Monday, September 10, 2018

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia


Sekitar pertengahan 2006, penduduk di Malaysia gempar apabila sebuah muzium di Selangor mempamerkan jasad kononnya milik ikan duyung yang didakwa berjaya ditangkap di Indonesia dan dibawa masuk ke Malaysia untuk didedahkan kepada umum.

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia
Gambar hiasan.

Pameran berkenaan dengan pantas mencetuskan fenomena luar biasa apabila ribuan pengunjung membanjiri muzium itu untuk menyaksikan sendiri makhluk misteri yang sebelum ini hanya diketahui menerusi kisah dongeng semata-mata.

Ikan duyung yang dipamerkan itu sepanjang kira-kira satu meter dan memiliki bahagian atas tubuh menyerupai manusia termasuk memiliki tangan dan rambut manakala bahagian bawahnya ekor ikan.

Berbeza dengan ikan duyung dalam kisah dongeng dan mitos yang digambarkan sebagai wanita cantik berekor ikan, ikan duyung yang dipamerkan itu memiliki wajah serta jasad menakutkan.

Makhluk misteri itu didakwa ditangkap menggunakan kaedah `mistik' di Jawa Barat, Indonesia empat tahun sebelum itu.

Kaedah itu dilakukan berulang kali dalam tempoh masa lama di tepi pantai dan antara bahan digunakan adalah beras kunyit serta bacaan tertentu.

Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya ikan duyung itu muncul dari dalam air tetapi ia tidak lagi bernyawa.

Bagaimanapun, sesuatu yang pelik adalah dakwaan jasad makhluk itu masih hanyir dan memiliki bau peluh manusia walaupun sudah mati selama empat tahun.

Seterusnya jasad ikan duyung berkenaan dibawa ke Malaysia dan dipamerkan sehingga menarik perhatian ramai pihak termasuk pengkaji luar negara.

Keadaan ini disebabkan kewujudan ikan duyung menjadi antara misteri terbesar dalam sejarah dunia lantaran jasad makhluk separuh manusia dan separuh ikan itu masih belum ditemui walaupun didakwa sudah wujud sejak ribuan tahun lalu.

Selama ini, cerita ikan duyung hanya bersandarkan kepada mitos dan dakwaan pihak tertentu yang kononnya pernah menjumpainya.

Masyarakat Babylon percaya ikan duyung adalah dewa laut yang dikenali sebagai `Ea' atau `Oannes'.

Antaranya mitos Yunani purba mengatakan ikan duyung selalu menggoda pelaut dan sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.

Mitos lain menyebut ikan duyung hidup di dasar laut tetapi apabila naik ke darat, ekornya bertukar menjadi kaki manusia dan makhluk itu akan menjadi bisu.

Bagi masyarakat Babylon pula, mereka menganggap ikan duyung sebagai dewa laut yang dikenal sebagai `Ea' atau `Oannes' yang digambarkan sebagai ikan duyung jantan.

Antara cerita terawal yang mencetuskan misteri ikan duyung pada zaman moden dicatatkan pelayar Sepanyol iaitu Christopher Columbus ketika beliau bersama anak kapalnya belayar berhampiran Haiti pada tahun 1493.

Dalam pelayaran itu, Columbus dan anak kapalnya melihat tiga makhluk aneh timbul dari permukaan laut.

Melihat wajah dan bentuk fizikal makhluk terbabit yang jelas berlainan dengan haiwan di dunia ini.

Columbus kemudian mencatat dalam jurnal pelayarannya (terjemahan), "Entah mengapa, wajah makhluk itu menyerupai manusia..."

Seorang lagi pelayar, Henry Hudson mendakwa turut terserempak dengan ikan duyung pada tahun 1608 ketika belayar di lautan utara Russia.

Lelaki itu menggambarkan ikan duyung yang ditemui memiliki jasad atas seperti manusia, berambut panjang tetapi bahagian bawahnya adalah ekor ikan.

Pelbagai teori dan andaian dikemukakan berhubung misteri kewujudan ikan duyung. Antaranya ia dikatakan sebagai spesies hidupan alam mistik dan hanya muncul di dunia manusia, sekali dalam beberapa ratus tahun.

Teori ala fiksyen pula menyatakan ikan duyung sebenarnya penduduk kota misteri Atlantis yang menemui teknologi untuk hidup dalam lautan selepas kota mereka tenggelam puluhan ribu tahun lalu.

Bagaimanapun, jika diteliti aspek penerokaan lautan dalam dan pencarian spesies hidupan baharu, hakikat yang pasti adalah saintis belum mampu menerokai ke dasar paling dalam di lautan.

Sehingga kini, kemajuan sains dan teknologi hanya mampu membawa saintis meneroka sekitar 4,000 meter di bawah paras laut dan setiap kali mencecah kedalaman baru, banyak spesies baru yang aneh dan misteri turut ditemui.

Saintis percaya lautan yang meliputi kira-kira 70 peratus kawasan bumi memiliki sekitar dua bilion hidupan berlainan spesies tetapi sehingga kini, spesies yang dikenal pasti dan direkodkan dipercayai masih belum mencecah satu peratus.

Mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Berikutan itu, mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Kalangan skeptikal menolak tanggapan ikan duyung wujud, sebaliknya berhujah bahawa gambaran rupa dan jasad ikan duyung seperti diceritakan pihak tertentu sebenarnya disalah tafsirkan.

Mereka percaya pihak yang mendakwa menemui ikan duyung termasuk Columbus sebenarnya terlihat dugong kerana haiwan laut itu memiliki rupa hampir menyamai manusia malah turut menyusukan anaknya dengan `payudara' yang jelas kelihatan.

Teori lain mengatakan cerita ikan duyung sebenarnya karut dan rekaan pihak tertentu. 

Semakan menerusi internet mendapati ada pihak dari merata dunia mendakwa menemui jasad ikan duyung tetapi keaslian gambar yang dipaparkan amat diragui.

Malah seorang penyelidik, Frank Buckland, pernah menjalankan kajian terhadap satu jasad ikan duyung yang dipamerkan sekitar abad ke-19.

Bagaimanapun, beliau mendapati bahagian atas jasad iaitu tengkorak, rangka dan lengan sebenarnya milik seekor monyet dan bahagian itu dicantumkan dengan bahagian tulang ekor ikan yang besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon