Tuesday, September 11, 2018

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia


Tiada kerja yang mudah di dunia ini kerana semuanya mempunyai cabaran dan tekanan masing-masing, dari bekerja sendiri sehinggalah bekerja di bawah boss, ada sahaja masalah yang akan dihadapi, namun kita haruslah bijak mengendalikan tekanan tersebut.

Namun, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tekanan diterima melebihi kerjaya-kerjaya lain. Apa yang membuatkan sesuatu kerja itu sangat stres? Adakah ia tekanan daripada pihak atasan atau masyarakat? Adakah kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental? Ataupun kerja yang berhadapan dengan risiko kecederaan dan kematian?

Kali ini kami ingin berkongsi 6 pekerjaan yang kami rasa paling stres di dunia.

1. Tentera bertugas

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Sama seperti polis, namun ia lebih meluas kerana tugas mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar.

Kerja ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi dan sebagai seorang tentera yang sedang bertugas, mereka sentiasa berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi.

Ia ditambah lagi dengan latihan yang sangat mencabar dan memeritkan yang menguji kejantanan setiap anggota. Terdapat di antara mereka yang tidak tahan akan tekanan ini dan melarikan diri.

Selain itu, kerja mereka memerlukan mereka sentiasa berjauhan daripada ahli keluarga juga memberi tekanan yang tinggi.

2. Perdana menteri

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Jika guru perlu berhadapan dengan murid sekelas, juruterbang dan pramugara perlu melayan kerenah beratus penumpang, tetapi perdana menteri harus berhadapan dengan jutaan rakyat jelata.

Ia sememangnya satu tanggungjawab yang sangat tertekan, sehinggakan boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan harian.

Bukan calang-calang orang boleh menjadi pemimpin, beliau haruslah bijaksana dan mampu mengawal orang bawahan, serta tekanan yang mendatang.

Beliau juga harus berlaku adil dan tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya yang boleh merosakkan sesebuah negara kerana jika salah sikit, pasti akan dipersalahkan dan dihentam.

Tekanan untuk menjaga kebajikan dan memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan baik sangat tinggi.

Setiap masalah negara, sama ada dari segi keselamatan, kewangan mahupun keamanan, semuanya berada di atas bahu pemimpin dan tiada apa yang lebih berat di dalam dunia ini lebih daripada amanah.

Betapa sukar menjadi seorang pemimpin boleh kita lihat daripada kisah Saidina Umar sendiri di mana beliau dikatakan sedang tidur pada siang hari oleh Muawiyah, lalu Saidina Umar menjawab;

"Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?"

Sehingga begini hebat sekali tekanan dan tanggungjawab yang harus dihadapi oleh seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

3. Juruterbang dan krew pesawat

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Ramai orang beranggapan kerja sebagai juruterbang mudah dan senang, ditambah dengan persepsi bahawa kerjaya ini memberi pulangan yang lumayan serta popular, namun itu apa yang dilihat dari luaran sahaja, realitinya tidak semudah itu.

Banyak perkara yang harus dilakukan oleh juruterbang yang boleh memberikan tekanan yang tinggi pada diri. Tanggungjawab mereka sebagai ketua dalam pesawat bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika doktor merawat satu pesakit dalam satu masa sudah boleh menyebabkan tekanan, apatah lagi juruterbang yang berpuluh atau beratus nyawa berada di dalam tangan mereka.

Memanglah ajal maut di tangan tuhan, tapi mereka juga memainkan peranan, mengawal pesawat yang besar, di atas langit yang tinggi tidak diketahui cuaca yang mendatang dan kadang-kadang terpaksa melayan kerenah penumpang.

Bagi pramugari dan pramugara pula, kerja melayan kerenah orang ramai pastinya sesuatu yang sangat sukar.

Bukan seorang atau dua orang atau 30 orang seperti kerja guru, tetapi beratus orang dan dalam beratus orang itu, masing-masing ada kerenah masing-masing. Bukan kanak-kanak saja, orang dewasa pun banyak kerenah.

Kadang-kadang perkara yang bukan kerja mereka pun harus mereka selesaikan seperti bayi menangis dan penumpang mendesak mahukan sesuatu yang tiada dalam menu.

Kalau dapat penerbangan ke China, itu lebih parah. Mereka ini pula ada yang bekerja sehingga berbelas jam satu shift dan hampir kebanyakan masa mereka akan berjalan dan berdiri.

4. Pegawai perubatan

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Memang tak dinafikan, sebagai seorang pegawai perubatan, sama ada doktor atau pembantu perubatan dan jururawat, kerja-kerja seperti ini sangat memerlukan kesabaran dan mengendalikan tekanan dengan baik.

Mereka ini adalah hak masyarakat di mana sentiasa perlu berkhidmat, tak kira masa dan waktu. Pekerjaan yang berhadapan dengan orang awam setiap masa dan melayan kerenah pesakit bukan sesuatu yang mudah.

Bagi doktor yang kerja melebihi had yang boleh ditahan oleh tubuh badan seperti 36 jam, sangat mencabar dan tertekan.

Ditambah pula jika mempunyai pesakit yang tidak memahami, pastinya menambahkan lagi tekanan, seperti melakukan pembedahan juga menyebabkan rasa cemas dan tertekan. Itu belum lihat statistik kematian doktor akibat kemalangan kerana terlalu letih dan penat bekerja lebih masa.

Bagi jururawat pula, mereka melakuka kerja-kerja yang tidak dilakukan doktor dan ia sama mencabar. Membersihkan najis pesakit antara salah satu perkara yang sangat memerlukan ketabahan.

Jika anak-anak sendiri tidak mampu dan geli mahu bersihkan najis ibu bapa mereka yang sudah tua, apatah lagi jururawat, orang luar.

Apa yang mereka cakap adalah itu kan kerja jururawat, bukan kerja kami, tapi walau apapun jururawat tetap melakukan tanggungjawabnya. Sangat hebat.

5. Anggota polis

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tanggungjawab anggota polis adalah menjaga keselamatan awam dan apa sahaja yang berkaitan dengan orang awam, sememangnya memberikan tekanan. Jenayah semakin berleluasa dan semua ini diletakkan di bahu pihak polis.

Kadang-kadang tu yang tak ada mengena dengan polis pun, tapi perlu dipertanggungjawabkan dan tekanan daripada masyarakat sememangnya memberikan tekanan yang amat tinggi.

Selain itu, menjadi anggota polis sentiasa berhadapan dengan situasi berisiko yang boleh menyebabkan kematian, tak termasuk perkara yang memerlukan tenaga fizikal.

Dan yang paling stres bila dikaitkan dengan rasuah, walaupun anggota tersebut bersih dari gejala rasuah, namun kotoran masih terpalit, hanya kerana menjadi anggota polis.

Banyak juga kes-kes yang berat yang memerlukan penyiasatan yang sangat rumit tidak diketahui masyarakat.

Masyarakat hanya melihat kes-kes yang kecil dan tular namun tugas anggota polis lebih daripada itu dan bagi kes-kes berat bukanlah mengambil masa 30 minit atau 1 jam seperti dalam filem kerana ia memakan masa yang lama dan mereka yang terlibat sangat tertekan.

6. Guru

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Kerjaya sebagai seorang guru sememangnya satu pekerjaan yang sangat mencabar kerana sebagai guru, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengajar subjek-subjek di sekolah, malah menjadi ibu bapa kedua bagi murid-murid.

Jika ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak pun sudah tertekan dengan kerenah anak-anak, bayangkan bagaimana tekanan yang seorang guru hadapi.

Masyarakat sering beranggapan bahawa pekerjaan sebagai seorang guru adalah mudah, gaji tinggi dan juga cuti panjang, namun mereka tidak tahu semua mata dan kepala asyik memandang ke arah guru.

Setiap kesilapan dan kesalahan murid, pasti jari-jari akan menuding ke arah guru. Markah peperiksaan tak bagus, salah guru. Masalah sosial dan buli di sekolah, juga salah guru.

Dan di zaman moden ini, ada grup whatsapp antara guru dan ibu bapa pula tu. Dah habis kerja di sekolah, balik nak rehat, ibu bapa pula asyik whatsapp di grup tanya pasal anak.

Pensel anak saya hilang, jam anak saya hilang, buku anak saya hilang, itu semua guru yang perlu menjawab.

Tekanan dari ibu bapa yang tak memahami memang mengundang stress yang sangat tinggi. Siapa cakap mudah jadi guru?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi.

4 comments

  1. Tapi kerja yang betul-betul stress, apabila diminta ganti tugas orang yang lain.Walhal itu bukannya kerja kita! dah diganti, tak reti bersyukur, komplen macam-macam, ucap terima kasih pun tak! ingat sikit! kalau kerja awak tu tak dibuat, sapa nak buat!

    ReplyDelete
  2. Sudah saya agak kategori GURU pun terlibat..saya rasa jg tu

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon