Thursday, October 06, 2016

Kenali Dr. Fauziah Mohd Hasan, Rakyat Malaysia Yang Ditawan Israel


Berita kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva bersama-sama 13 ahli misi ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG), yang ditawan tentera rejim Israel, kini mendapat liputan luas seluruh dunia.


Mereka dilaporkan tiba dan ditahan di Pelabuhan Ashdod, di negara Yahudi itu.

Antara 13 aktivis yang ditawan termasuklah wakil tunggal Malaysia dan Asia, Dr. Fauziah Mohd Hasan.

Berikut adalah biodata Dr Fauziah;

Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1957 dan menerima ijazah MBBS daripada University of Tasmania, Australia pada tahun 1982.

Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dan enam orang cucu.

Beliau merupakan Fellow Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003 dan berkhidmat sebagai doktor pakar di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak tahun 1997.

Dr Fauziah sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, bermula sebagai Bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (MERCY Malaysia) (2000-2006) dan mengambil bahagian dalam misi untuk Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001, 2002,2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).

Beliau kemudian aktif dalam Aqsa Syarif, NGO kemanusiaan Malaysia yang memperjuangkan isu-isu Palestin.

Pada tahun 2015, Aqsa Syarif telah dikendalikan di bawah Humanitarian Care Malaysia Berhad (729288-P) (MyCare), sebuah organisasi kemanusiaan melangkaui sempadan Palestin.

Beliau adalah Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif dari tahun 2010 dan kini ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare.

Selain itu, Dr Fauziah erupakan Penasihat Rose2Rose (R2R), satu lagi agensi dibawah MyCare yang mempunyai fokus memperkasakan wanita dan kanak-kanak.

Kapal Zaytouna-Oliva membawa 13 aktivis wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol, sejak 21 hari lalu.

Namun, mereka dilaporkan terputus hubungan pada 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza.

Sementara itu, rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan rasa kebimbangan dan mendoakan agar semua aktivis yang terlibat dibebaskan dengan selamat khususnya Dr Fauziah. -Mynewshub

#WomensBoatToGaza: Siapa aktivis yang terlibat

#WomensBoatToGaza

Kapal Zaytouna-Olivia membawa 13 orang aktivis dari pelbagai negara termasuklah Malaysia dengan membawa misi memecahkan sekatan tentera laut di semenanjung Gaza kini telah ditahan di pelabuhan Ashdod.

Setiap aktivis yang terlibat mempunyai profil yang amat menarik serta turut terlibat dengan misi-misi kemanusian di negara masing-masing.

Dr. Fauziah Hassan (Malaysia)

Merupakan konsultan perubatan di sebuah Hospital Swasta di ibu negara dan juga sangat aktif dalam aktiviti kemanusian bersama dengan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY).

Selain itu, beliau juga turut aktif dalam Aqsa Syarif, NGO kemanusian Malaysia dalam menyokong rakyat Palestin yang kemudiannya menjadi agensi di bawah naungan MYCARE.

Di samping itu, beliau juga turut menjadi penasihat Rose2Rose (R2R) juga agensi di bawah MYCARE yang menumpukan dalam memperkasakan wanita dan kanak-kanak serta turut berkempen untuk menjaga wanita-wanita malang serta kanak-kanak di Palestin, Syria dan Rohingya.

Mairead Maguire (Ireland)

Merupakan seorang aktivis keamanan dari utara Ireland dan mengasaskan ‘Women for Peace’ bersama dengan Betty Williams dan Ciaran McKeown yang kemudiannya bertukar menjadi satu organisasi yang menggalakkan penyelesaian secara damai daripada pemberontak di utara Ireland.

Beliau bersama rakan kongsinya Williams, dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1976. Ini merupakan percubaan kali kedua beliau cuba melepasi sekatan Israel ke Semenanjung Gaza namun sekali lagi beliau tidak berjaya

Marama Davidson ( New Zealand)

Beliau adalah seorang pencinta alam sekitar dan juga merupakan seorang peguam hak asasi manusia dan kini menjadi seorang Ahli Parlimen. Pernah bekerja dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dari tahun 2003 hingga 2009.

Sementara itu, beliau juga seorang ahli dalam Siasatan Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Dalam Negeri Owen Glenn dan juga salah seorang pengasas Te Wharepora Hou Maori Wanita.

Jeannette Escanilla (Sweden)

Beliau adalah pengganti untuk ahli parlimen parti Left Of Sweden di Parlimen dan merupakan ahli Majlis Daerah Uppsala serta Naib Pengerusi Jawatankuasa Kanak-Kanak dan Belia di daerah tersebut. Selain itu, beliau turut menjadi penyokong Kapal Sweden untuk Kempen Gaza (Estelle) pada tahun 2012.

Samira Douaifa (Algeria)

Merupakan Ahli Parlimen di Algeria, mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Sosiologi dan telah menjadi aktivis dalam bidang hak wanita dan kanak-kanak serta pendudukan Palestin. Beliau juga menjadi pemimpin dalam UNPEF Union (Pendidikan) dan bekerja di sebuah Universiti.

Leigh-Ann Naidoo ( Afrika Selatan)

Leigh-Ann adalah juara bola tampar yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 2004 di Athens. Beliau juga merupakan seorang peguam bela untuk hak-hak LGBT.

Dilahirkan pada tahun di mana rusuhan kaum di Afrika menentang dasar Apartheid. Bapa beliau juga merupakan Presiden Organisasi bola tampar yang mencipta peluang buat kanak-kank kulit hitam untuk bermain sukan itu.

Madeleine Habib (Australia)

Beliau telah terlibat dalam kempen keadilan sosial dan perlindungan alam sekitar sejak usia remaja lagi.

Sewaktu berumur lewat 20 an, berjaya menggabungkan gaya hidup pelayarannya dengan aktiviti kempen. Kerjayanya sebagai pelayar telah membawanya ke seluruh pelosok dunia.

Ann Wright (Amerika Syarikat)

Telah berkhidmat selama 29 tahun dalam tentera Amerika Syarikat (AS) dan bersara sebagai Kolonel.

Bertugas sebagai seorang diplomat serta di beberapa kedutaan AS di Nicaragua, Grenada, Somalia, Uzbezkistan, Kyrgyzstan , Sierra Loene, Micronesia, Afghanistan dan Mongolia.

Meletak jawatan pada tahun 2003 atas protes terhadap kerajaan yang menyerang Iraq. Sejak itu, beliau telah pergi ke Gaza sebanyak tujuh kali dan juga pernah menjadi pemimpin bot untuk misi 2015 Gaza Freedom Flotilla.

Hoda Rakhme (Rusia)

Merupakan seorang jurugambar dan juga editor untuk Al-Jazeera. Beliau tinggal di Moscow, Rusia

Mina Harballou (United Kingdom)

Merupakan seorang wartawan daripada Al-Jazeera dan berpangkalan di London, England.

Sandra Barrilaro (Sepanyol)

Sandra adalah seorang jurugambar dan juga pengasas bersama runNamlebee.com, sebuah firma perunding yang melakukan kempen pembiayaan awam, editing dan juga kempen lain.

Mempunyai portfolio yang merangkumi pelbagai inisiatif keadilan sosial termasuklan pendudukan Palestin.

Beliau juga turut menjadi penulis bersama sebuah buku yang baru sahaja diterbitkan bertajuk ‘Against Forgetting a Photographic Memory of Palestine Before the Nakba’.

Synne Sofie Reksten (Norway)

Ahli termuda di dalam misi ini dan salah seorang krew, merupakan seorang pelajar dari tanah airnya.

Emma Ringqvist (Sweden)

Salah seorang krew untuk misi ini, sebelum ini beliau pernah tinggal di London sebelum pulang ke tanah airnya. -SH

[Kemaskini]

11 anggota misi WBG dibebaskan Zionis

WBG

Wakil tunggal Malaysia dalam misi kemanusiaan 'Women's Boat to Gaza' (WBG) Dr Fauziah Hasan bersama 10 anggota misi itu yang ditahan Israel Rabu lepas, telah dibebaskan.

Jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka sedang diuruskan penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat.

Beliau berkata menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan telah dipindahkan dari Penjara Givon di Ramla (Bandar di tengah Israel) ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Israel.

Sementara itu, dua anggota misi yang dibebaskan semalam iaitu wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia telah selamat tiba ke negara masing-masing.

Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod. -Astroawani

BACA INI JUGA: Freemason Dan Illuminati, Apa Sebenarnya Kumpulan Rahsia Ini?

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. Kita doakan saja team dr fauziah selamat dan dibebaskan. aamin.

    ReplyDelete
  2. Hebat betul Dr ni. Sanggup gadaikan nyawa demi Islam dan orang Islam

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon