Wednesday, May 29, 2019

Sejarah Unduk Ngadau Klang Valley Komuniti KadazanDusun


Sejarah Unduk Ngadau Kaamatan Klang Valley bermula pada tahun 2000 di Raintree Club, Jalan Ampang Hilir telah menjadi perintis kepada Pertandingan Ratu Kebudayaan pertama di Kuala Lumpur dan Tati Angelina Ongkunik Moiji merupakan Unduk Ngadau pertama yang telah mewakili KDCA Klang Valley di peringkat negeri Sabah.

Unduk Ngadau Klang Valley

Semenjak itu, Unduk Ngadau telah menjadi aktiviti tahunan KDCA Klang Valley, yang kini telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Pemenang Unduk Ngadau peringkat Klang Valley akan mewakili komuniti KadazanDusun di Kuala Lumpur/Klang Valley ke peringkat negeri Sabah untuk bertanding di kemuncak Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai pada hujung bulan Mei, menandakan berakhirnya pesta menuai yang dirayakan setiap tahun.

Acara ini merupakan aturcara yang paling menarik minat penonton, kemunculan setiap peserta Unduk Ngadau disambut dengan suasana gamat dengan pekikan atau mamangkis menyambut kemunculan peserta kegemaran atau sokongan terhadap wakil tempat masing-masing.

Latar Belakang Unduk Ngadau

Secara ringkasnya, Unduk Ngadau merujuk kepada semangat Huminodun, bermaksud ‘korban’ yang berasal dari perkataan ‘rundun/ruminundun’ dalam bahasa KadazanDusun.

Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun.

Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang pertama yang mengajar Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang.

Semenjak itu, perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun.

Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan yang disambut pada 30-31 Mei setiap tahun di negeri Sabah.

SYARAT MENYERTAI PERTANDINGAN UNDUK NGADAU KLANG VALLEY

1. Penyertaan adalah terbuka kepada gadis kaum Kadazandusun/Murut atau kacukan KadazanDusun/Murut berasal dari Sabah dan Warganegara Malaysia, Bumiputra. Mestilah seorang ahli KDCA Klang Valley. Keahlian KDCA Klang Valley boleh dipohon pada hari pendaftaran. Yuran minimum ($15 untuk 5 tahun pertama. Pembaharuan $1 setahun).

2. Peserta diwajibkan berbahasa ibunda sewaktu pengenalan diri pada pertandingan akhir pada hari pertandingan.

3. Peserta hendaklah masih bujang-belum berkahwin, berumur di antara 18 hingga 25 tahun pada tahun pertandingan dilangsungkan.

4. Penuntut sekolah dilarang menyertai kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada pihak sekolah.

5. Tidak pernah terlibat dalam masalah mana-mana kegiatan gejala sosial.

6. Tidak pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Klang Valley dan peringkat Negeri.

7. Pakaian, solekan, dandanan dan perhiasan semasa hari pertandingan hendaklah ditanggung oleh peserta.

8. Tarikh tutup borang penyertaan Online yang diterima selepas bulan Mei (setiap tahun) tidak akan dilayan.

9. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang bantahan tidak akan dilayan selepas pertandingan.

10. Semua tarikh-tarikh yang disebutkan di atas adalah jangkaan terdekat sahaja, pihak penganjur boleh mengubah tarikh pada bila-bila masa apabila perlu.

11. Penyertaan dan ‘title’ sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Klang Valley boleh dibatalkan atau ditarik semula oleh penganjur, jika didapati penyertaan seseorang peserta telah tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh penganjur, contohnya, jika maklumat yang diberikan tidak benar, atau terlibat dengan gejala yang menyebabkan aib kepada penganjur.

Kepada semua aspiran Unduk Ngadau Klang Valley, kami ucapkan selamat Berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon