Isnin, September 16, 2019

Sejarah Batu Sumpah Keningau Sebagai Lambang Pembentukan Malaysia


Loading...

Kecuali ayat yang ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan ejaan lama, "batu sumpah peringatan" di hadapan Pejabat Daerah Keningau kelihatan seperti batu biasa yang lain dan kebanyakan pelawat langsung tidak ambil peduli maksud perkataan yang tertera pada plak yang dipasang pada batu itu yang berbentuk tapak kaki besar.

Batu Sumpah Keningau

Namun, selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan pada 16 September 2010 yang lalu di Sabah, batu bersejarah ini sedikit sebanyak akhirnya mendapat pengiktirafan.

BATU BERSEJARAH

Batu Sumpah Keningau itu pada mulanya ditempatkan di dalam kawasan pejabat daerah, tetapi kemudian dipindahkan ke tapak baharu di satu lokasi strategik berhampiran Muzium Warisan Keningau, pada 9 September 2018 lalu, dijenamakan semula sebagai khazanah negara supaya seluruh rakyat mengetahui kewujudan dan kepentingannya dalam sejarah pembentukan negara Malaysia.

Orang yang terlibat dengan batu sumpah peringatan ini ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Tan Sri Richard Lind.

Menurutnya, idea mengadakan Batu Sumpah Keningau itu timbul semasa usaha mengatasi bantahan awal ketua-ketua kaum pribumi terhadap langkah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.

Beberapa ketua masyarakat pribumi terkemuka, yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya (OKK), pada awalnya bimbang dengan idea Sabah menyertai Persekutuan, kerana khuatir yang mereka tidak faham dengan apa yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, jelas Richard, yang pada masa itu merupakan Pegawai Daerah Keningau.

Banyak rundingan dan perbincangan diadakan bagi mengatasi rasa khuatir dan keraguan mereka dan akhirnya, muncul idea untuk mengadakan batu sumpah peringatan itu sebagai menunjukkan penerimaan mereka terhadap Gagasan Malaysia.

BATU HIKMAH

OKK Keningau, Mohd Amir Arif
OKK Keningau, Mohd Amir Arif.

Usaha mencari batu untuk peringatan kemudiannya dimulakan dan perlu disiapkan sebelum ulang tahun pertama kemerdekaan Sabah menerusi Malaysia.

Selepas memulakan usaha mencari batu yang sesuai, akhirnya beliau menemui sebuah batu di tengah-tengah Sungai Pegalan, berdekatan Kampung Senagang, sebuah perkampungan kecil yang terletak di tepi Jalan Keningau-Tenom.

Batu itu mempunyai kesemua ciri untuk digunakan sebagai batu sumpah bagaimanapun, mengeluarkannya dari sungai pegalan bukannya mudah kerana ia berada di tengah-tengah sungai yang agak deras airnya.

Bagaimanapun, dengan bantuan seorang kontraktor binaan tempatan, Nip Kui Chiang, batu itu berjaya dinaikkan dari sungai dan dipindahkan ke tapak yang dipersetujui oleh para pemimpin tempatan.

Beliau kemudian menempah sebuah plak daripada Thornycraft Shipyard di Singapura untuk dipasang pada batu itu.

Para pemimpin tempatan mahu Ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merasmikan batu itu tetapi tugas itu diwakilkan kepada Menteri Buruh Persekutuan Tan Sri V. Manickavasagam ketika itu.

16 September 1964

Pada 16 Sept 1964, bersempena ulang tahun pertama Hari Malaysia, ramai yang datang ke perkarangan Pejabat Daerah untuk menyaksikan majlis bersejarah merasmikan batu sumpah itu.

Antara yang hadir pada masa itu ialah Ketua Menteri Tun Fuad Stephens, presiden Pasok Momogun, parti pembangkang utama pada masa itu, Datuk G.S.Sundang, Setiausaha Persekutuan ketika itu Yeap Kee Aik, OKK Sedomon Gunsanad, OKK Angian Andulag, para pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ketua masyarakat pribumi, ketua kampung serta wakil dari pelbagai kumpulan etnik.

Batu sumpah peringatan ini dengan berat lebih dua tan, merupakan batu simbolik yang mempamerkan syarat-syarat yang dipersetujui penduduk pribumi Negara Sabah untuk menerima gagasan Malaysia.

Syarat yang tertera pada plak itu (dalam bahasa Melayu) menyatakan tiga rukun; Kebebasan beragama di Sabah; kerajaan negeri Sabah mempunyai kuasa berhubung hal ehwal tanah di negeri ini; dan budaya serta tradisi penduduk pribumi di negeri ini dilindungi dan dipulihara oleh kerajaan.

Di sebaliknya, penduduk di pedalaman menjanjikan kesetiaan mereka kepada kerajaan Malaysia.

UPACARA MONINGOLIG

Upacara Moningolig Batu Sumpah

Pada tahun-tahun awal, satu upacara korban yang dipanggil 'moningolig' diadakan di situ bersempena sambutan Hari Malaysia, yang dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk ahli politik, petugas kerajaan, pelajar serta pemimpin masyarakat yang mewakili pelbagai kaum etnik.

Upacara ini juga merupakan penghargaan kepada para pemimpin zaman sebelum kemerdekaan untuk mengingatkan generasi muda akan peranan Sabah dalam mewujudkan Persekutuan Malaysia.

Semasa acara korban julung kali apabila batu itu dirasmikan, satu perkara ganjil berlaku, seekor ayam jantan putih 'tidak mahu mati' walaupun selepas disembelih.

Ayam jantan itu YANG telah mati telah dibawa pulang, namun tiba-tiba hidup semula dan ayam jantan itu terselamat.

PEMBENTUKAN MALAYSIA

Ada yang berpendapat Malaysia tidak akan wujud jika tiada Batu Sumpah Keningau kerana sebelum negara baharu dibentuk, rakyat di pedalaman Sabah menentang cadangan penubuhannya yang turut membabitkan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Hanya pada tahun 1962 selepas perundingan antara pemimpin tempatan di daerah ini dengan pemimpin dari Tanah Melayu diwakili timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, barulah rakyat di pedalaman setuju dengan cadangan itu.

Namun persetujuan itu ada syaratnya dan sebagai tanda penerimaan kerajaan Pusat dan rakyat Sabah terhadap syarat berkenaan, satu batu sumpah dibina mengikut kepercayaan sistem adat anak negeri Sabah di daerah ini.

Mengikut sejarah, Tun Abdul Razak berjumpa pemimpin berpengaruh di pedalaman, OKK Sodoman Gunsanad di Bingkor, pada tahun 1962 bagi menyelesaikan isu penentangan rakyat pedalaman terhadap pembentukan Malaysia.

Pertemuan itu membawa kepada persetujuan mengandungi tiga perkara utama diatas, yang akhirnya membawa kepada janji rakyat di pedalaman Sabah untuk bersumpah taat setia kepada kerajaan Malaysia.

Peristiwa itu berlaku selepas pungutan suara Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 yang mendapati satu pertiga daripada responden ditemui menentang gagasan Malaysia.

Satu pertiga yang menentang itu adalah dari kawasan pedalaman, kerana OKK Sodomon berpendapat rakyat Sabah perlu diberi peluang mentadbir sendiri negeri mereka selepas British berundur sebelum menyertai Malaysia.

Namun, selepas perundingan dengan Tun Abdul Razak, beliau menerima cadangan supaya Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung serentak untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

MA63

Batu Sumpah Keningau turut berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sentiasa menjadi isu hangat sejak lama dahulu.

Batu Sumpah Keningau didirikan pada 31 Ogos 1964 setahun selepas pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai dasar kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan intipati 20 Perkara yang merujuk hak istimewa penduduk peribumi Sabah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon