Thursday, December 27, 2018

Apa Perlu Dilakukan Jika Menemui Harta Karun Atau Barang Temuan?


Menurut tafsiran dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, harta karun ialah wang, syiling, emas, perak, saduran, barang kemas bulion, batu berharga atau apa-apa objek bernilai dijumpai tetapi tuan punya tidak diketahui atau tidak dijumpai, namun ia tidak termasuk apa-apa warisan kebudayaan ketara.

Menemui Harta Karun
Gambar hiasan.

Objek bersejarah pula ertinya apa-apa artifak atau objek lain yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau bersejarah ini termasuk manuskrip, syiling, wang kertas, pingat, lencana, lambang kebesaran, jata, panji-panji, senjata atau perisai.

Memberikan contoh menentukan spesifikasi kepentingan sejarah dalam artifak yang ditemui berdasarkan tafsiran objek bersejarah, artifak itu perlu dikaji dengan mendalam antaranya dengan menghantarnya ke makmal dan Jabatan Warisan Negara.

Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya anda menemui harta karun?

Ia perlu diserahkan kepada Pegawai Daerah dikawasan tersebut, berdasarkan prosedur dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pegawai Daerah akan mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa seterusnya menentukan spesifikasi harta itu bagi mengenal pasti harta itu adalah harta karun, objek bersejarah atau istilah lain dalam akta tersebut.

Setiap satu jenis atau istilah harta ini mempunyai cara tertentu dalam akta itu untuk diuruskan, termasuk pemberian ganjaran, faktor lesen pencarian, serta berapa banyak ganjaran patut diberikan kepada individu yang menemuinya.

Hukum Menemui Harta Karun Dalam Islam

Berikut ini adalah kitab matan Abi Syuja' berdasarkan mazhab Syafi'i berkenaan Luqathah atau barang temuan.

Apabila seseorang itu menemui suatu barang (luqhatah/barang temuan) samada di tanah yang mati atau dijalanan, maka dia boleh mengambilnya ataupun meninggalkannya.

Dan mengambilnya adalah lebih utama, itupun jika dia percaya bahawa dia boleh menjaga barang temuan itu.

Jika dia mengambilnya, maka wajib ke atasnya mengetahui enam perkara:
  1. Bekas/tempatnya.
  2. Penutupnya.
  3. Talinya.
  4. Jenisnya.
  5. Bilangannya.
  6. Timbangannya.

Barang temuan itu wajib disimpan di tempat simpanan yang sesuai. Kemudian jika dia ingin memiliki barang temuan itu, dia mestilah mengumumkan selama setahun di pintu-pintu masjid dan juga di tempat di mana barang itu ditemui.

Maka jika tidak dapat menemui pemiliknya, bolehlah dia memiliki barang temuan itu dengan syarat dhamaan (dia mestilah menggantinya jika pemilik itu ditemui).

Barang temuan (luqathah) ada empat jenis:
  1. Jenis yang kekal seperti emas dan perak. Maka itulah hukumnya (perkara yang disebutkan di atas).
  2. Jenis yang tidak kekal seperti makanan basah. Orang yang menemuinya boleh memakannya, kemudian menggantinya, atau boleh menjualnya dan menyimpan wang hasil jualannya.
  3. Jenis yang tidak kekal jika tidak dijaga atau diproses, seperti kurma yang basah. Penemunya hendaklah melakukan apa yang terbaik untuknya, samada menjual dan menyimpan wang hasil jualannya atau mengeringkan dan menyimpannya.
  4. Jenis yang memerlukan biaya, seperti binatang.

Jenis binatang pula terbahagi dua jenis:
  • Binatang yang tidak boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Penemunya boleh memakannya dan menggantikan nilai harganya atau memeliharanya secara sukarela, kemudian menjual dan menyimpan wang hasil jualannya.
  • Binatang yang boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Jika ia ditemui di padang, hendaklah dibiarkan/ditinggalkan. Jika ia ditemui di kampung, penemunya boleh memilih melakukan antara 3 perkara yang tersebut di atas.

Kanak-kanak

Apabila ada kanak-kanak yang ditemui di jalanan, maka hukum mengambil, menjaga dan memeliharanya adalah fardhu kifayah.

Kanak-kanak ini tidak boleh ditinggalkan kecuali di tangan orang yang boleh dipercayai.

Jika didapati pada kanak-kanak itu ada harta, hakim hendaklah menampung kos perbelanjaan kanak-kanak itu dengan harta berkenaan. Jika kanak-kanak itu tiada harta, maka kosnya adalah ditanggung oleh baitulmal.

Ma'adin, Kanz dan Rikaz

Ma'adin dengan kata lain adalah bahan galian berharga, yang dengan sendirinya tersimpan di dalam bumi.

Manakala kanz adalah harta yang ditanam di dalam bumi oleh tangan manusia. Istilah Rikaz pula mencakupi kedua-dua ma'adin dan kanz.

Namun, umumnya setiap harta yang tertanam di dalam bumi dipanggil sebagai rikaz.

DALIL ZAKAT RIKAZ

Yusuf al-Qaradawi menyatakan harta yang tertanam termasuklah semua benda berharga yang ditinggalkan oleh manusia terdahulu di dalam tanah seperti emas, perak, tembaga, logam dan seakan dengannya.

Para fuqaha telah menetapkan bahawa sesiapa yang terjumpa harta-harta ini diwajibkan untuk mengeluarkan zakat seperlima bahagian (20%), berdasarkan hadis yang berasal dari Abu Hurairah RA yang bermaksud:

"Rasulullah SAW bersabda: "…harta terpendam (rikaz) (bila ditemui seseorang) zakatnya seperlima (20%)." (HR Bukhari & Muslim)

An-Nasa'i meriwayatkan dari Amru Ibnu Syu'aib dari bapanya dari datuknya bahawa:

"Rasulullah pernah ditanya tentang harta yang hilang dan dijumpai (luqatah), dan Baginda bersabda, "harta benda yang dijumpai dijalan umum atau di kawasan yang didiami orang ramai, hendaklah diberitakan kepada umum selama setahun. Sekiranya tuan empunya barang datang menuntut maka serahkan harta tersebut kepadanya, dan sekiranya tidak, ambillah sebagai milikmu. Tetapi harta yang dijumpai bukan pada jalan umum atau bukan di kawasan yang didiami orang, maka harta tersebut dikenakan bayaran, sebagaimana rikaz, iaitu seperlima bahagian (20%)." (HR An-Nasa'i)

KADAR, NISAB DAN HAUL ZAKAT RIKAZ

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan beberapa hal, antaranya:

1. Seperlima bahagian (20%) sebagai zakat bagi harta jumpa yang tidak dipunyai sesiapa sekalipun harta tersebut dijumpai di permukaan atau di dalam tanah. Sekiranya harta yang dijumpai itu ada pemiliknya, sama ada dia seorang muslim atau tidak, maka harta itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya.

2. Jumhur ulama berpandangan, rikaz meliputi semua harta yang wujud di permukaan tanah atau tertanam di dalamnya. Hal ini kerana hadis-hadis tersebut mengandungi pengertian yang lebih umum.

3. Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang menjumpai harta rikaz berkewajipan mengeluarkan seperlima (20%) dari harta yang dijumpai itu, tidak kira sama ada beliau seorang muslim atau tidak, demikian juga sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Namun, menurut al-Syafi'i, orang bukan Islam tidak diwajibkan seperlima (20%) kerana bayaran tersebut adalah zakat, dan orang bukan Islam tidak diharuskan zakat.

4. Zahir hadis tidak menyatakan tentang nisab dan menurut pandangan Malik, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Syafi'i dalam qaul qadimnya, seperlima (20%) diwajibkan pada harta yang dijumpai tidak kira berapa jumlah kuantitinya.

Hal ini kerana harta ini perlu dibahagi lima, maka tidak perlu diperhitungkan nisabnya, sama halnya dengan harta rampasan perang (ghanimah) sekalipun sedikit.

5. Para ulama sepakat bahawa tiada syarat haul (tidak perlu menunggu setahun) bagi zakat ini. Malah kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan segera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon