Monday, June 15, 2020

Misteri Harta Karun Montezuma Dan Kekejaman Penjajah Sepanyol

Misteri Harta Karun Montezuma Dan Kekejaman Penjajah Sepanyol

Pada tahun 1519, seorang Conquistador Sepanyol bernama Hernan Cortes tiba di pinggir bandar Tenochtitlan, ibu kota Empayar Aztec dan dikatakan bahawa bagi maharaja Aztec, Montezuma II (Moctezuma II), Cortes dan tentera-tenteranya dianggap sebagai dewa.

Cortes meet Moctezuma
Gambar hiasan.

Cortes sendiri disifatkan sebagai dewa Aztec yang pulang, iaitu Quetzalcoatl, justeru para conquistador Sepanyol ini disambut oleh Montezuma dengan gilang-gemilang (ada sejarahwan yang membantah pandangan ini).

Namun kemudiannya, mereka mengkhianati Montezuma dan seluruh masyarakat Aztec.

Montezuma memberikan emas kepada Cortes dan tentera-tenteranya dengan harapan mereka dapat pergi namun, rasuah ini gagal mengusir para conquistador Sepanyol itu.

Sebaliknya, ia hanya menyalakan lagi ketamakan pihak Sepanyol terhadap emas dan sebagai tindakan susulan, Cortes memutuskan untuk menjadikan Montezuma sebagai tawanan.

Kemudian, dengan bantuan sekutu tempatan dari Tlaxcalan, tentera-tentera Sepanyol ini mendirikan pangkalan di salah sebuah kuil di kota dan mula menjarah Tenochtitlan bagi mendapatkan harta kekayaannya.

Sepanjang pendudukan mereka yang berlangsung selama berbulan-bulan, ramai penduduk Tenochtitlan diseksa dan dibunuh oleh tentera-tentera Cortes yang mahu menjarah sebanyak mungkin kekayaan Aztec.

Kota Tenochtitlan

Walaupun masyarakat Aztec tidak menggemari tindakan kejam penjajah Sepanyol ini, mereka tidak melakukan sebarang tindakan.

Kekejaman terakhir berlaku pada lewat Mei 1520, apabila para conquistador ini membunuh ramai bangsawan Aztec dalam sebuah festival keagamaan di kuil utama Tenochtitlan.

Keadaan ini mencetuskan reaksi agresif dari masyarakat Aztec yang bangkit memerangi penjajah. Pihak Sepanyol habis dikepung.

Sebagai cubaan untuk menyelamatkan diri, mereka menggunakan Montezuma bagi mententeramkan masyarakat Aztec.

Namun, hal ini juga berakhir dengan kegagalan dan Montezuma sendiri terbunuh, sama ada akibat cedera teruk yang disebabkan oleh tentera Sepanyol sendiri ataupun disebabkan batu yang dilontar oleh penduduk Tenochtitlan.

Kematian Montezuma

Moctezuma ditawan
Gambar hiasan.

Pada malam 1 Julai 1520, mereka berjaya meloloskan diri namun, pergerakan mereka berjaya dikesan dan masyarakat Aztec menyerang dan membunuh ramai dari mereka, dalam insiden yang dikenali sebagai La Noche Triste (Malam Duka).

Sepanyol hanya memiliki satu pilihan, iaitu melarikan diri dari kota.

Memandangkan pihak Aztec telah menghancurkan kesemua jambatan yang menghubungkan Tenochtitlan dengan tanah besar, tentera-tentera Sepanyol terpaksa membina sebuah jambatan mudah alih.

Pada malam berdarah itu, Cortes tidak hanya kehilangan ramai tentera, akan tetapi harta kekayaan yang dikumpulkan sepanjang bulan-bulan sebelumnya turut terpaksa dilepaskan.

Semasa mereka melarikan diri, banyak harta yang dibuang bagi meringkan bebanan. Ada juga sebahagian daripada mereka yang terbunuh kerana berkeras mahu menyimpan harta-harta tersebut, yang kemudiannya dikenali sebagai 'Harta-Karun Montezuma'.

Sama seperti kisah-kisah tentang harta karun yang lain, banyak legenda kemudiannya menyelubungi 'Harta-Karun Montezuma'.

Satu-satunya perkara yang pasti tentang harta karun Montezuma ini adalah, ia masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

Banyak teori yang dikemukakan berkenaan lokasi harta karun tersebut dan antara teori paling popular berpendapat bahawa, ia terletak tepat di tempat ia ditinggalkan, yakni dasar Tasik Texcoco.

Namun, ramai pemburu harta karun sudah pun meneroka tasik tersebut namun tiada yang berjaya menemui sebarang harta.

Salah seorang bekas presidon Mexico juga pernah mengorek tasik itu, namun seperti yang dijangka, tiada apa yang dapat ditemui.

Teori lain mendakwa bahawa harta karun itu diambil semula oleh pihak Sepanyol semasa mereka kembali ke Tenochtitlan, namun kapal yang mengangkutnya pulang ke Sepanyol karam akibat dibadai ribut.

Hernan Cortes Kill Aztec People
Gambar hiasan.

Salah satu teori yang dianggap paling menarik adalah, harta karun itu dikatakan telah berpindah ke utara dan kemudiannya tersimpan di Utah.

Mungkin, Harta Karun Montezuma ini akan terus tersembunyi atau bahkan hilang, terselamat dari tangan manusia yang rakus.

Pahlawan-pahlawan dan orang awam Aztec meninggalkan kota Tenochtitlan sebaik pihak Sepanyol melancarkan serangan tanpa belas kasihan.

Walaupun setelah menyerah kalah, ribuan orang awam dibunuh dan harta-benda mereka habis dijarah.

Menurut Manuskrip Florentine, seramai 240,000 orang Aztec mati dalam tempoh 8 hari dan selepas dikepung selama tiga bulan, kota Tenochtitlan tumbang pada tanggal 13 Ogos 1521.

Peristiwa ini menandakan tumbangnya Empayar Aztec dan Cortes menjadi pemerintah empayar Mexico yang luas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Bil Hosptial Pesakit Covid-19 AS$1.1 Juta!

Bil Hosptial Pesakit Covid-19 AS$1.1 Juta!

Seorang warga emas Amerika Syarikat (AS) berusia 70 tahun yang hampir mati akibat COVID-19, terkejut apabila menerima bil perbelanjaan hospital berjumlah AS$1.1 juta (RM4.7 juta), lapor Seattle Times.

Michael Flor Covid-19
Michael Flor.

Michael Flor dimasukkan ke sebuah hospital di bandar sebelah barat laut AS pada 4 Mac 2020 lalu, tinggal selama 62 hari, dan pada satu ketika hampir mati sehingga jururawat terpaksa menghubungi isteri dan anaknya untuk mengucapkan selamat tinggal.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan pulih dan disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 pada 5 Mei lalu sehingga mengejutkan petugas hospital itu, dan kemudian menerima bil sebanyak 181 halaman berjumlah AS$1,122,501.04.

Jumlah perbelanjaan itu termasuk AS$9,736 sehari untuk bilik rawatan intensif, hampir AS$409,000 bayaran transformasi menjadi bilik steril selama 42 hari, AS$82,000 untuk penggunaan ventilator selama 29 hari, dan hampir AS$100,000 untuk dua hari ketika prognosisnya mengancam nyawa.

Flor dilindungi oleh Medicare, program insurans kerajaan untuk warga emas, sekali gus dia tidak memerlukan keluar wang sendiri, menurut Times.

Bagaimanapun, di negara di mana rawatan kesihatan adalah yang paling mahal di dunia dan idea untuk bersosialisasi masih sangat kontroversi, lelaki itu mengatakan dia rasa 'bersalah' apabila mengetahui bahawa pembayar cukai akan menanggung banyak kos.

"Jutaan dolar menyelamatkan nyawa saya, dan tentu saja saya mengatakan bahawa wang itu dibelanjakan dengan baik, tetapi saya juga tahu mungkin saya satu-satunya yang mengatakannya," katanya yang dipetik Times.

Rancangan besar oleh Kongres untuk memastikan ekonomi AS terus bertahan apabila sekatan perintah berkurung bagi mencegah COVID-19, termasuk bajet AS$100 juta untuk memberi ganti rugi kepada hospital dan syarikat insurans swasta yang merawat pesakit COVID-19.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Sunday, June 14, 2020

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia, World Blood Donors Day oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia disambut 14 Jun setiap tahun bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, dan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi menyelamatkan orang lain.

Hari Penderma Darah Sedunia

Kempen menggalakkan rakyat yang layak menderma darah perlu digandakan apatah lagi Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan pemindahan darah.

Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan bahawa menderma darah adalah suatu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya.

Darah adalah cecair berwarna merah yang mengalir di dalam tubuh manusia mempunyai 'kuasa' menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin.

Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah dan dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia yang akan dapat menggantikannya.

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.

Uniknya Darah Manusia

Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB:
  • Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja, bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.
  • Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah.

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah dan individu yang mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut.

Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa yang sedang kekurangan darah adalah melalui proses pemindahan darah.

Justeru itu, amatlah penting bagi setiap anggota masyarakat memahami kepentingan untuk menderma darah kerana setiap darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa.

Menderma Darah Mampu Cegah Penyakit Kronik

Derma darah selamatkan nyawa

Mutakhir, statistik yang dikeluarkan hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah tetap berbanding lima peratus penderma di kebanyakan negara lain di dunia, menunjukkan betapa rakyat Malaysia kurang menderma darah.

Sepatutnya, keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.

Pelbagai persepsi wujud akibat menderma darah, antaranya mendatangkan banyak penyakit kronik.

Tanggapan ini salah kerana menderma darah tidak membahayakan penderma, bahkan memelihara kesihatan.

Hakikatnya, penderma darah akan memperoleh pelbagai kebaikan, antaranya pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur, memperoleh maklumat mengenai pendidikan kesihatan, menggalakkan seseorang mengekalkan gaya hidup sihat selain membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baru sekali gus menyegarkan kembali sistem tubuh.

Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan yang akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah baru bagi menggantikan darah yang hilang.

Bahkan, menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi berlebihan dalam tubuh seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga.

Dengan pelbagai manfaat diperoleh hasil pendermaan darah, masyarakat seharusnya tampil melakukan tanggungjawab sosial ini.

Ketepikan hal remeh-temeh atau persepsi yang salah, sebaliknya terus bermatlamat membantu golongan memerlukan.

Setitik darah mungkin boleh membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, June 13, 2020

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

Di tengah perpecahan berterusan dalam BERSATU, bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad secara sinis mencetuskan idea untuk membentuk sebuah lagi parti berasaskan Melayu, yang  akan dinamakan "Parti Apa Aku Dapat" dan terbuka kepada semua orang Melayu yang belum diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Pakatan Nasional Parti Apa Aku Dapat

Tun Mahathir dipercayai merujuk kepada dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan kepada anggota parlimen Umno bagi mendapatkan sokongan mereka.

"PARTI APA AKU DAPAT"

1. Saya bercadang untuk tubuh sebuah parti politik.

2. Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Dahulu saya tubuh parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sekarang parti sudah berpecah dua.

3. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.

4. Nama parti ini ialah Parti AAD atau "Parti Apa Aku Dapat".
  • Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.
  • Cara: Melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.
  • Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan
  • untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan dll.
  • Yuran: Tidak perlu.

Tulisan Tun Mahathir itu muncul berikutan spekulasi PH dan sekutunya kini mendapat sokongan lebih ramai anggota parlimen termasuk mereka yang berada dalam kerajaan.

Tun Mahathir dan lima yang lain baru-baru ini memfailkan tindakan mahkamah terhadap Muhyiddin dan tiga yang lain berhubung apa yang mereka dakwa sebagai pemecatan salah daripada parti itu.

Muhyiddin terperangkap dalam kontroversi selepas sebuah laman Facebook yang memihak kepada Tun Mahathir mengeluarkan siri rakaman audio yang dikatakan dirakam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Feb 2020 lalu.

Dalam salah satu audio yang bocor, seorang individu yang suaranya mirip Muhyiddin didengar mengatakan bahawa anggota parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setakat 21 Mei, dilaporkan 82.3 peratus daripada 113 anggota Parlimen PN dilantik dalam kabinet, menjadi timbalan menteri, dilantik dalam GLC mahupun diplomat khas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Kenapa Lesen Dan Kilang Arak Sukar Di Tutup?

Kenapa Lesen Dan Kilang Arak Sukar Di Tutup?

Setiap kali berlaku kemalangan akibat pemandu mabuk, memang akan ada seruan supaya kilang arak ditutup, yang dibuat dengan nada marah. Kerana yang mencari nafkah mati. Manakala yang tidak bertanggungjawab pula masih dikurniakan kesempatan untuk bernafas.

Tutup kilang arak

Tetapi, permintaan sedemikian boleh menghamburkan kesan tedung (sebuah solusi yang mengeruhkan lagi keadaan).

Dalam sistem ekonomi, suatu barangan hanya wujud di pasaran kerana adanya permintaan. Jika rakyat lapar, makanan akan masuk dalam pasaran. Jika rakyat dahaga, air akan masuk dalam pasaran. Jika rakyat demam, ubat akan masuk dalam pasaran.

Cuba kalau haramkan penjualan makanan, air dan ubat, tentu sekali rakyat boleh mendapatkannya melalui pasaran gelap.

Itulah masalah yang menyebabkan kerajaan mengiktiraf rokok serta arak, dan sebarang saranan untuk mengharamkan kedua-duanya akan melebarkan senyuman gerombolan kongsi gelap.

Jika kilang-kilang arak ditutup, permintaan masih lagi berkekalan. Malaysia mempunyai 32.7 juta rakyat – 38.7% atau 12.65 juta daripadanya bukan Islam. Malah, segelintir golongan Islam pun meminum arak juga.

Menggunakan data 2014, sebanyak 11.6% rakyat Malaysia meminum arak, iaitu 3.79 juta orang. 23.6% daripada 3.79 juta orang ini pula meminum secara berisiko tinggi.

Bermakna inilah permintaan dalam negara, yang akan menguntungkan kongsi gelap jika kilang ditutup.

Apabila arak tidak dipantau, kandungannya sudah pasti berbahaya, kerana pihak polis pernah merampas 600 botol arak tiruan di Komtar.

Menurut rekod, 21 kematian berlaku pada September 2018 angkara keracunan arak, dari jenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan King Fisher yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 (senang kata arak tidak diluluskan).

Berdasarkan kejadian-kejadian ini, pengharaman arak hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Lebih ramai akan mabuk kerana kandungan yang tidak diketahui.

Kerajaan juga dinafikan kutipan cukai untuk membendung masalah kesihatan kerana arak, juga perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi merawat golongan yang sakit kerana keracunan arak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Belajarlah Sesuatu Dari Durian Musang King

Belajarlah Sesuatu Dari Durian Musang King

Kenapa durian Musang King sangat mahal dan kenapa ia dinamakan King? Ada yang mengatakan ia adalah raja segala rasa durian. Tak percaya, cubalah dulu seulas, lepas tu baru anda tahu betapa tingginya langit.

Motivasi Musang King
Gambar hiasan.

Durian nombor dua terbaik adalah durian Udang Merah. Warnanya ada sedikit oren kemerahan. Mungkin sebab tu namanya Udang Merah.

Harga udang merah separuh lebih murah dari Musang King dan jika membeli Udang Merah dan Musang King, petuanya makan dulu Udang Merah, lepas tu baru makan Musang King.

Sebab, jika makan Musang King dulu, bila makan Udang Merah akan rasa tawar atau tiada rasa.

Kalau tak percaya, cubalah juga seulas, dah rasa nanti baru anda sedar betapa dalamnya lautan.

Kenapa Musang King Begitu Diminati dan Harganya Mahal?

1. Musang King isinya tebal, bijinya kecil dan banyak yang leper serta sangat kempis dan walaupun ada ulas yang kecil pada Musang King tetapi penuh dengan isi.

Jadi, kita dapat menikmati kenikmatan buah durian Musang King sepenuh hati dan jiwa.

Bayangkan, sedang durian biasa yang ulas besar-besar pun sudah terasa nikmatnya, apatah lagi si raja durian. Lagipun, buat apa biji besar? Bukannya kita makan biji pun. Kan?

Biji Musang King kecil dan leper. Mungkin itulah keajaibannya, mengorbankan diri agar menjadi isi yang boleh dinikmati sepenuhnya.

2. Isi durian Musang King juga langsung tak melekat pada biji, memaksimumkan 100% kenikmatan memakan isi durian tanpa meninggalkan lekat sedikit pun pada bijinya.

Kesimpulan apa yang boleh kita belajar dari Musang King adalah, apabila kita bekerja walau apa pun atau sekecil mana jawatan disandang, kita berilah yang terbaik, sehabis mampu untuk berkhidmat kepada manusia kerana Allah.

Kita dapat gaji, sedangkan Musang King tak dapat apa-apa pun tapi tetap memberikan yang terbaik sehinggakan begitu dihargai dan menjadi rebutan.

Musang King juga mengorbankan diri sehabis mungkin untuk memaksimumkan kepuasan kepada orang lain.

Dalilnya, Musang King isinya sangat tebal (untuk kita makan), tapi bijinya sangat kempis (untuk diri sendiri).

Ibaratnya, begitulah seseorang itu walaupun gajinya sedikit dan jawatan tak tinggi, tapi perkhidmatan dan kerjanya luar biasa berkualiti.

#Penulis ialah Izwan Haidar, Coach dan Perunding Kerjaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

5 Kesan Buruk 'Junk Food' Kepada Kesihatan Anda

5 Kesan Buruk 'Junk Food' Kepada Kesihatan Anda

Mengambil makanan tidak berkhasiat secara kerap dan dalam kuantiti yang banyak sememangnya telah terbukti boleh menyumbang kepada masalah-masalah kesihatan yang kronik pada jangka masa panjang.

Bahaya Junk Food

Malangnya di Malaysia, ketaksuban terhadap makanan-makanan tidak berkhasiat amatlah tidak difahami kerana kita telah tersenarai dalam rangking tertinggi sebagai rakyat paling berpenyakit seperti kencing manis, obesiti, penyakit jantung, buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Malah, terdapat kajian yang menunjukkan kesan negatif daripada pengambilan produk makanan yang tidak berkhasiat ini.

Obesiti

Selain disebabkan oleh individu yang tidak aktif dan masalah perubatan lain, obesiti boleh terjadi apabila mengamalkan pemakanan yang tidak sihat atau berkhasiat.

Makanan yang mengandungi jumlah lemak trans yang tinggi, lemak tepu dan gula yang berlebihan, akan menyumbang kepada peningkatan risiko obesiti.

Kesihatan jantung

Kualiti diet pemakanan yang anda amalkan akan mempunyai kesan signifikan terhadap kesihatan kardiovaskular anda.

Garam dan makanan berlemak boleh menjadi sangat memudaratkan apabila diambil secara kerap dan berlebihan.

Makanan tidak berkhasiat selalunya tinggi kandungan natrium, kolesterol dan gula yang boleh meningkatkan tekanan darah serta tahap kolesterol dan trigliserida, sejenis lemak (lipid) yang terdapat dalam darah.

Dari masa ke masa, tekanan darah tinggi dan tahap lipid yang tinggi boleh menimbulkan banyak tekanan pada hati, meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan penyakit arteri koronari.

Untuk mendapatkan kesihatan jantung maksimum, pastikan anda menghadkan pengambilan garam kepada 2,400 mg setiap hari.

Makanan lain yang tidak sihat dan harus dihindari antaranya termasuklah minuman berkarbonat, marjerin, daging tinggi kandungan lemak dan makanan bergoreng.

Penyakit kronik

Makanan tidak berkhasiat turut boleh menyumbang kepada peningkatan terhadap penyakit dan jangkitan kronik.

Pengambilan diet yang tidak sihat akan menyebabkan kekurangan nutrien dalam badan yang sekali gus tidak memenuhi keperluan kalori harian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kekurangan nutrien yang paling bahaya adalah anemia yang disebabkan kekurangan zat besi, kekurangan vitamin A dan gangguan kekurangan iodin.

Diet pemakanan yang sihat membantu menghalang penyakit jantung, mencegah diabetes jenis 2, osteroporosis dan juga kanser.

Kesihatan mental

Pemakanan memainkan peranan penting kepada tahap kesihatan mental seseorang individu.

Mengambil terlalu banyak makanan ringan boleh memburukkan simptom penyakit mental seperti kemurungan dan kegelisahan.

Makanan manis dan mempunyai karbohidrat halus sangat berbahaya, kerana boleh menyebabkan peningkatan mendadak kepada tahap gula dalam darah.

Makanan seperti kentang, beras perang, oat dan karbohidrat kompleks lain adalah pilihan baik dan bijak untuk menjamin tahap kesihatan yang baik.

Pemilihan makanan tidak berkhasiat dan tabiat pemakanan tidak sihat boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit mental seperti Alzheimer.

Masalah usus

Mengambil makanan tidak berkhasiat boleh menyebabkan masalah kepada saluran pencernaan, memandangkan anda tidak mengambil serat makanan harian yang diperlukan oleh badan anda.

Lemak berlebihan dalam makanan yang anda makan akan memudaratkan saluran pencernaan.

Makan makanan yang tidak sihat akan meningkatkan risiko untuk mengalami perut kembung, cirit-birit atau sembelit.

Bagaimana menghindari tabiat ini?

Untuk melakukan perubahan dalam tabiat mengambil makanan tidak berkhasiat ini, terutamanya jika ia satu tabiat yang selalu diambil, pastinya ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Tetapi tidak mustahil.

Berikut adalah beberapa cara dan tips yang boleh membantu anda menukar tabiat kepada mengamalkan diet pemakanan yang lebih sihat dan berkhasiat:
  • Wujudkan jadual pemakanan yang boleh anda ikuti dan pastikan anda mengetahui cara bagaimana untuk menangani keinginan anda terhadap makanan tidak berkhasiat ini.
  • Kurangkan menonton televisyen dan jika anda ingin menonton televisyen pastikan anda tidak menonton sambil makan.
  • Tetapkan matlamat yang boleh dicapai. Harapan yang tidak realistik akan cenderung membuatkan anda mudah berputus asa dan gagal.

Sebaiknya, perubahan yang ingin anda lakukan, pastikan ia dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak secara drastik.

Menitikberatkan soal apa yang anda makan, terutamanya buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kerap melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, berlari atau berenang setiap hari, pastinya dapat membantu menjadikan badan lebih sihat.

Ia mampu meningkatkan sistem imun badan, serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti masalah berkaitan jantung dan kanser.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

SBDJ Siri 153: Dendam Bomoh Wanita

SBDJ Siri 153: Dendam Bomoh Wanita

Di tengah sinar matahari yang kian runduk itu saya terus menggosok pangkal hidung dua tiga kali. Suasana yang diadapi membuat saya rasa marah dan geram. Kenapa datuk harus mengadakan undang-undang sendiri untuk saya. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kenapa saya tidak boleh bertanya atau menyoal si baju hitam?

SBDJ siri 139

Di saat saya berjuang dengan perasaan, tiba-tiba datuk batuk kecil. Hati saya berdebar cemas.

Anehnya si baju hitam tetap macam tadi. Melangkah tenang sambil merenung bumi. Sesekali dia angkat kepala merenung ke arah pepokok yang terdapat di kiri kanan jalan tanah merah. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbangnya dari saya.

Matahari kian mengecil, angin bertiup lemah mengerakkan dedaun di hujung ranting. Tupai liar melompat dari dahan ke dahan.

Beburung mula terbang rendah sambil berbunyi memanggil kawan-kawan supaya pulang ke sarang kerana sebentar lagi senjakala akan tiba.

"Tuk," jerit saya.

Seekor monyet botak (dari kepala hingga ke paras pinggang tidak berbulu. Dari paras pinggang ke paras punggung bulunya berwarna merah dan ekor berwarna hitam) bergayut di dahan sambil menyeringaikan giginya. Bersedia mahu melompat ke arah saya.

Datuk dan si baju hitam berhenti melangkah. Merenung ke arah saya sebelum beralih merenung ke arah monyet botak.

"Kita dalam bahaya," keluh si baju hitam.

"Jangan bimbang, pedulikan semuanya, kita jalan terus," ujar datuk lalu mengajak saya dan si baju hitam meneruskan perjalanan.

"Tetapi," terucap kata keraguan dari si baju hitam.

"Tak ada tapinya, kalau dilayan kita yang binasa, mari," datuk segera menarik tangan si baju hitam.

Anehnya, monyet botak melompat dari dahan ke dahan mengikut arah ke mana kami melangkah.

Si monyet botak bagaikan mengawasi apa yang kami lakukan. Suara jeritannya cukup keras menguasai seluruh kawassan sekitar.

Bila saya menoleh ke arahnya, si monyet menunjukkan kemarahan yang amat sangat. Dengan gigi yang menyeringai bersedia untuk mengigit di mana-mana bahagian tubuh badan saya.

Bagi menenangkan perasaan dan mententeramkan hati, saya membuat keputusan tidak mahu merenung ke arah monyet botak.

Saya tidak mahu ambil kisah tentang monyet botak. Mahu menjerit sekuat mana pun, jeritlah.

Kalau mahu melompat setinggi mana pun, lompatlah tetapi, kalau dia menyerang, bagaimana?

Pertanyaan yang muncul dalam hati secara spontan itu membuat kepala lutut saya terasa lemah.

Kalau tadi saya hanya mengetahui yang monyet botak itu bergerak dari dahan ke dahan, di sebelah kiri jalan.

Kini saya mula terdengar bunyi monyet melompat dari dahan ke dahan di sebelah kanan jalan.

Kalau tadi suara jeritan hanya dari seekor tetapi, kini bunyi suara jeritan itu kian bertambah.

Saya tidak boleh mengawal perasaan dan terus menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Tuk, semua pokok kiri kanan jalan penuh dengan monyet, macam mengikut langkah kita tuk," nada suara yang meninggi.

Datuk dan si baju hitam renung ke kanan jalan manakala datuk renung ke sebelah kiri.

"Kita tak boleh mengalah, mahu di ujinya kebolehan aku," datuk berkata sambil merenung ke arah saya dan si baju hitam dengan renungan yang tajam membayangkan rasa marah yang amat sangat.

"Kamu berdiri di situ renung ke kanan, Tamar renung ke kiri. Belakang kamu berdua mesti bertemu, renung ke arah masing-masing, jangan ubah, jangan toleh kiri, jangan toleh kanan.

"Jangan tegur apa yang aku buat. Bila aku kata 'selesai', kita semua melangkah macam tadi," datuk keluarkan arahan.

Saya dan si baju hitam anggukkan kepala dan segera mematuhi dengan apa yang datuk suruh.

Datuk segera mengelilingi kami tiga kali berturut-turut. Suara monyet tetap kedengaran bagaikan suara orang bersorak.

Selesai saja datuk mengelilingi kami, dia segera membongkok mengambil sehelai daun tua di hujung kakinya.

Daun itu diramas-ramasnya hingga hancur menjadi serbuk dan serbuk daun itu dicampakkan ke kiri dan ke kanan jalan. Aneh, suara jeritan monyet segera berhenti.

Datuk pun membuka langkah silat yang disebut SILAT MONYET BETINA yang banyak mengunakan gerak kaki kiri dan tangan kanan. Gerak dua anggota itu cukup pantas.

RATUS

Kerana gerakan itu terlalu pantas, datuk dilihat seolah-olah berdiri sebelah kaki. Tangan kanannya seolah olah menjadi beratus-ratus tangan.

Tubuhnya menjadi lembut boleh dilentur, boleh dilipat untuk mengabui mata musuh yang mahu menyerangnya.

Pada hemat saya, SILAT MONYET BETINA jarang di temui kini, malah dikatakan sudah pupus.

Tidak ada pendekar yang dapat mewarisi atau mempertahankannya untuk di warisi oleh generasi sekarang.

SILAT MONYET BETINA itu dikatakan berasal dari daerah YUNAN yang penduduknya beragama Islam.

Silat tersebut dibawa oleh para pengembang agama Islam ke daerah tersebut sekitar tahun 680 Masihi.

Menurut ceritanya, para pengembang agama Islam itu memanfaatkan silat tersebut, bila mereka di serang oleh pihak musuh yang ingin merampas harta benda mereka.

Pada mulanya silat tersebut tidak dipanggil SILAT MONYET BETINA. Ada nama lain. Begitu juga dengan geraknya.

Bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat, ilmu mempertahankan diri itu dipinda atau diubah suai dengan suasana setempat.

Berdasarkan pada cerita tersebut, tidak keterlaluan kalau kita membuat kesimpulan bahawa ilmu mempertahan diri pada awalnya dimiliki oleh mubaligh Islam yang akhirnya diubah dengan pelbagai nama hingga menghilangkan identiti asal dari mana ilmu mempertahankan diri itu bermula.

"Tamar."

Suara datuk yang meninggi itu membunuh apa yang berlegar-legar dalam kepala.

"Ubah renungan mata kamu ke arah aku. Tetapi, belakang kamu mesti bertemu dengan belakang kamu, mulakan langkah dari kiri," lanjut datuk lagi.

Sambil bercakap itu datuk tetap mengatur langkah silat. Apa yang datuk sebut, segera dipatuhi.

Suasana sebenarnya bertambah gawat dan cemas. Semua monyet yang bergayut di pokok kiri kanan jalan ghaib dengan serta merta kecuali monyet botak.

Dari atas pokok terus melompat ke atas jalan berdepan dengan datuk. Tubuhnya yang tadi kelihatan kecil terus bertukar menjadi besar, sebesar kambing jantan (runduk).

Dalam sekelip mata saja, monyet botak itu menyerang datuk. Mujur datuk dapat mengelak.

Belum pun sempat datuk mencari kedudukan yang selesa, bagi mengemaskan kedudukannya, monyet botak menyerang lagi.

Monyet botak juga saya lihat memperagakan silat. Pertarungan antara manusia dengan binatang ini ternyata kemenangan berada di pihak datuk.

Binatang mengunakan kekuatan sedangkan manusia mengunakan kekuatan dan akal. Tanpa menerima sebarang sepakan datuk, penumbuk dari datuk, monyet botak keletihan.

Datuk lebih banyak mengelak dan mengajak monyet botak menyerang, dengan cara itu tenaga dan kekuatan monyet botak beransur lemah dan akhirnya keletihan, tergolek atas jalan.

"Selesai," jerit datuk

Saya dan si baju hitam segera kembali dalam keadaan asal (seperti sebelum didatangi monyet botak) untuk memulakan perjalanan menuju ketempat yang di hajati.

"Terlalu banyak halangannya," kata datuk seperti merungut.

Masa itu saya dan si baju hitam sudah pun berjalan lebih dari dua puluh langkah mengekori datuk.

Saya menoleh ke arah monyet botak yang terkapar di belakang. Saya dapati monyet itu sudah tiada di situ.

"Kamu menoleh ke arahnya dia sudah hilang," saya terkejut mendengar cakap datuk itu. Rupa-rupanya dia boleh mengesan apa yang saya lakukan. Walaupun dia tidak menoleh kearah saya. Inilah kebolehan datuk yang saya kagumi.

"Sebenarnya, sebelum kita mulakan langkah tadi si monyet tu dah ghaib. Kamu tahu, itu monyet jadian. Mana ada monyet tak berbulu sekerat badan," lanjut datuk lagi.

Saya dan baju hitam hanya anggukkan kepala. Demi keselamatan dan menghindarkan kebimbangan, jarak saya dengan si baju hitam sengaja saya dekatkan.

Begitu juga dengan si baju hitam, dia sengaja mendekatkan dirinya dengan datuk sehingga mengganggu langkah datuk.

SAMAR

Hari sudah beransur samar-samar. Saya tidak tahu berapa banyak lagi saya harus melangkah.

Saya renung ke langit melihat awan serta sekawan keluang yang terbang tinggi. Badan yang berpeluh membuat saya tidak selesa berjalan.

"Saya tahu, bila saya ikut awak, banyak rintangan yang awak terima," mendadak saja si baju hitam bersuara.

"Kita hadapi bersama, aku mahu kamu jadi orang baik-baik," sahut datuk.

"Mudah-mudahan hajat awak dikabulkan oleh Allah."

"Begitulah hendaknya."

Datuk dan si baju hitam berhenti bercakap tetapi, kaki terus melangkah. Bunyi kicau burung mula berkurangan.

Hati kecil saya masih mengharapkan, datuk mendesak si baju hitam supaya menjelaskan kenapa dia tidak meneruskan percakapan tentang dirinya dan kawan-kawannya yang suka mencuri buah jambu.

Kerana tidak ada percakapan yang berlaku antara kami bertiga membuat suasana agak sunyi.

"Siapa nama kamu?" soal datuk.

"Andi Kamarool, maafkan saya kerana tidak menerangkan nama saya kepada awak."

"Tak mengapa. orang yang bermusuh tidak akan memberitahu namanya kepada lawannya, sekarang kita dah bersahabat, wajarlah aku bertanya begitu. Kamu ni, aku anggap macam cucu aku," begitu tenang datuk bersuara.

Si baju hitam segera menoleh ke arah saya sambil menghadiahkan senyuman persahabatan.

"Sekarang cuba kamu ingat, sebelum kejadian monyet botak menyerang kita, ada pertanyaan aku yang tak kamu jawab."

Saya jadi terkejut dengan pertanyaan yang datuk ajukan kepada si baju hitam.

Pertanyaan diluar dugaan itu sebenarnya jawapan terhadap keraguan yang bersarang dalam hati saya.

Si baju hitam mengerutkan kening, dia cuba mengingati sesuatu. Dua tiga kali dia meraba dan menggaru batang leher.

Kemudian dia tersengih. Barangkali dia sudah dapat mengingati, apa yang datuk maksudkan.

"Saya ingat."

"Bagus, sekarang kamu jelaskan, aku nak dengar."

Si baju hitam renung kiri kanan jalan. Tarik nafas dalam-dalam. Langkah kakinya tetap macam tadi.

Debar di dada saya kian kencang, ingin mengetahui apa yang akan diucapkan oleh si baju hitam.

"Saya cuma nak tanya, kerana saya rasa pelik. Macam mana awak berdua boleh lalu ikut jalan ini?" jawapan dari si baju hitam membuat saya dan datuk tersentak.

Kami saling berpandangan. Bermacam persoalan muncul akibat jawapan dari si baju hitam.

Agaknya, datuk juga terfikir seperti yang saya fikirkan. Hati saya mula tidak aman.

"Kenapa kamu tanya hal macam itu, Andi?"

Si baju hitam tersenyum.

"Kenapa kamu tersenyum!" sergah datuk.

"Jalan ni sudah berbelas-belas tahun tidak di gunakan oleh orang-orang di sini. Ada jalan baru yang elok, tidak berbahaya. Kenapa tak ikut jalan tu," suara si baju hitam lembut penuh sopan.

Datuk berhenti melangkah dan merenung ke arah saya. Kerana datuk berhenti secara mengejut, si baju hitam jadi tercengang-cengang.

"Kenapa?" tanyanya cemas.

"Tak ada apa-apa, cuma aku nak beritahu kamu. Sengaja kami pilih jalan ini, kami tak suka jalan baru, bagi kami jalan lama banyak kenangan dan seronok untuk kami lalui," datuk memberi alasan (sebenarnya datuk berbohong) sambil tersenyum ke arah saya dan si baju hitam.

"Begitu, tapi jalan lama merbahaya," tingkah si baju hitam.

"Merbahaya? Maksud kamu," saya lihat datuk gigit bibir.

Si baju hitam renung ke langit, renung kiri dan kanan jalan. Macam ada sesuatu yang dicari dan di curigai.

TANGKAP

Datuk dapat menangkap keresahan dalam diri si baju hitam. Dia pun menepuk bahu kanan si baju hitam sambil memberikan isyarat supaya meneruskan langkah yang berhenti.

Saya tetap macam tadi, sentiasa cemas dan tidak mengizinkan saya berada dalam jarak agak jauh dengan si baju hitam. Kalau boleh mahu rasanya jalan beriringan.

"Andi," suara datuk merendah.

"Iya, ada apa?"

"Kalau kamu rasa tak sedap hati, terus terang dengan aku, jangan simpan dalam hati," lanjut datuk kerana dia mula menyedari yang si baju hitam mula rasa gelisah.

Sering sahaja merenung ke udara dan menoleh ke kiri dan ke kanan jalan. Kami terus melangkah. Saya kira tidak berapa lama lagi sampailah ke tempat yang dituju.

"Saya nak beritahu satu hal..." si baju hitam bersuara.

"Apa dia?" sanggah datuk.

"Sejak jalan ini tak digunakan oleh penduduk kampung, macam-macam cerita timbul. Jalan ni dijadikan laluan manusia yang mengamalkan ilmu batin.

"Pada mulanya dikuasai oleh Pawang Ali, bila Pawang Ali mati bertukar kepada Dukun Sumbing, orang Batak.

"Dukun Sumbing muntah darah dan berak darah kerana kalah berlawanan ilmu kebatinan dengan Bomoh Munah Supandi," si baju hitam berhenti bercerita.

Dia menarik nafas dalam-dalam dan berusaha mendekatkan tubuhnya dengan tubuh datuk. Langkah mereka hampir mahu berlaga.

"Itu saja ceritanya Andi."

"Ada lagi."

"Kalau ada teruskan."

"Selepas Dukun Sumbing mati, Bomoh Minah Supandi terpaksa berdepan dengan tiga orang bomoh lain. Semua bomoh tu dapat dikalahkannya.

"Bomoh yang kalah tu, dipotong lehernya. Darahnya diambil untuk diminum oleh anak muridnya.

"Badan bomoh yang kalah tu dikerat dua belas dan di tanam di bawah busut jantan."

"Busut jantan tempat kamu melompat tadi," potong datuk.

"Iya."

"Kamu minum darah manusia?" risik datuk lagi.

"Tidak, belum sampai giliran. Giliran saya ialah minum darah awak," turut si baju hitam dengan tenang.

Saya terkejut mendengar cerita itu. Darah saya tersirap dan badan saya mula mengigil. Hal-hal yang buruk mula terbayang dalam kepala saya.

Patutlah, dia berusaha mendekatkan dirinya dengan datuk. Rupa-rupanya dia ada maksud untuk membunuh datuk.

Anehnya, datuk tidak merasa tergugat atau cemas dengan apa yang dituturkan oleh si baju hitam.

Walaupun si baju hitam secara terang-terang menyatakan dia mahu minum darah datuk.

"Jadi, kamu sekarang mengidam darah aku," kata datuk sambil ketawa kecil.

Saya cuma senyum tetapi, si baju hitam gelengkan kepala.

"Tidak, saya tak berniat macam tu. Saya nak buang semua yang jahat."

"Bagus, kalau itu cita-cita kamu, sekarang jangan cerita atau sebut tentang hal bomoh tu. Kalau ada niat simpan saja dalam hati," cukup tenang datuk bersuara.

"Kenapa?" Si baju hitam ingin tahu.

"Sampai kerumah nanti, kau cerita," jawab datuk.

NYAMUK

Saya mula terasa nyamuk menyerang telinga kanan saya. Semuanya itu tidak saya hiraukan, langkah kami semakin cepat. Masing-masing mahu sampai ke tempat yang di tuju.

Hari bertambah samar, sayup-sayup terdengar suara ungka di kaki bukut memanggil kawan-kawan pulang.

"Kalau tak silap pengagak saya, kira-kira lima rantai lagi sampailah kita ke kawasan kampung, cuba lihat tu ada asap, orang kampung membakar sampah," si baju hitam bersuara.

Jari telunjuknya menuding ke arah kepulan asap yang nampak berbalam dalam suasana samar menjelang senjakala.

"Aku pun fikir macam tu juga," sahut datuk.

Dialog yang diucapkan oleh datuk dan si baju hitam amat mengembirakan hati saya.

Tanda-tanda pengembaraan yang amat menyeksakan ini akan berakhir. Saya sudah tidak mampu mahu melangkah lebih jauh lagi.

Sayup-sayup kedengaran bunyi tekukur dan merbuk peliharaan tingkah meningkah.

"Kita dah dekat nak sampai Tamar," datuk menoleh ke arah saya. Kata-kata itu saya sambut dengan kegembiraan.

Setelah melepasi dua kawasan yang berbukit kecil, kami berdepan dengan kawasan lapang yang agak tinggi.

Seluruh kawasan itu di tanam dengan pokok tebu, betik pisang, ubi kayu, ubi keledek dan berbagai-bagai lagi jenis tanaman yang biasa di tanam dalam kawasan berhampiran perkampungan.

Setelah melalui kawasan tanaman tersebut, kami berdiri di hujung tanah tinggi merenung ke bawah, ke arah kawasan perkampungan yang agak luas. Kami dapat melihat masjid yang di kelilingi berbelas-belas rumah.

"Tamar."

"Iya tuk."

"Mari dekat aku, begitu juga kau Andi."

Saya segera mendekati datuk. Berdiri di sebelah kirinya dan si baju hitam berdiri di sebelah kanannya. Di wajah datuk terbayang kepuasan dan kebanggaan yang amat sangat.

"Kau lihat Tamar," datuk menuding jari telunjuknya ke arah kawasan perkampungan.

"Itulah kampung nenek moyang aku, di rumah besar sebelah kanan masjid itulah, aku dilahirkan," sambut datuk.

Aku renung ke arah masjid yang datuk maksudkan. Rumah besar di kanan masjid kelihatan masih kukuh.

Ada kumpulan kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia belasan tahun bermain gasing.

"Ini juga kampung halaman saya tapi, sudah lama saya tinggalkan. Saya tak tahu apa khabar emak dan bapa saya, adik beradik saya. Kaum keluarga saya," sampuk si baju hitam.

Mulut datuk terlopong, barangkali terkejut dengan pengakuan si baju hitam.

"Sejak bila kamu tak balik ke sana?" tanya datuk.

"Sejak saya jadi pengikut Minah Supandi."

"Hummm..." suara datuk terkulum.

"Agaknya aku kenal kedua orang tua kamu. Orang tua kamu memang anak jadi kampung ni," sambung datuk lagi.

"Orang tua saya asal dari Sulawesi, di Ujung Padang," jelas si baju hitam.

"Tapi sudah lama menetap di situ."

"Agaknya begitulah," si baju hitam tersenyum.

"Tak kira di mana berasal sama ada dari Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Kalimantan kita semua adalah serumpun. Agama sama, ada budaya sama, bahasa pun hampir sama," ujar datuk sambil menatap sepasang biji mata si baju hitam. Datuk menepuk bahunya dua tiga kali.

Saya tersenyum, datuk sudah dapat menerima si baju hitam menjadi sebahagian dari kerabatnya.

Semoga selepas ini, si baju hitam tidak akan memperlakukan atau memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh membuat datuk dan saya merasa curiga terhadap dirinya.

"Mari kita ke sana."

Datuk menarik tangan saya dan si baju hitam. Kami pun mula melangkah menurun cerun bukit dengan hati-hati.

Di antara kami bertiga, ternyata langkah datuk sungguh bersemangat dan ancak sekali.

Sebaik saja kami masuk ke kawasan kampung tercium bau sampah yang dibakar.

Suara kanak-kanak jelas kedengaran begitu juga dengan suara burung terkukur dan merbuk peliharaan sahut-menyahut. Suara kerbau menguak dan suara lembu mengemuh.

Kami terus masuk ke tengah kampung bagaikan pahlawan pulang dari medan juang.

"Assalamualaikum, mahu ke mana," seorang lelaki muncul dari rumpun pisang dengan parang panjang ditangan. Matanya merenung wajah datuk.

"Waalaikum musaallam saya..." jawap datuk.

"Kamu Mat Diah," jerit lelaki itu memotong cakap datuk.

Parang panjang dicampaknya ke tanah. Dia menerpa lalu memeluk datuk dengan erat sekali.

"Kamu balik, patut dua hari lalu mata kanan aku sebelah atas berkedip pagi, berkedip petang rupanya nak tengok orang jauh," riang benar suara lelaki yang saya kira usianya jauh lebih tua dari datuk.

Kening dan rambutnya sudah putih. Begitu juga dengan janggut dan jambang tetapi, dia kelihatan gagah.

Air mukanya bersih. Penglihatannya cukup terang, nada suaranya keras bertenaga.

LANGKAH

Dari apa yang saya lihat ternyata orang tua itu, bukan tua sebarangan. Tua berisi ilmu dunia dan akhirat.

Atur langkah dan gerak tangannya membayangkan yang dirinya memiliki ilmu mempertahankan diri yang tinggi.

"Kamu tak kenal aku? Belum pun sampai lapan puluh tahun dah lupa," sambung orang tua itu bila melihat datuk terkebil-kebil mecam mengingati sesuatu,

"Saya ingat-ingat lupa, kalau tak silap saya Haji Bagus," kata datuk ragu-ragu. Orang tua itu tersenyum.

"Betullah tu, kita ni saudara dua pupu dari sebelah ayah kamu," orang tua itu terus menepuk-nepuk bahu datuk.

"Mari ke rumah aku dulu, hari dah senja tak usah pergi ke rumah lama," sambung orang tua itu. Dan datuk patuh dengan permintaannya.

"Rumah pusaka tu, terbiar begitu saja ke abang aji, " datuk bertanya sebaik saja memijak anak tanga pertama rumah haji Bagus.

Haji Bagus tidak menjawab. Dia hanya tersenyum saja dan menyuruh orang rumah membuat kopi.

Dia juga memerintahkan telaga (tempat mandi) di kosongkan untuk memberi laluan kami bertiga mandi dulu. Maklumlah waktu maghrib hampir tiba.

Kerana kedudukan masjid dengan rumah Haji Bagus tidak jauh, kami masih ada kesempatan untuk menikmati air kopi panas yang disediakan oleh orang rumah Haji Bagus.

"Saya, bagi air suam," kata datuk sebaik Haji Bagus meletakkan cawan kopi di depannya. Haji Bagus renung sepasang biji mata datuk dengan renungan yang luar biasa. Renungannya cukup tajam sampai ke jantung hati dan ruang fikir datuk. Lebih tepat dengan renungan makrifat.

"Saya ikhlas, saya tak berapa suka kopi, beri saya air suam," nada suara merendah.

Haji Bagus segera meletakkan cawan kopi ke dada talam kembali. Haji Bagus memegang pergelangan tangan datuk sebentar.

"Aku percaya dengan cakap kamu," kata Haji Bagus sambil tersenyum.

Dia segera menyuruh orang rumahnya membawa segelas air suam. Arahan Haji Bagus segera ditunaikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 153/284

BACA: SBDJ Siri 152: Ketuanya Bomoh Wanita
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Hatshepsut adalah firaun ke-5 daripada dinasti ke-18 Mesir, adalah pemangku rasmi kepada anak tirinya, Thutmose III, yang hanya berusia 2 tahun ketika kematian bapanya Thutmose II, dan Hatshepsut adalah satu-satunya pengganti yang layak untuk memerintah Mesir.

Ratu Hatshepsut
Gambar hiasan.

Hatshepsut adalah puteri Firaun Thutmose I yang dilantik menjadi ratu setelah mengahwini adik lelakinya bernama Thutmose II, putera Thutmose I dan isteri kedua pada umur 12 tahun.

Salasilah

Suami Hatshepsut, Thutmose II, merupakan adik beradik sebapa (berlainan ibu) dan sebab utama Thutmose II mengahwini Hatshepsut adalah kerana dia adalah anak tunggal Thutmose I dengan isterinya yang pertama (kedudukan isteri yang tertinggi), Ahmose.

Ibu Thutmose II, Mutnofret adalah isteri kedua bapanya, menjadikan Thutmose II kurang layak untuk diangkat sebagai pengganti.

Dengan mengahwini Hatshepsut, Thutmose II menjadi pilihan utama sebagai firaun seterusnya.

Pasangan Thutmose II dan Hatshepsut hanya mempunyai seorang anak, iaitu Neferure, yang merupakan seorang perempuan.

Walaupun ibunya seorang Firaun, Neferure tidak layak untuk diangkat menjadi firaun, kerana keutamaan harus diberikan kepada Thutmose III.

Firaun Wanita Pertama

Hatshepsut merupakan seorang firaun yang hebat, yang mana pemerintahannya selama 21 tahun merupakan suatu tempoh kemakmuran buat Mesir.

Hatshepsut memainkan peranan yang sangat penting dalam membina Mesir, antaranya menaik taraf laluan perdagangan yang penting buat ekonomi kerajaan berkenaan.

Lembah Diraja atau The Valley of Kings yang menjadi lokasi pemakaman firaun-firaun juga terbina kerana Hatshepsut.

Di lokasi tersebut, Hatshepsut telah membina makam buat bapa dan dirinya sendiri, sebelum para firaun selepas baginda mula membina makam mereka di tempat yang sama.

Walaupun ratu Hatshepsut mempunyai karisma sebagai firaun, majoriti Egyptologist (pengkaji tamadun Mesir Purba) berpendapat, sebab ratu itu diangkat adalah kerana krisis dalaman diraja melibatkan rampasan kuasa oleh kerabat diraja lain, maka ratu Hatshepsut harus melantik dirinya sebagai firaun.

Ratu Hatshepsut dibantu oleh para penyokong yang mengambil jawatan dalam badan kerajaan seperti Senenmut yang berjawatan sebagai ketua menteri.

Ada pendapat menyatakan, Senenmut adalah kekasih gelap ratu Hatshepsut namun hanya ada sedikit bukti untuk mengaitkan hubungan mereka berdua.

Patung Hatshepsut
Patung Ratu Hatshepsut.

Dua pencapaian gemilang ratu Hatshepsut ialah; aktiviti perdagangan dan projek pembinaan.

Dalam dunia perdagangan, ratu Hatshepsut meluaskan jaringan tersebut selepas penjarahan kaum gasar Hyksos pada 1650 SM, kemudian mengembalikan kekayaan Mesir pada zaman pemerintahnya.

Pada tahun kesembilan pemerintahan, Hatshepsut mengetuai penjelajahan ke tanah Punt bagi menjalankan hubungan perdagangan dengan orang Punt.

Sebanyak 5 buah kapal pelayaran dan seramai 210 orang kelasi berlayar mewakili ratu Hatshepsut.

Hasil dari hubungan dagang itu, wakil ratu Hatshepsut membawa balik kemenyan beserta 31 batang pokok kemenyan atau myrrh.

Namun, kewujudan Tanah Punt yang Ratu Hatshepsut telah jelajahi sehingga sekarang masih menjadi misteri.

Ada dua pendapat tentang keberadaan tanah tersebut. Yang pertama adalah di kawasan Ethiopia dan Eritrea, namun kawasan tersebut pada zaman pemerintahan Ratu Hatshepsut tidak ada sebarang kerajaan, malah hanya perkampungan saja.

Manakala pendapat kedua adalah Tanah Punt berada di bahagian timur Mesir. Pendapat ini lebih relevan kerana terdapat rekod-rekod Mesir Purba menyatakan keberadaan tanah yang sama.

Dalam The Egyptian Book of the Death iaitu buku sihir Mesir Purba, ia menyatakan bahawa Tanah Punt adalah beberapa buah negeri atau kawasan di sebelah timur namun, tiada penjelasan dimana keberadaan sebenar Punt itu.

Sebuah lagi karya Mesir Purba iaitu The Shipwrecked Sailor menyatakan, raja Punt adalah pemerintah kawasan pulau, bukannya pemerintah sebuah daratan besar seperti Afrika.

Bukti kukuhnya adalah ukiran di dinding kuil Djeser-Djeseru yang menunjukkan bahawa Punt terletak di kawasan persimpangan jalan perdagangan beberapa tamadun besar dunia.

Jika tamadun besar itu dimaksudkan adalah tamadun China dan India, tidak mustahil tanah Punt berada di Asia Tenggara. Ini mengukuhkan teori bahawa Nusantara adalah Tanah Punt itu.

Tambahan pula, para pelayar Ratu Hatshepsut pernah menemui Ratu Ati, ratu Punt, namun kenyataan ini sukar dibuktikan jika kawasan Ethiopia yang tiada kerajaan menjadi lokasi sebenar Punt.

Yang menarik, dari jurnal-jurnal sejarah kuno dari tamadun luar seperti Yunani Purba atau China, nama Brunei yang bertempat di pulau Borneo mempunyai banyak gelaran mengikut lidah pedagang asing seperti Poni, Pome, Poli, Boni dan sebagainya.

Kita terfikir juga, bagaimana orang Mesir Purba memanggil Brunei itu adala Punt? Kalau benar, adakah pulau Borneo pernah mempunya sebuah kerajaan purba di zaman ratu Hatshepsut sekali gus membuktikan Tanah Punt itu adalah Borneo?

Pembinaan

Selain aktiviti perdagangan, Ratu Hatshepsut juga pernah menyumbang dalam perlaksanaan projek-projek pembinaan bangunan yang baginda banggakan.

Hatshepsut adalah firaun prolifik dalam pembinaan, dengan beratus-ratus projek pembinaan dilaksanakan di Mesir Utara (Upper Egypt) dan Mesir Selatan (Lower Egypt). Berbanding projek pembangunan yang pernah firaun sebelumnya telah laksanakan, bangunan ratu Hatshepsut lebih gah dan lebih banyak sehinggakan firaun seterusnya menuntut bangunan-bangunan tersebut adalah milik mereka.

Sebab utama ratu Hatshepsut menjadi terkenal dalam projek pembinaan adalah kerana dia mempunyai arkitek tersohor bernama Ineni yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan ayahanda dan suaminya.

Pembinaan paling masyhur adalah kuil agung milik ratu Hatshepsut sendiri iaitu Djeser-Djeseru yang bertempat di kawasan Deir el-Bahri berdekatan dengan Thebes.

Seni bina kuil tersebut diinsipirasikan oleh ketua menteri kepercayaan baginda, Senenmut.

Kuil Hatshepsut
Djese-Djeseru. Kuil agung Hatshepsut.

Tahun 1458 SM, ratu Hatshepsut mangkat pada usia pertengahan 40-an dan dikebumikan di lembah raja-raja, berdekatan Deir el-Bahri.

Bagi memastikan pemerintahannya kekal dikenali, kubur ayahandanya telah dibuka dan dikubur bersama-sama.

Kemudian, Thutmose III menjadi firaun seterusnya selama 30 tahun, mengikut jejak ibu tirinya sebagai Pembina terkenal dan sebagai seorang pahlawan.

Pada akhir pemerintahan, firaun Thutmose III berusaha menghapuskan sebarang jejak ibu tirinya seperti patung berukir wajah ratu itu dan projek pembinaan di bawah namanya. Sebabnya masih kabur, sama ada dia tidak mahu sebarang kewujudan firaun wanita atau mendekatkan jurang masa pemerintahan setiap firaun lelaki.

Akibatnya, masyarakat Mesir tidak tahu tentang ratu Hatshepsut sehinggalah pada tahun 1822 di mana para ahli Egyptologist berjaya membaca tulisan Hieroglyph pada kuil Djeser-Djeseru.

Di situlah legenda ratu Hatshepsut kembali dikenali ramai, sebagai firaun wanita pertama dunia.

Cubaan Memadam Legasi Hatshepsut

Tidak diketahui individu sebenar yang cuba untuk memadamkan Hatshepsut daripada sejarah.

Menurut rekod, cubaan untuk menghancurkan legasi Hatshepsut berlaku pada penghujung era pemerintahan Thutmose III.

Ketika Hatshepsut memerintah, Thutmose III adalah jeneralnya yang paling berjaya, turut memainkan peranan penting lain sebagai atlet, penulis, sejarawan, ahli botani dan arkitek.

Selepas kematian Hatshepsut, pemerintahan Thutmose III selama 33 tahun menyaksikan kawasan taklukan Mesir semakin luas.

Thutmose III juga tiada sebarang masalah atau dendam terhadap ibu tirinya jadi, Thutmose III bukanlah suspeknya.

Namun begitu, terdapat beberapa spekulasi yang mengaitkan Thutmose III sendiri sebagai suspek utama yang cuba 'menyucikan' rekod kewujudan ibu tirinya itu.

Thutmose III bertindak sedemikian kerana marahkan Hatshepsut yang menduduki takhta firaun sebelumnya.

Antara suspek lain termasuklah Amenhotep II, yang merupakan anak dan waris Thutmose III, yang membantu bapanya mentadbir di penghujung pemerintahannya.

Sebagai anak kepada salah seorang isteri firaun, kedudukannya bagi menaiki takhta sedikit goyah.

Menurut beberapa sumber, dengan memadamkan legasi Hatshepsut, takhta sebagai firaun lebih mudah untuk diduduki, namun tidak jelas bagaimana.

Sama ada betul atau tidak Amenhotep II yang cuba memadamkan legasi Hatshepsut, tiada siapa yang tahu.

Namun yang pasti, individu tersebut cuba melakukan apa sahaja bagi menghapuskan Hatshepsut daripada rekod sejarah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, June 12, 2020

Kajian Mendapati Vitamin D Mampu Mencegah Jangkitan Covid-19

Kajian Mendapati Vitamin D Mampu Mencegah Jangkitan Covid-19

Tahap vitamin D yang rendah di dalam badan seseorang boleh menyebabkan risiko kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 yang lebih tinggi, demikian hasil satu kajian yang telah dijalankan, bagi melihat tahap purata vitamin D dari 20 negara Eropah dan dibandingkan dengan kadar jangkitan dan kematian koronavirus.

Vitamin D Fight COVID-19

Bagaimanapun, data tersebut belum dikaji semula dan diteliti oleh saintis dan penyelidik lain.

Sekumpulan saintis dari Hospital Queen Elizabeth, Hospital Foundation Trust dan University of East Anglia menulis dalam kajian itu, "Kami percaya dan boleh menasihatkan bahawa suplemen Vitamin D melindungi jangkitan SARS-CoV2."

Maklumat ini menyokong kajian dilakukan sebelum ini yang juga mendapati bahawa tahap vitamin D yang lebih tinggi dapat meningkatkan peluang seseorang untuk sembuh dari virus pembunuh itu.

Bagi menyokong hasil penemuan itu, University of Granada kini menjalankan percubaan selama 10 minggu untuk mengetahui lebih lanjut selepas Trinity College Dublin mendapati bahawa orang dewasa yang mengambil suplemen vitamin D telah menyaksikan penurunan 50 peratus jangkitan di bahagian dada.

Kajian terbaharu itu menggunakan data yang sudah dikumpul mengenai tahap pengambilan suplemen Vitamin D.

Ini termasuk penyelidikan dari kajian komprehensif pada tahun 2019 yang diketuai oleh Profesor Paul Lips yang merupakan pakar perubatan dalaman di Universiti Vrije Amsterdam, Belanda.

Kebaikan Vitamin D

Vitamin D Help Fight COVID-19

Kajian ini melihat tahap vitamin D di Eropah dan Timur Tengah dan beribu-ribu individu telah dikaji dan ujian tersebut melibatkan pengukuran tahap Vitamin D.

Vitamin D memasuki tubuh melalui makanan tertentu, seperti ikan dan cendawan, atau dengan mendedahkan kulit pada sinar matahari.

Namun, diingatkan terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama tidak digalakkan, cukup lima hingga 10 minit di luar rumah setiap hari untuk menghasilkan Vitamin D.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar