Tuesday, April 25, 2017

10 Jenis Tarian Tradisi Suku Kaum Negeri Sabah


Setiap suku kaum memiliki beberapa jenis tarian kebudayaan yang diwarisi turun temurun. Banyak tarian yang masih popular sementara yang lain telah dilupakan begitu sahaja kerana peredaran zaman serta trend hidup rakyat Sabah yang kian berubah.

Terdapat lebih kurang 80 jenis tarian terdapat di negeri Sabah dan kesemuanya merupakan identiti bagi setiap suku kaum.

Berikut merupakan 10 jenis tarian tradisi paling terkenal beberapa suku kaum di negeri Sabah.

1. Tarian Sumazau

Sumazau

Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia.

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi suku kaum Kadazan Dusun.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut.

Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu.

Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang.

Biasanya tarian Sumazau ditarikan semasa menyambut pesta Kaamatan (hari keramaian) dan semasa majlis jamuan.

2. Tarian Adai-adai

Tarian Adai-adai

Adai-adai ialah tarian suku kaum Brunei di Sabah. Tarian ini tercipta ketika para nelayan yang sedang berdayung pulang dari menangkap ikan pada waktu malam agar rasa mengantuk para nelayan akan hilang.

Selain itu, tarian ini menggambarkan pada kehidupan kaum nelayan yang mana merupakan kehidupan tradisi masyarakat Brunei.

Dalam tarian ini, ia mengisahkan cerita kumpulan nelayan pergi menangkap ikan di laut manakala kaum wanita menunggu kepulangan mereka di kawasan pantai untuk membantu hasil tangkapan yang akan diperolehi.

Tarian Adai-Adai ini pada asalnya merupakan sebuah lagu yang berbentuk pantun dan dinyayikan beramai-ramai.

Kewujudan tarian-tarian ini dicipta melalui adaptasi lagu-lagu Brunei Asli yang disesuaikan dengan irama dan suasana lagu itu dinanyikan seperti Lagu 'Adai-Adai'.

Lagu ini lazimnya dinanyikan oleh kaum nelayan ketika hendak pergi atau pulang dari menangkap ikan.

Daripada kisah tersebut diciptalah tarian yang menggambarkan keriangan, kepenatan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu menangkap ikan.

3. Tarian Daling-daling

Tarian Daling-daling

Mengikut sejarahnya, tarian Daling Daling sebenarnya berasal dari Sepanyol. Ia dipercayai diperkenalkan oleh tentera Sepanyol kepada penduduk Filipina.

Akibat pengaruh yang dibawakan tentera Sepanyol, kini tarian Daling Daling menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau.

Alat muzik yang digunakan ialah 'gabbang' dan dua bilah kayu yang disebut 'bolak-bolak'.

Daling-daling ditarikan secara berpasangan, masing-masing tiga penari lelaki dan wanita. Ia dipersembahkan di majlis pertunangan, perkahwinan, berkhatan, berkhatam Quran atau majlis Hari Raya.

Penari wanita memakai 'destar' yang disebut 'pies'.

Manakala, jari mereka pula dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa, kuku itu dinamakan 'janggal'.

Selain terkenal di kalangan suku kaum Sulu, tarian Daling Daling juga adalah tarian tradisional yang cukup terkenal bagi suku kaum Bajau.

Tarian Daling Daling biasanya dipersembahkan dengan iringan pukulan 'gabbang' dan gesekan biola dan nyanyian, kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari wanitanya. Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakan kaki penarinya memperlihatkan keunikan tarian ini.

Ada sesetengah yang berpendapat bahawa tarian ini adalah tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Sulu dari kepulauan Mindanao selepas mendapat pengaruh tentera Sepanyol.

Pertumbuhan dan percampuran antara masyarakat Bajau dan Sulu mengakibatkan begitu kuatnya pengaruh tarian ini.

Sementara itu, dipercayai juga perkataan Daling Daling adalah berasal daripada perkataan Inggeris 'darling' yang bererti kekasih.

Tarian ini adalah tarian hiburan yang unik di majlis khusus dan istimewa di mana penari lelaki dan perempuan akan berbalas pantun sambil menari.

Dan etnik ini turut terkenal dengan tarian daling-daling bermaksud sayang yang turut dikenali sebagai satu tarian usik mengusik di antara teruna dan gadis.

Pakaian tradisi etnik ini agak unik dan mempunyai reka bentuk tersendiri. Terdapat pelbagai jenis pakaian tradisi etnik ini antaranya seperti bajju samda, bajju sablai, bajju siggpit, bajju kammisun dan sebagainya.

Sementara seluar kuput, hanya dipakai oleh keturunan Sultan atau Panglima sahaja. Ukurannya agak sempit di bahagian betis dan berwarna putih atau kuning keemasan.

Kain merah pula digunakan sebagai tali pinggang yang dinamakan kandit. Warna hijau juga kadangkala menjadi pilihan.

Mereka juga memakai tanjak yang dikenali sebagai pis. Tingkat tanjak ini biasanya mengikut keturunan dan kedudukan seseorang itu.

Bagi kaum wanita pula mereka menggunakan pakaian berbeza sama ada untuk bersiar-siar atau menghadiri sesuatu pesta atau majlis keramaian. Untuk bersiar-siar atau di rumah, mereka mengenakan baju yang terdiri daripada kamissun, samda dan sablai.

Semasa menghadiri pesta atau majlis rasmi wanita etnik ini memakai baju sigpit atau baju ala kebaya asli dengan kain batik lepas.

Di bahagian kepala mereka biasanya mengenakan atau meletakkan mahakutta. Mereka juga mengenakan sanggul yang dihiasi dengan sisir bersalut emas yang dinamakan sudlai bulawan.

Wanita Suluk keturunan bangsawan pula selalunya mempunyai mahakutta yang bertatahkan berlian atau mutiara asli.

Bagi seorang gadis atau penari mangiluk atau daling-daling atau seorang pengantin selalu memakai kuku palsu yang panjang berwarna keemasan yang dinamakan janggai.

4. Tarian Limbai

Tarian Limbai

Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan.

Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin.

Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.

Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah.

Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

5. Tarian Lansaran

Tarian Lansaran

Suku kaum Murut merupakan suku kaum bumiputera yang kecil bilangannya di Sabah. Kaum ini tinggal di kawasan pedalaman iaitu di Keningau, Nabawan, Sepulot dan Tenom.

Perkataan lansaran berasal daripada perkataan lumasar yang bermaksud melambung atau berayun-ayun.

Hal ini sesuai dengan situasi tarian itu yang ditarikan di satu tempat khas dengan berayun-ayun dan melambung-lambungkan diri.

Pada masa dahulu tarian ini berkait rapat dengan pemujaan roh atau semangat tengkorak, khususnya pemujaan semangat kepala manusia yang diperoleh semasa ngayau.

Kini tarian ini ditarikan sebagai bersuaka ria sempena keramaian seperti perkahwinan dan perpindahan ke rumah panjang yang baharu.

6. Tarian Mogunatip

Mogunatip

Tarian Mogunatip adalah sejenis tarian tradisi masyarakat beberapa suku kaum Murut di pedalaman Sabah.

Perkataan Mogunatip diambil daripada perkataan "atip" yang bermaksud menekan antara dua permukaan.

Keunikan tarian Mogunatip ini bukan saja bagaimana cara ia di tarikan namun kekuatan dan ketangkasaan perlu ada di samping pakaian tarian ini mengambarkan pahlawan murut satu ketika dulu.

Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.

Tarian Mogunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.

7. Tarian Sumayau

Tarian Sumayau

Tarian ini merupakan tarian pemujaan semangat oleh suku kaum Dusun. Ia biasanya dipersembahkan semasa Upacara 'Rumaha' (Upacara memuja tengkorak kepala), 'Mangahau' (Upacara pemujaan Tajau).

Penari perempuan mengerakkan tapak kaki mereka dengan perlahan, sementera penari lelaki berdiri dan menggoncangkan 'Giring'atau lonceng kecil yang dilekatkan pada pakaian mereka.

Sumayau dipersembahkan lebih daripada lapan orang pasangan yang berpakaian serba hitam dengan lengan panjang dan selendang yang panjang mengelilingi leher.

Penari perempuan pula memakai bulu burung di bahagian kepala yang digabungjalinkan sementara penari lelaki memekai 'Sigar'.

8. Tarian Sazau Papar

Tarian Sazau Papar

Sazau Papar merupakan tarian bagi suku kaum Kadazan Dusun yang menetap di Daerah Papar.

Pada peringkat awalnya, fungsi tarian ini adalah sebagai upacara "Madsuwau" iaitu bertujuan untuk pemujaan terhadap "Dapu" atau tajau yang dipercayai mempunyai semangat yang harus dipelihara, disembah atau diberikan makan supaya semangat berkenaan tidak akan mengganggu dan marah terhadap orang yang menyimpannya.

Kelalaian si pemilik Dapu untuk melaksanakan upacara ini akan mengakibatkan si pemilik jatuh sakit dan hanya boleh disembuhkan dengan mengadakan upacara Madsuwau.

9. Tarian Mongigol

Tarian Mongigol

Mongigol merupakan tarian suku kaum Kadazan Dusun. Tarian Mongigol dipersembahkan sekaligus semasa perayaan dan upacara semangat.

Tarian ini ditarikan oleh tiga hingga lapan orang penari perempuan dan di ketuai oleh penari lelaki.

10. Tarian Sumundai-Mongigol

Tarian Sumundai-Mongigol

Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong.

Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus.

Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.

Kadang-kadang semasa tarian ini ditarikan, beberapa orang Rungus akan membawa beberapa gelas arak buatan sendiri seperti "kinomol" yang diperbuat dari beras dan "tinonggilan" yang diperbuat dari jagung untuk para tetamu yang hadir dalam majlis berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siahmastura

3 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon