Thursday, May 30, 2019

Fungsi Penting Vitamin A, C, B12 Dan Mineral Kepada Kesihatan Tubuh

Fungsi Penting Vitamin A, C, B12 Dan Mineral Kepada Kesihatan Tubuh

Selain berfungsi untuk membentuk sel darah, vitamin dan mineral juga memiliki fungsi penting lain bagi kesihatan tubuh untuk proses metabolisme atau tenaga, oenzym, antioksidan, neurotopik dan mengawal pelepasan sistem neurotransmitter, sistem imuniti, menghasilkan hormon dan membantu menghasilkan sel baharu.

Fungsi Penting Vitamin

Mineral terbanyak dalam tubuh manusia adalah kalsium dan kerana itulah pengambilan jumlah kalsium dalam tubuh harus dipenuhi dengan baik, agar tidak menimbulkan masalah yang berhubungan dengan kekurangam kalsium seperti osteoporosis.

Beberapa kesan kekurangan vitamin dan mineral, antara lain adalah keletihan kerana penghasilan tenaga tidak efisien, akibat defisit mineral dan vitamin sehinga kekurangan tenaga.

Vitamin dan mineral sendiri membentuk tenaga dalam sel tubuh manusia yang disebut mitochondria.

Kekurangan mineral dan vitamin juga menyebabkan masalah fungsi untuk mencerna makanan atau disebut koenzym.

Ia akan menyebabkan makanan sukar dicerna dan menyebabkan nutrisi makanan tidak diserap dengan baik oleh tubuh.

Kekurangan vitamin dan mineral juga boleh menyebabkan masalah saraf dalam tubuh manusia, kerana vitamin dan mineral berfungsi untuk mengawal pelepasan neurotransmitter ke semua sistem saraf dalam tubuh.

Jika kekurangan vitamin dan mineral, maka ketika otak mengarahkan tangan untuk bergerak, akan sukar kerana saraf bermasalah.

Berikut kami senaraikan fungsi penting vitamin dan mineral kepada kesihatan tubuh manusia, juga kesan buruk jika terlebih pengambilannya.

1. Vitamin A

Ia juga dikenali sebagai Retinol, penting untuk:
  • Tumbesaran kanak-kanak yang sempurna.
  • Penglihatan yang baik (mencegah dan kadang-kala memulihkan rabun malam) untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
  • Kulit yang sihat.
  • Lapisan selaput mukosa didalam tubuh.

Kekurangan Vitamin A boleh menyebabkan:
  • Penurunan daya tahan kepada jangkitan.
  • Kulit kasar, kering dan berjerawat.
  • Masalah penghadaman.
  • Batu karang (ginjal).
  • Rabun malam.
  • Penyakit mata, termasuk xerophthalamia, dimana ia boleh menyebabkan buta.

Sumber Vitamin A yang baik adalah:
  • Hati, telur.
  • Marjerin.
  • Susu penuh krim dan susu rendah lemak.
  • Beta Carotene dari makanan (terdapat dengan banyaknya di dalam labu, lobak, aprikot, mangga, betik dan buah dan sayur yang berwarna kuning/oren dan merah serta dalam sayuran daun hijau seperti bayam, sawi, lobak putih dan ubi bit) yang akan ditukar kepada Vitamin A oleh tubuh kita.

Keracunan:
  • Vitamin A larut lemak dan ianya disimpan dalam badan dan sekiranya suplemen berlebihan diambil secara berlebihan.
  • Dalam kes yang teruk, kemungkinan berlaku rabun penglihatan, tekanan tinggi dalam otak, dan keguguran rambut.

2. Vitamin C

Kepentingan:
  • Vitamin C juga dikenali sebagai asid askorbik.
  • Ia penting untuk pembentukan dan pengekalan kolagen, iaitu sejenis protein yang mengukuhkan kedudukan sel badan.
  • Ia sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah dan penyembuhan luka.
  • Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisma beberapa jenis asid amino dan hormon.
  • Ia juga memiliki kesan antioksida dengan membantu badan mengeluarkan kumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisma yang digelar sebagai radikal bebas.

Kekurangan Vitamin C boleh menyebabkan:
  • Skurvi.
  • Kurang daya tahan.
  • Pendarahan gusi.

Sumber Vitamin C yang baik adalah:
  • Jambu batu.
  • Betik.
  • Belimbing.
  • Mangga.
  • Buah Sitrus (Limau).
  • Sayuran berdaun hijau.

Keracunan:
  • Cirit birit.
  • Ganguan gastro usus.
  • Pembentukan batu karang (ginjal).
  • Penambahan asid urik.

3. Vitamin B 12

Kepentingan:
  • Vitamin B 12 atau Cobalamin, dalam kombinasi dengan Folacin (Vitamin B 12 juga dikenali sebagai Asid Folik).
  • Ia digunakan dalam pembentukan sel darah merah.
  • Ia juga membantu dan mengekalkan pelindung selaput saraf.

Simptom kekurangan Vitamin B 12 adalah:
  • Pernicious Anemia.
  • Lumpuh otot dan urat saraf.

Sumber:
  • Daging.
  • Ikan.
  • Ayam/itik.
  • Produk tenusu.
  • Telur.
  • Hati.

4. Zat Besi

Zat besi adalah mineral yang diperlukan untuk kebaikan kesihatan dan kehidupan. Kebanyakan daripada zat besi dalam tubuh manusia terdapat di sel darah merah-hemoglobin dan kepentingannya adalah:
  • Pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah.
  • Pembentukan myoglobin dalam otot.
  • Pembawa oksigen.
  • Terlibat dalam penggunaan tenaga.

Secara amnya kekurangan zat besi boleh menyebabkan:
  • Anemia.
  • Simptom ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ dikalangan kanak-kanak.
  • Keletihan.

Sumber:
  • Hati.
  • Beef.
  • Ayam/itik.
  • Ikan.
  • Cengkerang.
  • Telur.
  • Kekacang.
  • Kacang kering.
  • Buah prun kering.
  • Jus buah prun.
  • Bijiran yang ditambah dengan zat besi.
  • Gandum penuh.
  • Roti yang diperkaya dengan galian dan bayam.

Keracunan:
  • Boleh merosakkan hati dan pankreas.
  • Kemungkinan peningkatan risiko untuk barah dan penyakit jantung.

5. Asid Folik

Juga di kenali sebagai Folate, diperlukan untuk menghasilkan sel baru terutama sel darah merah.

Kekurangan:
  • Kelesuan.
  • Keletihan.
  • Kurang daya tumpuan.
  • Cepat marah.
  • Pening.
  • Jantung berdebar.
  • Sesak nafas.
  • “Neural tube Defect” (kekurangan semasa mengandung).

Sumber:
  • Kekacang.
  • Sayur daun berwarna hijau.

6. Kalsium

Kepentingan:
  • Terlibat dalam proses pembentukan tulang dan gigi janin.
  • Kontraksi dan relaksasi otot.
  • Fungsi-fungsi saraf.
  • Fungsi normal sel.
  • Cofactor enzim.
  • Pembekuan darah dan tekanan darah.

Kekurangan:
  • Osteoporosis.
  • Pertumbuhan kanak-kanak yang terbantut.
  • Osteomalasia.
  • Rikets.

Sumber:
  • Susu dan produk tenusu.
  • Ikan (Bertulang).
  • Tofu.
  • Kekacang.
  • Brokoli.
  • Bayam.
  • Cekur manis.
  • Makanan yang diperkaya dengan kalsium.

Keracunan:
  • Batu karang (ginjal).

7. Zink

Kepentingan:
  • Pengangkutan untuk Vitamin A.
  • Deria rasa.
  • Penyembuhan luka.
  • Produksi sperma.
  • Perkembangan bayi.
  • Memainkan peranan dalam kebanyakan enzim, hormon (insulin), bahan generik dan protein.

Kekurangan:
  • Kurang selera makan.
  • Tumbesaran kanak-kanak terbantut.
  • Kelembapan pembentukan organ seks.
  • Penurunan fungsi imuniti.
  • Penyembuhan luka yang lambat.

Sumber:
  • Hati.
  • Daging.
  • Ayam/itik.
  • Makanan laut.
  • Kekacang.
  • Bijiran.
  • Kekacang.
  • Bijiran penuh.
  • Keracunan.
  • Demam.
  • Muntah.
  • Cirit birit.
  • Gastrik.
  • Pening.

8. Iodin

Kepentingan:
  • Membantu dalam pengawalan metabolisma dan pembentukan janin.

Kekurangan:
  • Pembesaran kelenjar tiroid (goiter).

Sumber:
  • Makanan laut.
  • Garam beriodin.

Keracunan:
  • Sensasi panas dalam mulut, tekak dan perut.
  • Sakit perut.
  • Demam.
  • Loya.
  • Muntah.
  • Cirit Birit.
  • Hypotyroidism.
  • Goiter.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Bahaya Kurang Tidur Yang Anda Wajib Tahu

Bahaya Kurang Tidur Yang Anda Wajib Tahu

Satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Josiane Broussard dan beberapa penyelidik dari Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles mendapati, kurang tidur semalaman boleh mengurangkan sensitiviti badan terhadap insulin sama seperti ketika anda makan makanan berlemak selama 6 bulan lamanya.

Bahaya Kurang Tidur

Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang yang membolehkan badan anda untuk menggunakan gula (glukosa) dari karbohidrat dalam makanan yang anda makan untuk tenaga selain membantu menjaga tahap gula dalam darah anda dari menjadi terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia).

Kurang tidur punca Diabetes

Apabila tubuh menjadi kurang sensitif terhadap insulin, tubuh anda tidak boleh menghasilkan insulin yang cukup untuk menjaga kadar gula darah stabil.

Jika keadaan ini berterusan, tubuh anda tidak dapat memproses dan mengawal gula dengan baik dalam tubuh.

Kurang tidur boleh menyebaban kerosakan insulin dan berpotensi diserang penyakit diabetes jadi, kalau anda kurang tidur beberapa hari ini, ‘bayar hutang’ tidur anda tu balik ye.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lelakisihat

Sejarah Sugandoi, Pertandingan Nyanyian Masyarakat KDCA Di Sabah

Sejarah Sugandoi, Pertandingan Nyanyian Masyarakat KDCA Di Sabah

Sepanjang bulan Mei setiap tahun, selain pertandingan ratu cantik ‘Unduk Ngadau’, makanan tradisi, acara kebudayaan dan sebagainya, salah satu acara paling ditunggu-tunggu adalah ‘Sugandoi’, iaitu pertandingan mencungkil bakat nyanyian masyarakat KadazanDusun dan Murut.

Dabra Sia juara Sugandoi
Dabra Sia Ying Ying juara Sugandoi Kaamatan 2019.

Baik mereka yang baru berkecimpung dalam bidang nyanyian mahu pun yang ingin meluaskan lagi pengalaman mereka dalam pelbagai pertandingan di peringkat lebih tinggi, tidak terkecuali menyertainya jika berkesempatan.

Seperti yang ramai sedia maklum, masyarakat KadazanDusun dan Murut, sejak dahulu adalah antara kaum yang dikenali dengan tabiat atau kecenderungan dalam bidang seni, malah boleh dikatakan kebanyakan mereka dianugerahkan bakat menyanyi dan bermain muzik.

Tidak kiralah dalam acara atau majlis kecil atau besar, ketika acara santai bersama keluarga mahu pun kawan-kawan, seringkali dilihat mereka akan menyanyi sambil bermain muzik, pendek kata memang suka menjadi penghibur bagi memeriahkan suasana majlis tersebut.

APA ITU SUGANDOI?

Bagi masyarakat KadazanDusun, Sugandoi merupakan nama satu ‘semangat’ yang diseru oleh Bobohizan dan ditinggalkan di dalam sebuah tempayan besar yang dikenali sebagai ‘Kakanan’ oleh suku Kadazan Tangaah.

Sugandoi juga dikatakan sebagai entiti yang boleh menjaga kebajikan sesebuah keluarga yang menjaganya melalui satu upacara yang dinamakan ‘Moginakan’, yang mana semangat ini akan memberikan nasib yang baik kepada keluarga tersebut termasuklah dalam faktor kesihatan dan rezeki dalam bentuk makanan.

Ketika upacara ritual bagi memuja Sugandoi, Bobohizan akan mengucapkan mentera (inait/rinait) yang dikenali sebagai ‘Monugandoi’.

Mentera tersebut berupa nyanyian yang kedengaran seolah-olah memuji sang pencipta (Kinoingan) termasuklah juga ‘Sugandoi’.

Maka tidak hairanlah mengapa mereka menamakan pertandingan menyanyi dalam bahasa KadazanDusun itu sebagai ‘Sugandoi’.

PERTANDINGAN

Pertandingan Sugandoi diadakan pada setiap bulan Mei sempena bulan menyambut Pesta Menuai (Kaamatan) atau ‘Tadau Kaamatan’ di setiap daerah di negeri Sabah dan beberapa pusat KDCA di Semenanjung Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Sugandoi bertujuan mencungkil bakat-bakat nyanyian yang ada di Sabah tanpa mengira peringkat umur iaitu kanak-kanak, dewasa atau golongan veteran.

Bagaimanapun, lazimnya penyertaan ini hanyalah kepada mereka yang berdarah atau berketurunan (KadazanDusun dan Murut (KDM) sahaja, biasanya dibahagikan kepada 4 (empat) kategori iaitu Sugandoi Dazanak (kanak-kanak), Sugandoi remaja dan dewasa (terbuka), dan Sugandoi Songkotoun (veteran).

Kesemua peserta Sugandoi diwajibkan untuk memakai baju tradisional daerah masing-masing kerana pakaian juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi markah daripada juri.

Sebanyak 41 daerah akan bertanding di mana pemenang bagi setiap daerah tersebut akan menjadi wakil ke peringkat paling tinggi iaitu peringkat negeri yang akan diadakan di Hongkod Koisaan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, bermula pada tahun 2019, peserta di peringkat negeri di tingkatkan ke 60 lebih peserta, mewakili setiap DUN yang ada di Sabah ditambah wakil dari Semenanjung Malaysia.

Manakala pada peringkat negeri pula akan diadakan sebanyak 4 (empat) tapisan iaitu saringan 1, suku akhir, separuh akhir dan akhir, di mana hanya 10 peserta akan terpilih sebagai finalis.

Bagi tahun 2019, 65 peserta akan beraksi di suku akhir bagi memilih 30 peserta untuk separuh akhir dan seterusnya seperti biasa hanya 10 peserta layak ke Pusingan akhir.

SEJAUH MANA SUGANDOI MENJADI PLATFORM NYANYIAN ANAK TEMPATAN SABAH?

Telah terbukti bahawa pertandingan Sugandoi telah berjaya membuka peluang kepada para peserta untuk mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi sehinggalah berjaya melahirkan ramai artis yang mengharumkan nama Sabah.

Antaranya seperti Rosario Bianis (Juara Bintang RTM 2016), Apprilissa Sue Ann (3 Juara 2016), Esther Applinius (Naib Juara One in a Million), Reynaldo Paggie (Juara Bintang RTM 2007), Jo-Anna Sue Henley Rampas (Naib Juara Bintang RTM 2009) Zackridin Zakri (Naib Juara Ceria Pop Star) dan ramai lagi.

PEMENANG

Menurut sumber daripada KDCA, sejak tahun 1987–2002, pertandingan ini dahulunya dikenali dengan nama Bintang Kaamatan, namun bermula tahun 2004 hingga sekarang, nama pertandingan ini ditukar kepada ‘Sugandoi’.

Berikut merupakan senarai pemenang Johan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah mengikut urutan tahun (1987-2018):
  • 1987 : Nadia Joseph (Tambunan)
  • 1988 : Applunius Jimmy (Tambunan)
  • 1989 : Ambrose Poisil (Penampang)
  • 1990 : Evaristus Gungkit (Tambunan)
  • 1991 : Annie John Jinuli (Tambunan)
  • 1992 : Johnny Guntabid (Tambunan)
  • 1993 : Tiada Pertandingan
  • 1994 : Fulgentius Angjangon (Inanam)
  • 1995 : Rozalina Bahrin (Tuaran)
  • 1996 : Normi Jamil (Papar)
  • 1997 : Yannie (Kudat)
  • 1998 : Henry Gumisi (Penampang)
  • 1999 : Suzie Stephen Tuning (Tambunan)
  • 2000 : Marcus Payus (Penampang)
  • 2001 : Martha Ginun (Tambunan)
  • 2002 : Janiri Sipaji (Papar)
  • 2003 : Alice Marcus (Penampang)
  • 2004 : Dickson Jailis (Tambunan)
  • 2005 : Esther Appplunius (Tanjung Aru)
  • 2006 : Arnold Wences Linus (Tambunan)
  • 2007 : Siti Sarina Mansur (Kudat)
  • 2008 : Malvin Kalbin (Tongod)
  • 2009 : Georgia Joy Binsol (Papar)
  • 2010 : Arie Famree Suis (Kota Belud)
  • 2011 : Feraddy Okuling (Likas)
  • 2012 : Cathy Woritus (Penampang)
  • 2013 : Gideon B. Hilarius (DBKK)
  • 2014 : Rosario Bianis (Tambunan)
  • 2015 : Apprillisa Sue Ann (Tuaran)
  • 2016 : Mohd Rifanzie Ruji (Labuan)
  • 2017 : Jacinda Faye (Tuaran)
  • 2018 : Fransisca Juingki (KDCA Lembah Klang)
  • 2019 : Dabra Sia Ying Ying (Kadamaian)

Reynaldo Paggie atau Rey Kimara, merupakan Naib Johan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2006, setahun kemudian beliau memenangi pertandingan Bintang RTM 2007.

PROMOSI PELANCONGAN

Sugandoi juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan bahasa dan budaya masyarakat KDM kepada masyarakat luar terutamanya dalam kalangan pelancong luar negara.

Seharusnya para belia, peserta Sugandoi dan masyarakat KadazanDusun dan Murut menghayati lirik dan maksud bahasa di dalam setiap bait lirik yang dinyanyikan mereka kerana nilai budaya dan identiti bahasa dalam lagu-lagu bahasa Dusun itu sendiri terkandung elemen-elemen budaya yang harus dipertahankan sepanjang zaman.

Seharusnya pertandingan Sugandoi ini diteruskan sampai bila-bila demi memartabatkan bahasa dan budaya kaum KadazanDusun/Murut sehingga dikenali seantero dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: gingkaras

Wednesday, May 29, 2019

Misteri Warung Di Kuala Sungai

Misteri Warung Di Kuala Sungai

Tengah hari itu perbualan kami tiba-tiba terganggu apabila hujan renyai-renyai biarpun keadaan cuaca panas. Angin laut bertiup sederhana. Bot kayu berlunas tajam membawa satu kumpulan empat kaki pancing ke lokasi laluan kapal karam di Selat Melaka, cerita Hafis yang mengetahui kumpulan trip memancing hari itu.

Misteri Warung
Gambar hiasan.

Petanda kurang baik dapat dirasakan sebelum melangkah masuk dalam bot yang masih menunggu tekong Pak Zuriff.

Hafis pada mulanya bercadang untuk membatalkan program memancing hari itu, tapi tiga rakan yang lain mahu teruskan kerana musim air mati sudah bermula.

Musim begini ikan lapar memburu umpan terutama di perairan laluan kapal yang terhad pada lubuk atau tubir alur daripada lumpur berpasir halus serta sebagai waktu terbaik memburu ikan terumbu.

Pak Zuriff bagaikan terpanggil singgah di warung makan sebaik saja keluar dari Kuala Sungai.

Hujan gerimis sudah berhenti dan keadaan warung makan di situ masih sibuk dengan orang ramai.

Pak Zuriff masih mencari warung yang sesuai dan akhirnya bertemu sebuah warung yang ada pelayan wanita cantik. Hafis dan rakannya turut tertarik untuk singgah di warung tersebut.

Kami menjamu selera sambil menjamu mata, cerita Hafis lagi dan tidak menafikan bahawa lima orang gadis di warung berkenaan memang cantik dengan layanan yang memuaskan.

Bergerak meninggalkan warung di tepi kuala terasa agak berat untuk berpisah dengan gadis-gadis yang menghantar kami hingga ke tepi bot.

Sepanjang perjalanan ke lokasi memancing di laluan kapal, minat tiga rakan pancing yang sebelum ini begitu berkobar-kobar untuk bertarung dengan spesies ikan bersaiz XL bagaikan sudah hilang.

Semangat mereka seolah-olah dicuri gadis cantik di kuala dalam fikiran Hafis sudah terasa sesuatu pelik berlaku tetapi tidak berani menegur.

Lokasi pertama, tubir berbatu di temui. Sauh diturunkan dan paras air mencecah sedalam 65 meter. Hafis paling awal menurunkan umpan isi ikan cabuk melalui pancing dasar.

Sentapan pertama berjaya mendaratkan jenahak seberat tiga kilogram. Melihat keadaan yang sudah ada tanda spesies ikan terbaik barulah tiga rakan yang sejak tadi jauh berangan menurunkan batu ladung dengan umpan yang berbeza.

Ada yang menggunakan udang dan isi sotong dan umpan-umpan ini turut menarik minat ikan tetanda.

Hujan renyai turun semula sebaik saja kami berpindah ke lokasi kedua yang masih lagi dalam perairan laluan kapal.

Keadaan panas terik tapi hujan gerimis berterusan. Hafis berpandangan dengan tekong Pak Zuriff tapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

Aktiviti memancing diteruskan seperti biasa malah sepanjang malam kami berpindah randah mencari lubuk ikan.

Beberapa kali ke togok dan berbalik ke laluan kapal semula. Rezeki sederhana tapi memuaskan, namun tiga rakan pancing sering bertanya untuk pulang dan singgah di warung dapat perhatian tekong dan berjanji akan singgah sebaik saja tiba di Kuala.

Keesokan hari, awal lagi bot bergegas pulang dan tiga rakan pancing bagaikan tidak sabar untuk bertemu pelayan cantik di warung.

Hujan renyai turun lagi kuala sungai, tetapi sepanjang masuk ke kuala tidak di temui sebarang warung seperti yang dilihat petang semalam.

Kami berpandangan antara satu sama lain termasuk tekong Pak Zuriff. Bot terus masuk ke Kuala , jelas tiada warung cuma hutan bakau serta pokok api-api yang tumbuh menutup tebing berlumpur itu.

“Ke mana hilangnya warung dan pelayan gadis cantik,” satu misteri yang tidak berjawab hingga sekarang ini tapi wujudnya bagaikan dirasa bukan satu kehilangan.

Ianya tetap ada cuma tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

'GlobalCoin' Matawang Digital Bakal Di Perkenalkan Facebook

'GlobalCoin' Matawang Digital Bakal Di Perkenalkan Facebook

Facebook dilaporkan berhasrat untuk memperkenalkan kriptowang tersendiri yang akan dikenali sebagai ‘GlobalCoin’ seawal tahun 2020 hadapan bagi merancakkan lagi kehangatan matawang internet yang semakin suram.

GlobalCoin FB

Difahamkan, penawaran kriptowang daripada Facebook ini bertepatan dengan langkah untuk menawarkan sebuah matawang yang selamat dan sesuai digunakan tanpa mengira akaun bank yang digunakan pengguna.

GlobalCoin juga mungkin bakal memudahkan pengguna membeli dan menjual terus melalui platform WhatsApp dan Instagram yang turut dimiliki oleh Facebook.

Dalam erti kata lain, setiap pengguna seluruh dunia akan turut menggunakan matawang yang sama.

Setakat ini masih awal untuk menjangkakan sama ada penawaran kriptowang daripada Facebook ini bakal mendapat sambutan ataupun tidak, namun melihat kepada jumlah pengguna Facebook yang sudah menjangkau 2.4 bilion sebulan, pelan ini nampaknya berbaloi untuk dicuba.

Walau bagaimanapun, pastinya soal keselamatan kriptowang pengguna antara yang perlu dibuktikan Facebook sebelum mendapat kepercayaan orang ramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Sejarah Unduk Ngadau Klang Valley Komuniti KadazanDusun

Sejarah Unduk Ngadau Klang Valley Komuniti KadazanDusun

Sejarah Unduk Ngadau Kaamatan Klang Valley bermula pada tahun 2000 di Raintree Club, Jalan Ampang Hilir telah menjadi perintis kepada Pertandingan Ratu Kebudayaan pertama di Kuala Lumpur dan Tati Angelina Ongkunik Moiji merupakan Unduk Ngadau pertama yang telah mewakili KDCA Klang Valley di peringkat negeri Sabah.

Unduk Ngadau Klang Valley

Semenjak itu, Unduk Ngadau telah menjadi aktiviti tahunan KDCA Klang Valley, yang kini telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Pemenang Unduk Ngadau peringkat Klang Valley akan mewakili komuniti KadazanDusun di Kuala Lumpur/Klang Valley ke peringkat negeri Sabah untuk bertanding di kemuncak Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai pada hujung bulan Mei, menandakan berakhirnya pesta menuai yang dirayakan setiap tahun.

Acara ini merupakan aturcara yang paling menarik minat penonton, kemunculan setiap peserta Unduk Ngadau disambut dengan suasana gamat dengan pekikan atau mamangkis menyambut kemunculan peserta kegemaran atau sokongan terhadap wakil tempat masing-masing.

Latar Belakang Unduk Ngadau

Secara ringkasnya, Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun, bermaksud ‘korban’ yang berasal dari perkataan ‘rundun/ruminundun’ dalam bahasa KadazanDusun.

Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun.

Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang pertama yang mengajar Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang.

Semenjak itu, perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun.

Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan yang disambut pada 30-31 Mei setiap tahun di negeri Sabah.

SYARAT MENYERTAI PERTANDINGAN UNDUK NGADAU KLANG VALLEY

1. Penyertaan adalah terbuka kepada gadis kaum Kadazandusun/Murut atau kacukan KadazanDusun/Murut berasal dari Sabah dan Warganegara Malaysia, Bumiputra. Mestilah seorang ahli KDCA Klang Valley. Keahlian KDCA Klang Valley boleh dipohon pada hari pendaftaran. Yuran minimum ($15 untuk 5 tahun pertama. Pembaharuan $1 setahun).

2. Peserta diwajibkan berbahasa ibunda sewaktu pengenalan diri pada pertandingan akhir pada hari pertandingan.

3. Peserta hendaklah masih bujang-belum berkahwin, berumur di antara 18 hingga 25 tahun pada tahun pertandingan dilangsungkan.

4. Penuntut sekolah dilarang menyertai kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada pihak sekolah.

5. Tidak pernah terlibat dalam masalah mana-mana kegiatan gejala sosial.

6. Tidak pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Klang Valley dan peringkat Negeri.

7. Pakaian, solekan, dandanan dan perhiasan semasa hari pertandingan hendaklah ditanggung oleh peserta.

8. Tarikh tutup borang penyertaan Online yang diterima selepas bulan Mei (setiap tahun) tidak akan dilayan.

9. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang bantahan tidak akan dilayan selepas pertandingan.

10. Semua tarikh-tarikh yang disebutkan di atas adalah jangkaan terdekat sahaja, pihak penganjur boleh mengubah tarikh pada bila-bila masa apabila perlu.

11. Penyertaan dan ‘title’ sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Klang Valley boleh dibatalkan atau ditarik semula oleh penganjur, jika didapati penyertaan seseorang peserta telah tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh penganjur, contohnya, jika maklumat yang diberikan tidak benar, atau terlibat dengan gejala yang menyebabkan aib kepada penganjur.

Kepada semua aspiran Unduk Ngadau Klang Valley, kami ucapkan selamat Berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Data Pengguna Aplikasi Truecaller Tertiris Di Laman ‘Deep Web’?

Data Pengguna Aplikasi Truecaller Tertiris Di Laman ‘Deep Web’?

Truecaller merupakan aplikasi yang dapat memberi maklumat tentang panggilan telefon atau SMS daripada nombor yang anda tidak kenali dan jika anda salah seorang pengguna aplikasi ini, sila berhati-hati selepas ini.

Truecaller Deep Web

Namun, menurut perkongsian di laman Facebook OMG Hackers, dikhabarkan data peribadi anda kemungkinan besar telah tertiris ke laman deep web.

Rata-rata responden di perkongsian ini turut bersetuju ada menerima mesej berbentuk ‘scam’ yang pelbagai setelah menggunakan aplikasi Truecaller.

Dalam satu laporan terbaharu yang telah dikeluarkan media di India mengatakan, data pengguna Truecaller di sana tertiris di laman deep web dan pihak yang berminat boleh membeli data berkenaan pada harga sekitar RM9,000.

Namun, pihak Truecaller telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa syarikat berkenaan sangat mementingkan keselamatan maklumat peribadi pengguna Truecaller dan mereka tidak sesekali akan menjual data tersebut kepada pihak ketiga.

Mereka turut menafikan database pengguna digodam dan menyebabkan maklumat peribadi pengguna Truecaller tertiris kepada pihak luar.

Sekiranya anda pengguna premium untuk aplikasi ini, anda mungkin perlu bertukar ke aplikasi alternatif yang lain dengan aplikasi Whoscall antara yang disyorkan selepas Truecaller.

Anda ada menerima gangguan dari nombor tidak dikenali selepas menggunakan Truecaller?

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Tuesday, May 28, 2019

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, nama yang pernah suatu ketika dahulu menjadi bualan hangat dan berlegar di minda terutamanya umat Islam, merupakan presiden Turki pertama yang dianggap sebagai bapa pemodenan Turki moden.

Mustafa Kemal Ataturk bangsa Yahudi

Namanya sangat dibanggakan dan diberikan gelaran "Ataturk" yang bermaksud bapa orang Turki. Dia merupakan pembawa sekularisma di Turki.

Namun, jika dilihat sejarah dari sudut pandangan lain, Ataturk adalah seorang yahudi yang menyamar menjadi seorang Islam untuk menghancurkan Islam itu sendiri dari dalam.

Dia adalah orang yang bertanggungjawab menghapuskan pemerintahan khalifah Islam yang dibubarkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.

Dia sengaja menjauhkan nilai-nilai agama dari kehidupan rakyat Turki yang selama ratusan tahun dinaungi cahaya Islam. Seorang pengkhianat agama yang tidak dapat, oleh sebahagian besar umat Islam, membayangkan kejahatannya.

Latar belakang

Mustafa Kemal Ataturk yang diberi gelaran al-Ghazi yang bermaksud orang yang memerangi ini lahir pada tahun 1881 di Kota Salonika yang ketika itu merupakan taklukan Khalifah Uthmaniyyah.

Ayahnya, Ali Riza, adalah seorang pengawal di jabatan kastam manakala ibunya bernama Zubayde seorang wanita yang amat taat dalam menjalankan agama.

Menurut H.S. Armstrong, salah seorang pembantu Ataturk dalam bukunya yang berjudul "al-Zi'bu al-Aghbar" atau "al-Hayah al- Khasah li taghiyyah" telah menulis:

"Sesungguhnya Ataturk adalah daripada keturunan Yahudi. Nenek moyangnya adalah Yahudi yang berpindah dari Sepanyol ke bandar Salonika."

Golongan Yahudi ini dinamakan dengan Yahudi Daunamah yang terdiri daripada 600 buah keluarga. Mereka mendakwa memeluk Islam pada tahun 1095H (1683M), tetapi masih menganut agama Yahudi secara senyap-senyap.

Ini diakui sendiri oleh bekas Presiden Israel, Yitzak Zifi, dalam bukunya Daunamah terbitan tahun 1377H (1957M):

"Ada kumpulan-kumpulan agama yang masih menganggap diri mereka sebahagian daripada Nabi Israel. Antara mereka ada satu kumpulan iaitu kumpulan Daunamah yang Islam hanya pada zahir tetapi mengamalkan ajaran Yahudi secara senyap-senyap."

Awal hidup Ataturk

Ali Mufrodi, seorang pengkaji Islam dari University of Leiden Belanda dalam bukunya yang berjudul, "Ensiklopedia Tematis Dunia Islam" menjelaskan, Mustafa Kemal Ataturk dimasukkan oleh ibu bapanya ke madrasah, tetapi dia tidak menyukainya dan selalu melawan guru.

Ketika Mustafa berumur 12 tahun, dia memasuki Sekolah Tentera Salonika dan meneruskan pelajarannya di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M).

Dia kemudiannya menyambung ke akademi tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraanya pada 1325H (1907M) dan seterusnya ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika.

Inilah titik permulaanya dalam memerangi pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah dan sebagai seorang penentang agama Islam.

Sebagai seorang graduan dari akademi tentera, dia telah mengingatkan dan mempengaruhi rakan pegawainya agar tidak tertipu dengan dunia pemikiran Islam.

Kebangkitan Mustafa Kemal Ataturk

Permulaannya, dia telah mengubah ucapan Assalamualaikum kepada Marhaban Bikum (Selamat Datang).

Gerakan pertamanya memerangi Islam adalah dengan menubuhkan Organisasi Kebangsaan dan Kebebasan yang bertujuan menghapuskan pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang menurutnya mengamalkan cara pemerintahan autoritarian, namun usahanya gagal.

Ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama, nama Mustafa Kemal Ataturk meningkat naik apabila dia telah dipilih menjadi panglima tentera ke-19 i Sinaq Qal'ah.

Tenteranya telah berjaya mengalahkan tentera Inggeris sebanyak dua kali di Semenanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil walaupun pada hakikatnya kekuatan tentera Inggeris mampu mengalahkan tentera Ataturk.

Disebabkan kejayaan Ataturk membawa kemenangan kepada Turki, dia telah dilantik menjadi kapten dan seterusnya menjadi jeneral pada tahun 1335H (1916M).

Namun, jika dilihat dengan mata hati, kejayaan yang diraih oleh Ataturk ini sebenarnya adalah rancangan jahat pihak Inggeris yang sengaja mahu mengangkat nama Ataturk sehingga reputasinya dipandang tinggi oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Dalam satu lagi gerakannya, dia telah mengetuai satu pasukan tentera di Palestin pada tahun 1918. Dia telah menghentikan peperangan terhadap Inggeris iaitu musuh Kerajaan Uthmaniyyah secara mengejut lalu membenarkan Inggeris untuk maju ke sebelah utara tanpa sebarang tentangan.

Dengan muslihatnya yang licik, dia telah mengadu jatuh sakit dan terlantar di Kem Nablus namun tindakannya itu telah membuatkan orang ramai tertanya-tanya dan pelbagai spekulasi timbul.

Dia kemudiannya membawa tenteranya ke Damsyik dan disitu dia telah memerintahkan supaya tentangan terhadap Inggeris dihentikan.

Dengan ini, ia menjadi peluang keemasan kepada pihak Inggeris untuk maju ke wilayah Uthmaniyyah.

Campur tangan pihak Inggeris

Pihak Inggeris meminta khalifah membubarkan Dewan Rakyat yang mana ia berkuasa untuk menentukan kekuasan khalifah, selepas kekalahan Turki dan pengisytiharan gencatan senjata.

Tidak cukup dengan itu, Inggeris mencetuskan huru-hara dalam istana Kerajaan Uthmaniyyah dari tahun 1918 sehingga 1919.

Mereka kemudiannya mencadangkan agar Mustafa Kemal memikul tugas sebagai pemerintah supaya beliau dapat menjadi orang yang mampu memenuhi kehendak rakyat dan juga satu-satunya pegawai tentera yang layak mendapat penghargaan daripada pihak tentera.

Oleh itu, kehebatan Mustafa Kemal kian terserlah di mata masyarakat manakala institusi khalifah pula semakin merosot.

Pada masa yang sama dia telah berjaya menjayakan rancangan Pihak Bersekutu untuk menguasai wilayah-wilayah Kerajaan Uthmaniyyah.

Revolusi yang dicetuskan oleh Ataturk disokong penuh oleh Inggeris dan berjaya pada peringkat awal setelah gerakannya disertai oleh pemimpin-pemimpin muda dan ahli fikir yang meletakkan syarat agar tidak membabitkan khalifah.

Pertempuran di antara tentera Uthmaniyyah dengan Greek telah berlanjutan selama satu setengah tahun dan semasa peperangan sedang berlaku, Pihak Bersekutu telah mengumumkan bahawa mereka berkecuali.

Sungguh menghairankan kerana senjata-senjata yang dibekalkan kepada Mustafa Kemal adalah daripada Rusia hasil perancangan rapi pihak Inggeris di Busfor sekalipun Rusia memang memusuhi Kerajaan Uthmaniyyah.

Tentera Greek mencetuskan api peperangan sekali lagi pada 23 Mac 1921 dan pada bulan September 1921 pertempuran antara mereka terhenti apabila Greek menarik balik tenteranya dari Izmir.

Selepas dua hari, tentera Uthmaniyyah mula memasuki Izmir tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

Propaganda Barat

Barat telah membesar-besarkan kemenangan pimpinan Mustafa Kamal ini dan menyebarkannya dengan cepat ke negara-negara Islam.

Orang Islam telah tertipu dengan tindakan Mustafa yang berjaya memenuhi aspirasi mereka sehinggakan Ahmad Shauqi pernah memuji Ataturk melalui sebuah qasidah yang mengumpamakan Ataturk seperti Khalid bin al-Walid.

"Maha Besar Allah betapa kemenangan yang penuh keajaiban, Khalid Turki hidupkanlah kembali, Khalid Arab."

Jatuhnya Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Namun, cita-cita dan impian mereka berkubur apabila Ataturk membubarkan Kerajaan Khalifah pada 3 Mac 1924.

Kerabat diraja dan Khalifah dihalau keluar dari Turki. Kementerian Wakaf dan Kementerian Undang-undang Syariah dimansuhkan serta sekolah-sekolah agama ditukar menjadi sekolah-sekolah awam.

Musuh-musuh Islam melihat bahawa penghapusan Khilafah Islamiah bukanlah suatu perkara mudah. Ia hanya akan tercapai dengan cara menonjolkan seorang wira yang agung dan Mustafa merupakan orang yang digelar wira tersebut.

Dengan jatuhnya Kerajaan Khalifah, Mustafa Kemal dengan bantuan pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi dan memperbodohkan seluruh rakyat dan inilah masanya yang paling sempurna bagi mereka untuk menghancurkan Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Pembekal Dan Pemborong Madu Kelulut Asli Di Malaysia

Pembekal Dan Pemborong Madu Kelulut Asli Di Malaysia

Semua orang yang menyukai madu kerana mengetahui khasiatnya sedar bahawa, madu kelulut asli adalah pilihan terbaik kerana selain rasanya yang lebih sedap, tidak terlalu manis ketika dimakan, kelulut juga sangat sesuai bagi mereka yang ada alahan terhadap madu.

Pembekal Madu Kelulut Asli

Cuma masalahnya, bagaimana untuk mendapatkan bekalan madu kelulut asli dari penjual atau pemborong yang boleh dipercayai ketulenannya?

Tidak dinafikan, ada juga penjual tidak jujur yang sengaja mencampurkan air atau gula melaka untuk menambah isipadu kandungan madu kelulut kerana kekurangan stok dan kesukaran mendapatkan bekalan madu dipasaran.

Madu kelulut asli juga sudah terbukti berkesan merawat beberapa jenis penyakit terutamanya gastrik, penyakit sendi, malah menjadi suplemen terbaik bagi pesakit kanser.

Cuma, keberkesanan madu sebagai penawar penyakit akan diragui sekiranya kandungannya tidak asli kerana syarat utama madu sebagai salah satu rawatan penyakit adalah keasliannya.

Khasiat Madu Kelulut

Menerusi kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), madu kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang amat berguna untuk manusia.

Pengambilan madu kelulut asli setiap hari akan menjadikan seseorang tidak mudah letih serta kandungan antioksidan dalam madu kelulut lebih tinggi berbanding madu lebah biasa, menjadikannya lebih baik untuk membantu mencegah dan menyembuh sesuatu penyakit.

Kandungan komponen flavonoid dan finolik yang tinggi dalam madu kelulut asli turut berupaya membantu penghidap gastrik untuk berpuasa di bulan Ramadhan juga ketika berpuasa sunat, membantu seseorang kekal bertenaga serta mampu melaksanakan ibadah itu tanpa rasa letih sepanjang hari.

Merawat Penyakit Kanser

Madu kelulut asli juga berpotensi sebagai bahan yang membantu dalam rawatan kanser, kerana kandungan dalam madu kelulut seperti asid p-coumaric sebagai contoh, mengandungi bahan antioksidan yang tertinggi dan dipercayai mampu membantu mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid protokatechuik dan asid vanilik manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu kelulut juga mampu membantu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.

Bahan tersebut juga berkesan membantu menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.

Madu kelulut asli berupaya membantu mengurangkan sel yang membentuk sel kanser serta membantu menghapuskannya.

Kajian klinikal mengenai keberkesanan madu kelulut asli telah dijalankan di Indonesia dan India yang membuktikan pengambilan madu kelulut berupaya membanteras pembentukan sel kanser.

Ketahui Ciri-Ciri Madu Kelulut Asli

Ciri-ciri madu kelulut asli boleh dikenali melalui cara-cara yang dicadangkan di bawah:

1. Mengenali latar belakang penjual atau pembekal madu.

2. Menjadi seorang yang terbiasa dengan madu asli, akan lebih mudah untuk mengetahui ianya asli atau tiruan.

Antara tanda-tanda madu asli hutan adalah, rasanya agak menyengat (tajam; keasidan agak tinggi) dan mempunyai bau wangi aroma dengan ciri-ciri tertentu.

Madu asli yang diternak pula rasanya cuma masam manis sahaja dan kurang menyengat.

3. Dengan ujian awal makmal

Orang awam harus memastikan madu kelulut yang dibeli telah melalui proses validasi iaitu pengesahan kandungan dari institusi yang telah mendapat pengiktirafan bagi memastikan tidak tertipu dengan madu tiruan.

Walau bagaimanapun, madu tiruan tetap boleh dihasilkan melalui kaedah makmal, jadi ujian 1 dan 2 sangat penting diamalkan oleh pengguna.

4. Gelang Propolis

Madu asli mengandungi gelang propolis/pollen di bahagian paling atas aras madu jika dibiarkan lama di dalam kemasan botol (khusus bagi madu asli segar yang telah dibiarkan lebih seminggu).

5. Menggunakan api

Ambil ½ sudu besar madu dan bakar di atas api lilin. Apabila buihnya kecil-kecil seperti air mendidih bermakna ianya palsu.

Madu asli buihnya akan membesar dan akan terus membuak jika terus dipanaskan, namun ujian ini juga tidak dapat menentukan keaslian madu seratus peratus 100%.

Mitos Cara Menguji Keaslian Madu

Ada juga pendapat dan mitos tentang cara menguji keaslian madu kelulut dan antara petua umum yang sering digunakan seperti dibawah, namun masih boleh dipertikaikan secara saintifik.

1. Mitos Madu Asli Tidak Dihurungi Semut

Dikatakan bahawa, madu kelulut asli akan dihurungi dan dimakan oleh semut kerana ianya mengandungi bahan glukosa ‘monosaccharide ’ yakni bersifat manis sama seperti yang terdapat pada gula sintetik (juga mengandungi glukosa ‘polisacharide’).

Namun, memang ada madu yang tidak dihurungi semut kerana terdapat madu asli yang akan mengeluarkan gas (madu asli segar) yang akan membuatkan semut tidak tahan pada tekanannya dan mempunyai keasidan yang agak tinggi.

Maka, semut bukanlah penunjuk yang tepat dalam menguji keaslian madu.

2. Mitos Menyimpan Madu Di Dalam Peti Sejuk

Madu asli mengandungi kandungan air pada kadar 18-22% maka, madu asli tetap akan mengeras jika dibiarkan lama di dalam peti sejuk terlalu lama.

Namun, terdapat juga madu asli yang tetap pada keadaan yang tidak begitu keras disebabkan peratus kadar air yang rendah dan mempunyai kandungan mineral bersifat panas yang tinggi.

Maka, peti sejuk bukanlah penunjuk yang tepat dalam menguji keaslian madu.

3. Pembentukan Mendapan Kristal

Madu kelulut asli juga akan mengalami pengkristalan atau juga dikenali sebagai mendakan nuclei apabila diletakkan pada suhu yang ekstrem dan kaedah penyimpanan yang tidak sesuai.

Ini kerana, madu asli yang mengandungi glukosa yang tinggi akan keluar dari keadaan super tepu ’supersaturated’ secara spontan membentuk glukosa monohidrat kerana kehilangan air.

Dengan itu, kewujudan pengkristalan pastinya bukan tanda yang tepat dalam ujian keaslian madu kelulut.

4. Mitos Madu Memberi Kesan Kuning Telur

Madu tiruan turut dikenali dapat menghasilkan keadaan seperti kuning telur setengah masak.

Penipu akan mencampurkan kapur seperti yang diketahui bersifat panas di dalam madu tiruan dengan jumlah tertentu sehingga boleh mengakibatkan tindak balas yang menyebabkan terhasil kuning telur seakan setengah masak.

5. Ujian Mengunakan Sudu Besi

Tiada kajian ilmiah dalam memberi penjelasan larangan penggunaan sudu yang dibuat dari besi.

Seandainya terdapat tindakbalas yang kritikal pastinya akan terus mengubah warna sudu tersebut apatah lagi ada pendapat mengatakan ianya dari hadis dan sebagainya.

Adakah warna madu mempengaruhi keaslian?

Mungkin kurangnya kajian dan penyelidikan dari sudut teknologi dan agama menyebabkan ramai pengguna hanya menerima sahaja pandangan dari penjual madu yang kurang maklumat.

Di negara maju, analisa yang dibuat menunjukkan penggunaan kaedah penyimpanan yang paling selamat bagi madu adalah dengan menggunakan kaca.

Madu yang diletakkan di piring putih bersama air kemudian digerakkan dengan arah pusingan, maka akan terhasil seolah-olah sarang lebah:

Secara telusnya, menurut pemerhatian pembentukan yang kelihatan bersegi seperti sarang lebah kelulut tersebut ada kemungkinan disebabkan adanya pengaruh kepekatan atau kelikatan madu yang terkena pusingan air lalu menjadikannya bersegi seperti hexagon dan pentagon.

Ini kerana jika madu tersebut digantikan dengan cecair yang pekatnya sama seperti madu contohnya dalam percubaan dengan shampoo ianya juga menunjukkan keadaan bersegi yang sama.

Cara Paling Tepat Menentukan Madu Kelulut Asli

Madu kelulut asli atau madu kelulut palsu, bagaimana cara membezakannya?

Berdasarkan kajian termasuk di Malaysia, Indonesia dan USA menunjukkan bahawa hampir 80% madu yang dijual dipasaran adalah madu palsu.

Bagaimana caranya kita dapat mengetahui madu kelulut asli?

Madu asli sebenarnya sangat mudah diketahui dengan melihat dari sifat dan karakteristik fiziknya yang khas.

Sayangnya, ada penipu madu palsu mampu meniru sebahagian dari sifat atau karakter fizikal madu asli, sehinggakan bagi kebanyakan orang sangat sukar untuk mengetahui keaslian madu dengan melihat aspek fizikal atau luaran madu tersebut.

Walau bagaimanapun, madu kelulut asli mempunyai beberapa karakteristik fizik yang tidak dapat dipalsukan:

1. Pesongan Optik

Madu kelulut asli mempunyai kandungan gula yang spesifik yang dapat mengubah sudut putaran cahaya terpolarisasi.

2. Higroskopik

Madu kelulut asli bersifat menyerap air, jika madu dibiarkan terbuka pada tempat terbuka dengan kelembapan udara tinggi (high humidity) maka madu akan bertambah cair.

3. Air Suam

Madu kelulut asli jika dituangkan ke dalam air suam tidak akan pecah atau air akan tetap jernih sebelum dikacau. Bagi madu yang sudah dicampur akan lebih cepat keruh.

Sifat-sifat madu yang umumnya dipalsukan adalah: Sifat madu yang dapat membuatkan telur masak, tidak beku, tidak menyerap kertas atau jika digoncang mengeluarkan gas.

Kandungan madu yang juga tidak dapat dipalsukan adalah adanya kandungan Enzim Diatase.

Kandungan diatase inilah salah satu cara untuk menentukan madu itu asli atau tidak, kerana enzim ini hanya dapat dihasilkan dari kelenjar ludah atau air liur lebah.

Namun, hanya ujian di makmal sahaja yang dapat mengenalpasti sifat tersebut.

Pembekal Madu Kelulut Asli Di Malaysia

Sebagai membantu penggemar madu kelulut asli di Malaysia, ada beberapa individu dan syarikat pemborong yang membekalkan madu kelulut asli selain untuk kegunaan sendiri, juga bekalan kepada penjual.

Madu kelulut asli ini diperolehi daripada pembekal yang terpercaya dan mendapatkan bekalan secara langsung dari sarang madu lebah kelulut.

madu-kelulut-asli-dhati

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Pengguna China Boikot iPhone Tanda Sokongan Kepada Huawei

Pengguna China Boikot iPhone Tanda Sokongan Kepada Huawei

Perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China semakin hangat apabila Huawei telah disekat daripada menggunakan perisian Android dan Google berikutan presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menyenarai hitam syarikat Huawei untuk terus berurusan dengan negara berkenaan.

China banned iPhone

Malah, isu ini pastinya akan memberikan kesan yang besar kepada arena teknologi dan telefon pintar.

Justeru itu, kebanyakan pengguna telefon pintar iPhone di China telah bertukar kepada Huawei sebagai tanda sokongan terhadap jenama tempatan mereka.

Selain itu, ada segelintir majikan turut memberi amaran kepada pekerja yang membeli produk Apple bahawa mereka tidak akan mendapat kenaikan pangkat serta bonus tahunan.

Malah, bagi yang membeli peranti Huawei, ganjaran akan diberikan kepada mereka.

Sentimen sayangkan negara lebih penting buat rakyat China dan perang dagangan ini nampaknya semakin serius dan diharap satu solusi dapat dicapai dalam masa terdekat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket