Thursday, June 11, 2020

Anda Bangga Jadi Tukang Viral Fitnah Di Laman Sosial?


Pada zaman serba moden dan canggih kini, gejala fitnah berleluasa dengan semakin pantas, ditambah lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial dan internet di hujung jari, 'penyakit' hati yang telah pun wujud sejak turunnya Nabi Adam a.s. di muka bumi ini kini nampaknya semakin menjadi-jadi.

Fitnah Di Laman Sosial

Jika dahulu, fitnah disebarkan secara 'telinga ke telinga' atau melalui kaedah lisan dan mungkin mengambil masa yang agak lama untuk tersebar, kini ia hanya mengambil masa selama beberapa saat sahaja untuk tersebar ke seluruh dunia.

Hanya dengan menggunakan telefon pintar atau skrin komputer, sesiapa sahaja boleh mencipta sesuatu fitnah dan menyebarkannya kepada semua orang.

Kesannya daripada aktiviti fitnah ini, ia bukan sahaja akan memburukkan maruah mangsa fitnah, malah lebih malang, ia mampu membawa kepada satu lagi penyakit sosial masa kini, iaitu buli siber.

Pernahkah anda terfikir apakah kesan yang akan menimpa kepada mangsa fitnah, apabila kita yang tidak tahu hujung pangkal sesuatu cerita, terus-menerus mengecam dan menulis perkara-perkara yang tidak elok mengenai seseorang itu?

Jika benar individu itu ialah mangsa fitnah, pernahkah kita terfikir bagaimana dia ingin berdepan dengan seluruh dunia dengan maruahnya yang telah dipijak-pijak?

Inilah bahana gejala fitnah yang mungkin tidak pernah kita fikirkan, namun memberi impak yang sangat besar kepada individu yang terlibat.

Jangan Membantu Menyebar Fitnah

Apakah yang anda lakukan ketika sedang melayari newsfeed di laman Facebook, tiba-tiba ada rakan berkongsi posting mengenai sesuatu perkara atau gambar yang tidak dapat dipastikan kesahihannya?

Adakah anda akan turut sama memberi komen pada posting tersebut dengan menyokong kenyataan berbaur fitnah rakan anda itu, atau anda turut berkongsi posting tersebut pada profil sendiri, atau anda tidak mengendahkan posting tersebut?

Jika anda seorang yang sering berkongsi semula posting rakan lain mengenai sesuatu isu yang tidak pasti kesahihannya, anda sebenarnya tergolong dalam golongan penyebar fitnah.

Ini kerana, selagi sesuatu perkara itu belum dipastikan kebenaran atau kebatilannya, ia dianggap sebagai fitnah.

Sebaiknya, kita hendaklah menyelidik sesuatu perkara itu terlebih dahulu sebelum mempercayainya secara membuta tuli.

Kepentingan untuk tidak mempercayai bulat-bulat sebarang berita yang diterima tanpa menyelidik terlebih dahulu amat ditekankan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayun (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Justeru, apabila anda terbaca sebarang posting yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, jika mampu untuk menasihati rakan anda yang berkongsi posting tersebut, nasihatilah dia.

Namun, jika tidak mampu, anda hanya perlu scroll paparan newsfeed tersebut tanpa perlu memberi sebarang respons.

Samalah dengan mesej berantai "copy paste dari group sebelah' yang kita selalu terima di grup WhatsApp.

Ada maklumat yang sudah terang-terangan berbaur fitnah, tetapi masih disebar oleh individu-individu yang suka forward mesej. Kononnya sentiasa mahu menjadi orang pertama berkongsi sesuatu maklumat.

Dosa Menyebar Fitnah

Bagi mereka yang menyebar berita bohong dan fitnah, Allah SWT memberi amaran yang keras dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian)." – Surah An-Nur, ayat 19

Dalam surah Al-Buruj, ayat 10 pula Allah S.W.T. berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)."

Daripada kedua-dua ayat ini, jelas menunjukkan bahawa dosa memfitnah dan menyebarkan berita bohong ini amatlah besar azabnya.

Sanggupkah kita menerima azab tersebut dengan membantu penyebar fitnah menyebarkan fitnah yang diciptanya terhadap seseorang?

Jika tidak sanggup, elakkanlah diri daripada menjadi pecipta fitnah, penyebar fitnah mahupun sekadar mengeluarkan kenyataan atau pendapat sendiri mengenai fitnah tersebut, tanpa usul periksa.

Cuba letakkan diri anda di tempat mangsa fitnah tersebut, apakah perasaan anda jika kita difitnah sesuka hati sehingga satu dunia memijak maruah anda yang telah tercalar itu?

Bagaimanakah anda akan berdepan dengan satu dunia yang memandang serong kepada anda tanpa mengetahui perkara sebenar yang terjadi?

Justeru, marilah kita sama-sama mengelak dan membendung gejala fitnah yang semakin berleluasa pada dunia akhir zaman ini.

Jadilah pengguna media sosial yang berhemah, yang tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sesuatu perkara tanpa usul periksa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: salamweb

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon