Thursday, September 13, 2018

8 Punca Kenapa Anak Selalu Demam

8 Punca Kenapa Anak Selalu Demam

Sekiranya anak kecil anda berulang-kali mengalami demam selsema, ia masih dianggap normal walau bagaimanapun, jika sakit terlalu kerap, ibu bapa tentunya risau.

Anak Selalu Demam

Di mana agaknya silap kita dalam menjaganya? Adakah anak selalu sakit disebabkan cara penjagaan yang salah atau masalah pada persekitaran yang tidak sihat?

8 SEBAB ANAK SELALU SAKIT DAN DEMAM

Jika anak selalu sakit, cuba periksa 8 perkara ini terlebih dahulu.

1. TERDEDAH PADA VIRUS DI PUSAT JAGAAN

Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut.

Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman.

Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.

Ingatkan pada anak anda untuk membasuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju.

Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.

2. SELALU MAKAN MAKANAN RINGAN

Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’.

Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrient mudah dikenali kerana warnanya yang terang.

Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.

Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.

3. ANAK TAK CUKUP TIDUR

Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam.

Ajarkan juga supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.

Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari.

Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.

4. ANAK KURANG BERGERAK AKTIF

Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Jangan asyik terperap saja di rumah menonton kartun. Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.

Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.

5. BERKONGSI BARANG

Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.

Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu.

Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.

6. MANGSA ASAP ROKOK

Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak.

Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka. Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif.

Bahkan, dilaporkan bahawa kanak-kanak yang tinggal bersama perokok lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.

Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.

7. ELAKKAN BERSESAK DI TEMPAT AWAM

Risiko pendedahan penyakit meningkat dengan gejala ‘overcrowding’ di mana terlalu ramai orang dalam satu tempat.

Terdapat seribu satu kuman yang berlegar-legar di ruang udara yang padat dengan manusia, dan kuman ini mampu menyelinap masuk ke dalam tubuh anak kecil dengan lebih mudah kerana sistem pertahanan mereka yang belum matang.

Semasa memilih pusat asuhan atau taska, pastikan nisbah antara penjaga dan kanak-kanak seimbang dan jika makan di luar, pilihlah tempat yang bersih dan makanan yang diselia rapi.

8. SAY NO TO JUNK FOOD & FAST FOOD

Burger, nugget, pizza, kerepek, coklat, kek, gula-gula, dan air kotak. Sedap memang sedap. Senang nak dapat. Nak masak pun cepat.

Tapi semua makanan ini amat kurang nilai nutrisi, bahkan mengandungi kandungan garam, gula, pengawet, bahan perasa, serta pewarna tiruan yang tinggi. Nak makan sekali-sekala tak apalah, tapi jangan jadikan ia kebiasaan.

Mahu atau tidak, kita sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu mereka menghentikan tabiat ini dan sebaliknya cubalah perkenalkan sumber makanan yang segar, homemade dan lebih terjamin khasiatnya.

Dengan khasiat ini, barulah sistem imuniti tubuh anak dapat berfungsi dengan lebih efisyen.

SISTEM IMUNISASI ANAK SEDANG BERKEMBANG

Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan berkurang apabila anak semakin membesar.

Ibu bapa perlu memberikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa.

Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zuriat

Wednesday, September 12, 2018

Adakah Air Paip Berklorin Selamat Diminum Mentah?

Adakah Air Paip Berklorin Selamat Diminum Mentah?

Semakin lama semakin banyak pakej penapis air ditawarkan dari jenama-jenama yang dikatakan pakar dalam bidang penapisan air. Ramai juga pelanggan mereka nampaknya kerana semakin ramai ejen yang menjual produk tersebut.

Minum air paip

Walaupun begitu, pernahkah kita terfikir apa keperluan penapis air itu di rumah kita?

Berikut adalah beberapa jawapan yang telah dikongsikan oleh pihak Syabas untuk menjelaskan kepada masyarakat adakah benar keperluan penapis air itu di rumah kita?

Adakah itu semua hanya strategi pemasaran? Apa penjelasan sebenar? Banyak persoalan kan? Jom kita baca.

1. Apa standard kualiti air negara kita?

Kita melaksanakan standard National Standard for Drinking Water Quality (Versi kedua Januari 2004) yang diadaptasi dari standard WHO untuk taraf kualiti air minuman.

2. Adakah air dengan klorin selamat di minum?

Ya. Klorin digunakan untuk membasmi kuman di dalam air. Amaun yang digunakan adalah selamat untuk kegunaan kita dan sekadar untuk membunuh kuman dalam air.

3. Adakah air dengan florida selamat di minum?

Ya. Tidak ada kajian setakat ini yang membuktikan kehadiran florida dalam air mampu menyebabkan kanser, kerosakan buah pinggang atau penyakit tulang.

Sebaliknya, dalam dos yang betul, florida mampu mencegah penyakit kaviti gigi.

4. Kenapa air rumah saya kuning/coklat?

Itu adalah lebihan aluminium, besi dan manganese yang akan dialirkan di dalam air jika berlaku kerja baik pulih perpaipan.

Ia juga mungkin menunjukkan sistem perpaipan di rumah/bangunan anda sudah perlu diganti.

5. Adakah air di rumah kita selamat diminum terus dari paip?

Jawapannya, YA. Walaupun begitu, jika terdapat kesan seperti yang dinyatakan dalam soalan no.4, lebih baik pemeriksaan dilakukan.

6. Siapa yang bertanggungjawab dengan sistem perpaipan di dalam rumah dan tangki simpan air jika berlaku kekotoran bekalan air?

Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memastikan penyelenggaraan perpaipan dalam premis rumah mereka.

Dapatkan senarai tukang paip yang berdaftar dari laman web SPAN untuk maklumat lanjut.

7. Berapa lama tempoh jangka hayat sistem perpaipan rumah kita?

Bergantung kepada materialnya. Jika sistem menggunakan besi, 5-10 tahun.

Untuk sistem yang menggunakan high density polythylene (HDPE) atau dalam bahasa mudahnya plastik, 15-20 tahun.

8. Adakah baik untuk menggunakan penapis air di rumah?

Sebenarnya, pihak SYABAS TIDAK MENGGALAKKAN kita memasang penapis air pada kedudukan selepas meter air.

Apabila penggunakan penapis air sebegitu digunakan, ini akan mengurangkan kewujudan Free Residual Chlorine (FRC) yang tugasnya adalah menghalang pembentukan bakteria dalam tangki air di mana airnya tidak bergerak.

Ini akan menyebabkan kegatalan kulit.

9. Tidak perlu penapis air langsung?

Pihak SYABAS mencadangkan jika pengguna merasa ada keperluan penapis air, gunakan penapis air yang berdekatan dengan kawasan sinki.

10. Apa jaminan pihak pengendali bekalan air dalam penggunaan penapis air?

Tidak ada jaminan kerana penapis air termasuk dalam kawalan pihak pengeluar produk yang termasuk dalam bidang kuasa KPDNKK.

Ini juga termasuklah kualiti air yang dibekalkan oleh mesin layan diri 20 sen yang menggunakan sistem dispenser untuk bekalan air.

Pihak pengguna perlu mengawasi kualiti air yang dibeli dari mesin seumpama itu.

Jelas tak garis panduan sebenar penggunaan penapis air di negara kita?

Harapan saya agar panduan ringkas ini dapat membantu serba sedikit menjawab beberapa persoalan yang bermain di minda anda semua, apatah lagi apabila kita selalu risau melihat air yang sampai ke rumah kita.

Jadilah pengguna yang bijak.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, September 11, 2018

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tiada kerja yang mudah di dunia ini kerana semuanya mempunyai cabaran dan tekanan masing-masing, dari bekerja sendiri sehinggalah bekerja di bawah boss, ada sahaja masalah yang akan dihadapi, namun kita haruslah bijak mengendalikan tekanan tersebut.

Namun, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tekanan diterima melebihi kerjaya-kerjaya lain. Apa yang membuatkan sesuatu kerja itu sangat stres? Adakah ia tekanan daripada pihak atasan atau masyarakat? Adakah kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental? Ataupun kerja yang berhadapan dengan risiko kecederaan dan kematian?

Kali ini kami ingin berkongsi 6 pekerjaan yang kami rasa paling stres di dunia.

1. Tentera bertugas

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Sama seperti polis, namun ia lebih meluas kerana tugas mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar.

Kerja ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi dan sebagai seorang tentera yang sedang bertugas, mereka sentiasa berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi.

Ia ditambah lagi dengan latihan yang sangat mencabar dan memeritkan yang menguji kejantanan setiap anggota. Terdapat di antara mereka yang tidak tahan akan tekanan ini dan melarikan diri.

Selain itu, kerja mereka memerlukan mereka sentiasa berjauhan daripada ahli keluarga juga memberi tekanan yang tinggi.

2. Perdana menteri

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Jika guru perlu berhadapan dengan murid sekelas, juruterbang dan pramugara perlu melayan kerenah beratus penumpang, tetapi perdana menteri harus berhadapan dengan jutaan rakyat jelata.

Ia sememangnya satu tanggungjawab yang sangat tertekan, sehinggakan boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan harian.

Bukan calang-calang orang boleh menjadi pemimpin, beliau haruslah bijaksana dan mampu mengawal orang bawahan, serta tekanan yang mendatang.

Beliau juga harus berlaku adil dan tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya yang boleh merosakkan sesebuah negara kerana jika salah sikit, pasti akan dipersalahkan dan dihentam.

Tekanan untuk menjaga kebajikan dan memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan baik sangat tinggi.

Setiap masalah negara, sama ada dari segi keselamatan, kewangan mahupun keamanan, semuanya berada di atas bahu pemimpin dan tiada apa yang lebih berat di dalam dunia ini lebih daripada amanah.

Betapa sukar menjadi seorang pemimpin boleh kita lihat daripada kisah Saidina Umar sendiri di mana beliau dikatakan sedang tidur pada siang hari oleh Muawiyah, lalu Saidina Umar menjawab;

"Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?"

Sehingga begini hebat sekali tekanan dan tanggungjawab yang harus dihadapi oleh seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

3. Juruterbang dan krew pesawat

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Ramai orang beranggapan kerja sebagai juruterbang mudah dan senang, ditambah dengan persepsi bahawa kerjaya ini memberi pulangan yang lumayan serta popular, namun itu apa yang dilihat dari luaran sahaja, realitinya tidak semudah itu.

Banyak perkara yang harus dilakukan oleh juruterbang yang boleh memberikan tekanan yang tinggi pada diri. Tanggungjawab mereka sebagai ketua dalam pesawat bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika doktor merawat satu pesakit dalam satu masa sudah boleh menyebabkan tekanan, apatah lagi juruterbang yang berpuluh atau beratus nyawa berada di dalam tangan mereka.

Memanglah ajal maut di tangan tuhan, tapi mereka juga memainkan peranan, mengawal pesawat yang besar, di atas langit yang tinggi tidak diketahui cuaca yang mendatang dan kadang-kadang terpaksa melayan kerenah penumpang.

Bagi pramugari dan pramugara pula, kerja melayan kerenah orang ramai pastinya sesuatu yang sangat sukar.

Bukan seorang atau dua orang atau 30 orang seperti kerja guru, tetapi beratus orang dan dalam beratus orang itu, masing-masing ada kerenah masing-masing. Bukan kanak-kanak saja, orang dewasa pun banyak kerenah.

Kadang-kadang perkara yang bukan kerja mereka pun harus mereka selesaikan seperti bayi menangis dan penumpang mendesak mahukan sesuatu yang tiada dalam menu.

Kalau dapat penerbangan ke China, itu lebih parah. Mereka ini pula ada yang bekerja sehingga berbelas jam satu shift dan hampir kebanyakan masa mereka akan berjalan dan berdiri.

4. Pegawai perubatan

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Memang tak dinafikan, sebagai seorang pegawai perubatan, sama ada doktor atau pembantu perubatan dan jururawat, kerja-kerja seperti ini sangat memerlukan kesabaran dan mengendalikan tekanan dengan baik.

Mereka ini adalah hak masyarakat di mana sentiasa perlu berkhidmat, tak kira masa dan waktu. Pekerjaan yang berhadapan dengan orang awam setiap masa dan melayan kerenah pesakit bukan sesuatu yang mudah.

Bagi doktor yang kerja melebihi had yang boleh ditahan oleh tubuh badan seperti 36 jam, sangat mencabar dan tertekan.

Ditambah pula jika mempunyai pesakit yang tidak memahami, pastinya menambahkan lagi tekanan, seperti melakukan pembedahan juga menyebabkan rasa cemas dan tertekan. Itu belum lihat statistik kematian doktor akibat kemalangan kerana terlalu letih dan penat bekerja lebih masa.

Bagi jururawat pula, mereka melakuka kerja-kerja yang tidak dilakukan doktor dan ia sama mencabar. Membersihkan najis pesakit antara salah satu perkara yang sangat memerlukan ketabahan.

Jika anak-anak sendiri tidak mampu dan geli mahu bersihkan najis ibu bapa mereka yang sudah tua, apatah lagi jururawat, orang luar.

Apa yang mereka cakap adalah itu kan kerja jururawat, bukan kerja kami, tapi walau apapun jururawat tetap melakukan tanggungjawabnya. Sangat hebat.

5. Anggota polis

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tanggungjawab anggota polis adalah menjaga keselamatan awam dan apa sahaja yang berkaitan dengan orang awam, sememangnya memberikan tekanan. Jenayah semakin berleluasa dan semua ini diletakkan di bahu pihak polis.

Kadang-kadang tu yang tak ada mengena dengan polis pun, tapi perlu dipertanggungjawabkan dan tekanan daripada masyarakat sememangnya memberikan tekanan yang amat tinggi.

Selain itu, menjadi anggota polis sentiasa berhadapan dengan situasi berisiko yang boleh menyebabkan kematian, tak termasuk perkara yang memerlukan tenaga fizikal.

Dan yang paling stres bila dikaitkan dengan rasuah, walaupun anggota tersebut bersih dari gejala rasuah, namun kotoran masih terpalit, hanya kerana menjadi anggota polis.

Banyak juga kes-kes yang berat yang memerlukan penyiasatan yang sangat rumit tidak diketahui masyarakat.

Masyarakat hanya melihat kes-kes yang kecil dan tular namun tugas anggota polis lebih daripada itu dan bagi kes-kes berat bukanlah mengambil masa 30 minit atau 1 jam seperti dalam filem kerana ia memakan masa yang lama dan mereka yang terlibat sangat tertekan.

6. Guru

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Kerjaya sebagai seorang guru sememangnya satu pekerjaan yang sangat mencabar kerana sebagai guru, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengajar subjek-subjek di sekolah, malah menjadi ibu bapa kedua bagi murid-murid.

Jika ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak pun sudah tertekan dengan kerenah anak-anak, bayangkan bagaimana tekanan yang seorang guru hadapi.

Masyarakat sering beranggapan bahawa pekerjaan sebagai seorang guru adalah mudah, gaji tinggi dan juga cuti panjang, namun mereka tidak tahu semua mata dan kepala asyik memandang ke arah guru.

Setiap kesilapan dan kesalahan murid, pasti jari-jari akan menuding ke arah guru. Markah peperiksaan tak bagus, salah guru. Masalah sosial dan buli di sekolah, juga salah guru.

Dan di zaman moden ini, ada grup whatsapp antara guru dan ibu bapa pula tu. Dah habis kerja di sekolah, balik nak rehat, ibu bapa pula asyik whatsapp di grup tanya pasal anak.

Pensel anak saya hilang, jam anak saya hilang, buku anak saya hilang, itu semua guru yang perlu menjawab.

Tekanan dari ibu bapa yang tak memahami memang mengundang stress yang sangat tinggi. Siapa cakap mudah jadi guru?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi.

Monday, September 10, 2018

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

Asap rokok sudah terbukti boleh membahayakan kesihatan tubuh, bahkan bagi orang yang tidak merokok dan di beberapa negara sudah menetapkan peraturan larangan merokok, yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan kepada masyarakat.

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

Beberapa negara di dunia yang bersih dari asap rokok, dengan menerapkan peraturan ketat tentang larangan merokok di tempat-tempat umum.

Berikut adalah negara-negara yang bersih dari asap rokok.

1. Iceland

Di negara salji yang berada di antara Atlantik utara dan Lautan Artik ini, perokok memiliki ruangan khusus agar rakyatnya yang tidak merokok dapat menikmati suasana tanpa asap rokok di restoran, bar dan dimana sahaja.

2. Ireland

Ireland adalah salah sebuah negara yang secara tegas melancarkan kempen melawan asap rokok.

Ireland sebenarnya adalah negara pertama di dunia yang melarang perbuatan merokok di tempat tertutup.

3. Australia

Di negeri Kanggaru, jumlah iklan anti rokok sangat banyak kerana kesedaran pihak kerajaan tentang pentingnya persekitaran yang bersih.

4. Singapura

Singapura adalah salah satu negara di Asia yang ketat dengan peraturan merokok.

Perkara ini boleh dilihat dari tingginya harga rokok yang dijual di Singapura, $S13 (RM40+-) bagi rokok 20 batang.

Singapura juga secara tegas mengenakan denda yang tinggi terhadap pelancong yang menyeludup rokok.

5. New Zealand

New Zealand adalah negara yang bertekad untuk 'menghapuskan' sama sekali rokok  menjelang tahun 2025, dengan terus menaikkan harga rokoknya.

Kerajaan New Zealand telah merancang pada tahun 2020 untuk menjual rokok N$28 sekotak dan ketika ini, harga rokok dijual pada harga N$28 bagi kotak 20 batang.

6. Kanada

Beberapa tahun belakangan ini, Kanada menjadi negara bebas asap rokok, sehinggakan ramai pelancong luar berkunjung semata-mata untuk menghirup udara segar.

7. Norway

Beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah perokok di Norway semakin menurun, selepas larangan merokok yang diterapkan sejak tahun 2004, di semua tempat tertutup.

8. Scotland

Pada tahun 2009, negara berjiran dengan Britan ini telah membahas mengenai larangan penjualan rokok.

Selain itu, Scotland juga telah menaikkan harga rokok menjadi £10 sekotak 20 batang pada tahun 2010 dan merancang kenaikan sehingga £20 menjelang tahun 2020.

9. Uruguay

Pada tahun 2006, Uruguay adalah negara pertama di Amerika Latin dan negara kelima di dunia yang menguatkuasakan larangan merokok di kawasan tertutup.

10. Argentina

Anggota Parlimen Argentina telah meluluskan undang-undang nasional yang melarang iklan tembakau dan merokok di tempat-tempat awam, dan mewajibkan penggunaan amaran pada produk tembakau.

Bandar Buenos Aires melarang merokok di tempat umum, bar dan restoran bermula pada Oktober 2006.

Menteri Kesihatan Argentina, Juan Manzur, mengatakan penyakit berkaitan tembakau merupakan penyumbang terhadap 40,000 kematian setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia

Sekitar pertengahan 2006, penduduk di Malaysia gempar apabila sebuah muzium di Selangor mempamerkan jasad kononnya milik ikan duyung yang didakwa berjaya ditangkap di Indonesia dan dibawa masuk ke Malaysia untuk didedahkan kepada umum.

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia
Gambar hiasan.

Pameran berkenaan dengan pantas mencetuskan fenomena luar biasa apabila ribuan pengunjung membanjiri muzium itu untuk menyaksikan sendiri makhluk misteri yang sebelum ini hanya diketahui menerusi kisah dongeng semata-mata.

Ikan duyung yang dipamerkan itu sepanjang kira-kira satu meter dan memiliki bahagian atas tubuh menyerupai manusia termasuk memiliki tangan dan rambut manakala bahagian bawahnya ekor ikan.

Berbeza dengan ikan duyung dalam kisah dongeng dan mitos yang digambarkan sebagai wanita cantik berekor ikan, ikan duyung yang dipamerkan itu memiliki wajah serta jasad menakutkan.

Makhluk misteri itu didakwa ditangkap menggunakan kaedah `mistik' di Jawa Barat, Indonesia empat tahun sebelum itu.

Kaedah itu dilakukan berulang kali dalam tempoh masa lama di tepi pantai dan antara bahan digunakan adalah beras kunyit serta bacaan tertentu.

Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya ikan duyung itu muncul dari dalam air tetapi ia tidak lagi bernyawa.

Bagaimanapun, sesuatu yang pelik adalah dakwaan jasad makhluk itu masih hanyir dan memiliki bau peluh manusia walaupun sudah mati selama empat tahun.

Seterusnya jasad ikan duyung berkenaan dibawa ke Malaysia dan dipamerkan sehingga menarik perhatian ramai pihak termasuk pengkaji luar negara.

Keadaan ini disebabkan kewujudan ikan duyung menjadi antara misteri terbesar dalam sejarah dunia lantaran jasad makhluk separuh manusia dan separuh ikan itu masih belum ditemui walaupun didakwa sudah wujud sejak ribuan tahun lalu.

Selama ini, cerita ikan duyung hanya bersandarkan kepada mitos dan dakwaan pihak tertentu yang kononnya pernah menjumpainya.

Masyarakat Babylon percaya ikan duyung adalah dewa laut yang dikenali sebagai `Ea' atau `Oannes'.

Antaranya mitos Yunani purba mengatakan ikan duyung selalu menggoda pelaut dan sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.

Mitos lain menyebut ikan duyung hidup di dasar laut tetapi apabila naik ke darat, ekornya bertukar menjadi kaki manusia dan makhluk itu akan menjadi bisu.

Bagi masyarakat Babylon pula, mereka menganggap ikan duyung sebagai dewa laut yang dikenal sebagai `Ea' atau `Oannes' yang digambarkan sebagai ikan duyung jantan.

Antara cerita terawal yang mencetuskan misteri ikan duyung pada zaman moden dicatatkan pelayar Sepanyol iaitu Christopher Columbus ketika beliau bersama anak kapalnya belayar berhampiran Haiti pada tahun 1493.

Dalam pelayaran itu, Columbus dan anak kapalnya melihat tiga makhluk aneh timbul dari permukaan laut.

Melihat wajah dan bentuk fizikal makhluk terbabit yang jelas berlainan dengan haiwan di dunia ini.

Columbus kemudian mencatat dalam jurnal pelayarannya (terjemahan), "Entah mengapa, wajah makhluk itu menyerupai manusia..."

Seorang lagi pelayar, Henry Hudson mendakwa turut terserempak dengan ikan duyung pada tahun 1608 ketika belayar di lautan utara Russia.

Lelaki itu menggambarkan ikan duyung yang ditemui memiliki jasad atas seperti manusia, berambut panjang tetapi bahagian bawahnya adalah ekor ikan.

Pelbagai teori dan andaian dikemukakan berhubung misteri kewujudan ikan duyung. Antaranya ia dikatakan sebagai spesies hidupan alam mistik dan hanya muncul di dunia manusia, sekali dalam beberapa ratus tahun.

Teori ala fiksyen pula menyatakan ikan duyung sebenarnya penduduk kota misteri Atlantis yang menemui teknologi untuk hidup dalam lautan selepas kota mereka tenggelam puluhan ribu tahun lalu.

Bagaimanapun, jika diteliti aspek penerokaan lautan dalam dan pencarian spesies hidupan baharu, hakikat yang pasti adalah saintis belum mampu menerokai ke dasar paling dalam di lautan.

Sehingga kini, kemajuan sains dan teknologi hanya mampu membawa saintis meneroka sekitar 4,000 meter di bawah paras laut dan setiap kali mencecah kedalaman baru, banyak spesies baru yang aneh dan misteri turut ditemui.

Saintis percaya lautan yang meliputi kira-kira 70 peratus kawasan bumi memiliki sekitar dua bilion hidupan berlainan spesies tetapi sehingga kini, spesies yang dikenal pasti dan direkodkan dipercayai masih belum mencecah satu peratus.

Mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Berikutan itu, mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Kalangan skeptikal menolak tanggapan ikan duyung wujud, sebaliknya berhujah bahawa gambaran rupa dan jasad ikan duyung seperti diceritakan pihak tertentu sebenarnya disalah tafsirkan.

Mereka percaya pihak yang mendakwa menemui ikan duyung termasuk Columbus sebenarnya terlihat dugong kerana haiwan laut itu memiliki rupa hampir menyamai manusia malah turut menyusukan anaknya dengan `payudara' yang jelas kelihatan.

Teori lain mengatakan cerita ikan duyung sebenarnya karut dan rekaan pihak tertentu. 

Semakan menerusi internet mendapati ada pihak dari merata dunia mendakwa menemui jasad ikan duyung tetapi keaslian gambar yang dipaparkan amat diragui.

Malah seorang penyelidik, Frank Buckland, pernah menjalankan kajian terhadap satu jasad ikan duyung yang dipamerkan sekitar abad ke-19.

Bagaimanapun, beliau mendapati bahagian atas jasad iaitu tengkorak, rangka dan lengan sebenarnya milik seekor monyet dan bahagian itu dicantumkan dengan bahagian tulang ekor ikan yang besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Sunday, September 09, 2018

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku-suku yang ada di dunia memiliki keayuan nya yang tersendiri dan adakalanya mengalahkan kecantikan wanita yang ada di bandar-bandar besar.

Mari kita melihat beberapa kecantikan wanita yang ada pada suku-suku yang tersebar di seluruh dunia.

1. Suku Dayak

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku Dayak adalah nama yang diberikan oleh penjajah kepada penghuni pedalaman pulau Borneo (Kalimantan), terkenal dengan kulit yang putih dan banyak wanita bertubuh mungil.

Kebanyakan suku Dayak mempunyai bahasa daerah tersendiri namun mengerti bahasa tempatan.

Kini, suku Dayak banyak ditemui di kota-kota yang ada di Kalimantan.

2. Suku Chuckchi

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku Chuckchi adalah penduduk asli yang mendiami Semenanjung Chukchi dan tepi Laut Chukchi serta wilayah Laut Bering lautan Artik dalam kawasan Rusia. Mereka berbicara dengan bahasa Chukchi.

Chukchi berasal dari orang-orang yang hidup di sekitar Laut Okhotsk.

3. Suku Pashtun

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku Pasthun adalah etnik yang populasinya berada di daerah timur dan selatan Afganistan serta perbatasan Barat Laut dan Balochistan yang merupakan kawasan Pakistan.

Majoriti Pashtun mendiami Pakistan dan Afghanistan.

Kawasan lain adalah Utara, Azad Kashmir dan Karachi di Pakistan sama seperti di Afghanistan.

4. Suku Kalasha

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku Kalasha adalah penduduk asli Dardik yang bermukim di Chitral, daerah Khyber-Pakhtunkhwa, Pakistan.

Suku ini menganut agama yang telah dikategorikan sebagai animisme atau 'sejenis Hinduisme Kuno.'

5. Suku Ladakhi

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku ladakhi majoritinya tinggal di Jammu dan Kasmir, India.

Jammu dan Kasmir merupakan daerah paling utara di India yang bersempadan dengan negara China disebelah timur dan negara Pakistan disebelah barat.

6. Suku Maori

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Māori berasal dari para pendatang Polinesia timur yang tiba di Selandia Baru dalam beberapa gelombang pelayaran kano antara tahun 1250 dan 1300.

Mereka berbicara dengan bahasa mereka sendiri, mitologi mereka juga kaya dan kerajinan khas hingga seni pertunjukan juga sangat 'kental'.

7. Suku Uighur

7 Suku Kaum Terkenal Dengan Wanita Tercantik Di Dunia

Suku Uighur adalah salah satu suku minoriti rasmi di Republik Rakyat China, merupakan keturunan dari suku kuno Huihe yang tersebar di Asia Tengah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tribunnews

Penternakan Udang Galah

Penternakan Udang Galah

Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii) merupakan hidupan air tawar yang sangat aktif pada waktu malam dimana kini udang galah telah sesuai diternak secara komersil dan lazimnya, udang galah pada kebiasaannya akan hidup di sungai, saliran, tasik dan di muara sungai.

Penternakan Udang Galah

Ianya merupakan udang yang amat digemari kerana isinya yang lebih enak jika dibandingkan dengan udang-udang jenis-jenis lain yang ada di perairan Malaysia.

Harga udang galah segar biasanya akan dijual di dipasaran dimana ia kini mencecah RM 40 ringgit - RM60 sekilogram.

Harga udang galah yang tinggi sebegini menjadi pemangkin kepada penternak ikan lain untuk bertukar kepada aktiviti penternakan udang galah.

Walaubagaimanapun, Malaysia tetap jauh ketinggalan dalam industri udang galah ini jika dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, Taiwan dan Vietnam dalam beberapa aspek teknikal dan pengeluaran.

Di negeri Pahang, ada bandar mana ia sering menghasilkan udang galah iaitu Daerah Rompin.

Ini kerana banyak sungai-sungai didaerah ini merupakan 'syurga' kepada pemancing dan nelayan sungai untuk mencari udang galah.

Udang galah mudah dijumpai di Sg Endau, Sungai Pontian dan banyak lagi sungai yang ada habitat udang galah mengikut musim.

Musim

Musim memancing udang galah paling baik iaitu sekitar Januari - Febuari (musim panas setiap tahun.

Tangkapan udang galah liar di sungai-sungai didaerah ini telah menjadikan beberapa restoran dan gerai khusus memasak udang galah untuk peminatnya.

Seekor udang galah berukuran sedang, dimasak sambal dijual dengan harga RM12-RM15 seekor.

Penternakan Udang Galah

Penternakan udang galah kini boleh diusahakan dengan kaedah monokultur (monoculture) atau dalam ertikata lain sebagai 'penternakan tunggal' atau pun cara polikultur (polyculture) atau maknanya sebagai 'penternakan bersepadu'.

Kini didalam negara kita masih banyak sumber air tawar yang belum tercemar seperti di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dimana kawasan ini merupakan lokasi yang ideal untuk penternakan dan juga tumbesaran udang galah.

Hanya terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khusus sebelum memulakan penternakan udang galah ini kepada individu, syarikat atau pelabur.

Antara aspek utama adalah seperti saiz dan kedalaman kolam udang yang hendak digunakan.

Sebaiknya saiz kolam perlulah sesuai dengan kuantiti udang yang bakal diternak.

Ini kerana kolam yang terlalu sempit akan menyebabkan persaingan yang sengit diantara udang galah yang mana keadaan ini akan mempengaruhi saiz udang.

Aspek yang kedua adalah masa dan kaedah pengeringan kolam.

Sebagai amalan terbaik, disyorkan agar semua kolam udang galah perlu didedahkan dengan matahari terik bagi tujuan membunuh semua jenis pemangsa yang ada di dalam kolam tersebut.

Antara pemangsa yang perlu dihapuskan seperti ikan dan belut, kerana ikan terutamanya haruan dan belut akan terus memakan udang didalam kolam jika ia berada didalamnya.

Keperluan cahaya matahari juga membantu didalam proses mempercepatkan aktiviti pereputan bahan organik seperti najis, daun dan rumput mati.

Sebaiknya, aktiviti seperti pengeringan kolam mestilah dibuat selama dua minggu.

Jangkamasa ini sesuai untuk menghapuskan kebanyakan pemangsa udang dalam kolam kelak.

Sekiranya pengeringan tidak dapat dijalankan, anda juga disyorkan supaya kolam tersebut hendaklah diracun untuk membunuh pemangsa tetapi pastikan kesan racun dibuang sebelum memulakan penternakan udang galah.

Penjagaan ternakan udang galah tidaklah rumit bagi penternak yang berpengalaman kerana mereka mempunyai modal yang cukup dan kawasan yang sesuai.

Bagaimanapun, kepada para penternak baru ianya memerlukan pengalaman dan kemahiran tertentu sebelum mereka ingin memulakannya.

Lazimnya, pengusaha cuma perlu melaksanakan beberapa perkara saja iaitu mengapur, membaja, memberi makanan dan mengawal penyakit.

Walaupun bunyinya nampak macam mudah tetapi pernah dilaporkan bagaimana ada penternak udang galah di negara kita mengalami kerugian besar dalam menternak udang galah.

Kini secara teorinya aktiviti mengapur kolam udang memang dilakukan untuk menstabilkan pH air dan ini dapat menggalakkan udang untuk nenyalin kulit.

Antara jenis-jenis kapur yang biasa digunakan ialah calcium oxide dan calcium carbonate.

Membaja kolam udang pula perlu dilakukan untuk menggalakkan pertumbuhan makanan semula jadi seperti cacing, siput dan lumut.

Bagi baja kimia digalakkan agar menggunakan Triple-phosphate dimana pemberian boleh digunakan pada kadar 3,5kg/1000m/week.

Bagi tujuan memastikan kualiti air yang baik, ada penternak yang memasang 'aerator' dikolam.

Musuh

Lazimnya, dalam penternakan udang galah memang perlu dipastikan bahawa air yang disalurkan ke kolam hendaklah sentiasa bersih dan tidak membawa apa-apa pathogen yang boleh menyerang udang galah.

Penyakit yang biasanya menyerang udang galah ialah Black Spot iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria.

Penyakit ini mampu dikawal dengan cara merawat sumber air yang digunakan dan juga dengan mengelakkan kecederaan fizikal udang.

Antara jenis rawatan kimia yang boleh dipraktikkan adalah dengan cara mengunakan 10ppm Asid Oxolinic selama setengah jam atau dua nifurpirinol untuk 98 jam dan 11-13ppm furozolid.

Kini negara Malaysia mampu untuk maju dalam industri udang galah ini jika kepakaran dalam teknologi pembenihan, penternakan dan pemprosessan udang galah dipertingkatkan.

Setiap industri mempunyai risiko tersendiri namun ianya tetap mampu berkembang dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak.

Sistem Pengairan

Sistem pengairan kolam udang galah penting untuk selalu dibuat pemantauan.

Sumber air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan jenis pemangsa. Sebaiknya, udang dilepas seminggu selepas air masuk.

Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.

Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10 ekor bagi setiap 1 meter tanpa memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan juga memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.

Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.

Makanan Udang Galah

Bagi aktiviti pemberian makanan udang galah, sebaiknya berikan jenis makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.

Bagaimanapun, didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.

Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.

Penternak juga boleh menghasilkan makanan sendiri untuk udang galah bagi mengurangkan kos.

Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.

Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan.

Bagaimanapun, mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.

Memungut Hasil

Penternakan Udang Galah

Dalam penternakan udang galah perlu dipastikan akan berlaku pungutan hasil.

Biasanya kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan.

Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan.

Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindahkan ke satu kolam lain untuk dibesarkan.

Kawalan Penyakit

Penyakit dan kawalan perlu sentiasa dilakukan pemantauan kerana jika berlaku serangan penyakit maka akan menyebabkan kerugian kerana ia merupakan faktor yang membataskan penghasilan udang galah.

Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.

Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.

Kaedah rawatan boleh dilakukan dengan merendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam.

Penyakit yang disebabkan oleh bakteria berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres.

Rawatan boleh dilakukan dengan merendam dalam 11-13 ppm Furozolidone selama tiga hari dimana ia mengawal serangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan

Saturday, September 08, 2018

Apa Itu Penyakit Mata Glaukoma, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Apa Itu Penyakit Mata Glaukoma, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Glaukoma adalah sejenis penyakit mata yang menyebabkan kerosakan saraf optik yang jika teruk boleh menyebabkan kebutaan namun begitu, jika Glaukoma dikesan awal, ia boleh dirawat dan penglihatan boleh dipulihkan.

Apa Itu Penyakit Mata Glaukoma

Apa yang menyebabkan glaukoma?

Kebanyakan kes glaukoma disebabkan oleh saliran air yang keluar dari mata tidak lancar menyebabkan tekanan mata naik.

Tekanan yang tinggi akan menyebabkan kerosakan saraf optik, namun begitu punca glaukoma tidak diketahui sepenuhnya.

Sesetengah orang ada tekanan tinggi dalam mata tetapi tidak mengalami kerosakan.

Sesetengah orang mungkin mengalami tekanan mata yang normal tetapi saraf optik mengalami kerosakan.

Faktor lain seperti kekurangan pengaliran darah ke dalam saraf optik atau kelemahan saraf optik juga memainkan peranan.

Bagaimana boleh mengetahui saya mengidap glaukoma?

Ramai orang yang mengidapi glaukoma tidak sedar mereka ada masalah ini pada tahap awal.

Glaukoma menyebabkan penglihatan bahagian tengah kabur pada tahap lewat sahaja.

Anda perlu diperiksa oleh pakar mata untuk mengesan penyakit ini pada tahap awal bagi membolehkan rawatan awal diberi sebelum kehilangan penglihatan berlaku.

Bolehkah rawatan ini merawat sepenuhnya masalah penglihatan?

Kalau telah kehilangan penglihatan (buta), ianya tidak boleh dikembalikan. Sebab itu rawatan awal amat penting untuk mencegah dari kerosakan kekal pada mata.

Adakah ini bermakna saya hanya terdapat masalah ini bila sudah terjadi kehilangan penglihatan?

Ya. Ini biasanya terjadi kalau seseorang tidak menjalani pemeriksaan rutin.

Adakah ini bermakna kehilangan penglihatan yang sudah terjadi tidak boleh dikembalikan dengan rawatan?

Ya. Penglihatan tidak boleh dikembalikan dengan rawatan ubat. Ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan mata boleh menolong mengekalkan penglihatan yang masih ada.

Bolehkah rawatan herbal atau tradisional menolong?

Tidak ada rawatan herba atau tradisional yang boleh merawat masalah glaukoma.

Lebih tinggi risiko kehilangan penglihatan jika seseorang membuang masa mencari rawatan alternatif yang tidak membantu.

Ada beberapa jenis glaukoma?

Glaukoma sudut terbuka ialah yang paling kerap ditemui dan ini terjadi bila saliran air keluar dari mata tersumbat, menyebabkan tekanan mata naik dengan kadar perlahan dan pesakit akan mengalami kehilangan penglihatan secara perlahan-lahan.

Glaukoma sudut tertutup (juga dipanggil akut), lebih jarang. Dalam keadaan ini, saliran air akan tiba-tiba tertutup dan ini boleh menyebabkan kebutaan kalau tidak dirawat dengan cepat.

Biasanya, mata yang mengalami serangan akut akan berlaku kemerahan dan kesakitan mata. Ia akan diiringi oleh sakit kepala sebelah, kabur mata, rasa loya dan muntah.

Rawatan kecemasan diperlukan dan ini kadang-kadang memerlukan kemasukan ke dalam wad. Ubat akan diberi untuk merendahkan tekanan mata, diikuti dengan laser atau pembedahan.

Mata sebelah juga mungkin diberikan rawatan kerana ada kemungkinan masalah yang sama boleh terjadi.

Ada 2 jenis lagi penyakit glaukoma iaitu glaukoma sekunder, di mana tekanan tinggi dalam mata berlaku kerana masalah mata yang lain dan glaukoma Kongenital di mana seseorang dilahirkan dengan keadaan ini.

Apakah cara yang boleh dilakukan untuk membantu mendiagnosis glaukoma?

Perimeter medan visual automatik boleh digunakan untuk memetakan sama ada pesakit mempunyai sebarang kehilangan medan penglihatan.

Analisa OCT glaukoma

Tomografi koherensi optik (OCT) adalah teknologi pengimejan yang biasa digunakan dalam penilaian kerosakan struktur saraf optik.

Keupayaan untuk mengesan kehilangan struktur adalah penting dalam diagnosis dan pemantauan glaukoma.

Walaupun kerosakan struktur glaukoma dapat dinilai secara subjektif oleh pemeriksaan secara klinikal pada kepala saraf optik (ONH) dan lapisan serat saraf retina peripapillary (RNFL), pengenalan pengimejan optik telah membenarkan penilaian objektif dan kuantitatif struktur ocular.

Perbandingan satu siri pemeriksaan OCT dalam tempoh masa yang tertentu akan memberitahu pakar oftalmologi sama ada ubat glaukoma yang diberikan adalah mencukupi untuk mencegah kerosakan selanjutnya.

Apakah rawatan untuk glaukoma?

Rawatan adalah untuk merendahkan tekanan mata dan menghalang kehilangan penglihatan, termasuk ubat titis, rawatan laser dan pembedahan.

Kesemua rawatan ada kebaikan dan keburukannya dan cara rawatan terbaik untuk seseorang ialah hasil keputusan perbincangan pesakit dan doktor setelah pelbagai opsyen dipertimbangkan.

Rawatan tidak boleh mengembalikan kerosakan yang telah terjadi ke atas saraf optik, jadi penglihatan yang telah rosak tidak boleh dibaiki.

Ubat

Ubat titis adalah langkah pertama dalam rawatan ini. Ada pelbagai ubat yang bertindak dengan cara yang berlainan.

Adalah penting untuk menggunakan ubat ini setiap hari seperti dinasihatkan oleh doktor, kerana tekanan akan menaik sekiranya ubat tidak digunakan.

Ada ubat titis kombinasi yang boleh digunakan sekiranya pesakit memerlukan lebih daripada satu ubat. Kesemua ubat titis boleh menyebabkan kepedihan mata.

Kesan sampingan juga termasuk pertukaran rasa lidah, pertukaran warna iris, bulu mata yang lebih panjang dan lebat, sakit kepala dan kabur mata.

Rawatan laser

Laser digunakan untuk merawat glaukoma sudut terbuka dan tertutup dengan laser yang berlainan dan teknik berlainan. Laser boleh digunakan untuk membuka lubang di trabekular meshwork.

Prosedur ini biasanya cepat dan tidak sakit serta tidak memerlukan ubat bius seluruh badan serta tidak perlu kemasukan ke dalam wad.

Kejayaan prosedur ini berbeza untuk setiap individu dan kadang-kadang ubat titis mata masih diperlukan selepas laser, tetapi dalam dos yang lebih rendah.

Berapa lamakah prosedur laser?

Ini hanya mengambil masa lebih kurang lima belas minit hingga 1 jam.

Perlukah saya baring untuk prosedur ini?

Tidak perlu.

Pembedahan trabeculectomi

Apa Itu Penyakit Mata Glaukoma

Ada pelbagai jenis pembedahan untuk glaukoma bergantung kepada keperluan individu. Keberkesanan ubat yang baru untuk glaukoma telah mengurangkan kadar pembedahan untuk glaukoma.

Tetapi pembedahan adalah opsyen bila ubatan dan/atau laser tidak berjaya merendahkan tekanan mata.

Pembedahan adalah untuk menghasilkan sebuah lubang kecil di dinding mata supaya air boleh dilepaskan keluar dari mata dibawah bahagian conjunctiva. Dari situ, air akan mengalir masuk ke dalam saluran darah.

Setelah pembedahan ini, seseorang biasanya boleh berhenti mengambil ubat glaukoma tetapi kadang-kadang satu antara lima orang perlu sambung guna ubat itu.

Rawatan untuk glaukoma adalah efektif dan kebanyakan orang boleh mengekalkan penglihatan mereka kalau rawatan diberi pada tahap awal dan pesakit mematuhi proses penyembuhan yang disyorkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pakarmata

Misteri Kanak-kanak Perempuan Berpeluh Darah Di Vietnam

Misteri Kanak-kanak Perempuan Berpeluh Darah Di Vietnam

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dimasukkan ke hospital di Vietnam selepas disyaki mengidap penyakit hematidrosis, satu keadaan yang sangat jarang berlaku di mana seseorang itu mengeluarkan peluh berdarah.

Misteri Kanak-kanak Perempuan Berpeluh Darah Di Vietnam

Budak perempuan itu yang hanya dikenali sebagai N untuk melindungi privasinya, didakwa mula berpeluh darah sekitar empat bulan lalu apabila ibu bapanya mendakwa dia sangat tertekan memikirkan tentang peperiksaannya.

Mereka tidak membawanya berjumpa doktor ketika gejala pertama muncul, tetapi keadaannya menjadi semakin teruk, yang mana N akan berpeluh darah sebanyak tiga atau empat kali sehari dan mengalami sakit kepala yang teruk.

Ibu bapa N pada asalnya membawanya ke Hematologi Transfusi Darah dan Hospital Dermatologi di Ho Chi Minh, di mana doktor mendiagnosisnya dengan jangkitan kulit dan menetapkan beberapa ubat kepadanya.

Walau bagaimanapun, rawatan itu tidak membantu sama sekali, jadi keluarganya yang berasal dari wilayah Gia Lai Vietnam, membawanya ke Hospital Dermatologi Nasional Quy Hoa, di Quy Nhon.

Hematidrosis amat jarang berlaku, malah sesetengah orang tidak percaya ia wujud.

Bagaimanapun, kes-kes hematidrosis telah dilaporkan sejak zaman purba dan walaupun banyak yang kita tidak tahu mengenainya, ia tetap dianggap sebagai salah satu keadaan perubatan.

Pengetahuan terhad tentang hematidrosis yang diketahui dikaitkan dengan stres yang melampau dan situasi yang mengancam nyawa sebagai punca utama.

Rupa-rupanya, dalam keadaan tertentu, kapilari yang merupakan saluran darah terkecil di dalam badan kita boleh pecah, menyebabkan darah keluar dari kelenjar peluh.

Misteri Kanak-kanak Perempuan Berpeluh Darah Di Vietnam

Kerana tidak banyak diketahui tentang keadaan ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh doktor untuk merawatnya.

Dalam kes budak 11 tahun ini, doktor-doktor di hospital telah menjalankan ujian ke atas semua organ utamanya, yang mana semuanya normal.

Pada masa ini, mereka cuba mengurangkan tahap tekanan N, dengan harapan ia adalah punca kepada peluh darahnya.

Saigon Online melaporkan bahawa ketika darah N diuji, doktor hanya menemui sel darah putih, tidak sel darah merah, tetapi tidak jelas apakah ia mempunyai kaitan dengan keadaannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar