Thursday, June 25, 2020

Penyebar Berita Palsu Adalah Pembohong Kerana Bersubahat, Fikir Dan Fahami Sebelum Kongsi


Fitnah serta melagakan-lagakan orang adalah 'penyakit' yang cukup berat kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar dan ijmak ulama mengatakan penyakit itu haram berdasarkan dalil di dalam al-Quran.

Penyebar Berita Palsu

"Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapat dan amalannya), pindah percakapan orang kerana untuk merosakkan orang. Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah-belahkan orang ramai)." Surah al-Qalam, ayat 10-11

Untuk bertaubat dengan melakukan dosa itu bukannya satu perkara mudah. Mampukah kita berjumpa dan memohon maaf kepada setiap orang yang diumpat atau difitnah itu?

Sehubungan itu, wajib bagi setiap Muslim meneliti kesahihan setiap berita diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." Surah al-Hujurat, ayat 6

Apabila mengumpat atau menyebarkan fitnah sudah menjadi amalan, dibimbangi pelakunya akan merasakan satu kepuasan apabila dapat bercerita perihal dan aib orang lain.

Di dalam kitab Ihya' Ulumiddin, Imam Ghazali menjelaskan, membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?

"Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah SWT seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain." Surah al-Hujurat, ayat 12

Rahsia seseorang itu pada mulanya tersembunyi, tetapi ada pula yang mendedahkannya.

Sebaiknya, setiap orang perlu diam terhadap apa yang dilihatnya kecuali perkara yang dapat menguntungkan golongan Muslimin atau untuk menolak dosa dan maksiat yang dilakukan orang itu.

Imam al-Ghazali di dalam kitab lain turut menyenaraikan enam adab yang perlu dilakukan ketika menerima berita fitnah:
  • Pertama, jangan mudah percaya kerana pemfitnah itu hanya menghilangkan kebenaran.
  • Kedua, melarang dan menasihati keburukan perilaku orang membawa berita fitnah itu supaya berhenti memfitnah kerana perbuatannya itu mengundang dosa besar selain tidak mahu bersekongkol dengannya.
  • Ketiga, membenci perbuatan pembawa fitnah itu kerana Allah SWT.
  • Keempat, jangan berprasangka buruk (suudzon) kepada orang yang diberitakan itu.
  • Kelima, jangan ikut menyebarkan fitnah serta menjadi pengintip dengan membuka rahsia orang lain.
  • Keenam, jangan setuju dengan fitnah yang terlarang itu dan jangan menceritakannya.

Zaman Fitnah

Pada zaman sekarang semakin bertambah 'alat' yang boleh menyebabkan fitnah semakin menjadi parah.

Penggunaan laman sosial contohnya, ia boleh memberikan pahala atau dosa sekiranya digunakan sebaiknya atau disalah guna.

Kewujudan pelbagai laman sosial menjadi medium penyebaran apa saja maklumat sama ada ia benar atau salah.

Barangkali ada yang berkata dia tidak bersalah dan hanya menyampaikan berita 'dari group sebelah'.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bagaimana dosa itu bukan di atas bahu orang yang mencipta berita palsu, tetapi dosa juga merangkumi orang yang menyampaikan atau menyebar tanpa usul periksa semua berita yang dia lihat tanpa diselidiki kebenarannya, sama ada benar atau palsu.

Perkara ini sangat biasa berlaku dalam grup WhatsApp dan Facebook ciptaan Yahudi saat ini.

Golongan yang menyampaikan berita palsu dianggap sebagai pembohong kerana bersubahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon