Saturday, May 30, 2020

Sifat Riyak (Bangga Diri) Adalah Tanda Buruknya Amalan


Adalah lebih baik jika ibadat yang kita lakukan disembunyikan namun, jika kita berbuat sesuatu bukan untuk menunjuk-nunjuk, kemungkinan ia menjadi ikutan kepada orang lain. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan riyak (riya')?

Sifat riyak

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un, ayat 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan, riyak ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib-32/301)

Firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhan-Nya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman bermaksud: "Aku bebas daripada segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikkan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh menyebut: "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riyak itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan."

Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah menjelaskan makna riyak, yang diriwayatkan oleh Mahmud bin Labid bermaksud: "Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik kecil. Sahabat bertanya, apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi SAW bersabda: Itulah riyak."

Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak: "Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu)." (Riwayat Ahmad)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riyak kepada beberapa bahagian iaitu riyak pada agama, tubuh badan, percakapan dan lain-lain:
  • Contoh riyak pada agama dan badan ialah menzahirkan badan kurus dan tidak kemas supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadat serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.
  • Riyak pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam atau berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
  • Riyak pada amalan pula seperti contoh menzahirkan qiyam dan rukuk yang panjang ketika solat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang menangis ketika sujud di dalam masjid, beliau berkata: "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

Jika ibadat suruhan yang mesti dilakukan, maka hendaklah dilakukan juga sekalipun datang riyak tetapi hendaklah mujahadah untuk hilangkan riyak seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat jemaah.

Sekiranya ibadat itu ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi kalau riyak boleh datang dalam diri seperti sedekah. Lebih baik baginya bersedekah secara sembunyi.

Sekiranya menunjuk itu dengan niat menggalakkan seseorang mencontohinya sebagai satu sunnah yang baik, maka ia dibolehkan.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat riyak.

(Dipetik dari Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

1 comment

  1. Sangat menarik bacaannya.Mampu menarik minat pembaca.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon