Tuesday, December 03, 2013

Misteri Pusara Di Lebuh Raya Utara Selatan

Loading...

Info Misteri. Malam Jumaat itu selepas pulang daripada kerja, saya merasa amat bosan dengan suasana hiruk-pikuk di ibu kota Kuala Lumpur.

Misteri Pusara
Gambar hiasan.

Kira-kira pukul 10.00 malam selepas berehat seketika, saya memutuskan untuk pulang menziarahi ibu bapaku di kampung.

Seperti selalu, saya sering bertolak dari Kuala Lumpur sendirian selewat-lewatnya pukul 12.00 malam.

Selepas mengemas pakaian dan memeriksa motosikal, saya memulakan perjalanan dari Kampung Baru dan memasuki lebuh raya di Kepong.

Lebih kurang dua jam perjalanan, saya singgah sebentar di Hentian Rehat Tapah untuk mengisi minyak. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi.

Malam itu, jalan sunyi tidak seperti biasa. Kedua-dua hala kenderaan sangat kurang. Bulan cerah, sejuk dan berkabus. Selepas mengisi minyak, saya meneruskan perjalanan.

Saya berhenti di tepi jalan selepas exit Hulu Berang. Saya mematikan enjin motosikal di bawah deretan lampu sorot berkuasa tinggi di tepi jalan masuk ke lebuh raya.

Semasa berhenti, saya berasa tenang dan damai kerana jalan sangat sunyi dan damai kerana jalan sangat sunyi dan lengang. Kiranya saya boleh memecut motosikal tanpa risau.

Sambil duduk di atas pembahagi jalan menghadap motosikal, saya mengeluarkan sebatang rokok. Jam ditangan menunjukkan lebih kurang pukul 3.40 pagi.

Cuaca semakin sejuk walaupun saya memakai jaket kulit. Sesekali di sebelah sana jalan menghala ke Kuala Lumpur, kereta melintasiku.

Jalan raya mula berkabus seolah-olah saya sudah melepasi Terowong Menora di Ipoh. Habis sahaja sebatang rokok untuk menghilangkan mengantuk, saya campakkan ke atas aspal.

Saya menoleh ke belakang. Ah..ketika itu saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Saya tergamam seketika, terpaku dengan pemandangan disajikan.

Saya kelipkan mata, menggosok-gosok wajahku dengan kedua-dua telapak tangan. Tapi apa yang saya nampak masih berada di situ.

Ya..saya bukannya bermimpi..

Dalam kesamaran cahaya bulan dan limpahan lampu sorot di tepi lebuh raya itu, saya melihat sebuah kawasan perkuburan lama memenuhi bukit-bukau dihadapanku.

Langsung tidak ada sebatang pokok pun yang berada di atas bukit tersebut kecuali ribuan tiang batu nisan yang diperbuat dari kayu usang berceratuk di sana-sini.

Saya nampak jelas dengan bantuan cahaya bulan dan lampu jalan ada tiga buah bukit yang dipenuhi batu-batu nisan lama. Ketika itu, saya langsung tidak berasa seram atau takut.

Saya hanya berasa sedikit pelik kerana setahu saya, tidak pernah ada kawasan perkuburan seluas itu di kawasan ini. Bukan sekali dua saya menggunakan jalan ini.

Misteri Pusara
Gambaran penulis misteri kubur yang dilihatnya pada malam kejadian.

Pertanyaan demi pertanyaan menerobos benak mindaku. Apakah ini khayalan atau realiti?

Saya perhatikan ke segenap ruang selagi mataku mampu melihat. Sungguh, ia adalah perkuburan lama yang telah berusia dipenuhi dengan batu-batu nisan yang senget dan berceratuk di serata pelosok bukit. Tapi, ini tanah perkiburan siapa?

Kira-kira 10 hingga 15 minit saya terpaku sendirian di situ. Saya merasa amat takjub! Memang saya sedar, tiada sebarang kenderaan yang lalu-lalang.

Selepas itu, saya perlahan-lahan berundur ke arah motosikal. Mengambil helmet dan menyarungkan sarung tangan sambil mata tidak lepas memerhatikan kawasan perkuburan tersebut.

Katika itulah saya terasa seram sejuk dan bulu tengkuk meremang secara tiba-tiba. Argh! Alamatnya ini petanda..

Lalu saya hidupkan enjin motosikal dan tanpa menoleh lagi saya terus memecut. Sepanjang perjalanan, tidak putus-putus soalan demi soalan menerjah dalam fikiranku. Kubur siapakah itu?

Saya hairan sebab baru tadi berasa seolah-olah berada di sebuah perkuburan yang sangat asing.

Ribuan batu-batu nisan yang senget dan berceratuk di serata pelosok bukit adalah sesuatu yang luar biasa, yang tidak pernah saya saksikan.

Setelah tiba di rumah, saya tidak bercerita apa-apa pada ayahku. Hanya pada keesokan paginya barulah saya cuba bertanya tentang kewujudan tanah perkuburan itu.

Ayah pun terkejut dan menegaskan memang tiada sebarang perkuburan Islam begitu terdapat di tepi Lebuh Raya Utara Selatan.

Jadi, kubur siapakah yang saya lihat malam tadi?

Barulah saya mengucap syukur. Saya yakin telah diberi peluang seketika oleh Allah untuk melihat 'dunia lain' buat sementara waktu ketika berseorangan.

Sehingga kini, setiap kali tiba ditempat kejadian, saya cuba mengingat semula pemandangan menakjubkan apabila disajikan dengan ribuan batu-batu nisan berceratuk memenuhi tiga buah bukit.

Subhanallah! Allah Maha Besar. Hanya Dia yang lebih mengetahui kewujudan ciptaan-Nya.

*Kisah benar yang misteri ini adalah seperti yang telah disiarkan di laman forum Carigold dan majalah Mastika.

-Sentiasapanas.com

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon