Thursday, January 09, 2014

Seorang Munafik Banyak Berbicara, Namun Sedikit Bekerja


Khalifah Umar bin Abdul Aziz terkenal sebagai penguasa yang berkarisma. Selain itu, beliau juga sangat alim dan zuhud.


Pada masa pemerintahan beliau, tiada orang miskin yang berhak menerima zakat. Semua hidup makmur kerana keadilan khalifah yang soleh ini.

Suatu hari Umar bin Abdul Aziz duduk dalam sebuah majlis perjumpaan. Beliau lalu berbicara dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati.

Semua orang di majlis itu menjadi sangat khusyuk. Bahkan, sebahagian daripada mereka turut mengalirkan air mata.

Apabila Umar melihat seseorang daripada hadirin mengusap air matanya, beliau pun menghentikan perbincangan.

Maimun bin Mahran yang hadir dalam majlis itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin, lanjutkanlah perbincangan tuan. Saya yakin ramai yang mendapat manfaat daripada perbincangan ini."

Umar mengisyaratkan dengan tangannya sambil berkata: "Menjauhlah daripadaku. Berbicara merupakan satu fitnah dan ujian. Berbuat lebih bermanfaat bagi seseorang daripada berbicara." Kisah ini diceritakan oleh al-Baihaqi dalam kitab Syu'ab al-Iman.

Generasi umat Islam terdahulu tidak suka berlebih dalam berbicara. Walaupun perbicaraan mereka sangat menginsafkan dan mendekatkan pendengarnya kepada Allah SWT. Bagi mereka, berbicara mesti secukupnya dan kerja nyata yang mesti diperbanyakkan.

Dasar 'sedikit bicara banyak berbuat' ini menjadi rahsia kejayaan umat Islam pada masa itu. Mereka mencapai kemajuan dalam aspek politik, ekonomi dan sains. Mereka telah menjadi penguasa dunia apabila bangsa-bangsa yang lain masih dalam kemunduran.

Dasar ini berlaku di semua lapisan masyarakat sama ada ahli politik, agamawan dan rakyat biasa. Tiada tempat bagi orang yang banyak berbicara namun sedikit berbuat. Apa lagi orang yang percakapannya tidak serupa bikin.

Hasan al-Basri berkata: "Terlebih banyak bicara daripada berbuat ialah satu aib. Terlebih banyak berbuat daripada berbicara ialah satu kemuliaan."

Sementara, Fudail bin Iyad berkata: "Seorang mukmin sedikit bicara, banyak bekerja. Seorang munafik banyak berbicara, namun sedikit bekerja."

Keburukan_Berdebat

Berbicara sangat mudah, orang jahil sekalipun boleh melakukannya. Bahkan semakin jahil seseorang, semakin mudah ia mengucapkan sesuatu yang dikehendakinya.

Apabila orang bijak berfikir dahulu sebelum berbicara, orang jahil berbicara dahulu sebelum berfikir.

Selain itu, perbicaraan yang tidak terkawal akan membawa impak negatif yang sangat banyak. Salah satunya ialah, perdebatan dan pergaduhan.

Pergaduhan yang merebak dalam masyarakat akan melahirkan gejala perpecahan yang akan melemahkan masyarakat itu sendiri.

Pada masa yang sama mereka akan disibukkan daripada melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi masyarakat.

Berkata Ma'ruf al-Karkhi: 'Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka akan dibuka bagi pintu amal dan ditutup bagi pintu perdebatan.

Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi seseorang, maka dibukakan untuknya pintu perdebatan dan ditutup pintu amal.

Oleh yang demikian, mari kita lakukan perubahan dalam diri kita. Kurangkan bicara, lebihkan beramal. Apabila sifat ini telah menyebar dalam masyarakat, insyaAllah kejayaan akan kembali ke tangan kaum Muslimin. Wallahu a'lam.

PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor

BACA INI JUGA: Enam Perkara Yang Di Sembunyikan Dari Manusia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon