Isnin, Februari 19, 2018

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba


Berdasarkan rekod dan catatan sejarah, akhbar telah menjadi bahan bacaan manusia sebagai medium penyebaran berita bermula sejak abad ke 2 sebelum masihi, ketika era pemerintahan kerajaan Rom.

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Sebagai sebuah kerajaan yang berkuasa dan mempunyai wilayah jajahan yang luas, Rom mempunyai sistem tersendiri untuk menyebarkan sesuatu berita kepada orang ramai.

Caranya ialah dengan menulis atau mengukir perkara yang hendak disebarkan di atas papan, logam atau batu.

Ia kemudiannya diletakkan di tempat umum dan disebut sebagai 'Forum Romanum' dan akhbar kuno ini dikenali sebagai Acta Diurna.

Dalam bahasa latin, Acta Diurna bermaksud 'Laporan harian umum' yang diterbitkan dua atau tiga hari sekali, bergantung kepada kepentingan sesuatu isu yang hendak disampaikan.

Dan selepas beberapa hari dipaparkan, papan kenyataan yang lama akan diturunkan dan digantikan dengan lembaran yang baru.

Bentuk pertama Acta Diurna muncul sekitar tahun 131 SM dengan isi berita kebanyakannya berkisar tentang urusan rasmi kerajaan Rom.

Dalam era perkembangannya, informasi berita kemudian diperluaskan kepada perkara-perkara lain seperti pemberitahuan kelahiran, perkahwinan dan kematian pembesar-pembesar serta kerabat istana.

Ia kemudian ditambah baik dengan memasukkan elemen-elemen lain dalam paparan berita berkenaan seperti kes jenayah, subsidi kerajaan, harga syiling makanan asas seperti gandum, acara melibatkan pembesar kerajaan, berita astrologi, politik, acara gladiator, sehinggalah kepada kisah-kisah kemanusiaan seperti anjing yang hilang dan menemui jalan pulang.

Surat Khabar Pertama Di Dunia

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Pada tahun 59 SM, Julius Caeser secara rasmi telah mengangkat Acta Diurna sebagai akhbar rasmi kerajaan dan memerintahkan penerbitannya diperbanyak dan dipasang di pasar, pintu kuil dan disemua tempat awam.

Pada awal abad pertama Masihi, Acta Diurna lebih banyak diisi dengan berita tentang politik, uji kaji saintifik, keputusan kehakiman, kegiatan ahli senat dan strategi peperangan.

Seiring dengan perkembangannya, Acta Diurna turut melahirkan 'Diurnarii' - wartawan yang ditugaskan untuk mencari berita bagi dimuatkan dalam akhbar berkenaan.

Pada peringkat awal, Diurnarii dilantik oleh kerajaan namun, kerana sentimen kemasyarakatan yang mementingkan pelbagai berita dan informasi setempat, orang-orang awam juga mula melakukan tugas Diurnarii dan menjual catatan mereka kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Disebabkan itulah berlakunya persaingan diantara Diurnarii untuk mencari berita diseluruh pelusuk kota Rom.

Bahkan, ada sesetengahnya turut menulis berita dari luar kota Rom.

Wartawan Pertama Dihukum Mati

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Persaingan itu kemudiannya telah menyebabkan korban pertama dalam sejarah kewartawanan.

Seorang Diurnarii bernama Julius Ructicus telah dihukum gantung atas tuduhan menyiarkan berita yang belum disahkan, rahsia kerajaan!

Dianggarkan, penerbitan ini bertahan selama lebih 600 tahun dan cetakan terakhirnya berakhir pada tahun 555 Masihi.

Selepas runtuhnya empayar Rom, kegiatan jurnalistik merudum, terutamanya pada zaman gelap Eropah.

Tiada lagi Acta Diurna dan pada ketika itu sistem kewartawanan lenyap begitu sahaja.

Tahukah anda, daripada perkataan Acta Diurna inilah muncullah perkataan 'Diurnal' yang kemudiannya diadaptasi ke dalam bahasa Perancis menjadi 'Du jour' dan bahasa Inggeris 'Journal' yang bermaksud 'hari', 'catatan harian' ataupun 'laporan'.

Manakala perkataan Diurnarii pula diterjemahkan kepada 'Diurnalis' atau 'Journalist' yang bererti wartawan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon