Monday, December 04, 2017

Setem Tanpa Harga Bernilai RM5 Juta!


Bukan kisah dongeng. Tanpa disangka sekeping setem boleh mencecah harga RM5 juta dan pemiliknya, Mubarak Ali Rajak, bakal bergelar jutawan kerana hobi dan minatnya mengumpul setem.

Setem Tanpa Harga Bernilai RM5 Juta!

Memetik tulisan Syahril A Kadir di laman Facebooknya, pada 3 Jun 1967, Mubarak yang ketika itu baru berumur 15 tahun sedang melihat surat-surat yang diterima bapanya di kedai mereka di Kuantan, Pahang.

Dek kerana hobi gemar mengumpul Setem, Mubarak sibuk membelek setiap kepingan surat itu

Sedang sibuk membelek surat, terlihat sekeping surat daripada Bank Standard Chartered yang dikirim kepada bapanya.

Setem tanpa harga bernilai RM5 juta
Setem yang bernilai RM5 juta.

Bila ditenung dan diperhatikan dengan teliti, Mubarak terkejut kerana setem di surat tersebut tidak tertera harga seperti mana setem yang lain.

Walaupun masih muda remaja ketika itu, Mubarak dapat merasakan setem berkenaan pasti akan menjadi satu 'collector' yang berharga suatu hari nanti.

Sangkaannya tidak meleset dan kini setelah 50 tahun berlalu, apa yang dirasakannya itu ternyata tepat!

Menurut Mubarak, keaslian dan keunikan setem ini telah diakui oleh Pos Malaysia sendiri dan juga telah disahkan tulin oleh The Royal Philatelic Society Of London, malah ia juga mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record.

Mubarak juga bersedia 'melepaskan' setem kesayangannya itu jika ada pihak yang sanggup membelinya dengan harga RM5juta!

Perkongsian cerita itu menerima banyak reaksi dari netizen yang rata-ratanya memanjatkan syukur ke hadrat ILLAHI.

Menggunakan nama Ray Na di Facebook, dia berkata, ini satu rezeki kepada pemiliknya.

“Ini namanya rezeki terpijak jika berjaya terjual,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Sally Anne dengan ringkas berkata, itu namanya rezeki.

Berlainan bagi Ali Shah pula, satu perkara yang terbaik dilakukan oleh pemilik setem itu.

“Tabik dengan dokumentasi dan pengesahan yang dibuat oleh pemilik setem tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, tambah Mubarak, sebenarnya berlaku kesilapan dalam mencetak setem-setem berkenaan.

Setem tanpa harga - Pengesahan oleh Malaysian Book Of Record
Pengesahan yang dikeluarkan oleh Malaysian Book Of Record.

“Saya difahamkan syarikat yang mencetak setem tersebut iaitu Harrison And Son Limited di London, telah melakukan kesilapan hingga 100 keping setem yang sama dihasilkan mereka tidak mempunyai tanda harga.

"Apabila saya ke pejabat pos untuk membeli beberapa keping lagi setem yang sama, kerani itu memberitahu kesemua setem tersebut telah dibatal dan dimusnahkan.

"Hanya sekeping setem yang 'terlepas' iaitu yang ada pada simpanan saya sekarang, sekaligus mencatat rekod satu-satunya setem di dunia yang tidak mempunyai tanda harga," katanya.

Jelasnya, dia bukan sengaja mahu meletakkan harga yang tinggi itu, tetapi ia dibuat setelah penyelidikan dan mengkaji harga pasaran setem-setem yang unik seperti ini.

"Pergilah cari kat mana-mana tempat di dunia ini yang ada setem sebegini, tak ada. Hanya di Malaysia," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

2 comments

  1. Rezeki dia kan SP..bertuah dapat setem tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sangat bertuah, satu-satunya di dunia kan igu ;)

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon