Friday, December 18, 2020

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer oleh kerajaan Malaysia, adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu.

Vaksin Pfizer

Laporan interim ujian itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Vaksin Covid-19: Agama tuntut cegah penularan wabak

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama," katanya.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Vaksin Covid-19 juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan.

"Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

"Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya, pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

"Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya.

Alahan Teruk

Sementara itu, individu dengan alahan teruk mungkin dilarang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Amaran tersebut disampaikan oleh saintis pemerintah yang juga penasihat utama program vaksin dan rawatan Covid di Amerika, Dr Moncef Slaoui.

Dr Slaoui berkata, "Pesakit dengan alahan teruk telah dikecualikan daripada menjalani uji kaji klinikal. Saya jangkakan, disebabkan FDA akan membuat keputusan, perkara ini akan dipertimbangkan.

"Jangkaannya ialah, pesakit dengan alahan teruk akan diminta supaya tidak mendapatkan suntikan itu sehingga kami betul-betul memahami kedudukan perkara sebenar."

Menurut laporan Reuters, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) mencatat dan menyiasat dua kes alahan teruk (anafilaksis) dan satu kes yang mungkin menunjukkan alahan ekoran program suntikan Covid-19 di Britain dan beberapa kes di seluruh dunia.

Anafilaksis berlaku ekoran tindak balas daya ketahanan tubuh manusia yang boleh menjadi teruk dan ada kalanya membawa maut. Pihak Pfizer dan BioNTech menyokong siasatan MHRA.

Sehubungan itu, FDA mungkin akan meminta pembekal supaya memerhatikan sama ada penerima vaksin akan menghadapi sakit lumpuh pada wajah yang dinamakan palsi Bell atau tidak.

Palsi Bell secara am jarang berlaku, bersifat sementara dan tidak serius.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

Dan Samion pun mengungkapkan, dari mulut beberapa orang-orang penduduk kampung berdekatan, dia memperolehi sumber yang mengatakan rumah batu lama itu, asalnya milik orang China yang pada zaman penjajah (Belanda) dianggap oleh beberapa pihak sebagai tokoh perniagaan terkaya di Asia Tenggara pada masa itu.

Toyol jadi-jadian


Memiliki ladang getah, cengkih, pala, di samping menjalankan perniagaan gula secara besar-besaran.

Sering berulang-alik ke Singapura, Pulau Pinang dan Hong Kong demi urusan pemiagaannya.

Saudagar China itu mula berdepan dengan zaman gelapnya, bila dua orang anak lelakinya yang diharapkan membesarkan perniagaan ditangkap Belanda.

"Kedua-dua anak saudagar itu dituduh membantu perjuangan penduduk tempatan menentang Belanda. Kedua-duanya ditembak mati.

"Tak cukup dengan itu, isterinya pula diserang demam malaria dan terus mati," kata Samion dengan wajah yang sedih.

Kerana saudagar China itu berkawan baik dengan keluarga Mia, segala harta tanah, rumah dijualkan kepada keluarga Mia.

Dan si Cina kaya yang malang itu berhijrah ke Pulau Pinang dan meninggal dunia di pulau tersebut.

Cara Samion menyampaikan cerita, sungguh menarik membuat kami tidak bosan mendengarnya.

"Panjang juga sejarahnya rumah itu," kata saya, Samion tersenyum.

"Ada tak cerita lain yang pelik-pelik," susul Andi Kamarool.

"Kamu berdua cari sendirilah, khabarnya kamu nak bermalam di rumah ni."

"Betul pak cik tapi, sebelum tu kami nak tahu hal-hal yang ganjil," tingkah saya.

Samion telan air liur. Termenung panjang, macam ada sesuatu yang difikirkan.

"Kamu berdua pergi tanya mandur. Dia pernah bermalam di anjung rumah itu. Dia nak jumpa pengawal rumah, nak minta harta. Dia nak jadi kaya. Pergi tanya dia apa yang terjadi," Samion mengakhiri kata-kata dengan ketawa terkikih.

Tindak-tanduknya membuat kami tidak sabar untuk mengetahui cerita selanjutnya.

"Ceritakanlah pak cik," desak saya.

"Tanya mandur," jawabnya.

Samion segera bangun dan meninggalkan kami

MENGEJUT

Keputusan mengejut dari Samion membuat saya dan Andi Kamarool termangu-mangu.

Wajarkah Samion diburu dan memaksa dia bercerita tentang apa saja peristiwa ganjil yang dialaminya semasa mejadi 'jaga' rumah batu itu?

Perlukah mencari mandur serta memaksa dia meluahkan pengalamannya untuk renungan kami? Atau melupakan saja tentang Samion dan mandur. Semuanya berlegar-legar dalam benak saya.

"Kita memerlukan keterangan dari orang lain untuk panduan, kita tak boleh melulu buat kerja ni. Kalau ada datuk kamu dan Haji Basilam lainlah, ada tempat mengadu dan minta tolong," Andi Kamarool meluahkan keraguannya. Wajahnya nampak gusar.

Saya merenung rerumput di halaman yang luas saujana mata memandang. Embun di hujung rumput sudah hilang, kicau burung juga beransur kurang.

"Kalau begitu Andi, kita cari mandur,"

Andi Kamarool tidak membantah dengan cadangan yang saya kemukakan.

Di tengah-tengah sinar matahari yang beransur keras menyengat itu, kami pun mengesan dan temui mandur sedang bersandar di pangkal pokok angsana merehatkan tubuh dan fikiran sambil menghisap paip bengkok.

"Ada apa yang boleh saya tolong," tegur mandur ramah sekali.

Tanpa banyak cakap kami terus duduk atas batang buruk berdepan dengannya. Kami tatap wajahnya yang masih ada kesan peluh.

"Dengar cerita kamu nak tidur di anjung rumah Mia."

"Mana mandur tahu?" tanya saya.

"Si Harisun pembantu rumah Mia yang cakap pada aku secara sulit. Kalau Mia tahu perkara ni lepas keluar, si Harisun tentu dihalaunya dari rumah. Diberhentikan kerja."

Andi Kamarool tidak memberi apa-apa komen tetapi, saya kesal dengan Mia dan rasa marah terus meluap terhadapnya. Kenapa perkara itu mesti diceritakan kepada Kak Sun.

Dan mulut luas Kak Sun sudah mengkhabarkan perkara itu kepada mandur. Memang orang perempuan jahat mulut. Tidak pandai simpan rahsia. Suka sampai menyampai, keluh hati kecil saya.

Sesungguhnya apa yang saya kira rahsia, sebenarnya sudah tidak menjadi rahsia lagi. Entah berapa ramai manusia di sekeliling Mia yang mengetahui tujuan dan cita-cita kami menginap di sini.

"Bagus kamu berdua cubalah dan rasalah sendiri."

Saya tersintak dari lamunan. Batang hidung mandur saya renung. Sepintas lalu, kata-kata yang diluahkan oleh mandur itu mengandungi unsur-unsur menyindir.

Boleh melemahkan semangat, kalau di terima secara negatif, kalau diterima secara positif, kata-kata itu adalah cabaran yang mesti dihasut.

"Mandur pernah tidur di anjung rumah tu?" tanya Andi Kamarool.

Mandur gelengkan kepala.

"Samion kata, mandur pernah pergi ke situ waktu malam?" saya menyoal.

Mandur anggukkan kepala.

"Apa yang mandur dapat?" susul Andi Kamarool.

Mandur terdiam sejenak, dua tiga kali kelopak matanya dipejam celikkan. Sepasang kakinya dilunjurkan.

"Aku mencuba, bila anak buah aku bercakap secara sulit yang mereka selalu melihat perkara aneh di halaman rumah tu. Terutama anak buah aku yang datang awal pagi," mandur terus menghidupkan api paipnya yang mati.

Setelah dua kali menyedut dan meluahkan asap paip, mandur tidak menyambung ceritanya. Dia merenung kosong ke tengah padang (halaman).

"Apa yang anak buah mandur nampak waktu subuh tu?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terbantut.

Mandur cabut paip dari mulut, kepala paip diketuk dua tiga kali pada akar angsana hingga sisi tembakau di dalamnya berhamburan keluar.

"Si Manan, tukang kebun. Dia tu orang Tanjung Balai. Sebelum subuh dia sudah sampai ke sini. Kadang-kadang dia sembahyang subuh di kaki lima rumah, kadang-kadang di bawah pokok cempaka besar.

"Suatu hari selepas sembahyang subuh, dia terpandang seorang wanita jelita, berkulit putih bersih.

"Mungkin wanita Cina mengutip bunga-bunga tanjung yang gugur. Bila Manan mahu menegur perempuan itu terus ghaib."

Saya urut dada, senang rasa hati kerana mandur masih mahu bercerita.

"Pengalaman mandur macam mana pula?" saya terus mencungkil rahsia.

Mandur tersenyum, jejarinya terus menyumbat tembakau ke dalam lubang paip. Dua kali sedut, dua kali meluahkan asap ternyata mandur dapat menikmati kepuasan yang tidak terkata. Gerak gerinya kami ikuti penuh teliti.

"Niat aku bukan apa-apa, aku cuma nak jumpa makhluk ghaib kerana nak minta harta. Aku nak jadi kaya," ungkap mandur. Dia masih juga tersenyum panjang.

"Mandur dapat apa yang dihajati?" serius sungguh Andi Kamarool mengajukan pertanyaan. Senyum mandor masih belum putus.

"Kenapa mandur?" rasa ingin tahu saya tidak dapat kawal.

"Aku lari lintang pukang, rasa nak keluar semua isi perut, kayu batu semuanya aku langgar. Akibat takut."

Cerita yang diungkapkan si mandur membuat saya dan Andi Kamarool ketawa terbahak-bahak hingga berair mata.

Dan panas terik yang menggigit tubuh tidak terasa. Memang lucu kisahnya. Mandur juga turut ketawa.

MESRA

Kerana sudah terasa agak mesra, si mandur Batak berkulit hitam, berbadan besar yang didakwa oleh Samion sebagai lelaki yang handal dalam ilmu dunia itu pun bercerita.

Menuruttnya, ada dua sebab yang mendorong dia mengunjungi rumah batu lama itu waktu tengah malam.

Pertama, dia mahu memastikan sama ada cerita orang di bawahnya itu betul atau tidak. Kedua, kalau cerita itu betul, dia mahu menemui makhluk yang merayau-rayau di kawasan itu untuk meminta sesuatu.

Dua perkara itulah yang menyebabkan mandur keluar dari rumahnya (yang terletak kira-kira setengah batu dari rumah Mia) jam dua belas malam.

Masuk ke kawasan rumah tersebut, mandur tidak menghadapi sebarang rintangan atau masalah. Dia terus mundar-mandir di kawasan halaman rumah.

Malam yang dingin memaksa mandur membalut tubuhnya dengan kain tebal. Tidak memadai dengan itu, dia terus memeluk tuhuhnya.

Kerana tidak mahu kedatangannya dikesan oleh sesiapa (terutama Mia) mandur tidak menghisap paip.

Ketika embun jantan mula turun, mandur tidak lagi bergerak sebebas tadi. Dia lebih banyak duduk di bawah pohon cempaka, suasana terasa amat sepi sekali.

Bau harum dari bunga sedap malam terus menusuk lubang hidung. Bagi menghindari rasa mengantuk, mandur minum kopi pahit yang sememang dibawa dari rumahnya.

Mandur beredar dari bawah pokok bunga tanjung. Dia mendekati rumpun pokok bunga sedap malam.

Sudah satu jam masa berlalu, mandur tidak berhadapan dengan perkara- perkara yang aneh seperti yang dialami oleh Samion, si Manan dan beberapa orang lagi anak buahnya.

Mandur mula mengesyaki apa yang didakwa itu memang tidak wujud. Dirinya dipermainkan oleh anak buahnya sendiri.

Secara mendadak saja mandur panas hati. Dia memaki hamun orang yang menyampaikan cerita ganjil kepadanya.

Dia bercadang mahu menempelak tukang cerita pada keesokkan hari. Puncak dari rasa marah itu, mandur terus mematahkan ranting bunga sedap malam yang sedang menyebarkan bau harum sekitar rumah.

Ketika mandur mencampakkan ranting yang dipatahkan itu ke dalam longkang besar di kanannya, dia terasa macam ada sesuatu yang bergerak ke arahnya dari sebelah kanan rumah batu lama. Semua pancaindera mandur tertumpu ke situ.

Cara kebetulan, bulan yang muncul dilarut malam, masih mampu menebarkan cahaya ke sekitar kawasan rumah batu malam.

Mandur renung ke arah perdu pokok bunga tanjung. Dia melihat susuk tubuh orang hitam, tinggi dan besar. Berdiri membelakanginya.

Kerana yakin, apa yang dilihat itu adalah penjaga rumah lama, mandur segera mendekatinya.

Sebaik saja didekati untuk dikenali, orang hitam itu terus ghaib dari pandangannya. Mandur yang keras hati dan bersemangat waja itu yakin orang hitam itu akan menjelma lagi.

Kerana itu dia mengambil keputusan untuk menantinya. Kali ini dia menunggu di bawah pokok bunga cempaka besar.

Bunga cempaka yang mala, berjatuhan menimpa tubuh mandur. Semuanya itu, tidak menggugat keyakinan mandur. Dia terus menanti.

Menjelang subuh, di saat kabus nipis bangkit dari permukaan bumi, mandur terlihat tubuh tanpa kepala dan kaki, bergerak bersama kabus nipis menuju ke arahnya.

Mandur masih menanti tetapi, bila dia melihat tubuh tanpa kepala dan kaki itu sekejap ada, sekejap tiada, mandur hilang pertimbangan. Keberanian dan semangat waja yang dimilikinya terus berkecai.

Mandur tidak sanggup menghadapinya, rancangan untuk memiliki harta punah ranah dari hatinya.

Mandur terus langkah seribu membelah suasana subuh yang dingin menuju ke rumahnya.

"Seminggu aku tak kerja, terbaring di rumah siang malam. Dah tu aku tak dapat tidur langsung.

"Pejam mata saja orang hitam tu datang, aku terpaksa balik ke tanah Batak, ubat cara kampung baru aku boleh tidur," mandur mengakhiri cerita tentang pengalaman yang dilaluinya.

"Dahsyatnya," runggut saya.

"Tak tahulah aku nak kata apa-apa. Tetapi, itulah yang aku rasakan," tambah mandur.

Anak matanya silih berganti menatap muka saya dan Andi Kamarool. Dia bagaikan mahu membaca rahsia hati dari wajah kami.

Dia mahu memastikan apakah kami memang benar-benar mahu melakukannya atau sekadar cakap-cakap saja.

WAKTU

Sebagai orang Islam dan taat menjalankan sembahyang lima waktu, tentu saja saya tidak dapat menerima cerita yang diungkapkan oleh si mandur begitu saja.

Sebagai orang muda, saya mahu mencari buktinya. Bukan apa-apa sekadar mahu mencari kebenaran. Saya kira Andi Kamarool juga sependapat dengan saya.

"Terima kasih mandur," Andi Kamarool bersuara.

Telapak tangan mandur Batak yang beragama Kristian itu digenggamnya erat-erat.

"Cerita mandur boleh dijadikan panduan," kata saya.

"Aku juga fikir begitu, cuma kamu berdua mesti ingat...."

"Ingat apa mandur?" soal saya.

"Jangan cakap besar, jangan cepat marah dan jangan patah pokok bunga sesuka hati semasa kamu mencari benda ganjil."

"Kami tetap ingat pesan mandur tu," muka mandur saya renung.

"Aku harap kamu berdua berjaya."

"Terima kasih mandur," balas kami.

Beberapa saat kemudian, kami pun meninggalkan mandur Batak yang sedang bersenang-senang di bawah pokok.

Dia terus menyedut hujung paip bengkoknya. Bau asap dari paip mandur menguasai kawasan sekitar.

Kerana baru pukul sebelas pagi, rasanya tidak wajar pulang ke rumah papan. Saya tidak tahu apa rencana Andi Kamarool selanjutnya. Saya hanya mengikut saja langkahnya menuju ke rumah batu lama.

"Terlalu awal kita nak makan tengah hari, orang makan tengah hari pukul satu," teguran saya membuat Andi Kamarool berhenti melangkah.

"Aku juga fikir macam tu, habis apa yang kita buat Tamar."

"Begini Andi, kita cari Kak Sun."

"Untuk apa?"

"Dia mesti tahu banyak perkara yang orang lain tak tahu, kita risik rahsia darinya."

Andi Kamarool termenung sebentar. Dia kedutkan bibir sambil merenung ke langit. Melihat awan gemawan yang berarak ke selatan.

"Di mana kita nak cari dia Tamar?"

"Kita cari Samion dulu, tanya dia waktu begini, Kak Sun berada di mana."

"Aku setuju."

Kami pun segera menemui Samion dalam ladang getah. Kedatangan kami membuat buruh ladang itu termenung panjang dengan dahi yang berkerut.

Setelah diceritakan tujuan sebenar kami menemuinya, Samion menarik nafas lega.

Orang tua yang tidak banyak karenah itu menyuruh saya pergi ke bukit kecil, tidak jauh dari kawasan rumah batu lama.

Kata Samion waktu begini, biasanya Kak Sun berada di situ melihat atau menaruh baja ke bunga orkid yang ditempatkan di bangsal khas di situ.

Kami terus ke situ. Ternyata si buruh tua tidak berbohong. Kak Sun kami temui sewaktu dia memotong bunga orkid.

"Buat apa bunga tu kak," tanya saya.

Wajah Kak Sun berubah. Dia renung kami atas bawah, rangkaian bunga di tangan segera dimasukkan ke dalam raga rotan.

"Buat hiasan meja makan, bukankah tengah hari ni kamu berdua makan di rumah Mia."

"lya," balas saya.

"Apa ha!nya kamu ke mari?"

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Angin yang turun dari puncak bukit memberikan kesegaran. Beburung hutan terus berkicau.

Walaupun hari panas terik, tetapi bahangnya tidak terasa kerana di tempat kami berdiri dikelilingi pepokok besar yang merimbun. Memberikan suasana redup dan tenaga.

"Kami ni nak minta kakak tolong kami," dengan wajah yang bersahaja saya bayangkan hasrat hati.

"Tolong apa?" sambut Kak Sun dengan wajah cemas.

"Kak Sun dah lama bekerja di sini, tentu banyak perkara yang kak tahu. Terutama tentang kejadian pelik di kawasan rumah ni."

"Tak ada perkara pelik di sini," Kak Sun cuba berdalih.

Dia segera bergerak ke kiri, memaut ranting orkid yang berbunga lebat. Ranting itu dipatah dengan hati-hati, agar bunga tidak relai.

Macam tadi juga, ranting orkid yang berbunga lebat ditaruh dalam bakul.

BAYU

Dalam hembusan keramahan bayu pinggir bukit, saya dan Andi Kamarool terus rnengekorinya.

Sudah tentu perbuatan sedemikian minimbulkan rasa kurang senang pada Kak Sun. Tugasnya jadi terganggu tetapi, dia tiada daya untuk menghindarinya.

Buat beberapa ketika, tidak ada kata-kata yang terlontar dari mulut kami. Ke mana saja Kak Sun bergerak, kami terus mengikutinya.

"Kak Sun marah dengan kami?" Andi Kamarool cuba memancing.

"Tak marah, kenapa mesti marah."

"Kak Sun diam semacam aje," tingkah saya.

"Tak ada perkara yang nak dicakapkan, lagi pun yang nak bertanya, kamu berdua, bukannya kakak," dari kata dan nada suara ternyata Kak Sun sudah pun memberi laluan.

Saya dan Andi Kamarool segera berpandangan. Andi Kamarool genyitkan mata, beri isyarat supaya saya kemukakan pertanyaan.

"Begini Kak Sun, bukan apa-apa, sekadar nak tahu untuk pengetahuan kami. Lagi pun Mia sendiri suruh tanya Kak Sun. Katanya, Kak Sun banyak tahu hal-hal di sini," saya buka bicara dengan harapan apa yang saya dan Andi Kamarool inginkan akan terlaksana.

"Betul ke Mia kata macam tu?"

"Betul kak."

Terpamer perubahan di wajah Kak Sun.

"Betulkah Mia, kata macam tu?" ulang Kak Sun dengan sepasang mata yang bersinar.

"Betul kak, kami tak bohong," sahut saya dan Andi Kamarool serentak.

Dan saya lihat sengih Kak Sun makin melebar di bibir. Hati kami senang sekali dengan perubahan diri Kak Sun.

Mungkin kerana penat berdiri atau mahu bercerita lebih panjang dan selesa, Kak Sun mengajak kami ke bahagian belakang bangsal.

Di situ tersedia empat bangku batang getah yang tingginya kira-kira satu kaki lebih menghadap meja panjang yang dibuat dari buluh untuk kegunaan para pekerja meletakkan makanan (bekal). Kak Sun terus duduk disalah satu bangku tersebut.

"Duduklah, kenapa berdiri," kata Kak Sun.

Kami pun terus duduk. Pepohon besar yang menaungi kami memberikan rasa nyaman dan selesa. Kicau burung yang tidak menentu iramanya memberi sedikit hiburan.

Saya dan Andi Kamarool tidak menduga semudah itu Kak Sun mahu menceritakan pengalaman-pengalaman aneh yang dikutip selama dia berkhidmat dengan keluarga Mia.

Memang ternyata sekali, janda separuh umur yang manis, mudah senyum itu menempuh pengalaman yang cukup berbeza dengan Samion dan mandur batak.

"Arwah suami kakak dulu memang bekerja dengan ayah Mia. Jadi kerani menguruskan hal-hal jual beli kelapa, cengkih dengan orang luar yang selalu berulang ke Sungai Penuh - Medan - Belawan - Teluk Bayur.

"Arwah mentua lelaki kakak ada hubungan keluarga dengan ayah Mia. Mereka sama-sama Mendailing."

Senang sekali rasa hati, bila Kak Sun mahu mengungkapkan perkara tersebut.

Kak Sun yang berhenti bercakap termenung sejenak, hujung jarinya kelingkingnya menyentuh hujung bunga orkid yang terkeluar dari bakul atas meja buluh.

"Masa tu Kak Sun dah bekerja di sini?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terhenti.

"Tak bekerja, kak duduk di rumah. Bila suami kak mati baru kak minta kerja di sini."

Saya dan Andi Kamarool anggukkan kepala, kicau burung mula berkurangan dan tiupan bayu juga beransur lemah.

Tetapi, sinar matahari terus memancar keras, panasnya tidak terasa menyentuh tubuh kami yang bernaung di bawah rimbunan pokok besar.

"Masa kak kerja di sini, kak sempat jumpa dengan ayah Mia. Orangnya baik, jarang bercakap, kecuali hal-hal yang mustahak," sambung Kak Sun.

"Sempat jumpa ayah Mia?" celah Andi Kamarool.

Kak Sun angguk kepala, sinar matanya membayangkan kebanggaan. Saya menggigit bibir dengan harapan kisah yang dituturkan Kak Sun tidak akan mati di situ saja.

"Sebenarnya, kakak banyak bekerja dengan abang Mia. Ayah Mia jarang ada di rumah, terutama selepas bininya mati. Dia banyak keluar merantau ke Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan ke Filipina," tambah Kak Sun dengan sinar mata yang agak redup.

"Abang Mia yang baik hati dan bertimbang rasa itu memberitahu kak, bilik mana yang boleh dimasuki dan bilik mana yang jadi bilik larangan.

"Dulu kalau ada tetamu yang tidur di bahagian anjung rumah akan mengalami hal ganjil. Bila terjaga pagi, mereka mendapati diri mereka berada di tengah padang (halaman rumah).

"Anak saudara kakak cuba tidur di situ, dia dicampakkan ke dalam parit besar."

KECUT

Cerita yang dituturkan oleh Kak Sun membuat saya rasa cemas dan kecut perut. Saya Iihat kedua-dua belah kening Andi Kamarool nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia juga merasa takut dan cemas.

Hati saya mula berbelah bagi sama ada mahu meneruskan rancangan yang disusun atau membatalkannya saja. Andi Kamarool tentang biji mata Kak Sun.

"Ganjil," terpancut kata dari kelopak bibir Kak Sun.

"Macam ada penunggu pula Kak Sun," nada suara Andi Kamarool lemah sekali.

Mata saya liar merenung ke kiri dan ke kanan bangsal. Entah mengapa dengan tiba-liba saya terasa takut semacam, perasaan seperti bercelaru saja waktu tengah hari begini.

Bagi menghilangkan rasa cemas ilu, saya terus senyum kepada Kak Sun dan Andi Kamarool.

"Kenapa kamu macam takut saja?" Kak Sun dapat mengesan apa yang saya alami.

"Tak ada apa-apa, saya rasa sejuk waktu panas begini."

Kata-kata saya disambut dengan ketawa sinis. Saya semakin jadi serba salah. Senang rasa hati, bila mereka berhenti ketawa dan melahirkan senyum simpati untuk saya.

"Agaknya, kamu takutkan penjaga rumah?" usik Andi Kamarool.

"Penjaganya kadang-kadang nampak, kadang tidak, berbadan besar. Tinggi hitam macam orang dari Benua Afrika," secara sepontan Kak Sun bersuara.

Saya pun membeliakkan biji mata, lalu merenung ke kiri dan ke kanan bangsal.

"Kak pernah tengok?" soal Kamarool.

"Pernah."

"Apa kak tak cemas?"

"Kak tak apa-apa, tak takut juga tak rasa terganggu."

"Hai..." jerit Andi Kamrool.

Kak Sun tidak memperlihatkan apa-apa reaksi dari jeritan kecil Andi Kamarool itu. Dia nampak bersahaja, sesekali sepasang mata hitamnya ditumpukan ke puncak bukit.

"Masa mula bekerja dulu, kak disuruh oleh abang si Mia duduk di sebelah bilik rahsia. Lebih kurang seminggu menginap di situ.

"Pada suatu petang menjelang senja, tiba-tiba muncul orang hitam di pintu bilik dengan wajah yang masam," Kak Sun tidak meneruskan cerita, dia kedutkan kening macam mengingati sesuatu.

"Apa yang kak buat?" tanya saya.

"Kak kata begini: Anak tuan rumah suruh duduk di sini. Maafkan aku kerana lambat memberitahu kamu. Selesai saja kakak cakap macam tu, orang hitam itu tersenyum dan terus hilang."

Makin lama, makin seram rasanya cerita-cerita yang diungkapkan oleh Kak Sun tetapi, menyeronokkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 174/284

BACA: SBDJ Siri 173: Samion Bongkar Rahsia
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 15, 2020

Semakan Bantuan Tunai Prihatin (RM300) COVID-19 Negeri Sabah

Semakan Bantuan Tunai Prihatin (RM300) COVID-19 Negeri Sabah

Rakyat Sabah adalah dipelawa untuk menyemak status pembayaran bagi pemberian Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Sabah Prihatin

Pemberian Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 ini adalah bantuan tambahan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 28 Oktober 2020 lalu yang mana penerima layak akan menerima bantuan berjumlah RM300 seorang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, bantuan ini akan memberikan manfaat kepada golongan sasar yang terlibat dalam sektor pertanian, pelancongan, pengangkutan, anak yatim, ibu tunggal dan OKU.

TIDAK PERLU MEMOHON

Bantuan ini tidak melibatkan permohonan baharu kerana data penerima diambil daripada pelbagai kementerian seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan lain-lain agensi.

Oleh kerana itu, para pemohon hanya perlu menyemak status mereka sama ada LAYAK menerima Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 atau TIDAK.

Bantuan COVID-19 Sabah

Bantuan Prihatin COVID-19 adalah sebahagian daripada Bantuan COVID-19 Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM160 juta.

Selain Bantuan Tunai Prihatin COVID-19, kerajaan negeri turut mengagihkan Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM34.86 juta melibatkan 169,345 penerima.

Disamping itu, Kerajaan Negeri Sabah juga memberikan bantuan lain seperti pengecualian sewa gerai penjaja dan pengecualian sewa Projek Perumahan Rakyat bermula tiga bulan bermula bulan Oktober hingga Disember 2020.

Semakan Bantuan Tunai Prihatin

Semakan bagi Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 ini boleh dibuat melalui langkah-langkah mudah berikut:
Status Keputusan

Penerima yang layak menerima Bantuan Tunai Prihatin ini akan menerima dua bentuk paparan keputusan, sama ada mereka perlu mengambil wang di bank atau wang tersebut terus dikreditkan ke dalam akaun bank.

Contoh paparan bagi penerima yang layak adalah seperti di bawah:
  • Penerima Bantuan PRIHATIN COVID-19:
    • [RM300] Sila tuntut di cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran anda, mulai 23 Nov 2020 (Isnin); atau
    • Pembayaran telah dikreditkan: (SUCCESS 'Tarikh dikreditkan')

  • Namun, pemohon yang tidak layak akan menerima paparan berikut:
    • Pemohon bukan berdaftar dengan Jabatan/Agensi di bawah MAFI; atau
    • Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan DITOLAK: Bukan klien Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
    • Permohonan tidak lulus (JHEWA).
    • Tiada rekod permohonan.
Pertanyaan Lanjut

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai bantuan ini, sila hubungi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di talian 088-223 536 etx. 236 (Roshidi)/ 236 (Norsafi)/ 250 (Sukari).

Segala pertanyaan berkenaan dengan Bantuan COVID-19 boleh diajukan melalui laman Facebook Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: SO

Monday, December 14, 2020

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

Kayu memiliki banyak manfaat serta kegunaan dalam kehidupan manusia dan sudah tidak terhitung berapa banyak jumlah rumah, kegunaan dalam pembinaan dan barangan yang telah dihasilkan dari pohon kayu.

Tidak hairanlah jika kayu adalah komoditi utama dalam dunia industri dan perdagangan di seluruh dunia.

Dari ribuan jenis kayu, berikut adalah 4 jenis kayu paling mahal yang ada di dunia.

1. African Blackwood

Kayu Termahal

Kayu ini juga di kenali sebagai tanaman berbunga dalam keluarga Fabaseae dan boleh di temui di daerah kering Afrika.

Harga kayu ini sangat mahal yang mampu mencecah harga USD$13,000 satu kubik meter.

2. Kayu Ebony (Eboni)

Kayu Termahal

Kayu yang memiliki warna hitam pekat ini termasuk salah satu kayu termahal di dunia.

Pohon ebony dapat tumbuh sehingga 40 meter tinggi dan memiliki kepadatan yang tinggi sehinggakan apabila diletakkan didalam air, ia akan tenggelam.

Kayu ebony mempunyai tekstur yang baik dan banyak digunakan sebagai perabot dengan kualiti premium.

Kerana mengandungi banyak minyak di dalamnya, ebony memiliki daya tahan yang hebat.

Selain itu, kayu ini banyak digunakan sebagai bahan untuk pembuatan alat-alat muzik seperti biola, piano dan gitar.

Di pasaran antarabangsa, harga kayu ebony mampu mencapai harga USD$13,000 satu kubik meter.

3. Kayu Gaharu/Agarwood

Kayu Termahal

Punca utama pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Harga kayu gaharu yang berkualiti dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$10,000 sekilogram.

4. Sandalwood/Cendana

Kayu Termahal

Sejak ratusan tahun lalu, cendana sudah dikenali sebagai tanaman berharga, kerana aroma atau baunya yang khas dan wangi, membuatkannya begitu diminati.

Wangian cendana itu menarik perhatian pedagang Cina pada 610-906 masehi untuk membeli cendana, juga para pedagang dari India, sebelum masuknya pedagang Eropah pada sekitar abad ke-15.

Harga kayu Cendana dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$20,000 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, December 10, 2020

'RH Null' Jenis Darah Istimewa Yang Sangat Jarang Ditemui

'RH Null' Jenis Darah Istimewa Yang Sangat Jarang Ditemui

Doktor beliau memilih untuk memandu sendiri beliau ke Perancis kerana jika darahnya diambil di Switzerland, banyak kerenah proses dan rekod yang perlu ditempuhi sebelum dapat diterbangkan ke Perancis.

RH Null

Jururawat yang ditugaskan mengambil darah juga menyedari lelaki yang sedang diambil darahnya itu, mempunyai darah yang istimewa.

Hanya selepas meneliti label pada bungkusan darah itu, jururawat tersebut sedar sesuatu yang sangat unik, berdasarkan label yang ada, lelaki itu sepatutnya sudah lama meninggal dunia.

Bagaimanapun, lelaki yang hanya dikenali sebagai Thomas berikutan identitinya terpaksa dirahsiakan tetap tersenyum, sihat walafiat.

Tidak ramai yang tahu darah yang mengalir dalam badannya sangat unik dan dalam tempoh 50 tahun, hanya 40 orang sahaja diketahui mempunyai darah yang sama seperti Thomas.

Penemuan mengejutkan 40 tahun lalu

Kita semua tahu berikutan teknologi perubatan yang begitu tinggi, darah memerlukan bekalan yang lebih banyak setiap hari.

Malangnya, setiap daripada kita mempunyai jenis darah yang berbeza-beza.

Bagaimanapun, bagi setiap jenis darah yang ada wujud satu persamaan pada setiap jenis, dalam setiap sel darah merah kita, ada 342 antigen, sejenis molekul yang berupaya menggalakkan penghasilan protein antibodi.

Jenis antigen yang ada dalam darah kita juga menentukan jenis darah setiap individu.

Ada 160 jenis antigen daripada 342 yang biasanya ditemui pada setiap orang, dengan selebihnya mempunyai perbezaan-perbezaan tertentu dan kandungan antigen dalam darah kita menentukan tahap keunikan darah kita.

35 kumpulan darah yang telah dikenali menggunakan maklumat daripada antigen bagi menentukan kelas darah setiap individu.

Sekiranya seorang itu mempunyai darah normal, majoriti daripada 342 antigen yang ada pasti akan merujuk kepada salah satu kelas darah.

40 tahun sebelum ini, Thomas ketika berusia 10 tahun telah ke Hospital Universiti Geneva untuk pemeriksaan rutin.

Dalam ujian darah yang dijalankan ke atas beliau, doktor mendapati ada sesuatu yang amat ganjil pada kandungan darahnya, dia langsung tidak mempunyai antigen dalam darahnya, menyebabkan tubuhnya tidak mampu menghasilkan antibodi.

Yang menghairankan penyelidik, dia tidak menunjukkan sebarang tanda sakit.

Setelah sampel darah Thomas dihantar ke makmal di Geneva, Amsterdam dan Paris, Thomas menjadi antara individu unik yang mempunyai kumpulan darah Rh Null, darah yang langsung tidak mempunyai antigen serta tidak boleh diklasifikasikan.

Sejarah darah Rh Null

Darah seumpama ini buat pertama kali ditemui pada tahun 1961 pada seorang wanita orang asal Australia.

Sebelum penemuan beliau, penyelidik membuat kesimpulan mustahil untuk mana-mana janin yang mempunyai darah Rh Null membesar dengan sihat, berikutan ketiadaan fungsi penting dalam badan.

Bagaimanapun, selepas penemuan pertama sehinggalah kepada kemunculan Thomas, setakat ini telah berjaya direkodkan hampir 43 orang mempunyai darah serupa dan hanya 10 orang saja bertindak sebagai penderma aktif.

Apa yang membezakan individu seperti Thomas dengan kita?

Darah mereka memberikan risiko yang sangat besar pada pemiliknya, namun mempunyai kemampuan menyelamatkan jutaan nyawa orang lain.

Ini kerana darah daripada kategori unik Rh Null ini dapat diterima oleh sesiapa saja kerana darah ini merupakan darah paling universal di antara semua jenis kategori darah.

Setiap penerima darah perlu menerima darah yang tidak mengandungi antigen yang berlawanan dengan darah asalnya dan proses memadankan darah penderma dengan pesakit perlu dilakukan dengan berhati-hati, takut berlaku proses penolakan darah selepas transfusi dilakukan.

Darah Rh Null membuang semua risiko itu kerana kelebihannya yang bersifat neutral, tidak mempunyai sebarang antigen yang dapat meningkatkan risiko penolakan pada penerimanya.

Darah universal penyelamat nyawa

Thomas sedar keunikan yang ada pada darahnya mampu menyelamatkan nyawa sesiapa saja, namun malang bagi dirinya sendiri, sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, dia hanya boleh menerima darah jenis Rh Null sahaja.

Individu Rh Null yang sudi menderma pula berada jauh. Ada di Brazil, Jepun, China, Amerika Syarikat dan Ireland. Ini memberikan impak pada hidup Thomas.

Sejak muda dia dilarang daripada menjadi terlalu berani, bagi mengelakkan kemalangan.

Dia memandu dengan cermat, hanya berani melawat negara yang ada kelengkapan hospital moden dan kad pengesahan status darahnya disimpan dalam beg, andaikata diperlukan.

Thomas mula menderma secara suka rela sejak mencecah 18 tahun, usia beliau dibenarkan menjadi penderma darah.

Semua darah yang didermakan Thomas disimpan di bank darah khas yang terletak di Paris dan Amsterdam.

Berikutan sakit anaemia yang dihadapinya, dia dinasihatkan menghadkan proses menderma darah hanya dua kali setahun, berbanding empat kali, menggunakan wang sakunya sendiri untuk kos perjalanan berulang-alik.

Walaupun perlu menghindari aktiviti berisiko, Thomas bagaimanapun bersyukur dirinya berbeza dengan orang lain.

Selepas diarahkan melaporkan diri bertugas dalam tentera beberapa puluh tahun dahulu, doktor yang menemui kondisinya menulis surat kepada pihak tentera, memaklumkan keadaan sebenar Thomas yang unik.

Dengan surat itu, Thomas dikecualikan daripada melaporkan diri, sesuatu yang perlu bagi melindungi Thomas yang mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa seorang diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Dengan ledakan komunikasi secara digital di Malaysia yang sudah berusia lebih 20 tahun, menjadi suatu yang janggal apabila ada yang ketinggalan dan masih tidak mampu untuk berada dalam era yang sama.

Internet Di Malaysia

Ditambah dengan keadaan kita berada dalam pandemik Covid-19 ini, memaksa kita mengoptimumkan penggunaan peranti digital.

Malangnya, menjadi ketidakpuasan hati apabila timbul isu-isu berkaitan akses digital kepada pendidikan kerana umum maklum dengan keadaan kini, semua pelajar sekolah mahupun mahasiswa di universiti terpaksa menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Namun, dengan contoh kisah Veveonah Mosibin, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan akses internet di kawasan rumahnya, Pitas, Sabah, sudah cukup membuktikan masih ramai lagi yang tidak mampu menjalani norma baharu ini.

Dengan penutupan sekolah sehingga Januari tahun 2020, pelajar sekolah terpaksa meneruskan pembelajaran melalui dalam talian.

Bagaimanapun, kajian KPM telah menyatakan bahawa 1.7 juta pelajar tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer yang membolehkan mereka belajar secara maya.

Manakala lebih daripada 52% pelajar di negeri Sabah tidak mempunyai kemudahan akses ini.

Sedang kita berlumba ke arah era pendigitalan secara total, masih ramai yang belum mampu berada dalam perlumbaan sebenar.

Isu terbesar kepada akses ini ialah soal kemiskinan sebenar yang dialami sehingga tidak mampu mempunyai peranti digital yang bersesuaian.

Jangan dilupakan juga soal infrastruktur menjadi persoalan terbesar walaupun saban tahun belanjawan negara akan membawa agenda digital dan infrastruktur.

Kerajaan selalu berbangga dengan infrastruktur yang kononnya bertaraf dunia, walhal hasilnya hanya di nikmati oleh sebilangan pihak sahaja.

Paling kasihan sudah tentunya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang jelas ketinggalan 20 tahun di belakang.

Era digital perlu keluar daripada bendung mimpi dan diubah realitinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

3 Manfaat Minyak Zaitun Untuk Kulit, Rambut Dan Kesihatan

3 Manfaat Minyak Zaitun Untuk Kulit, Rambut Dan Kesihatan

Minyak Zaitun sememangnya telah diakui mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat yang dapat membantu mencegah beberapa jenis penyakit, juga dijadikan ramuan utama menghasilkan produk berasaskan kecantikan dan dandanan diri.

Minyak Zaitun

Walau bagaimanapun, minyak zaitun tidak boleh menggantikan rawatan konvensional seperti ubat-ubatan yang dibekalkan doktor untuk merawat penyakit berkaitan gangguan sistem kardiovaskular.

FAKTA NUTRISI MINYAK ZAITUN

Satu sudu makan Minyak Zaitun mengandungi:
  • 119 kalori.
  • 13.5 gram lemak (9.8 darinya ialah lemak mono tak tepu).
  • Tiada langsung gula, karbohidrat atau protein.
  • 1 miligram vitamin K.
  • 9 miligram vitamin E.

Terdapat pelbagai khasiat minyak Zaitun dari tiga aspek utama iaitu khasiat untuk Kulit, Rambut dan Kesihatan.

KEBAIKAN UNTUK KULIT

Melembapkan kulit

Minyak Zaitun mengandungi sejumlah besar vitamin E, antioksidan yang melindungi kulit daripada pelbagai faktor luaran seperti sinaran matahari atau angin yang kuat.

Tekstur minyak zaitun yang ringan menjadikannya pelembap sempurna yang tidak melekit dan tahan lama serta sesuai dengan semua jenis kulit.

Memperbaiki kesihatan kulit

Minyak zaitun mengandungi vitamin E, yang dapat meningkatkan kesihatan kulit dengan merawat keradangan, jerawat dan melindungi kulit dari penyakit yang serius seperti psoriasis dan kanser kulit.

Membantu membuang mekap di muka

Minyak zaitun dara adalah alternatif pembuang mekap yang mudah dan murah berbanding jenama lain yang berada di pasaran.

Minyak Zaitun bertindak dengan baik tanpa merosakkan kulit anda.

Mempunyai elemen antipenuaan

Apabila umur semakin meningkat, kulit akan mula mengendur dan kedutan akan terbentuk, tetapi boleh dikurangkan dengan menggunakan minyak zaitun.

Sebagai skrub bibir

Minyak zaitun boleh membuatkan bibir anda nampak lembut dan cantik dengan mencampurkan beberapa titis minyak zaitun bersama gula perang yang telah dihancurkan dan sedikit jus lemon, kemudian sapukan campuran ini di permukaan bibir.

Menyembuhkan kulit tumit yang merekah

Gosokkan tumit anda dengan menggunakan air lemon yang panas dan sapukan sekali minyak zaitun pada tumit untuk menambahkan kelembapan dan kelembutan.

Anda boleh memakai stokin untuk kelegaan yang lebih cepat.

KEBAIKAN UNTUK RAMBUT

Memastikan rambut kekal sihat

Minyak zaitun, bersama dengan kombinasi beberapa bahan yang lain seperti madu dan kuning telur, boleh bertindak dengan baik untuk mengekalkan kesihatan rambut.

Minyak zaitun kaya dengan vitamin E yang membantu melawan rambut gugur, manakala madu boleh memberikan kelembapan terhadap rambut.

Minyak Zaitun juga mengandungi nutrien yang lain seperti magnesium, zink, sulfur, kalsium, dan vitamin B yang membantu pertumbuhan rambut.

Kuning telur kaya dengan protein, nutrien yang membentuk elemen pada rambut.

Boleh digunakan sebagai rawatan pra-syampu

Urutan minyak zaitun sebelum syampu membantu memberikan kilauan dan kekuatan kepada rambut anda.

KEBAIKAN UNTUK KESIHATAN

Memperbaiki kesihatan kuku

Vitamin E dalam minyak zaitun boleh meningkatkan penampilan kuku yang terjejas oleh penyakit.

Membantu mencegah kanser payudara

Dalam kajian Arab Saudi, didapati bahawa oleuropein, sebatian semula jadi yang terdapat pada daun zaitun, mempunyai potensi sebagai antikanser payudara.

Di dalam percubaan klinikal lain yang dijalankan di Sepanyol, didapati bahawa wanita yang mengamalkan diet mengandungi minyak zaitun, 62 peratus daripada mereka kurang berkemungkinan menghidap kanser payudara.

Membantu mencegah diabetes

Menurut Harvard School of Public Health, diet yang kaya dengan lemak mono dan 'polyunsaturated', seperti yang terkandung dalam minyak zaitun, dapat membantu mencegah diabetes.

Dalam kajian lain yang diterbitkan oleh The American Journal of Clinical Nutrition, penggunaan minyak zaitun dikaitkan dengan berkurangnya risiko diabetes di kalangan wanita.

Mengelakkan daripada penyakit Alzheimer

Menurut Scientific American, oleocanthal dalam minyak zaitun dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer.

Kajian Persatuan Kimia Amerika juga turut menjumpai penemuan yang serupa, yang mana minyak zaitun 'extra virgin' didapati dapat meningkatkan pembelajaran dan memori pada tikus, menyokong kemungkinan replikasinya pada manusia yang menderita penyakit Alzheimer.

Menguatkan tulang

Dalam kajian yang melibatkan lelaki yang mengamalkan diet Mediterranean, didapati minyak zaitun mungkin menyumbang kepada tulang yang kuat.

Darah mereka didapati mengandungi tahap osteocalcin yang lebih tinggi, yang merupakan petanda bagi pembentukan tulang yang sihat.

Merawat kemurungan

Minyak zaitun boleh meningkatkan tahap serotonin, bahan kimia dalam otak, serupa dengan kesan beberapa antidepresi.

Membantu kurangkan berat badan

Satu kajian yang diterbitkan di Harvard School of Public Health telah menyokong keberkesanan minyak zaitun dalam membantu penurunan berat badan.

Kehilangan berat badan yang berlaku disebabkan oleh dua jenis diet yang berbeza (diet Mediterranean berlemak sederhana yang mengandungi minyak zaitun dan diet rendah lemak) dibandingkan.

Menjelang akhir kajian, hanya 20 peratus daripada sukarelawan dalam kumpulan rendah lemak yang masih mengikut diet.

Membantu mengawal kolesterol dalam badan

Minyak zaitun mengandungi tahap lemak tepu dan lemak tak tepu yang minima, membolehkan ia mengawal paras kolesterol dalam darah pada badan.

Minyak zaitun mengandungi tahap tertinggi bagi lemak 'monounsaturated' sekitar 75-80 peratus, yang membantu membentuk kolesterol baik dan HDL dalam badan.

Melegakan sembelit

Minyak zaitun kaya dengan lemak 'monounsaturated', membantu dalam meningkatkan mobiliti supaya makanan dapat bergerak dengan lancar melalui usus besar tanpa sebarang masalah.

Minyak Zaitun juga membantu dalam mempercepatkan pergerakan usus dan menghalang sembelit.

Membantu menghapuskan batu karang pada buah pinggang

Penggunaan minyak zaitun juga dapat membantu melarutkan batu karang pada buah pinggang.

Membantu mencairkan tahi telinga

Minyak Zaitun juga dapat membantu melembutkan tahi telinga, menjadikannya lebih mudah bagi anda untuk mengeluarkan tahi telinga.

Sebaik sahaja ia telah disapu secukupnya, tahi telinga akan pecah menjadi kepingan yang lebih kecil, dan mula bergerak keluar di saluran telinga, di mana ia boleh dibersihkan dengan kain lembut atau tisu.

CARA PENGAMBILAN MINYAK ZAITUN

Caranya:
  • Minum satu sudu pagi dan satu sudu petang atau malam (boleh minum air selepasnya).
  • Letak sebagai dressing dalam salad atau ulam.
  • Renjis sedikit pada masakan seperti lauk, sayur-sayuran, telur dadar dan telur hancur.
  • Gunakan ketika memasak pada suhu rendah untuk menggoreng telur mahupun merenih sayur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: DOC

Thursday, December 03, 2020

Cara Mohon Lanjutan Moratorium Peminjam B40, M40, T20 Dan IKS

Cara Mohon Lanjutan Moratorium Peminjam B40, M40, T20 Dan IKS

Moratorium Covid-19 iaitu penangguhan rasmi bayaran ansuran bulanan daripada pembayar kepada pihak bank tanpa caj penalti atau denda, adalah untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat Malaysia.

Moratorium

Kerajaan dan Bank Negara telah memperkenalkan moratorium COVID-19 pada 1 April 2020 selama 6 bulan, yang asalnya berakhir pada 30 September 2020.

Seterusnya, bank Negara Malaysia telah mengeluarkan maklumat lanjut mengenai moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada pihak bank bagi individu dan peminjam lain termasuk Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Golongan B40 dan peniaga kecil telah mendapat lanjutan moratorium secara automatik, juga tersedia untuk golongan M40 dan T20 yang boleh dimohon kepada bank masing-masing.

Berikut kami kongsikan dengan anda syarat-syarat kelayakan dan cara permohonan moratorium lanjutan ini.

SIAPA YANG LAYAK MEMBUAT PERMOHONAN?
  • Golongan B40
  • Golongan M40
  • Golongan T20
Untuk makluman, moratorium lanjutan ini tidak akan menjejaskan laporan kredit CCRIS peminjam.

CARA PERMOHONAN MORATORIUM LANJUTAN

Mereka yang ingin membuat permohonan moratorium lanjutan dan fleksibiliti bayaran balik pinjaman boleh mengikuti cara-cara yang disediakan di bawah:
  • Peminjam boleh mula menghubungi bank atau AKPK bermula sekarang.
  • Hubungi pihak bank yang terlibat.
  • Menerusi panggilan, peminjam perlu memohon untuk melaksanakan moratorium bersasar atau fleksibliti pembayaran balik.
  • Pihak bank akan menyatakan jadual dan terma pembayaran balik yang baharu.
  • Pihak peminjam perlu memahami dan jika berpuas hati, pihak peminjam boleh menyatakan persetujuan.
  • Jika pelan yang ditawarkan tidak dipersetujui, terdapat dua langkah lain yang boleh dilakukan iaitu:
  • Peminjam boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
  • Bagi PKS, peminjam boleh memohon bantuan di bawah Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil.

NOMBOR TELEFON BANK:
  • Bank Simpanan Nasional: 1300-88-1900
  • Maybank: 1-300-88-6688
  • CIMB Bank: 03-62047788
  • Bank Islam: 03-26900900
  • Bank Rakyat: 1-300-80-5454
  • Bank Muamalat: 1-300-88-8787
  • Agro Bank: 1-300-88-2476
  • AmBank: 03-21788888
  • Affin Bank: 03-82302222
  • Hong Leong Bank: 03-76268899
  • Public Bank: 1-800-22-5555
  • RHB Bank: 03-9206 8118
  • HSBC Amanah: 1-300-88-2626
  • MBSB Bank: 03-20963000
  • Alliance Bank: 03-55169988
  • OCBC Bank: 03-83149310
  • Standard Chartered Bank: 1-300-88-8888
  • SME Bank: 03-26037700
  • Bank Pembangunan Malaysia Berhad: 03-26113888

MORATORIUM MAYBANK

Moratorium

CARA MEMOHON LANJUTAN MORATORIUM BAGI B40 PELANGGAN SECARA ONLINE

Malayan Banking Berhad (Maybank), telah melanjutkan tempoh permohonan bantuan pembayaran balik untuk pinjaman atau pembiayaan (Moratorium) sehingga 30 Jun tahun 2021, sebagai usaha meneruskan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Bagi mereka yang berminat dengan penawaran tersebut, peminjam perlu berjumpa dengan bank-bank dan mendapatkan khidmat nasihat dan juga bantuan dengan lebih jelas.

Bagi golongan B40, anda sebenarnya tidak perlu pergi ke mana-mana cawangan bank, sebaliknya permohonan boleh dibuat secara online sahaja.

Caranya cukup mudah, anda hanya perlu melayari laman web rasmi Maybank2u dan ikuti beberapa langkah mudah seperti berikut:
  • Layari laman utama Maybank2 di https://www.maybank2u.com.my/ dan tidak perlu pun login walaupun tiada akaun maybank2u.
  • Klik pada icon Covid-19 Assistance.
  • Anda boleh baca terlebih dahulu terma dan syarat sebelum membuat permohonan.
  • Di bahagian ruangan Email us, terdapat butang pada bahagian "For eligible B40" dan klik send email for TRA.
  • Selepas klik, pemohon hanya perlu mengisi beberapa butiran peribadi seperti Nama, No kad Pengenalan, No telefon dan remark pada pakej yang ingin diambil.
  • Pemohon boleh memilih pakej penangguhan selama 3 bulan atau 6 bulan bayaran balik dengan potongan 50 peratus.
  • Selepas butiran lengkap diisi, langkah terakhir pemohon hanya perlu menghantar email tersebut kepada weassist@maybank.com atau hanya perlu klik send.
Untuk golongan B40, setiap permohonan akan diluluskan dengan syarat mereka membuat permohonan online yang mana ia bukan lagi secara automatik seperti sebelum ini.

Jadi, bagi golongan B40 yang mempunyai akaun dan potongan pinjaman di Maybank, anda boleh memohon jika berminat.

MORATORIUM BANK RAKYAT


Moratorium

PERMOHONAN LANJUTAN MORATORIUM DAN BANTUAN BERSASAR KEPADA PELANGGAN KATEGORI M40

Susulan ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan dan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada 6 November 2020, Bank Rakyat mengambil inisiatif membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan menerusi program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar tambahan kepada pelanggan individu dan perusahaan mikro.

Tawaran ini khusus buat pelanggan B40 dan Pembiayaan Mikro-i yang menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan mereka berikutan penularan wabak COVID-19. Bagi pelanggan M40 pula, anda boleh memohon bantuan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bersasar sedia ada Bank melalui proses yang dipermudahkan.

PROGRAM BANTUAN BAYARAN PEMBIAYAAN BERSASAR B40

Apakah kriteria pelanggan yang layak menikmati Program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar bagi pelanggan kategori B40?

Pelanggan yang layak adalah seperti berikut:
  • Individu golongan B40 yang didaftarkan dalam pangkalan data dan menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
  • Turut layak:
  • Pelanggan yang mana pasangannya adalah penerima BSH/BPR.
  • Sekiranya pelanggan tidak memilih moratorium secara automatik (pada bulan Mac 2020), mereka juga layak untuk menerima bantuan ini.
Bagaimana pula dengan pelanggan kategori B40 yang telah mendaftar untuk mendapatkan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar sebelum ini?

Bank akan mempertimbangkan permintaan pelanggan yang sudah mendaftar untuk mendapatkan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar sebelum ini untuk menukar pilihan bantuan mereka jika diperlukan.

Apakah bentuk Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan B40?

Pilihan 1
  • Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan (moratorium).
  • Bagi pembiayaan menggunakan kadar terapung, keuntungan akan terus diakru sepanjang tempoh tangguhan dan semasa dalam tempoh tambahan.
Pilihan 2
  • Mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.
  • Bagi pembiayaan menggunakan kadar terapung, keuntungan akan terus diakru sepanjang tempoh tangguhan dan semasa dalam tempoh tambahan.
Apakah produk yang terlibat dalam Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar B40 ini?

Pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan pembiayaan tidak terjejas (tidak tertunggak melebih 90 hari) melibatkan produk pembiayaan berikut:
  • Pembiayaan Peribadi-i
  • Pembiayaan Perumahan-i
  • Sewa Beli Kenderaan-i
  • Pembiayaan Mikro-i
Nota: Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pendidikan-i yang masih dalam tempoh tangguhan tidak dibenarkan untuk penjadualan semula. Walau bagaimanapun, pelanggan layak untuk mendapatkan lanjutan moratorium.

Bagaimanakah cara untuk memohon Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini?

Pelanggan boleh memohon melalui borang elektronik yang disediakan di laman web rasmi Bank Rakyat, www.bankrakyat.com.my.

Pelanggan juga boleh menghubungi Bank melalui saluran komunikasi rasmi seperti berikut:
  • E-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my. (Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi).
  • Pusat Panggilan di talian 1300800800.
  • Mengunjungi cawangan yang berdekatan.
Apakah dokumen yang perlu disediakan oleh pelanggan kategori B40 untuk memohon?

Pelanggan tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen. Penilaian akan dibuat berdasarkan kepada semakan maklumat menerusi pangkalan data BSH/BPR.

Bilakah permohonan untuk Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini boleh dilakukan dan berapa lamakah tempoh bantuan ini akan diberikan?

Pelanggan boleh mula memohon Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini bermula 23 November 2020. Bantuan ini ditawarkan untuk pelanggan yang layak sehingga 30 Jun 2021. Bantuan akan bermula bagi ansuran pelanggan pada bulan berikutnya.

Adakah terdapat sebarang kos tambahan seperti pertambahan keuntungan, duti setem dan takaful yang dikenakan kepada pelanggan yang memohon kemudahan ini?

Ya, bagi pembiayaan kadar terapung, keuntungan akan terus terakru sepanjang tempoh tangguhan dan semasa dalam tempoh tambahan. Ini akan mengakibatkan keuntungan terkumpul bertambah.

Walau bagaimanapun, jumlah keuntungan yang dikenakan adalah tertakluk kepada baki keuntungan pada kadar siling pembiayaan.

Adakah akan berlaku perubahan jumlah ansuran bulanan selepas tamat tempoh moratorium?

Tidak. Walau bagaimanapun, bagi pembiayaan yang menggunakan kadar terapung sebarang perubahan jumlah ansuran bulanan adalah tertakluk kepada perubahan kadar asas (KA)/kadar asas pembiayaan (KAP) atau perubahan dari semasa ke semasa.

Adakah akan berlaku perubahan pada tempoh pembiayaan selepas tamat tempoh moratorium?

Ya. Bilangan bulan tambahan yang diperlukan untuk menjelaskan pembiayaan boleh melebihi bilangan bulan moratorium yang diambil.

BANTUAN BAYARAN BERSASAR PEMBIAYAAN MIKRO-i

Apakah kriteria pelanggan yang layak menikmati Program Bantuan Bayaran Bersasar Pembiayaan Mikro-i?

Perusahaan mikro yang layak dengan nilai jumlah pembiayaan yang diluluskan sehingga RM150,000, diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan pembiayaan tidak terjejas (tidak tertunggak melebih 90 hari).

Pelanggan yang didefinisikan sebagai perniagaan mikro berdasarkan Garis Panduan Definisi Industri Kecil Sederhana (IKS) yang dikeluarkan oleh SME Corporation Malaysia merangkumi entiti perniagaan di semua sektor dengan:
  • Perolehan jualan kurang dari RM300,000; atau
  • Kurang daripada 5 pekerja sepenuh masa Bank juga tidak memerlukan penyerahan dokumen untuk membuktikan kelayakan. Bank akan membuat keputusan berdasarkan maklumat terkini dalam pangkalan data dalaman Bank atau borang perakuan diri oleh pelanggan.
Apakah bentuk Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan Mikro-i?

Pilihan 1
  • Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan (moratorium).
Pilihan 2
  • Mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.
Bagaimakah cara untuk memohon Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini?

Pelanggan boleh memohon melalui borang elektronik yang disediakan di laman web rasmi Bank Rakyat, www.bankrakyat.com.my.

Pelanggan juga boleh menghubungi Bank melalui saluran komunikasi rasmi seperti berikut:
  • E-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my. (Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi)
  • Pusat Panggilan di talian 1300800800.
  • Mengunjungi cawangan yang berdekatan.
Apakah dokumen yang perlu dikemukakan untuk memohon?

Borang perakuan diri pelanggan yang menyatakan perolehan jualan kurang dari RM300,000.00 atau pekerja sepenuh masa kurang daripada 5 orang.

Bilakah permohonan untuk Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini boleh dilakukan dan berapa lamakah tempoh bantuan ini akan diberikan?

Pelanggan boleh mula memohon Bantuan Bayaran Bersasar ini bermula 23 November 2020. Bantuan ini ditawarkan untuk pelanggan yang layak sehingga 30 Jun 2021. Bantuan akan bermula bagi ansuran pelanggan pada bulan berikutnya.

Adakah terdapat sebarang kos tambahan seperti pertambahan keuntungan, duti setem dan takaful yang dikenakan kepada pelanggan yang memohon kemudahan ini?

Tidak.

Adakah akan berlaku perubahan jumlah ansuran bulanan selepas tamat tempoh moratorium?

Tidak.

Adakah akan berlaku perubahan pada tempoh pembiayaan selepas tamat tempoh moratorium?

Ya. Bilangan bulan akan ditambah untuk memastikan baki pembiayaan dapat dijelaskan.

PERUBAHAN PROSES PERMOHONAN LANJUTAN MORATORIUM DAN BANTUAN BERSASAR BAGI PELANGGAN KATEGORI M40

Apakah kriteria pelanggan yang layak?

Pelanggan golongan M40 yang didaftarkan dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Apakah perubahan yang dinyatakan?

Pelanggan M40 hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri berhubung pendapatan mereka atau pendapatan isi rumah telah berkurangan akibat penularan pandemik. (Contohnya, pendapatan suami dan isteri yang telah berkurangan apabila digabungkan).

Adakah Bank boleh meminta dokumen tambahan selain yang dinyatakan di atas selepas permohonan diluluskan?

Ya, Bank boleh meminta dokumen tambahan untuk tujuan pengesahan setelah permohonan diluluskan dengan memaklumkan pelanggan terlebih dahulu perkara tersebut semasa menerima permohonan dari pelanggan.(Contoh dokumen adalah seperti penyata gaji dan penyata bank.)

Apakah yang perlu dilakukan oleh pelanggan yang berhasrat mendapatkan Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar ini?

Pelanggan boleh memohon melalui borang elektronik yang disediakan di laman web rasmi Bank Rakyat, www.bankrakyat.com.my.

Pelanggan juga boleh menghubungi Bank melalui saluran komunikasi rasmi seperti berikut:
  • E-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my. (Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi)
  • Pusat Panggilan di talian 1300800800.
  • Mengunjungi cawangan yang berdekatan.
Bilakah permohonan ini boleh dilakukan dan berapa lamakah tempoh bantuan ini akan diberikan?

Pelanggan boleh mula memohon bermula 23 November 2020. Bantuan ini ditawarkan untuk pelanggan yang layak sehingga 30 Jun 2021. Bantuan akan bermula bagi ansuran pelanggan pada bulan berikutnya.

Semoga artikel ini dapat membantu anda berkaitan dengan informasi moratorium lanjutan bersasar.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

SBDJ Siri 173: Samion Bongkar Rahsia

SBDJ Siri 173: Samion Bongkar Rahsia

Tetapi aneh sekali, bila saya menoleh ke belakang, dalam sekelip mata Andi Kamarool hilang. Tentu saja hal sebegini membuat saya cemas. Dalam keadaan cuaca yang beransur cerah itu, saya awasi keadaan sekeliling. Agak mengejutkan, bila Andi Kamarool muncul secara mendadak di depan dalam jarak kira-kira sepuluh kaki.

Toyol jadi-jadian

Dia muncul bersama seorang wanita yang separuh baya. Saya segera mendekati mereka.

"Siapa dia ni Andi?"

"Dia yang mengawasi gerak geri kita, Tamar."

"Tidak," kata perempuan setengah umur itu.

"Masa lalu tadi, kakak terdengar suara orang jantan bercakap. Kakak terus sembunyi di balik pokok. Kakak nak tahu, siapa kamu yang sebenarnya. Kakak takut kalau ada orang lain yang masuk ke sini."

"Jadi, kakak tahu kami ada di sini?" soal saya.

"Tahu, Mia beritahu dan dia suruh kakak intip kamu berdua. Katanya, mesti hati-hati dengan kamu berdua."

Satu jawapan yang menimbulkan seribu persoalan dalam dada. Andi Kamarool segera saya renung. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

"Kakak ni sebenarnya, siapa. Ada kena mengena dengan Mia?" saya mengajukan soalan.

"Kakak bekerja dengan Mia, mengemas rumah, membasuh dan macam-macam kerja rumah. Ramai orang tak tahu yang kakak bekerja dengannya.

"Mia mahu kakak merahsiakan dari orang ramai, kecuali anak kakak. Kakak datang subuh, balik lepas asar."

Penjelasan wanita itu, benar-benar meyakinkan saya dan Andi Kamarool.

"Suami kak kerja apa?" desak Andi Kamarool.

"Mati ditembak Belanda, semasa di Tanjung Balai."

"Nama kak siapa?" tanya saya.

"Panggil saja Sun, nama sebenar Harisun."

Dan perempuan setengah baya itu, kami benarkan berlalu. Perjalanan ke rumah papan diteruskan.

"Mia, terlalu banyak berahsia," rungut Andi Kamarool.

"Rahsia tu, mesti kita cari," kata saya sambil berdiri di tepi jendela, melihat sinar matahari yang kian garang menyimbahkan cahaya ke permukaan bumi.

Keadaannya sungguh cantik. Kicau burung amat rancak sekali. Berterbangan dan berlompatan dari ranting ke ranting. Suatu suasana yang amat menyenangkan.

Dari jendela yang terdedah, saya merenung ke arah rumah batu lama tersergam gagah. Sinar matahari pagi yang mula marak menjilat sebahagian daripada bangunan rumah batu lama tu.

"Mencari rahsia dari Mia, bukan perkara mudah," tercetus kata-kata dari Andi Kamarool.

Terlalu lama dia mengambil masa untuk menjawab pertanyaan yang saya kemukakan tadi.

"Kita berusaha, Andi," saya memberikan sebuah harapan.

Tiada jawapan darinya, kecuali sekilas senyum yang hambar.

"Bagaimana kalau kita jumpa kakak tu, barangkali dia dapat membantu kita," satu cadangan yang datang secara sepontan dalam kepala saya.

"Iya, aku setuju," sahut Andi Kamarool.

Langkah pertama yang kami lakukan pagi itu ialah meninjau dan mengelilingi seluruh kawasan rumah batu tersebut. Kami mahu mengenalinya lebih terperinci lagi.

Petang semalam, kami kesuntukan masa. Kami bergerak dari sebelah kanan rumah papan menuju ke halaman rumah batu lama.

Halaman rumah tersebut amatlah luas. Tiang-tiang batu sepemeluk menyanggah bahagian depan rumah itu. Di kiri kanan rumah batu itu terdapat bangunan kecil yang sama besarnya, bercantum dengan rumah batu lama.

Orang boleh keluar masuk dari rumah batu ke rumah kecil (kiri dan kanan) menerusi pintu khas.

Di saat kami asyik melihat bangunan lama dari sudut halaman, seorang lelaki dalam usia lima puluhan memakai seluar pendek, berbaju lusuh lengan pendek memakai topi dari mengkuang mendekati kami.

"Awak kerja di sini?" itu yang saya ajukan, bila melihat wajahnya.

"Iya, saya yang membersihkan kawasan rumah ni."

Serentak saya dan Andi Kamarool merenung ke arah rumah kecil sebelah kanan. Mia berdiri di situ sambil melambai-lambaikan tangan ke arah kami.

"Bagaimana Andi?" tanya saya.

Andi Kamarool menggigit bibir tanpa mahu mengalihkan pandangannya ke arah Mia yang setia berdiri di depan rumah kecil.

"Dia mengintip gerak geri kita, Tamar," terlontar kata dari bibir Andi Kamarool. Kali ini pandangannya segera dialihkan ke wajah saya.

"Aku sependapat dengan kamu Andi. Aku harap dia tidak mengajak masuk ke bilik datuk neneknya."

"Aku juga tak mahu pergi ke kubur neneknya," Andi Kamarool meluahkan gelodak hatinya.

Saya tersenyum dalam sinar matahari pagi yang ramah. Kicau beburung yang melompat di reranting memberikan kedamaian.

Tetapi, kami masih belum membuat keputusan sama ada mahu mendekati Mia atau meneruskan perjalanan mengelilingi kawasan rumah.

"Macam mana Andi? Teruskan rancangan atau singgah di rumah kecil?"

"Singgah Tamar. Kita berada di kawasan rumahnya dan kita tetamunya, kita mesti menghormatinya, kalau tak mahu dituduh manusia tak berbudi bahasa."

Saya lihat Andi Kamarool tersenggih. Gembira kerana saya tidak membantah. Dan kami pun melangkah menuju ke arah Mia yang berdiri di depan rumah kecil.

Mia menyambut kami dengan senyum lebar. Dia mengenakan kain batik jawa dan berbaju kebaya sulam.

Sehelai selendang tersangkut di bahu. Dia nampak anggun dan menawan sekali. Kulit pipinya yang putih licin nampak kemerah-merahan diterpa cahaya matahari.

Bayu pagi yang bertiup lembut menggerakkan anak rambut di pelipis kiri dan kanan. Aduh! Saya terpesona dengannya.

"Mahu ke mana?"

Itu pertanyaan pertama yang terkeluar dari Mia.

"Sekadar nak tinjau kawasan rumah," jelas Andi Kamarool.

"Kalau nak meninjau kawasan rumah, kenapa tak beritahu. Aku bimbang," Mia mengakhiri kata dengan seulas senyum di kelopak bibir.

"Bimbang? Agaknya sangsi dan tak percayakan kami," balas saya.

Mia tidak memperlihatkan sebarang reaksi dengan apa yang saya ajukan. Dia nampak tenang dan bersahaja, sesekali membetulkan selendang di bahu yang mula menurun (mengelunsur) akibat banyak bergerak.

"Bukan apa-apa, bimbang kalau-kalau kamu berdua melihat atau terserempak dengan perkara-perkara yang menakutkan.

"Selain itu, bimbang kalau kamu dipukul oleh para pekerja saya yang menyangkakan kamu berdua orang jahat. Itu saja," Mia membetulkan hujung rambutnya yang jatuh ke dahi, akibat ditiup angin.

Rambut lebatnya yang separas bahu itu, nampak berombak bila menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan.

"Maafkan kami, kerana tak beritahu awak," kata saya. Mia anggukkan kepala, menerima kenyataan maaf kami.

"Ada kamu ambil apa-apa benda dalam kawasan rumah ni?"

"Maksud Mia?" tanya Andi Kamarool.

"Petik bunga atau ambil buah buahan."

"Tak ada," jelas saya.

"Bagus, kalau ada pun, saya izinkan. Ambil barang tidak minta izin saya buruk padahnya."

Kata-kata itu membuat saya resah. Terlalu banyak pantang larang di sini. Itu tak boleh, ini tak boleh. Semuanya mesti minta izin.

Muka Mia saya tatap, dia tetap mempamerkan senyum.

"Sekarang, kamu boleh pergi ke mana saja dalam kawasan rumah ni. Kamu boleh ambil apa saja, aku izinkan. Sebelum tu, masuk dulu kita minum."

"Tadi dah minum," saya menolak.

"Tadi minum di rumah papan, sekarang minum di rumah saya. Lagipun dah berjalan ke sana ke sini, tentu kamu berdua lapar. Masuk saja, jangan fikir apa-apa," desak Mia.

Saya dan Andi Kamarool tidak dapat mengelak. Permintaannya terpaksa kami tunaikan. Sebaik sahaja duduk di bangku dan menghadapi meja panjang, Kak Sun segera datang.

Dia pun mengatur cawan dan menyusun piring makanan. Ada pulut udang, ada kuih seri muka dan bengkang.

"Nasi lemak tak ada?" saya bergurau.

"Tak buat," jawab Kak Sun selamba dan kami menyambutnya dengan ketawa kecil.

Melihat saya dan Andi Kamarool tidak kekok berbual dengan Kak Sun, Mia segera mendekati Kak Sun. Dia mengambil alih tugas Kak Sun menuangkan air kopi ke cawan.

"Dah kenal dengan pembantu rumah saya?"

Mia terus menuangkan air kopi ke cawan.

"Dah lama kenal?" ulang Mia.

Dia tidak puas hati, pertanyaan pertamanya tidak kami jawab dengan segera.

"Sudah kenal," kami menjawab serentak.

"Bagus, sebenarnya kak Sun sendiri dah ceritakan. Cuma saya nak minta pengesahan dari awak berdua."

"Kamu memang nakal Mia," usik saya lalu disambut dengan ketawa oleh Andi Kamarool, Mia dan Kak Sun.

"Silakan Tamar, silakan Andi, jangan segan," untuk kesekian kalinya Mia mempelawa dan acara sarapan pagi (untuk kali kedua bagi saya dan Andi Kamarool) pun bermula.

Dan Mia tetap mengharapkan kami bermalam di anjung rumahnya.

"Kali ini, jangan tak jadi, jangan banyak helah dan dalih lagi," tutur Mia sambil menghirup air kopi.

Sepasang anak matanya yang tajam merenung lembut ke wajah Andi Kamarool.

"Kali ini, usaha itu tidak berhasil."

Dia masih merenung Andi Kamarool dan sekali-sekala saya lihat pandangan mereka bersambung yang dibuah dengan senyum.

Kehadiran saya bagaikan tidak wujud di ruang makan. Mia dan Andi Kamarool nampaknya kian intim.

Sebagai lelaki, hati kecil saya mula dibungai rasa cemburu. Mula meluat melihat tindak-tanduk mereka.

Hei! Aku bukannya tunggul, batin saya terus menjerit. Mereka mencabar kelakian saya. Dan sebagai protes, saya terus bangun tanpa mahu menyentuh cawan, apatah lagi menghirup air kopi. Saya bersedia untuk melangkah keluar dari rumah.

"Kenapa?"

Saya menoleh ke arah Kak Sun yang berdiri di sudut meja panjang. Andi Kamarool dan Mia mula mengarahkan sepasang anak mata masing- masing ke arah saya.

"Kenapa Tamar?" tanya Kak Sun Saya terus membisu.

"Minum dulu Tamar. Lepas tu kita teruskan rancangan, kau terburu- buru," Andi Kamarool terus berdiri.

"Ada apa yang tak kau senangi Tamar?" Mia mencelah.

Saya terus membatu, berdiri kaku sambil menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Kak Sun terus berdiri di depan, merenung batang hidung saya.

"Kenapa Tamar?"

"Ini urusan saya Kak."

Kak Sun segera kembali ke sudut meja, berdiri di situ. Pertanyaan dari Andi Kamarool dan Mia saya biarkan berlalu begitu saja tanpa jawapan.

Ternyata tindak-tanduk saya itu tidak menyenangkan hati Andi Kamarool. Dia segera mendekati saya.

"Kamu marahkan aku Tamar?"

Itu yang dibisikkan Andi Kamarool ke cuping telinga. Dan hati kecil saya segera membuat rumusan yang Andi Kamarool sudah dapat meneka apa yang bergolak dalam dada saya.

Sebelum perkara ini melarat. saya harus bertindak dengan bijak menyembunyikan apa yang bergolak dalam batin.

"Aku lemas, tak habis-habis bercakap. Kamu terlalu banyak melayani Mia sedangkan kita ada tugas," saja berdalih.

"Aku kadang-kadang jadi bodoh dengan sikap kamu.

"Kamu tak boleh buat macam tu Tamar, kita tetamunya. Hormatilah dia," dalam berbisik Andi Kamarool meluahkan nasihat tetapi, nada suaranya membayangkan kemarahan.

"Maafkan aku Andi. Aku mahu keluar."

"Hisss, kamu memang pelik," Andi Kamarool mendengus. Dia berpatah balik ke meja makan.

"Kenapa dengan Tamar?"

Gegendang telinga saya menangkap suara Mia yang diajukan kepada Andi Kamarool. Tiada jawapan yang terkeluar dari mulut Andi Kamarool.

Kak Sun melintas di depan saya, macam tadi dia tetap merenung muka saya. Kali ini dia senyum dan senyuman itu segera saya balas. Kak Sun terus berlalu.

"Dia nak cepat melawat kawasan rumah ni," itu jawapan Andi Kamarool untuk Mia.

Terdengar bunyi telapak kaki Mia melangkah mendekati saya.

"Kamu tak gembira Tamar?" Mia berdiri di kanan.

"Bukan apa-apa Mia, kalau lambat-lambat nanti hari panas, kawasan rumah kamu ni, bukannya kecil. Luasnya dekat lima padang bola. Aku ni, tak tahan panas," saya kira dalih itu lojik dan dapat diterima oleh akal.

"Hummmmm...." suara Mia lemah.

Dan sepasang anak matanya berlaga dengan sepasang anak mata saya. Dia pun mengukir senyum.

"Aku percaya dengan cakap kamu," balas Mia meyakinkan.

"Sebelum itu habiskan minuman," tambahnya dan aku terpaksa mengalah.

Saya pun rapat ke meja makan, sambil berdiri saya terus menghirup kopi yang tinggal separuh di cawan.

Kemudian, saya pun melangkah ke pintu. Andi Kamarool turut sama berbuat demikian. Mia turut menemani kami hingga ke muka pintu.

Saya lihat rerumput di halaman segar menghijau. Titik embun yang bertenggik di hujung rumput nampak kilau kemilau akibat di sentuh sinar matahari pagi.

"Kalau ada apa-apa masalah, jumpa saja dengan dia," Mia menudingkan jari telunjuknya ke arah Kak Sun yang sedang berdiri di sudut rumah.

"Usah bimbang, ada saja masalah kami cari dia," balas Andi Kamarool.

"Tengah hari ni kita makan bersama."

"Di mana?" saya renung muka Mia.

"Di mana lagi, di rumah sayalah," jawabnya.

Mia menabur budi, saya dan Andi Kamarool saling berpandangan. Kami anggukkan kepala serentak, tanda setuju.

Sebaik sahaja Mia masuk ke rumah, kami menyambung kembali perjalanan yang terhenti.

Sambil berjalan, saya ambil kesempatan untuk menjelaskan kepada Andi Kamarool, kenapa saya bersikap luar biasa semasa berada di ruang makan tadi.

"Kamu terlalu ikutkan perasaan. Aku tak mahu kerana Mia kita bermusuh dalam diam. Aku tahu kamu ada hati dengannya Tamar."

"Kamu juga begitu Andi."

"Iya aku mengaku. Kamu harus ingat jatuh hati tidak bererti dia milik aku. Kenapa kamu tak boleh bersikap terbuka Tamar. Bagi aku kalau kamu berjaya menawan hati Mia, aku tetap gembira dan merasa bahagia. Tidak ada sebabnya aku mesti memusuhi kamu."

Saya terdiam, satu pukulan maut untuk saya. Tidak ada cara dan helah untuk saya menepis atau berdalih.

Jalan paling selamat, saya harus membisu dan terus berjalan tanpa mengungkit-ungkitkan perkara itu lagi.

Ternyata taktik saya berhasil, perkara itu tidak dibangkitkan oleh Andi Kamarool lagi. Dia kembali bersikap seperti biasa.

Kerana terlalu asyik melangkah dan melayani fikiran masing-masing, tanpa disedari kami sudah berada jauh dari rumah batu. Kami kini berada di sudut halaman sebelah timur yang bersempadan ladang getah.

Kerana musim panas, pepokok getah kelihatan gondol. Dedaun yang berguguran berserakan dipermukaan bumi. Memang kawasan halaman rumah batu cukup luar biasa luasnya.

Begitulah, di saat kami merasa kagum dengan bentuk rumah batu lama dan keluasan halamannya, kami dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki. Kami tidak tahu dari mana lelaki itu datang.

"Selamat pagi," kata lelaki itu.

"Selamat pagi," balas kami serentak.

"Dari mana?" tanya saya.

"Hum, dari ladang getah, musim daun gugur ni kena kerja lebih sikit. Daun-daun kering ni tak boleh dibiarkan berlonggok di pangkal pokok, bila terbakar habis pokok rosak.

"Terpaksa dikuak jauh dari pangkal pokok, kalau terbakar pokok getah tak rosak," tanpa diminta orang itu terus memberikan penjelasan sambil menikam permukaan bumi dengan kayu yang dipegangnya.

Hujung kayu itu bercabang tiga yang bentuknya macam jari manusia dibuat dari buluh. Gunanya supaya mudah menarik dan mengumpul, melonggok daun getah kering.

"Pak cik bekerja di sini?" soal Andi Kamarool.

Lelaki yang mendekati usia lima puluhan itu anggukkan kepala. Topi mengkuang yang lebar menutupi sebahagian dari dahinya.

Memakai seluar panjang warna kelabu yang sudah lusuh. Bajunya dari kain tebal yang sudah koyak di bahagian dada sebelah kiri.

Kerana sikap ramah yang ditunjuknya, kami segera mendekati dan menjalin persahabatan.

"Mia dah bagi tahu, suruh awasi awak berdua."

Saya terkejut, kali ini loghat jawanya agak ketara sekali.

Kerana kami tidak memberikan tidak balas segera, membuat dia jadi serba salah.

"Mia sendiri bagi tahu pak cik? Cepat sungguh dia beritahu," saya pura-pura terkejut.

Andi Kamarool membeliakkan biji mata dalam sinar panas yang mula beransur keras.

"Bukan dia, Mia bagi tahu pada mandur beritahu saya dan pekerja lain."

"Mana mandurnya?" tanya Andi Kamarool.

"Itu..." lelaki tua itu menajamkan mulutnya ke arah lelaki berkulit hitam, berbadan besar.

Lelaki berkulit hitam yang dipanggil mandur itu, seolah-olah mengetahui yang saya dan Andi Kamarool merenung ke arahnya.

Dengan tenang dia angkat muka merenung ke arah kami sambil membuka kain merah yang melilit kepalanya. Dia menghadiahkan senyum persahabatan.

Senyumnya kami balas dan lelaki berkulit hitam meneruskan kerjanya, melawat orang-orang di bawah jagaannya. Dia berjalan arah ke selatan.

"Dia orang Batak, banyak ilmunya tapi..." orang itu tidak meneruskan kata-katanya.

Dia keluarkan rokok daun dari saku bajunya. Dengan wajah penuh kepuasan dia menghisap dan menghembuskan asap rokok.

"Nama pak cik siapa?"

"Samion, orang Jawa," matanya merenung muka saya.

"Dah lama kerja di sini?"

"Mula-mula datang dari Jawa, kerja di perkebunan Belanda, kemudian baru ke sini. Lebih dari sepuluh tahun kerja dengan Mia," Samion terus sedut rokok daun dalam-dalam.

Saya tidak mahu menyoalnya lagi, dia kurang senang kalau dihujani dengan pertanyaan yang terlalu peribadi.

"Pak cik Samion tentu banyak tahu tentang cerita-cerita ganjil dalam rumah batu lama ni," Andi Kamarool mengambil alih tugas saya.

Pertanyaan itu membuat Samion nampak seperti tersintak, dahinya berkerut. Buat beberapa ketika Samion termenung sambil merenung ke arah rumah batu lama yang tertegun kaku.

Ada kelibat manusia berjalan di kaki lima rumah tetapi, tidak dapal dilihat dengan jelas. Sukar untuk dipastikan siapakah yang berjalan di kaki lima itu, Mia atau Kak Sun dan mungkin orang lain.

Panas pagi makin beransur terik. Bahangnya membuat saya gelisah. Samion tidak memperlihatkan yang dia mahu menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool.

Saya jadi putus asa dan merancang untuk mengajak Andi Kamarool meninggalkan orang tua itu.

"Memang ada macam-macam cerita tentang rumah tu. Dulu, masa saya mula-mula bekerja, saya disuruh oleh abang Mia menjaga rumah tu waktu malam.

"Saya disuruh duduk dekat pintu ruang tamu, di situ ada piano besar warna hitam. Piano itu berbunyi sendiri waktu tengah malam buta.

"Macam ada jari-jari yang menyentuh mata piano. Bila saya amati dan dekati, bunyi piano itu terus hilang," Samion membuka pengalaman dirinya. Sesuatu yang menyeronokkan untuk kami dengar.

"Tapi, saya tak nampak piano tu," Andi bersuara.

"Kira-kira dua tahun lalu, abang Mia membawa piano itu ke Medan, sejak itu saya tak dengar ceritanya lagi. Saya jadi jaga selama dua bulan saja. Saya tak tahan."

"Maksud pak cik?"

Samion renung muka Andi Kamarool. Puntung rokok daun yung terkapit di bibir dibuangnya ke atas rumput. Matanya masih lagi tertumpu ke rumah batu lama.

"Pak cik tak tahan diganggu dengan macam-macam benda pelik. Pak cik pernah dihumban ke tengah padang waktu malam kerana pak cik terlena di depan pintu. Esoknya pak cik minta tukar kerja menjaga pokok- pokok getah."

"Dahsyat," keluh saya.

Samion hanya tersenyum dan bersedia untuk melangkah pergi, tetapi tindakannya itu segera dihalang oleh Andi Kamarool.

"Nanti Mia marah," katanya.

"Sekejap saja pak cik, kami cuma mahu dengar saja bukan nak buat apa-apa. Mia sendiri cakap pada saya, kalau ada apa-apa yang mahu tahu tentang rumahnya, tanya saja dengan pak cik," saya terus membohonginya.

Mendengar kata-kata itu, Samion nampak ceria sekali. Dia tidak jadi melangkah malah terus duduk bersila atas rumput.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 173/284

BACA: SBDJ Siri 172: Lembaga Di Pintu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com