Friday, October 23, 2020

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Berleluasanya Zina Tanda Kiamat

Rasulullah SAW bersabda, "Demi jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehinggalah lelaki datang kepada perempuan, lalu dia menggaulinya (melakukan zina) di jalan. Orang yang paling baik antara mereka ketika itu ialah orang yang berkata, "(Lebih baik) sekiranya kamu menutupinya di belakang tembok ini (daripada melakukannya secara terang-terangan begini)." (Riwayat Abu Ya'la al-Haitsami – Lihat juga Majma' az-Zawa'id)

Zina

Menerusi hadis ini jelas menunjukkan bahawa antara salah satu tanda hampir kiamat dan kerosakan umat adalah banyaknya zina dan bebasnya lelaki perempuan yang bukan mahram bergaul tanpa batasan yang jelas dalam syarak.

Ia juga menunjukkan bahawa faktor akhlak dalam umur umat tertentu sangat penting kerana tanpa akhlak yang baik, pastinya ia akan mengundang bencana, malapetaka dan kerosakan termasuk kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kita melihat bibit-bibit pergaulan bebas berkenaan apabila segelintir anak, remaja, belia, dewasa mahupun yang menjengah separuh abad bebas dalam hal ini termasuk tidak malu melakukan dosa zina, malah ada dalam kalangan kita yang menjadi kebanggaan melakukan perbuatan itu.

Untuk itu, kita perlu menjauhkan diri daripada perbuatan zina dan seseorang dapat memelihara diri serta keluarganya daripada dosa berkenaan sekiranya memiliki ilmu agama dan mengamalkan setiap ibadah yang dipelajarinya selain memohon perlindungan Allah daripada ujian berkenaan.

Rasulullah pernah menasihatkan Saidina Ali r.a. supaya menjaga pandanganya: "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan dengan pandangan (berikutnya) kerana sesungguhnya bagimu pandangan yang pertama (tidak salah jika terlihat perempuan ajnabiyyah umpamanya pada pandangan pertama) dan bukanlah bagimu pandangan yang terakhir (kerana ia berdosa)." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Sepotong lagi hadis Baginda daripada Saidina Ibnu Umar bermaksud: "Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, jelas Rasullulah sangat melarang perbuatan serta dosa zina termasuk bibit-bibit menghampiri zina kerana ia bukan saja mengundang kemurkaan Allah sebaliknya merosakkan akhlak pelakunya.

Wajib ke atas kita semua untuk memelihara diri, anak-anak serta keluarga dengan memberi penerangan dan pengetahuan berhubung dosa zina dan sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih kepada pelaku yang tidak sempat untuk memohon keampunan Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Friday, July 31, 2020

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

Rahsia Kalimah Berwarna Merah Surah Al-Kahfi

"Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya, 'Berapa lama kamu tidur?', sebahagian dari mereka menjawab, 'Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari'.

Al-Kahfi ayat merah

"Sebahagian lagi dari mereka berkata, 'Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal; kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan besungguh-sungguh; dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu." (Surah Al-Kahfi: 19)

Waktu zaman kanak-kanak dulu bila membaca Quran, selalu tertanya-tanya kenapa ada satu perkataan dalam Surah Al-Kahfi diwarnakan merah? (rujuk gambar).

Ada yang mengatakan, sejarah di sebalik perkataan ini dicetak merah adalah ketika Sayyidina Uthman bin Affan r.a. terbunuh, percikan darahnya mengenai mushaf Al-Quran tepat pada tulisan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ".

Maka kerana itu ia ditulis dengan warna merah untuk mengenang kematian Sayyidina Uthman bin Affan r.a.

Saya tidak pasti asal-usul dan kesahihan kisah ini. Dan bukan sejarah atau kenapa ia berwarna merah yang ingin saya sentuh dalam catatan ini.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan kedudukan dan mesej penting yang terdapat dalam perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" itu sendiri.

Menurut Ibnu 'Asyur dalam kitabnya 'At-Tahrir Wa At-Tanwir', majoriti Ulama Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan "ﺍﻟﺤﻤﺪ" di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan "ﺍﻟﻨﺎﺱ" dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ" kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.

Apakah hikmah perkataan ini sebagai 'central point' Al-Quran?

Jika kita membuat sedikit 'bedah siasat' terhadap perkataan "ﻭﻟﻴﺘﻠﻄﻒ", ia terdiri dari 3 unsur;

1. Wau al-'Athaf (ﻭ ﺍﻟﻌﻄﻒ): Kata penghubung.

2. Lam al-Amr (ﻻﻡ ﺍﻷﻣﺮ): Kata suruhan atau perintah.

3. Perkataan ﻳﺘﻠﻄﻒ : Kata kerja.

Perkataan "ﻳﺘﻠﻄﻒ", jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati).

Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.

Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah SWT untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.

Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf dan rendah hati.

Sebagaimana Allah SWT turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, Ayat 159:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari dirimu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan.."

Inilah 'central thought' yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan.

Hakikatnya, Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri; "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiyaa': 107)

Al-Kahfi dan Dajjal

Allah mengutuskan Baginda Nabi Muhammad SAW ke dunia, dengan tugas menyebarkan Kalam Tuhannya. Di dalam Kalam-Kalam itu mengandungi pesan-pesan ‘rahmat’ buat sekalian penduduk bumi dan langit.

"Tidak kami turunkan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad supaya engkau menanggung kesusahan." (Surah Taaha: 2)

Kerana setelah kita menyahut seruan Tuhan untuk bersikap baik dan berlemah lembut sesama insan, kita akan mendapati kehidupan di dunia ini berjalan dengan mudah, gembira, bahagia dan penuh keberkatan.

Maka benarlah firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah sama kesannya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berkelakuan sedemikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

"Dan sifat terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat." (Surah Fussilat: 34 & 35)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluvislam

Abai Ibu Punca Taubat Tidak Diterima

Abai Ibu Punca Taubat Tidak Diterima

Usia muda adalah masa paling penting dalam perjalanan hidup manusia sehingga Rasulullah SAW sendiri mengingatkan supaya merebut lima perkara sebelum tiba lima masa dan satu daripadanya ialah waktu muda.

Anak Derhaka

Pada usia muda manusia mempunyai beberapa tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan seharusnya ibu bapa perlu memberi pemahaman yang jelas kepada anak berkenaan tanggungjawab itu.

Di dalam Islam ada hak yang perlu ditunaikan oleh pemuda dan pemudi, antaranya peranan terhadap kedua ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia mempunyai hak yang harus dipenuhi oleh anak kerana sesungguhnya reda Allah SWT adalah selepas mendapat keredaan daripada ibu bapa.

Namun, tanggungjawab itu harus dipupuk oleh ibu bapa supaya tidak berlaku sebarang penyesalan selepas mereka meniti usia tua kelak.

Doa anak soleh

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda, "Allah itu akan reda pada kamu berdasarkan reda ibu dan bapa kepada kamu. Kemurkaan Allah pula berdasarkan kemurkaan daripada ayah dan ibumu."

Besar tanggungjawab terhadap ibu bapa sehinggakan kewajipan mentaati mereka melebihi daripada tuntutan berjihad di jalan Allah SWT kerana sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu dan bapa.

Oleh itu, jika ibu dan bapa memerlukan perhatian ketika usia tua mereka, maka hak itu perlu dipenuhi dan menjadi keutamaan kepada anaknya.

Malah, hak itu perlu ditunaikan walaupun selepas kedua ibu bapa meninggal dunia.

Allah SWT mengangkat darjat jenazah walaupun diazab ketika berada di alam barzah. Selepas ditanya oleh penghuni kubur berkenaan kenikmatan yang diterimanya setiap hari, malaikat menjawab, anak mereka sudah memohon keampunan bagi pihak kedua ibu bapanya.

Allah SWT tidak pernah menolak doa daripada anak yang soleh terhadap ibu bapanya, termasuk amalan dan setiap perbuatan baik yang diiringi niat kebaikan itu kepada arwah.

Sambung silaturahim

Selain itu, anak perlu menunaikan hak ibu bapanya dengan melaksanakan janji mereka untuk melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah.

Muliakan sahabat ibu bapa walaupun hanya dengan bertanyakan khabar kerana perlakuan anak yang soleh itu akan ditunjukkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa mereka di alam kubur.

Sambung silaturahim yang terputus ketika hidup mereka walaupun dengan pihak yang bermusuhan kerana masalah dihadapi mereka.

Mohon kemaafan bagi pihak ibu bapa semoga persengketaan dan dosa itu tidak berlarutan.

Islam mendidik anak supaya mendahului ibunya, seperti pesanan Rasulullah SAW kepada seorang pemuda yang datang kepadanya dan bertanya siapakah yang paling berhak untuk dia melakukan kebaikan.

Baginda menjawab, "Kepada ibumu. Lalu pemuda itu bertanya lagi: Siapakah yang perlu dibuat kebaikan selepas itu? Dijawab oleh Rasulullah: Kepada ibumu. Sehinggalah buat kali ketiga persoalan sama diajukan pemuda itu kepada Baginda SAW.

Apabila diajukan soalan sama buat kali keempat, barulah dijawab Baginda SAW supaya melakukan kebaikan kepada ayahnya.

Kisah al-Qamah

Besar kemuliaan seorang ibu sehingga tidak terbalas jasanya menanggung kepayahan mengandungkan anak, berasa sakit melahirkan, menyusukan, tidak cukup tidur menjaga serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Ini membuktikan besarnya tanggungjawab anak menunaikan hak ibu mereka. Perasaan belas kasihan dikurniakan Allah SWT bagi seorang ibu melebihi bapa.

Di dalam kitab Tarbiyatul Aulad menceritakan, Abu Layth al-Samarqandi memberitakan daripada Anas yang mengisahkan betapa besarnya kedudukan ibu dalam peristiwa al-Qamah yang tidak mampu mengucapkan syahadah, walaupun ketika sudah menghampiri kematian.

Ibunya berkecil hati apabila al-Qamah melebihkan isterinya berbanding dirinya. Walaupun al-Qamah seorang mukmin yang baik, suka bersedekah, melakukan banyak amal ibadat, kemurkaan ibu menahan lidah al-Qamah daripada mengucapkan syahadah.

Reda ibu

Rasulullah SAW meminta Bilal mengumpulkan kayu untuk membakar tubuh al-Qamah, lalu ibunya merayu kepada Baginda supaya tidak melakukan sedemikian kerana dia tidak sanggup melihat penderitaan dihadapi anak kesayangannya itu.

Ibu al-Qamah kemudian memohon kepada Allah SWT dan menyatakan keredaan kepada anaknya itu. Al-Qamah menemui ajal selepas mengucapkan syahadah.

Rasulullah SAW kemudian mengingatkan, mereka yang mengabaikan hak ibunya akan dilaknati dan taubat mereka tidak diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Thursday, June 25, 2020

Penyebar Berita Palsu Adalah Pembohong Kerana Bersubahat, Fikir Dan Fahami Sebelum Kongsi

Penyebar Berita Palsu Adalah Pembohong Kerana Bersubahat, Fikir Dan Fahami Sebelum Kongsi

Fitnah serta melagakan-lagakan orang adalah 'penyakit' yang cukup berat kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar dan ijmak ulama mengatakan penyakit itu haram berdasarkan dalil di dalam al-Quran.

Penyebar Berita Palsu

"Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapat dan amalannya), pindah percakapan orang kerana untuk merosakkan orang. Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah-belahkan orang ramai)." Surah al-Qalam, ayat 10-11

Untuk bertaubat dengan melakukan dosa itu bukannya satu perkara mudah. Mampukah kita berjumpa dan memohon maaf kepada setiap orang yang diumpat atau difitnah itu?

Sehubungan itu, wajib bagi setiap Muslim meneliti kesahihan setiap berita diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." Surah al-Hujurat, ayat 6

Apabila mengumpat atau menyebarkan fitnah sudah menjadi amalan, dibimbangi pelakunya akan merasakan satu kepuasan apabila dapat bercerita perihal dan aib orang lain.

Di dalam kitab Ihya' Ulumiddin, Imam Ghazali menjelaskan, membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?

"Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah SWT seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain." Surah al-Hujurat, ayat 12

Rahsia seseorang itu pada mulanya tersembunyi, tetapi ada pula yang mendedahkannya.

Sebaiknya, setiap orang perlu diam terhadap apa yang dilihatnya kecuali perkara yang dapat menguntungkan golongan Muslimin atau untuk menolak dosa dan maksiat yang dilakukan orang itu.

Imam al-Ghazali di dalam kitab lain turut menyenaraikan enam adab yang perlu dilakukan ketika menerima berita fitnah:
  • Pertama, jangan mudah percaya kerana pemfitnah itu hanya menghilangkan kebenaran.
  • Kedua, melarang dan menasihati keburukan perilaku orang membawa berita fitnah itu supaya berhenti memfitnah kerana perbuatannya itu mengundang dosa besar selain tidak mahu bersekongkol dengannya.
  • Ketiga, membenci perbuatan pembawa fitnah itu kerana Allah SWT.
  • Keempat, jangan berprasangka buruk (suudzon) kepada orang yang diberitakan itu.
  • Kelima, jangan ikut menyebarkan fitnah serta menjadi pengintip dengan membuka rahsia orang lain.
  • Keenam, jangan setuju dengan fitnah yang terlarang itu dan jangan menceritakannya.

Zaman Fitnah

Pada zaman sekarang semakin bertambah 'alat' yang boleh menyebabkan fitnah semakin menjadi parah.

Penggunaan laman sosial contohnya, ia boleh memberikan pahala atau dosa sekiranya digunakan sebaiknya atau disalah guna.

Kewujudan pelbagai laman sosial menjadi medium penyebaran apa saja maklumat sama ada ia benar atau salah.

Barangkali ada yang berkata dia tidak bersalah dan hanya menyampaikan berita 'dari group sebelah'.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bagaimana dosa itu bukan di atas bahu orang yang mencipta berita palsu, tetapi dosa juga merangkumi orang yang menyampaikan atau menyebar tanpa usul periksa semua berita yang dia lihat tanpa diselidiki kebenarannya, sama ada benar atau palsu.

Perkara ini sangat biasa berlaku dalam grup WhatsApp dan Facebook ciptaan Yahudi saat ini.

Golongan yang menyampaikan berita palsu dianggap sebagai pembohong kerana bersubahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Wednesday, June 24, 2020

Sejarah Fahaman Duruzi, Pecahan Dari Syiah Ismailiyah

Sejarah Fahaman Duruzi, Pecahan Dari Syiah Ismailiyah

Duruzi (Druze) merupakan salah satu cabang fahaman atau pecahan dari Syiah Ismailiyah pada zaman era Kerajaan Fatimiyyah pada abad ke-10, yang diasaskan oleh Tariq al-Hakīm dan bukanlah fahaman Islam (non-Muslim religion) akan tetapi ajaran yang dibawa adalah agak mirip dengan ajaran Islam Syiah dan Kristian.

Agama sesat

Kebanyakan mereka berbangsa Arab dan mengaku berbangsa Arab, tetapi rakyat Israel yang berfahaman Duruzi ini pula menafikan dari bangsa Arab. Mereka ini terdapat di negara-negara Arab khususnya di Lubnan (Beirut), Palestin, Israel, Syria dan Turki serta sebilangan kecil darinya berada di negara-negara lain sebagai pekerja mahir.

Sempena Muhammad A-Darazi

Druze (juga turut dikenali sebagai Druse, darazī, durūz) adalah sebuah komuniti keagamaan yang umumnya berasal dari Timur Tengah. Kelompok ini muncul dari Islam dan Kristian serta dipengaruhi oleh agama-agama dan falsafah-falsafah lain, termasuk falsafah Yunani.

Kaum Duruzi menganggap diri mereka sebagai "sebuah fahaman (sakte) Islam Uniat, pembaharuan, meskipun mereka tidak dianggap Muslim oleh kebanyakan umat Islam di wilayah tersebut.

Kaum Duruzi menganggap mereka adalah umat Monoteisme atau Muwahhidūn (Monoteis) dan asal-usul nama Duruzi ini dapat ditelusuri sehingga kepada Muhammad ad-Darazī, yang terkenal sebagai pengasas kepada fahaman ini.

Lokasi

Gigi_Hadid_Duruzi
Gigi Hadid, Selebriti Hollywood, penganut Duruzi.

Kaum Duruzi kebanyakannya tinggal di Lubnan, meskipun ada juga komuniti kecil yang tinggal di Israel, Syria dan Jordan.

Komuniti-komuniti besar yang terdiri dari kaum ekspatriat terdapat di Amerika Syarikat, Kanada, Amerika Latin, Afrika Barat, Australia dan Eropah.

Mereka menggunakan bahasa Arab dan mengikuti pola sosial yang sangat mirip dengan masyarakat berbangsa Arab akan tetapi ada kelainan dari wilayah penduduk Arab itu. Kebanyakan penganut fahaman Druze menganggap diri mereka Arab.

Dianggarkan terdapat sekitar 2.3 juta penganut fahaman Duruzi di seluruh dunia dan kebanyakan daripadanya berada di Levant atau Mediteranian Timur.

Namun, sejumlah orang menganggarkan keseluruhan populasi Duruzi hanyalah sekitar 450,000 orang sahaja.

Sejarah kaum Duruzi

Agamawan Duruzi
Agamawan Duruzi.

Agama ini berkembang dari Islam Ismailiyah, sebuah gerakan falsafah yang didasarkan pada Bani Fatimiyah, pada abad ke-10, suatu masa yang kaya kebudayaannya.

Agama ini tidak berusaha mengubah Islam dari arus utama melainkan menciptakan suatu agama yang sama sekali baharu, yang dipengaruhi antara lain oleh falsafah Yunani, Gnostisisme dan Kristian.

Ada dua tokoh utama pada tahun-tahun permulaan kebangkitan ajaran fahaman Duruzi: Penguasa Fātimiyah, Tariqu l-Ḥakīm (985–1021), juga dikenali sebagai Al-hakim atau al-Ḥakīm bi-Amrul-Lāh, adalah seorang khalifah Ismaili dari Mesir yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat sebagai benar-benar penjelmaan Allah.

Kedua, imigran Parsi, Hamza ibn Alī ibn Aḥmad, perancang utama gerakan ini, individu pertama secara terbuka mengumumkan bahawa Al-hakim lebih daripada seorang manusia biasa.

Aliran Syiah

Simbol Duruzi
Simbol Duruzi.

Aliran Syiah berpecah kepada cabang-cabang kecil. Tiga cabang yang utama pada masa kini mempunyai bilangan pengikut yang besar.

Yang paling terkenal dan terbesar ialah golongan Syiah Imam Dua Belas atau Imamiyyah/Ja'fariyyah, yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq.

Golongan Syiah yang lain termasuklah al-Kaisaniyyah, al-Zaidiyah, Imamiyyah, al-Ghulat, Ismailiyah dan Syiah Imam Bertujuh.

Walaupun Alawiyyah dan Duruzi juga menganggap mereka juga dari golongan Syiah, namun mereka tidak diiktiraf oleh fahaman Syiah lain.

Tarikat-tarikat Sufi beraliran Syiah termasuklah Tarikat Alevi, Bektashi Hamadani dan Fatimiyyah.

Dua puluh peratus dari penduduk Turki adalah pengikut Tarikat Alevi, sementara Lubnan dan Syria pula mempunyai bilangan besar golongan Duruzi dan Alawi.

Aliran Syiah mempercayai bahawa Nabi SAW telah mewasiatkan keturunannya menjadi pemimpin umat Islam dan hendaklah bersatu di bawah Imam.

Pergerakan Hizbullah di Lubnan adalah dari golongan Syiah Imam Dua Belas.

Di Malaysia, aliran ini tidak dibenarkan melakukan ritual harian dan ditolak fahaman mereka oleh Majlis Fatwa Malaysia.

Golongan Syiah telah melakukan beberapa dialog dengan pihak Ahlul Sunnah di seluruh dunia termasuk Malaysia namun tiada sebarang pindaan undang-undang yang dilakukan bagi menghalalkan pergerakan atau penyebaran fahaman mereka.

p/s: artikel ini adalah sebagai pengetahuan am semata-mata.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, June 19, 2020

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Membaca Surah Al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan kita memang akan membaca ummul kitab itu tatkala menunaikan solat, namun dari segi lafaz berkenaan kadangkala kurang jelas didengari di telinga sendiri. Bahkan, ada segelintir orang pula membaca surah berkenaan hanya dalam hati.

Membaca Al-Fatihah

Bagaimanakah cara yang betul melafazkan Surah al-Fatihah? Adakah cukup sekadar berbisik dan bacaan itu hanya didengari di telinga sendiri?

Rukun Qauli

Sebelum menjawab kemusykilan itu, ayuh kita fahami dahulu bahawa bacaan Surah al-Fatihah tersebut termasuk dalam rukun qauli, iaitu bacaan-bacaan yang wajib dalam solat.

Rukun Qauli merangkumi takbiratul ihram, Surah al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam.

Ketika menunaikan solat, setiap umat Islam disyaratkan melafazkan setiap rukun qauli tersebut dengan suara yang dapat didengari oleh diri sendiri jika keadaan pendengaran kita baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Bagaimanapun, jika keadaan adalah sebaliknya yang mana pendengaran kita kurang baik seperti mengalami masalah tuli atau ada halangan lain sebagai contoh bunyi bising, maka tidak diwajibkan untuk kita mendengar bacaan berkenaan.

Pun begitu, kita tetap wajib melafazkannya dengan suara yang boleh didengari ketika pendengaran kita dalam keadaan baik atau keadaan tidak bising.

Dan tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengari oleh dirinya sendiri.

Ia termasuklah jika rukun-rukun qauli yang disebutkan di atas hanya sekadar dibaca di dalam hati, menyebabkan solat yang dikerjakan tidak sah.

Rukun qauli berasal daripada perkataan 'qaul' yang bermaksud kata-kata, adalah rukun berasaskan sebutan dan bacaan yang memerlukan seseorang melafazkan bacaan sekadar didengari telinga sendiri ketika takbiratulihram, membaca Surah al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir dan melafazkan salam.

Sekiranya lima rukun qauli tidak dipenuhi, maka tidak sah solat seseorang itu.

Syarat sah rukun qauli pula menyenaraikan kewajipan menyebut bacaan makhrajnya tepat, meneliti tasydid (baris sabdu) dan menjaga bacaan supaya tidak terputus di pertengahan ayat atau kalimat.

Menurut artikel Al-KafiLi Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mazhab al-Syafie, rukun qauli seperti Surah al-Fatihah wajib dibaca dengan bacaan yang didengari diri sendiri.

Dalam kitab I'anah al-Talibin menyatakan yang bermaksud: "(Dan wajib mendengar) iaitu takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahhud akhir dan bagi salam."

Semoga ALLAH menerima segala amal ibadah yang kita lakukan.

(Sumber: JAKIM & Pejabat Mufti Wilayah)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 18, 2020

Maksud Halal Dan Toyyiban Dalam Islam

Maksud Halal Dan Toyyiban Dalam Islam

Prinsip asas yang dilandaskan oleh Islam berkenaan pemakanan adalah prinsip boleh guna atau harus guna atas setiap benda. Semua yang diciptakan oleh Allah diatas muka bumi ini atau di dalam perut bumi boleh digunakan oleh manusia demi menjamin kelansungan hidup.

Halal Toyyiban

Tiada satu pun yang dicegah atau diharamkan kecuali apa yang telah termaktub dalam nas-nas dalam AlQuran dan hadis-hadis sahih yang diperjelaskan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah seperti Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud, "Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada dibumi untuk kamu."

Makanan adalah untuk menyediakan khasiat, zat atau nutrien yang secukupnya kepada tubuh manusia.

Budaya pemakanan zaman moden sekarang banyak menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan. Islam amat mengalakkan penjagaan kesihatan dengan pelbagai nas dari sumber Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.

Setiap hari kita akan berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik semasa solat atau diluar solat. Ini jelas membuktikan penjagaan kesihatan amat diutamakan dalam Islam.

Faktor pemakanan yang betul dan sihat adalah amat penting untuk mendapat kesihatan yang terbaik.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesihatan yang baik , tetapi faktor pemakanan yang sihat adalah faktor yang utama sebagaimana satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Perut itu tempat penyakit dan berpantang itu adalah penyembuh yang utama."

Maksud berpantang disini adalah pemilihan makanan yang tertentu iaitu makanan yang menyihatkan amat penting untuk mencegah penyakit. Dengan makanan kita akan menguatkan tubuh fizikal dengan penjanaan tenaga dari makanan.

Makanan yang tidak sihat juga menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Manusia makan untuk kelangsungan hidup, bukan hidup untuk makan, tetapi kadangkala tidak kita sedari ramai manusia yang makan untuk 'mati'.

Ini adalah kerana banyak makanan yang kita makan menyebabkan kita mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, obesiti, kanser dan sebagainya.

Faktor pemakanan adalah berkait langsung dengan setiap amalan kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan dalam surah Al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud, "Wahai Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh."

Produk Halal Tidak Semestinya Baik Untuk Kesihatan

Islam amat menekan pemakanan HALAL dan 'TOYYIBAN' iaitu makanan yang halal lagi baik dan apakah maksud 'toyyiban' ini sebenarnya?

Dari aspek sumber makanan hendaklah makanan itu kita beli atau kita perolehi dari sumber yang halal untuk mendapat keberkatan dari Allah. Oleh kerana itu makanan dari sumber duit yang haram, seperti hasil judi atau rasuah dan sebagainya adalah tidak baik dan tidak berkat.

Disamping faktor ini, maksud 'toyyiban' juga bermaksud baik dari sudut menjaga kesihatan. Kerana makanan yang memudaratkan kesihatan akan menyebabkan tubuh badan kita menjadi rosak dalam jangka masa panjang.

Badan yang sakit dan tidak sihat akan mengganggu kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai muslim dari aspek ibadah dan pekerjaan seharian.

Makanan halal mungkin akan dilihat melalui persijilan halal oleh pihak berkuasa, tetapi tidak semua makanan yang halal itu 'toyyib' dari sudut kesihatan.

Contohnya, makanan ringan (junk food) adalah halal kerana dibuat dari gandum dan bahan-bahan halal, tetapi dari aspek kesihatan makanan ini tidak sihat dan akan memudaratkan kesihatan kerana tidak mengandungi zat-zat cukup dan hanya mempunyai kalori semata-mata.

Gula pasir juga adalah makanan yang HALAL tetapi kajian menunjukkan gula pasir adalah memudaratkan kesihatan jika diambil berlebihan untuk jangka masa panjang. Oleh itu gula pasir tidak boleh kita kategorikan sebagai makanan 'toyyiban'.

Oleh kerana itu makanan yang baik hendaklah kedua-dua aspek ini dipenuhi iaitu makanan halal dan ianya menyihatkan.

Mungkin kerana inilah apabila perkataan 'halal' disebut dalam AlQuran, akan disambung dengan perkataan 'toyyiban', dengan ini jelaslah keperluan kita umat Islam menitik beratkan faktor makanan yang menyihatkan ini dalam pemilihan makanan seharian kita.

Makanan proses yang kaya dengan gula, tepung gandum, lemak 'trans', pengawet, perwarna, perasa tiruan dan garam berlebihan adalah contoh makanan yang tidak sihat. Makanan proses amat sinonim dengan kehidupan kita sekarang.

Restoran makanan segera tumbuh bagai cendawan, membawa satu budaya yang kurang sihat dalam masyarakat kita hari ini. Makan tersedia dan makanan segera yang diproses seperti mee segera, makanan tin, makanan sejuk beku, pelbagai jenis biskut, kerepek dan sebagainya amat banyak di pasaran.

Semua jenis makanan ini jika terlalu kerap diambil akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit sebagaimana yang telah terbukti dari kajian sains yang telah banyak dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan. Oleh kerana itu meninggalkan makanan seperti ini juga dituntut oleh Islam demi kesihatan yang baik.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik pemakanan yang halal lagi menyihatkan. Makanan Rasulullah adalah makanan segar seperti buah-buahan seperti kurma segar, tembikai, madu, labu, buah tin dan minyak zaitun.

Baginda juga makan roti yang dikisar sendiri dari gandum dan barli yang kaya dengan serat penuh (wholemeal).

Didalam Al-Quran banyak kali disebut 'buah-buahan' dalam banyak surah-surahnya. Makanan syurga juga adalah terdiri dari pelbagai jenis buah-buahan. Kenapa buah-buahan ini selalu di sebut dalam AlQuran? Sudah pasti ada banyak kelebihannya dari sudut kesihatan.

Sekarang dengan ribuan kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan tentang khasiat buah-buahan menjaga kesihatan yang baik, terbuktilah bahawa apa yang dinyatakan oleh Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu lagi.

Satu lagi aspek yang penting dalam soal pemakanan seharian adalah jumlah makanan yang kita makan setiap hari.

Rasulullah tidak melampau dalam jumlah makanan yang dimakan sebagaimana sabdanya dalam satu hadis yang bermaksud:

"Kami adalah kaum yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang."

Islam amat menekankan konsep bersederhana dalam mengambil makanan dan amat mengeji perbuatan membazir dalam pemakanan. Melampau dan berlebih-lebihan semasa makan akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan juga masalah obesiti.

Oleh itu, makan secara sederhana amat selari dari aspek kesihatan dan tuntutan Islam.

Sebagai muslim yang sejati, pemakanan yang halal dan toyyiban adalah panduan yang amat baik untuk kita amalkan setiap hari untuk mendapat keberkatan rezeki dari Allah dan mendapat kesihatan yang terbaik. Insyaallah.

#Penulis ialah Dr Norman Mohd Norawi, Pakar Kecantikan (Aesthetic), Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, June 11, 2020

Anda Bangga Jadi Tukang Viral Fitnah Di Laman Sosial?

Anda Bangga Jadi Tukang Viral Fitnah Di Laman Sosial?

Pada zaman serba moden dan canggih kini, gejala fitnah berleluasa dengan semakin pantas, ditambah lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial dan internet di hujung jari, 'penyakit' hati yang telah pun wujud sejak turunnya Nabi Adam a.s. di muka bumi ini kini nampaknya semakin menjadi-jadi.

Fitnah Di Laman Sosial

Jika dahulu, fitnah disebarkan secara 'telinga ke telinga' atau melalui kaedah lisan dan mungkin mengambil masa yang agak lama untuk tersebar, kini ia hanya mengambil masa selama beberapa saat sahaja untuk tersebar ke seluruh dunia.

Hanya dengan menggunakan telefon pintar atau skrin komputer, sesiapa sahaja boleh mencipta sesuatu fitnah dan menyebarkannya kepada semua orang.

Kesannya daripada aktiviti fitnah ini, ia bukan sahaja akan memburukkan maruah mangsa fitnah, malah lebih malang, ia mampu membawa kepada satu lagi penyakit sosial masa kini, iaitu buli siber.

Pernahkah anda terfikir apakah kesan yang akan menimpa kepada mangsa fitnah, apabila kita yang tidak tahu hujung pangkal sesuatu cerita, terus-menerus mengecam dan menulis perkara-perkara yang tidak elok mengenai seseorang itu?

Jika benar individu itu ialah mangsa fitnah, pernahkah kita terfikir bagaimana dia ingin berdepan dengan seluruh dunia dengan maruahnya yang telah dipijak-pijak?

Inilah bahana gejala fitnah yang mungkin tidak pernah kita fikirkan, namun memberi impak yang sangat besar kepada individu yang terlibat.

Jangan Membantu Menyebar Fitnah

Apakah yang anda lakukan ketika sedang melayari newsfeed di laman Facebook, tiba-tiba ada rakan berkongsi posting mengenai sesuatu perkara atau gambar yang tidak dapat dipastikan kesahihannya?

Adakah anda akan turut sama memberi komen pada posting tersebut dengan menyokong kenyataan berbaur fitnah rakan anda itu, atau anda turut berkongsi posting tersebut pada profil sendiri, atau anda tidak mengendahkan posting tersebut?

Jika anda seorang yang sering berkongsi semula posting rakan lain mengenai sesuatu isu yang tidak pasti kesahihannya, anda sebenarnya tergolong dalam golongan penyebar fitnah.

Ini kerana, selagi sesuatu perkara itu belum dipastikan kebenaran atau kebatilannya, ia dianggap sebagai fitnah.

Sebaiknya, kita hendaklah menyelidik sesuatu perkara itu terlebih dahulu sebelum mempercayainya secara membuta tuli.

Kepentingan untuk tidak mempercayai bulat-bulat sebarang berita yang diterima tanpa menyelidik terlebih dahulu amat ditekankan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayun (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Justeru, apabila anda terbaca sebarang posting yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, jika mampu untuk menasihati rakan anda yang berkongsi posting tersebut, nasihatilah dia.

Namun, jika tidak mampu, anda hanya perlu scroll paparan newsfeed tersebut tanpa perlu memberi sebarang respons.

Samalah dengan mesej berantai "copy paste dari group sebelah' yang kita selalu terima di grup WhatsApp.

Ada maklumat yang sudah terang-terangan berbaur fitnah, tetapi masih disebar oleh individu-individu yang suka forward mesej. Kononnya sentiasa mahu menjadi orang pertama berkongsi sesuatu maklumat.

Dosa Menyebar Fitnah

Bagi mereka yang menyebar berita bohong dan fitnah, Allah SWT memberi amaran yang keras dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian)." – Surah An-Nur, ayat 19

Dalam surah Al-Buruj, ayat 10 pula Allah S.W.T. berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)."

Daripada kedua-dua ayat ini, jelas menunjukkan bahawa dosa memfitnah dan menyebarkan berita bohong ini amatlah besar azabnya.

Sanggupkah kita menerima azab tersebut dengan membantu penyebar fitnah menyebarkan fitnah yang diciptanya terhadap seseorang?

Jika tidak sanggup, elakkanlah diri daripada menjadi pecipta fitnah, penyebar fitnah mahupun sekadar mengeluarkan kenyataan atau pendapat sendiri mengenai fitnah tersebut, tanpa usul periksa.

Cuba letakkan diri anda di tempat mangsa fitnah tersebut, apakah perasaan anda jika kita difitnah sesuka hati sehingga satu dunia memijak maruah anda yang telah tercalar itu?

Bagaimanakah anda akan berdepan dengan satu dunia yang memandang serong kepada anda tanpa mengetahui perkara sebenar yang terjadi?

Justeru, marilah kita sama-sama mengelak dan membendung gejala fitnah yang semakin berleluasa pada dunia akhir zaman ini.

Jadilah pengguna media sosial yang berhemah, yang tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sesuatu perkara tanpa usul periksa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: salamweb

Friday, June 05, 2020

Pemuda al-Qassam, Generasi Pemburu Syahid

Pemuda al-Qassam, Generasi Pemburu Syahid

Kewujudan para pemuda gagah dan mencintai syahid yang memperjuangkan kemuliaan Islam di bumi Gaza dan Tebing Barat untuk membebaskan bumi Palestin dari kejahatan Zionis Yahudi bukanlah suatu yang rahsia lagi.

Pemuda al-Qassam

Merekalah sebenarnya angkatan tentera yang menjadi perisai di barisan hadapan yang mempertahankan Palestin daripada terus dijajah dan diratah oleh regim Zionis Israel selama ini.

Briged Izzuddin al-Qassam atau lebih dikenali sebagai al-Qassam adalah barisan pejuang bersenjata Palestin yang telah diasaskan penubuhannya oleh Sheikh Ahmad Yassin (Pengasas HAMAS), Dr Ibrahim al Maqadema dan Sheikh Salah Shehada sejak tahun 1984 lagi.

Pasukan bersenjata HAMAS yang begitu digeruni oleh Israel ini telah diberikan nama sebagai Briged al-Qassam bersempena dengan nama Sheikh Izzuddin al-Qassam, seorang tokoh pejuang berasal dari Syria yang telah terkorban syahid di Ya'bad, Palestin, bagi mempertahankan bumi ini daripada penjajahan Inggeris pada tahun 1935.

Briged al Qassam adalah satu pergerakan ketenteraan yang bekerja dengan kerahsiaan yang tinggi dan mampu membuat pelbagai kejutan.

Semangat Jihad

Tujuan utama penubuhan al Qassam adalah untuk menaikkan semangat jihad di kalangan orang-orang Palestin, orang-orang Arab dan juga umat Islam sejagat.

Briged ini bertanggungjawab untuk mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan dan kezaliman Zionis, seterusnya membebaskan Palestin dan keseluruhan tanahnya yang telah dirampas oleh penjajah Zionis Israel.

Mempunyai ahli batalion yang terlatih seramai kira-kira 25,000 orang setiap masa di kalangan pemuda-pemuda yang berumur antara 18-30 tahun.

Sejak intifadah al Aqsa yang berlaku pada tahun 2000, seramai kira-kira 800 ahli briged ini telah syahid bagi mempertahankan Palestin.

Briged al Qassam amat mementingkan latihan dan kualiti ahli yang menjadi tulang belakang perjuangan pembebasan Palestin.

Di antara syarat utama yang dikenakan sebelum mereka dipilih ialah:
  • Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
  • Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
  • Menjaga solat 5 waktu secara berjamaah.
  • Mengimani perjuangan pembebasan al Aqsa dan Palestin.
  • Berdisiplin dan mentaati kepimpinan.
  • Mencintai dan bersedia untuk syahid.

Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di wilayah Gaza, ia bukanlah kerana serangan tentera Israel sebaliknya adalah latihan al Qassam.

Briged al Qassam juga sangat terkenal dengan roket artileri al-Qassam yang merupakan roket buatan sendiri.

Roket ini sering membawa kemusnahan kepada musuh di tanah suci Palestin yang dijajah serta memberikan kesan trauma mental kepada masyarakat penjajah Israel.

Bersujud syukur selepas menjalani operasi

Setiap kali selesai, semua pemuda-pemuda ini akan berkumpul dan bersujud syukur sebagai amalan penting pada setiap kali tamat selesai latihan.

Pastinya, mereka adalah generasi pemuda perindu syahid yang begitu digeruni oleh pasukan tentera Zionis Israel yang mempunyai pelbagai kelengkapan teknologi ketenteraan yang canggih.

Merekalah generasi anak muda yang merindui kemuliaan mati syahid dan masing-masing bekerja kuat bagi menagih keistimewaan syahid seperti sabda Rasulullah SAW.

Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:
  • Diampuni dosanya sejak mula pertama darahnya meluncur keluar.
  • Melihat tempatnya di dalam syurga.
  • Dilindungi dari azab kubur.
  • Terjamin keamanannya dari malapetaka besar.
  • Merasakan kemanisan iman.
  • Dikahwinkan dengan bidadari.
  • Dapat memberikan syafa'at kepada 70 orang kerabatnya.

Wallau a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, May 31, 2020

Peristiwa Istiwa Adzam, Bayang Matahari Paling Tepat Ke Arah Kiblat

Peristiwa Istiwa Adzam, Bayang Matahari Paling Tepat Ke Arah Kiblat

Istiwa Adzam merupakan satu peristiwa di mana kedudukan Matahari berada tepat di atas Kaabah, iaitu bayang objek yang tegak akan menunjukkan ke arah Kaabah dengan tepat dan boleh diambil manfaatnya oleh umat Islam yang mahu mengetahui arah kiblat yang lebih tepat.

Peristiwa Istiwa Adzam

Oleh itu, kepada anda semua yang ingin mengetahui dan menyemak kedudukan arah kiblat, jangan ketinggalan untuk menyemak pada tarikh berlakunya peristiwa Istiwa Adzam ini.

Berikut merupakan panduan menyemak arah kiblat yang boleh digunakan:
  • Pastikan kayu yang digunakan adalah tegak 90 darjah di atas permukaan yang rata.
  • Pastikan bayang-bayang kayu tersebut jelas kelihatan di atas permukaan yang rata tadi.
  • Pastikan matahari mudah dilihat dan tidak terlindung di kawasan tersebut.
  • Dari hujung bayang ke kayu, itulah arah Kiblat.

Kiblat Tersasar Tak Perlu Qada Solat

Individu yang kiblatnya tersasar tidak perlu menggantikan solat mereka walaupun dalam Islam menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat.

Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) berkata, individu yang solat selepas berijtihad (yakin) mengenai arah kiblat, kemudian pada waktu solat seterusnya dia yakin arah kiblatnya berubah, kedua-dua waktu adalah sah dan tidak perlu diulang.

Bagaimanapun, seseorang yang berijtihad kiblatnya salah dan menunjukkan arah kiblat yang betul, solatnya yang pertama adalah sah dan tidak perlu diulang dan wajib solat seterusnya dia mengikuti ijtihad yang baharu.

Selain itu, dalam sesuatu perkara seseorang individu tidak diwajibkan menggantikan solat sekiranya jumlah waktu solat yang tertinggal itu terlalu banyak sehingga mendatangkan kesukaran, katanya.

Beliau mengulas mengenai hampir 40 peratus daripada 1,000 rumah yang diperiksa di sekitar Selangor terpesong arah kiblat antara satu hingga tiga darjah, dan rekod paling banyak sebuah rumah terpesong kiblat hingga 45 darjah.

Menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat sama ada ada solat fardu, solat qada dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf (keadaan sangat takut).

Sesiapa yang memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solatnya, manakala sesiapa yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solatnya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mufti

Saturday, May 30, 2020

Sifat Riyak (Bangga Diri) Adalah Tanda Buruknya Amalan

Sifat Riyak (Bangga Diri) Adalah Tanda Buruknya Amalan

Adalah lebih baik jika ibadat yang kita lakukan disembunyikan namun, jika kita berbuat sesuatu bukan untuk menunjuk-nunjuk, kemungkinan ia menjadi ikutan kepada orang lain. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan riyak (riya')?

Sifat riyak

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un, ayat 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan, riyak ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib-32/301)

Firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhan-Nya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman bermaksud: "Aku bebas daripada segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikkan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh menyebut: "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riyak itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan."

Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah menjelaskan makna riyak, yang diriwayatkan oleh Mahmud bin Labid bermaksud: "Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik kecil. Sahabat bertanya, apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi SAW bersabda: Itulah riyak."

Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak: "Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu)." (Riwayat Ahmad)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riyak kepada beberapa bahagian iaitu riyak pada agama, tubuh badan, percakapan dan lain-lain:
  • Contoh riyak pada agama dan badan ialah menzahirkan badan kurus dan tidak kemas supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadat serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.
  • Riyak pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam atau berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
  • Riyak pada amalan pula seperti contoh menzahirkan qiyam dan rukuk yang panjang ketika solat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang menangis ketika sujud di dalam masjid, beliau berkata: "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

Jika ibadat suruhan yang mesti dilakukan, maka hendaklah dilakukan juga sekalipun datang riyak tetapi hendaklah mujahadah untuk hilangkan riyak seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat jemaah.

Sekiranya ibadat itu ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi kalau riyak boleh datang dalam diri seperti sedekah. Lebih baik baginya bersedekah secara sembunyi.

Sekiranya menunjuk itu dengan niat menggalakkan seseorang mencontohinya sebagai satu sunnah yang baik, maka ia dibolehkan.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat riyak.

(Dipetik dari Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 22, 2020

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Menurut Imam al-Razi, seorang ahli tafsir terkenal, yang telah menulis mengenai sebab-sebab kenapa Allah SWT dengan sengaja telah menyembunyikan pada malam bilakah Lailatul Qadar daripada pengetahuan kita.

Doa Malam Lailatul Qadar

Pertama. Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan keseronokan dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah.

Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap hamba-Nya bersungguh-sungguh setiap kali berdoa.

Begitulah juga Dia menyembunyikan malam Lailatul Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam di bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua. Jika diberitahu secara jelas tentang malam Lailatul Qadar, maka manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tidak lagi berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat.

Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingat bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita yang tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam Lailatul Qadar.

Ketiga. Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat. Seseorang yang meyakini akan datangnya malam Lailatul Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan kebetulan dengan malam Lailatul Qadar.

Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: peribadirasulullah

Ar-Rayyan, Pintu Syurga Untuk Orang Berpuasa

Ar-Rayyan, Pintu Syurga Untuk Orang Berpuasa

Daripada Sahl r.a., Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut kecuali orang yang berpuasa. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa? Maka orang yang berpuasa berdiri menghadap (memasukinya). Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut." (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Amazing Nature
Gambar hiasan.

Ulasan Hadis

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa.

Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3. Pintu tersebut dinamakan "Ar-Rayyan" yang berasal dari kalimah "Array" dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama.

Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala hausnya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi.

Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan, betapa nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5. Berkata Mulla al-Qari: "Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat."

6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas.

Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya.

Orang yang berpuasa Ramadhan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mamapipie

Kenapa Solat Jumaat 12 Orang Sahaja?

Kenapa Solat Jumaat 12 Orang Sahaja?

Beberapa masjid di beberapa buah negeri telah mula mendirikan semula perlaksanaan solat jumaat di kawasan yang terpilih, dengan kebanyakan Jabatan Agama Negeri meletakkan syarat minimum jemaah yang perlu hadir adalah 4 orang, manakala maksimum jemaah pula adalah 12 orang.

Solat Jumaat 12 Orang

Lalu ada yang bertanya, mengapa 4 atau 12 orang sahaja dan bukan 40 orang? Inilah keindahan Islam.

Pengurusan ibadah itu tidak bersifat terlalu rigid sehingga menyusahkan kerana dalam beberapa situasi ada kelonggaran yang dibolehkan.

Pada hakikatnya, pandangan yang membenarkan solat jumaat 4 orang atau 12 orang ini diambil dari pendapat mazhab yang lain.

Di sisi Mazhab al-Syafie, jumlah minimum dalam melaksanakan solat jumaat mestilah dihadiri seramai 40 orang, bersandarkan kepada hadis Saidina Ka'ab bin Malik.

Ka'ab dikatakan sentiasa memuji Saidina Sa'd bin Zurarah ketika azan dikumandangkan.

Lalu beliau ditanya: "Mengapa engkau selalu memuji Sa'd bin Zurarah ketika mendengar azan?"

Ka'ab lalu menjelaskan bahawa: Sa'ad bin Zurarah adalah orang pertama yang mengumpulkan kami untuk mendirikan solat Jumaat.

Lalu beliau ditanya: "Berapa ramaikah bilangan kamu ketika itu? Ka'ab lalu menjawab: 40 orang." (HR Abu Daud)

Daripada hadis Ka'ab bin Malik inilah terbinanya hujah dari mazhab Syafie yang meletakkan syarat minima bagi perlaksaaan solat jumaat adalah 40 orang.

Namun, Mazhab Maliki menggunakan penghujahan yang berbeza. Mereka mengguna pakai hadis Jabir bin Abdullah yang menggambarkan bahawa memadai untuk mendirikan solat jumaat dengan 12 orang sahaja.

Hadis Jabir ini menceritakan bagaimana ketika Rasulullah sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba datang kafilah dagangan dari luar ke Madinah yang menyebabkan ramai sahabat meninggalkan Nabi yang sedang berkhutbah.

Kata Jabir: "Lalu mereka (jemaah solat) berpaling (untuk pergi) ke kafilah dagangan tersebut sehinggakan yang tinggal bersama dengan Rasulullah hanyalah 12 orang sahaja." (HR al-Bukhari)

Manakala Mazhab Hanafi dan sebahagain riwayat dari Mazhab Hanbali pula mengharuskan bilangan minimum solat jumaat adalah 4 orang.

Ini berdasarkan ayat al-Quran yang memerintahkan kita menunaikan solat jumaat yang menyebutkan: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)." (Surah al-Jumu’ah: 9)

Mereka menyatakan bahawa perkataan "fas'au" (iaitu segeralah pergi ke masjid untuk mendirikan solat jumaat) itu menggunakan lafaz jamak (plural).

Mereka menafsirkan bahawa 3 orang sudah memadai untuk menggambarkan lafaz jamak dengan tidak termasuk imam (jika termasuk imam 4 orang).

Begitulah perbezaan pendapat dalam penghujahan bilangan minimum bagi perlaksanaan solat jumaat.

Di Malaysia, Jabatan Agama Negeri terkadang mengharuskan penggunaan mazhab lain dalam beberapa isu yang tertentu.

Ini semua adalah atas kebijaksaan mereka dalam mengendalikan urusan ibadah bagi memudahkan urusan umat Islam.

Semoga Allah membimbing kita.

BACA INI JUGA:

sumber: ismaweb

Friday, May 15, 2020

Doa Ketika Melihat Tahi Bintang Dilangit

Doa Ketika Melihat Tahi Bintang Dilangit

Dalam Al Qur'an disebutkan; "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang (nya). Dan Kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk. Kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang." (QS. Al Hijr, 15 : 16-18)

Doa tahi bintang

Berdasarkan firman Allah di atas, bintang jatuh merupakan petanda terdapat iblis yang berusaha mencuri maklumat langit, dan dihalau dengan semburan api yang terang.

Peristiwa bintang jatuh merupakan pemandangan alam yang menakjubkan, tetapi ia tidak menjadi perantara terkabulnya doa seperti dalam mitos.

Namun, ketika melihat bintang jatuh, kita dianjurkan memuji kebesaran Allah kemudian berzikir sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Azkar.

Imam Nawawi menyebutkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni dari Ibnu Mas'ud r.a. berkata, "Kami diperintahkan untuk tidak mengikuti arah bintang jatuh dan ketika terjadi, kami diperintahkan untuk membaca:

مَاشَاءَاللّٰهُ لاَحَوْلَ لاَقُوَّةَ اِلاَّبِاللّٰهِ

"Maa syaa-allah laa haula walaa quwwata illaa billaah."

Yang ertinya; "Semua atas kehendak Allah, tidak ada daya upaya dan kekuatan kecuali atas kehendak-Nya."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bincangsyariah

4 Sebab Kenapa Digalakkan Membaca Surah Al Kahfi Pada Hari Jumaat

4 Sebab Kenapa Digalakkan Membaca Surah Al Kahfi Pada Hari Jumaat

Patutlah Surah Al Kahfi sangat digalakkan dibaca pada Hari Jumaat, sebab ganjaran dan kelebihan membaca surah ini sangatlah besar bagi sesiapa yang dapat menghabiskannya sebelum berakhirnya hari Jumaat.

Membaca Surah Al Kahfi

Surah Al-Kahfi juga disebut Ashabul Kahf, memiliki 110 ayat dan bercerita tentang beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya.

Ia merupakan surah golongan Makkiyah atau surah yang diturunkan di Kota Mekah.

Surah ini sangat digalakkan dibaca mulai selepas Asar hari Khamis sehingga sebelum Maghrib hari Jumaat.

Antara Manfaat Mengamalkan Surah Al-Kahfi:

1. Terhindar dari Fitnah Dajjal

Nabi Muhammad bersabda bahawa sesiapa yang rajin membaca surah ini pada hari Jumaat akan terhindar dari fitnah dajjal.

Dajjal merupakan salah satu tanda-tanda kiamat. Fitnah dajjal sangat kejam dan mampu membawa kepada kesesatan dan seksa neraka Jahanam.

“Maka barangsiapa di antara kamu yang mendapatinya (mendapat zaman dajjal) hendaknya Ia membacakan atasnya ayat-ayat permulaan surah al-Kahfi.” (HR Muslim)

“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari permulaan surah al-Kahfi, maka ia dilindungi dari Dajjal.” (HR Muslim)

2. Memperoleh Pengampunan Dosa Diantara Dua Jumaat

Jaminan setiap dosa akan diampunkan, bermula pada hari Jumaat surah Alkahfi dibaca sehingga pada hari Jumaat yang berikutnya.

“Barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada hari Jum’at maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat.” (HR. Al-Hakim: 2/368 dan Al-Baihaqi: 3/249)

3. Dipancarkan Cahaya Sejauh Dirinya dan Kaabah

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dan Baitul’Atiq (Kaabah).” (Sunan Ad-Darimi, no. 3273)

4.Dipelihara Daripada Gangguan Syaitan

Salah satu usaha mendekatkan diri pada Allah SWT adalah dengan membaca dan mengamalkan Al Qur’an dan membaca surat Al Kahfi termasuk di dalamnya.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dari Abdullah bin Mughaffal, menyatakan bahawa sebuah rumah yang selalu dibacakan surat Al-Khafi dan surat Al-Baqarah maka rumah itu tidak akan dimasuki syaitan sepanjang malam tersebut.

Tip Mudah Habiskan Bacaan Surah Al-Kahfi

Surah Al Kahfi

Namun sedia maklum, Surah Al Kahfi ini agak panjang dan agak memerlukan masa untuk dihabiskan secara berterusan.

Pasti rasa agak ‘berat’ untuk membaca surah sebanyak 110 ayat ini. Rasa seperti tak mampu nak habiskan baca sekali gus. Betul tak?

Antara tip dan cara mudah untuk lengkapkan bacaan Surah Al Kahfi ini adalah dengan membahagikan 110 ayat surah Al Kahfi ini kepada beberapa sesi.

Satu sesi hanya perlu membaca 20-30 ayat sahaja. Kalau mulakan selepas Asar hari Khamis, bacaan dapat dilengkapkan sebelum Asar hari Jumaat.

Jadi setiap sesi hanya memerlukan masa yang singkat. Mudah bukan?

BACA INI JUGA:

sumber: mw

Friday, April 24, 2020

Asal-usul Penyembahan Berhala Menurut Islam

Asal-usul Penyembahan Berhala Menurut Islam

Sejarah penyembahan berhala dikatakan bermula sebelum kerasulan Nabi Nuh a.s., kerana saat kehadirannya kepada kaumnya, majoriti masyarakat pada masa itu telah pun menyembah berhala-berhala.

Penyembahan Berhala
Penyembahan berhala di zaman Nabi Musa - Gambar hiasan.

Islam bermula pada zaman nabi Adam a.s. dengan membawa akidah yang bersih iaitu hanya menyembah Allah, satu-satunya Tuhan.

Namun, lama-kelamaan, akidah ini mula menghakis lalu wujudnya konsep penyembahan berhala (pemujaan) terhadap orang-orang soleh.

Berhala secara umumnya adalah sebuah patung dewa-dewa yang disembah (dipuja) dan kebiasaannya diukir daripada batu, kayu, tanah liat, dan besi untuk membentuk manusia atau makhluk hidup yang lain.

Zaman Sebelum Banjir Besar

Pada zaman antedulivian (istilah Bible merujuk zaman sebelum banjir besar), terdapat lima orang wali Allah yang soleh bernama Wadd, Suwa, Yaghuth, Ya'uq dan Nasr.

Mereka mempunyai ramai pengikut yang setia kerana kesolehan mereka yang membawa ajaran nabi Syith a.s., seorang nabi dan anak nabi Adam a.s.

Menurut Ibnu Katsir dalam bukunya Qhisasul Anbiya', setelah mereka semua meninggal dunia (para wali), syaitan telah datang membisikkan kepada masyarakat ketika itu untuk membina patung di tempat kebiasaan mereka beribadat dan dinamakan sempena dengan nama-nama mereka.

Ya'kub dari Baul Muthahhar berkata ketika Abu Ja'far, al-Baqir ada menyentuh tentang nama Wadd.

Katanya, "Wadd adalah seorang hamba Allah yang soleh. Beliau sangat dicintai oleh masyarakatnya. Ketika Waad meninggal dunia, mereka menempati di sekitar kuburnya di Babylon.

"Di tempat itulah mereka meratapi kematiannya. Apabila iblis melihat ratapan mereka di sana, ketika itu juga dia menyamar berupa seorang pemuda.

"Iblis berkata, "Dari pemerhatianku, rupanya kamu tidak habis-habis lagi meratapi kematian orang di dalam kubur ini. Bagaimana jika aku buatkan sebuah patungnya untukmu.

"Kamu boleh menempatkannya di rumah. Dengan begitu kamu akan teringat kepadanya secara berterusan.

Mereka menjawab, "Ya! Kami setuju."

Maka Iblis membuat patung orang soleh tersebut.

Kemudian, patung tersebut ditempatkan di rumah salah seorang antara mereka untuk mengingatinya.

Ketika iblis melihat keinginan mereka untuk mengingatinya begitu bersungguh-sungguh, dia sekali lagi membuat cadangan.

"Bagaimana jika aku buatkan beberapa buah patung yang boleh diletakkan pada setiap rumah kamu. Dengan demikian akan mempermudahkan kamu untuk mengingatinya, tanpa terus berpindah-pindah."

Mereka menjawab: "Ya! Kami setuju."

Iblis memenuhi janjinya. Setiap rumah mereka dibuatkan sebuah patung orang soleh itu. Di hadapan patung inilah mereka menumpahkan segala kerinduannya dan mengingatinya.

Taksub Menjadi Syirik

Dalam perkembangan keturunan seterusnya, anak cucu mereka melihat kaedah yang dilakukan oleh ayah dan moyang yang menjadi pengikut setia orang soleh itu tadi.

Dengan berlakunya pertukaran generasi demi generasi, maka sedikit demi sedikit sejarah kehidupan orang soleh itu terhakis dan berganti menjadi orang yang dipuja kerana kesolehannya.

Sehingga dalam perkembangan generasi selanjutnya, mereka menjadikan patung-patung itu sebagai Tuhan yang disembah selain Allah. Di sinilah berlakunya syirik yang pertama di muka bumi.

Dari apa yang dinyatakan ini menggambarkan bahawa, segala patung berhala inilah yang mula-mula disembah oleh segolongan manusia selain dari Allah.

Ini bertitik tolak apabila perkembangan manusia berlalu, mereka kehakisan ilmu kerana ketiadaan pembimbing dari kalangan mereka untuk menghalang supaya tidak menjadikan patung orang soleh itu untuk disembah selain dari Allah.

Allah merakamkan nama mereka di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: "Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa' dan Yaghuth, dan Ya'uq, serta Nasr." (Surah Nuh: 23)

Setelah mereka meninggal dunia (Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq, dan Nasr), maka syaitan segera memanfaatkan peluang ini dengan membisikkan kepada kaum mereka agar membuat patung-patung orang soleh ini di tempat mereka beribadat supaya ia dapat menaikkan semangat untuk beribadat sekali gus melambangkan kehormatan mereka terhadap orang soleh tersebut.

Di samping itu, ada juga yang berpendapat bahawa mereka juga mempunyai sembahan yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat yang berbunyi: "Janganlah kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan kamu," yang mana ayat ini berkemungkinan ialah bintang-bintang, bulan dan matahari yang saling kelihatan di malam dan siang hari.

Sayyid Qutub dalam Fi Zhilalil Quran menyatakan bahawa mereka mempunyai berhala dan patung yang beraneka macam mengikut selera dan citara rasa kebangsaan mereka.

Dakwah Rasul Pertama

Apabila mereka telah mensyirikkan Allah dengan berhala sembahan dalam pelbagai bentuk, maka Allah mengutuskan rasul-Nya iaitu Nabi Nuh untuk berdakwah kepada kaumnya seperti dirakamkan di dalam al Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya. Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah Allah. Sama sekali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Aku takut jika kamu akan mendapat azab yang besar." (Surah al-A'raf: 59)

Nabi Nuh a.s. merupakan rasul pertama yang berdepan dengan umatnya yang mensyirikkan Allah.

Sebab itu di dalam sebuah hadis Shahih menyatakan, Nabi Nuh merupakan rasul yang pertama.

Mengenai situasi di akhirat kelak apabila manusia mula meminta syafaat kepada rasul-rasul mereka yang bermaksud:

"Adam a.s. berkata: "Aku tidak berhak demikian, kemudian Adam menceritakan kesalahan yang menimpanya. (Adam berkata): "Akan tetapi datanglah kepada Nuh, kerana Dia adalah Rasul pertama yang Allah utus kepada penduduk bumi. Maka orang-orang kemudian mendatangi Nuh." (Shahih Bukhari no: 7410)

Berpandukan kepada hadis ini, maka dapat diketahui bahawa Adam hanyalah seorang nabi, manakala Nuh merupakan seorang rasul yang pertama diutus, untuk menegakkan tauhid di kalangan kaumnya yang telah mensyirikkan Allah.

Kesimpulan

Pengajaran daripada kisah kaum nabi Nuh a.s. ini yang dapat kita ambil adalah, jangan membelakangi hukum Allah yakni menduakannya.

Jangan memiliki sifat taksub kepada orang soleh sehingga berlaku pemujaan dan menyebabkan perbuatan syirik kepada Allah.

Pada awal mulanya, mereka beralasan ianya adalah perkara baik agar lebih khusyuk beribadah, lama-kelamaan talbis iblis mengheret mereka kepada penyembahan kepada orang soleh tersebut.

Tugas menegakkan kalimah tauhid adalah peranan berat yang ditanggung oleh para rasul terdahulu.

Semoga Allah memelihara kita daripada melakukan dosa syirik dan menjadikan kita insan yang menyambung sunnah utama iaitu dakwah menegakkan tauhid.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: askislam

Monday, April 06, 2020

Tidak Jatuh Hukum Munafik Tinggalkan Jumaat 3 Kali Ketika Darurat

Tidak Jatuh Hukum Munafik Tinggalkan Jumaat 3 Kali Ketika Darurat

Dakwaan hadis yang menyebut bahawa meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali dengan sengaja termasuk dalam golongan munafik perlu difahami secara menyeluruh supaya ia tidak disalah fahami.

Munafik alim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sudah masuk kali ketiga umat Islam di negara ini tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, pihaknya bimbang apabila diberitahu oleh pihak keselamatan bahawa ada segelintir pihak berkeras mahu menunaikan solat Jumaat.

"Alasan mereka kerana ada hadis menyebut bahawa sesiapa tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafik.

"Kami ingin tegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu salah faham yang jelas," katanya.

Zulkifli berkata, benar terdapat hadis sedemikian tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh.

"Golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

"Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit berjangkit koronavirus baharu (Covid-19)," katanya.

Beliau berkata, dengan rendah diri, pihaknya merayu seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.

"Sesungguhnya, kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri."

JADILAH ISLAM YANG BERAKAL

Lelaki beragama Islam mukallaf yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut di masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikunci pintu hatinya dan tidak berdosa kerana hukumnya adalah harus bagi mengelak penularan wabak pandemik Covid-19 itu.

Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata, solat Jumaat yang ditinggalkan itu wajib digantikan dengan solat Zuhur di kediaman masing-masing.

Menurutnya, harus hukumnya untuk meninggalkan solat Jumaat di masjid walaupun tiga kali berturut-turut dalam tempoh PKP ini, namun wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

"Ketetapan hukum ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu yang bermaksud keadaan yang sempit membolehkan perkara-perkara yang dilarang.

"Ketetapan hukum ini juga bersandarkan kepada hadis Nabi Muhamad SAW yang bermaksud, sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

"Mereka (para sahabat) bertanya kepada Rasulullah, apakah keuzuran itu? Baginda menjawab, ketakutan dan kebimbangan atau penyakit." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro