Saturday, June 22, 2019

7 Filem Hebat Terbaharu Marvel Selepas Avengers:Endgame

7 Filem Hebat Terbaharu Marvel Selepas Avengers:Endgame

Filem terakhir bagi Fasa 3 Marvel Cinematic Universe (MCU), Avengers: Endgame atau juga dikenali sebagai Infinity Saga, telah ditayangkan dan kebanyakan pertanyaan peminat telah pun terjawab namun, satu persoalan masih kekal, apa pula selepas ini?

Lebih khusus lagi, apakah filem-filem yang bakal dikeluarkan MCU bagi Fasa 4 selepas Infinity Saga dan Thanos?

Berikut adalah senarai filem-filem hebat terbaharu Marvel yang bakal menyusul selepas Avengers: Endgame.

1. Spider-Man: Far From Home (2019)

Spider-Man Far From Home

Filem solo kedua Spider-Man (Peter Parker) ini bakal ditayangkan di pawagam dua bulan selepas Avengers: Endgame.

Memang sudah dijangkakan Peter akan kembali dan berdasarkan treler, filem solo ini dijangka akan memberi sedikit humor yang diperlukan selepas ketegangan yang berlaku dalam Infinity War dan Endgame.

Seperti dalam tajuk, perjalanan Peter kali ini akan membawanya jauh dari tempat tinggalnya, New York City, melintasi Atlantik ke Eropah.

'Spider-Man: Far From Home' dijadual muncul di pawagam pada 2 Julai, 2019.

2. Black Widow

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Sudah bertahun-tahun Marvel berbisik tentang filem solo Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, mengisahkan tentang perisik, Natasha Romanoff, yang akan diarahkan oleh Cate Shortland.

Pelakon-pelakon lain yang telah disahkan turut serta dalam filem tersebut adalah Florence Pughda dan O. T. Fagbenle manakala Rachel Weisz dan David Harvey.

Filem ini dikatakan sebuah filem prequel, yang bermaksud filem ini mungkin akan fokus kepada kehidupan Romanoff sebelum dia menyertai SHIELD.

Tarikh pengeluaran filem ini masih belum ditetapkan, namun dengan penggambaran yang dijadualkan bermula pada Jun 2019, peminat boleh menjangka filem ini ditayangkan seawal-awalnya tahun 2020.

3. The Eternals

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Perbincangan mengenai filem The Eternals bermula pada 2018 dan pada bulan September, Chloe Zhao disahkan sebagai pengarah filem tersebut.

Angelina Jolie dilaporkan akan memainkan peranan utama sebagai Sersi, selain turut dibintangi Kumail Nanjiani.

Filem itu dikatakan akan fokus kepada kisah cinta antara Sersi dan Eternal yang lain bernama Ikaris.

Penggambarannya akan bermula pada Ogos 2019 dan ia dijangka akan ditayangkan seawal-awalnya pada tahun 2020.

4. Doctor Strange (Mei 2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Dr Strange kembali beraksi selepas beberapa detik mencemaskan dalam Infinity War dan Endgame, dengan Rachel McAdams, Benedict Wong dan Chiwetel Ejiofor akan turut kembali melakonkan watak mereka dalam filem MCU itu.

Selain itu, Scott Derrickson, yang mengarahkan filem Doctor Strange pertama, juga akan kembali.

Kali ini, penguasa jahat Dream Dimension, Nightmare dikhabarkan akan menjadi antagonis utama.

Penggambaran dirancang untuk bermula pada awal tahun 2020, dengan tarikh 'release' pada Mei 2021.

5. Black Panther 2 (2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Rancangan untuk filem sekuel Black Panther diumumkan sebulan selepas pengeluaran filem Black Panther pertama.

Ryan Coogler kembali sebagai pengarah dan Chadwick Boseman serta Letitia Wright disahkan akan kembali dengan watak masing-masing sebagai T'Challa dan Shuri.

Butiran plot tidak diketahui, namun terdapat khabar angin bahawa Killmonger akan kembali.

Penggambaran akan bermula pada akhir 2019 hingga awal 2020, bermaksud Black Panther 2 tidak akan muncul di pawagam sehingga 2021.

Chadwick Boseman dan Letitia Wright disahkan akan kembali dengan watak masing-masing sebagai T'Challa dan Shuri.

6. Shang-Chi

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Shang-Chi akan menjadi filem adiwira yang diterajui watak orang Asia pertama, sama seperti Iron Fist, watak Shang-Chi dicipta ketika zaman kegilaan kung fu pada tahun 1970-an.

Masih tiada maklumat muktamad atau plot mengenai Shang-Chi atau sebarang jadual produksi, tetapi ada khabar angin mengatakan penggambaran filem ini akan dilakukan di Sydney.

7. Guardians Of The Galaxy Vol. 3 (2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Kemungkinan filem ini akan fokus kepada pencarian Gamora, berdasarkan adegan akhir filem Avengers: Endgame Peter Quill memandang ke arah hologram wanita itu.

Thor juga diliihat menyertai kumpulan Guardians, jadi adakah ada kemungkinan dia akan muncul dalam filem tersebut meskipun kontraknya dengan Marvel Studios sudah pun berakhir selepas Endgame? Kita tunggu dan lihat sahaja nanti.

Bagaimanapun, penggambaran untuk Guardians of the Galaxy Vol. 3 tidak akan bermula sehinggalah pengarah filem itu, James Gunn selesai dengan penggambaran The Suicide Squad yang kini dijadualkan untuk bermula pada 2019 dan ditayangkan pada 6 Ogos 2021.

Sama-sama kita nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, June 21, 2019

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Rafael Caro Quintero adalah salah seorang ketua kartel dadah Mexico pertama yang paling berkuasa dan dianggap sebagai Raja Dadah, "Narco of Narcos", sentiasa dahagakan darah kerana berasakan bahawa dia tidak dapat disentuh.

Raja Dadah Kartel
Rafael Caro Quintero.

Namun, Rafael akhirnya telah melampaui batas apabila membunuh seorang agen Amerika Syarikat dengan begitu kejam.

Berjaya keluar daripada penjara atas alasan teknikal, Rafael sehingga kini masih bebas dan dikehendaki oleh FBI.

Ini adalah kisah sebenar Rafael Caro Quintero

Rafael Caro Quintero dilahirkan pada Oktober 1952 di Sinaloa, Mexico. Tarikh lahirnya yang sebenar tidak diketahui, dikatakan pada bulan Oktober, November atau Mac 1952.

Rafael memiliki 12 orang adik beradik dan bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 14 tahun dan sebagai anak sulung, tanggungjawab untuk membantu ibunya dan 11 saudara kandung berada di atas bahunya.

Selepas bekerja sebagai penternak lembu dan bekerja di ladang jagung serta kacang tanah, Rafael menyedari bahawa terdapat cara mudah untuk mendapatkan lebih banyak wang melalui tanaman yang kurang tradisional.

Dia mula melibatkan diri dengan ganja yang berkembang di bawah bimbingan seorang raja dadah Mexico yang sangat sukar diberkas, Pedro Avilés Pérez.

Rafael dengan begitu pantas mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli ladangnya sendiri, didedikasikan sepenuhnya untuk menghasilkan dadah, dan tidak lama kemudian, seluruh ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan haram ini.

Bapa saudara, adik-adik lelakinya dan keluarga isteri Rafael terlibat dalam perdagangan dadah.

Digambarkan oleh ejen DEA, James Kuykendall sebagai "produk sebenar penyeludupan dadah Sinaloa dan keperibadian pengedar dadah Sinaloa", ketika Rafael berusia 29 tahun, dia adalah bintang yang semakin meningkat naik dalam dunia jenayah Mexico.

Pada tahun 1970-an, Rafael Caro Quintero bersama dengan pengedar dadah Mexico, Felix Galardo dan raja dadah Ecuador, Ernesto Fonseca Carillo terlibat dalam kerjasama tiga penjuru yang sangat dahagakan darah.

Mereka mengasaskan Kartel Guadalajara, yang akan menjadi prototaip bagi organisasi dadah yang masih melanda Mexico sehingga ke hari ini.

Bersama-sama, mereka dikenali sebagai "Grandfather of Mexican Drug Trafficking", "El Padrino" atau "The Godfather" dan Don Neto.

Rafael Caro Quintero sendiri digambarkan oleh pegawai FBI sebagai salah seorang pembekal utama heroin, kokain dan ganja ke Amerika Syarikat pada tahun 1970an dan 1980-an.

Kejatuhan Rafael Caro Quintero

Dalam siri Narcos, kejatuhan Rafael Caro Quintero bermula apabila dia sendiri mula mengambil kokain dan menjadi semakin paranoid serta tidak dapat diramal.

Pada hakikatnya, sarang dadah Rafael mula terbongkar pada November 1984, ketika pihak berkuasa Mexico menyerang ladang ganja "Buffalo Ranch" di Chihuahua yang menyebabkan kerugian kepadanya antara RM10.3 bilion dan RM20.6 bilion.

Pihak berkuasa menerima maklumat mengenai ladang tersebut melalui seorang ejen DEA yang menyamar.

Rafael yang sangat berang dengan kerugian itu dengan segera mula merancang untuk membalas dendam.

Pertama, pada tahun 1985, Rafael dengan sekutunya didakwa membunuh dua warga Amerika, John Clay Walker dan Alberto Radelat.

Kesilapan membunuh 2 nyawa ini disebabkan oleh Rafael yang semakin paranoid dan tersalah anggap bahawa mereka adalah ejen DEA.

Sementara itu, dipercayai bahawa Enrique "Kiki" Camarena Salazar, seorang ejen kelahiran Mexico yang menyamar untuk DEA, adalah individu yang menyalurkan maklumat tentang ladang Buffalo Ranch tersebut.

Akibatnya, pada 7 Februari 1985, Enrique diculik dari jalanan di Guadalajara pada waktu siang.

Tubuh badan Enrique dan juga juruterbangnya, Kapten Alfredo Zavala Avelar, ditemui terbungkus di dalam plastik hampir sebulan kemudian pada 5 Mac dan Rafael Caro Quintero serta krunya adalah suspek utama.

Enrique dan Alfredo dikatakan tidak mati dengan cara yang mudah dan cepat kerana sepanjang 30 jam, tulang wajah dan trakea Enrique didapati hancur, tulang rusuknya patah dan kepalanya digerudi.

Paru-paru ejen DEA itu didapati mengandungi kesan ubat-ubatan yang diberikan oleh penculiknya untuk memaksa Enrique berada dalam keadaan sedar ketika ditangkap oleh penculik untuk memaksanya terus terjaga ketika diseksa.

Kematian Enrique Camarena menimbulkan kemarahan yang dahsyat di Amerika Syarikat dengan orang ramai terkejut dengan penyeksaannya dan pihak berkuasa berang betapa mudahnya ejen mereka diculik.

Beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang Mexico kemudiannya didakwa atas bantuan kepada kartel dalam pembunuhan itu.

Amerika Syarikat kemudiannya mula mempertimbangkan dengan serius untuk menutup sempadan kedua-dua negara ini dan Presiden Ronald Reagan meletakkan tekanan besar terhadap presiden Mexico, Miguel de la Madrid, untuk membawa pembunuh Enrique Camarena ke muka pengadilan.

Walaupun Rafael Caro Quintero memiliki kuasa dan pengaruh yang besar dalam kerajaan Mexico yang dipenuhi rasuah, dia tidak mampu menandingi kemarahan Amerika Syarikat.

Pada April 1985, 2 bulan selepas pembunuhan Enrique Camarena, pemerintahan bebas dan berdarah Rafael Caro Quintero selama hampir dua dekad di Mexico, berakhir.

Dia ditangkap di sebuah mahligai di Costa Rica di mana dia menyembunyikan diri dan diekstradisi ke Mexico lalu dijatuhkan hukuman 40 tahun kerana disyaki sebagai perancang pembunuhan Enrique Camarena.

Penangkapan Rafael Caro Quintero menyebabkan Kartel Guadalajara runtuh dari dalam.

Kisah Rafael Caro Quintero pada mulanya kelihatan seolah-olah satu contoh keadilan yang jarang berlaku terhadap salah satu pemimpin kartel Mexico paling berkuasa, yang kebanyakannya, seperti El Chapo, berjaya melarikan diri sekalipun dipenjarakan.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, Rafael tiba-tiba dibebaskan dari penjara selepas 28 tahun menjalani hukuman.

Mahkamah persekutuan Mexico telah mengarahkannya untuk dibebaskan selepas membatalkan sabitannya atas sebab teknikal iaitu dia telah diadili di mahkamah persekutuan untuk jenayah negara.

Pada usia 53 tahun, "Narco of Narcos" dibebaskan daripada penjara yang mencetuskan kemarahan di kalangan pegawai Amerika Syarikat.

White House mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa, "kami tetap komited pada hari ini apabila melihat Quintero dan orang lain yang terlibat dalam jenayah ini menghadapi keadilan di Amerika Syarikat sama seperti ketika berlakunya pembunuhan Enrique Kiki Camarena."

Bagi Rafael pula, dia mendakwa bahawa telah bersara secara rasmi daripada perniagaan dadah.

Rafael Caro Quintero wawancara
Rafael Caro Quintero ketika wawancara.

Dalam wawancara pada tahun 2016 dengan wartawan Mexico, dia bersumpah dengan mengatakan, "Saya adalah pengedar dadah 31 tahun yang lalu dan dari saat itu saya memberitahu anda bahawa apabila saya kehilangan hasil tanaman saya (Buffalo Ranch), saya tidak lagi melakukan aktiviti itu."

Amerika Syarikat bagaimanapun agak berwaspada tentang hakikat Rafael yang mahu meneruskan hidupnya dengan tenang dan aman.

Pada tahun 2017, DEA mengenal pasti Rafael Caro Quintero sebagai salah seorang pemimpin kartel Sinaloa yang bertanggungjawab menyeludup beratus-ratus tan syabu, ganja dan kokain ke Amerika Syarikat.

Pada April 2018, FBI menambah nama “Grandfather of Drug Trafficking” berusia 58 tahun itu ke dalam senarai "10 Individu Paling Dikehendaki", menawarkan ganjaran RM84 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat lokasi Rafael, jumlah ganjaran ini adalah antara yang tertinggi dalam sejarah FBI.

Setakat ini, tiada siapa yang tampil ke hadapan untuk menuntut ganjaran itu dan dikatakan bahawa Rafael Caro Quintero hidup bebas di utara Mexico.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang

SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang

Matahari pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju kearah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.

Toyol jadi-jadian
Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan.

Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.

Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.

Datuk berhenti melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang Datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang Datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.

Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, Datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak Datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian Datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu Datuk ramas dan Datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.

Semua gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, Datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.

Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana Datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang Datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.

Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh Datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang Datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri Datuk.

Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.

Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.

“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”

Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk berbayang yang panjang di bumi.

Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan berbayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.

“Datuk kamu ke mana Tamar?”

Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwarna putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya berserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.

“Itu dia”

Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah Datuk. Mereka berbalas senyum.Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.

“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah Datuk. Biji mata saya juga tertikam ke muka Datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.

“Bersenam,” suara Datuk lembut.

“Dab tua-tua mahu jaga badan.”

“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”

“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.

Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampaidi ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

“Macam mana anak kamu Malik?”

“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”

“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”

“Saya juga harap begitu.” Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.

“Ke mari kamu,” Datuk renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.

“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.

“Ini pun sudah cukup baik,” kata Datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.

Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa Datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, Datuk memperlihatkan perkara yang ganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan Datuk. Saya menjeling ke arah Datuk.

“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” Datuk membuka rahsia.

“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.

“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanamkan dan membinasakan anak Adam,” terang Datuk. Malik Cina terdiam.

KOPI

Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.

“Minum, semuanya selamat,” suara Datuk tenang. Tanpa membuang masa saya terus minum kopi dan makan kuih jemput. Terasa cukup enak. Saya tidak pasti berapa banyak kuih jemput sudah masuk ke dalam perut.

Datuk tersenyum melihat kuih jemput yang kian berkurang di piring. Dan Datuk pura-pura batuk. Mengingatkan saya supaya jangan lahap sangat makan. Tetapi, Malik Cina terus juga menyuruh saya makan kuih jemput. Katanya, di dapur masih ada kuih jemput yang panas dan baru.

“Ahhhhhhh.”

Mendadak sahaja Datuk bersuara demikian. Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.

Datuk terus bangun. Cawan, teko dan piring di depan terus ditendang. Semuanya hancur berkecai. Saya terkejut, bila melihat anak perempuan Malik Cina berdiri depan kami. Matanya kelihatan merah dan rambutnya menggerbang.

Anak perempuan Malik Cina terus menyambar langsir tingkap. Kain langsir itu dikoyaknya hingga hancur. Ia bersedia untuk mengoyak baju dan kain yang dipakainya. Sebelum perkara itu dilakukan, Malik Cina segera menyerah seberkas akhbar lama padanya.

Akhbar lama itu terus dikoyak. Tidak sampai sepuluh minit, naskhah akhbar lama itu habis dicarik-carik dan bersepah atas lantai. Perlahan-lahan ia membuka sepuluh jarinya dan bersedia untuk mencakar muka Datuk. Sebelum bergerak ke arah Datuk. Ia membuka silat dan menyembah ke arah matahari.

Melihat keadaan yang agak cemas itu, saya terus melompat ke tanah untuk menyelamatkan diri. Saya mula menggigil ketakutan. Sesungguhnya, saya sendiri tidak sedar bagaimana saya boleh terjun dari rumah yang mempunyai tujuh anak tangga. Air kopi yang saya minum tadi terasa mahu keluar menerusi kemaluan saya.

Anehnya, dalam rasa takut itu timbul pula rasa berani dalam diri saya. Rasa ingin mengetahui apa yang terjadi mendorong saya berlindung di balik pohon bunga raya. Saya mengintai keadaan dalam rumah. Semuanya dapat saya lihat dengan jelas.

Malik Cina cuba memeluk tubuh anaknya. Tetapi, ia ditolak hingga terlentang. Isterinya cuba memegang tangan anaknya, ia juga ditendang hingga tersandar ke dinding. Anak Malik Cina terus menjerit, rambutnya yang terurai menutup sebahagian dan wajahnya. Ia melangkah ke arah Datuk.

Datuk masih lagi duduk di tempatnya. Tiba-tiba Datuk menepuk lantai dengan sekuat hati. Anak Malik Cina bagaikan terpaku di lantai. Tidak terdaya melangkah ke mana-mana. Tegak bagaikan patung. Datuk terus bangun melafazkan azan dengan suara yang amat lantang sekali. Seluruh penduduk kampung jadi gempar. Mereka dikejutkan dengan suara azan waktu pagi yang bening.

Selesai Datuk melafazkan azan. Datuk membaca ayat Kursi dengan kuat sekali. Belum pernah Datuk membaca ayat Kursi selantang itu. Bila pembacaan ayat suci itu berakhir, anak perempuan Malik Cina jatuh berdentum di lantai. Terkapar bagaikan mayat.

“Jangan sentuh tubuhnya.”

Suara Datuk meninggi. Isteri Malik Cina tidak jadi menyentuh tubuh anaknya. Dari kerutan wajahnya, ternyata perempuan yang berusia hampir lima puluh tahun itu, kurang senang dengan perintah Datuk.

Perempuan itu terus dipeluk rasa resah dan gelisah. Sesekali, ia meraba kelopak matanya yang terasa berair. Hatinya terasa amat sayu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih-lebih lagi melihat keadaan anak yang terlantar dengan keadaan pakaian yang tidak senonoh.

“Boleh saya selimutkan tubuhnya dengan kain, saya malu kalau ada orang yang datang dan nampak anak saya dalam keadaan begini,” rayu Malik Cina.

“Jangan, jangan disentuh dan jangan rapat dengannya.”

“Habis, awak mahu seksa anak saya begini,” jerit isteri Malik Cina.

“Kalau awak mahu saya selesaikan semuanya, ikut sahaja cakap saya, kalau awak tak setuju, saya tak marah,” Datuk renung muka Malik Cina.

SEPI

Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan. Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.

“Kami mahu awak meneruskan hingga berjaya,” Malik Cina membuat keputusan. Isterinya terus membatu. Biji matanya terus menjilat batang tubuh anaknya yang terkapar.

Melihat keadaan dalam rumah sudah tenteram. Saya keluar dari tempat persembunyian. Naik ke rumah dan duduk dekat Datuk.

“Kamu ke mana tadi Tamar?”

“Saya lari, saya takut.”

“Memanglah kamu ni pengecut,” suara Datuk serak. Ia telan air liur. Saya tersengih, tebal rasa kulit muka, bila disoal begitu di depanMalik Cina dan isterinya. Bagi menutup rasa malu itu, saya cuba tersenyum pada Malik Cina. Malangnya senyuman yang saya berikan tidak dibalas.

“Kali ni, kamu jangan lari ke mana-mana walau apa pun yang terjadi kau duduk di situ, hadap semua yang datang,” Datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya nampak serius. Sepasang tangannya terus memeluk tubuhnya kejap-kejap. Mata Datuk tertumpu ke arah permukaan tikar mengkuang yang terbentang. Kedua belah pipinya kelihatan kembung dan daun telinganya nampak tegak, macam telinga arnab.

Datuk angkat punggungnya perlahan-lahan. Kedua belah tangannya dibuka. Udara yang ada dalam mulutnya dihembuskan. Kedua belah pipinya yang kembung terus jadi kempis. Datuk meluruskan tubuhnya macam batang kayu.

Saya perhatikan gerak-geri Datuk dengan teliti. Di luar rumah, sinar matahari kian garang. Beberapa orang kampung yang terdengar jeritan anak Malik Cina segera menghampiri rumah. Kerana tidak ada sesiapa pun yang mempelawa mereka, mereka terus berdiri di hujung halaman rumah sambil memanjangkan leher. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi dalam rumah.

Rupanya, kedatangan orang-orang kampung itu, tidak menyenangkan hati Malik Cina. Ia minta kebenaran pada Datuk untuk menutupkan pintu dan tingkap. Permintaannya tidak diperkenankan oleh Datuk.

“Jangan pedulikan mereka, kau pergi carikan mayang pinang dan cendawan batang,” kata Datuk pada Malik Cina.

“Kamu pula carikan aku kain putih dan bunga cengkih,” Datuk renung muka isteri Malik Cina. Tanpa bersuara sepatah apa pun, pasangan suami isteri itu turun dan rumah.

Datuk meraba pangkal telinga kiri dengan tangan kanannya. Ia melangkah dua tapak ke depan. Urat-urat di batang lehernya nampak menonjol. Datuk memusingkan badannya ke kanan dengan kaki kanannya terangkat dan badannya dibengkokkan sedikit. Kedua belah tangannya kelihatan bergerak lembut, macam mengikut irama muzik.

Sekali pandang, gerakan yang Datuk lakukan itu macam orang mahu memulakan Tarian Inang Pulau Kampai. Saya terasa geli hati.

“Kamu tunggu budak perempuan ni,” suara Datuk keras serentak dengan itu ia menghentakkan kakinya ke lantai rumah. Saya terpinga-pinga. Amat berat rasanya untuk memenuhi permintaannya.

Belum pun sempat saya menyampaikan bantahan pada nya. Datuk sudah meninggalkan saya sendirian. Ia melangkah tenang menuju ke halaman rumah dalam sinar matahari yang keras. Bayang tubuh Datuk nampak memanjang di tanah.

Bila Datuk hampir ke hujung halaman tempat orang-orang kampung berdiri, Datuk pusingkan lehernya ke kanan. Tiba-tiba, orang-orang yang berdiri di situ lari lintang-pukang tidak tentu arah, macam terpandangkan sesuatu yang amat menakutkan.

“Datuk.”

Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah Datuk berubah, jadi macam muka harimau yang amat menakutkan. Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat-saat demikian, supaya Datuk jangan datang ke rumah.

Doa saya diperkenankan oleh Allah, Datuk tidak memandang ke arah saya. Ia meneruskan perjalanannya dalam panas terik membelah hutan kecil di hujung halaman. Orang-orang yang lari tadi menyampaikan berita pada kawan-kawan tentang keanehan yang terjadi pada Datuk. Seluruh kampung jadi gempar.

Tidak sampai satu jam, cerita manusia berkepala harimau hauskan darah merebak ke seluruh kampung. Halaman rumah dan kaki tangga rumah Malik Cina mula dikerumuni oleh orang-orang kampung, mereka membawa parang, lembing serta senapang kampung berlaras satu. Mereka mahu menangkap manusia berkepala harimau.

“Eh, budak! Mana dia Malik Cina?” Salah seorang dari orang yang berada di kaki tangga mengajukan pertanyaan pada saya.

“Dia keluar cari ubat anaknya,” jawab saya.

“Bininya ke mana?”

“Cari ubat juga.”

“Orang tua yang baru datang tu ke mana perginya?”

“Keluar.”

“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.

Saya yakin, kalau orang-orang naik ke rumah dan menjentik hidung saya. Tentu saya mati kelemasan, jumlah mereka bukan sedikit. Inilah, saat yang paling genting dalam hidup saya. Pada siapa mahu saya sampaikan rasa cemas dan takut ini?

TAKUT

Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya. Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh Datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.

“Eh Malik ke mana orang tua itu kamu sembunyikan, dia bawa bencana,” tanya seorang penduduk pada Malik Cina.

“Aku tak sembunyikan dia, masa aku keluar rumah tadi, dia ada di sini?” tingkah Malik Cina.

“Kau tahu tak apa yang sudah terjadi?”

“Aku tak tahu.”

“Kami mahu tangkap dia, kalau dibiarkan seluruh kampung jadi huru-hara, dia tu bukan manusia, aku tengok badannya sahaja serupa kita tetapi, kepalanya tak serupa kita, dia berkepalakan harimau,” sambung orang itu bersungguh-sungguh. Air liurnya bersemburan.

Malik Cina dan isterinya berpandangan sama sendiri, Orang yang berkumpul terus membisu. Seluruh wajah mereka kelihatan cemas. Tetapi, biji mata mereka tertumpu ke arah saya. Mereka bagaikan mahu mematahkan seluruh tulang temulang di anggota tubuh saya.

“Kamu cari aku, aku datang,” saya terdengar suara Datuk dari arah belakang kumpulan orang kampung. Semu orang yang berkumpul kelihatan terkejut. Beberapa orang dari mereka terus merendahkan badan dan menyusup di bawah rumah, kemudian terus menghilangkan diri. Saya kembali bersemangat. Muka orang yang berdiri di halaman, saya renung satu-persatu.

Saya lihat Datuk melangkah dengan gagahnya sambil membibit baldi yang berisi air. Dua orang cuba menghalang perjalanan Datuk. Tetapi, usaha mereka gagal. Bila Datuk berdehem, kedua-dua orang yang menahan Datuk itu terus terjatuh, seolah-olah tulang kaki mereka tidak berguna sama sekali.

Anehnya, bila Datuk meninggalkan mereka dalam jarak sepuluh langkah, mereka dapat bangun kembali, Tetapi, mereka terlupa dengan apa yang mereka alami. Datuk terus merempuh barisan orang ramai itu. Bila sampai di kaki tangga, Datuk terus berdiri di situ. Baldi yang berisi air diletakkan di sebelah kanannya.

Saya berharap Datuk tidak akan bertindak yang boleh menimbulkan seribu ketegangan dan haru-biru. Isteri Malik Cina terus menangis tersedu-sedu.

“Apa yang kamu mahu?” Tanya Datuk pada orang ramai.

“Kamu tukang sihir dan kami mahu menghukum kamu,” jawab seorang lelaki. Badannya cukup tegak. Besar dan nampak gagah.

“Kenapa kamu cakap macam tu?” Soal Datuk lagi.

“Tadi, kami nampak kepala kamu bertukar jadi kepala harimau.”

“Itu tandanya kamu tidak ikhlas, kamu mahu menganiayai aku, kalau kamu jujur, kamu tak nampak semuanya itu.”

“Kamu berdalih.”

“Siapa yang berdalih, kamu atau aku cakap dengan jujur?” pekik Datuk lalu menghentakkan kakinya ke mata anak tangga.

Orang itu terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci. Datuk membaca sesuatu sambil melipatkan ibu jari kanannya dan jari kelengkengnya menekan ibu jari tersebut. Saya tahu, selagi Datuk tidak menegakkan ibu jarinya, orang itu tidak kan boleh berkata-kata walau sepatah pun.

“Cakap dengan jujur,” ujar Datuk. Ibu jari dan jari kelengkengnya ditegakkan. Muka orang itu berpeluh. Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.

“Ya, saya mengaku, saya mahu menggunakan ilmu sihir saya yang boleh melumpuhkan seluruh badan awak,” orang itu memberikan pengakuan. Datuk tersenyum.

“Sekarang kamu dah mengaku, apa yang kamu mahu dari aku, kamu mahu bersahabat atau untuk menjadi lawan,” Datuk renung muka orang itu.

“Aku mahu bersahabat.”

“Kalau mahu bersahabat, pulanglah ke rumah. Aku tahu, kamu tak suka orang mengubat anak Malik Cina, kau suka perempuan itu menjerit dan koyak kain, kemudian kau tumpangkan ilmu salah kamu. Aku tahu, kamu yang suruh orang-orang mengerumuni anak Malik Cina. Betul atau tidak?”

“Betul.”

“Kenapa kamu buat macam tu.”

“Saya sebenarnya sedang menuntut ilmu terlentang ke langit anak Malik Cina yang sakit ini mahu saya jadikan ujian.”

“Sudahlah, berhentikan perbuatan itu. Pulanglah ke rumah dan bertaubat, biar aku uruskan anak Malik Cina,” suara Datuk keras.

Orang itu tundukkan kepalanya. Tanpa mengucapkan sesuatu ia meninggalkan rumah Malik Cina. Kawan kawannya yang lain menurut jejak langkahnya. Datuk menyorot langkah mereka hingga keluar dari kawasan halaman rumah Malik Cina.

Datuk terus duduk dekat anak Malik Cina. Ia minta barang,, barang yang dipesan dari Malik Cina isterinya. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam baldi yang berisi air kecuali kain putih.

“Ikatkan kain putih itu pada buku lali anak kamu,” kata Datuk pada isteri Malik Cina. Perintah itu segera dipatuhi.

“Ini usaha terakhir, aku hanya menjalankan ikhtiar. Allah yang akan menentukan untuk menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Cara ini tidak sesuai dengan perubatan moden tetapi inilah ikhtiar yang terdaya aku lakukan,” sambung Datuk lagi dengan tenang.

Datuk tarik baldi ke depannya. Ia memperkemaskan silanya. Kedua belah lengan bajunya dilipat separas siku. Datuk terus membaca Al-Fatihah seribu kali. Bila sudah selesai, Datuk berdiri di muka pintu.

Datuk melihat matahari yang memancar garang dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan. Mulutnya telap bergerak. Entah apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Sekarang usung anak kamu ke tengah laman rumah, biarkan ia di situ,” beritahu Datuk pada Malik Cina. Anak perempuan Malik Cina segera diusung. Saya hanya memegang bahagian buah betis dengan perasaan bimbang. Saya takut, ketika diusung nanti, anak perempuan Malik Cina tersedar dari pengsan dan terus menendang saya.

Syukur, apa yang saya bimbangkan tidak berlaku. Anak Malik Cina diletakkan di tengah halaman dalam sinaran matahari yang amat garang. Datuk terus membimbit baldi ke halaman rumah. Tanpa menegur Malik Cina dan saya, Datuk terus menjirus air dalam baldi ke tubuh anak Malik Cina.

Anak Malik Cina tersedar dari pengsan. Saya merasa terkejut air yang membasahi tubuhnya kering dengan serta-merta. Kain dan baju terus kering.

“Pergi ambil kain, balutkan tubuhnya, ia sejuk tu,” Datuk menujukan kata-kata itu untuk isteri Malik Cina. Isteri Malik Cina masuk ke rumah dan keluar dengan sehelai batik jawa. Tubuh anaknya segera dibalutkan dengan kain tersebut.

“Bangun nak,” kata Datuk. Anak Malik Cina terus bangun. Ia duduk mencangkung. Matanya merenung ke arah Datuk. Cahaya matanya cukup lembut.

“Kenapa saya ni,” tanyanya tersipu-sipu.

“Kau tak ada apa-apa, baliklah ke rumah.”

“Ya saya nak balik.”

MANDI

Anak Malik Cina terus menuju ke rumah. Kami mengekorinya dengan hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya bekali.

“Kamu layan karenahnya, jangan dimarahi, sebaiknya kau beri hatinya gembira hingga ia percaya pada diri sendiri. Dalam tempoh dua tiga hari ni, ia akan menghadapi tekanan perasaan yang hebat, susah untuknya membuang kebiasaan yang dialami masa ia sakit dulu,” Datuk mengingatkan Malik Cina. Malik Cina anggukkan kepala.

“Aku terpaksa duduk di rumah kamu dua hari lagi, bila anak kamu sudah sihat dan pulih, aku pergi,” Datuk renung muka Malik Cina.

“Itulah yang aku harapkan,” Malik Cina keriangan. Tetapi saya kurang senang mendengar kata-kata itu. Duduk di rumah memang membosankan. Apakan daya, kata-kata Datuk tidak boleh di bantah.

Selama tiga hari berikutnya, Datuk terus berikhtiar memulihkan sisa sakit yang dideritai oleh anak Malik Cina. Setiap pagi dan petang anak Malik Cina disuruh minum segelas air sejuk yang sudah dibacakan dengan Bismilah seratus kali.

Matahari pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.

Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.

Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.

Datuk berhenti melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang Datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang Datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.

Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, Datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak Datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian Datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu Datuk ramas dan Datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.

Semua gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, Datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.

Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana Datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang Datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.

Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh Datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang Datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri Datuk.

Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.

Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.

“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”

Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk berbayang yang panjang di bumi.

Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan berbayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.

“Datuk kamu ke mana Tamar?”

Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwarna putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya berserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.

“Itu dia”

Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah Datuk. Mereka berbalas senyum.Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.

“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah Datuk. Biji mata saya juga tertikam ke muka Datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.

“Bersenam,” suara Datuk lembut.

“Dab tua-tua mahu jaga badan.”

“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”

“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.

Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

“Macam mana anak kamu Malik?”

“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”

“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”

“Saya juga harap begitu.” Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.

“Ke mari kamu,” Datuk renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.

“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.

“Ini pun sudah cukup baik,” kata Datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.

Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa Datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, Datuk memperlihatkan perkara yang ganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan Datuk. Saya menjeling ke arah Datuk.

“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” Datuk membuka rahsia.

“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.

“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanamkan dan membinasakan anak Adam,” terang Datuk. Malik Cina terdiam.

Tamat siri 76/284

BACA: SBDJ Siri 75: Telan Darah Dan Nanah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Apabila anda fikir tentang pemain bola sepak terkaya dunia, minda anda serta-merta tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar – bukan seorang remaja dalam barisan simpanan Leicester City.

Pemain Bola Sepak Terkaya

Dia adalah Faiq Bolkiah, dilahirkan pada 9 Mei 1998, anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$20 bilion, menurut laporan akhbar Britain, Metro.

Pemain sayap Foxes berbakat itu bermain di England agak lama, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai remaja.

Pada 2009, Southampton menambah Faiq ke akademi mereka yang sering diperkatakan.

Biarpun tidak diajukan sebarang kontrak, Arsenal menawarkan putera Brunei itu menjalani ujian bersama mereka pada 2013.

Faiq beraksi dengan Gunners dalam Piala Lion City 2013 dan menjaringkan satu gol dalam pertandingan itu.

Menyedari kemampuannya, Chelsea menawarkannya kontrak dua tahun yang terus ditandatanganinya namun selepas hanya setahun, Faiq keluar untuk menyertai Leicester dengan kontrak tiga tahun, sehingga 30 Jun 2019.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan Brunei dan telah mewakili negaranya sembilan kali dan menjaringkan satu gol.

Untuk menjelaskan kekayaan Faiq, anda perlu melihat bapanya Jefri.

Adik Sultan Brunei itu dilaporkan membelanjakan secara kasarnya 10 bilion pound dalam masa 15 tahun sebagai ketua agensi Brunei Investment.

Dan, pada suatu ketika, Jefri terang-terangan membelanjakan 35 juta pound sebulan untuk kereta, jam tangan dan pena emas putih.

Bapa pemain sayap Leciester itu juga dipercayai memiliki hingga 2,300 kereta termasuk Bentley, Ferrari dan Rolls-Royce.

Malah, apabila Jefri meraikan hari jadi ke-50, dia menerbangkan Michael Jackson untuk datang dan mengadakan sebuah konsert peribadi.

Selain membina sebuah stadium khusus bagi acara itu, dia membayar Raja Pop itu, £12.5 juta (RM67.79 juta).

Dengan semua kekayaannya, ramai mungkin tertanya-tanya mengapa Faiq sanggup bermain bola sepak lagi?

Dalam satu temu bual yang jarang diperoleh, Faiq mendedahkan, “Saya telah bermain bola sepak seawal yang saya boleh ingat dan sejak usia muda, saya sentiasa seronok keluar ke padang dan ada bola di kaki saya.

“Ibu bapa sentiasa menyokong dan membantu saya mencapai impian untuk menjadi seorang pemain bola sepak.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Kenapa Kita Di Larang Mendedahkan Dosa Sendiri?

Kenapa Kita Di Larang Mendedahkan Dosa Sendiri?

Media sosial adakalanya dipenuhi berita aib, antaranya kerana ramai yang secara sengaja mengaku perbuatan dosa sendiri tanpa sedikit pun menyedari bahawa pengakuan sebegitu sebenarnya tidak dibenarkan di dalam Islam.

Menutup Aib

Baca perkongsian dari Dr Ahmad Sanusi Azmi di fbnya mengapa bahaya mendedahkan dosa sendiri. Moga kita mendapat perkongsian bermanfaat ini.

Bahaya Mendedahkan Dosa Sendiri

1. Allah Telah Menutup Aib Kita

Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan.

Sabda Rasulullah SAW.

“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut.

Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang dia lakukan pada malam hari, namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya.” (HR al-Bukhari)

2. Hilang Rasa Malu

Hari ini umat ditimpa penyakit. Mereka merasa bangga dengan dosa. Bahkan mereka menayangkan pula gambar-gambar tidak menutup aurat atau merakamkan pula pengakuan maksiat yang dilakukan di media sosial.

Sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosanya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad)

3. Jangan Bangga Dengan Dosa

Bahkan seorang mukmin itu amat malu dan takut dengan dosanya. Mukmin menganggap dosa mereka seperti gunung yang akan menimpanya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti dia sedang duduk di bawah bukit dan bimbang bukit (dosa) itu akan menimpanya sedangkan orang yang fajir (fasiq) itu melihat dosanya hanya seperti lalat di atas hidungnya.” (HR al-Bukhari)

Dosa umpama buih di lautan. Bertaubatlah jika pernah melakukannya dan jangan bangga mengulanginya.

4. Malu Menayangkan Dosa

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa seorang mukmin itu sepatutnya sangat malu untuk menayangkan perlakuan dosa mereka.

Sabda Rasulullah SAW, “Dosa itu adalah apa yang tidak enak dihatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim)

5. Menjual Dosa Untuk Dunia

Hari ini sifat malu telah semakin pupus, sehinggakan seorang muslim itu sudah tidak merasa segan lagi untuk berkongsi perlakuan dosa, malah melakukannya atas kepentingan peribadi.

Moga Allah membimbing kita.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Dalil Qurban 1 Ekor Lembu Untuk 7 Orang Dan 1 Ekor Unta Untuk 10 Orang

Dalil Qurban 1 Ekor Lembu Untuk 7 Orang Dan 1 Ekor Unta Untuk 10 Orang

Saya ada satu pertanyaan berkenaan ibadah korban (qurban) kerana ada seorang ustaz memberikan fatwa, "Berqurban 1 (satu) ekor lembu tidak harus 7 (tujuh) orang, tetapi dapat juga untuk 9 (sembilan), 14 (empat belas) atau 21 (dua puluh satu) orang sesuai kesepakatan dan kesanggupan bersama, dengan tujuan agar ramai orang dapat ikut berqurban."

Dalil Qurban

Beliau beralasan perkara ini sesuai dengan hadis Nabi SAW dari Aisyah r.a., bahawa beliau menyembelih dua ekor haiwan qurban, satu untuk umatnya yang mengucapkan dua kalimah syahadah, dan satu lagi untuk Muhammad SAW dan keluarganya.

Sebelum kami jelaskan, terlebih dahulu kami kutip hadis-hadis mengenai ibadah qurban yang ada kaitannya dengan ibadah ini.

“Diriwayatkan dari Jabir ibn Abdullah, ia berkata: Kami menyembelih haiwan qurban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah seekor unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang.” [Ditakhrijkan oleh Muslim, Kitab al-Hajj, No. 350/1318:602].

“Diriwayatkan dari Jabir ia berkata: Rasulullah SAW menyembelih haiwan qurban untuk Aisyah seekor lembu pada hari nahar.” [Ditakhrijkan oleh Muslim, Kitab al-Hajj, No. 356/1319:603].

"Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, kemudian datanglah hari raya Adha, lalu kami bersama-sama menyembelih lembu untuk tujuh orang dan unta untuk sepuluh orang.” [Ditakhrijkan oleh at-Turmudzi dan an-Nasa’i].

“Diriwayatkan dari Aisyah r.a., Nabi SAW memerintahkan mengambil domba (kambing) yang tanduknya menjulang tinggi, kakinya hitam, perutmya hitam dan matanya hitam, kemudian didatangkan domba tersebut kepada beliau untuk diqurbankan, lalu beliau berkata kepada Aisyah r.a.: Hai Aisyah, ambilkan pisau, lalu berkata, asahlah pisau itu dengan batu asah, lalu Aisyah mengerjakannya, kemudian beliau mengambilnya dan mengambil domba, lalu beliau menelentangkan domba tersebut lalu menyembelihnya, kemudian bersabda: Dengan atas nama Allah, Ya Allah terimalah qurban ini dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad.” [Ditakhrijkan oleh Muslim; as-Shan’aniy, IV: 90].

Penjelasan:

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir (1), menjelaskan bahawa Nabi SAW bersama sahabat menyembelih haiwan qurban; satu unta untuk tujuh orang dan satu lembu untuk tujuh orang.

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir juga (2), menjelaskan bahawa Nabi SAW menyembelih haiwan qurban untuk Aisyah satu ekor lembu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas (3), menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersama sahabat menyembelih haiwan qurban; satu ekor lembu untuk tujuh orang dan satu ekor unta untuk sepuluh orang.

Dari tiga hadis tersebut di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa, satu lembu boleh diqurbankan untuk satu orang dan maksimum untuk tujuh orang, sedangkan seekor unta boleh untuk satu orang dan naksimum sepuluh orang, dengan melihat keadaan haiwan tersebut.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. (4), menjelaskan bahawa seekor domba (kambing) hanya untuk satu orang.

Doa Rasulullah SAW yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah bererti bahawa satu ekor domba atau satu ekor lembu atau unta boleh untuk ramai orang.

Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah Nabi bagi seluruh umat, maka wajarlah beliau berdoa untuk umatnya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: sangpencerah

Thursday, June 20, 2019

SBDJ Siri 75: Telan Darah Dan Nanah

SBDJ Siri 75: Telan Darah Dan Nanah

Datuk terus batuk di depannya. Perempuan cantik itu berhenti mengoyak-ngoyakkan kertas. Matanya merenung muka Datuk. Matanya kelihatan bersinar-sinar. “Siapa nama kamu,” tanya Datuk. Perempuan cantik terus membisu. Orang yang ada di situ terus mengetawakan Datuk.

Toyol jadi-jadian

Mereka mengira perbuatan Datuk itu, satu perbuatan yang bodoh kerana bercakap dengan orang gila. Saya lihat air muka Datuk berubah. Tanpa diduga perempuan cantik itu terus menampar muka Datuk.

Suara ketawa dari orang-orang yang mengelilingi perempuan cantik kian kuat. Muka Datuk jadi merah, saya kira Datuk terasa malu. Perempuan cantik itu terus meludah muka Datuk.

Saya lihat Datuk menggigit bibir. Saya mula cemas, bila kedua-dua belah daun telinga Datuk bergerak-gerak. Saya tahu bila daun telinga Datuk bergerak, ertinya dia sudah berada dalam tahap kemarahan yang amat hebat. Orang-orang yang ada di situ terus mengetawakan Datuk.

Beberapa orang pemuda yang kurang ajar mengeboo-boo diri Datuk. Datuk toleh kiri, toleh kanan. Dia sudah dapat mengawal rasa marahnya.

“Eh, syaitan, kamu buat apaaa...,” pekik Datuk sekuat hati.

Suaranya dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Orang yang mengetawakan dirinya terkejut dan ada yang bertempiaran lari tidak tentu hala. Dalam sekelip mata sahaja Datuk sudah berdiri sambil mencekak pinggang.

Perempuan cantik, anak Malik Cina jatuh terlentang dan terus pengsan. Terkapar di perdu manggis macam mayat. Orang yang berkumpul terus hilang entah ke mana. Datuk masih lagi berdiri, Malik Cina dan isterinya tergamam, tidak berkata sepatah apa pun, macam orang kena pukau.

“Anak kamu disihir, bawa dia ke tempatnya, jangan dirantai kakinya,” ujar Datuk pada Malik Cina. Tanpa membuang masa sepasang suami isteri itu mengusung anak kesayangan mereka ke bilik khas.

Ketika tubuh perempuan cantik itu diusung, di kaki langit mula kelihatan awan kemerah-merahan. Sebentar lagi, matahari akan menyelesaikan tugasnya.

Datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk minta segelas air dan tujuh biji beras dari Malik Cina. Barang yang diminta itu segera diadakan. Datuk masukkan tujuh biji beras ke dalam gelas yang berair. Datuk membaca sesuatu pada air tersebut.

“Sapukan air ini ke mukanya, dan separuh lagi beri dia minum, kalau ada lebih lagi, sapukan pada pergelangan tangan dan kakinya,” Datuk menyerahkan gelas berisi air dan tujuh biji beras pada Malik Cina. Malik Cina pun membawa gelas itu ke bilik anaknya.

Saya pun menyandarkan badan ke dinding sambil memicit jejari di kaki. Datuk meluruskan kedua belah tangan lantas diletakkan atas sepasang kepala lututnya. Mata Datuk terus menikam tikar mengkuang yang terbentang menutup lantai.

Sinar matahari yang lembut menjalani lantai rumah. Angin pun menghantar rasa dingin. Tetapi, hati saya masih panas dengan sikap orang-orang kampung yang mengejek-ejek Datuk. Tidak ada budi bahasa, tidak ada timbang rasa.

Mereka mencari kepuasan dan hiburan dari penderitaan orang lain. Mereka ketawa melihat anak perempuan Malik Cina yang suka mengoyakkan kain dan kertas. Mereka ketawa, bila anak perempuan Malik Cina menampar muka Datuk. Mulut mereka melahirkan rasa simpati sedangkan hati tidak begitu.

Semua persoalan itu berlegar-legar dalam tempurung kepala saya. Bibir terus saya gigit. Datuk masih lagi tunduk merenung lantai. Saya alihkan pandangan ke halaman rumah Malik Cina yang bersih. Angin lembut terasa menampar wajah.

Datuk batuk, bagaikan kilat saya merenung ke arahnya. Saya lihat Datuk masih lagi tunduk dengan sepasang tangan berada atas tempurung lutut. Saya mula bosan berhadapan dengan suasana begini. Terasa jemu tidak menentu.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Apa yang kau fikirkan.”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Betul, kau tak fikir apa-apa?”

“Betul tuk.”

Datuk terus menegakkan badannya. Lengan yang berada atas tempurung lutut berubah tempat. Kedua belah telapak tangan Datuk menekan tikar mengkuang. Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang aman sekali. Wajahnya kelihatan tenang dan damai.

Saya segera mendekati Datuk. Saya berharap dalam keadaan yang bosan dan menjemukan itu, Datuk mahu bercakap-cakap atau bercerita apa sahaja.

Kalau Datuk meluahkan nasihat. Saya sanggup menerimanya. Andainya, Datuk menceritakan tentang zaman kanak-kanak hingga ke zaman remaja, saya sanggup mendengarnya. Asalkan rasa jemu dan bosan hilang dari hati.

Datuk jeling saya bersama senyum nipis. Bahu saya ditepuknya. Datuk bersedia untuk mengungkapkan sesuatu.

Mulutnya nampak seakan-akan bergerak-gerak. Saya kesal, gerakan bibirnya tidak mengeluarkan suara. Diganggu oleh jeritan yang memanjang dan nyaring.

“Dia menjerit lagi,” kata Datuk dengan wajah yang resah. Saya terdengar bunyi keras dan kain dikoyak berturut-turut. Datuk segera berdiri. Malik Cina keluar dari bilik khas anaknya menemui Datuk.

“Dia mengamuk lagi, dia menendang emaknya dan mengoyakkan kain gebar dan cadar katil,” beritahu Malik Cina sambil menelan air liur. Keresahan dan kebimbangan jelas terpamer di mukanya. Malik Cina tidak tentu arah. Sekejap garu batang leher, sekejap garu telinga capangnya.

“Apa yang mesti saya buat? Bagaimana kalau kakinya saya rantaikan semula,” Malik Cina renung muka saya dan saya hadiahkan senyum untuknya.

Suara jeritan kian lantang diikuti dengan bunyi tapak kaki orang berlari. Terdengar bunyi kaca pecah berderai. Dinding rumah terus ditendang bertalu-talu. Malik Cina memulakan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya. Datuk terus memegang tangan kirinya.

Malik Cina agak terkejut, bibir bawahnya yang tebal nampak bergerak. Keningnya agak terangkat sedikit. Suara jeritan anak perempuannya terus menguasai kampung.

“Jangan rantai dia,” kata Datuk.

“Bagaimana, kalau dia lari dari rumah dan mengacau orang kampung?”

“Bersabar, sekejap lagi dia berhenti, air yang aku berikan tadi, ada lagi atau dah habis?”

“Air tadi, dah habis.”

“Tak apa, ambil air lain, cepat sikit,” desak Datuk. Malik Cina anggukkan kepala.

Datuk terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Kemudian melangkah dengan tenang di ruang anjung. Kedua belah tangannya disilangkan ke belakang. Datuk sedang memikirkan sesuatu. Malik Cina segera meninggalkan kami menuju ke ruang dapur.

Setelah puas bergerak ke sana ke sini, Datuk terus duduk bersila sambil sandarkan badan ke dinding. Lutut kanan didirikan dan dahinya terus bertemu dengan tempurung lutut Saya kurang senang melihat Datuk dalam keadaan demikian. Saya segera menghampirinya.

“Ada apa-apa masalah tuk?”

“Tak ada apa-apa, kalau ada pun kau tak boleh menolongnya,” jawab Datuk tanpa memandang wajah saya. Datuk menyindir saya. Tetapi, saya masih tersenyum. Suara jeritan anak Malik Cina terus berlanjutan. Beberapa orang jiran tetangga mula datang.

“Kurang elok kalau ramai sangat jiran-jiran datang,” rungut Datuk sambil menjatuhkan lutut kanannya. Matanya tertumpu pada wajah saya yang tidak dapat menangkap maksud dari kata-katanya itu.

“Boleh mengganggu kerja aku, lagipun yang datang ni cuma nak tengok, kemudian jadikan bahan cerita pada orang lain yang tak sempat datang,” tambah Datuk lagi. Saya lihat buah halkum di batang lehernya bergerak-gerak, bila Datuk menelan air liur.

Malik Cina datang. Segelas air sejuk diserahkan pad Datuk. Saya lihat Datuk memperhatikan air dalam gelas dengan teliti. Malik terus duduk bersila di depan Datuk. Perlahan-lahan Datuk menjentik lantai tiga kali berturut-turut. Suara jeritan anak Malik Cina beransur kurang dan lemah akhirnya hilang terus.

Dengan wajah yang tenang Datuk mendekatkan gelas berisi air sejuk ke bibir. Saya lihat bibir Datuk bergerak agak perlahan-lahan sekali. Dari gerak bibirnya itu, saya dapat meneka bahawa Datuk sedang membaca Fatihah dengan khusyuk sekali. Malik Cina hanya melihat semua gerak-geri Datuk dengan teliti.

KELAM

Saya renung ke halaman rumah. Keadaan hari sudah beransur kelam. Tetapi, langit dan awan kelihatan cerah sekali. Angin tidak sekencang tadi bertiup.

Beberapa orang jiran tetangga mula meninggalkan rumah Malik Cina. Mereka agak kecewa kerana tidak dapat menyaksikan kelakuan aneh Malik Cina.

“Sudah tak menjerit lagi?” Bisik saya pada Malik Cina. Tidak ada jawapan yang saya terima tetapi, ekor mata Datuk menikam ke wajah saya. Dia dengar dengan jelas apa yang saya bisikkan pada Malik Cina. Anak telinga Datuk cukup tajam.

“Agaknya, dia dah letih,” kata Datuk. Saya dan Malik Cina segera merenung ke arah Datuk. Dan tanpa membuang masa, Datuk terus menyerahkan gelas berisi air sejuk pada Malik Cina. Air dalam gelas kelihatan bergerak serta berkocak kecil tetapi gelas bertukar tangan dari Datuk ke Malik Cina.

“Lagi apa yang mesti saya buat?”

“Buat macam air pertama yang aku berikan pada kamu tadi.”

“Saya ingat”

“Bagus, aku ingatkan lagi sekali, air pertama untuk basuh muka, untuk minum, sapu pergelangan tangan dan kaki tetapi, air ini ditambahkan sedikit caranya iaitu menyapu pangkal dagunya,” Datuk mengulanginya dengan harapan Malik Cina tidak akan melakukan kesilapan.

“Baik-baik air tu berkocak,” saya terus menudingkan jari telunjuk ke arah gelas yang ditatang oleh Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memperlahankan langkah dan mengurangkan goyang tangan hingga air dalam gelas tidak berkocak dan meleleh di bibir gelas. Malik Cina meneruskan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya.

“Dengan izin Allah penyakitnya hilang,” suara Datuk lembut dan ditujukan pada saya. Sebagai jawapan, saya anggukkan kepala dengan harapan apa yang diingini oleh Datuk bakal menjadi kenyataan.

Datuk terus merenung ke halaman Datuk. Dahi luasnya dikerutkan. Datuk menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan hingga rasa lenguh terus hilang. Datuk menggeliat.

“Waktu Maghrib dah nak masuk Tamar,”

“Ya, kita nak sembahyang di rumah atau di masjid tuk?”

“Aku fikir berjemaah lebih baik, pahalanya lebih, jum kita ke masjid”

“Saya mengikut saja.”

Datuk membetulkan baju yang dipakai. Meraba kaki seluar dan membetulkan letak songkok. Kain pelekat yang tersangkut di bahu Datuk raba dua tiga kali. Saya menarik nafas terhibur mendengar kicau burung yang terbang pulang sarang.

Malik Cina mendekati Datuk. Saya lihat pakaian Malik Cina agak kemas. Rasa cemas tidak terpamer di wajahnya. Sesekali ia melepaskan senyum bila terpandangkan diri saya yang merenung ke arah dedahan pokok di halaman, tempat murai dan merbah melompat.

“Aku nak ke masjid Malik.”

“Kenapa tak sembahyang di sini?”

“Biarlah aku berjemaah, dapat juga aku berkenalan dengan orang-orang di sini,” Datuk meraba misai nipisnya dengan jari telunjuk. Malik Cina termenung sejenak. Ada sesuatu yang di fikirkannya.

“Bagaimana dengan anak kamu” Malik Cina bagaikan tersentak mendengar pertanyaan dari Datuk. Ia terus menggigit kuku di ibu jari kanan.

“Nampaknya dia letih dan terus tidur.”

“Bagus tapi jangan biarkan dia tidur senja, bila kau dengar suara azan, kau kejutkan dari tidur, kalau dia melawan atau mahu menjerit simbahkan air yang aku berikan pada kamu ke mukanya.”

“Tapi,” Malik Cina berhenti bercakap.

“Apa lagi Malik?”

“Siapa yang nak buat semuanya tu.”

“Kamulah, siapa lagi,” nada suara Datuk meninggi.

“Saya nak ikut berjemaah ke masjid.”

“Tak payah, kau sembahyang di rumah, jaga anak kamu. Kalau kamu mahu dia elok,” Datuk jegilkan biji mata. Mukanya nampak merah.

Malik Cina tidak berkata apa-apa. Akhirnya, anggukkan kepala. Setuju dengan cadangan Datuk. Mereka berbalas senyum penuh mesra.

TINGGAL

Malik Cina kami tinggalkan. Sampai di masjid Datuk terus bersalaman dengan para jemaah yang lain. Mereka melayani Datuk dan saya penuh mesra. Bila sampai waktu Maghrib, beduk ke kepala tangga masjid pun dipukul orang bertalu-talu.

“Boleh cucu saya mulakan azan,” begitu sopan Datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang memakai serban, menyimpan janggut yang sudah putih.

Terasa sedikit kesal di hati saya atas sikap Datuk. Hatinya mahu berbudi tetapi diri saya yang jadi sasaran. Kenapa dia sendiri tidak mahu mengeluarkan suara untuk berazan? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Silakan, cara kebetulan pula bilal masjid tak datang, tak payahlah saya cari orang lain,” sahut orang itu. Datuk pun menolak saya ke arah lelaki tua tersebut. Dan akhirnya saya mendapat tahu bahawa orang tua itu adalah imam besar masjid tersebut.

“Silakan,” ucap lelaki tua itu.

“Jangan segan-segan Tamar, mulakan,” tingkah Datuk.

Saya tidak ada pilihan. Dengan keyakinan pada diri sendiri, saya terus melaungkan azan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan orang-orang di situ terhadap suara saya.

Apakah mereka menganggap suara saya baik atau sebaliknya? Apakah mereka merasakan laungan azan saya macam orang baru belajar. Sesungguhnya saya tidak tahu. Hanyalah Allah sahaja yang mengetahui hati mereka.

“Boleh tahan juga suara cucu awak,” puji imam. Saya lihat Datuk tersengih. Matanya merenung ke arah saya dengan penuh rasa bangga. Saya kira Datuk sengaja melakukan perkara tersebut.

Dia mahu menguji diri saya. Apakah saya mengalami perasaan darah gemuruh bila disuruh melakukan azan di tempat lain. Ternyata saya lulus dalam ujian.

Saya kira Datuk tentu gembira. Pasti bila pulang nanti Datuk akan menceritakan kemampuan diri saya pada nenek. Saya juga berharap ujian yang baru dilalui akan juga jadi pembuka hati pada Datuk untuk mencurahkan serba sedikit ilmunya pada saya.

Mungkin esok, mungkin bulan depan atau tahun depan Datuk akan menurunkan petua dan pengetahuan tradisional pada saya. Timbul harapan yang berbunga dalam diri.

Selepas menunaikan fardu Maghrib, Datuk terus berborak dengan imam. Mereka berhenti berborak ketika masuk waktu Isyak. Dalam waktu yang amat singkat itu, Datuk memperoleh beberapa orang kenalan baru yang sehaluan.

Kawan-kawan baru Datuk itu terus membuat ramalan kedatangannya ke kampung tersebut untuk mengubatkan gadis Malik Cina. Datuk cuma tersenyum sahaja dan Datuk memberitahu mereka Malik Cina adalah kawan lamanya.

Kunjungannya adalah kunjungan seorang sahabat. Tidak lebih dari itu dan tidak ada kena mengena untuk mengubat anak gadis Malik Cina.

“Saya bukan bomoh,” kata Datuk.

“Agaknya awak pawang,” celah seorang.

“Tidak.”

“Agaknya dukun,” sahut satu suara.

“Dukun, pawang, bomoh adalah sama tetapi, saya bukan dari golongan itu, saya adalah hamba Allah macam awak semua, tidak ada yang istimewa pada diri saya, kenapa tuan mahu bertanya sesuatu yang bukan pada tempatnya,” begitu lantang suara Datuk.

Kata-kata Datuk itu dapat diterima oleh mereka. Tidak ada pertanyaan yang diajukan pada Datuk dan saya tidak lagi jadi perhatian mereka.

Kami sampai ke rumah Malik Cina kira-kira pukul sembilan lebih. Malik Cina menyambut kami di muka pintu. Senyumnya tetap bermain di bibir. Malik Cina terus bertanya pada Datuk tentang pengalamannya bersama para jemaah di masjid. Datuk terus memberitahu, ia mengalami pengalaman yang sungguh menggembirakan hatinya.

“Siapa yang laungkan azan tadi?” Malik Cina bertanya.

“Kenapa?” Sambut Datuk.

“Suara orang baru, kalau Bilal Halim saya kenal, saya yakin suara yang saya dengar tadi bukan suaranya.”

“Si Tamar cucu aku nak cuba.”

“Haaa...,” Malik Cina terkejut.

“Suaranya lantang dan nafasnya panjang,” sambung Malik Cina.

Datuk terus ketawa. Bangga cucunya menerima pujian. Tanpa segan-segan Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Senyumnya, terus berbunga. Rasa bangga menyelinap dalam hati. Siapa tidak bangga menerima pujian.

“Cucu kamu memang hebat,” bersama senyum Malik Cina memuji.

“Betuk ke?” Datuk pura-pura terkejut.

“Betul,” wajah Malik Cina nampak serius. Senyum Datuk terus meniti di bibir. Saya menggaru pangkal dagu beberapa kali.

“Mari kita makan,” ajak Malik Cina. Bau tumis petai, bilis terus menyumbat lubang hidung. Rasa lapar mula terasa. Saya dan Datuk mengikut Malik Cina ke ruang makan. Kami duduk bersila. Makanan yang dihidangkan memang sesuai dengan selera saya.

“Silakan,” jemput Malik Cina. Nasi terus ditaruh dalam pinggan saya dan Datuk. Entah mengapa malam itu saya makan dengan lahap tanpa silu dan segan. Tetapi, Datuk tetap macam biasa iaitu mengehadkan makanan.

“Cepat benar berhenti makan?” Malik Cina renung muka Datuk.

“Dah kenyang,” Datuk terus membasuh tangan.

“Agaknya, awak mengira suap nasi awak?”

“Ya, ada hadnya, kalau lebih dari had amalan saya, boleh mendatangkan mudarat,” balas Datuk lalu menyandarkan badan ke dinding.

Saya terkejut, malam itulah baru saya tahu bahawa Datuk menghitung nasi yang disuapnya. Dia tidak makan sembarangan atau mengikut kemahuan nafsu. Saya berharap Malik Cina akan mengemukakan pertanyaan pada Datuk.

Biar Malik Cina tanya berapa suap nasi untuk makan malam dan berapa suap pula untuk makan tengah hari. Sayang, Malik Cina tidak mengemukakan pertanyaan itu pada Datuk dan harapan saya untuk mengetahui rahsia tersebut turut musnah. Tidak mengapa, satu ketika yang baik akan saya tanyakan petua itu.

Dari ruang makan saya dan Datuk berubah ke ruang anjung. Suara katak dan cengkerik jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu terdengar bunyi kucing jantan mengiau mencari kucing betina.

Bulu roma saya mula tegak dalam desiran angin malam yang lembut itu saya terdengar suara burung jampuk dan salakan anjing mendayu-dayu.

“Macam mana dengan anak kamu Malik?”

“Masa awak tinggalkan rumah ni tadi, dia terus tidur, waktu Isyak tadi dia terjaga tapi dia nampak lemah benar,” terang Malik Cina.

Gegendang telinga saya menangkap bunyi desiran angin yang menyentuh dedaun di halaman rumah. Langit nampak cerah. Beberapa ekor kelawar berterbangan mencari mangsanya. Dari anjung rumah juga saya dapat melihat lampu minyak tanah berkelip-kelip, bergerak arah ke utara.

Saya kira jumlahnya lebih dari sepuluh. Barangkali orang kampung berjalan malam. Mereka bertandang ke rumah jiran untuk menghabiskan masa malam dengan bercerita apa sahaja. Tetapi, kenapa bawa pelita terlalu banyak, timbul pertanyaan dalam hati saya.

Suara burung jampuk kian ramah berbunyi bersama salakan anjing. Anjing terus menyentuh dedaun. Kelawar kian kerap berterbangan. Badan saya mula terasa dingin. Rasa mengantuk mula menyerang. Tetapi Malik Cina dan Datuk masih ghairah bercerita.

“Jangan ganggu dia, biar dia tidur, kalau dia minta nasi berikan nasi, aku tahu dia tu lapar, sebelum nasi diberikan padanya kau kepalkan nasi itu sambil membaca sebelas kali ayat fatihah,” Datuk lunjurkan kedua belah kakinya.

“Kalau dia tak mahu makan, bila tengok nasi dah dikepalkan macam mana?”

“Insya-Allah, dia mahu, aku tahu dia lapar.” Datuk raba pangkal hidung.

“Ya, dah lama anak saya tu tak makan nasi, cuma dia makan kulit pisang dan bulu jagung, kalau tak ada benda-benda tu dia tak mahu makan.”

“Ganjil sungguh sakit anak kamu Malik.”

“Entahlah, saya sendiri tak tahu nak kata apa.”

“Sah, anak kamu kena buatan orang, anak kamu disihir, agaknya dia ni pernah berkasar dengan orang, sekarang orang tu balas dendam.”

“Entahlah, saya pun tak tahu,” Malik Cina melepaskan sebuah keluhan.

Wajahnya nampak hampa dan kecewa sekali. Dari gerak-gerinya ia memang mengharapkan pertolongan dari Datuk. Saya mula menguap panjang. Datuk tepuk bahu kiri saya kerana menguap dengan membuka mulut lebar-lebar.

“Tak baik menguap macam tu, macam mulut buaya lapar,” sergah Datuk. Saya tersipu-sipu malu. Malik Cina nampak tersengih. Tidak sanggup saya menentang wajah mereka. Saya tunduk merenung lantai dengan perasaan yang serba salah.

“Bolehkah sakit anak saya itu baik,” Malik Cina menggantungkan harapan pada Datuk. Dua tiga kali Datuk menggigit bibir. Dua tiga kali ia meraba-raba ibu jari kanannya. Sesekali ia menarik nafas panjang bersama renungan yang tajam ke arah halaman rumah. Kegelapan malam sungguh pekat.

“Kita berusaha, kalau diizinkan Allah sakitnya akan sembuh,” suara Datuk dalam nada yang lembut, penuh harapan. Malik Cina tunduk sambil menelan air liur. Saya terdengar jam dinding di rumah Malik Cina berdenting dua belas kali. Badan saya kian sejuk. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk.

Bagi menghilangkan rasa mengantuk, saya merenung ke luar anjung rumah. Biji mata saya terbeliak, saya terlihat berpuluh puluh pelita minyak tanah bergerak sendiri dalam jarak kira 400 meter dari rumah. Saya teringat, siang tadi kawasan itu saya lihat penuh dengan hutan. Tidak ada sebuah rumah pun terdapat di situ.

Saya mula resah. Apakah saya sedang melihat manusia atau melihat syaitan berpesta. Tambul pertanyaan dalam hati saya. Seluruh badan mula terasa seram sejuk. Lolongan anjing, kian nyaring.

Suara burung hantu dan jampuk tingkah-meningkah. Desiran dedaun yang berlaga sama sendiri kian kuat. Saya bertambah terkejut melihat jumlah pelita minyak tanah kian bertambah. Semuanya menuju ke arah utara.

“Tuk tengok tu,” kata saya lalu menunjukkan ke arah pelita minyak tanah. Datuk dan Malik Cina segera melihat ke arah tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tidak ada sesuatu yang mereka lihat.

“Kami tak nampak apa-apa Tamar,” kata Datuk.

“Ada pelita minyak tanah berjalan sendiri.”

“Mustahil di situ kawasan hutan, masa Jepun dulu dijadikan tempat memancung kepala orang. Kau mengarut,” kata Malik Cina. Datuk gelengkan kepala.

Saya masih melihat pelita minyak tanah berbaris serta bergerak sendiri. Anehnya, Datuk dan Malik Cina tidak dapat melihat cahaya pelita tersebut. Sukar untuk saya meyakinkan diri mereka. Saya terus tarik nafas.

“Sudahlah Tamar, pergi tidur. Bilik kamu dan Datuk sudah aku kemaskan.” Malik Cina menepuk bahu saya. Arahannya segera saya patuhi. Datuk dan Malik Cina saya tinggalkan di ruang anjung. Bilik yang disediakan untuk saya menempatkan dua buah katil bujang.

Bila saya letakkan kepala atas bantal, badan mula terasa geram. Macam ada sesuatu yang berkeliaran dalam bilik tersebut. Pada papan dinding saya rasakan ada sepasang mata merah merenung saya. Badan saya menggeletar. Bila saya membaca ayat Kursi, rasa takut itu hilang dan saya terlelap.

Masa terlelap itu, saya bermimpi menemui seorang lelaki yang ganjil. Berpakaian serba hitam. Saya lihat kelopak mata kirinya berlapis tiga. Tiap-tiap lapisan kelopak matanya itu ada tahi lalat yang sekejap mengembang dan sekejap mengecil. Matanya bagaikan mahu tersembul, macam mata udang berwarna merah.

Daging pipinya kelihatan lembik dan berlendir. Ada air jernih di celah-celah daging pipinya yang lembik itu. Air itu bercampur nanah meleleh perlahan-lahan ke mulutnya. Lelaki ganjil itu menelan air jernih bercampur nanah dengan penuh ghairah dan bernafsu sekali. Lelaki itu menyuruh saya menjilat daging pipinya yang lembik.

Saya menolak permintaannya. Lelaki itu jadi marah dan dia mula menghampiri saya. Kedua belah tangannya yang berkuku panjang menghala ke batang leher saya. Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak. Usaha saya gagal. Saya tidak berdaya menentangnya dan terus menjerit dengan sekuat hati.

Bila saya terjaga, saya terlihat Datuk sedang membaca Quran kecil di katil sebelah. Datuk renung ke arah saya.

“Kau mengigau?”

“Saya mimpi, ada orang nak cekik tengkuk saya.”

“Kau tidak membaca surah Al-Fatihah. Bukankah sudah aku pesan sebelum tidur, baca surah Al-Fatihah dua puluh satu kali, lepas tu jangan cakap dan terus tidur.”

“Saya terlupa tuk.”

“Patutlah kamu diganggu syaitan, kau abaikan pesanan aku Tamar.”

“Saya terlupa sungguh tuk.”

“Sudah, tidur semula.”

Saya rebahkan badan atas katil. Kali mi saya tidak dapat tidur. Kerana takut Datuk marah, saya pura-pura tidur dengan memejamkan kedua belah kelopak mata saya. Desiran angin malam di luar, jelas kedengaran. Suara burung hantu dan lolongan anjing tetap kedengaran.

Saya buka mata separuh, saya lihat Datuk masih lagi kedengaran membaca Quran. Kemudian saya lihat dia melakukan sembahyang dua rakaat dan terus berwirid panjang. Rasa takut terus hilang dari hati saya. Tiba-tiba, saya dikejutkan oleh suara orang perempuan yang sedang marah-marah.

Serentak dengan itu juga saya terdengar bilik saya ditendang bertalu-talu. Beberapa ketul bateri lampu suluh yang diletakkan atas meja dekat katil jatuh bertaburan atas lantai. Datuk berhenti dari melakukan wirid. Dia termenung.

“Ayah, saya dahaga cepat ambil saya air,” suara perempuan meminta sesuatu. Dituruti dengan bunyi tapak kaki memijak lantai menuju ke dapur.

“Malik, jangan berikan air itu terus kepadanya, berikan pada aku dulu,” suara Datuk meninggi.

“Ya, saya buat dengan apa yang awak mahu,” itu suara Malik Cina.

“Kenapa, bagi dengan jantan tua tu,” suara perempuan meningkah, tentu suara anak Malik Cina. Dinding bilik terus ditendang bertalu-talu.

Saya bangun. Duduk di sisi Datuk. Suara perempuan merungut dan mengetuk sesuatu tetap kedengaran. Saya resah, tetapi saya lihat Datuk masih berada dalam keadaan tenang.

Datuk ambil gelas air dari tangan Malik Cina. Datuk tatang air dalam gelas di tapak tangan kanannya. Datuk membaca sesuatu dan menghembus permukaan gelas dengan mulut.

“Berikan padanya, sekarang.”

“Ya,” sahut Malik Cina lalu menyambut gelas itu dari tangan Datuk di bawa ke bilik anaknya. Dan saya tidak lagi mendengar suara anaknya menjerit atau merungut sesuatu. Datuk terus membaca Quran.

Tamat siri 75/284

BACA: SBDJ Siri 74: Perempuan Cantik Koyak Kain
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Kajian Membuktikan Garam Masakan Mengandungi Microplastic Penyebab Kanser

Kajian Membuktikan Garam Masakan Mengandungi Microplastic Penyebab Kanser

Selama ini kita tidak sedar pun bahawa garam masakan yang kita selalu gunakan sebagai penyedap makanan ketika memasak rupa-rupanya mengandungi Microplastic, sejenis bahan yang boleh mengundang bahaya pada kesihatan tubuh.

Garam Microplastic

Pendedahan mengenai garam yang kita makan sehari-hari, mengandungi bahan microplastic telah pun dimuatkan dalam Jurnal Environmental Science and Techology selepas kajian dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Korea Selatan dan mereka telah bekerjasama dengan Persatuan Greenpeace Asia Tenggara.

Hasilnya, 90 peratus garam yang dijual di pasaran mengandungi microplastic yang menjadi salah satu penyebab kanser ovari.

Baca perkongsian manfaat dari Dr Latif Saad yang juga pengasas kepada page The Diagnosa dan Root The Science mengenai isu ini.

Penghasilan garam yang kita anggap benar-benar terhasil dari galian ini rupanya bercampur microplastik.

Sudah menjadi kebiasaan kita untuk memasukkan garam ke dalam makanan bagi memberikan makanan yang kita masak menjadi lebih sedap dan enak.

Bahkan, negara kita terkenal dengan ikan kering, sotong kering dan pelbagai lagi makanan kering dimana makanan tersebut akan direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dijemur di tengah panas.

Tapi tahukah anda bahawa pengambilan garam akan meningkatkan kuantiti anda makan plastik?

Lebih daripada 90% daripada garam dapur yang dijual di pasaran mengandungi ‘Microplastic’ dan kajian ini telah diterbitkan dalam Jurnal Environmental Science and Technology.

Apa Itu Microplastic?

Microplastic adalah plastik kecil yang terhasil daripada penguraian plastik yang besar dan wujud, namun kita tidak tahu kewujudannya di dalam air kerana ia tidak mempunyai rasa dan bau dalam kuantiti sedikit.

Microplastic juga wujud dalam bentuk ‘Microbeads’ dalam produk kesihatan, kecantikan dan juga produk pencuci.

Pernah tak rasa macam biji-biji ketika mencuci muka menggunakan pencuci muka, itulah microbeads.

Apabila air yang mengandungi microbeads dibuang, ia akan masuk ke dalam sistem kumbahan, diproses semula dan sebagainya sehinggalah ia digunakan semula oleh manusia.

Untuk mengetahui bagaimana tahap microplastic dalam garam yang digunakan dalam masakan harian, pengkaji di Korea Selatan telah berkerjasama dengan Persatuan Greenpeace Asia Tenggara.

Kajian tersebut membandingkan kandungan microplastic di dalam air laut bersama dengan tahap pencemaran plastik di kawasan tersebut.

Daripada 39 jenama garam laut yang berasal daripada Eropah, Afrika, Asia dan Amerika, kesemuanya mengandungi plastik kecuali 3 jenama sahaja.

Kandungan microplastic dalam garam tersebut adalah berbeza bergantung kepada Jenama, namun pengkaji tersebut tidak menyenaraikan jenama yang terlibat.

Akan tetapi mereka dapat melihat bahawa kandungan microplastic dalam garam yang tertinggi adalah berasal daripada kawasan Asia.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa pengambilan microplastic melalui sumber laut adalah sangat tinggi terutamanya dikawasan yang terlibat (Asia)."

Kajian yang sama juga mendapati garam bukit juga mengandungi Microplastic, cuma kandungannya kurang berbanding garam laut.

Ini mengambarkan betapa teruknya bumi ini sudah tercemar sehinggakan garam di bahagian bukit juga mengandungi bahan yang sama.

Microplastic penyebab kanser dan penyakit?

Terdapat pelbagai kajian yang menyatakan plastik boleh menjadi salah satu punca kepada kanser kerana ia mengandungi kompaun BPA (Bisphenol A).

Kompaun ini dikatakan boleh mengganggu hormon dalam badan dan mendedahkan seseorang itu kepada penyakit seperti kanser ovari dan sebagainya, namun masih lagi diperingkat kajian bagi membuktikan kesahihannya.

Tetapi, cukuplah kita tahu bahawa microplastic mungkin akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan masyarakat perlu sedar yang bumi ini sudah tercemar dengan teruknya.

Jadi, kurangkanlah penggunaan plastik supaya alam ini tidak tercemar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Melalui Keratan Batang Guna Cecair Penggalak Akar

Cara Mengakarkan Dahan Pokok Melalui Keratan Batang Guna Cecair Penggalak Akar

Pokok sebenarnya boleh dibiakkan melalui banyak cara, antaranya melalui kaedah keratan batang dan kelebihan kaedah ini ialah, pokok yang dibiakkan lebih cepat membesar berbanding menggunakan kaedah semaian benih.

Panduan Mengakarkan Dahan

Selain itu, pokok yang terhasil kebiasaannya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan pokok induk sebab itu, kita perlu mengambil keratan batang dari pokok yang sihat dan mempunyai ciri-ciri yang kita mahu.

Terdapat banyak jenis pokok boleh dibiakkan dengan manggunakan keratan batang.

Contohnya, pokok mulberry, bunga raya, bunga kertas, bunga ros, bunga melor, moringa, roselle dan banyak lagi sebenarnya.

Anda cubalah biakkan mana-mana pokok dengan kaedah ini dan lihat pokok mana yang boleh, pokok mana yang tidak.

Secara umumnya terdapat tiga jenis keratan batang iaitu:
  1. Keratan kayu lembut.
  2. Keratan kayu sederhana keras.
  3. Keratan kayu keras.

Sila rujuk gambar di bawah untuk lebih pencerahan:

Jenis keratan dahan

Selalunya kita menggunakan tanah sebagai medium untuk menanam keratan batang, tetapi kali ini saya akan kongsikan kaedah yang tidak memerlukan tanah.

Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
  • Bancuh 3ml Liguano dengan 500 ml air.
  • Ambil keratan yang sudah dipilih daipada pokok yang kita mahu, sihat dan bebas penyakit, berdiameter 1-1.5 cm.
  • Potong dahan sekurang-kurangnya 6 inci panjang.
  • Seeloknya keratan dipotong waktu pagi atau selepas hujan. Gunakan pisau atau gunting yang bersih dan tajam semasa membuat kerja-kerja pemotongan keratan dahan.
  • Bersihkan keratan dan hiris hujungnya secara serong untuk meluaskan permukaannya.
  • Rendam keratan dalam larutan Liguano tadi.
  • Sungkupkan seluruh keratan dengan botol atau beg plastik. Buat sedikit lubang untuk membenarkan udara mengalir
  • Siram keratan dengan larutan Liguano setiap hari pada awal pagi dan petang.
  • Letakkan keratan di bawah cahaya matahari separa teduh apabila tunas daun mula keluar.
  • Apabila akar mula keluar, sudah boleh pindahkan ke pasu!
Rendam keratan

Apa itu Liguano?

Liguano ialah penggalak tumbesaran tanaman yang diperkaya dengan hormon sitokinin yang membantu tumbuhan berkembang lebih cepat, kuat dan sihat.

Anda juga boleh menggunakan sebarang penggalak akar lain yang dirasakan bersesuaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tahukah Anda Maksud Sebenar 'Lebuh Raya'?

Tahukah Anda Maksud Sebenar 'Lebuh Raya'?

Maksud sebenar istilah ‘lebuh raya’ adalah berbeza mengikut negara kerana di negara yang mempunyai rangkaian jalan raya yang baik, istilah lebuh raya merujuk kepada lebuh raya capaian terkawal ataupun lebuh raya ekspres seperti “expressway”, lebuh raya kereta “motorway”, lebuh raya bebas “freeway” dan lain-lain lagi.

Maksud Lebuh Raya

Di Malaysia, apabila disebut tentang istilah ‘lebuh raya’, apa yang terlintas di fikiran anda?

Adakah lebuh raya seharusnya mempunyai kriteria khusus seperti mempunyai sekurang-kurangnya empat lorong setiap hala, dengan had laju sehingga 110km/j, tiada akses terus ke mana-mana premis hartanah, tanpa sebarang lintasan masuk searas dan keluar masuk hanya melalui persimpangan bertingkat yang berlainan aras?

Atau, lebuh raya adalah jalan raya utama jarak jauh yang menghubungkan antara dua lokasi utama?

Sebenarnya, kedua-dua definisi di atas adalah betul kerana menurut Kamus Dewan Bahasa, istilah lebuh raya bermaksud 'jalan raya utama yang lebar, biasanya menghubungkan sebuah bandar (bandar raya) dengan bandar (bandar raya) yang lain'.

Ini bermakna, mana-mana jalan raya utama walaupun jalan tanpa tar, jalan tanah merah sekalipun masih boleh dilabel sebagai lebuh raya jika ia berfungsi untuk menghubungkan antara dua bandar utama.

Sebagai contoh, penggunaan istilah lebuh raya bagi merujuk kepada jalan raya dengan dua lorong utama di beberapa kawasan seperti di Sabah dan Sarawak, kerana tiada jalan raya khusus yang dikenakan kawasan masuk penuh untuk dipanggil sebagai lebuh raya.

Sesetengah lebuh raya juga mempunyai persimpangan lampu isyarat atau bulatan.

Sebagai contoh, terdapat juga lebuh raya yang diklasifikasikan sebagai laluan persekutuan, contohnya seperti Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Skudai.

Bagi jalan raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan, ia tergolong dalam satu kategori khas yang merujuk kepada ‘lebuh raya ekspres’ atau juga dikenali sebagai “expressway” dalam bahasa Inggeris.

Lebuh raya ekspres ini khusus bagi merujuk kepada jalan raya yang dikenakan kawalan masuk penuh, melalui penggunaan persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya bagi menggantikan persimpangan searas, pemasangan pagar di sepanjang laluan, direka untuk pemanduan berkelajuan tinggi, serta tiada akses terus ke mana-mana premis hartanah.

Jadi, semua lebuh raya ekspres adalah lebuh raya, tetapi sesebuah lebuh raya tidak semestinya lebuh raya ekspres.

Sebagai kesimpulan, maksud istilah ‘lebuh raya’ adalah laluan jarak jauh yang utama dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

Oleh itu, ia boleh merujuk kepada mana-mana jalan raya biasa ataupun jenis jalan raya khusus dengan kawalan masuk penuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: careta