Sabtu, Mei 23, 2020

Zarina Anjoulie Saman Amyza Aznan RM3 Juta Gara-gara Covid-19!

Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap rakan seperjuangannya, Amyza Aznan berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan berikutan wabak Covid-19.

Zarina Anjoulie Saman Amyza

Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 23 April lalu menerusi Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dengan menamakan Amyza Aznan atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli yang kemudiannya menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Zarina Anjoulie mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu 'bantuan khusus' bagi mereka atau penggiat seni negara.

Zarina Anjoulie, yang juga usahawan mendakwa beliau memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lepas, yang secara umum menyatakan bahawa 'bantuan khusus' itu adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif turut menyuarakan pendapat bahawa golongan artis yang berkemampuan dan berpendapatan besar seharusnya sedar mereka adalah golongan yang sepatutnya mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara diri mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan krisis Covid-19, malah berpeluang untuk turut sama membantu rakyat yang terjejas oleh krisis tersebut.

Dakwanya, pada 29 Mac lepas satu kumpulan dikenali sebagai 'BANTUAN COVID-SENI 2020' ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram yang membincangkan mengenai bantuan Covid-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu, Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum yang dimuat naik April 2020 lepas.

Dakwanya, kenyataan-kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab, berpura-pura baik, mempergunakan orang lain untuk menyerang defendan dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain.

Akibat kenyataan fitnah itu, Zarina Anjoulie mendakwa beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan, sedih, sakit hati dan reputasinya turut tercalar selain mendakwa plaintif menerima kecaman dan reaksi negatif daripada masyarakat.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah dan permohonan maaf daripada defendan.

Defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasi plaintif pada masa akan datang, kos serta relief lain yang sesuai oleh mahkamah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon