Thursday, May 30, 2019

Sejarah Sugandoi, Pertandingan Nyanyian Masyarakat KDCA Di Sabah


Sepanjang bulan Mei setiap tahun, selain pertandingan ratu cantik ‘Unduk Ngadau’, makanan tradisi, acara kebudayaan dan sebagainya, salah satu acara paling ditunggu-tunggu adalah ‘Sugandoi’, iaitu pertandingan mencungkil bakat nyanyian masyarakat KadazanDusun dan Murut.

Dabra Sia juara Sugandoi
Dabra Sia Ying Ying juara Sugandoi Kaamatan 2019.

Baik mereka yang baru berkecimpung dalam bidang nyanyian mahu pun yang ingin meluaskan lagi pengalaman mereka dalam pelbagai pertandingan di peringkat lebih tinggi, tidak terkecuali menyertainya jika berkesempatan.

Seperti yang ramai sedia maklum, masyarakat KadazanDusun dan Murut, sejak dahulu adalah antara kaum yang dikenali dengan tabiat atau kecenderungan dalam bidang seni, malah boleh dikatakan kebanyakan mereka dianugerahkan bakat menyanyi dan bermain muzik.

Tidak kiralah dalam acara atau majlis kecil atau besar, ketika acara santai bersama keluarga mahu pun kawan-kawan, seringkali dilihat mereka akan menyanyi sambil bermain muzik, pendek kata memang suka menjadi penghibur bagi memeriahkan suasana majlis tersebut.

APA ITU SUGANDOI?

Bagi masyarakat KadazanDusun, Sugandoi merupakan nama satu ‘semangat’ yang diseru oleh Bobohizan dan ditinggalkan di dalam sebuah tempayan besar yang dikenali sebagai ‘Kakanan’ oleh suku Kadazan Tangaah.

Sugandoi juga dikatakan sebagai entiti yang boleh menjaga kebajikan sesebuah keluarga yang menjaganya melalui satu upacara yang dinamakan ‘Moginakan’, yang mana semangat ini akan memberikan nasib yang baik kepada keluarga tersebut termasuklah dalam faktor kesihatan dan rezeki dalam bentuk makanan.

Ketika upacara ritual bagi memuja Sugandoi, Bobohizan akan mengucapkan mentera (inait/rinait) yang dikenali sebagai ‘Monugandoi’.

Mentera tersebut berupa nyanyian yang kedengaran seolah-olah memuji sang pencipta (Kinoingan) termasuklah juga ‘Sugandoi’.

Maka tidak hairanlah mengapa mereka menamakan pertandingan menyanyi dalam bahasa KadazanDusun itu sebagai ‘Sugandoi’.

PERTANDINGAN

Pertandingan Sugandoi diadakan pada setiap bulan Mei sempena bulan menyambut Pesta Menuai (Kaamatan) atau ‘Tadau Kaamatan’ di setiap daerah di negeri Sabah dan beberapa pusat KDCA di Semenanjung Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Sugandoi bertujuan mencungkil bakat-bakat nyanyian yang ada di Sabah tanpa mengira peringkat umur iaitu kanak-kanak, dewasa atau golongan veteran.

Bagaimanapun, lazimnya penyertaan ini hanyalah kepada mereka yang berdarah atau berketurunan (KadazanDusun dan Murut (KDM) sahaja, biasanya dibahagikan kepada 4 (empat) kategori iaitu Sugandoi Dazanak (kanak-kanak), Sugandoi remaja dan dewasa (terbuka), dan Sugandoi Songkotoun (veteran).

Kesemua peserta Sugandoi diwajibkan untuk memakai baju tradisional daerah masing-masing kerana pakaian juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi markah daripada juri.

Sebanyak 41 daerah akan bertanding di mana pemenang bagi setiap daerah tersebut akan menjadi wakil ke peringkat paling tinggi iaitu peringkat negeri yang akan diadakan di Hongkod Koisaan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang, Sabah.

Bagaimanapun, bermula pada tahun 2019, peserta di peringkat negeri di tingkatkan ke 60 lebih peserta, mewakili setiap DUN yang ada di Sabah ditambah wakil dari Semenanjung Malaysia.

Manakala pada peringkat negeri pula akan diadakan sebanyak 4 (empat) tapisan iaitu saringan 1, suku akhir, separuh akhir dan akhir, di mana hanya 10 peserta akan terpilih sebagai finalis.

Bagi tahun 2019, 65 peserta akan beraksi di suku akhir bagi memilih 30 peserta untuk separuh akhir dan seterusnya seperti biasa hanya 10 peserta layak ke Pusingan akhir.

SEJAUH MANA SUGANDOI MENJADI PLATFORM NYANYIAN ANAK TEMPATAN SABAH?

Telah terbukti bahawa pertandingan Sugandoi telah berjaya membuka peluang kepada para peserta untuk mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi sehinggalah berjaya melahirkan ramai artis yang mengharumkan nama Sabah.

Antaranya seperti Rosario Bianis (Juara Bintang RTM 2016), Apprilissa Sue Ann (3 Juara 2016), Esther Applinius (Naib Juara One in a Million), Reynaldo Paggie (Juara Bintang RTM 2007), Jo-Anna Sue Henley Rampas (Naib Juara Bintang RTM 2009) Zackridin Zakri (Naib Juara Ceria Pop Star) dan ramai lagi.

PEMENANG

Menurut sumber daripada KDCA, sejak tahun 1987–2002, pertandingan ini dahulunya dikenali dengan nama Bintang Kaamatan, namun bermula tahun 2004 hingga sekarang, nama pertandingan ini ditukar kepada ‘Sugandoi’.

Berikut merupakan senarai pemenang Johan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah mengikut urutan tahun (1987-2018):
  • 1987 : Nadia Joseph (Tambunan)
  • 1988 : Applunius Jimmy (Tambunan)
  • 1989 : Ambrose Poisil (Penampang)
  • 1990 : Evaristus Gungkit (Tambunan)
  • 1991 : Annie John Jinuli (Tambunan)
  • 1992 : Johnny Guntabid (Tambunan)
  • 1993 : Tiada Pertandingan
  • 1994 : Fulgentius Angjangon (Inanam)
  • 1995 : Rozalina Bahrin (Tuaran)
  • 1996 : Normi Jamil (Papar)
  • 1997 : Yannie (Kudat)
  • 1998 : Henry Gumisi (Penampang)
  • 1999 : Suzie Stephen Tuning (Tambunan)
  • 2000 : Marcus Payus (Penampang)
  • 2001 : Martha Ginun (Tambunan)
  • 2002 : Janiri Sipaji (Papar)
  • 2003 : Alice Marcus (Penampang)
  • 2004 : Dickson Jailis (Tambunan)
  • 2005 : Esther Appplunius (Tanjung Aru)
  • 2006 : Arnold Wences Linus (Tambunan)
  • 2007 : Siti Sarina Mansur (Kudat)
  • 2008 : Malvin Kalbin (Tongod)
  • 2009 : Georgia Joy Binsol (Papar)
  • 2010 : Arie Famree Suis (Kota Belud)
  • 2011 : Feraddy Okuling (Likas)
  • 2012 : Cathy Woritus (Penampang)
  • 2013 : Gideon B. Hilarius (DBKK)
  • 2014 : Rosario Bianis (Tambunan)
  • 2015 : Apprillisa Sue Ann (Tuaran)
  • 2016 : Mohd Rifanzie Ruji (Labuan)
  • 2017 : Jacinda Faye (Tuaran)
  • 2018 : Fransisca Juingki (KDCA Lembah Klang)
  • 2019 : Dabra Sia Ying Ying (Kadamaian)

Reynaldo Paggie atau Rey Kimara, merupakan Naib Johan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2006, setahun kemudian beliau memenangi pertandingan Bintang RTM 2007.

PROMOSI PELANCONGAN

Sugandoi juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan bahasa dan budaya masyarakat KDM kepada masyarakat luar terutamanya dalam kalangan pelancong luar negara.

Seharusnya para belia, peserta Sugandoi dan masyarakat KadazanDusun dan Murut menghayati lirik dan maksud bahasa di dalam setiap bait lirik yang dinyanyikan mereka kerana nilai budaya dan identiti bahasa dalam lagu-lagu bahasa Dusun itu sendiri terkandung elemen-elemen budaya yang harus dipertahankan sepanjang zaman.

Seharusnya pertandingan Sugandoi ini diteruskan sampai bila-bila demi memartabatkan bahasa dan budaya kaum KadazanDusun/Murut sehingga dikenali seantero dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: gingkaras

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon