Tuesday, November 24, 2020

Hiperinflasi Yang Menghancurkan Negara Venezuela


Negara Venezuela sangat terkenal sebagai negara yang menawarkan harga petrol paling murah di dunia serta mempunyai simpanan minyak antara yang terbesar berbanding semua negara pengeluar minyak, tetapi sedang mengalami hiperinflasi.

Hiperinflasi

Bagaimana seksanya hidup dalam keadaan hiperinflasi? Sangat, sangat sukar.

Mengambil negara kita sebagai perbandingan, Venezuela berdepan kadar inflasi setinggi lebih 1,000,000% (ya! satu juta peratus) berbanding Malaysia yang hanya berdepan inflasi pada kadar 1.5-2.0% pada tahun 2020.

Sehingga penghujung 2017, ada tiga negara di dunia sedang menghadapi kadar inflasi melebihi 100% selama tiga tahun berturut-turut iaitu Sudan Selatan, Suriname dan paling teruk sudah tentulah Venezuela.

Apa itu hiperinflasi? Bagaimana hiperinflasi memberikan kesan buruk pada sesebuah negara?

Dalam sebuah sistem ekonomi yang baik, akan berlaku kenaikan atau penurunan kadar inflasi yang stabil dan seimbang.

Harga, pengeluaran serta faktor-faktor lain yang merangsang atau merencatkan ekonomi memberi kesan naik turun dalam amaun yang sedikit.

Secara keseluruhannya, tidak ada masalah inflasi naik sedikit asalkan ekonomi sesebuah negara akan berkembang dalam jangka masa panjang.

Namun, ada masanya sesebuah negara gagal mengawal ekonomi mereka dengan baik sehingga mengalami fenomena yang dinamakan hiperinflasi.

Sekiranya anda terkejut dengan ramalan Venezuela boleh mencapai kadar kenaikan inflasi 1 juta peratus sekiranya tidak dibendung, anda perlu tahu kadar inflasi tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah dunia adalah 2.2 juta peratus, yang terjadi pada ekonomi negara Zimbabwe pada tahun 2009.

Kenaikan kadar inflasi pada tahap 15 peratus sekalipun, walaupun dilihat besar sepatutnya tidak mengganggu gugat kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Kebiasaannya, masyarakat masih mampu mengubah dan mengurangkan beberapa aspek hidup mereka untuk menampung kenaikan kos itu.

Jadi perlu kita fahami, inflasi adalah sesuatu yang normal sekiranya naik melebihi 10 peratus sekalipun.

Berkenaan hiperinflasi, tidak ada kadar tetap untuk sebuah kadar inflasi dikatakan sudah mencapai tahap hiperinflasi.

Semuanya bergantung kepada kenaikan bulan ke bulan yang berlaku dalam ekonomi negara tersebut, dengan hiperinflasi akan diisytiharkan sekiranya kadar inflasi naik mendadak dalam jangka masa yang singkat tanpa henti.

Kesan hiperinflasi yang sangat besar memang memburukkan keadaan; pendapatan yang diperolehi orang ramai akan dianggap tidak mencukupi walaupun hanya untuk membeli barangan keperluan asas.

Mengapa hiperinflasi berlaku di Venezuela?

Penganalisis secara majoritinya bersetuju kejatuhan harga minyak mendadak menyebabkan kejatuhan ekonomi Venezuela.

Negara itu sangat bergantung dengan hasil minyak dan juga dibebankan dengan jumlah hutang negara dalam bentuk matawang asing yang tinggi.

Venezuela dianggarkan mempunyai jumlah hutang luar negara setinggi 50 bilion dolar dan kejatuhan harga minyak menyebabkan negara tersebut kehilangan dana untuk membayar semula hutang-hutang itu.

Ini juga menyebabkan nilai matawang mereka 'bolivar' menjunam sehingga mengakibatkan nilai hutang mereka dalam matawang dolar meningkat berkali ganda.

Untuk membantu menyelesaikan hutang ini, kerajaan Venezuela terpaksa mencetak lebih banyak wang bolivar sebagai dana untuk membeli matawang asing seperti dolar contohnya, bagi menjelaskan hutang yang perlu dibayar.

Ini menyebabkan matawang bolivar kehilangan nilainya apabila berlaku lambakan wang tersebut ke dalam pasaran tempatan.

Bila bekalan jumlah wang bolivar melebihi keperluan negara tersebut, nilai bolivar akan semakin susut.

Jumlah hutang dalam kadar matawang asing yang perlu dibayar pula tidak berkurangan, malahan semakin bertambah.

Nilai bolivar yang diperlukan untuk membeli wang dollar pula semakin meningkat hari ke hari, menyebabkan hiperinflasi teruk pada Venezuela.

Bagaimana rasanya hidup dalam keadaan hiperinflasi?

Hiperinflasi

Ketika ini, diramalkan tahap pengangguran Venezuela akan mencecah 36% pada tahun 2022. Masalah yang paling besar, untuk bekerja juga dilihat tidak berbaloi.

Orang ramai tidak lagi dapat bergantung harap dengan sumber pendapatan mereka kerana nilai matawang Venezuela boleh turun mendadak bila-bila masa.

Ini menyebabkan jumlah pendapatan yang mereka terima tidak membolehkan mereka berbelanja untuk membeli apa-apa.

Kedai makan tidak lagi berani meletakkan harga kerana harga boleh berubah bila-bila sahaja dan pasaraya juga tidak lagi diwajibkan memaparkan tanda harga.

Harga barang pula sangat menggerunkan kerana untuk membeli segulung tisu tandas, mereka perlu membayar 2.6 juta bolivar yang bersamaan dengan RM43.20.

Seekor ayam pula berharga 14.6 juta bolivar, bersamaan dengan RM242.50. Harga dah mahal kan? Nak membayarnya pun satu masalah besar.

Untuk membayar satu gulung tisu tandas, rakyat Venezuela perlu membawa wang kertas 1000 bolivar setinggi 26cm tebal dan mempunyai berat 2.6 kg.

Membayar ayam? Mereka perlu membawa wang tunai setebal 73 cm dengan berat sebanyak 14.6 kg.

Apa yang lebih malang, nilai wang Venezuela boleh berubah setiap masa, jadi ada kemungkinan ketika mereka dalam perjalanan hendak membeli tisu dan ayam, harganya sudah naik menyebabkan mereka tidak lagi mampu membeli barangan tersebut. Begitulah parahnya kesan hiperinflasi kepada ekonomi.

Diet masyarakat mereka juga mula berubah dengan 3 daripada 4 orang mengalami penurunan badan ketara dengan purata 9kg.

Harga makanan meningkat sehingga 300% dalam tempoh 5 tahun sehingga menyebabkan orang ramai kembali bergantung kepada ubi kentang sebagai makanan utama.

Kesan buruk pada pekerjaan dan masa depan

Pelacur

Oleh kerana pendapatan atau gaji sudah tidak lagi membawa nilai pada penduduk Venezuela, banyak syarikat kini memilih untuk membayar pekerja mereka dengan barangan keperluan asas.

Wang ringgit yang tiada lagi nilai turut sama memaksa orang ramai mula menggunakan sistem barter.

Memiliki barangan keperluan asas seperti sabun, minyak masak dan bahan mentah dilihat jauh lebih penting berbanding keperluan memiliki wang.

Sebagai contoh, sebuah syarikat keselamatan Venezuela yang tular pada awal 2018, menawarkan gaji 2 juta bolivar yang masih belum cukup untuk membeli tisu tandas sebagai pengawal keselamatan.

Sebagai ganjaran tambahan, pekerja yang bekerja dengan baik ditawarkan bonus 36 biji telur seminggu untuk dibawa pulang ke rumah.

Salah satu kesan lain yang paling menakutkan adalah dalam sekelip mata, keseluruhan simpanan rakyat Venezuela hilang nilainya.

Keadaan ini menyebabkan sistem ekonomi Venezuela menjadi lebih kucar-kacir kerana orang ramai tidak lagi mempunyai minat untuk terus menyimpan wang untuk tujuan melabur; menyumbang kepada kejatuhan ekonomi yang lebih dahsyat kerana kerajaan kini ketiadaan modal untuk dijadikan suntikan kepada penggerak industri.

Selain itu, aktiviti pelacuran juga berleluasa kerana aktiviti itu adalah salah satu bentuk perniagaan yang tidak memerlukan sebarang modal.

Situasi hiperinflasi yang berlaku di Jerman pada awal abad ke 20 membuktikan aktiviti pelacuran melibatkan pelacur lelaki dan wanita berleluasa, disebabkan tekanan hidup yang mendadak pada ketika itu.

Yang lebih membimbangkan, kadar jenayah juga akan turut meningkat setiap kali sesebuah negara mengharungi situasi hiperinflasi, kerana kerajaan kini ketiadaan dana yang cukup untuk membayar gaji petugas keselamatan yang memadai dengan kos sara hidup.

Ini menyebabkan kewujudan situasi di mana undang-undang diabaikan dan orang ramai mula menjadikan mencuri itu tabiat bagi memudahkan mereka menjalankan urusan barter.

Jenayah bunuh juga semakin menjadi-jadi dengan 73 orang warga mereka dibunuh setiap hari berdasarkan statistik, selain daripada jenayah rompakan dan penculikan menjadikan negara tersebut, yang satu masa dulu terkenal sebagai antara negara paling mementingkan kebajikan rakyat mereka runtuh, semua kerana hiperinflasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon