Thursday, December 03, 2020

Cara Daftar Akaun i-Sinar Akaun 1 KWSP

Cara Daftar Akaun i-Sinar Akaun 1 KWSP

Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula tahun 2020, kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka, tidak kira disebabkan hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan, pencarum layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu KWSP.

Akaun 1 KWSP


Tanpa mengira sama ada ahli pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara, bolehlah mengeluarkan simpanan dari akaun satu KWSP.

Daripada dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli.

Had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Pemohon cuma perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau bayaran lebihan masa dan pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

Pada Mac tahun 2020, disebabkan keadaan yang luar biasa, kerajaan inilah yang pertama sekali membenarkan pengeluaran daripada akaun dua KWSP melalui program i-Lestari.

Seramai 4.7 juta rakyat dibenar mengeluarkan simpanan akaun dua sehingga RM6,000.

2 KATEGORI PENGELUARAN

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan dua kategori pencarum yang layak mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1 melalui skim i-Sinar yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19.

Perincian itu diumumkan seminggu selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempersetujui gesaan beberapa pemimpin politik untuk memperluaskan program berkenaan meskipun terdapat kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan perancangan kewangan persaraan ahli KWSP.

Dalam kenyataan media, KWSP memaklumkan, ahli yang layak boleh membuat pengeluaran dari Akaun 1 berdasarkan baki dalam akaun mereka.

Mereka yang mempunyai RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1, mereka boleh membuatkan pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, atau sehingga RM60,000 (yang mana lebih rendah).

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan pembayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.

Bagi dua kategori ahli yang layak untuk i-Sinar, KWSP menyatakan bahawa ahli Kategori 1 adalah mereka yang tiada caruman KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi ahli Kategori 1, kriteria kelulusan untuk pengeluaran i-Sinar akan dilakukan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan tidak memerlukan dokumen sokongan.

Ahli hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web i-Sinar KWSP mulai 21 Disember 2020, dan pembayaran akan dibuat mulai pertengahan Januari 2021.

Sementara itu, ahli Kategori 2 adalah mereka yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk gaji pokok, elaun, dan faedah lain selepas Mac 2020.

Menurut KWSP, pengurangan tersebut hanya akan dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Dokumen sokongan tersebut merupakan slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.

Bagi ahli dalam Kategori 2 boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Ahli-ahli akan dimaklumkan berhubung status permohonan mereka dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dan jika ia diluluskan, pembayaran akan dilakukan sebelum hujung bulan berikutnya.

CARA DAFTAR i-SINAR KWSP ONLINE

Berita baik yang sangat dinantikan oleh ahli pencarum kerana mereka yang layak akan dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP sebanyak 10% dari Akaun 1 dengan syarat baki minimum sebanyak RM100.

Program ini dinamakan program i-Sinar bagi membantu ahli yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup semasa.

Ia merupakan kesinambungan kepada program i-Lestari yang telah memberi manfaat kepada sebilangan besar pencarum KWSP sebelum ini.

Walaupun begitu, program ini menetapkan beberapa syarat khusus bagi pencarum yang terjejas.

SIAPA YANG LAYAK MOHON i-SINAR?

Kelayakan:
  • Ahli KWSP yang telah kehilangan pekerjaan.
  • Ahli KWSP yang diberi cuti tanpa gaji oleh majikan.
  • Ahli KWSP yang tiada tiada sumber pendapatan.
  • Pekerja sektor formal yang tidak mampu mencarum selama 2 bulan berturut-turut.

Berikut adalah syarat terkini Program i-SINAR:
  • Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, atau pendapatan mereka berkurangan tahun ini, ahli berkenaan layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1.
  • Tanpa mengira sama ada ahli adalah pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

CARA MOHON i-SINAR KWSP ONLINE (TANPA i-AKAUN)

Berikut adalah contoh untuk buat permohonan pengeluaran i-Sinar tanpa perlu login i-Akaun (Portal i-SINAR KWSP):
  • Sila Klik Permohonan Baharu KWSP.
  • Isikan Nombor MyKad.
  • Pemohon mestilah belum lagi mencapai umur 55 tahun semasa permohonan permohonan pengeluaran i-SINAR melalui portal.
  • Isikan Nombor Telefon Bimbit, Alamat Email, Alamat Rumah, Poskod, Bandar, Negeri.
  • Pilih Amaun Pendahaluan (Berdasarkan syarat layak), amaun bulanan pula ditentukan oleh KWSP dalam tempoh 6 bulan.
  • Selepas buat pilihan Amaun, pilih Bank.
  • Pilihan Bank untuk permohonan pengeluaran i-SINAR online. Masukkan Akaun Bank (Simpanan/Semasa) yang aktif untuk membuat pengeluaran i-SINAR.
  • Pastikan nombor akaun bank aktif dan betul bagi memastikan bayaran i-SINAR masuk tanpa sebarang masalah.
  • Sila sahkan bahagian pengesahan permohonan.
  • Klik Hantar.

CARA MOHON i-SINAR KWSP ONLINE (GUNA i-AKAUN)

Berikut adalah contoh untuk buat permohonan pengeluaran i-Sinar i-Akaun KWSP):
  • Sila log masuk ke i-Akaun KWSP https://secure.kwsp.gov.my/member/member/login
  • Klik pengeluaran.
  • Pilih i-SINAR.
  • Baca syarat & terma, klik OK.
  • Klik Seterusnya.
  • Pilih Amaun Pendahuluan (Berdasarkan syarat layak), amaun bulanan pula ditentukan oleh KWSP dalam tempoh 6 bulan.
  • Selepas buat pilihan Amaun, pilih Bank.
  • Pilihan Bank untuk permohonan pengeluaran i-SINAR online.
  • Masukkan Akaun Bank (Simpanan/Semasa) yang aktif untuk buat pengeluaran i-SINAR.
  • Pastikan nombor akaun bank aktif dan betul bagi memastikan bayaran i-SINAR masuk tanpa sebarang masalah.
  • Sila buat semakan BUTIRAN MAKLUMAT.
  • Sila sahkan bahagian pengesahan permohonan.
  • Klik SETUJU, klik permohonan TAC, kemudian masukan TAC.
  • Klik HANTAR.

SOALAN LAZIM CARA MOHON i-SINAR KWSP ONLINE

i-Sinar

Bilakah boleh buat permohonan i-Sinar KWSP?
  • Sekiranya anda tergolong dalam Kategori 1, anda boleh mula memohon pada 21 Disember 2020.
  • Bagi anda yang tergolong dalam Kategori 2 pula, permohonan boleh dibuat bermula 11 Januari 2021.
  • Permohonan i-Sinar hanya secara online di laman web isinar.kwsp.gov.my.

Macam mana nak buat semakan kelulusan i-Sinar KWSP?
  • Boleh buat semakan melalui portal i-Sinar atau i-Akaun KWSP.

Bila boleh dapat duit i-Sinar?
  • Bagi kategori 1, pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.
  • Bagi kategori 2, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.
  • Pembayaran selebihnya akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan anda.
  • Pembayaran akan dilakukan melalui kaedah pengkreditan terus (direct credit) ke dalam akaun bank milik anda.

Berapa banyak amaun i-Sinar KWSP yang boleh dikeluarkan?
  • Ahli yang layak dapat membuat pengeluaran sebanyak 10% daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.
  • Terdapat dua kategori pengeluaran iaitu Simpanan Akaun 1 RM100,000 dan ke bawah dan Simpanan Akaun 1 RM100,000 ke atas.

i. Baki Akaun 1 RM100,000 dan ke bawah
  • Bagi ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), had maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000.
  • Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM5,000.
  • Pengeluaran bulanan seterusnya ialah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

ii. Baki Akaun 1 RM100,000 ke atas
  • Bagi pencarum yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 (Akaun 1), mereka akan mempunyai akses pengeluaran pendahuluan sebanyak 10%. Jumlah maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000.
  • Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.
  • Pengeluaran bulanan seterusnya ialah pada jumlah maksimum RM10,000 sebulan.

Bagaimana jika pemohon tidak mempunyai akaun bank?
  • Tidak boleh buat permohonan i-Sinar.
  • Untuk pengeluaran menggunakan sistem i-SINAR, anda mesti ada akaun atas nama sendiri.

Bolehkah guna akaun bank pasangan?
  • Walaupun permohonan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, termasuk suami atau isteri, maklumat bank mestilah sama dengan nama pemohon.
  • Ini bermakna, jika pemohon ialah suami, maka suami mestilah menggunakan akaun bank yang atas nama sendiri.

Adakah perlu ganti balik pengeluaran i-SINAR?
  • Ahli tidak perlu membayar pendahuluan yang dikeluarkan.
  • Anda hanya perlu mengganti semula pendahuluan ini apabila bekerja semula dan caruman baharu diterima.
  • Caruman baru yang diterima ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1 sehingga wang pendahuluan ini habis digantikan.
  • Selepas itu, sistem caruman akan kembali kepada sistem biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Tuesday, November 24, 2020

5 Harta Karun Yang Di Temui Dalam Bangunan Secara Tidak Sengaja

5 Harta Karun Yang Di Temui Dalam Bangunan Secara Tidak Sengaja

Setiap orang pasti mengimpikan untuk menemui harta karun dan kerana itulah ramai sanggup mengelilingi dunia menghabiskan usia mereka semata-mata untuk mencari kekayaan ini hasil peninggalan orang-orang terdahulu.

Namun begitu, ada juga yang cukup bernasib baik apabila menemui harta karun bernilai jutaan ringgit di rumah mereka atau dalam bangunan terbiar.

1. Harta Karun Åšroda

Åšroda ÅšlÄ…ska

Antara tahun 1985 dan 1988, para pekerja di bandar Åšroda ÅšlÄ…ska, Poland, telah menemui tumpukan syiling emas dan perak serta permata berharga selama projek pembaikan di sebuah pusat telefon yang ditinggalkan.

Harta karun, termasuk mahkota emas abad pertengahan, disita oleh pihak berkuasa itu bernilai lebih dari $USD131 juta hari ini.

2. Emas

Gold

Emas seberat 220 pound atau 99.7 kilogram bernilai sekitar USD3.8 juta telah ditemui di sebuah rumah oleh penghuni baru di Perancis.

Ditemui dalam bentuk 5,000 keping emas, dua batang seberat 12 kilogram dan 37 batang emas dengan berat 1 kilogram.

Emas-emas ini ditemui ketika pemilik rumah baharu sedang sibuk memindahkan perabot, terlihat sebuah kotak yang terletak di bawah perabot, kotak wiski dan barangan lain.

Menurut laporan The Guardian, emas-emas ini dibeli sekitar tahun 1950 hingga 1960-an.

3. Komik

Komik

Michael Rorrer sedang membersihkan rumah moyangnya di Virginia ketika dia menemui koleksi 345 komik di ruang bawah tanah.

Koleksi itu adalah milik mendiang pakciknya Billy Wright, yang tidak pernah memberi tahu siapa pun tentang hobi mengumpul komik sebelum kematiannya pada tahun 1994.

Koleksi yang dijaga dengan cermat termasuk komik langka seperti Komik Detektif No 27, komik pertama yang dibintangi Batman.

Tidak menghairankan, komik yang sangat jarang ditemui itu terjual pada harga $USD3.5 juta dalam acara lelongan di New York pada tahun 2012.

4. Lukisan Berharga

Potret

Sebuah keluarga di Perancis telah menemui sebuah lukisan berharga di sebuah apartmen yang telah dihuni sebelumnya seorang wanita berusia 91 tahun, yang ditinggalkan sebelum Perang Dunia II.

Lukisan bersejarah dan berharga ini adalah lukisan asli oleh Giovanni Boldini, seorang pelukis potret terkenal dari Itali dan bernilai USD2.5 juta!

5. Tombol Pintu

Edmé Bouchardon

Bukan tombol pintu biasa, sebab tombol ini yang berbentuk patung, dibuat oleh pembuat patung terkenal Perancis, Edmé Bouchardon, pada tahun 1728.

Ditemui di sebuah gudang kosong terbengkalai di Balintore, Scotland, ternyata tombol ini adalah patung ahli politik Sir John Gordon, bernilai USD1.8 juta!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: wartainfo

Hiperinflasi Yang Menghancurkan Negara Venezuela

Hiperinflasi Yang Menghancurkan Negara Venezuela

Negara Venezuela sangat terkenal sebagai negara yang menawarkan harga petrol paling murah di dunia serta mempunyai simpanan minyak antara yang terbesar berbanding semua negara pengeluar minyak, tetapi sedang mengalami hiperinflasi.

Hiperinflasi

Bagaimana seksanya hidup dalam keadaan hiperinflasi? Sangat, sangat sukar.

Mengambil negara kita sebagai perbandingan, Venezuela berdepan kadar inflasi setinggi lebih 1,000,000% (ya! satu juta peratus) berbanding Malaysia yang hanya berdepan inflasi pada kadar 1.5-2.0% pada tahun 2020.

Sehingga penghujung 2017, ada tiga negara di dunia sedang menghadapi kadar inflasi melebihi 100% selama tiga tahun berturut-turut iaitu Sudan Selatan, Suriname dan paling teruk sudah tentulah Venezuela.

Apa itu hiperinflasi? Bagaimana hiperinflasi memberikan kesan buruk pada sesebuah negara?

Dalam sebuah sistem ekonomi yang baik, akan berlaku kenaikan atau penurunan kadar inflasi yang stabil dan seimbang.

Harga, pengeluaran serta faktor-faktor lain yang merangsang atau merencatkan ekonomi memberi kesan naik turun dalam amaun yang sedikit.

Secara keseluruhannya, tidak ada masalah inflasi naik sedikit asalkan ekonomi sesebuah negara akan berkembang dalam jangka masa panjang.

Namun, ada masanya sesebuah negara gagal mengawal ekonomi mereka dengan baik sehingga mengalami fenomena yang dinamakan hiperinflasi.

Sekiranya anda terkejut dengan ramalan Venezuela boleh mencapai kadar kenaikan inflasi 1 juta peratus sekiranya tidak dibendung, anda perlu tahu kadar inflasi tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah dunia adalah 2.2 juta peratus, yang terjadi pada ekonomi negara Zimbabwe pada tahun 2009.

Kenaikan kadar inflasi pada tahap 15 peratus sekalipun, walaupun dilihat besar sepatutnya tidak mengganggu gugat kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Kebiasaannya, masyarakat masih mampu mengubah dan mengurangkan beberapa aspek hidup mereka untuk menampung kenaikan kos itu.

Jadi perlu kita fahami, inflasi adalah sesuatu yang normal sekiranya naik melebihi 10 peratus sekalipun.

Berkenaan hiperinflasi, tidak ada kadar tetap untuk sebuah kadar inflasi dikatakan sudah mencapai tahap hiperinflasi.

Semuanya bergantung kepada kenaikan bulan ke bulan yang berlaku dalam ekonomi negara tersebut, dengan hiperinflasi akan diisytiharkan sekiranya kadar inflasi naik mendadak dalam jangka masa yang singkat tanpa henti.

Kesan hiperinflasi yang sangat besar memang memburukkan keadaan; pendapatan yang diperolehi orang ramai akan dianggap tidak mencukupi walaupun hanya untuk membeli barangan keperluan asas.

Mengapa hiperinflasi berlaku di Venezuela?

Penganalisis secara majoritinya bersetuju kejatuhan harga minyak mendadak menyebabkan kejatuhan ekonomi Venezuela.

Negara itu sangat bergantung dengan hasil minyak dan juga dibebankan dengan jumlah hutang negara dalam bentuk matawang asing yang tinggi.

Venezuela dianggarkan mempunyai jumlah hutang luar negara setinggi 50 bilion dolar dan kejatuhan harga minyak menyebabkan negara tersebut kehilangan dana untuk membayar semula hutang-hutang itu.

Ini juga menyebabkan nilai matawang mereka 'bolivar' menjunam sehingga mengakibatkan nilai hutang mereka dalam matawang dolar meningkat berkali ganda.

Untuk membantu menyelesaikan hutang ini, kerajaan Venezuela terpaksa mencetak lebih banyak wang bolivar sebagai dana untuk membeli matawang asing seperti dolar contohnya, bagi menjelaskan hutang yang perlu dibayar.

Ini menyebabkan matawang bolivar kehilangan nilainya apabila berlaku lambakan wang tersebut ke dalam pasaran tempatan.

Bila bekalan jumlah wang bolivar melebihi keperluan negara tersebut, nilai bolivar akan semakin susut.

Jumlah hutang dalam kadar matawang asing yang perlu dibayar pula tidak berkurangan, malahan semakin bertambah.

Nilai bolivar yang diperlukan untuk membeli wang dollar pula semakin meningkat hari ke hari, menyebabkan hiperinflasi teruk pada Venezuela.

Bagaimana rasanya hidup dalam keadaan hiperinflasi?

Hiperinflasi

Ketika ini, diramalkan tahap pengangguran Venezuela akan mencecah 36% pada tahun 2022. Masalah yang paling besar, untuk bekerja juga dilihat tidak berbaloi.

Orang ramai tidak lagi dapat bergantung harap dengan sumber pendapatan mereka kerana nilai matawang Venezuela boleh turun mendadak bila-bila masa.

Ini menyebabkan jumlah pendapatan yang mereka terima tidak membolehkan mereka berbelanja untuk membeli apa-apa.

Kedai makan tidak lagi berani meletakkan harga kerana harga boleh berubah bila-bila sahaja dan pasaraya juga tidak lagi diwajibkan memaparkan tanda harga.

Harga barang pula sangat menggerunkan kerana untuk membeli segulung tisu tandas, mereka perlu membayar 2.6 juta bolivar yang bersamaan dengan RM43.20.

Seekor ayam pula berharga 14.6 juta bolivar, bersamaan dengan RM242.50. Harga dah mahal kan? Nak membayarnya pun satu masalah besar.

Untuk membayar satu gulung tisu tandas, rakyat Venezuela perlu membawa wang kertas 1000 bolivar setinggi 26cm tebal dan mempunyai berat 2.6 kg.

Membayar ayam? Mereka perlu membawa wang tunai setebal 73 cm dengan berat sebanyak 14.6 kg.

Apa yang lebih malang, nilai wang Venezuela boleh berubah setiap masa, jadi ada kemungkinan ketika mereka dalam perjalanan hendak membeli tisu dan ayam, harganya sudah naik menyebabkan mereka tidak lagi mampu membeli barangan tersebut. Begitulah parahnya kesan hiperinflasi kepada ekonomi.

Diet masyarakat mereka juga mula berubah dengan 3 daripada 4 orang mengalami penurunan badan ketara dengan purata 9kg.

Harga makanan meningkat sehingga 300% dalam tempoh 5 tahun sehingga menyebabkan orang ramai kembali bergantung kepada ubi kentang sebagai makanan utama.

Kesan buruk pada pekerjaan dan masa depan

Pelacur

Oleh kerana pendapatan atau gaji sudah tidak lagi membawa nilai pada penduduk Venezuela, banyak syarikat kini memilih untuk membayar pekerja mereka dengan barangan keperluan asas.

Wang ringgit yang tiada lagi nilai turut sama memaksa orang ramai mula menggunakan sistem barter.

Memiliki barangan keperluan asas seperti sabun, minyak masak dan bahan mentah dilihat jauh lebih penting berbanding keperluan memiliki wang.

Sebagai contoh, sebuah syarikat keselamatan Venezuela yang tular pada awal 2018, menawarkan gaji 2 juta bolivar yang masih belum cukup untuk membeli tisu tandas sebagai pengawal keselamatan.

Sebagai ganjaran tambahan, pekerja yang bekerja dengan baik ditawarkan bonus 36 biji telur seminggu untuk dibawa pulang ke rumah.

Salah satu kesan lain yang paling menakutkan adalah dalam sekelip mata, keseluruhan simpanan rakyat Venezuela hilang nilainya.

Keadaan ini menyebabkan sistem ekonomi Venezuela menjadi lebih kucar-kacir kerana orang ramai tidak lagi mempunyai minat untuk terus menyimpan wang untuk tujuan melabur; menyumbang kepada kejatuhan ekonomi yang lebih dahsyat kerana kerajaan kini ketiadaan modal untuk dijadikan suntikan kepada penggerak industri.

Selain itu, aktiviti pelacuran juga berleluasa kerana aktiviti itu adalah salah satu bentuk perniagaan yang tidak memerlukan sebarang modal.

Situasi hiperinflasi yang berlaku di Jerman pada awal abad ke 20 membuktikan aktiviti pelacuran melibatkan pelacur lelaki dan wanita berleluasa, disebabkan tekanan hidup yang mendadak pada ketika itu.

Yang lebih membimbangkan, kadar jenayah juga akan turut meningkat setiap kali sesebuah negara mengharungi situasi hiperinflasi, kerana kerajaan kini ketiadaan dana yang cukup untuk membayar gaji petugas keselamatan yang memadai dengan kos sara hidup.

Ini menyebabkan kewujudan situasi di mana undang-undang diabaikan dan orang ramai mula menjadikan mencuri itu tabiat bagi memudahkan mereka menjalankan urusan barter.

Jenayah bunuh juga semakin menjadi-jadi dengan 73 orang warga mereka dibunuh setiap hari berdasarkan statistik, selain daripada jenayah rompakan dan penculikan menjadikan negara tersebut, yang satu masa dulu terkenal sebagai antara negara paling mementingkan kebajikan rakyat mereka runtuh, semua kerana hiperinflasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

SBDJ Siri 172: Lembaga Di Pintu

SBDJ Siri 172: Lembaga Di Pintu

Macam tadi juga, sebaik sahaja dia melepasi bendul pintu dan memijak anak tangga, daun pintu tertutup sendiri. Tidak lama kemudian terdengar suara ngauman harimau.

"Pelik, setiap kali keluar dari rumah, mesti ada suara harimau," saya memancing dengan harapan Haji Basilam akan bercakap tentang kejadian yang baru berlaku. Ternyata Haji Basilam tidak memberi sebarang reaksi.

"Pelik juga Tamar," kata Andi Kamarool.

Saya anggukkan kepala.

Toyol jadi-jadian

Taktik kami mengena. Haji Basilam nampak resah dengan dialog-dialog yang kami luahkan.

"Dia gadis yang baik..." Haji Basilam tidak meneruskan percakapan.

Matanya merenung ke arah daun pintu yang tertutup rapat.

"Dia gadis apa Tuk Aji?" soal Andi Kamarool.

"Lain kali sahaja aku cerita," memang terasa suara Haji Basilam agak lemah.

Dia mengalihkan pandangan dari daun pintu ke arah tudung saji yang menutup hidangan.

"Kita sembahyang isyak dulu, kemudian baru makan."

Semua biji mata tertumpu ke arah datuk yang sudah berdiri di depan sejadah mengadap kiblat. Dia bersedia untuk menjadi imam. Kami segera bangun dan berdiri ke belakang.

Sembahyang pun bermula. Bacaan fatihah dan surah lain terasa syahdu meresap kedalam jiwa, memecah bening malam. Rukun Islam yang kedua itu pun selesai disempurnakan.

Dan acara selanjutnya ialah mengisi perut dengan hidangan yang disediakan oleh Mia. Datuk dan Haji Basilam makan sekadar untuk kenyang.

Tetapi, saya dan Andi Kamarool makan dengan semahu-mahunya. Akibatnya, kami tersandar di dinding dengan sepasang kaki diluruskan. Bila bernafas, terasa agak kurang selesa.

Tidak banyak kegiatan yang dapat dilakukan bila perut penuh. Selain dari memasang angan-angan, lubang telinga terus diasak dengan bunyi cengkerik dan desiran angin yang menyentuh dedaun.

Sekali-sekala terdengar salakan anjing liar di samping suara jampuk yang sekejap panjang dan sekejap pendek.

Kerana tidak selesa dengan tindak-tanduk datuk yang sering menjeling dan merenung ke arah kami, saya segera beredar ke arah sudut ruang.

Tidak berapa lama kemudian, Andi Kamarool turut serta. Berlabuh di sudut ruang memanglah selesa dan aman, terlepas dari pemerhatian datuk.

Meskipun berada tidak jauh dari meja tulis ayah Mia, saya tidak cemas, sebabnya apa yang ada di situ tidak diusik. Saya tahu, kalau diusik risiko besar ada menanti.

Bila bebas dari pandangan datuk, saya dan Andi Kamarool banyak memperkatakan tentang Mia. Dia cantik dan penuh dengan misteri.

"Anak dara Jambi ni memang cantik," cetus Andi Kamarool.

"'Betul Andi, bentuk tubuhnya, kulitnya, senyumnya. Masakannya juga sedap. Tapi..."

"Apa dia Tamar?"

"Rahsia dirinya boleh menimbulkan masalah pada sesiapa yang berkasih atau menjadi suaminya."

Andi Kamarool anggukkan kepala. Dia termenung panjang. Barangkali dia sedang menganalisa kebenaran dari ungkapan yang saya luahkan. Sama ada betul atau sebaliknya.

Malam yang terus bergerak membekalkan kedinginan buat kami. Perut yang berat mula terasa ringan.

Dua tiga kali saya dan Andi Kamarool menguap. Suara cengkerik semakin garang, suara jampuk semakin ghairah memuja bulan.

"Aku mengantuk Tamar."

"Kalau begitu, jum kita masuk bilik."

"Kamu agak pukul berapa sekarang Tamar?"

"Pukul sebelas malam, agaknya Mia sudah tidur."

"His," kata Andi Kamarool yang saya sambut dengan senyum panjang.

Kami pun bergerak dari hujung ruang tamu menuju ke bilik untuk merebahkan tubuh.

"Hai orang berdua, pandai-pandai pula mencari bilik. Sepatutnya kamu berdua tidur dianjung rumah Mia," usik Haji Basilam.

Langkah saya dan Andi Kamarool terbantut di depan pintu bilik. Tidak tahu, sama ada mahu melangkah bendul bilik atau berdiri di depan pintu.

Haji Basilam ketawa kecil melihat keadaan kami yang serba tidak kena. Datuk tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Dia terus membaca Quran.

"Masuk sajalah orang muda," lantang sungguh suara Haji Basilam.

Saya dan Andi Kamarool pun meneruskan langkah yang terhenti. Sebaik sahaja berada di dalam kamar, kami terus menghempaskan tubuh atas ranjang.

Terlentang merenung lelangit, lebih dari lima minit kami berkeadaan demikian. Walaupun terasa mengantuk tetapi, kami tidak dapat tidur.

Masih berpusing-pusing kiri dan kanan. Kami rasa resah semacam. Anehnya, kami tidak pula berkata-kata, masing-masing dengan hal sendiri.

KEPALA

Saya tidak tahu apa yang berlegar-legar dalam kepala Andi Kamarool. Tetapi, apa yang pasti saya tetap memikirkan tentang keanehan yang mengelilingi diri Mia.

"Eh, Tamar. Pintu bilik terbuka."

Saya segera panggungkan kepala, renung ke arah pintu bilik. Saya pasti daun pintu itu saya yang menutupnya tadi.

Malah, selaknya saya kenakan sekali. Pelik sungguh! Bagaimana pintu itu boleh terbuka?

"Aku yang tutup tadi, Andi."

"Aku tahu, aku nampak kamu buat."

Biji mata kami tidak berkelip merenung pintu yang terdedah. Saya mula terasa seram sejuk. Bulu roma tegak berdiri. Salakan anjing liar mendayu-dayu panjang bersama suara burung hantu.

"Ehhh...Tamar," kata Andi Kamarool.

"Ada benda ganjil," balas saya.

Mata kami terbeliak dan mulut terlopong. Tidak dapat meneruskan seperti ada sesuatu yang menghalang suara kami keluar.

Tekak terasa perit dan pedih, kelopak mata serta-merta berair membuat pandangan menjadi kabur.

Tetapi, semuanya tidak dapat menutup pandangan kami ke arah pintu bilik yang mulai dikuasai asap nipis. Di tengah-tengah kepulan asap nipis itu muncul sesusuk tubuh.

Dari pengamatan saya ketika itu, orangnya tinggi, memakai serban kuning dan warna jubahnya tidak dapat dilihat dengan jelas.

Berdiri gagah dimuka pintu dan kedua belah tangannya menopang jenang pintu. Ada bayang-bayang harimau sumatera setinggi pinggang berdiri di sisi kanannya.

Mata harimau dan lembaga manusia itu merenung tajam ke arah saya dan Andi Kamarool.

Saya jadi cemas, bila melihat lembaga itu mengangkat jubahnya separas dada dan dia seperti mahu menerkam kearah kami.

Saya menarik nafas panjang dan rasa cemas di dada beransur kurang. Mata lembaga dan harimau tidak lagi memandang ke arah saya dan Andi Kamarool.

Beberapa minit kemudian harimau dan manusia itu hilang dari penglihatan saya, begitu juga dengan kepulan asap nipis.

Perlahan-lahan daun pintu tertutup rapat. Saya dan Andi Kamarool seperti baru tersedar dari lamunan yang panjang.

"Kamu nampak apa yang terjadi dekat pintu tadi Tamar?"

"Aku nampak Andi."

"Apa yang kau nampak?"

"Kepulan asap, manusia dan harimau."

"Sama macam apa yang aku nampak."

"Merbahaya kita tinggal di bilik ini."

"Aku fikir tidak merbahaya, mereka datang sekadar ingin melihat kita," kata Andi Kamarool.

Dia cuba mendamaikan perasaan dirinya dan diri saya yang agak kacau dan bimbang.

"Aku harap apa yang kamu katakan memang betul," kata saya lalu menekan muka ke permukaan bantal.

Tidak mahu melihat ke arah pintu bilik. Saya tidak tahu, apa yang Andi Kamarool lakukan. Mungkin mengikuti apa yang saya buat.

Boleh jadi dia sedang merenung lelangit atau merenung pintu bilik dan akhirnya saya terus terlelap.

Tidur yang menyenangkan itu tergugat juga. Andi Kamarool menggoncang tubuh saya beberapa kali.

Pada mulanya keberatan membuka kelopak mata. Tetapi, memikirkan ada sesuatu yang penting, saya terpaksa membuka kelopak mata.

"Kenapa Andi, buat kacau saja," lahir rungutan dari kelopak bibir.

Saya tidak dapat menyembunyikan rasa marah yang bergelora di dada. Akhirnya, degree kemarahan saya terus menurun, bila Andi Kamarool membuat wajah kasihan.

"Subuh dah dekat."

"Tapi aku rasa baru saja tidur Andi."

"Aku tidak bohong, kalau tak percaya pergi tengok, diruang tengah rumah, Tamar."

"Hummm..."

Saya melompat dari katil dan melangkah perlahan ke arah pintu bilik. Dari celah pintu, saya mengintai ke ruang tengah.

Datuk sedang melakukan sembahyang sunat fajar. Haji Basilam baru saja keluar dari bilik air.

Saya kembali ke katil dan terus baring.

Andi Kamarool yang tadi duduk ditepi katil turut baring sambil menarik gebar. Saya dan Andi Kamarool berpandangan, bila pintu bilik diketuk dengan kuat. Kami mendiamkan diri.

"Andi, Tamar, bangun sembahyang subuh bersama kami," suara Haji Basilam lembut dan ketukan di pintu turut perlahan, tidak sekuat tadi. Kami terus diam.

'Tamar, Andi bangun sembahyang subuh dengan kami," suara yang bertukar menjadi keras, ketukan pintu bilik bertukar kuat.

"Pak Aji, kami sembahyang sekejap lagi, Tamar belum jaga lagi," kata Andi Kamarool.

Tidak lama kemudian terdengar tapak kaki menuju ke arah datuk. Mereka meneruskan sembahyang subuh.

CEPAT

"Kamu bijak Andi, cepat bertindak. Kalau tidak berdalih, sudah tentu kita terpaksa berjemaah dengan dia orang, boringlah," kata saya sambil bangun duduk memeluk lutut. Andi Kamarool tersengih panjang menerima pujian.

"Aku tahu apa yang kamu fikirkan Tamar. Tapi sebenarnya, ada cerita lain yang nak aku cakapkan pada kamu."

"Apa ceritanya Andi?"

"Cerita yang menakutkan," Andi Kamarool terus bangun dan duduk.

Dia membeliakkan sepasang biji matanya ke arah saya. Tingkah laku yang diperlihatkannya membuat saya menjadi gementar. Dan rasa ingin tahu terus bergelora dalam hati.

Andi Kamarool seperti keberatan untuk meneruskan ceritanya dengan segera. Dia renung lelangit, renung lantai dan renung apa saja yang ada dalam bilik.

"Apa dia, ceritalah. Kalau kamu tidak mahu cerita, aku keluar dari bilik ini," saya terpaksa melakukan ugutan untuk memaksa Andi Kamarool membuka rahsia.

Ternyata, cara yang saya lakukan ini mendatangkan hasil.

"Aku mimpi, berjalan dengan Mia di pantai. Kami berpimpin tangan. Entah macam mana muncul lelaki tua, dia rampas Mia dari aku.

"Mia rela dirinya ditangkap oleh orang tua. Sebelum mengusung Mia, lelaki tua itu menampar aku. Dalam masa yang sama lelaki tua itu bertukar menjadi harimau untuk ditunggang oleh Mia.

"Pelik sungguh, harimau dan Mia bergerak dalam ombak. Aku tersedar dari tidur bila ombak besar datang ke arah aku."

"Masa kamu terjaga itu pukul berapa?"

"Aku tak dapat agak pukul berapa tapi, masa datuk dah berhenti baca Quran."

Saya termenung panjang mendengar cerita itu. Mimpi yang dialami memang menyeramkan dan menakutkan.

Tetapi, saya kira Andi Kamarool tidak menceritakan semua peristiwa yang dialaminya. Masih ada yang dirahsiakan dari saya.

"Lepas tu kamu sambung tidur?" tanya saya.

Andi Kamarool garu pangkal dagu dua tiga kali.

"Aku tidak dapat tidur hingga subuh," katanya.

"Kamu nampak sesuatu yang ganjil dalam bilik ini, kemudian kamu kejutkan aku," saya mula menduga. Andi Kamarool terkejut.

"Hai, kamu macam tahu-tahu saja, agaknya kamu tak tidur Tamar."

"Aku cuma main agak-agak."

"Tapi tepat, memang aku nampak bayang-bayang orang berjalan dari bucu ke bucu bilik, sambil berjalan orang itu membilang tasbih, sesekali dia merenung ke arah kita berdua."

"Sudahlah Andi, lupakan saja perkara tu."

Aku terus mengajak Andi Kamarool ke bilik air untuk mandi dan mengambil air sembahyang. Andi Kamarool akur dengan permintaan saya.

Solat subuh pun kami sempurnakan dalam bilik.

Kami keluar dari bilik menuju ke ruang tengah menemui datuk dan Haji Basilam yang baru sahaja selesai melakukan senaman.

"Bila Pak Aji berangkat?" tanya Andi Kamarool.

"Sebelum matahari terbit," jawab datuk.

Kami anggukkan kepala dan bersedia mahu duduk. Tiba-tiba terdengar ketukan pintu. Saya terus menerpa ke situ dan membuka pintu.

"Untuk makan dan minum pagi, air kopi dan sedikit kuih."

Mia menghulurkan talam, segera saya sambut.

"Masuk dulu Mia," pelawa Haji Basilam dan permintaan itu tidak dihampakan Mia.

Hidangannya yang saya tatang segera saya letakkan ke atas lantai. Mia pun mengaturkan cawan dan menuangkan kopi.

Dari pintu terdedah saya sempat menjeling keadaan alam di luar yang samar-samar. Kokok ayam jantan masih kedengaran.

"Semua barang-barang dah siap, ayah."

"Dah siap, kau tengoklah tu," sambil ketawa Haji Basilam meluruskan jari telunjuknya ke arah dua buah beg rotan yang terasa di tepi dinding.

KOPI

Melihat Haji Basilam dan Andi Kamarool menghirup kopi panas, keinginan saya terus memuncak.

Tanpa segan silu, kopi terus saya hirup. Badan terasa segar. Kemudian kami terus menjamah goreng pisang.

"Kenapa minum sikit?"

Mia renung wajah datuk. Dia terasa aneh, bila datuk menuangkan kembali air kopi dalam teko tembikar sehingga air kopi dalam cawan tinggal separuh.

"Saya jarang minum pagi," jawab datuk.

"Dia memang begitu Mia, tak suka minum kopi, kecuali air dingin."

"Makan kuih pun sikit," Haji Basilam ikut campur dalam perbualan.

Datuk tersenyum panjang. Saya dan Andi Kamarool terus memamah goreng pisang.

"Begini Mia, lepas minum ni, kami berdua nak pergi terus ke Sungai Penuh, terima kasih kerana kamu menghantar minum pagi, kalau tidak kami makan pagi di Sungai Penuh," Haji Basilam memberi penerangan.

"Cepat sangat nak pergi, tak boleh nak tunggu semalam dua lagi."

"Tak boleh Mia, biar cucu saya si Tamar dan Andi Kamarool tinggal di sini dua tiga malam," datuk renung muka saya dan Andi Kamarool.

"Dengar cerita mereka ada urusan dengan kamu," tambah daluk.

"Katanya begitulah," tutur Mia dalam nada suara lembut. Saya lihat Haji Basilam tersenyum panjang.

Sesungguhnya, kehadiran Mia di subuh yang dingin memberikan kehangatan dalam diri saya dan Andi Kamarool.

Kalau boleh, bila datuk dan Haji Basilam keluar dari rumah, biar Mia berada di ruang rumah hingga matahari terbit.

Kami mahu bercakap dengannya, kami mahu menatap senyum, kami mahu bercanda dengannya.

"Kalau begitu saya ucapkan selamat jalan. Biar saya balik dulu," kata Mia sambil menatang talam untuk membawa cawan, piring dan teko yang belum dibersihkan ke rumah batu.

Tindakan Mia itu mengejutkan kami, kenapa dia tergesa-gesa mahu pulang, fikir saya.

"Ayah cuma mahu minta satu perkara saja pada kamu, Mia."

"Apa dia ayah?"

Mia segera menentang sepasang biji mata Haji Basilam. Datuk tunduk merenung lantai. Dan kami resah menanti kata-kata yang bakal dihamburkan oleh Haji Basilam.

"Apa dia yang ayah harapkan pada saya?" ulang Mia.

"Ayah harap kamu dapat tunaikan permintaan budak berdua ni."

"Usah bimbang, selagi terdaya, saya tetap bantu mereka," balas Mia.

Dia pun mengatur langkah menuju ke muka pintu. Datuk dan Haji Basilam segera mengiringinya. Kerana tidak mahu disebut 'orang muda' tidak ada budi bahasa, saya dan Andi Kamarool turut mengiringi Mia ke ambang pinlu.

"Selamat jalan, jangan bimbang mereka selamat di sini," Mia mengulangi janjinya pada datuk dan Haji Basilam.

Dia pun memijak anak tangga pertama dan beberapa saat kemudian, Mia hilang dalam kabus subuh yang sedang bangkit di permukaan bumi.

MATAHARI

Seperti yang dijanjikan, sebelum matahari muncul di kaki langit, Haji Basilam dan datuk turun dari rumah.

"Kami nak hantar, boleh tak?" saya mengajukan pertanyaan.

"Boleh tapi sampai pintu pagar rumah batu, tak boleh lebih dari itu," Haji Basilam mengenakan syarat. Kami mengangguk.

Sambil melangkah menuju ke pintu pagar, otak saya berpular ligat, kenapa saya dan Andi Kamarool tidak diizinkan menemani hingga ke gigi jalanraya.

Apakah perkara yang mahu disembunyikan oleh Haji Basilam dan Datuk dari pengetahuan kami berdua.

"Kenapa sampai dekat pintu pagar? Bukankah lebih baik, kalau kami hantar sampai tepi jalan. Setidak-tidaknya, kami dapat tahu juga Pak Aji dan datuk naik apa? Tumpang lori, naik teksi atau bas," Andi Kamarool memecahkan persoalan yang bermain dalam tempurung kepala.

Datuk dan Haji Basilam tersentak dengan pertanyaan itu. Langkah segera berhenti.

"Untuk keselamatan kamu berdua, juga kepentingan kami, lain tak ada apa-apa," tutur Haji Basilam dengan tenang, setenang suasana subuh dingin.

"Kerana itu, eloklah kamu berdua balik ke rumah," datuk mengeluarkan cadangan.

Buat sekian kalinya saya dan Andi Kamarool berpandangan. Jarak dari tempat kami berdiri dengan pintu pagar, kira-kira dalam dua puluh kaki.

Ertinya, saya dan Andi Kamarool masih boleh bergerak unluk menemani datuk dan Haji Basilam hingga ke pintu pagar.

Tetapi, kesimpulan dari kata-kata yang diluahkan oleh datuk, seolah olah menyatakan memadai sajalah kami menemani mereka sehingga di sini.

"Kalau itu yang diinginkan, kami terima. Kami berdoa perjalanan Pak Aji dan datuk selamat, diberkati Allah dan tidak menghadapi sebarang masalah," Andi Kamarool melempiaskan doa dan harapan.

"Aku harap, doa kamu berdoa diberkati Allah," balas datuk.

Kami pun bersalaman. Tidak ada kata-kata selanjutnya, sama ada dari pihak kami, mahupun pihak datuk dan Haji Basilam.

Kami berpatah balik ke rumah papan. Datuk bersama Haji Basilam meneruskan perjalanan menuju ke gigi jalanraya.

Kira-kira, lebih enam belas langkah dari tempat berhenti tadi. Kami segera menoleh ke belakang untuk mengetahui sama ada datuk dan Haji Basilam sudah sampai ke tepi jalan atau tidak.

Malangnya, mereka tidak kelihatan, ghaib entah kemana. Kalau mahu sudah menaiki kenderaan, kami tidak mendengar bunyi kenderaan lalu atau berhenti.

"Agaknya, mereka ada jalan rahsia, itulah sebabnya mereka tidak mahu kita hantar sampai ke tepi jalanraya," terhambur kata-kata itu dari kelopak bibir secara tidak sengaja.

Andi Kamarool terus berhenti dan memintas dan berdiri di hadapan saya. Kedua belah tangannya memegang kedua belah sayap bahu. Langkah saya terhenti, kami berpandangan.

"Kenapa Andi?"

"Kamu masih memikirkan tentang mereka Tamar?"

"Iya," saya angguk kepala.

"Tak perlu difikirkan, mereka orang tua, banyak pengalaman, banyak ilmu."

"Tapi, perkara itu memang menimbulkan tanda tanya dalam hati aku, Andi."

Saya lihat Andi Kamarool menarik nafas dalam-dalam. Kedua-dua belah telapak tangannya yang jatuh ke dua belah sayap bahu saya segera diangkat dan diluruskan.

Andi Kamarool tahu, penjelasannya tidak memuaskan hati saya.

"Begini Tamar, mereka tidak ada jalan rahsia tapi..."

"Tapi mereka ada jalan pintas," potong saya.

"Iya Tamar, bukan setakat jalan pintas tetapi, mereka bergerak atau berjalan mengikut arah angin.

"Itu sebabnya mereka mesti bergerak awal, sebelum matahari terbit, sebelum angin bertiup," bersama wajah ceria Andi Kamarool membuka rahsia.

"Itu rahsia mereka yang mahu disembunyikan dari kita berdua," itu komentar saya.

"Barangkali boleh jadi cakap kamu tu betul, boleh jadi tidak betul. Apa yang aku tahu, lalu di jalan pintas ada petua tertentu..." Andi berhenti bercakap.

Dia segera mengajak saya menyambung langkah yang terhenti. Kicau burung mula terdengar, angin pagi mula mengusik dedaun di hujung ranting.

"Apa petuanya Andi?"

"Aku pemah mengamalkannya. Pertama, mesti berjalan separuh berlari dan menentukan angin datang dari arah belakang yang boleh mempercepatkan langkah kita.

"Tidak boleh bercakap, disamping membaca beberapa ayat tertentu dari Quran. Aku pernah membuat kerja semacam ni, sehingga ada orang mengatakan aku mengamalkan ilmu ghaib, sebenamya tidak," jelas Andi Kamarool.

Kerana aku tidak memberikan sebarang komentar tentang perkara tersebut, Andi kamarool tidak melanjutkan cerita.

Kami terus berjalan. Kali ini langkah kami panjang kerana mahu cepat sampai ke rumah papan.

Walaupun begitu, saya terasa seperti ada sepasang mata mengintai gerak langkah kami dari rimbunan pokok kecil.

Saya berusaha menyingkirkan perkara yang bukan-bukan dari bermain dalam kepala saya.

CAHAYA

Di kaki langit mula kelihatan kemerah-merahan mengembang, awan nipis seperti menjauhkan diri dari cahaya tersebut.

Kicau burung mula beransur rancak, suasana yang subuh mula menipis. Sewaktu berbelok ke kanan untuk memasuki ke kawasan rumah papan, Andi Kamarool tepuk saya.

"Ada apa Andi?"

"Aku macam ternampak kelibat manusia, berjalan di balik pokok-pokok kecil, tak apa. Kita jalan terus," itu yang dicadangkan oleh Andi Kamarool.

Tidak ada bantahan dari saya. Apa yang dapat saya kesan, Andi Kamarool memperlahankan langkah.

Saya fikir dia sedang membuat helah untuk menjarakkan dirinya dengan saya. Dan saya tidak mahu memikirkan tentang perkara itu. Saya terus melangkah.

Dia tertinggal di belakang dalam jarak agak jauh juga.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 172/284

BACA: SBDJ Siri 171: Mia, Gadis Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

4 Kacang Dan Buah Tinggi Kalsium

4 Kacang Dan Buah Tinggi Kalsium

Selain penting untuk pertumbuhan badan, kalsium berfungsi membantu fungsi otot, meregulasikan denyutan jantung dan isyarat pada saraf, mencegah darah beku dan menghindarkan osteoporosis apabila semakin bertambah usia.

Susu adalah antara sumber kalsium terbaik kerana mengandungi kira-kira 305mg kalsium dalam segelas susu.

Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat pelbagai lagi sumber kalsium yang boleh anda dapatkan selain susu.

Berikut adalah senarai makanan yang memiliki kandungan kalsium yang lebih tinggi berbanding susu.

1. KACANG BADAM (ALMOND)

Badam

Salah satu snek yang baik untuk mereka yang sedang diet ialah kacang badam kerana 3/4 cawan almond ini boleh memberi kita 320mg kalsium untuk keperluan tubuh, juga kaya dengan serat dan Vitamin E.

2. BUAH TIN

Tin

Bagi yang inginkan snek manis, kunyahlah buah tin kering (dried figs) untuk mendapatkan keperluan kalsium harian anda, kerana secawan setengah buah tin kering mengandungi 320mg kalsium.

Buah Tin juga terkenal sebagai pelawas yang amat membantu melegakan masalah sembelit.

3. CHIA SEED

Chia Seed

Walaupun kecil, 100 gram chia seed mengandungi lebih kurang 631mg kalsium. Ini bermaksud, 3 sudu makan chia seed sudahpun melebihi jumlah kalsium yang terkandung dalam segelas susu.

4. KACANG KUDA

Kacang Kuda

Nampak macam snek biasa, tapi siapa sangka kacang kuda merupakan salah satu makanan yang tinggi kalsium.

1 setengah cawan kacang kuda atau chickpeas mengandungi 315mg kalsium malah, ia juga adalah sumber protein dan serat yang baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: siraplimau

Monday, November 16, 2020

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Tahi Bintang Dan Rahsia Langit

Munculnya fenomena alam bintang jatuh, tahi bintang, meteor atau komet adalah suatu perkara biasa. Tidak ada kaitannya dengan pelbagai hal, sebagaimana keyakinan jahiliah, yang menganggap akan terkabul doa kita apabila melihatnya.

Tahi Bintang

Namun, Al Quran telah menjelaskan tentang fenomena alam tersebut bahkan, ternyata bintang, meteor dan komet itu memiliki fungsi di sisi Allah.

"Sesungguhnya, Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala." (QS. Al-Mulk: 5)

Ketika menafsirkan surat Al-Mulk ayat 5, seorang ahli tafsir masa tabi'in, Qatadah rahimahullah, mengatakan:

"Allah menciptakan bintang untuk tiga hal: Allah jadikan sebagai penghias langit, sebagai pelempar syaitan, dan sebagai tanda alam untuk petunjuk arah. Maka siapa yang menggali tentang bintang, selain tiga hal tersebut, dia keliru, menyia-nyiakan jatahnya, dan membebani diri dengan sesuatu yang sama sekali dia tidak memiliki ilmu tentangnya." (HR. Bukhari dalam shahihnya secara muallaq, 4/107) Maksud beliau dengan memahami selain tiga hal tersebut adalah dengan memahami bintang untuk astrologi (bukan astronomi), seperti zodiak atau ramalan bintang. Sementara itu, As-Syaukani menafsirkan firman Allah (yang ertinya), "Aku jadikan bintang itu sebagai pelempar syaitan", beliau mengatakan, "Rajam (pelempar) secara bahasa ertinya, melempar dengan batu." (Fathul Qadir, 3/179)

Demikian pula dalam surat Al-Jinn, Allah Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)." (QS. Al-Jin: 8–9)

Al-Imam Ibnu Katsir juga menafsirkan ayat di atas dengan hadis Rasulullah SAW, yang mengungkap secara lebih terperinci tentang fenomena alam tersebut.

Dari sahabat Abdullah bin Abbas Radhiyallahu anhu, ia berkata: "Salah seorang sahabat Nabi SAW dari kaum Ansar menceritakan kepadaku. Ketika mereka duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, ada bintang (meteor) jatuh memancarkan cahaya. Maka Rasulullah SAW bertanya kepada mereka: "Apa ucapan kalian pada masa jahiliah ketika ada lemparan (meteor) seperti ini?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Dulu kami katakan, "pada malam ini telah dilahirkan seorang yang terhormat dan telah mati seorang yang terhormat." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Sesunguhnya bintang itu tidaklah dilemparkan kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Akan tetapi Tuhan kita Tabaaraka wa Ta'ala, apabila telah memutuskan sesuatu perkara, bertasbihlah para malaikat yang membawa 'Arasy. Kemudian diikuti oleh para malaikat penghuni langit yang di bawah mereka, sampai tasbih itu kepada para malaikat penghuni langit dunia. Kemudian para malaikat yang di bawah para malaikat pembawa 'Arasy bertanya kepada para malaikat pembawa 'Arasy, "Apa yang dikatakan Tuhan kita?" Lalu mereka memberitahu apa yang dikatakan Allah SWT. Maka malaikat penghuni langit dunia saling bertanya pula di antara sesama mereka, sehingga berita tersebut sampai ke langit dunia. Maka para jin berusaha mencuri dengar, lalu mereka sampaikan kepada walit-walitnya (tukang sihir). Sehingga mereka dilempar dengan bintang-bintang tersebut. Berita itu mereka bawa dalam bentuk yang utuh, iaitu yang sebenarnya tetapi mereka campur dengan pembohongan dan mereka tambah-tambahkan." [HR Muslim]

Apakah bintang jatuh boleh mengabulkan permintaan?

Menurut tradisi yang diturunkan dari nenek moyang, apabila kita melihat bintang jatuh secara langsung maka satu keinginan kita akan terkabul.

Maka daripada itu, apabila kita melihat bintang jatuh mohonlah satu permintaan.

Berdoalah! Tapi berdoanya tetap kepada Allah. Salah bila kita berdoa dan minta bantuan kepada bintang jatuh. Bukan nanti dapat barokah, malah jadi musrik jadinya.

Bintang jatuh hanya sekadar perantara saja. Yang mengabulkan ya atau tidaknya doa kita adalah Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: RR

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Kemurungan dan stres adalah dua situasi melibatkan masalah mental yang berbeza, tetapi sebelum seseorang itu mengalami masalah kemurungan, dia akan melalui fasa stres terlebih dahulu. Itulah bahayanya apabila kita gagal mengawal dan merawat tahap stres, kerana ia akan menjadi kemurungan yang menjadi punca sebahagian orang membunuh diri.

Minggu Stres

Selain itu, individu yang merasakan diri mengalami kemurungan perlu mendapat pengesahan dari pakar terlebih dahulu.

Minggu Kesedaran Stres Sedunia yang disambut pada setiap 4-8 November setiap tahun, menekankan pengurusan stres di tempat kerja dan peribadi.

Kenalpasti antara punca-punca stres di tempat kerja:
  • Tidak mahir dengan kerja.
  • Hasil kerja tidak dihargai.
  • Persekitaran tidak selesa.
  • Tiada keseronokan bekerja.
  • Selalu dimarahi tanpa sebab.
  • Rakan sekerja tidak membantu.
  • Beban kerja berlebihan.
  • Menangguh kerja.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah ini:
  • Bertenang.
  • Bernafas dengan dalam.
  • Berkata 'relakslah' atau 'tak mengapa'.
  • Beribadat.
  • Bercakap dengan seseorang.
  • Berurut.
  • Berehat dan mendengar muzik.
  • Beriadah.
  • Bersenam.
  • Berfikiran positif.

Stres Itu Menyeksakan

Sayangnya, tidak semua orang tahu bagaimana cara menghadapi rakan atau keluarga yang sedang stres atau tertekan.

Ketidaktahuan tersebut akhirnya membuatkan orang yang sedang stres merasa sendirian dan tidak mendapatkan sokongan dari sesiapa.

Terlebih lagi, jika orang yang mengalami stres juga tidak menunjukkan bahawa dirinya sedang tertekan.

Ini kerana mereka biasanya sering berkelakuan normal di depan orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Apa Akan Berlaku Jika Belanjawan 2021 Tidak Di Luluskan? Darurat Atau Pilihanraya Baharu?

Belanjawan Negara Malaysia bagi tahun 2021 yang dibentang pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz masih dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat dasar, dengan pengundian di peringkat dasar dijangka akan berlaku pada 25hb November 2020.

Belanjawan

Belanjawan 2021 ini membawa dilema, tidak sahaja kepada Kerajaan Perikataan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) tetapi juga kepada Blok Pembangkang.

Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang telah berucap membahas Belanjawan 2021. Najib Razak, Pengerusi Backbencer Barisan Nasional juga telah berucap. Presiden Amanah Mohamad Sabu, Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP serta Tun Mahathir Mohamad semuanya telah berucap.

Ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi Parti Pejuang semuanya telah mengisytiharkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 itu sekiranya cadangan dan pindaan yang mereka tuntut diterima oleh Kerajaan PN.

Ini dilema yang dialami oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Tunduk akur menerima tuntutan dan desakan PH, BN dan Pejuang akan menampakkan kelemahan kerajaan PN pimpinan beliau.

Jika Muhyiddin Yassin berkeras enggan meminda Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangannya itu, maka besar kemungkinan proses pengundian belah bahagi akan berlaku di Dewan Rakyat.

Ada kemungkinan Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 itu tidak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perkara 68(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan tahunan negara mestilah diluluskan oleh Dewan Rakyat, kerana Rang Undang-Undang berkenaan kewangan tidak boleh datang dari Dewan Negara.

PROSES KELULUSAN BELANJAWAN NEGARA

Sebelum itu, kami ingin mengambil kesempatan ruangan ini untuk menjelaskan aturcara proses perbahasan dan kelulusan bagi Belanjawan 2021 supaya boleh difahami dengan mudah oleh rakyat.

Umum telah ikuti bahawa Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu. Daripada sekarang hingga sekitar 25 November, wakil-wakil rakyat akan membahaskan belanjawan tersebut di peringkat dasar.

Ini bermaksud wakil rakyat boleh membahaskan perkara-perkara dasar berkaitan Belanjawan tanpa merujuk kepada mana-mana butiran. Contohnya, seseorang wakil rakyat boleh membahaskan berkenaan falsafah dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2021. Juga yang terkait dengan angka-angka unjuran hasil dan ekonomi serta jumlah perbelanjaan yang mungkin besar atau kecil bagi sesebuah kementerian. Isu-isu di kawasan juga boleh dibangkitkan.

Perhatian tertumpu kepada ucapan perbahasan sama ada seseorang wakil rakyat itu menyokong, menolak atau menyokong dengan syarat, Belanjawan 2021.

Belanjawan boleh dipinda

Ia kemudian akan dijawab oleh Menteri Kewangan semasa sesi penggulungan sebelum Dewan Rakyat mengundi untuk kelulusan di peringkat dasar. Pada ketika ini Menteri Kewangan boleh mengulas kritikan, teguran dan cadangan wakil rakyat. Malah Menteri boleh membuat usul pindaan belanjawan untuk dibawa dalam perbahasan dan kelulusan peringkat jawatankuasa.

Pengundian boleh dijalankan dengan suara sama ada bersetuju atau tidak iaitu sekiranya lebih suara bersetuju maka masalah (dalam konteks ini Belanjawan 2021 peringkat dasar) adalah diluluskan. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 46.

Tetapi, jika ada daripada kalangan wakil rakyat seramai 15 orang atau lebih yang bangun meminta untuk diadakan belah bahagian maka Yang Dipertua (atau dipanggil Pengerusi ketika peringkat Jawatankuasa) hendaklah memerintahkan diadakan belah bahagian.

Dalam belah bahagian ini penghitung undi hendaklah bertanya kepada setiap wakil rakyat sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau tidak mahu mengundi. Ini terkandung dalam peraturan mesyuarat 47.

32 kali undian

Sekiranya diluluskan maka sesi perbahasan peringkat jawatankuasa pula akan menyusul. Dalam sesi ini, wakil rakyat akan membahaskan butiran belanja mengurus dan pembangunan bagi setiap Kementerian. Ini dijadualkan berlangsung selama 8 hari. Setiap kali selesai satu kementerian, ia akan diikuti dengan jawapan Menteri dan undian untuk kelulusan.

Sekali lagi proses undian boleh berlaku seperti semasa peringkat dasar. Bezanya ialah proses ini boleh berlaku sebanyak 32 kali memandangkan terdapat sebanyak 32 kementerian di bawah kerajaan sekarang. Masing-masing wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bersedia pada setiap masa apabila proses undian berlaku.

Begitulah prosesnya. Apa yang benar-benar bakal berlaku hanya akan diketahui apabila tiba masanya. Sebab itu kehadiran wakil rakyat amat penting terutamanya dalam proses undian.

Had 80 orang wakil rakyat pada satu satu masa yang diputuskan oleh dewan tidak terpakai ketika proses undian. Semua wakil rakyat dibenarkan masuk ke dewan ketika proses undian.

Jika Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, apa akan terjadi?

Rang Undang-Undang yang tidak lulus itu tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Ia juga tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

Dalam keadaan sedemikian, apa implikasinya?

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin tidak ada wang untuk menguruskan negara bagi tahun 2021, kerana sesebuah Kerajaan hanya boleh berbelanja dengan menggunakan peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Apa pilihan yang Muhyiddin Yasin ada, jika beliau menghadapi senario sedemikian?

Pilihan pertama ialah Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri bersama-sama seluruh anggota kabinet Kerajaan PN. Dalam erti kata lain Kerajaan PN tumbang.

Persoalannya, adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan pimpinannya mesti meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen?

Jika diteliti di dalam Perlembagaan Persekutuan, bahawa tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri dan Kabinet mesti meletak jawatan jika kalah dalam undian berkenaan Belanjawan Tahunan di Dewan Rakyat.

Malaysia sejak Merdeka tidak pernah mengalami situasi di mana Rang Undang-Undang Belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Yang ada ialah amalan lazim atau disebut konvensyen yang diamalpakai di negara-negara demokrasi khususnya di dalam Komanwel bahawa Perdana Menteri dan kabinet hendaklah meletak jawatan apabila kalah dalam undian Belanjawan tahunan.

Kekalahan sedemikian dianggap kerajaan berkenaan khusus Perdana Menteri, tidak mendapat kepercayaan yang cukup di kalangan ahli parlimen.

Jadi, secara andaian yang mungkin, apa pilihan lain yang PM Muhyiddin Yassin ada, jika beliau enggan meletak jawatan?

Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Dharurat seluruh negara diiystiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan atas alasan wujud keadaan dharurat yang besar di mana kehidupan ekonomi terancam akibat Belanjawan Negara tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tetapi, adakah Muhyiddin Yassin sanggup menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, untuk memohon perisytiharan Dharurat selepas permohonannya kali pertama ditolak oleh Baginda?

Pilihan lain yang ada pada Muhyiddin Yassin jika Belanjawan ditolak ialah beliau terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya Parlimen Penggal ke-14 ini dibubarkan dan satu Pilihanraya Umum diadakan.

Apa risiko yang Muhyiddin mungkin hadapi jika berbuat demikian?

Ada kemungkinan bahawa permohonan Perdana Menteri itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pilihan yang lazimnya dipakai di negara-negara demokrasi lain apabila Rang Undang-Undang Belanjawan Negara ditolak oleh Parlimen yang patut konvesyen ini dicontohi di Malaysia?

Pilihannya ialah, Perdana Menteri itu wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat perletakan jawatan.

Dengan berbuat demikian Kabinetnya juga gugur, kerajaannya tumbang dan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan kuasa Baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dengan melantik Perdana Menteri baharu berdasarkan Perkara 43(2)(a).

Sebuah Kabinet baru akan dibentuk dan sebuah Kerajaan baharu ditubuhkan dengan tugas pertamanya ialah membentangkan Belanjawan tahun 2021.

Dilema Pembangkang

Pemimpin-pemimpin blok pembangkang juga menyedari dilema yang mereka hadapi kerana tidak dapat menerima Belanjawan seperti apa yang telah dibentangkan di parlimen.

Jika mereka tolak secara keseluruhan mungkin akan berlaku pergolakan politik yang hebat seperti yang dinyatakan di atas.

Blok pembangkang tentu tidak bersetuju Perisytiharan Dharurat diisytiharkan kerana Belanjawan Kerajaan PN tewas diparlimen.

Blok Pembangkang juga tentu berpandangan bahawa Pilihanraya Umum tidak patut diadakan dalam masa terdekat di mana Pandemik Covid-19 masih di peringkat bahaya dan Perintah PKPB dikuatkuasakan di banyak negeri.

Blok pembangkang juga dalam dilema kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil oleh Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN jika pada 25 November nanti Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.

Sama-sama kita nantikan.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Monday, November 09, 2020

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Moratorium Dan KWSP: Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Majoriti tampak tidak gembira dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana tiada perkara menarik yang boleh membuatkan rakyat tersenyum dengan pembentangan belanjawan kali ini.

Muhyiddin

Yang sinis berkata, kalau ada pun yang menarik hanyalah tentang kejayaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang berjaya membuatkan Speaker, Azhar Azizan Harun terpaksa membuat U-Turn dengan membenarkan kesemua 222 Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2021.

Jika sebelum itu beliau mengeluarkan arahan hanya 80 Ahli Parlimen saja dibenarkan berada di Dewan Rakyat, berikutan desakan Anwar yang kemudian disokong empat Ahli Parlimen UMNO, Azhar terpaksa mengubah keputusannya dengan rasa yang cukup kecewa.

Kekecewaannya jelas terpancar apabila beliau kemudian menyatakan agar di lain kali permohonan seperti itu seharusnya diberi notis awal terlebih dahulu kepadanya.

Apakah ini petanda awal Belanjawan 2021 akan berdepan masalah ketika pengundian nanti?

Dua perkara yang paling membuatkan rakyat kecewa dan tidak puas hati ialah berkaitan pengeluaran wang daripada KWSP dan perlanjutan tempoh moratorium pinjaman bank.

UMNO, khususnya melalui Najib Razak, sejak dua tiga minggu sebelumnya, giat mendesak kerajaan agar membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP.

Pengeluaran wang itu adalah untuk tujuan mereka menyelesaikan urusan kehidupan berikutan pandemik Covid19 yang membuatkan ramai hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.

Dengan RM10 ribu dapat dikeluarkan dan jika pasangan turut berbuat demikian, bermakna jumlah RM20 ribu yang ada dalam tangan mampu menyelesaikan banyak urusan kehidupan, antaranya tentang bil-bil yang tertunggak.

Jika kebenaran itu diberikan, ia dianggarkan mampu memberi manfaat dan keselesaan kepada kira-kira 4.7 juta pencarum.

Malangnya, desakan dan permintaan UMNO itu tidak dipedulikan oleh Tengku Zafrul.

Dalam pembentangannya, beliau mengumumkan hanya pencarum hilang pekerjaan dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah RM500 sebulan selama setahun.

Dalam erti kata lain, jumlah dibenar dikeluarkan adalah RM6,000 sahaja, tetapi dengan RM500 sebulan, apa yang boleh diselesaikan?

Itu pun, oleh kerana ia terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan, manfaatnya hanya untuk 600 ribu pencarum semata-mata berbanding sasaran daripada cadangan asal ialah 4.7 juta pencarum.

Bagi moratorium pinjaman bank, kedua-pihak iaitu UMNO dan PH telah membuat desakan agar ia dilanjutkan selama tiga atau enam bulan lagi bagi tujuan meringankan beban hidup rakyat akibat Covid19.

Desakan ini juga tidak diterima, sebaliknya Tengku Zafrul sekadar mengumumkan moratorium bersasar untuk golongan B40 di mana mereka yang berkenaan perlu berurusan dengan pihak bank untuk memohonnya.

Selain itu, mereka juga diberi pilihan sama ada mengambil moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan jumlah bayaran bagi tempoh enam bulan dengan membuat perisytiharan bahawa pendapatan mereka telah berkurangan.

Yang nyata di sini, desakan UMNO dan PH langsung tidak diberi perhatian oleh Muhyiddin Yassin, walaupun ia adalah untuk manfaat majoriti rakyat.

Baik UMNO atau PH, terutama berkaitan dua aspek di atas iaitu pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, adalah bahaya bagi masa depan mereka jika menyokong kelulusan Belanjawan 2021 ketika pengundian nanti.

Menyokongnya bererti tidak peduli terhadap keperluan rakyat yang majoritinya benar-benar memerlukan wang daripada KWSP dan moratorium dilanjutkan lagi.

Sebaliknya, dengan menolak belanjawan dan menunjukkan kebersamaan terhadap keperluan hidup rakyat, peluang pembangkang memenangi PRU akan datang adalah lebih cerah, terutama jika PRU15 diadakan seawal tahun depan.

Muhyiddin Lebih Teruk Dari Najib?

Hari demi hari yang berlalu, Muhyiddin Yassin kini bukannya makin disukai, tetapi nampaknya semakin dibenci dan dihamburkan kata-kata nista terhadapnya.

Jika selepas pembentangan Belanjawan 2021, beliau lebih teruk dikecam daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri, terutama berkaitan isu KWSP dan moratorium pinjaman bank, ketika muncul dalam wawancara Astro Awani, keadaannya jauh lebih parah lagi.

Dalam semua platform media sosial yang berkongsi siaran langsung tersebut, boleh dikata lebih 90 peratus yang memberi komen telah meluahkan kata-kata kecaman, kebencian dan nistaan terhadapnya.

Malah, dalam Facebook Muhyiddin sendiri yang turut berkongsi wawancara itu, ia penuh dengan komen-komen yang bernada kebencian dan gambaran meluat kepadanya.

Di laman Facebook beberapa penyokong Muhyiddin yang cuba memuji Perdana Menteri berikutan wawancara tersebut, turut dijadikan sasaran kecaman netizen dengan kata-kata makian dan serangan.

Pendek kata, apa saja berkaitan Muhyiddin sekarang ini, lebih banyak atau lebih 90 peratus akan dibalas dengan nada kebencian berbanding suka kepadanya.

Baru lapan bulan jadi Perdana Menteri, kenapa keadaan ini berlaku?

Tidak dinafikan, semua keadaan ini bermula dengan kedudukan Muhyiddin sendiri yang naik jadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan atau pintu belakang dan bukan melalui pilihanraya.

Pada mulanya, hanya penyokong PH yang banyak mengkritik dan membalunnya, tetapi lama-kelamaan ia merebak kepada rakyat biasa, mereka yang berkecuali hanyalah penyokong PN sendiri, khususnya daripada UMNO.

Selain beberapa tindakan dan pendekatannya sendiri yang menyumbang ke arah itu, ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dilihat tidak mesra kepada kehendak rakyat, terutama dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP berjumlah RM10 ribu dan lanjutan moratorium pinjaman bank di ketika PKPB terus dipanjangkan lagi tempohnya.

Satu dua perkara lagi yang dilakukannya sebelum itu seperti melindungi Azmin Ali dan dikatakan hanya mendengar nasihat beberapa menteri serta orang kanan di sekelilingnya, kata-kata tidak berpolitik di musim PKP hanya ungkapan tak serupa bikin, menekan serta membuli rakan sendiri iaitu UMNO, memberi peruntukan besar untuk unit propaganda Jasa, semua itu secara tidak lamgsung telah menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap Muhyiddin yang sejak dalam UMNO lagi memang diketahui tidak mesra alam, sejuk dan lebih banyak masam daripada senyum yang dipapar di wajahnya.

Jika Najib Razak sebelum PRU14 begitu dibenci oleh rakyat dan netizen, kebencian mereka terhadap Muhyiddin sekarang ini, jika diteliti, jauh lebih parah daripada itu.

Najib sekurang-kurangnya dibenci ke tahap itu setelah lapan tahun menjadi Perdana Menteri, namun Muhyiddin menerima keadaan yang sama hanya dalam lapan bulan saja tempohnya.

Apa mesti Muhyiddin lakukan sekarang?

Muhyiddin boleh saja mengabaikan semua luahan hati netizen itu, tetapi suatu perkara yang harus disedarinya ialah jika Najib yang lebih kuat kedudukannya pun boleh dijatuhkan oleh suara keramat rakyat, tentu tidak mustahil beliau yang berada di dahan rapuh sekarang ini untuk ditumbangkan sama.

Hanya masa dan ketikanya saja lagi belum tiba, tetapi ibarat durian yang sudah masak – lambat atau cepat, Muhyiddin tetap akan ke tanah akhirnya.

Untuk itu, jika beliau ada masa meneliti komen-komen netizen terhadapnya atau isterinya sendiri menyampaikan perkara itu kepadanya, keinsafan dan penyesalan pasti menerpa ke lubuk jiwanya sekarang.

Apa guna jadi ketua jika hanya 10 peratus saja yang ternampak suka?

Yang terbaik ialah beliau memilih jalan sejahtera seperti Pak Lah dahulu yang cepat-cepat berhenti sebelum kebencian makin melaut terhadapnya.

Apa lagi, jika menjadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan, lebih terpuji jika segera kembali ke pangkal jalan dan mengembalikan hak itu kepada yang berhak dan sepatutnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: 1 | 2

New Zealand Di Nobat 'Negara Islam' Terbaik 2019

New Zealand Di Nobat 'Negara Islam' Terbaik 2019

New Zealand dinobatkan sebagai negara yang paling sesuai dengan cita-cita Islam untuk tahun kedua berturut-turut, dalam Indeks Keislaman 2019, yang dipilih awal tahun 2020 ini, menduduki tempat pertama secara keseluruhan, diikuti oleh Sweden, Iceland, Belanda, Switzerland, Denmark dan Ireland.

New Zealand

Negara dengan majoriti Muslim yang berada di tangga teratas adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malaysia berada bawah UAE.

New Zealand menduduki tempat ketiga daripada segi ekonomi, keempat untuk undang-undang dan pemerintahan, kelima untuk hak asasi manusia dan politik serta kelapan untuk hubungan antarabangsa.

Menurut Islam, penggunaan wang untuk menghasilkan wang adalah dilarang. Ini bermaksud konsep faedah tidak dibenarkan.

Kekayaan mesti dijana daripada perdagangan yang sah dan pelaburan berdasarkan aset. Pelabur diminta untuk melabur dengan memgambil kira faedah sosial dan etika.

Walaupun berada di peringkat tinggi, sistem New Zealand tidak membantu umat Islam dalam hal keperluan kewangan peribadi mereka setiap hari.

Banyak dana KiwiSaver beretika tetapi tidak sesuai dengan standard yang diperlukan. Bahkan, syarikat di sektor alkohol dilarang.

Amanah Ethical adalah satu-satunya penyedia KiwiSaver yang membersihkan pelaburannya.

The Islamicity Indices, yang disusun oleh Islamicity Foundation, organisasi free profit berpusat di Amerika Syarikat, mengukur pematuhan pemerintah terhadap prisip Islam yang dinyatakan dalam al-Quran.

Ini termasuk mematuhi pembiayaan tanpa faedah, kesetaraan pendidikan, hak harta dan hak binatang, antara lain.

Ia tidak termasuk tugas peribadi umat Islam seperti solat, puasa dan haji.

New Zealand tidak memiliki agama rasmi dan hampir separuh daripada lima juta orang di negara ini dikenal sebagai Kristian.

Mereka bagaimanapun mendapat nilai tinggi dalam beberapa bidang yang dijejaki oleh indeks, termasuk undang-undang antirasuah dan peruntukan untuk mengurangkan kemiskinan.

Ramai tidak terkejut New Zealand mempunyai ranking tertinggi.

Cita-cita serupa

Dari segi nilai-nilai dasar Islam - integriti dan permuafakatan- New Zealand melakukannya dengan sangat baik.

Sudah tentu umat Islam ingin melakukan beberapa perkara dengan cara mereka sendiri tetapi itu tidak menjadikan mereka sebahagian daripada New Zealand.

Rasa impian dan cita-cita mereka serupa dengan kebanyakan orang di New Zealand.

Bercakap benar kepada pemerintah adalah aspek asas Islam dan tidak semua negara yang beragama Islam membenarkannya.

Sebilangan pemerintah Islam tidak menerjemahkan nilai-nilai Islam ke rencah politik dan sosial sebagaimana semestinya.

Oleh itu di New Zealand, umat Islam selalu merasa seperti dapat menjalani kehidupan yang ingin mereka jalani. Kebanyakan masyarakat Islam akan mengatakannya begitu.

Tentu saja perhubungan sedia ada diganggu oleh serangan Christchurch. Dan tentu saja ada juga rakyat New Zealand mempunyai sikap perkauman, Islamofobia dan ketaksuban.

Jadi tidak boleh dikatakan bahawa itu sempurna. Tetapi pada skala relatif ia berjalan dengan baik.

Terdapat beberapa bidang yang tidak sesuai dengan Islam, terutama mengenai masalah kewangan yang melibatkan riba.

Dari segi alkohol, perjudian, perlumbaan dan bir, umat Islam tidak akan sesuai dengan budaya itu. Umat Islam tidak akan pergi ke pub.

Tentang Hossein Askari

Hossein Askari, ahli ekonomi yang mengasaskan Islamicity Foundation, dilahirkan di Iran tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Amerika Syarikat (AS).

Dia mempunyai PhD dalam bidang ekonomi dari MIT, mengajar di universiti di AS, dan pernah berkhidmat di lembaga eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Indeks itu adalah cara membawa perubahan di dunia Muslim.

"Tidak lama setelah wafatnya nabi, Islam dirampas oleh para ulama dan pemerintah yang bertindak demi kepentingan mereka sendiri," katanya.

"Islam banyak memberi sumbangan pada masa awal, tetapi jika anda melihat hari ini, anda harus mempersoalkan sesuatu mengenai tafsirannya."

Tidak seperti beberapa agama utama, seperti Katholik, yang mempunyai pemimpin global tunggal untuk mengeluarkan arahan, Islam bergantung pada penafsiran al-Quran oleh ulama - sekumpulan ulama.

Hal ini memungkinkan wujud pelbagai tafsiran, baik progresif dan konservatif.

Indeks Keislaman mengukur empat bidang utama - ekonomi, undang-undang dan pemerintahan, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa.

“Saya melihat ajaran al-Quran mengatakan tidak boleh ada kemiskinan. Jadi kita melihat semua indeks kemiskinan, ” kata Askari.

"Negara-negara Muslim sangat hebat. Mereka terus berkembang dari tahun ke tahun. Pada masa ini, Malaysia melakukan yang terbaik secara keseluruhan, tetapi masalah masih ada rasuah dan (isu) hak asasi manusia.

“Apa yang terjadi adalah sejak awal adalah penguasa dan ulama yang korup bergabung, mereka merampas agama ini, dan mereka menggunakannya untuk memperkayakan dan untuk kekuatan mereka sendiri.

"Apabila anda melihat negara-negara Muslim, dan saya mengatakan ini secara terbuka, mereka mundur. Tidak ada kebebasan, ada ketaksamaan yang sangat besar - lihatlah Arab Saudi, ketidaksamaan di sana sangat luar biasa."

Askari bergabung dengan pakar-pakar al-Quran untuk menggali ajaran Islam yang paling penting, dan kemudian meletakkan aspek-aspek tersebut untuk membuat Indeks Keislaman.

"Saya rasa indeks saya menunjukkan negara mana yang akan kelihatan seperti negara Muslim yang melakukan perkara-perkara yang menurut Islam harus di lakukan," katanya.

"Perkara utama yang paling mereka lakukan adalah politik dan hak asasi manusia. Islam sangat jelas, tuhan memberi kebebasan kepada umat manusia.

"Sekiranya Tuhan memberi kita kebebasan itu, apa hak diktator politik untuk mengambilnya?"

'Jalan' Islam

Asas Islam adalah syariah, yang secara harfiah bermaksud “jalan”, kata Askari.

"Islam berusaha memberi anda jalan. Jika anda memilih untuk mengambilnya, menjadi orang yang lebih baik dan mewujudkan masyarakat yang lebih baik."

Pada usia 75 tahun, dia bermimpi datang ke New Zealand, tempat yang belum pernah dikunjungi.

Dia menyebutnya sebagai negara yang lembut, "kecuali di lapangan ragbi".

Ada sedikit prasangka. Liberalisme, seperti Barat memahaminya, tidak dipegang oleh banyak negara dengan majoriti Muslim. Liberalisme belum pernah menang di Timur Tengah atau di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Negara seperti Tunisia, yang sebelum ini merosot kini berada di kedudukan lebih baik.

Tunisia, serta Lebanon dan kadang-kadang Iraq, adalah negara yang memiliki tingkat pluralisme, persaingan dan ekspresi idea politik yang signifikan tanpa rasa takut akan penganiayaan.

Arab Saudi, yang dipandang Barat sebagai sekutu dan pemimpin dunia Islam, negara ini merosot tiga tempat dalam indeks dua tahun lalu, mendarat di nombor 85.

Askari mengatakan Arab Saudi menunjukkan prestasi sangat rendah dalam isu hak asasi manusia dan politik. Kekuanta ekonominya pula mencatat mata 3.63.

"Arab Saudi hampir menjadi negara Islam sepenuhnya. Ini adalah pendekatan paling dekat dengan yang ada di Timur Tengah dan Afrika Utara, bersama dengan Mesir dan Syria, dengan pemantauan menyeluruh setiap pemikiran," kata Hamid.

Tidak semua kedudukan negara Islam jatuh. Indonesia, negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, naik 10 tempat pada 2018, ke nombor 64.

Senegal yang kaya dengan minyak, yang kini berada di nombor 83, adalah negara yang perlu diperhatikan.

Malaysia turun empat tempat ke tangga ke-47, menduduki tempat ketiga di antara negara-negara Islam.

Askari, yang menyebut indeks itu sumbangannya kepada dunia Islam, percaya ia harus dilihat sebagai satu penanda aras, bukannya dakwaan.

Ini menjadi ukuran bagaimana kita harus melakukan pembaharuan sewajarnya.

Ini menjadi wahana untuk melakukan reformasi secara damai dan membawa perubahan yang bermakna.

Sehingga itu, New Zealand, tetap menduduki tempat tertinggi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1