Monday, February 11, 2019

Jenis-jenis Suplemen Kalsium Anda Wajib Tahu


Kalsium merupakan elemen penting yang diperlukan oleh tubuh manusia. Kalsium diperlukan untuk beberapa proses fisiologi tubuh dan penting untuk pembentukan tulang dan gigi terutama di kalangan kanak-kanak. Penyerapan kalsium dalam tubuh manusia dibantu oleh vitamin D3.

Suplemen Kalsium

Pengambilan kalsium tanpa vitamin D3 akan menjejaskan proses penyerapan kalsium oleh itu, kebanyakan suplemen kalsium turut ditambah dengan vitamin D3 untuk membantu penyerapan kalsium dalam tubuh.

Keperluan kalsium adalah berbeza mengikut peringkat umur seseorang individu. Jumlah kalsium yang diperlukan mengikut peringkat umur diringkaskan seperti dalam jadual 1 di bawah.

KEPERLUAN KALSIUM

Bayi 0 – 6 bulan;
  • 200 mg/hari
  • 7 – 12 bulan 260 mg/hari

Kanak-kanak & remaja;
  • 1 – 3 year tahun 700 mg/hari
  • 4 – 8 tahun 1000 mg/hari
  • 9 – 18 tahun 1300 mg/hari

Dewasa 19-50 tahun 1000 mg/hari;
  • 51-70 tahun 1000 mg/hari
  • 19-50 tahun 1000 mg/hari (lelaki)
  • 1200 mg/hari (perempuan)

Above 71 tahun;
  • 1200 mg/hari

Masalah kekurangan kalsium

Kalsium juga boleh diperolehi secara semulajadi daripada diet seharian dan contoh-contoh makanan yang mengandungi kalsium ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Makanan tinggi Kalsium
Contoh-contoh makanan yang mengandungi sumber kalsium.

Susu, keju dan beberapa jenis sayur-sayuran adalah contoh makanan yang kaya dengan kalsium.

Sekiranya kalsium yang diperolehi daripada diet tidak mencukupi, pengambilan suplemen kalsium boleh membantu mengatasi masalah kekurangan kalsium.

Mereka yang mengalami masalah kekurangan kalsium (hipokalsemia) akan menunjukkan simptom-simptom seperti rasa kebas dan berdenyut-denyut di bahagian jari, kejang otot, sawan, keletihan, kurang selera makan serta rentak jantung yang tidak normal.

Dalam jangka masa panjang, kekurangan pengambilan kalsium akan menyebabkan penurunan ketumpatan jisim tulang (osteopenia) dan akhirnya membawa kepada masalah tulang rapuh (osteoporosis).

Antara golongan yang berisiko mengalami masalah kekurangan kalsium ialah:

Wanita yang sudah putus haid

Wanita yang sudah putus haid mengalami risiko kekurangan kalsium kerana kekurangan hormon estrogen yang berperanan dalam penyerapan kalsium.

Wanita yang ketiadaan haid

Wanita yang ketiadaan haid pada usia muda (child bearing age) akan turut mengalami masalah kekurangan kalsium. Ini adalah kerana, hormon yang tidak stabil menyebabkan proses penyerapan kalsium turut terganggu.

Golongan yang alah kepada laktosa di dalam susu

Golongan yang tidak boleh minum susu kerana masalah tidak toleran kepada laktosa juga mengalami risiko kekurangan kalsium.

Ini adalah kerana, mereka tidak dapat memperolehi kalsium secara semulajadi daripada susu yang merupakan sumber kalsium.

JENIS SUPLEMEN KALSIUM

Terdapat beberapa jenis sebatian kalsium yang digunakan dalam suplemen kalsium. Setiap sebatian mengandungi kandungan mineral kalsium yang berlainan dan dirujuk sebagai elemen kalsium.

Terdapat beberapa suplemen kalsium iaitu:
  • Kalsium karbonat (40% elemen kalsium)
  • Kalsium sitrat (21% elemen kalsium)
  • Kalsium laktat (13% elemen kalsium)
  • Kalsium glukonat (9% elemen kalsium)

Pengetahuan mengenai kandungan elemen kalsium adalah penting semasa memilih suplemen berasaskan kalsium. Ini adalah kerana jumlah kalsium yang sebenarnya terkandung dalam suplemen itu berbeza mengikut elemen yang terkandung dalam suplemen berkenaan.

Jumlah elemen inilah yang diserap oleh badan dan bukan jumlah seperti tertera atas label suplemen.

Sebagai contoh, label suplemen menyatakan satu biji tablet mengandungi 1,250mg kalsium karbonat. Oleh kerana kalsium karbonat hanya mengandungi 40% elemen kalsium, maka kalsium yang sebenarnya dapat diserap oleh badan hanyalah 500mg.

Oleh itu, adalah penting untuk merujuk kepada cadangan pengambilan tablet seharian yang dinyatakan di atas label bagi menentukan jumlah kalsium yang sebenarnya diambil.

Suplemen kalsium yang biasa diperolehi dalam formulasi ialah kalsium karbonat dan kalsium sitrat. Kalsium karbonat perlu diambil dengan makanan kerana penyerapan kalsium karbonat dibantu oleh asid dalam perut.

Suplemen kalsium juga boleh diperolehi dalam formulasi kalsium glukonat, kalsium laktat dan kalsium fosfat.

Kesan sampingan dan dos kalsium berlebihan

Kesan sampingan pengambilan suplemen kalsium termasuklah sembelit, perut kembung dan batu karang dalam buah pinggang. Pengambilan kalsium yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai kesan yang tidak diingini.

Kalsium yang berlebihan dalam darah boleh menyebabkan rasa muntah, mulut kering, sakit perut, denyutan jantung tidak sekata, kekeliruan dan kematian.

Hal ini lebih ketara dalam sesetengah golongan yang berisiko tinggi seperti mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, jantung dan tumor tulang.

Jadi, berbincanglah dengan doktor/ahli farmasi anda sebelum anda mula mengambil sebarang suplemen termasuk kalsium terutamanya jika anda mempunyai masalah seperti dinyatakan di atas.

Pengambilan dan pemilihan suplemen kalsium

Terdapat pelbagai bentuk dosej suplemen kalsium, contohnya tablet, kapsul, tablet kunyah, cecair dan serbuk. Kalsium dalam bentuk dosej cecair, serbuk dan tablet kunyah lebih mudah untuk diserap oleh tubuh.

Tubuh badan kita juga dapat menyerap kalsium dengan lebih baik jika ia diambil dalam dos yang kecil seperti 500mg atau kurang untuk setiap pengambilan.

Pengambilan suplemen kalsium dalam dos yang kecil untuk setiap interval juga boleh mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit dan perut kembung.

Pilihlah suplemen kalsium yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Suplemen yang berdaftar adalah dijamin keselamatan dan kualitinya, manakala suplemen yang tidak berdaftar dikhuatiri dicemari dengan logam berat seperti plumbum dan merkuri.

Suplemen kalsium yang berdaftar haruslah mempunyai nombor pendaftaran yang bermula dengan “MAL” diikuti dengan 8 angka dan huruf “N” di belakang 8 angka itu.

Contohnya: MAL99999999N. Selain itu, ia juga harus dilekat dengan hologram yang tertera “PBKD” di atasnya.

Interaksi kalsium dan ubat-ubatan

Kalsium boleh berinteraksi apabila diambil bersama dengan ubat-ubatan lain. Penyerapan ubat seperti antibiotik (fluoroquinolone dan tetracyclines), hormone tiroid (levothyroxine) dan ubat sawan (phenytoin) boleh berkurangan apabila diambil bersama-sama dengan kalsium.

Penyerapan kalsium juga boleh terganggu apabila diambil bersama-sama dengan steroid (prednisone).

Hydrochlorothiazide, sejenis ubat darah tinggi pula boleh berinteraksi dengan kalsium dan menyebabkan peningkatan paras kalsium dalam badan dan air kencing (urine).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon