Sunday, May 24, 2020

Vaksin Pertama Covid-19 Di China Lulus Ujian Fasa Pertama Untuk Manusia

Vaksin Pertama Covid-19 Di China Lulus Ujian Fasa Pertama Untuk Manusia

Ujian percubaan klinikal pembangunan vaksin di China didapati selamat, bertoleransi serta mampu menghasilkan tindak balas yang baik terhadap imun SARS-CoV-2 pada manusia, sekali gus menyaksikan vaksin pertama yang berjaya melepasi ujian klinikal fasa pertama.

Vaksin Covid-19

Menurut kajian yang diterbitkan jurnal perubatan The Lancet pada Jumaat (22/5/2020), ujian tersebut dijalankan terhadap 108 individu dewasa yang sihat dan ia menunjukkan petanda yang baik selepas 28 hari.

Hasil akhir ujian tersebut akan dinilai dalam tempoh enam bulan lagi kerana ujian lebih lanjut diperlukan bagi mengetahui sama ada tindak balas imun yang dihasilkannya dapat melindungi secara berkesan terhadap jangkitan COVID-19.

Uji kaji menunjukkan satu dos vaksin adenovirus COVID-19 jenis 5 (Ad5-nCoV) menghasilkan antibodi virus-spesifik dan sel T dalam tempoh 14 hari, sekali gus menjadikan ia berpotensi untuk penyelidikan lebih lanjut.

Teori Konspirasi

Penularan Covid-19 sudah pastinya tidak terlepas daripada dikaitkan dengan perang biologi dan teori konspirasi.

Misalnya, seorang pegawai tinggi tentera Iran pernah mendakwa Covid-19 mungkin merupakan senjata biologi Amerika Syarikat (AS) yang mahu memusnahkan negaranya.

Sesetengah pihak di AS pula menuduh China cuba melindungi punca sebenar penularan wabak Covid-19 yang berasal dari sebuah makmal di Wuhan dan bukannya bermula di sebuah pasar di bandar itu.

Koronavirus yang sebelum ini dikenali sebagai 'Wuhan Flu', pernah diramal kemunculannya oleh Dean Koontz dalam novel terbitan 1981, The Eyes of Darkness, kononnya virus ini merupakan ciptaan saintis China untuk dijadikan senjata biologi.

Dalam novelnya, Koontz menceritakan virus itu diberi nama 'Wuhan-400' kerana dihasilkan di sebuah makmal di bandar Wuhan.

Menurut The Eyes of Darkness, virus Wuhan-400 hanya berinkubasi di dalam tubuh manusia selama empat jam sebelum mangsa mati.

Ini berbeza sama sekali dengan fakta bahawa Covid-19 berinkubasi sehingga 14 hari manakala pesakit tidak mati serta-merta seperti yang digambarkan dalam novel fiksyen berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, May 23, 2020

3 Kluster Covid-19 Di Malaysia Angkara Rentas Negeri!

3 Kluster Covid-19 Di Malaysia Angkara Rentas Negeri!

Kementerian Kesihatan mendedahkan punca tiga kluster jangkitan COVID-19 yang terdapat di negara ini menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, tiga kluster jangkitan Covid-19 di Malaysia iaitu kluster PUI (individu dalam siasatan) Bali, Pengerang dan Rembau, adalah berkaitan kluster Rentas Negeri.

SOP Pergerakan Rentas Negeri

Kluster ke-14 yang telah diisytiharkan tamat iaitu PUI Bali adalah contoh bagaimana perjalanan rentas negeri sangat berisiko tinggi menyebarkan jangkitan COVID-19 tanpa disedari individu yang membawa virus itu.

Kes bermula apabila seorang individu dari Tumpat, Kelantan, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali mengadakan kontak rapat dengan abangnya di Kuantan.

Abangnya dimasukkan ke hospital swasta kerana masalah pernafasan dan menjangkiti pesakit lain serta petugas kesihatan dan seramai 43 orang menerima padah dijangkiti dan menyebabkan empat kematian.

Sementara bagi kes Kluster Pengerang, kes indeks (pesakit positif asal) yang mulanya disyaki denggi merentas negeri untuk ke Selangor dan menjangkiti individu lain dan menular melalui aktiviti kunjung-mengunjung.
Kluster Rembau membabitkan seorang peserta perhimpunan di Masjid Seri Petaling yang hadir ke mesyuarat di sebuah sekolah di Pedas, apabila jangkitan kemudian menular apabila ada yang menziarahi individu dijangkiti COVID-19 itu.

Justeru, kerajaan melarang perjalanan rentas negeri kecuali mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas faktor kerja dan kecemasan sahaja.

Begitu juga aktiviti ziarah di Aidilfitri kerana ada yang mungkin membawa virus dan menjangkiti sanak-saudara sekali gus mengancam nyawa terutama warga emas serta kanak-kanak.

Pergerakan Rentas Negeri Di Haramkan!

Berikutan ramai individu masih berdegil atas larangan rentas negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa pergerakan rentas negeri kini tidak lagi dibenarkan sama sekali.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa sekarang ini, orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang bagi mendapatkan kebenaran daripada polis kerana, pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

"Tak perlu lagi beratur panjang untuk mendapatkan kebenaran daripada polis kerana mereka tidak akan benarkan," katanya pada sidang akhbar (Non-Health).

Malah, individu yang cuba merentas negeri bukan sahaja akan diarahkan berpatah balik tetapi dikompaun di lokasi sekatan.

"Kita telah bersetuju bukan sahaja arahkan berpatah balik tetapi dikompaun di lokasi sekatan. Kita mahu rakyat sedar bahawa kerajaan benar-benar serius tidak membenarkan rentas negeri.

"Kita semua sedia maklum menerusi laporan media di mana seorang wanita pulang ke kampung di Kuala Krai merentas negeri didapati postif. Kita tidak ada kompromi dalam perkara ini," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Punca Madu Kelulut Berbuih Dan Cara Penjagaannya

Punca Madu Kelulut Berbuih Dan Cara Penjagaannya

Madu kelulut anda berbuih sampai tumpah atau botol pecah? Power sangat madu kelulut ni. Dalam madu ada yis, gula, dan air. Bila ada cahaya dan suhu bersesuaian, yis ini akan menapai dan membebaskan gas.

Punca Madu Kelulut Berbuih
sumber gambar: facebook.

Gas yang terhasil inilah yang akan membuakkan madu bila botol dibuka dan boleh juga pecahkan botol kalau tekanan terlalu tinggi apabila digoncang atau penutupnya terlalu lama tidak dibuka.

Selain itu, madu yang terfermentasi (penutup tidak dibuka) terlalu lama juga juga akan menjadi lebih masam, tetapi TIDAK ROSAK dan masih selamat diminum.

Secara amnya madu boleh dikenali melalui 4 ciri-ciri penting iaitu warna, rasa, bau dan kelikatan.

Warna Madu

Warna madu lebah kelulut tidak seragam. Ianya ada yang berwarna jernih dan sehingga gelap pekat, bergantung kepada tahap kematangan madu yang dituai.

Semakin matang madu, semakin gelaplah warnanya. Ia juga bergantung kepada jenis kelulut yang diternak dan sumber makanan yang dominan di kawasan penternakan.

Rasa madu lebah kelulut adalah manis dan masam. Adakala terasa agak pahit.

Berdasarkan Sijil Kemahiran Malaysia mengenai penternakan kelulut, terdapat 4 rasa madu kelulut iaitu Manis Manis, Manis Masam, Masam Manis dan Masam Masam.

Rasa Madu

Rasa manis madu adalah daripada sumber gula ringkas yang dihasilkan oleh Lebah Kelulut dari Nektar yang dihisap (glukose, sukrose dan fruktose).

Rasa masam adalah daripada kandungan asid asitek yang terhasil daripada penapaian gula oleh Yis dengan kehadiran kandungan lembapan dalam madu.

Manakala rasa pahit sedikit berkemungkinan datang daripada sumber propolis.

Bau Madu

Secara umumnya madu berbau harum manis dan adakalanya ia berbau seperti bau bunga, pokok yang menjadi dominan di kawasan penternakan.

Sebagai contoh sekiranya haif diletakkan dalam kawasan kebun durian dan pada waktu tersebut pokok durian sedang berbunga, madu lebah kelulut yang dituai akan berbau bunga durian, begitu juga sekiranya ia diternak di dalam kawasan pokok gelam atau akasia.

Kelikatan Madu

Seringkali juga kita membandingkan kelikatan cairan madu lebah madu dan lebah kelulut.

Sebenarnya secara purata, madu lebah kelulut dan lebah madu yang baru dituai adalah cair berbanding madu di pasaraya atau madu import, kerana madu lebah mentah mengandungi kandungan lembapan (moisture) yang tinggi.

Madu lebah mengandungi sehinggan 25% manakala madu kelulut mengandungi sehingga 35%.

Untuk dipasarkan, biasanya madu mentah ini akan diproses menyahlembapan untuk mengurangkan kandungan air bagi mengelakan madu tertapai yang akan menghasilkan gas dan menyebabkan madu teruap atau botol pecah.

Punca Madu Berbuih

Madu Lebah Kelulut dan madu lebah tualang yang dikeluarkan oleh penternak kecil-kecilan, seringkali kelihatan berbuih apabila penutupnya dibuka.

Ini adalah disebabkan madu masih mengalami proses penapaian yis yang akan menghasilkan gas karbon dioksida.

Apabila anda membeli madu ini, dinasihatkan untuk membuka tudung, penutup botol dan menutupkannya dengan kain sahaja serta diikat. Letakkannya di dalam freezer untuk 'menghentikan' buat sementara aktiviti penapaian yis.

Ataupun buatkan lubang kecil di penutup botol untuk membolehkan gas yang terhasil dibebaskan dan mengelakkan botol madu pecah. Madu masih boleh dimakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: goldenagro

SBDJ Siri 143: Cahaya Misteri Dari Laut

SBDJ Siri 143: Cahaya Misteri Dari Laut

Saya lihat Datuk berada dalam keadaan serba salah. Berkali-kali dia merenung ke arah laut. Nyak Sulaiman meraba cuping telinga kirinya berkali-kali. Sesekali dia menggigit bibir, Nyak Sulaiman resah semacam.

SBDJ siri 139

"Saya ingatkan makhluk ganjil tidak kacau orang muda macam Tamar ni," tersipu-sipu Nyak Sulaiman bersuara.

Saya kira, itu adalah jawapan yang kurang tepat. Alasan yang tidak munasabah, sekadar mahu melepaskan batuk di tangga.

Inilah kesimpulan yang dapat saya rumuskan dari jawapan Nyak Sulaiman itu.

"Katakan saja, bukan itu jawapannya. Kamu ada niat lain," sanggah Datuk.

"Kamu mahu menarik perhatian aku dengan harapan dapat menolong kamu. Aku tahu kamu malu berterus terang," tambah Datuk lagi.

Saya lihat air muka Nyak Sulaiman berubah. Dia malu.

"Iya memang itu tujuan saya," Nyak Sulaiman mengaku.

Datuk terus tersenyum. Dua tiga kali saya menggaru pipi yang secara tidak semena-mena terasa gatal.

"Kamu mahu aku berusaha dan bertindak?" tanya Datuk.

"Iya," angguk Nyak Sulaiman.

"Kalau begitu ikut aku, jangan tegur dan jangan tanya apa yang aku buat," ujar Datuk.

Serentak saya dan Nyak Sulaiman mengangguk. Datuk pun bangun lalu melangkah menuju ke bilik tidur.

Tanpa banyak cakap dan karenah, saya dan Nyak Sulaiman terus mengekori Datuk menuju ke bilik tidur khas Nyak Sulaiman.

Sebaik saja pintu bilik dibuka, saya terkejut dan merasa hairan yang amat sangat, keadaan dalam bilik berselerakan.

Meja bulat diterbalikkan dengan kaki ke atas. Mata pedang terpisah dari sarung. Matanya berada atas katil manakala sarungnya berada di bawah katil. Paling mencemaskan hati mata pedang berlumuran dengan darah.

Masa saya tinggalkan kamar tidur, keadaan tidak sedemikian, saya kira ada manusia melakukan semuanya ini. Siapakah manusia itu?

Datuk angkat tangan kiri, memberi isyarat supaya (saya dan Nyak Sulaiman) jangan melangkah. Badan kami juga jangan melebihi bahu atau berdiri selari dengan badannya (Datuk).

Sepasang mata Datuk menyorot tiap liku bilik. Tiba-tiba cadar atas katil bergerak sendiri lalu membungkus mata pedang.

Dalam suasana yang serba aneh itu, saya terdengar dengan jelas Datuk menyebut perkataan 'BISMILLAH' dengan tenang.

Kemudian dituruti dengan beberapa rangkap ayat dari al-Quran yang tidak berapa jelas kedengaran.

Bila pembacaannya selesai, Datuk terus menyentap kain cadar yang membalut mata pedang dan segera dihumban ke sudut bilik.

Kemudian, dengan terburu-buru dia mendekati kain tersebut. Tiga kali dia memijak kain cadar dengan tumitnya.

KAIN

Setelah selesai melakukan semua itu, kain cadar terus digulung bulat macam bola lalu ditendang dengan tumit kaki kanan lima kali berturut-turut ke arah dinding.

Kain cadar itu dibiarkan terkapar atas lantai. Datuk renung ke arah katil dengan dahi yang berkerut sambil menarik nafas panjang.

Dia menggenggam penumbuk (tangan kiri) dua tiga kali dia menumbuk angin.

"Huppp..." suaranya lantang.

Dia membuka langkah silat, bergerak ke kiri dan ke kanan. Kemudian berdiri kaku macam patung lebih kurang tiga empat minit.

Setelah itu dengan tenang Datuk melangkah ke katil mengambil mata pedang dan terus dimasukkan ke sarungnya.

Perlahan-lahan Datuk alihkan pandangan ke wajah saya. Renungannya cukup tajam, sinar matanya bagaikan berapi.

"Kamu langkah meja bulat tu dari kiri ke kanan, tiga kali berturut-turut. Pejamkan mata kiri dan mulakan langkah kiri dengan hanya ibu jari kanan menyentuh lantai, lepas langkah pertama barulah boleh memijak lantai dengan biasa," arahan yang dikeluarkan oleh Datuk, saya dengar dengan teliti.

Apa yang disuruhnya segera saya lakukan dengan cermat. Bila tugas itu selesai saya laksanakan seluruh badan terasa lemah.

Sendi-sendi terasa sakit macam ditusuk benda tajam dan pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan terasa melayang-layang dan dalam mengimbangi badan itu saya terjatuh.

Nasib baik Datuk segera memeluk dan terus memangku tubuh saya. Dengan tenang Datuk menekan ibu jari kirinya ke pangkal kening kanan saya.

Dengan sekali urut di kelopak mata, saya kembali pulih dan bertenaga macam biasa.

Bila saya memegang meja hitam untuk mengalihkan kedudukannya ke tempat lain, Datuk segera menghalang.

Dia keluarkan arahan menyuruh Nyak Sulaiman memikul meja hitam untuk dibawa di bahagian atas bot. Tugas membawa pedang samurai adalah tanggang jawab Datuk.

Apa yang saya lihat Datuk tidak menyandang pedang samurai, sebaliknya dia memikul pedang tersebut.

Datuk pun memulakan langkah dalam keadaan badan yang agak membengkok. Mukanya berkedut seolah-olah pedang yang dipikulnya itu amat berat sekali.

Dengan sekelip mata saya lihat dahi dan pipinya bermandikan peluh. Dalam keadaan yang serba payah itu, Datuk terus melangkah dengan hati-hati agar tubuhnya jangan sampai jatuh.

Sebaik saja sampai di bahagian atas bot, tanpa berlengah-lengah lagi, Datuk terus menghempaskan pedang samurai atas lantai. Bot yang ditumpangi terasa bergegar.

Datuk yang kepenatan terus mengesat peluh di dahi dengan telapak kanannya berkali-kali. Dia berehat sejenak untuk menghilangkan rasa penat.

Bila Datuk merasakan badannya sudah bertenaga, dia terus berdiri dekat pedang. Buat beberapa minit pedang samurai direnung dari pangkal ke hujung, dari hujung ke pangkal, perbuatan ini dilakukannya berkali-kali.

Datuk termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya, Datuk merenung ke arah Nyak Sulaiman.

"Beratnya macam memikul beras seguni," rungut Datuk sambil menggaru pangkal dagunya berkali-kali.

"Begini..." belum pun sempat Nyak Sulaiman meluahkan kata-kata selanjutnya, Datuk segera memberi isyarat ke arahnya supaya jangan berkata-kata.

Menyedari kesilapannya, Nyak Sulaiman terus tunduk merenung lantai bot.

Saya menarik nafas lega kerana dari air mukanya saya dapat menduga bahawa Nyak Sulaiman tidak tersinggung dengan apa yang Datuk lakukan.

Bot besar terus bergerak membelah ombak, menyongsong angin. Bintang di langit masih bertaburan.

Angin laut membuat saya menggigil dan mahu mencari tempat untuk memanaskan badan. Disebabkan ada pantang larang yang mesti dipatuhi, hasrat hati saya (mungkin juga hasrat hati Nyak Sulaiman) tidak dapat dilaksanakan.

HUJUNG

Tiba-tiba saya lihat Datuk mencangkung di hujung pedang. Dengan ibu jari kaki kiri, Datuk menekan hujung pedang.

Saya mengedutkan kening, badan pedang terangkat macam ada sesuatu yang menolaknya.

Pedang terus terpacak tetapi, hujung ibu jari kaki Datuk tetap menyentuh hujung sarung pedang.

Perhatian saya dan Nyak Sulaiman tertumpu ke arah Datuk. Tiba-tiba terpancar cahaya dari permukaan laut, macam cahaya kilat yang bentuknya memanjang macam tali kerbau. Dan tali itu menghala ke arah Datuk.

Saya lihat Datuk mengeliat menahan kesakitan. Baju yang di pakainya terkoyak di tengah iaitu di bahagian tulang belakang.

Koyak itu bermula dari bahagian tengkuk hingga ke bahagian tulang punggung.

"Ambilkan aku baju baru, baju cekak musang warna hitam," jerit Datuk sambil merenung ke arah saya.

Harapan Datuk itu segera saya penuhi, tergesa-gesa saya berlari ke arah beg rotan yang terletak di sudut bot. Baju segera saya keluarkan dan lari ke arah Datuk kembali.

"Jangan dekati aku, campakkan saja baju tu kepada aku," Datuk mengeluarkan arahan, bila dia menyedari yang saya cuba mendekatinya.

Tanpa membuang masa, baju hitam segera saya campakkan. Dengan tenang Datuk menyambutnya dan secepat kilat baju itu disarungkan ke badan.

Ibu jari kaki masih tidak berganjak, tetapi menyentuh hujung sarung pedang.

"Allah hu akhbar..."

Suara Datuk meninggi sambil tangan kanannya menggenggam penumbuk yang dijulang ke langit.

Jeritan Allahhu akbar itu diulanginya tiga kali berturut-turut. Dengan serta merta cahaya dari permukaan laut yang berbentuk macam tali belati segera hilang. Suasana terasa amat tenang sekali.

Tetapi, kedudukan Datuk tidak berubah begitu juga dengan pedang samurai. Rupanya suasana tenang dan hening itu hanya untuk beberapa minit saja.

Saya dan Nyak Sulaiman dikejutkan dengan bunyi deru angin yang amat kuat.

Muka Nyak Sulaiman kelihatan pucat, saya tidak dapat berdiri dengan baik, macam ada sesuatu yang menolak batang tubuh, membuatkan badan saya bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Bunyi deru angin yang amat kuat itu membuat telinga saya terasa bengang, kelopak mata saya tidak boleh dibuka dengan luas, saya seperti berada di dunia lain. Bukannya berada di atas perut bot.

Di dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya terlihat dua lembaga hitam yang bentuknya tidak dapat saya pastikan.

Lembaga itu muncul dari laluan bot, saya kira lembaga itu datang dari laut lalu memanjat badan bot.

HILANG

Mulut saya bagaikan terkunci dan suara saya seperti hilang. Saya tidak berbuat apa-apa untuk memberitahu Datuk tentang lembaga tersebut.

Samar-samar saya lihat Nyak Sulaiman jatuh terlentang atas bot. Lembaga hitam terus melangkah ke arah saya.

Pada masa itu, saya lihat Nyak Sulaiman sudah boleh bangun dan terus merenung ke arah lembaga yang bergerak.

Bila sudah hampir dengan saya, lembaga hitam bertukar menjadi bentuk tentera Jepun. Nyak Sulaiman yang berada agak jauh dari saya nampak resah tidak menentu.

Dia segera bergerak mendekati saya dan berdiri di sebelah kanan.

Lembaga tentera Jepun yang melangkah, kian lama, kian dekat dengan kami ( saya dan Nyak Sulaiman).

Bila sudah dekat, barulah saya dapat melihat rupa dan bentuk lembaga tersebut dengan jelas. Keadaannya amat menakutkan, saya jadi sesak nafas.

Saya tidak sanggup menentang sepasang biji matanya yang merah menyala. Kulit perutnya terbelah dua, tali perutnya berjuntaian macam janggut sulung. Darah membuak-buak keluar dan lidahnya terjelir hingga ke paras lutut.

Lembaga itu terus rapat ke arah saya. Dengan tujuan untuk menyelamatkan diri saya, Nyak Sulaiman terus menerpa ke arah lembaga tentera Jepun.

Perbuatan Nyak Sulaiman menimbulkan kemarahan kepada lembaga tersebut. Saya lihat lembaga segera mengangkat tangan kanannya lalu mengembangkan jari-jarinya yang tidak berdaging.

Tulang jejari yang putih nampak bercahaya. Ruas ibu (tulang) jarinya agak panjang, berbeza dengan ruas jari manusia biasa. Lembaga itu menghayunkan tangannya menampar muka Nyak Sulaiman.

Dengan sekali hayun saja, Nyak Sulaiman tersungkur di lantai, menggeletek macam ikan tercampak atas daratan.

Dari geri Nyak Sulaiman itu ternyata dia mengalami rasa sakit yang amat sangat.

Apa yang berlaku di ikuti oleh Datuk dengan penuh debar tetapi, dia tidak dapat bertindak dengan berkesan, ibu jari kakinya yang bertemu dengan hujung pedang tidak boleh dipisahkan sebarangan.

"Kalau aku ubah ibu jari kaki, ada bencana lain datang," tutur Datuk sambil merenung ke arah saya.

Lembaga tentera Jepun kini mendekati saya, kedua belah tangannya dengan sepuluh tulang jemarinya menuju ke batang leher saya.

Apa yang harus saya lakukan? Demi Allah saya tidak sanggup menentangnya. Saya hanya pasrah pada keadaan.

"Bertenang, cucuku," jerit Datuk lagi.

Sepuluh tulang jari jemari lembaga sudah hampir mahu menyentuh batang leher saya.

Bau busuk terus menusuk lubang hidung saya. Sesungguhnya saya jadi lemas dengan bau tersebut.

"Aaaahhhhh..."

Mata saya tertumpu ke arah Nyak Sulaiman, kaki dan tangannya mula bergerak perlahan-lahan.

Beberapa saat kemudian seluruh tubuhnya dapat bergerak dengan sempurna. Nyak Sulaiman mengumpulkan tenaga untuk bangun.

Percubaan pertama dia gagal. Percubaan kedua juga mengalami kegagalan, sepasang lututnya bagaikan tidak berfungsi.

Nyak Sulaiman yang tidak kenal putus asa itu terus berusaha dan dia mencuba buat kali yang ketiga. Dengan izin Allah dia berjaya berdiri.

Nyak Sulaiman merasa kekuatan dirinya seperti sediakala. Sanggup menghadapi sebarang rintangan dari lembaga yang sedang mengancam diri saya.

GHAIRAH

Kerana terlalu ghairah mahu menyelamatkan diri saya, secara tidak sengaja Nyak Sulaiman melanggar pesan dan pantang larang Datuk yang melarang dia menegur apa yang Datuk lakukan.

"Eh, sahabat, usahlah kamu fikirkan tentang pedang Jepun tu, mari tolong aku selamatkan cucu kamu," jerit Nyak Sulaiman kepada Datuk.

Ternyata apa yang dilakukan oleh Nyak Sulaiman tidak disenangi oleh Datuk, tetapi dia memberi isyarat tangan supaya Nyak Sulaiman sendiri berusaha menghalang lembaga itu dari mengganggu saya.

Seperti yang dijangkakan, Nyak Sulaiman bertindak dengan berani, dia melompat dan berdiri di depan saya.

Dua kali dia melepaskan penumbuk kencang yang cukup kuat terhadap lembaga tersebut. Tindakan Nyak Sulaiman itu tidak memberi kesan apa-apa kepada lembaga sebaliknya lembaga itu terus bertindak balas.

Sepasang matanya merenung tajam ke muka Nyak Sulaiman, renungan itu membuat seluruh sendinya menggigil.

Mungkin kerana tidak tahan dengan sinaran mata lembaga itu membuat Nyak Sulaiman terhuyung-hayang.

Tidak mampu berdiri dengan sempurna, keadaan Nyak Sulaiman tidak ubah seperti orang mabuk.

Dalam keadaan Nyak Sulaiman tidak menentu itu, lembaga aneh terus angkat tangan kanan lalu melepaskan penampar ke arah pipi Nyak Sulaiman.

Tamparan yang kuat itu membuat Nyak Sulaiman tidak bersuara. Dia terus jatuh terlentang di lantai.

Lembaga yang sudah marah itu terus angkat kaki untuk memijak Nyak Sulaiman.

"Bergerak dari situ," kata Datuk.

Saya tidak tahu ke arah mana saya harus melangkah.

"Ke kanan," tutur Datuk lagi.

Arahan itu segera saya patuhi. Saya memejamkan mata bila melihat telapak sepatu lembaga tentera Jepun yang hanya berada dalam jarak tidak sampai satu inci dari dada Nyak Sulaiman.

Andainya telapak sepatu itu ditekan sudah pasti tulang dada Nyak Sulaiman patah dan hancur.

Di saat kecemasan, saya terdengar suara Datuk membaca Lau An Zal Nal dari Surah 59:21. Amat lantang dan jelas sekali suara Datuk menusuk ke lubang telinga saya.

Dengan mendadak saja, bot besar yang saya tumpangi terumbang ambing di main gelombang besar. Saya jadi cemas kerana saya mengira ribut besar sedang menguasai lautan.

Saya bayangkan bot akan dihempas gelombang ke batu karang lalu hancur berkecai.

Nyak Sulaiman dan anak buahnya, begitu juga saya dengan Datuk terus terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri.

Bayangan yang menakutkan itu membuat saya hampir mahu menitiskan air mata.

Apakah Datuk menghadapi masalah seperti apa yang saya alami? Timbul pertanyaan dalam hati kecil.

Setelah saya amati ternyata masalah itu hanya berlaku pada diri saya sendiri. Buktinya keadaan Datuk tetap macam tadi, masih boleh membaca ayat-ayat Quran dengan baik dan teratur.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi ledakan yang amat kuat, bot terumbang–ambing dan terasa seperti dilambung ombak.

Perkara itu berlaku dalam beberapa detik sahaja dan suasana kembali normal. Damai dan tenang.

Mata saya masih terpaku ke arah lembaga yang berbentuk tentera Jepun. Lagi sekali saya mengalami kejutan aneh (askar Jepun) tidak lagi memijak dada Nyak Sulaiman.

Sebaliknya lembaga itu terus berdiri kaku, sepasang kakinya bagaikan terlekat di lantai bot. Seluruh pancaindera saya tertumpu ke arah lembaga aneh itu.

Pada saat itu juga, saya melihat ada api yang merayap di lantai menuju ke arah sepatu yang dipakai oleh lembaga aneh.

Api yang kecil itu terus membakar bahagian depan sepatu, kemudian merayap ke kaki seluar.

Dalam beberapa detik saja api terus marak, membakar seluruh lembaga sehingga hangus, menjadi debu.

Sebaik saja Datuk menamatkan pembacaan Surah 59, api terus padam tanpa meninggalkan apa-apa kesan.

Saya kedutkan dahi, semuanya bagaikan mimpi dan bot terus membelah laut menuju ke Muara Jambi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 143/284

BACA: SBDJ Siri 142: Gadis Jelita Jilat Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Zarina Anjoulie Saman Amyza Aznan RM3 Juta Gara-gara Covid-19!

Zarina Anjoulie Saman Amyza Aznan RM3 Juta Gara-gara Covid-19!

Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap rakan seperjuangannya, Amyza Aznan berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan berikutan wabak Covid-19.

Zarina Anjoulie Saman Amyza

Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 23 April lalu menerusi Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dengan menamakan Amyza Aznan atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli yang kemudiannya menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Zarina Anjoulie mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu 'bantuan khusus' bagi mereka atau penggiat seni negara.

Zarina Anjoulie, yang juga usahawan mendakwa beliau memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lepas, yang secara umum menyatakan bahawa 'bantuan khusus' itu adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif turut menyuarakan pendapat bahawa golongan artis yang berkemampuan dan berpendapatan besar seharusnya sedar mereka adalah golongan yang sepatutnya mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara diri mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan krisis Covid-19, malah berpeluang untuk turut sama membantu rakyat yang terjejas oleh krisis tersebut.

Dakwanya, pada 29 Mac lepas satu kumpulan dikenali sebagai 'BANTUAN COVID-SENI 2020' ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram yang membincangkan mengenai bantuan Covid-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu, Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum yang dimuat naik April 2020 lepas.

Dakwanya, kenyataan-kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab, berpura-pura baik, mempergunakan orang lain untuk menyerang defendan dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain.

Akibat kenyataan fitnah itu, Zarina Anjoulie mendakwa beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan, sedih, sakit hati dan reputasinya turut tercalar selain mendakwa plaintif menerima kecaman dan reaksi negatif daripada masyarakat.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah dan permohonan maaf daripada defendan.

Defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasi plaintif pada masa akan datang, kos serta relief lain yang sesuai oleh mahkamah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Kisah Posmen 'Bersedih' Tiada Bonus Ditahan Polis Kerana Menipu!

Kisah Posmen 'Bersedih' Tiada Bonus Ditahan Polis Kerana Menipu!

Memalsukan identiti di laman sosial Facebook dengan memuat naik kisah kesempitan hidup bagi meraih simpati netizen membawa padah kepada seorang posmen apabila ditahan bersama dua individu yang bersubahat dengannya.

Posmen sedih

Terdahulu, kisah posmen didakwa hidup susah kerana tidak mendapat bonus tular di media sosial hingga menarik perhatian warganet untuk menderma wang ke dalam akaun lelaki terbabit.

Bagaimanapun, posmen berusia 22 tahun itu datang membuat laporan polis, menafikan dia terbabit dengan kutipan derma berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil soal siasat mendapati keterangan diberikan lelaki itu meragukan dan tidak dapat memberi penjelasan.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati posmen itu cuba membuat laporan polis palsu, malah nama yang digunakannya juga tidak wujud.

"Berikutan itu, polis menahannya untuk siasatan lanjut sebelum dua lagi individu termasuk pentadbir akaun kumpulan Facebook yang menularkan cerita sedih itu turut ditahan.

"Wanita berusia 35 tahun ditahan pada 10 malam, manakala lelaki berusia 23 tahun ditahan pada 12.05 tengah malam apabila mereka menyerah diri selepas posmen terbabit dicekup," katanya dalam kenyataan di Bukit Mertajam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati posmen itu memperoleh kutipan derma sebanyak RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya dan sudah digunakan membeli barangan keperluan.

"Siasatan juga mendapati dua suspek terbabit mengaku bersubahat dengan posmen itu dengan memuat naik cerita dan gambar yang boleh meraih simpati warganet," katanya.

Katanya, polis turut merampas kesemua telefon pintar ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut.

"Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari hingga Ahad (24/5/2020), untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

'Tiada Bonus Tapi Tiada Pembuangan Pekerja'

Dalam respon sebelum ini, Pos Malaysia Berhad memberi bayangan ketiadaan pembayaran bonus buat kakitangannya tahun ini susulan masalah kewangan yang dihadapi akibat penularan wabak Covid-19.

Menurut sumber syarikat itu, pihak pengurusan ketika ini sebaik mungkin sedang cuba memperimbangkan keadaan aliran tunai atau "cash flow".

"Ketika ini pengurusan 'cash flow' syarikat sampai ke tahap harian ketika ini, di mana segala perbelanjaan keluar dirancang sebaik mungkin supaya perkara-perkara seperti gaji tidak terjejas.

"Pada ketika ini, keadaan kewangan, 'cash flow' syarikat tidak mengizinkan untuk sebarang bonus.

"Pos Malaysia pasti sentiasa memantau keadaan 'cash flow' syarikat, dan akan mengadakan sebarang perubahan sekiranya ada," katanya.

Semua maklum bahawa pelbagai sektor ekonomi di negara ini terjejas ketika ini akibat penularan wabak Covid-19 malah, hampir kesemua sektor perniagaan juga terjejas apabila kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus.

Dalam pada itu sumber memaklumkan bahawa tiada pembuangan pekerja akan dilakukan syaraikat itu meskipun berdepan situasi sukar.

"Tiada skim pemisahan sukarela (VSS) ataupun buang pekerja," katanya lagi.

Jelasnya sistem kewangan Pos Malaysia terbahagi kepada empat segmen iaitu, kurier atau pos laju, surat, retail runcit atau transaksi di pejabat pos dan perniagaan antarabangsa.

Menurutnya, berlaku peningkatan bagi segmen kurier atau pos laju, namun tiga segmen lagi mencatatkan penurunan yang ketara.

"Walaupun peningkatan di kurier atau pos laju adalah tinggi, tapi penurunan segmen surat adalah 50 peratus manakala penurunan dua segmen lagi adalah lebih dari 60 peratus dari 18 Mac hingga kini," jelasnya.

Difahamkan bahawa Pos Malaysia telah memberi bantuan sebanyak RM250 kepada kira-kira 23,000 kakitangannya sempena bulan Ramadhan bagi meringankan beban.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Masjid Di Turki Siar Lagu 'Bella Ciao' Ketika Waktu Azan

Masjid Di Turki Siar Lagu 'Bella Ciao' Ketika Waktu Azan

Bella Ciao adalah lagu protes rakyat Itali yang berasal dari kesulitan hidup para wanita Mondina, pekerja sawah pada akhir abad ke-19 yang menyanyikan lagu ini bagi menyatakan protes ke atas suasana kerja di sawah sekitar Itali Utara pada zaman tersebut.

Masjid Turki Siar Lagu Bella Ciao

Terbaharu, beredar satu video lagu Bella Ciao dipasang di beberapa menara masjid di Kota Izmir, Turki, yang dipasang secara serentak pada hari Rabu, 20 Mei 2020.

Memetik media Turki, Pengarah Agama Kota Izmir mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian 'luar biasa' ini.

Mereka mendakwa bahawa wujud sabotaj oleh penggodam yang tidak dikenali, mengejutkan orang ramai ketika mendengar lagu itu dikumandangkan dari menara masjid dan bukannya azan.

Ada juga yang sempat merakam kejadian tersebut dan berkongsi di media sosial.

Satu laman web juga telah dibina untuk kejadian ini dengan nama "Siar Bella Ciao di masjid-masjid di Izmir pada 20 Mei 2020."

Pengarah Agama Kota Izmir sendiri pada awalnya menolak laporan tersebut di laman media sosialnya, tetapi kenyataan tersebut telah dipadam.

Mereka mengeluarkan kenyataan kedua yang mengatakan, "Menurut analisis awal kami, orang yang tidak dikenali telah menggodam pusat sistem panggilan azan."

Mereka juga menyatakan bahawa siasatan telah dilakukan oleh pihak polis berkaitan kejadian tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Friday, May 22, 2020

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Menurut Imam al-Razi, seorang ahli tafsir terkenal, yang telah menulis mengenai sebab-sebab kenapa Allah SWT dengan sengaja telah menyembunyikan pada malam bilakah Lailatul Qadar daripada pengetahuan kita.

Doa Malam Lailatul Qadar

Pertama. Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan keseronokan dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah.

Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap hamba-Nya bersungguh-sungguh setiap kali berdoa.

Begitulah juga Dia menyembunyikan malam Lailatul Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam di bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua. Jika diberitahu secara jelas tentang malam Lailatul Qadar, maka manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tidak lagi berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat.

Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingat bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita yang tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam Lailatul Qadar.

Ketiga. Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat. Seseorang yang meyakini akan datangnya malam Lailatul Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan kebetulan dengan malam Lailatul Qadar.

Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: peribadirasulullah

SBDJ Siri 142: Gadis Jelita Jilat Darah

SBDJ Siri 142: Gadis Jelita Jilat Darah

Melihat keadaan yang ngeri dan menakutkan itu, saya segera membaca surah AL-IKHLAS sebanyak tiga kali berturut-turut. Saya segera melompat dari atas katil untuk keluar. Saya terlanggar dinding dan terus jatuh.

SBDJ siri 139

Saya kembali berada di alam nyata, seluruh badan saya berpeluh. Perlahan-lahan saya bangun dan terus melangkah ke arah meja bulat yang ada pedang samurai di atasnya.

Dengan tidak diduga, darah saya tersirap dan badan terus menggeletar. Pedang samurai terkeluar dari sarungnya. Ada kesan darah segar di mata pedang.

Barang-barang lain yang berada di atas meja, tidak berubah kedudukannya. Tetap seperti tadi.

Bagaimana mata pedang boleh terkeluar dari sarungnya? Timbul pertanyaan dalam hati. Saya terus mengamati ulu pedang, tidak ada kesan telapak tangan manusia.

Dalam keadaan yang serba tidak menyenangkan itu, saya terasa seperti ada bayang-bayang manusia bergerak dalam bilik tidur.

Seperti biasa, saya cuba mengawal perasaan supaya jangan menggelabah. Menepis rasa takut dari hati.

Kerana yakin apa yang sedang saya alami ini, ada hubung kaitnya dengan syaitan, saya segera membaca ayat-ayat suci untuk menghalang niat jahat makhluk halus itu dari mengganggu saya.

Semakin di-baca, semakin kuat rasa debaran dan kecemasan bergolak dalam dada. Saya rasakan bilik tidur seperti berada di awang-awangan, badan saya seperti bergerak di udara.

Pada saat itu juga, saya bagaikan terlihat mayat tanpa kepala berada di hujung kaki saya. Dari bahagian leher yang kudung keluar membuak darah merah bersama tompok-tompok ulat, manakala perutnya terbelah sendiri, segala urat dan usus terlambak atas lantai.

Paling mengejutkan mayat tanpa kepala itu bangun sendiri. Kerana tidak sanggup melihat semuanya itu, saya alihkan mata ke kaki katil, pandangan yang mengerikan tetap wujud di depan mata.

Ketika ini, saya tidak dapat mengawal perasaan, pembacaan ayat-ayat suci mula bercelaru dan menjadi kacau. Keimanan, kesabaran dan ketabahan saya benar-benar tergugat.

Bagaimana tidak tergugat? Di kaki katil tergolek kepala tanpa rambut, kesan luka di tempurung kepala penuh dengan ulat-ulat kecil.

Beberapa ekor ulat jatuh atas lantai dan melompat kembali ke tempurung kepala lalu bergayutan pada kulit kepala yang terkoyak.

"Subhanallah..." terungkap kata itu dari kelopak bibir.

Saya lihat kepala tanpa badan berpusing sendiri, menghalakan bahagian muka ke arah saya.

Pada saat itu timbul dalam fikiran untuk mengambil lampu minyak tanah yang tidak digunakan di bawah meja bulat (lampu minyak tanah memang disediakan untuk kegunaan di masa kecemasan, umpamanya bekalan elektrik terputus, akibat kerosakan enjin dan sebagainya).

Saya merancang mahu simbah minyak tanah yang ada dalam pelita ke kepala tanpa badan, kemudian nyalakan api.

Apa yang ada dalam kotak fikiran, tidak dapat dilaksanakan. Sepasang kaki saya terasa lemah, kepala lutut bagaikan tiada.

Saya tidak terdaya mengerakkan kaki apatah lagi untuk melangkah.

Memang tidak ada pilihan lain untuk saya. Sama ada mahu atau tidak saya terpaksa melihat apa yang ada di kaki katil.

Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang ada di kaki katil.

Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang sudah hancur bercampur dengan darah dan nanah, bergerak perlahan-lahan dan kelihatan macam susu pekat yang dituangkan ke atas roti.

Dari daging yang sudah sebati dengan darah dan nanah muncul lagi beratus-ratus ekor ulat kecil yang bentuknya sama macam ulat nangka berwarna kekuning-kuningan.

Baunya amat busuk sekali, membuat tekak terasa loya. Lidahnya yang terjelir dari mulut mengeluarkan cecair berwarna putih.

Lidah itu sekejap terbuka dan sekejap tergulung. Dari lubang mata yang terlopong, kelihatan seperti ada sebutir batu yang mengeluarkan cahaya kebiru-biruan.

Dari lubang telinga keluar air jernih seperti air mata air lalu melimpah ke atas lantai, kemudian hilang entah ke mana. Bagaikan ada kuasa ghaib yang menghisapnya.

BELAKANG

Saya terasa seperti ada orang berdiri di belakang saya. Cepat-cepat saya menoleh.

Seorang tentera Jepun dengan wajah yang bengis mengangkat pedang samurai untuk memancung leher saya.

Dan saya menjeling ke arah meja bulat untuk memastikan apakah pedang yang berada di atas meja sudah berada di tangan tentera Jepun.

Lagi sekali saya terkejut, pedang samurai itu memang tiada lagi atas meja bulat. Saya bertambah cemas.

Apa yang patut saya lakukan, mustahil saya mampu menentang Jepun yang berdiri di belakang saya.

Suara marah-marah dari tentera Jepun itu terus menyumbat lubang telinga saya.

Pada saat itu saya rasakan mata pedang samurai hanya dalam jarak beberapa inci dari batang leher.

Demi untuk meneruskan hidup saya harus bertindak, walau dengan apa cara sekalipun.

"Yaaaa..." saya menjerit dan melompat.

Dan dalam masa yang sama saya terdengar bunyi pedang samurai jatuh di lantai diikuti dengan sepatu tentera Jepun lari menuju ke pintu bilik.

"Kenapa menjerit?"

Lelaki berambut panjang tercegat di depan mata. Saya jadi ragu-ragu atas kehadirannya.

Bagaimana dia begitu cepat boleh berada di dalam bilik, sedangkan dia berada jauh di bahagian atas bot?

Mungkin apa yang saya lihat dan alami ada hubung kait dengannya.

"Macam mana kamu masuk?" tanya saya.

"Ikut pintu yang kamu buka."

"Saya yang buka?"

"Iya."

"Pelik sungguh," kata saya.

Si rambut panjang terus tersenyum. Rasa sangsi terhadapnya kian menebal di hati. Saya renung matanya yang kemerah-merahan itu.

Dia masih tersenyum dan kelihatan tenang sekali. Saya gigit bibir sambil menarik nafas panjang.

Pedang samurai sudah pun berada di atas meja bulat. Dahi segera saya kerutkan, sesungguhnya saya amat bingung dengan suasana yang saya hadapi ini.

"Mari kita keluar, kita tinggalkan bilik ni," ujar si rambut panjang.

Memastikan keadaan dalam bilik tetap macam biasa. Lampu bilik pun dipadamkan.

"Semuanya mesti macam sebelum kamu datang ke sini, itu pesan juragan kepada aku," kata si rambut panjang sambil merapatkan pintu bilik.

Dengan perlahan-lahan dan hati-hati si rambut panjang mencantumkan dinding bot yang terpisah dengan serapat-rapatnya, sehingga tidak seorang pun menyangka di balik dinding yang dijadikan rak tempat alat-alat keperluan bot itu, terdapat sebuah bilik misteri.

"Kenapa menjerit, macam ada yang ganggu kamu?" si rambut panjang renung muka saya.

Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Si rambut panjang terus mengajak saya ke arah tangga untuk naik ke atas bahagian bot.

DUDUK

Sampai di tangga, saya terus duduk di situ. Hati masih belum puas, selagi tidak diceritakan apa yang dialami kepada si rambut panjang. Barangkali, dia dapat membantu saya dalam usaha mencari punca kejadian yang dialami, fikir saya dalam hati.

"Kenapa berhenti di sini?"

"Fikiran saya runsing."

"Runsing?" si rambut panjang menjegilkan matanya lalu duduk di sisi.

Deru angin laut dan bunyi desir ombak masih dapat ditangkap oleh gegendang telinga. Sesekali terdengar Datuk batuk pendek.

Suara Nyak Sulaiman tetap lantang mengingatkan pemandu bot supaya berhati-hati.

"Apa yang kamu runsingkan, cakapkan kepada aku."

"Mungkin kamu tak percaya, bila aku ceritakan pada kamu. Mungkin kamu gelakkan aku."

"Apa dia, cakaplah?" desak si rambut panjang.

"Pedang samurai bergerak sendiri, ada mayat yang kepalanya terpisah dengan badan, ada askar Jepun nak pancung aku," dengan suara tersangkut-sangkut saya bercerita.

Badan terasa seram dan bulu roma mula meremang. Si rambut panjang tidak menunjukkan reaksi cemas atau takut, malah dia kelihatan tenang dan tersenyum panjang.

Sudah tentu sikapnya ini menimbulkan bermacam-macam prasangka dalam diri saya.

"Kalau tak salah dalam ingatan aku, kamu orang ketiga terkena malapetaka tu," secara spontan si rambut panjang bersuara. Lagi sekali saya beliakkan biji mata.

"Siapa lagi dua orang tu?"

"Adik juragan dan bapa saudaranya."

"Sama seperti yang aku alami?"

"Iya," angguk si rambut panjang.

"Macam mana dengan Nyak Sulaiman, pernah dia mengalaminya?"

"Entah," si rambut panjang mengangkat kedua belah bahunya.

Dia segera bangun dan memanjat anak tangga menuju ke bahagian atas bot.

Melihat si rambut panjang angkat kaki, saya pun segera angkat punggung. Saya tidak mahu sendirian di situ.

Sebaik saja sampai di atas si rambut panjang terus menuju ke tempat pemandu bot. Saya terus mengekorinya.

Tanpa disedari, ada sepasang mata sedang mengawasi gerak langkah saya dengan teliti.

"Mahu ke mana kamu Tamar?"

Langkah saya terus terhenti. Saya terus menoleh ke arah suara itu datang. Datuk berdiri tenang di balik rimbunan kotak dibuat dari papan jati.

"Saya nak ikut dia tuk," jari telunjuk saya luruskan ke arah si rambut panjang yang separuhnya sudah ditelan oleh pintu bilik pemandu.

"Jangan ikut dia."

"Kenapa tuk?"

"Aku kata jangan, janganlah. Kenapa kamu banyak soal?" suara Datuk mula meninggi.

Sepasang matanya terpanah ke wajah saya.

Nasib saya sungguh baik, di saat keresahan secara tidak disangka-sangka Nyak Sulaiman muncul dari arah belakang Datuk.

Nyak Sulaiman menyeluk saku baju butang lima, mengeluarkan jam bulat berantai. Lama benar dia menatap permukaan jam tersebut.

"Dah dekat pukul empat pagi," tuturnya dengan tenang.

"Nampaknya kita subuh dalam bot," tingkah Datuk.

"Tidak, dengan izin Allah kita subuh di masjid Kuala Tungkal, kita berjemaah," ucap Nyak Sulaiman penuh yakin.

Saya tetap berdiri dalam keadaan serba salah.

Apakah saya harus berdiri macam patung atau memulakan langkah untuk pergi ke mana saja dalam bot. Saya tarik nafas dalam-dalam.

"Tamar."

"Iya tuk."

"Kamu pergi tidur di tempat tadi, bila dah sampai ke tempat kita tuju, aku bangunkan kamu," Datuk keluarkan perintah baru yang amat berat untuk saya laksanakan.

Makin tebal rasa serba-salah menguasai diri saya. Mestikah saya berterus terang dengan Datuk.

Menceritakan apa yang telah saya alami. Percayakah Datuk dengan cerita yang bakal saya ungkapkan.

"Kenapa tercegat di situ ?" herdik Datuk bila melihat saya tidak bergerak.

Saya masih belum dapat membuat keputusan jitu, sama ada mahu berterus terang atau sebaliknya.

"Balik ke tempat tidur kamu," ulang Datuk.

"Saya tak mahu tuk."

"Kenapa Tamar?" tanya Datuk dengan wajah serius.

Saya segera mendekatinya dan meluahkan pengalaman yang dialami ketika berada di bilik tidur Nyak Sulaiman.

Datuk amat terkejut tetapi, Nyak Sulaiman tidak cemas dan terkejut. Dia kelihatan tenang dan bersahaja.

"Itu perkara biasa," kata Nyak Sulaiman.

"Biasa? bagi saya perkara ini amat luar biasa," sanggah saya dengan dada yang berdebar.

Datuk meraba hujung dagu berkali-kali dan kemudian menggaru pangkal lehernya.

MENATAP

Sepasang mata Datuk silih berganti menatap wajah saya dan Nyak Sulaiman. Agaknya dia mencari kepastian, siapakah di antara kami yang bercakap benar.

"Kau saja yang bercerita pada aku tentang perkara yang kamu kata tidak ganjil tu," sepasang mata Datuk tepat tertumpu ke wajah Nyak Sulaiman.

Macam tadi juga dia tidak memperlihatkan sebarang perubahan. Nyak Sulaiman tetap tenang, senyum terus bermain di kelopak bibirnya.

Datuk menggigit bibir dari gerak bola matanya, saya dapat menduga yang Datuk mula ragu-ragu terhadap Nyak Sulaiman.

"Kau ceritakan," desak Datuk.

Nyak Sulaiman mula mundar-mandir di depan Datuk dalam keadaan tidak tentu arah. Jelingan di hujung matanya menyelinap ke arah muka saya.

Macam ada sesuatu yang difikirkan oleh Nyak Sulaiman. Semua gerak-gerinya tetap dalam sorotan mata Datuk.

Tanpa di sangka-sangka Nyak Sulaiman terus meletakkan punggung atas papan jati. Sepasang kakinya diluruskan. Deru ombak terus memukul gegendang telinga saya.

"Begini..." Nyak Sulaiman tidak meneruskan kata-kata. Saya dan Datuk jadi resah.

Dalam keresahan hati yang tidak bertepi itu, saya lihat Datuk bangun dari tempat duduknya.

Dia terus bentang tikar mengkuang (yang sememangnya dibawa dari rumah) di depan Nyak Sulaiman.

"Kamu duduk di sini," kata Datuk pada saya.

Tanpa banyak soal jawab, saya pun segera duduk di sisinya.

"Kita dengar cerita dari orang ini," sambung Datuk sambil jari telunjuknya menuding ke arah Nyak Sulaiman yang tersenyum lebar.

Bot besar terus bergerak, angin laut terus menyapa wajah kami bertiga.

"Sekarang ceritakan, tempat duduk kami cukup selesa," Datuk terus bersuara.

Nyak Sulaiman tersenyum simpul. Sila dikemaskannya, dada dan wajah dihalakan ke arah angin datang.

"Dulu bilik kecil tak semacam tu," dengan wajah yang amat tenang Nyak Sulaiman memulakan cerita.

"Sesiapa pun boleh tidur di situ, tidak ada apa-apa yang mengganggu," sambungnya dengan nada suara yang agak perlahan.

Ekor mata Nyak Sulaiman renung ke kiri dan ke kanan. Macam ada sesuatu yang diawasinya.

Datuk dan saya terus renung kiri kanan, semuanya macam biasa. Tiada sesuatu yang ganjil dan aneh.

"Habis, sekarang macam mana? Lain pula jadinya," celah Datuk.

"Sekarang, usahkan Tamar, saya sendiri kena ganggu kalau tidur di situ, saya pernah menjerit dan lari keluar dari bilik tu," lanjut Nyak Sulaiman lalu disambut oleh Datuk dan saya dengan ketawa.

Kisah Nyak Sulaiman sungguh melucukan. Dia juga turut ketawa (mengetawakan diri sendiri). Matanya nampak berair.

Setelah ketawa reda, Datuk segera bertanya:

"Macam mana punca petaka tu datang?"

"Puncanya, bila saya membeli pedang samurai dan meja bulat."

"Haa..." kata Datuk sambil menghela nafas panjang.

"Di mana kamu beli barang-barang itu," Datuk terus merisik rahsia.

Nyak Sulaiman terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Dia dongakkan kepala merenung dada langit yang ditaburi bintang.

"Pedang samurai tu, hadiah dari seorang kawan yang selalu belayar dari Tanjung Periuk–Belawan dari Belawan-Tanjung Periuk.

"Kawan saya tu, jumpa pedang samurai di banglo yang pernah di jadikan markas tentera Jepun, masa perang kedua dulu."

"Banglo tu di mana Nyak?" tanya Datuk.

"Di Surabaya."

"Di Surabaya," Datuk menyebut nama tempat itu sekali. Nyak Sulaiman anggukkan kepala.

"Saya merasa megah menerima hadiah tu, saya tak pernah terfikir sesuatu yang buruk," lanjut Nyak Sulaiman sambil mengerut dahi.

"Meja bulat tu, kamu dapat dari mana?" soal Datuk lagi.

"Ha.. yang tu, saya beli di Kampung Batu Uban, Pulau Pinang. Saya beli dari lelaki India Muslim," jelas Nyak Sulaiman.

Menurutnya, pedang dan meja bulat itu terus diletakkan dalam bilik tidurnya. Terbiar di situ selama berminggu, hinggalah pada suatu malam Jumaat.

Semasa belayar merentas Selat Melaka, secara mendadak dia teringat untuk membasuh keris pusaka tujuh luk yang tersimpan di bilik tidurnya.

KERIS

Setelah selesai memandikan keris dengan air limau, dia membakar kemenyan untuk mengusap mata keris tujuh luk.

Di saat mata keris berada dalam kepulan asap kemenyan, secara mendadak saja Nyak Sulaiman terdengar derap sepatu Jepun dalam jumlah yang cukup ramai. Bunyi itu bagaikan keluar dari papan dinding bilik tidurnya.

Semasa Nyak Sulaiman memastikan dengan tepat arah suara itu datang, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara perempuan menjerit minta tolong.

Keris yang sedang diusap dengan kemenyan segera dimasukkan ke dalam sarung. Suara tentera Jepun berpadu dengan jeritan perempuan.

Nyak Sulaiman tidak tentu arah, anak telinganya menjadi seakan-akan tuli. Dia hilang ingatan sejenak dan merasai dirinya berada di dunia lain.

Pada saat itu, terdampar sekujur tubuh gadis yang jelita, tanpa pakaian di depannya dalam keadaan yang samar-samar.

Dia juga melihat empat tentera Jepun dengan rakus memperkosa gadis itu secara bergilir.

Tentera Jepun yang keletihan terbaring di tempat kejadian.

Dan dalam masa yang sama gadis korban nafsu serakah tentera itu bangun. Dia bagaikan mendapat kekuatan ghaib membuka langkah silat dengan rambut panjang mengerbang matanya terbeliak merah.

Tiba-tiba saja di tangannya ada buluh runcing. Tindakannya bagaikan orang gila menikam perut tentera Jepun satu persatu. Darah memancut lalu menyembur ke muka gadis itu.

Nyak Sulaiman menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan, bila melihat dia melihat gadis itu menjilat darah yang melekat di tubuh dengan lidah yang luar biasa panjangnya.

Ukuran lebarnya mengatasi ukuran lebar lidah manusia. Kerana tidak tahan berhadapan dengan keadaan tersebut, Nyak Sulaiman terus meluru keluar dari bilik tidurnya.

"Saya betul-betul hilang akal masa itu, saya rasa diri saya bukan berada di atas bot, saya rasa macam berada di rumah besar," kata Nyak Sulaiman kepada Datuk.

"Lagi ada perkara yang menarik?" soal Datuk.

"Sejak kejadian malam itu, saya tak boleh tidur di situ, kalau saya tidur juga buruk padahnya," akui Nyak Sulaiman.

"Kenapa kamu suruh cucu aku tidur di situ."

"Ahhh..." Nyak Sulaiman seperti tergamam.

Dia tidak menduga pertanyaan sedemikian boleh terkeluar dari mulut Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 142/284

BACA: SBDJ Siri 141: Pulau Berjalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com