Sunday, September 17, 2017

'Mayat Itu Menyanyi'

Pagi itu saya dikejutkan dengan berita kematian Shamsiah (bukan nama sebenar), seorang gadis berusia awal 20an berasal dari kampung saya yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

Hantu Kereta

Menurut cerita, arwah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika kereta yang dipandu rakannya terbabas lalu menghentam tiang jejambat sewaktu pulang dari bekerja awal pagi.

Keluarga arwah meminta jasa baik saya untuk membawa jenazah Shamsiah pulang supaya dapat disemadikan di kampung.

Perjalanan saya ke Kuala Lumpur tengah hari itu ditemani oleh sahabat baik saya, Nazri, yang selama ini banyak membantu jika berlaku kematian di kampung.

Selain ringan tulang, Nazri juga senang diajak ke mana-mana.

Setelah menempuh perjalanan hampir lima jam, akhirnya kami sampai di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Setelah selesai urusan dokumentasi, kami membawa jenazah masuk ke dalam kenderaan dan seterusnya bertolak pulang ke kampung.

Dua jam terkandas dalam kesesakan, hari beransur gelap ketika kami menghampiri hentian rehat Tanjung Malim.

***

Rimas dengan dengkuran Nazri yang tertidur disebelah, saya menyanyi kecil mengikut rentak lagu di radio yang terpasang.

Pendek kata semua lagu yang terpasang habis semuanya saya bedal walaupun liriknya lintang-pukang.

Tiba-tiba tanpa diduga, saya terdengar sayup-sayup suara halus mengiringi nyanyian saya.

Pada mulanya saya tidak ambil peduli sangat kerana sangkaan saya mungkin bunyi itu datangnya dari desiran angin di luar kenderaan.

Namun, semakin kuat saya menyanyi semakin jelas pula suara ia kedengaran. Saya menoleh ke arah Nazri yang nyenyak tidur, sambil mendiamkan diri memasang telinga untuk mendengar lebih lanjut, tapi hampa. Suara itu seolah-olah tahu niat saya.

Bermacam-macam andaian mula muncul di benak. Takkanlah orang dah meninggal dunia boleh menyanyi pula, kata saya sendirian cuba menyedapkan hati sendiri.

Saya beranggapan Nazri sengaja berpura-pura tidur semata-mata mahu menakutkan saya.

Saya menggoncang bahu Nazri sekuat hati.

"Eh, kau ni apa hal? Sengaja nak takutka aku pulak. Dah takde kerja lain ke?" jerkah saya.

Nazri terkejut sambil merengus perlahan. Dia memandang saya dengan penuh kehairanan.

"Kenapa pulak kau ni? Tiba-tiba marah kat aku. Kacau orang tidurlah," kata Nazri dengan nada tak puas hati.

"Ceh! Lagi mau tanya. Engkau yang takutkan aku lepas tu buat-buat tak tahu," jawab saya sinis.

Nazri memandang saya dengan penuh tanda-tanya. Dia mengerutkan dahi seperti memikirkan sesuatu. Saya benar-benar berharap yang dia akan mengaku.

"Apa yang kau cakap ni? Serius aku tak faham. Cuba kau cerita kat aku apa yang berlaku. Dari tadi aku memang lena tidur, tak sedar langsung," terang Nazri bersungguh.

Lantas tanpa berselindung saya menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi. Nazri terlopong memandang saya, seolah-olah tak percaya dan menganggap saya mereka-reka cerita.

Kami berdua diam membisu sambil melayan perasaan. Rasanya hati kecil kami masing-masing senada meneka sesuatu yang buruk sedang berlaku.

***

Selepas beberapa ketika tanpa sebarang bicara, saya cuba menghilangkan keresahan dengan menyanyi semula sambil mengikut irama lagu dari radio.

Nazri juga mula tumpang sekaki. Kadangkala nyanyiannya lebih kuat daripada saya. Kami mula terlupa peristiwa pelik sebentar tadi.

Sedang asyik menyanyi, tiba-tiba kami berpandangan antara satu sama lain. Nazri meletakkan jari di mulutnya mengarahkan saya diam seketika.

Dia memperlahankan bunyi radio sambil memberikan isyarat kepada saya untuk meneruskan nyanyian.

Sah! Suara itu memang wujud. Sekali lagi kami berpandangan sesama sendiri. Suara itu semakin jelas kedengaran tetapi nadanya sudah berbeza dari tadi. Kali ini lebih garau serta menyeramkan.

Saya hentikan nyanyian dengan sangkaan bila sudah berhenti menyanyi, pasti suara tersebut akan turut berhenti. Sangkaan saya meleset.

Suara pelik itu tetap kedengaran. Kadangkala nadanya halus, nyaring dan sesekali bertukar garau.

Tangan saya mula menggigil memaut stereng. Kaki saya menggeletar menekan pedal minyak. Muka Nazri juga bertukar pucat.

Mulut saya tak henti-henti berzikir dan membaca ayat Al-Qur'an. Mulut Nazri juga terkumat-kamit membaca sesuatu.

Suasan yang gelap membuatkan jantung kami seperti disentap keluar kerana ketakutan. Saya berdoa supaya cepat sampai di pekan berdekatan.

Hampir 15 minit bertarung dengan perasaan takut, akhirnya kami sampai juga di pekan kecil berdekatan Langkap. Limpahan cahaya lampu jalan sedikit sebanyak melegakan kami.

Suara yang tadi tak henti-henti menyanyi mengganggu kami akhirnya perlahan-lahan hilang.

Saya dan Nazri menarik nafas lega walaupun dalam hati masih lagi dibelenggu ketakutan.

Saya memecut laju supaya cepat sampai ke destinasi. Saya tak sanggup lagi mengharungi perjalanan dalam keadaan seperti ini.

Alhamdulillah, sehingga sampai ke kampung, suara misteri itu tidak lagi kedengaran. Kami terus menghantar jenazah ke tanah perkuburan kerana ahli keluarga arwah sudah menunggu di sana untuk upacara pengebumian.

Setelah selesai semua tugas, saya dan nazri minum di warung berdekatan. Kami lebih banyak membisu dari berbual rancak seperti biasa.

Otak masih lagi ligat memikirkan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi. Peristiwa yang benar-benar menghantui kami.

***

Selang beberapa minggu kemudian, barulah saya tahu kononnya arwah dahulu merupakan seorang penyanyi kelab malam dan ditimpa kemalangan ketika pulang daripada kerja dalam keadaan mabuk.

Namun, itu adalah urusan peribadinya, lagipun hanya Allah SWT saja yang mengetahui perkara sebenar.

Saya dan Nazri berjanji untuk merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan keluarga arwah kerana takut memalukan mereka.

Biarlah pengalaman menyeramkan malam itu menjadi rahsia hidup kami.

nota editor: seperti yang diceritakan oleh Mohamed Razali, 34, yang berasal dari sebuah daerah di Perak. Lokasi dan tempat dirahsiakan untuk menjaga aib pihak yang terlibat.

Artikel ini dipetik daripada majalah mastika edisi Mei 2017 dan disiarkan semula buat pertama kali di blog sentiasapanas.com

BACA INI JUGA: Misteri Roh Zona Cerita Punca Kematian!

-SENTIASAPANAS.COM

1 comments so far

Seram jg ooo tengok tu gambar hehehe

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon

Loading...