihatnya, yang dikatakan cukup indah dan bercahaya seperti kristal.

Kota ini dikatakan dijaga dengan rapi oleh beberapa pengawal yang cukup handal dan tegas dalam kalangan bunian dan jin. Mereka diberi amanah menjaga dan mengawasi kawasan kaki gunung hingga ke puncak gunung.

Sebab itulah kalau hendak mendaki Gunung Santubong, perlu mematuhi setiap pantang larang yang ditetapkan.

Yang paling penting mulut jangan celupar dan jangan membuat sebarang kekotoran, jika tidak anda mungkin berdepan masalah yang tidak diingini.

Jin Penjaga Pantai

Di pantai-pantai sekitar Santubong seperti Pantai Damai, Pantai Pasir Panjang dan Pantai Pasir Pandak, ia juga dikatakan turut dihuni oleh makhluk-makhluk seperti jin.

Mereka dikatakan diberi amanah untuk menjaga kawasan persekitaran pantai, namun jin-jin ini realitinya tidak mengganggu manusia.

Tetapi awas, anda janganlah membuat perkara tidak senonoh atau membuat sebarang maksiat di pantai kerana jin mungkin akan marah dan menyebabkan mereka bertindak di luar dugaan.

Pernah terjadi seorang remaja dirasuk di situ, kerana dikatakan kencing di Pantai Pasir Panjang.

Lirik lagu Puteri Santubong

Puteri Santubong puteri sejenjang,
Penjaga gunung negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak dewa turun kayangan (syair),
Ooo… puteri santubong,
Menenun kain… siang,
Ooo… puteri sejenjang,
Menumbuk padi… malam,
Satu hari nya duak kelayi,
Beranok-anok sik renti-renti,
Sorang madah dirik bagus agik,
Sorang sik ngalah sampei ke mati,
Yalah kisah duak ‘rang puteri,
Suka kelayi setiap hari,
Lalu disumpah raja kayangan,
Menjadi gunung Negeri Sarawak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Senarai 41 Penerima Wang 1MDB Di Dedahkan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

41 Penerima Wang 1MDB

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat SPRM.

Beliau turut memberitahu, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta itu adalah jumlah terbesar sekaligus menjadi sejarah bagi kes AMLA di negara ini sehingga kini.

“Semua responden yang disaman ini telah didapati melanggar undang-undang kerana menerima wang daripada akaun Najib,” katanya.

Pada masa sama, Latheefa menjelaskan bahawa, Najib dan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low tidak disenaraikan dalam permohonan lucut hak itu.

“Bagi kes saman ini, semua responden tidak melibatkan warga asing dan hanya individu tempatan.

“Tapi kami percaya selepas fail saman ini lebih banyak lagi responden akan dikesan dalam jejak wang ini. Semua wang responden yang berjaya diperolehi kelak akan diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya.

Berikut merupakan senarai 41 penama yang didedahkan SPRM:
  1. Ibrahim Awang Ismail
  2. Kasitah Gaddam
  3. Ismail Abd Muttalib
  4. Hasan Malek
  5. Sim Sai Hoon
  6. Abdul Manan Ismail
  7. Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA)
  8. Akademi Pemuda
  9. Parti Bersatu Rakyat Sabah
  10. Yayasan Permata Malaysia
  11. Yayasan Tun Hussein Onn
  12. UMNO Kelantan
  13. UMNO Bahagian Pekan
  14. Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia
  15. MCA Pahang
  16. Sarawak United People’s Party
  17. Wanita MCA
  18. Liberal Democratic Party (LDP) Sabah
  19. Yayasan PBAKM
  20. Binsabi Sdn Bhd
  21. Rayhar Travels Sdn Bhd
  22. K&Z Enterprise Sdn Bhd
  23. IPG Mediabrands Sdn Bhd
  24. Media Edge CIA (M) Sdn Bhd
  25. Hattatex Trading
  26. Jakel Trading
  27. Jakel Trading Sdn Bhd
  28. Perano Sdn Bhd
  29. AGA Touch (M) Sdn Bhd
  30. Habib Jewels Sdn Bhd
  31. Naza Quest Auto Snd Bhd
  32. UMNO Selangor
  33. UMNO Pahang
  34. UMNO Kedah
  35. UMNO Johor
  36. Barisan Nasional Bahagian Johor Bahru
  37. UMNO Sabah
  38. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
  39. Bustari Yusuf
  40. Yayasan Penyelidikan Transformasi
  41. Yayasan Rahah

Pasukan Khas Dapatkan Wang 1MDB

Sebuah pasukan petugas khas baharu akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bertujuan mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara bernilai hampir AS$5 bilion (RM20.74 bilion).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan khas itu juga akan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara memandangkan proses mendapatkan aset itu di luar negara lebih rumit.

"SPRM dapat kenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula daripada luar negara sahaja dan pasukan tugasan khas ini perlu kerana ini merupakan satu tugas yang agak rumit.

"Jadi, kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM.

Mengulas lanjut, Azam berkata, aset-aset itu dikenal pasti bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di beberapa buah negara luar lain, namun beliau tidak menamakan negara tersebut.

"Negara luar lain ada proses perundangan tertentu yang perlu dipatuhi dan ini yang perlu kita bincang dengan mereka.

"Kita tidak boleh menggunakan undang-undang di negara ini dalam mendapatkan semula aset-aset itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, June 23, 2019

Ketahui Fungsi Nutrien Dalam Tubuh Dan Kenapa Ia Sangat Penting Untuk Kesihatan

Ketahui Fungsi Nutrien Dalam Tubuh Dan Kenapa Ia Sangat Penting Untuk Kesihatan

Hasil kajian SEANUTS Malaysia pada tahun 2013 lalu, British Journal of Nutrition menunjukkan satu daripada tiga keluarga di negara ini mengalami kekurangan nutrisi penting terutama vitamin C, zat besi dan kalsium.

Ketahui Fungsi Nutrien

Ia satu masalah yang cukup serius dan sebenarnya sudah lama berlaku tetapi kita jarang bercakap mengenainya.

Mungkin selama ini kita tidak sedar ia mendatangkan masalah kepada kesihatan jika kita tidak mengambil nutrien yang betul atau cukup.

Memburukkan lagi keadaan, tabiat gaya hidup yang sibuk pada hari ini, berubah dengan drastik di mana orang dewasa lebih cenderung kepada waktu makan yang tidak teratur.

Perubahan gaya hidup serta tabiat buruk seperti ini amat sukar untuk memastikan pemakanan dan nutrisi yang betul hingga membawa kepada pelbagai penyakit.

Kita juga kurang pengetahuan mengenai kandungan zat dalam makanan, sebaliknya lebih mementingkan makanan yang enak-enak.

Susu minuman lengkap

Kadang-kadang makanan yang diambil walaupun cukup mewah dan lazat, tidak membentuk nutrisi mikro yang diperlukan tubuh untuk berkembang sepenuhnya.

Sebab itulah walaupun kenyang, kadangkala kita nampak letih dan tidak bermaya.

Pengambilan susu adalah disarankan untuk diminum setiap hari kerana ia minuman lengkap yang mengandungi protein, lemak dan karbohidrat sehingga tubuh boleh memperolehi tenaga bermacam mineral, vitamin dan pelbagai elemen untuk fungsi tubuh.

Apa Fungsi Penting Nutrien Kepada Tubuh Kita?

KALSIUM

Membantu mengekalkan jisim tulang dan mengurangkan kehilangannya pada masa hadapan.

KOLAGEN

Membantu mengekalkan kesihatan sendi dengan membekalkan nutrien yang diperlukan oleh tulang rawan sendi anda.

PROTEIN

Membantu membina dan mengekalkan tisu-tisu tubuh termasuklah tulang dan otot.

MAGNESIUM

Mengurangkan kerapuhan tulang dan membantu fungsi otot.

VITAMIN C

Membantu menghasilkan Kolagen dan membantu menghasilkan bahan-bahan penting yang membekalkan tenaga untuk pengecutan otot.

VITAMIN B6 & B12

Memainkan peranan penting dalam membebaskan tenaga ketika bersenam dan mengurangkan keletihan dan kelesuan.

ZINK

Mengekalkan struktur tulang yang normal dengan mengekalkan jisim dan metabolisma tulang.

VITAMIN E

Antioksidan yang melindungi sel-sel daripada tekanan Oksidatif. Ia juga mempunyai kesan anti keradangan.

Jagalah tulang, sendi dan otot anda untuk mengekalkan kebebasan bergerak semuda jiwa anda, selama yang mungkin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sisi Gelap Dunia Korporat Memaksa Saya Bekerja Sendiri!

Sisi Gelap Dunia Korporat Memaksa Saya Bekerja Sendiri!

Dulu saya bekerja sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di sebuah syarikat kimia, namun saya malu untuk menceritakan perkara yang saya lakukan ketika berada dalam dunia korporat, kerana apabila kami ingin memecat pekerja, apa yang sepatutnya adalah kami menawarkan pampasan, tetapi sebaliknya kami menyusahkan hidup mereka.

Sisi-gelap-dunia-korporat

Kami malukan mereka di dalam mesyuarat, kami beritahu bahawa prestasi mereka teruk, kami membuat penstrukturan semula organisasi dan menurunkan pangkat senior mereka dan kami jadikan pekerja junior sebagai majikan-majikan mereka.

Akhirnya, pekerja yang paling kuat pun tak tahan dan akan tinggalkan syarikat dengan sendirinya.

Ini apa yang diajarkan kepada saya dalam dunia korporat, dan inilah apa yang saya lakukan. Namun anda tak sedar ia akhirnya akan kembali kepada anda.

Lebih malang, syarikat ini tak pernah kekurangan pekerja yang sukarela untuk melakukan kerja "kotor" dalam merendah-rendahkan rakan sekerja masing-masing, tanpa menyedari bahawa satu hari nanti mereka juga mungkin akan mengalami nasib yang sama.

Jika anda seorang pengurus peringkat pertengahan, anda tak ada masalah kerana anda beroperasi seperti biasa, namun sebaik sahaja anda sampai ke pangkat pengurus kanan, ketika itulah persekitaran politik akan bermula.

Orang-orang akan mula cemburu, "tikam belakang" anda dan sanggup lakukan apa saja untuk singkirkan anda. Ini adalah sisi gelap dalam budaya korporat dan malangnya ia adalah sisi gelap dalam diri manusia juga.

"Mengapa awak berhenti dari dunia korporat?"

Pada satu malam saya menyingkap album gambar keluarga saya, melihat gambar-gambar anak-anak dan isteri tercinta saya. Ketika itu, saya menyedari bahawa 20 tahun telah berlalu dalam keadaan tidak sedar.

Saya hampir tidak dapat mengingat detik-detik anak-anak saya membesar dan isteri saya telah semakin berusia. Ia seolah-olah saya baru terjaga dari koma dan hilang ingatan.

Saya tersangat menyesal dan ketika itulah saya memutuskan untuk mengubah hidup saya dengan melakukan perkara yang sepatutnya.

Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang kedua dalam hidup saya, dan ini adalah peluang kedua saya.

Kini, saya memiliki perniagaan sendiri yang bersaiz sederhana. Pada hujung minggu, saya juga berniaga di pasar pagi untuk menjual barangan yang tidak diperlukan dan telah melakukannya untuk tempoh 2 tahun.

Dengan ini, saya sebenarnya dapat menyimpan lebih banyak wang, berbanding ketika saya dalam dunia korporat kerana saya juga mempelajari cara menguruskan kewangan saya dengan lebih berhemat dan menyedari wang dibazirkan terhadap kehidupan mewah yang tidak sepatutnya.

Sebagai contoh, saya sangkakan saya tak mampu hidup tanpa Astro kerana saya menonton bola sepak Liga Perdana Inggeris setiap hujung minggu.

Dan apabila saya tidak lagi melanggan Astro untuk menjimatkan wang, saya sedar bahawa saya tidak begitu berasa kehilangan atau rindukannya.

Jadi, kini saya menjual barangan yang tidak diperlukan yang mana sangat jarang digunakan, kadang-kadang hanya sekali atau dua kali sahaja. Saya mempunyai 3 orang anak, seorang lelaki dan 2 perempuan.

2 daripadanya di universiti dan seorang lagi baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia. Sebaik sahaja anak bongsu saya juga mengikuti langkah ke menara gading, saya dan isteri akan berpindah ke apartment yang lebih kecil.

Sebaik sahaja anda membuang apa yang tak perlu dalam hidup anda, anda mampu untuk memberikan perhatian terhadap perkara yang benar-benar penting.

Ketika berada dalam dunia korporat, saya perlu melaporkan diri kepada lembaga pengarah dan mempunyai hampir 10 orang majikan. Tetapi sekarang saya hanya mempunyai seorang boss, iaitu isteri saya!

Inilah kehidupan saya sekarang, ia lebih ringkas, namun saya semakin gembira!

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, June 22, 2019

4 Syarikat Yang Di Boikot Dunia Kerana Membantu Yahudi Tetapi Bebas Di Malaysia

4 Syarikat Yang Di Boikot Dunia Kerana Membantu Yahudi Tetapi Bebas Di Malaysia

Pembedilan oleh Israel ke bumi Palestin sejak sekian lama sentiasa mendapat liputan meluas dunia. Ribuan bedilan roket sudah dilancarkan ke bumi Gaza sejak berpuluh tahun. Banyak bangunan rosak termasuk yang dibiayai hasil sumbangan rakyat Malaysia. Begitu juga masjid, kediaman dan lain lagi.

Boikot Produk Israel

Teruskanlah berdoa agar roket-roket dilancarkan zionis Israel ini tidak mengorbankan terlalu banyak nyawa mereka yang tidak berdosa. Mohonlah perlindungan Allah taala agar rakyat Palestin terselamat.

Di sebalik isu pembedilan berterusan zionis Israel ini, ada lagi isu yang perlu rakyat Malaysia tahu iaitu pemboikotan terhadap empat syarikat besar dunia.

Dalam laman Facebook Aqsa Syarif, terdapat kempen boikot produk Israel dan masih berterusan sehingga kini.

Mereka menyiarkan empat syarikat antarabangsa yang diboikot dunia tetapi agak menyedihkan, tidak mendapat sambutan dari rakyat Malaysia.

1. HP

HP atau Hewlett Packard mendakwa mereka syarikat yang terkehadapan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial tetapi sebenarnya terlibat dalam penindasan bersistematik di seluruh dunia.

Di Palestin, HP bertanggungjawab menyediakan teknologi yang membolehkan penjajahan, pendudukan haram, sekatan, pengusiran, pemenjaraan, kurungan dan pelbagai lagi bentuk penindasan terus berlaku.

Di saat kanak-kanak dan remaja kita masih leka dengan gadget di tangan, di bumi Palestin remaja dan kanak-kanak dibunuh tanpa rasa bersalah oleh zionis Israel.

HP bersalah kerana membekalkan aset-aset IT yang penting untuk tentera darat dan laut Zionis Israel untuk mengepung Gaza. Sistem kepungan ini menghadkan barangan masuk keluar di Gaza.

HP juga memberi khidmat sistem sekuriti berteknologi kepada penjara-penjara Zionis Israel yang semua sedia maklum bahawa kanak-kanak di bawah umur juga turut di penjara.

Selain itu, HP juga bertanggungjawab membekalkan sistem teknologi di check point, tembok dan kad pengenalan apartheid.

Sistem ini menyukarkan petani Palestin untuk ke ladang mereka, pelajar ke sekolah dan lain-lain.

2. G4S

Mungkin ramai tidak pernah dengar apa itu syarikat G4S. Di Malaysia, van-van G4S sering kelihatan di atas jalanraya ataupun di bank atau di ATM.

G4S adalah syarikat keselamatan terbesar di dunia membantu sistem penjara Israel, terlibat dalam penyediaan peralatan dan perkhidmatan kepada pusat pemeriksaan tentera Israel, tempbok Apartheid, penempatan haram, bangunan tentera dan polis.

Seperti HP, G4S mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan dengan Zionis Israel.

BDS Ecuador mencapai kejayaan pertama apabila satu institut penyelidikan, International Center for Advanced Studies in Communications for Latin America (CIESPAL) memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak bersama syarikat sekuriti G4S setelah mendapat pendedahan mengenai penglibatan G4S di dalam membantu Zionis Israel.

Syarikat G4S pernah mengumumkan pada Disember 2016 bahawa mereka merancang menamatkan semua perniagaan dengan Israel dalam masa 12 hingga 24 bulan akan datang, maksudnya pada akhir tahun 2018 lalu.

Jika ia berlaku, rakyat Palestin mengatakan pengumuman ini sebagai kemenangan besar hasil boikot BDS.

Sejak 2010, G4S telah kehilangan kontrak bernilai jutaan dolar sebagai hasil daripada kempen-kempen boikot.

Info lanjut tentang sumbangan G4S kepada Israel boleh dirujuk di: https://www.whoprofits.org/company/g4s-israel-hashmira

3. CATERPILLAR & HYUNDAI HEAVY INDUSTRIES

Satu lagi Syarikat yang menjadi sasaran boycott di peringkat Global ialah syarikat Caterpillar dan Hyundai Heavy Industries yang membuat jentolak.

Caterpillar adalah senjata paling ‘destructive’ yang digunakan oleh Israel untuk merobohkan puluhan ribu rumah rakyat Palestin.

Jentolak raksasa D-9 dan D-11 lebih berbahaya dari jet pejuang F-18 kerana ia digunakan untuk merobohkan seluruh kawasan perumahan Palestin untuk dibina penempatan baru Israel.

Seperti yang kita lihat dalam peta dari tahun ke tahun, tanah milik Palestin semakin mengecil akibat tindakan ini.

Dalam masa yang sama, rumah-rumah mereka dirobohkan bagi memberi laluan kepada penempatan haram Israel.

Pasti kita ingat peristiwa tahun 2003, jentera Caterpillar telah membunuh seorang aktivis berbangsa Amerika, Rachel Corrie ketika mempertahankan sebuah rumah milik rakyat Palestin dari dirobohkan.

8 orang rakyat Palestin juga terkorban ketika rumah mereka diroboh tentera Zionis pada tahun 2002.

Di Malaysia, Sime Darby merupakan pengedar jentera pembinaan Caterpillar. Terbaik!

Orang awam yang mempunyai kereta jenama Hyundai tidak perlu risau kerana menurut BDS Korea, pengeluar kererta Hyundai berbeza dengan syarikat Hyundai Heavy Industries.

4. AHAVA

Produk kecantikan ini menjanjikan “Beauty Secrets from the Dead Sea” tetapi menyembunyikan ‘the ugly truth’ kepada anda.

Produk-produk Ahava dibuat menggunakan sumber asli bumi Palestin yang dirompak. Penempatan haram Yahudi di Mitzpe Shalem, Tebing Barat adalah tempat di mana produk-produk Ahava dihasilkan.

Jika wanita di sini sibuk nak kurus takut nampak gemuk, sibuk pasal lipstik yang tak merah menyala, berbeza di bumi Palestin di mana wanitanya turut berjuang demi pembebasan Palestin.

Nilailah dengan mata hati. Memang kehidupan kita tidak sama namun kita wajib membantu sesama Islam.

Menurut Lazada.com [Prohibited Brands], Ahava dilarang dijual di platform online tersebut tetapi anda boleh mendapatinya di Lazada Malaysia.

(https://www.lazada.com/docume…/CB%20Prohibited%20Brands.xlsx)

Gerakan Codepink antara jaguh dalam mempelopori boikot Ahava.

Layari http://www.stolenbeauty.org/ yang dibuat khas untuk memboikot produk Ahava.

Pada tahun 2011, Ahava telah menutup satu retailnya di London akibat tekanan boikot yang sangat kuat.

Selepas 7 tahun perjuangan boikot Ahava, akhirnya syarikat tersebut mengumumkan untuk memindahkan kilang mereka.

Walaupun begitu, boikot akan diteruskan sehingga Ahava di penempatan haram ditutup sepenuhnya.

ISRAEL KERUGIAN $ 4,700,000,000 Dollar SETAHUN!

Menurut BDS, Israel telah memperuntukkan jumlah kewangan yang besar, cybertrooper yang ramai dan usaha membawa BDS ke mahkamah.

Gabenor New York, Andrew M. Cuomo telah mengharamkan gerakan BDS di New York.

Namun, BDS telah berjaya membuatkan syarikat telekomunikasi gergasi, Orange untuk menarik khidmat mereka terhadap tentera Zionis Israel. Syarikat multinasional CRH juga menarik diri daripada memberi khidmat kepada Zionis Israel.

Di Sepanyol, beberapa majlis bandar telah mengumumkan bandar mereka sebagai “Kawasan Bebas Apartheid Israel”. Ratusan para akademik di Brazil dan Itali pula menyertai boikot akademik terhadap Israel.

Suara BDS juga kedengaran sehingga di anugerah Oscar. Penerima-penerima anugerah Oscar mendapat peluang satu trip ke Israel dengan beberapa pakej yang dipropagandakan oleh Israel tetapi telah ditolak oleh mereka.

Benjamin Netanyahu telah juga mengumumkan perang terhadap gerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) kerana gerakan boikot ini mengakibatkan Israel kerugian 4,700,000,000 Dollar setahun.

Ibu negara Iceland, Reykjavík juga telah bersetuju untuk tidak mengambil sebarang produk buatan Israel sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang

SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang

Akhirnya, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Dia terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik. Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan Datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina.

Toyol jadi-jadian

Isterinya menangis melihat saya dan Datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang.

“Bagaimana kalau saya hantarkan,” Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.

“Tak payah, biar kami balik sendiri.”

“Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya.”

“Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini.”

“Maksudnya?”

“Tak ada apa-apa bayaran.”

Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.

“Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini,” cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan. Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.

“Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?”

“Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya.”

Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya,” suara Datuk meninggi wajahnya nampak masam. Datuk terus menggenggam penumbuk.

“Malik,” pekik Datuk dengan wajah yang marah.

“Ya, kenapa?”

“Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala.”

“Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang,” Malik Cina mengajukan pertanyaan.

“Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dan Allah.”

“Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, saya tak pernah menganiayai orang, saya tak pernah buat orang susah.”

“Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang,” Datuk menarik nafas panjang. Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.

“Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku,” selesai sahaja Datuk berkata-kata. Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.

Bila sahaja tapak kaki Datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama Datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah Datuk.

“Ada apa lagi Malik?”

“Barangkali cakap kamu benar.”

“Maksud kamu.”

Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.

“Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya,” pohon Datuk. Malik Cina turun menghampiri Datuk. Bahu Datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.

Malik Cina memaksa Datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. Isterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan Datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.

“Kau betul dalam hal ini, dulu aku meminang seorang perempuan, bila sampai waktu mahu menikah, aku tidak pergi ke rumahnya pada hal kedua orang tua gadis itu, sudah pun memanggil orang kampung, kaum kerabatnya sudah berkumpul,” Malik Cina membuka rahsia dirinya.

“Kenapa kamu buat macam tu Malik?”

“Saya cara mendadak tak sukakan dia, saya dah jatuh hati dengan isteri saya sekarang.”

“Lepas tu apa yang kau buat, kau tak minta maaf.”

“Tidak, saya takut pada keluarga perempuan tersebut, kalau saya pergi, tentu saya menerima padah yang buruk, saya buat tak tahu dan nikah dengan bini saya sekarang.”

LEMBUT

Cerita dari Malik Cina itu, membuat Datuk menarik nafas panjang. Rasa kecewanya terhadap perangainya Malik Cina terbayang di wajahnya. Angin yang bertiup lembut terus menyentuh wajah saya dan Datuk.

“Aku pernah dengar cerita macam tu, tapi aku tak menduga kau yang melakukannya,” kata Datuk.

“Dari siapa dengar cerita tu?” Soal Malik Cina.

“Aku tak ingat dari siapa?” Jawab Datuk dan terus bangun. Sarungkan kasut capal bertali dua ke kaki. Datuk melangkah dua tapak ke depan.

Datuk berhenti melangkah. Pusingkan badan dan berdiri berdepan dengan Malik Cina yang masih duduk di mata anak tangga terakhir. Bahagian tepi rambut Malik Cina nampak bergerak-gerak disentuh angin.

“Kalau dulu, kau pernah memalukan orang lain, sekarang kau sendiri merasakan balasannya. Ingat, kalau kita pernah menganiayai orang satu hari kelak kita akan menerima padahnya, kalau tidak pada kita, mungkin pada anak cucu kita,” jelas Datuk dengan tenang. Malik Cina segera berdiri. Biji mata Datuk ditentangnya.

“Saya sedar dan faham semuanya,” balas Malik Cina lembut.

“Ingat mulai hari ini, bersihkan hatimu, jangan menganiayai orang, jangan menjatuhkan maruah orang, buatlah baik sesama insan.”

“Ya saya berjanji.”

“Aku doakan kamu bahagia,” tenang sekali Datuk bersuara.

Datuk bersalam dengan Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memeluk tubuh Datuk. Mereka berdakapan penuh mesra.

Saya hanya memerhatikan sahaja gerak-geri Datuk dan Malik Cina.

“Biar saya hantar awak ke pekan Sungai Siput,” Malik Cina mengemukakan cadangan. Datuk segera menjatuhkan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Malik Cina.

“Tak payah, biarlah kami berjalan kaki.”

“Kenapa pula? Naik kereta lagi bagus.”

“Terima kasih Malik, biar kami berjalan.”

Malik Cina garu hujung dagunya berkali-kali. Hatinya tidak berapa seronok mendengar alasan yang dikemukakan oleh Datuk. Dua kali tawarannya ditolak oleh Datuk.

“Terkilan rasa hati saya, datang dijemput, bila balik jalan kaki,” Malik Cina meluahkan rasa hatinya.

“Tak apalah ini permintaan tuan punya diri, kenapa kamu nak susah hati.”

“Saya tahu, tapi kurang seronok.”

“Tak apalah, aku cakap ikhlas,” jelas Datuk.

Datuk menarik tangan saya untuk memulakan langkah.

Tiba-tiba isteri Malik Cina meluru ke arah kami. Di tangannya terselit sampul surat panjang berwarna kekuningan. Isteri Malik Cina hulurkan sampul surat itu pada Datuk.

“Apa bendanya ni?” Datuk agak terkejut.

“Duit, ada dua ratus ringgit untuk upah mengubati anak saya,” jelas isteri Malik Cina. Datuk tergamam. Sampul surat di tangan isteri Malik ditepisnya. Wang bertaburan atas tanah.

Muka Datuk serta-merta menjadi marah. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya menggeletar menahan rasa marah. Muka isteri Malik Cina jadi pucat.

“Malik,” jerit Datuk sekuat hati. Malik Cina segera menghampirinya. Wajah isteri Malik Cina yang pucat segera bertukar menjadi kemerah-merahan. Wang yang bertaburan atas tanah dikutipnya sehelai demi sehelai dan disumbat ke mulut sampul surat.

“Bukankah sudah aku katakan, aku bukan mencari rezeki dengan mengubati orang, aku sekadar berusaha yang menentukannya Allah, mengapa perkara yang aku benci ini kamu lakukan pada aku? Apa kamu mahu menguji aku,” Datuk meledakkan apa yang ada dalam hatinya.

“Maafkan saya, saya terlupa beritahu bini saya, dia tak tahu, tak terniat untuk menguji awak,” sahut Malik Cina.

Mukanya nampak cemas.

Datuk termenung. Perlahan-lahan ia menatap wajah isteri Malik Cina yang keadaannya tidak tentu arah.

“Maafkan aku, aku tak berniat nak menjatuhkan air muka kamu, maafkan aku,” nada suara Datuk dibalut rasa kesal yang memanjang. Datuk terus beristighfar beberapa kali.

“Maafkan aku,” ulang Datuk.

“Saya maafkan,” balas isteri Malik Cina. Datuk gembira mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isteri Malik Cina. Dan Malik Cina pula berkali-kali minta maaf pada Datuk kerana kesalahannya tidak memberitahu isterinya, tentang pantang larang yang diamalkan Datuk.

“Wang itu kau sedekah pada anak-anak yatim, pada fakir miskin atau hadiahkan pada masjid, barangkali dengan wang itu dapat digunakan untuk membaiki mana-mana bahagian masjid yang rosak,” dalam nada yang lembut Datuk menyatakan pada Malik Cina dan isterinya. Mereka anggukkan kepala.

“Aku nak pesan pada kamu supaya mengamalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, di antara sembahyang sunat Subuh dengan fardu Subuh,” beritahu Datuk pada Malik Cina.

“Apa faedahnya mengamalkannya?” Soal Malik Cina tidak sabar.

“Kalau orang itu makan gaji, mudah naik pangkat.”

“Lagi.”

“Kalau ia miskin akan jadi kaya, ada saja rezeki yang halal diberikan Allah untuknya.”

“Lagi?”

“Kalau ia banyak hutang, ada saja jalan diberikan Allah untuknya menyelesaikan hutang.”

Malik Cina renung muka isterinya yang khusyuk mendengar penerangan dan Datuk. Saya hanya diam tetapi, apa yang saya dengar tetap saya sematkan dalam hati, Memang tidak mudah Datuk mahu memberikan amalan pada seseorang. Entah apa mimpinya ia mahu memberikan pada Malik Cina.

“Lagi apa faedahnya amalan itu,” Malik Cina mencungkil rahsia.

“Kalau seseorang itu sakit dan amalkan membaca, dengan izin Allah sakitnya akan sembuh,” jelas Datuk.

“Lagi?”

“Jika ia lemah, akan dikuatkan oleh Allah.”

“Lagi.”

“Jika orang itu berdagang atau merantau di negeri orang. Ia tetap dihormati dan dimuliakan, cita-citanya sampai dan orang itu tidak akan dimusuhi oleh sesiapa,” Datuk terbatuk.

“Banyak faedahnya,” kata isteri Malik Cina.

“Ya, dengan syarat diamalkan, tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, nampaknya mudah tetapi jarang orang dapat mengamalkannya dengan sempurna,” Datuk meraba pangkal dagu. Ia renung muka saya, memberi isyarat untuk memulakan perjalanan.

“Tapi, kamu sekeluarga harus mengamalkannya, terutama anak kamu, supaya sakitnya tidak berulang lagi,” Datuk mengingatkan Malik Cina dan isteri.

Datuk bersalaman dengan Malik Cina. Kemudian saya pula bersalaman, Saya rasakan genggaman Malik Cina cukup erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan saya pulang.

“Selamat jalan, semoga kamu dengan cucu selamat sampai ke tempat yang dituju,” ujar Malik Cina pada Datuk.

“Semoga Allah memberkati dan menyelamatkan keluarga kamu dari sebarang bencana,” jawab Datuk. Malik Cina tunduk tetapi, di kelopak mata isterinya tergenang air jernih.

Saya renung ke arah rumah Malik Cina. Saya lihat anaknya berdiri di muka pintu merenung ke arah saya. Memang, anak perempuan Malik cantik sungguh. Secara diam-diam saya tertarik dengan kecantikannya. Kalau saya disuruh menatap wajahnya selama dua tiga jam, saya sanggup melakukannya.

“Eh tengok apa tu, kamu tahu dia bini orang,” terdengar suara Datuk memukul gegendang telinga saya.

Cepat saya menoleh ke kanan, Malik Cina tersenyum ke arah saya. Toleh ke kiri isteri Malik Cina juga tersenyum. Saya terasa malu dan untuk menghilangkan rasa malu itu, saya terus melangkah dengan cepat mendahului langkah Datuk.

“Cucu awak dah besar, dah ada perasaan pada perempuan,” saya terdengar suara Malik Cina. Kata-kata itu menyindir diri saya. Saya terdengar ketawa Datuk pendek.

Ketawa itu juga saya rasakan menyindir diri saya. Menyesal saya renung ke rumah Malik Cina. Kalau saya renung tadi, tentu saya tidak diketawakan dan jadi bahan bualan mereka. Batin saya terus merungut, penuh rasa kesal.

LANGKAH

Saya terus melangkah. Saya tidak peduli sama ada Datuk mengikuti saya dari belakang atau tidak. Soal yang penting bagi saya ialah tidak mahu pandang muka Malik Cina dan isterinya. Tidak mahu dengar suara mereka. Semuanya menyakitkan hati. Saya terus melangkah.

Bila sampai dekat pokok besar. Datuk terus memegang bahu saya. Ia menyuruh saya jalan bersaing dengannya. Tidak kuasa saya melihat wajahnya.

Saya masih terasa malu kerana rahsia diri saya sudah diketahuinya. Saya berdoa semoga Datuk tidak menimbulkan perkara itu pada saya. Sesungguhnya, saya tidak rela malu untuk kali kedua pada Datuk.

Hati saya terasa lega. Datuk tidak menimbulkan perkara tersebut. Kami terus melangkah seiring di bawah hembusan bayu yang datang dari arah sebuah bukit yang letaknya di pinggir Kampung Bahagia.

Kicau burung yang menyanyi di pepohon kiri kanan jalan amat menyeronokkan. Matahari pagi yang berada di paras pucuk kelapa dara bersinar lembut. Kabus nipis kelihatan bangkit perlahan-lahan di puncak banjaran Titiwangsa. Bayu pun menggerakkan dedaun menghijau.

Indahnya alam ciptaan Allah. Kata nenek, kalau kita mengagumi keindahan alam ciptaan Allah, kita harus bersyukur dan memuji-Nya. Kemudian bandingkan betapa kerdilnya diri kita dalam keindahan alam itu.

Nenek juga berkata, orang-orang yang tinggal di kawasan alam semula jadi. Selalunya hidup aman dan panjang umur, sentiasa tenang. Sebabnya mereka jadi demikian, kerana mereka selalu bersyukur pada Allah secara tidak langsung mereka mendekati diri dengan-Nya.

Dan orang-orang yang selalu mendampingi dirinya dengan Allah, selalu merasa bahagia meskipun pada lahirnya mereka nampak susah dan sukar.

Kekayaan dan pangkat serta penghormatan tidak bererti, kalau batin manusia yang mewah itu tidak tenteram.

Sebabnya kebahagiaan tidak terletak pada kekayaan. Kebahagiaan terletak pada had. Bila hati tenteram, jiwa pun bersih dan wajah pun berseri.

Itu pendapat nenek yang tidak pernah ke sekolah. Susah juga untuk saya mempercayainya tetapi, kata nenek lagi, bila saya bertambah tua dan sudah mengalami rempah-ratus kehidupan, barulah saya tahu, apakah cakapnya itu benar atau tidak. Macam-macam yang datang dalam kepala saya.

Tiba-tiba saya dan Datuk sudah pun sampai ke bibir jalan raya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya duduk di batu tepi jalan sambil mengutik-ngutik rumput semalu. Rumput yang kembang segar itu akan terus mengecut bila saya usik dengan hujung sepatu.

Datuk terus merenung ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Saya terus resah. Sudah berada di tepi jalan raya, Datuk masih belum beritahu saya ke mana harus pergi? Ini yang susahnya mengikut Datuk. Ia tidak mempunyai rancangan yang tertentu.

Saya segera mendekati Datuk. Ia tersenyum sumbing memandang ke arah saya. Ia bagaikan tahu dengan apa yang bergolak dalam diri saya.

“Kita ni nak ke mana tuk?”

“Ke Bakap, dekat Batu Gajah.”

“Bukan nak pergi ke pekan Sungai Siput?”

“Kamu berjalan ikut aku, apa yang aku buat kamu ikut saja jangan banyak cakap. Belum apa-apa dah nak mengajar orang tua.”

Perasaan saya tersentap mendengar kata-kata Datuk itu. Ditanya jawapannya kena marah. Tidak ditanya hati resah. Memang serba salah jadi cucu pada Datuk yang selalu beranggapan yang cucunya tidak pandai dan mesti patuh dengan cakapnya.

Datuk menahan bas yang mahu ke Ipoh. Saya disuruh naik dulu. Saya memilih tempat di bahagian belakang. Tetapi Datuk tidak setuju dengan tempat yang saya pilih itu. Ia suruh saya pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pemandu.

“Jangan biasakan bila naik bas duduk di belakang.”

“Kenapa tuk?”

“Tak bagus, kalau ada kejadian yang tak diingini kita susah bertindak, sebaik-baiknya pilih di bahagian tengah.”

“Sebabnya tuk?”

“Kalau diserang komunis dari depan kita dapat bersedia begitu juga kalau diserang dari arah belakang.”

“Tapi, kita duduk di bahagian depan sekarang tuk?”

“Tak apa kerana aku rasa perjalanan kali ini selamat.”

Saya diam. Tidak kuasa mengajukan sebarang pertanyaan padanya. Bas terus meluncur. Saya terus terlelap. Saya terkejut bila bas berhenti dengan tiba-tiba. Saya gosok kedua belah mata dan renung kiri dan kanan. Apa yang saya lihat ialah kebun getah yang subur.

“Kita ni di mana tuk?”

“Kita baru meninggalkan Pekan Chemor.”

“Kenapa has ni berhenti di tengah hutan tuk.”

“Kamu tengok tu,” Datuk meluruskan telunjuknya ke arah belukar kecil di kiri bas.

Saya terkejut, saya lihat lebih dari dua puluh orang lelaki memakai baju seragam dengan topi leper berbucu lima. Di tangan mereka lengkap dengan senjata api.

“Itu askar tuk,” kata saya.

“Bukan, itu komunis,” sebaik sahaja Datuk mengakhiri kata-katanya. Tiga orang anggota komunis naik ke bas. Seorang berdiri di tangga bas. Seorang berdiri di bahagian tengah. Dan seorang di bahagian belakang bas.

Saya amati, yang berdiri di tangga bas. Orang India. Di tengah bas, orang Cina dan di bahagian belakang orang Melayu. Saya kira yang berdiri di tengah adalah ketua mereka.

Manakala di luar bas kelihatan lebih dari dua puluh anggota komunis duduk dalam belukar. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah bas.

Penumpang bas yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India kelihatan cemas.

Pemandu bas diarahkan turun oleh komunis berbangsa India. Wang yang ada pada penjual tiket bas dirampas oleh komunis berbangsa Cina. Penjual tiket juga disuruh turun.

“Sekarang, semua orang bangun, letakkan duit, jam tangan, emas dan apa yang kamu bawa dekat pintu has, kalau kamu membantah kami tembak. Keluar satu-satu,” perintah komunis Melayu yang berada di bahagian belakang bas.

Semua penumpang bas patuh. Semua barang yang mereka bawa diserahkan pada pihak komunis. Bila sudah turun dari bas. Kami disuruh berbaris. Seorang anggota komunis melakukan pemeriksaan pada diri penumpang. Semua kad pengenalan bas dirampas dan dikumpulkan di tanah lapang untuk dibakar.

Dua orang pemuda Melayu dihentak oleh anggota komunis dengan buntut senapang. Sebabnya, kedua pemuda Melayu itu tidak mahu menyerahkan rantai leher yang dipakai. Saya lihat pemuda Melayu itu jatuh terlentang dan mulut mereka berlumuran darah.

Datuk hanya melihat peristiwa itu dengan tenang. Dahinya nampak berpeluh dipanah sinar matahari yang garang. Saya kira ketika itu, lebih kurang pukul sebelas pagi.

“Ingat siapa tak mahu dengar cakap kami inilah padahnya,” kata anggota komunis berbangsa Melayu. Anggota komunis bangsa India dan Cina menegakkan ibu jarinya memuji tindakan anggota komunis bangsa Melayu itu.

“Ini hari gua kasi power sama lu, lu boleh bikin apa saja,” kata anggota komunis Cina (ketua) pada anggota komunis bangsa Melayu. Sedangkan anggota komunis bangsa India ketawa. Matanya merenung tajam pada gadis India berkulit cerah. Berusia sekitar 18 tahun.

Gadis India yang memakai sari itu nampak gelisah. Berkali-kali ia merenung wajah ibunya. Tetapi, anggota komunis bangsa India itu terus melihatnya terutama di bahagian perut gadis India yang dibalut oleh kain sari.

“Lu suka sama dia, kalau suka ambil bawa masuk hutan,” ujar ketuanya.

“Nanti dulu,” jawab anggota komunis bangsa India. Keadaan ketika itu memang mencemaskan. Pemandu kenderaan yang lalu-lalang di situ, buat tidak kisah dengan apa yang terjadi. Mungkin mereka menyangka bas yang berhenti itu rosak.

“Eh budak, kenapa kamu tak serahkan cincin yang kamu pakai,” anggota komunis menghampiri saya.

“Ini bukan emas, ini suasa, orang lelaki haram pakai emas,” kata saya.

“Sekarang kasi sama kami.”

“Tak boleh,” saya berkeras.

“Kuranggg ajjjjar punya budak.”

Muka saya ditampar dan perut saya ditendang. Saya berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Saya melolong minta tolong pada Datuk. Saya lihat Datuk tidak juga bertindak. Dan anggota komunis Melayu itu mengangkat buntut senapangnya untuk menghentak kepala saya.

Belum pun sempat buntut senapang itu hinggap di kepala saya. Datuk menerpa ke arah anggota komunis tersebut. Ia menendang senapang di tangan anggota komunis tersebut. Senapang itu terpelanting dan terus meletup. Salah seorang anggota komunis yang berdiri tidak jauh dari situ menjerit dan terus rebah.

Perutnya yang ditembusi peluru mengeluarkan darah yang banyak. Tendangan Datuk itu disusuli dengan penumbuk. Anggota komunis itu tersandar di pangkal getah. Bila ia cuba bangun, Datuk bagaikan terbang menerkam ke arahnya. Satu tendangan hinggap di bahagian kiri perutnya. Anggota komunis itu terus lembik di situ.

Suasana menjadi tegang. Dalam beberapa saat sahaja anggota komunis terus mengerumuni Datuk. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah Datuk. Saya menjadi cemas dan Datuk menjadi kaku. Tetapi, ekor matanya terus mengawasi anggota komunis di sekelilingnya.

Anggota komunis berbangsa India menghampiri Datuk. Tanpa berkata apa-apa, ia melepaskan penumbuk ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk mengelak dan terus menyambar pergelangan tangannya.

Dengan sekuat hati, Datuk menolaknya ke kanan, Ia terperosok dalam perdu nanas. Pistol yang terselit di pinggangnya terpelanting lalu jatuh di depan Datuk. Tanpa membuang masa Datuk terus memijak pistol itu hingga terbenam dalam tanah.

“Tangkap dia dan tembak,” ketua komunis yang berbangsa Cina mengeluarkan perintah. Belum pun sempat Datuk menoleh ke kanan, tiga orang anggota komunis memeluk tubuhnya dengan kejap. Anggota komunis bangsa India yang terperosok dalam perdu nanas segera bangun. Wajahnya nampak bercalar.

“Ikat dan tembak dia,” katanya marah sambil melempar tali sabut pada kawannya. Datuk kelihatan tenang. Ia membiarkan anggota-anggota komunis itu membelitkan tali sabut ke tubuhnya. Datuk ditarik macam lembu menuju ke pangkal pokok Petai. Datuk terus diikat di situ.

“Sekarang suruh orang-orang yang turun dari bas naik ke bas semula, suruh dia orang tengok kita tembak orang tua yang nak mampus ni,” ketua komunis bangsa Cina mengeluarkan arahan pada anggota komunis bangsa Melayu.

Arahan itu segera dipatuhi. Penumpang bas kembali ke tempat duduk masing-masing. Tetapi, pemandu bas dan penjual tiket tidak dibenarkan naik bas. Mereka disuruh berdiri tidak jauh dari pintu bas.

“Eh kamu budak, mari sini, kamu duduk sini, kamu tengok macam mana orang tua ni mampus,” anggota komunis bangsa India bersuara lalu menarik tengkuk baju saya.

Saya disuruh duduk bertinggung menghadap ke arah Datuk. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan takutnya saya ketika itu.

BAKAR

Di tengah suasana tengah hari yang terik dan perit itu, saya rasa kulit muka saya bagaikan mahu terbakar. Baju saya basah diresapi peluh. Saya menangis tersedu di depan Datuk.

“Tamar, jangan menangis, tidak ada manusia yang boleh memisahkan roh dari jasad seseorang, jika tidak diizinkan oleh Allah, janganlah kamu takut pada mereka,” kata Datuk berpandangan sama sendiri.

Dua tiga orang daripada mereka menjuihkan bibir dan sebahagian yang lain senyum dan ketawa kecil.

“Sekejap lagi kamu tahu, siapa besar, Allah kamu atau peluru senapang, masa itu kamu boleh minta tolong dengan Allah,” sindir anggota komunis bangsa Melayu. Datuk hanya diam sahaja. Wajahnya kelihatan aman tenang sekali.

Saya terus mengesat air mata, ketika itu juga saya terdengar suara jeritan burung helang, panjang dan amat nyaring sekali. Saya lihat ke langit, saya lihat burung helang itu terbang berlegar-legar di atas kepala kami.

Menurut petua orang tua-tua, bila burung helang berbunyi di atas kepala dan berpusing-pusing waktu tengah hari, itu tandanya orang yang berada di bawahnya akan menemui kesusahan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang yang mendengarnya harus memukul pangkal pokok besar sekuat hati, dengan harapan dapat didengar oleh burung helang, dengan itu burung helang tersebut akan terbang ke tempat lain.

Tamat siri 77/284

BACA: SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Maksud B40, M40 Dan T20 Berdasarkan Jumlah Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Maksud B40, M40 Dan T20 Berdasarkan Jumlah Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Golongan B40 adalah golongan sasaran yang wajib dibantu dalam sesebuah negara, manakala dianggarkan terdapat lebih lapan (8) juta isi rumah di bawah kategori B40 dan M40, dengan 2.7 juta daripadanya adalah golongan B40 manakala selebihnya adalah M40.

Maksud B40, M40 Dan T20

Pada pembentangan Bajet 2019 yang lepas, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) merupakan antara penerima manfaat paling besar belanjawan negara kali ini berbanding golongan pendapatan pertengahan dan tinggi.

Apa Itu B40, M40 Dan T20?

Takrif isi rumah mengikut kumpulan pendapatan yang diguna pakai di Malaysia adalah terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T2), pertengahan 40% (M40) dan pendapatan terendah 40% (B40).

Berikut adalah maklumat berkaitan maksud B40, M40 dan T20 meliputi jumlah pendapatan dan kepentingan mereka.

JUMLAH PENDAPATAN B40, M40 & T20

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, kumpulan golongan kumpulan pendapatan di Malaysia ditakrifkan seperti berikut:-

GOLONGAN B40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40 atau Bottom 40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00.

Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK). Nilai PGK nasional adalah RM950.00 sebulan.

Kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani kemiskinan dan ketidak seimbangan sosioekonomi.

Pelbagai program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan B40 tanpa mengira jantina, kumpulan etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi B40.

B40 telah menerima banyak manfaat pada Bajet 2019 dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang amat tinggi di Malaysia terutamanya di bandar.

Beberapa inisiatif yang diperkenalkan adalah seperti berikut:-
  • Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk 3 kategori penerima berpendapatan sehingga RM4,000.
  • Peningkatan subsidi elektrik isi rumah untuk penggunaan RM20 ke bawah kepada RM40.
  • Pengenalan subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah dan pemilik motosikal 125cc dan ke bawah juga sangat diperlukan kerana kebanyakan pemilik kenderaan sebegini adalah daripada golongan B40.
  • Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 bakal memberi penjimatan kos perbelanjaan harian golongan B40.
  • Lain-lain – Pendidikan dan kesihatan serta Bantuan Skim Peduli Kesihatan dan MySalam.

GOLONGAN M40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di antara RM3,860.00 hingga RM8,319.00.

Golongan kelas pertengahan adalah pemacu kepada ekonomi atau M40, adalah sangat penting kepada kesejahteraan negara.

M40 adalah tunjang kepada perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta di Malaysia.

M40 juga merupakan satu kumpulan yang kritikal untuk sumber manusia, pelaburan dan keusahawanan.

GOLONGAN T20

Kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T20) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan RM8,319.00 dan ke atas mereka adalah penggerak ekonomi dan majikan kepada M40 dan B40.

Kesimpulan

Bagi mencapai status Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, langkah untuk memfokuskan kepada golongan yang berpendapatan rendah atau B40 adalah penting.

Ini kerana bagi negara yang berstatus berpendapatan tinggi, masyarakatnya perlulah berada dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tinggi dan bukan dalam kalangan B40.

Namun, kerajaan perlu juga membantu golongan M40 dan T20 untuk kesejahteraan rakyat, bagi membantu meningkatkan keadaan eknomi Malaysia pada masa kini dan hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: permohonan

Misteri Unggun Asap di Pulau Tok Kunyit

Misteri Unggun Asap di Pulau Tok Kunyit

Kalau memancing di Pulau Tiga mesti berhati-hati. Jangan pula pulang nanti bawa musibah. Sudah ramai orang terkena, demikian pesanan Wak Man Jono ketika Pak Leh bersama dua rakannya meninggalkan rumah petang itu tiba-tiba menerjah otak Pak Leh yang sibuk mendirikan khemah.

Misteri Unggun Asap
Gambar hiasan.

“Kalau terkena tempias sikit-sikit aku boleh tolong ikhtiarkan tapi kalau teruk, aku minta maaf. Jangan cari fasal dengan tempat itu,” lagi ungkapan orang tua berasal dari Jawa itu mengganggu tumpuan Pak Leh yang menyiapkan tempat tidur.

Pak Leh dan dua rakannya, Omar Lentuk dan Dollah Botak bukan tidak tahu ‘kerenah’ kawasan pulau terbabit.

Namun, tiga sekawan yang memang hantu pancing itu sanggup berdepan risiko asalkan udang galah dikatakan sebesar ibu jari kaki dan ketam nipah memenuhi sampan untuk dibawa pulang.

Selepas selesai mengerjakan solat Maghrib, kira-kira jam 8.30 malam mereka bersedia untuk menikmati makan malam.

Nasi dan lauk ikan sardin dimasak berkuah agak pedas serta sayur sawi digoreng berkicap licin dimakan tiga rakan karib itu.

Tiada aktiviti pada malam itu. Mereka yang mendirikan khemah dalam jarak kira-kira 2 meter antara satu sama lain hanya berbual kosong sementara menunggu mata mengantuk.

“Hang gemar apa Pak Leh? Aku kalau dengan ketam nipah apatah lagi jika dimasak kukus, tujuh lapan ekor habis diratah begitu saja,” kata Omar Lentuk seakan-akan bangga dengan tabiat pemakanan buruknya itu.

“Aku pulak udang galah paling aku minat. Sebab itu aku datang ke sini, yang lain tak dapat pun tak apa,” jawab Pak Leh.

“Oh macam tu. Tapi bukan senang nak dapatkannya. Cuma satu cara, hang selam lubuk buaya baru boleh kenduri sakan meratah udang," balas Omar Lentuk macam memperli.

“His! Hang ni cakap ikut sedap mulut saja. Buat macam aku ni, dapat pun tak apa, tak dapat pun tak apa,” celah Dollah Botak sebelum sempat Pak Leh menjawab.

Dalam pada rancak bersembang, mata Pak Leh melilau memantau persekitaran. Cerita orang yang mengatakan tempat mereka dijadikan lokasi bermalam itu laluan ular tedung selar menggugat keberaniannya sebagai seorang bekas tentera yang pernah meredah hutan memburu komunis.

Namun, cuaca cerah disinari sinaran bulan purnama membantu menstabilkan perasaannya.

“Pak Leh, awatnya aku tak mengantuk ni? Jam dah hampir 1 pagi ni,” kata Omer Lentuk.

“Tak boleh tidur? Bacalah apa-apa surah yang hang tahu,” balas Pak Leh apabila Omar Lentuk menghampiri khemahnya.

Pak Leh tidak mempedulikan rakannya itu. Dia bukan budak-budak lagi hendak didodoi baru boleh lena. Nun di sudut sebelah kirinya, Dollah Botak sudah berdengkur!

Selepas bersarapan pagi keesokan hari, Pak Leh ternampak kepulan asap kira-kira 100 meter dari tempat mereka bermalam. Didesak perasaan ingin tahu, mereka segera bergegas ke situ.

Sebaik sampai, mereka berpandangan sesama sendiri. Terdapat kesan seperti orang memasak dengan kayu api masih berbara tetapi tidak kelihatan sisa makanan atau kesan orang berkhemah.

Jadual memancing yang sepatutnya bermula jam 9 pagi tertangguh lantaran tiga serangkai itu membuat tinjauan di tempat terbabit.

Setelah berpuas hati tiada sebarang tanda tempat itu dikunjungi orang, mereka pun beredar untuk memancing.

Ketika matahari tegak di atas kepala, Pak Leh dan Omar Lentuk memperoleh tangkapan agak lumayan.

Pulau Tok Kunyit atau dikenali juga Pulau Tok Keramat menjadi pilihan bagi menjejak habuan.

Pak Leh memperoleh kira-kira 4 kilogram udang galah manakala Omar Lentuk asyik memburu ketam nipah di celah hutan pokok bakau sekitar pulau itu.

Kira-kira 30 meter di sebelah kanan Omar Lentuk kelihatan Dollah Botak tetap setia menunggu joran meskipun sejak tadi belum disentuh sebarang ikan.

Sesekali terdengar bunyi libasan tangan menghalau agas yang cuba singgah di badannya.

Tepat jam 12.30 tengah hari, Pak Leh mengarahkan yang lain balik ke kawasan perkhemahan untuk makan tengah hari.

Ketika mendapatkan kayu api di kawasan berasap itu, Pak Leh amat terkejut kerana tempat itu cuma dipenuhi pokok senduduk berbunga putih.

Kesan orang memasak yang mereka jumpa sebelum memancing tadi tidak kelihatan.

Terangsang usikan hati, Pak Leh berpatah balik ke kawasan perkhemahan. Hajat tiga sekawan itu untuk makan nasi dimasak menggunakan kayu api tidak kesampaian.

Nasib baik dapur memasak menggunakan tabung gas mini dibawa. Kalau tidak nasi mentahlah menjadi hidangan mereka tengah hari itu.

“Menyedari situasi di situ ada unsur pelik, kami mengambil keputusan pulang selepas menikmati makan tengah hari,” cerita Pak Leh kepada penulis yang kini menetap di Kampung Teluk Bayu, Sungai Petani, Kedah.

Menceritakan pengalamannya sekitar awal 70-an itu, Pak Leh yang kini berusia 63 tahun berkata, kasihan melihat Dollah Botak kerana pulang dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, atas prinsip persahabatan, beliau dan Omar Lentuk memberikan sebahagian tangkapan masing-masing supaya Dollah Botak tidak kehampaan.

“Kata-kata Dollah Botak dapat ikan pun tak apa, tak dapat pun tak apa teruji apabila hingga ke saat akhir memancing, sebarang ikan pun tak menyinggah jorannya.

“Apabila peristiwa terbabit diceritakan kepada Wak Man Jono, orang tua itu yakin apa yang kami alami itu sebahagian ‘gurauan’ penghuni Pulau Tok Kunyit.

Wak Man beritahu pernah berlaku beberapa kaki pancing dihalang lembaga seakan-akan buaya yang saiznya lebih kurang Bujang Senang berwarna keemasan apabila mereka berperangai kurang sopan di situ, katanya.

Mengenai asap berkepul itu, kata Pak Leh mungkin ada ‘orang’ dihantar untuk menjaga mereka bermalam pada malam itu kerana kawasan terbabit memang menjadi laluan ular tedung selar memburu biawak air.

“Wak Man Jono amat marahkan saya kerana tidak membawa pulang pokok senduduk berbunga putih kerana itu petanda penghuni di situ mahu memberikan tumbuhan berubat itu kepada kami," katanya mengakhiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com