Saturday, June 13, 2020

5 Kesan Buruk 'Junk Food' Kepada Kesihatan Anda


Mengambil makanan tidak berkhasiat secara kerap dan dalam kuantiti yang banyak sememangnya telah terbukti boleh menyumbang kepada masalah-masalah kesihatan yang kronik pada jangka masa panjang.

Bahaya Junk Food

Malangnya di Malaysia, ketaksuban terhadap makanan-makanan tidak berkhasiat amatlah tidak difahami kerana kita telah tersenarai dalam rangking tertinggi sebagai rakyat paling berpenyakit seperti kencing manis, obesiti, penyakit jantung, buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Malah, terdapat kajian yang menunjukkan kesan negatif daripada pengambilan produk makanan yang tidak berkhasiat ini.

Obesiti

Selain disebabkan oleh individu yang tidak aktif dan masalah perubatan lain, obesiti boleh terjadi apabila mengamalkan pemakanan yang tidak sihat atau berkhasiat.

Makanan yang mengandungi jumlah lemak trans yang tinggi, lemak tepu dan gula yang berlebihan, akan menyumbang kepada peningkatan risiko obesiti.

Kesihatan jantung

Kualiti diet pemakanan yang anda amalkan akan mempunyai kesan signifikan terhadap kesihatan kardiovaskular anda.

Garam dan makanan berlemak boleh menjadi sangat memudaratkan apabila diambil secara kerap dan berlebihan.

Makanan tidak berkhasiat selalunya tinggi kandungan natrium, kolesterol dan gula yang boleh meningkatkan tekanan darah serta tahap kolesterol dan trigliserida, sejenis lemak (lipid) yang terdapat dalam darah.

Dari masa ke masa, tekanan darah tinggi dan tahap lipid yang tinggi boleh menimbulkan banyak tekanan pada hati, meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan penyakit arteri koronari.

Untuk mendapatkan kesihatan jantung maksimum, pastikan anda menghadkan pengambilan garam kepada 2,400 mg setiap hari.

Makanan lain yang tidak sihat dan harus dihindari antaranya termasuklah minuman berkarbonat, marjerin, daging tinggi kandungan lemak dan makanan bergoreng.

Penyakit kronik

Makanan tidak berkhasiat turut boleh menyumbang kepada peningkatan terhadap penyakit dan jangkitan kronik.

Pengambilan diet yang tidak sihat akan menyebabkan kekurangan nutrien dalam badan yang sekali gus tidak memenuhi keperluan kalori harian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kekurangan nutrien yang paling bahaya adalah anemia yang disebabkan kekurangan zat besi, kekurangan vitamin A dan gangguan kekurangan iodin.

Diet pemakanan yang sihat membantu menghalang penyakit jantung, mencegah diabetes jenis 2, osteroporosis dan juga kanser.

Kesihatan mental

Pemakanan memainkan peranan penting kepada tahap kesihatan mental seseorang individu.

Mengambil terlalu banyak makanan ringan boleh memburukkan simptom penyakit mental seperti kemurungan dan kegelisahan.

Makanan manis dan mempunyai karbohidrat halus sangat berbahaya, kerana boleh menyebabkan peningkatan mendadak kepada tahap gula dalam darah.

Makanan seperti kentang, beras perang, oat dan karbohidrat kompleks lain adalah pilihan baik dan bijak untuk menjamin tahap kesihatan yang baik.

Pemilihan makanan tidak berkhasiat dan tabiat pemakanan tidak sihat boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit mental seperti Alzheimer.

Masalah usus

Mengambil makanan tidak berkhasiat boleh menyebabkan masalah kepada saluran pencernaan, memandangkan anda tidak mengambil serat makanan harian yang diperlukan oleh badan anda.

Lemak berlebihan dalam makanan yang anda makan akan memudaratkan saluran pencernaan.

Makan makanan yang tidak sihat akan meningkatkan risiko untuk mengalami perut kembung, cirit-birit atau sembelit.

Bagaimana menghindari tabiat ini?

Untuk melakukan perubahan dalam tabiat mengambil makanan tidak berkhasiat ini, terutamanya jika ia satu tabiat yang selalu diambil, pastinya ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Tetapi tidak mustahil.

Berikut adalah beberapa cara dan tips yang boleh membantu anda menukar tabiat kepada mengamalkan diet pemakanan yang lebih sihat dan berkhasiat:
  • Wujudkan jadual pemakanan yang boleh anda ikuti dan pastikan anda mengetahui cara bagaimana untuk menangani keinginan anda terhadap makanan tidak berkhasiat ini.
  • Kurangkan menonton televisyen dan jika anda ingin menonton televisyen pastikan anda tidak menonton sambil makan.
  • Tetapkan matlamat yang boleh dicapai. Harapan yang tidak realistik akan cenderung membuatkan anda mudah berputus asa dan gagal.

Sebaiknya, perubahan yang ingin anda lakukan, pastikan ia dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak secara drastik.

Menitikberatkan soal apa yang anda makan, terutamanya buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Kerap melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, berlari atau berenang setiap hari, pastinya dapat membantu menjadikan badan lebih sihat.

Ia mampu meningkatkan sistem imun badan, serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti masalah berkaitan jantung dan kanser.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon