Wednesday, June 05, 2019

'Vacuum Challenge' Cabaran Terbaharu Di Laman Sosial

'Vacuum Challenge' Cabaran Terbaharu Di Laman Sosial

Kemunculan pelbagai 'challenge' yang tular di laman sosial menyebabkan ramai yang mahu mencuba namun tidak semua cabaran tersebut selamat untuk dilakukan dan terkini, muncul pula ‘vacuum challenge’ juga dikenali sebagai 'binbag challenge'.

Vacuum Challenge

Bagi melakukan cabaran ini, peserta perlu memasukan badan ke dalam plastik sampah hitam dengan hanya bahagian kepala kelihatan untuk membolehkannya bernafas.

Pembersih hampagas (vacuum cleaner) kemudian digunakan untuk menyedut keluar semua udara dari dalam plastik tersebut.

Ia menyebabkan plastik 'mengecut' lalu membalut ketat tubuh dan dalam beberapa video, kelihatan peserta yang masuk ke dalam beg plastik sampah dalam posisi duduk, jatuh tergolek sebaik udara disedut keluar.

Trend terbaharu Vacuum Challenge ini ternyata boleh mendatangkan kecederaan namun semakin ramai kanak-kanak dan juga golongan dewasa yang tidak mahu ketinggalan mencuba cabaran ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Oppo A1K, 2GB RAM 32GB Storan Berharga RM499

Oppo A1K, 2GB RAM 32GB Storan Berharga RM499

Oppo Malaysia kini telah membawa masuk satu lagi telefon pintar terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu Oppo A1K, pada harga mampu milik, RM499.

Oppo A1K

Oppo A1K hadir dengan spesifikasi rendah-pertengahan dan menawarkan ciri-ciri asas telefon pintar melaluinya.

Dari segi spesifikasi, Oppo A1K hadir dengan skrin 6.1-inci, dijana cip MediaTekMT6762, memori 2GB RAM dan storan 32GB.

Ia turut menggunakan kamera belakang 8-megapixel, selain kamera hadapan 5-megapixel dan melengkapkannya juga adalah bateri 4000mAh.

Berbeza dengan beberapa peranti diluar sana, Oppo A1K tidak menyertakan pengimbas cap jari, selain menggunakan rekaan skrin bertakuk kecil.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

Maksud Suami Dayus Dalam Islam

Maksud Suami Dayus Dalam Islam

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS." (Riwayat Ahmad & An-Nasaie)

Suami Dayus

Dalam sebuah hadis lain pula yang maksudnya, “Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si DAYUS yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya." (Riwayat Ahmad)

Malah banyak lagi hadis yang membawa makna hampir sama dengan dua hadis di atas. Oleh itu, secara ringkasnya, apa dan siapa lelaki dayus?

MAKSUD DAYUS

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata: "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak," lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? Berkata Nabi, "iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)." - (Riwayat At-Tabrani)

Dari hadis di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan tidak ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

PENJELASAN ULAMA TENTANG LELAKI DAYUS

Berikut adalah beberapa tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus:

Ertinya, "Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya). Imam Al-‘Aini pula berkata: "Cemburu lawannya dayus."

Berkata pula An-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram."

Menurut Imam Az-Zahabi, “Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya."

Imam Ibn Qayyim pula menyatakan, “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.”

DAYUS ADALAH DOSA BESAR

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar:

Maksudnya: Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

CEMBURU DITUNTUT ISLAM DAN JANGAN MARAH

Terdapat segelintir isteri yang sering menyalahkan suami kerana terlalu cemburu.

Benar ‘cemburu buta’ itu memang menyusahkan, tetapi dalam hal ehwal rumahtangga, apabila suami bertanya kepada isteri itu dan ini, adalah dinasihatkan agar isteri janganlah cepat melenting atau memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian.

Jangan juga rasa kecil hati lantas membuat kesimpulan bahawa suami sudah tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan.

Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak)." ( Riwayat Ahmad)

Memang amat beruntung, malangnya di akhir zaman ini tidak mudah memperolehi isteri yang solehah. Ia adalah sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya, kita dapat melihat ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:
  • Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
  • Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantarnya pulang ke rumah.
  • Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuan dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan auratnya terlihat.
  • Membiarkan anak perempuannya berdating dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
  • Membiarkan anak perempuannya berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'sporting' dan memahami.
  • Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
  • Membiarkan isteri keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
  • Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.
  • Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
  • Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Banyak lagi situasi yang boleh digambarkan tentang permasalahan dayus ini.

Yang penting, ‘Dayus’ ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya.

Namun, jika ia berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'Dayus' ke atas dirinya.

Wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangi dan jagalah diri dan keluargamu dari api neraka. Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankanlah agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid." (Riwayat Ahmad)

SUAMI MINTA IZIN DARI ISTERI

Sementara itu, seorang suami yang meminta izin dari isteri sebelum melakukan sesuatu perkara bukanlah sifat seorang lelaki dayus.

Ia sebaliknya sebagai menghormati keberadaan isteri yang juga merupakan pasangan hidup suami.

Contohnya, suami minta pendapat atau izin isteri untuk beli motor baru itu bukanlah dayus.

Itu tandanya suami yang menghormati keberadaan isteri di sisi.

Di Malaysia, perkongsian penyanyi Shuib untuk memiliki sebuah motosikal idaman selepas meminta keizinan daripada isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah Raisuddin menerima kecaman netizen, namun ramai yang tersalah guna istilah dayus ini, jadi bila salah guna istilah, membawa kepada fahaman yang salah.

Nabi SAW sendiri pernah lumba lari dengan isterinya Aisyah dan Aisyah menang.

Sebenarnya boleh je Nabi menang, tetapi Baginda hanya nak mewujudkan suasana romantik.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: jakimsabah

Tuesday, June 04, 2019

Koleksi Pro-LGBT H&M 'Love for All' Tidak Akan Dijual di Malaysia

Koleksi Pro-LGBT H&M 'Love for All' Tidak Akan Dijual di Malaysia

Syarikat fesyen H&M mengesahkan koleksi pakaian 'Love For All', yang dilancarkan sebagai tanda sokongan kepada komuniti LGBT, tidak akan dijual di Malaysia, yang menurut Pengurus Komunikasi H&M Malaysia dan Singapura berkata, jenama itu berada dalam 72 pasaran di seluruh dunia.

H&M Pro-LGBT

Dengan pelbagai koleksi dilancar pada setiap musim, bergantung kepada setiap pasaran tempatan untuk memilih koleksi untuk diperagakan, katanya.

Gedung H&M Malaysia sebelum ini dipersoalkan kerana menyahut kempen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong komuniti LGBT.

Di Twitter, Fathul Bari mengulas satu ciapan yang menggesa jenama itu diboikot susulan koleksi 'Love for All' tersebut, yang menampilkan rekaan berilhamkan pelangi dan pesanan mempromosikan hak saksama dalam cinta.

"Adakah H&M Malaysia turut terlibat dalam kempen LGBT seperti yang tertera di instagram H&M induk United Nation Free Equal iG?

"Iaitu hasil jualan 10 peratus akan diberikan kepada gerakan UN Free Equal untuk mendokong perjuangan LGBT?" soalnya.

Sementara ada yang menyokong gesaan boikotnya, ada juga pengguna media sosial yang berkata ia satu tindakan hipokrit kerana ada juga jenama utama lain yang menyokong isu tersebut.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Global H&M Sara Spännar dalam satu kenyataan berkata koleksi itu hanya boleh didapati di gedung terpilih seluruh dunia sepanjang Mei 2019.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) melancarkan kempen global UN Free & Equal pada Julai 2014 untuk mempromosikan kesedaran mengenai hak dan perlakuan adil bagi orang LGBT.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Mati Katak Di Jalan Raya, Malaysia Tertinggi Di Dunia

Mati Katak Di Jalan Raya, Malaysia Tertinggi Di Dunia

Kemalangan demi kemalangan, seolah-olah membayangkan jalan raya tempat yang tidak selamat, malah mengundang risiko, tetapi mahu tidak mahu, jalan raya tetap menjadi kemudahan terpenting bagi kesejahteraan hidup.

Kemalangan maut

Rujuklah mana-mana rekod kemalangan maut, Malaysia mencatatkan mangsa kemalangan jalan raya dan kadar kematian yang tinggi bagi setiap penduduk negara berbanding mana-mana negara di seluruh dunia.

Apa punca kemalangan dan kematian di jalan raya, sehingga begitu tinggi?

Faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini ialah kecuaian pemandu atau masalah teknikal kenderaan.

Sementara faktor kombinasi pemandu dan jalan raya hanya menyumbang 28 peratus daripada keseluruhan punca kemalangan.

Tiga faktor utama dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan kemalangan jalan raya iaitu; kenderaan, pemandu dan jalan raya.

Tiada satu daripada tiga perkara itu, kemalangan tidak berlaku kerana apabila diamati, jika tiada pemandu, kemalangan pasti tidak akan berlaku. Oleh itu, faktor paling utama ialah pemandu.

Timbul pula persoalan, pemandu yang macam mana? Adakah mereka yang selalu berhati-hati dan bertanggungjawab menyebabkan kemalangan? Itu tidak mungkin.

Siapa lagi penyebab kemalangan? Pasti pemandu yang tidak bertanggungjawab dengan sikap suka mencelah, menghimpit, melanggar lampu isyarat, memecut sesuka hati di laluan tidak sepatutnya dan berlumba di jalan raya.

Ada juga punca kemalangan kerana sikap pemandu yang gemar memotong di laluan kecemasan, menukar lorong sewenang-wenangnya dan tidak memberikan tumpuan ketika memandu.

Bagi pemandu tidak bertanggungjawab, ia langsung tidak melakukan persediaan sebelum berada di jalan raya, tidak memeriksa kenderaan serta tidak memperdulikan keadaan jalan raya dan cuaca.

Sepatutnya tabiat negatif seperti itu perlu dihindarkan. Jalan raya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai satu kemudahan, bukan tempat yang menyimpan kenangan pahit sepanjang hayat.

Ramai yang sudah menjadi korban dan kini tiba masanya, kita sama-sama mengubah minda, daripada banyak melakukan kesilapan di jalan raya kepada kurang kesilapan, malah tiada langsung.

Ketika memandu, amalkan sikap selalu mencongak pada diri sendiri, kemungkinan yang bakal berlaku jika memecut, membelok atau memperlahankan kenderaan.

Jika kemungkinan itu tidak diingini carilah jawapan untuk mengelakkannya.

Pemandu bertanggungjawab sentiasa memastikan pemanduannya tidak berisiko, misalnya dalam perjalanan jauh, tidak alpa berhenti di kawasan rehat bagi menghilangkan penat.

Ada juga yang mengamalkan petua minum kopi terlebih dulu, mengaktifkan sistem audio, menyanyi atau bercakap-cakap dengan penumpang dan sesekali membuka cermin tingkap bagi menghindarkan kelesuan dan mengantuk.

Jika di London, mengikut kajian, aroma kopi menjadikan anda pemandu berhemah, bau kayu manis mengurangkan risiko insiden buli di jalan raya, tetapi bau makanan segera menjadikan pemanduan sebaliknya.

Pelbagai faktor perlu diambil kira apabila berada di jalan raya, seperti kenderaan dipastikan berfungsi dengan baik, emosi terkawal, kesihatan diri serta keadaan jalan dan cuaca.

Bagi umat Islam, sentiasalah basahkan bibir anda dengan zikir agar hati lebih tenang dan tenteram.

Malah, pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua, sehinggakan mereka yang berumah di tepi jalan raya perlu diambil kira, kerana mereka juga mahu selamat.

Jangan sesekali menganggap kerana kita berkenderaan lebih besar, tinggi dan panjang, seperti lori, bas dan pacuan empat roda, kita tidak akan mengalami apa-apa apabila bertembung dengan kenderaan lain. Pendek kata, jangan sombong.

Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama oleh itu, bertimbang rasalah ketika memandu.

Jangan pula apabila sudah menjadi mangsa, mulalah mempersalahkan pihak lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ukm

Rakam Pesalah Trafik Dan WhatsApp Kepada JPJ

Rakam Pesalah Trafik Dan WhatsApp Kepada JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggalakkan pengguna jalan raya membuat aduan kesalahan trafik secara langsung kepada agensi penguatkuasa itu, yang boleh disalurkan melalui rakaman video atau gambar, di lebuh raya menggunakan kamera peribadi atau kenderaan.

Whatsapp JPJ

JPJ juga mengharapkan pengguna yang ingin membuat aduan agar turut sama memberikan maklumat mengenai kesalahan dilakukan pengguna, tarikh dan nombor kenderaan.

JPJ juga amat berharap kepada masyarakat yang melihat kesalahan dilakukan di jalan raya tolong hantar segera kepada JPJ dengan maklumat apa kesalahan, tarikh dan nombor kenderaan.

JPJ ada bilik kawalan dan apabila diberitahu (aduan) melalui Whatsapp atau e-mel, anggota JPJ akan dimaklumkan dan mereka akan mencari pesalah berkenaan seberapa cepat yang boleh, sebaik-baiknya disertakan bukti video atau gambar.

Bagaimanapun, rakaman aduan dalam bentuk video perlu dilakukan penumpang dan bukan pemandu kenderaan bagi memastikan keselamatan serta mengelak kemalangan daripada berlaku.

Yang merakam video itu (jika bukan dash cam) mestilah selain daripada pemandu, kerana pemandu tidak boleh menggunakan sebarang gajet semasa memandu.

Orang ramai juga digalakkan membuat aduan berhubung kesalahan penggunaan plat kenderaan 'fancy' bagi membolehkan JPJ mengeluarkan notis.

Sekiranya ada kenderaan menggunakan plat 'fancy' ini, JPJ akan mengunjungi rumah pesalah dalam tempoh 10 hari.

Kita tidak, saman akan dihantar dalam tempoh itu, dan notis akan dikirim untuk pesalah perbetulkan kesalahannya.

Tujuannya (supaya) mudah bagi JPJ mengesan nombor kenderaan ini dan mahu mengelakkan kemalangan kerana penggunaan plat fancy.

JPJ juga telah mengeluarkan lebih 200 notis dalam masa tiga hari kepada pemandu yang melakukan kesalahan trafik.

Biasanya aduan yang dibuat adalah melibatkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan yang berjaya dirakam pengguna jalan raya lain, termasuklah bas yang melakukan kesalahan seperti itu.

Orang ramai dan pengguna jalan raya yang berhasrat membuat aduan boleh berbuat demikian melalui aplikasi WhatsApp di talian JPJ, 013-449 8997 atau e-mel di aduantrafik@jpj.gov.my.

Bilik Kawalan JPJ di setiap negeri dan ibu pejabat beroperasi 24 jam bagi memantau perjalanan penguatkuasaan yang dijalankan dan menerima aduan orang ramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

5 Kemungkaran Dan Maksiat Yang Mengundang Bala Dari Allah SWT

5 Kemungkaran Dan Maksiat Yang Mengundang Bala Dari Allah SWT

Dalam kehidupan manusia seharusnya kita perlu berhati-hati dengan segala ujian yang melanda umat manusia hari ini kerana sesungguhnya Allah SWT telah member peringatan dan menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya pada yang zalim, malah kepada yang beriman juga.

5 Maksiat mengundang bala

Firman Allah swt dalam Sural al-Anfal, ayat 25 yang malsudnya, “Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab siksa-Nya."

Imam Ahmad bin Hanbal juga meriwayatkan hadis dari Ummu Salamah, ia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (siksa) kepada mereka. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?” Baginda menjawab, ”Ada”. Aku bertanya lagi, “Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka?”

Jawab Baginda, “Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keridhoan dari Tuhannya.” (HR. Imam Ahmad)

Demikianlah apabila suatu kaum sudah melakukan maksiat dan menentang perintah-perintah Allah swt serta mengkufuri nikmat-nikmatNya, maka sesungguhnya Allah swt akan menurunkan kehinaan dan kebinasaan kepada mereka baik kehinaan di dunia mahupun kehinaan di akhirat.

Lalu bagaimanakah dengan kita yang hidup dalam keadaan demikian, kehidupan yang dipenuhi dengan kemaksiatan dan kemungkaran.

Adakah kita sudah mengingatkan kepada mereka akan siksa Allah yang maha pedih ini!

Firman Allah swt dalam Surah al-Nahl, ayat 112 yang maksudnya:

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segala tempat akan tetapi penduduknya mengingkari akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka dengan kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan."

Ayat di atas menggambarkan dengan jelas betapa Allah SWT akan membinasakan sebuah negeri yang penduduknya berbuat zalim dan mengingkari nikmat-nikmat Allah, sehingga Allah menimpakan kepada mereka siksaNya berupa kelaparan dan ketakutan.

Bahkan dalam sebuah hadis sahih, Imam Ibnu Majah meriwayatkan bahawa akan ada lima bencana yang akan menimpa umat ini.

Daripada Abdullah bin Umar bin Khattab ra, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya ada lima perkara dan aku berlindung kepada Allah agar kalian tidak menemuinya, Baginda saw bersabda:

Pertama: Zina

“Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan berbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka.”

Pada hari ini, tidak dinafikan lagi bahawa kemaksiatan dan kemungkaran semakin bermaharajalela. Aktiviti perjudian, pelacuran, perzinaan dan sebagainya memenuhi setiap inci muka bumi ini.

Maka tidak hairanlah, kenapa Allah swt menimpakan kepada penduduk negeri tersebut bencana, malapetaka dan wabak.

Sebagai contoh, penyakit AIDS yang ditemui pada penghujung tahun 1980 dan sehingga kini masih belum ada penawarnya.

Penyakit ini adalah bukti azab dan kemurkaan Allah swt terhadap aktiviti zina dan pelacuran yang dilakukan oleh manusia selama ini.

Kedua: Menipu Timbangan

“Tidaklah suatu kaum mengurangi serta menipu dalam timbangannya nescaya mereka akan ditimpa dengan tandusnya tanah, kerosakan serta kemusnahan sepanjang tahun serta berkuasanya penguasa-penguasa yang zalim.”

Ketiga: Enggan Membayar Zakat

“Dan tidaklah suatu kaum enggan mengeluarkan zakat hartanya kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka bencana dengan tidak diturunkannya hujan dari langit kepada mereka dan kalaulah bukan kerana binatang ternak nescaya Allah akan menahan turunnya hujan buat selama-lamanya.”

Namun, sifat Allah yang Maha Pengasih terhadap binatang yang tidak mengerti apa-apa, maka hujan masih turun dan manusia masih merasai sebahagian kecil nikmat Allah SWT.

Di sini membawa pengertian bahawa Allah lebih mencintai binatang-binatang ternak dibandingkan orang-orang berharta yang tidak mengeluarkan zakat hartanya.

Oleh kerana golongan inilah maka Allah menahan segala nikmat untuk manusia seperti contoh kemarau yang berpanjangan.

Keempat: Mengingkari Allah Dan Rasul

“Dan tidaklah suatu kaum mengingkari janji antara mereka dengan Allah dan RasulNya melainkan Allah akan mendatangkan musuh-musuh yang bukan daripada golongan mereka, lalu merampas sebahagian harta yang ada di tangan mereka.”

Kelima: Tidak Menegakkan Hukum Allah

“Dan selama mana pemimpin-pemimpin mereka tidak berhukum dengan kitabullah dan tidak memilih yang terbaik daripada apa yang Allah telah turunkan kecuali Allah turunkan kepada mereka kesengsaraan (perpecahan) di antara mereka.” (HR. Imam Ibnu Majah)

Kemakmuran yang dikecapi oleh umat Islam dijamin oleh ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

Apabila ketaatan dan kepatuhan itu terlerai, maka nikmat kemakmuran dan keharmonian akan beransur-ansur hilang dan yang menggantinya adalah fitnah dan perpecahan yang tidak berkesudahan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pusatislam

Khasiat Air Beras Untuk Rambut Dan Kulit Yang Cantik

Khasiat Air Beras Untuk Rambut Dan Kulit Yang Cantik

Nasi adalah makanan ruji kita dan banyak pula khasiat yang boleh dimanfaatkan dari bijirin ini selain untuk mengisi perut yang kelaparan dan salah satunya yang akan kita kupas dalam artikel ini ialah khasiat Air Beras.

Khasiat Air Beras

Tahukah anda, air yang digunakan semasa memasak nasi atau air basuhan beras adalah sangat baik untuk kesihatan rambut dan kulit kita. Pasti ramai yang sudah tahu petua ini tetapi berapa kerat saja yang mengamalkannya.

Memandangkan telah ramai yang beralih kepada produk di pasaran yang bersifat organik dan bebas kimia, saya rasa terpanggil pula untuk kembali kepada natural.

Hasilnya memang terbaik di mana rambut yang tak bermaya dan menipis akan kembali kukuh dan elastik serta keguguran rambut juga berkurangan, hanya dalam beberapa minggu saja dah nampak hasilnya.

Sejarah Penggunaan Air Beras

Amalan mandi dengan air beras adalah petua tradisional masyarakat di Asia. Pun begitu ia telah juga dibuktikan secara saintifik sebagai bahan yang berkesan dalam memelihara rambut dan merawat masalah kulit.

Ada sebuah perkampungan orang asli etnik Yao yang telah berusia 2000 tahun, dikenali oleh masyarakat moden hari ini sebagai 'The village of Rapunzels'.

Dalam masyarakat petani di perkampungan Huangluo China ini, kaum wanita mereka rata-ratanya memilki rambut yang panjang melebihi 3 kaki.

Rambut mereka juga lambat beruban dan kekal hitam sehingga berusia lewat 80an dan rahsia mereka tak lain tak bukan adalah air beras.

Selain itu, masyarakat Jepun yang dicatatkan dalam sejarah sejak 800AD, wanita nobel di zaman Hsein memiliki rambut panjang dan kulit yang halus, adalah hasil dari amalan menggunakan air beras.

KHASIAT AIR BERAS

Air beras mempunyai beberapa komponen yang sangat baik antaranya:

1. Inositol

Kajian membuktikan air beras mempunyai kandungan Inositol, sejenis karbohidrat yang membantu memperbaiki rambut yang rosak.

Inositol kekal dalam rambut walau setelah dibilas, membentuk satu lapisan yang melindungi rambut dari kesan geseran dan hasilnya, rambut akan menjadi lebih kuat dan elastik.

2. Asid Amino

Asid amino pula memperkuatkan akar rambut, melebat, melembut serta mengilatkan rambut.

3. Pitera

Pitera adalah komponen yang terhasil dari penapaian air beras pada suhu bilik, kaya dengan vitamin, mineral, asid amino dan asid organik.

Oleh kerana ia dihasilkan dari penapaian, maka bacaan PHnya sedikit berasid dan hampir sama dengan PH asal kulit dan rambut.

Pitera mempromosi pertumbuhan sel dan mengoptimumkan kesihatan kulit dan rambut.

4. Vitamin B1, C dan E dan mineral

Kandungan vitamin dan mineral dalam air beras dapat mengecilkan pori, mencerah dan menegangkan kulit.

5. Antioksidan

Beras merupakan sumber yang tinggi kandungan asid linoleic dan squalene, dua sumber antiosidan yang menggalakkan penghasilan kolagen dalam kulit.

Squalene melindungi dan mencegah kulit dari kedutan dan mencegah premature aging, jadi anda boleh menjadi awet muda juga.

Air beras juga mengandungi pelembap semulajadi, sangat baik bagi mengimbangi kulit yang berminyak.

6. Asid Para-Aminobenzoic (PABA) dan Asid Ferulic

Ini merupakan bahan pelindung UV apabila dikombinasikan dengan vitamin, cuma ia hanya berfungsi dengan air basuhan beras yang pertama.

Jadi, mungkin tidak begitu berkesan pelindungan UVnya. Dengan kata lain, anda masih perlu pakai sun block.

BAGAIMANA CARA MEMBUAT AIR BERAS?

Ada beberapa cara menyediakan air beras antaranya:

1 Air Didihan Beras

Bila anda masak nasi, lebihkan sukatan airnya. Tunggu sehingga mendidih, kemudian kaup air didihan lapisan atas sebanyak mana yang anda lebihkan tadi. Biarkan sejuk.

2. Air Tapaian Rendaman Beras

Rendam beras yang telah dibasuh dalam air 15-30 minit. Tapis air beras tersebut dan biarkan ia menapai pada suhu bilik selama 1-2 hari, kemudian pindahkan ke dalam peti sejuk untuk menghentikan penapaian.

Air beras ini harus dicairkan lagi dengan air biasa semasa hendak digunakan kerana ianya sangat pekat dan kuat.

3. Air Basuhan Beras

Rendam beras yang telah dibasuh dalam air selama 15-30 minit. Asingkan air beras tadi dan sedia untuk digunakan.

KEGUNAAN AIR BERAS

1. Sebagai Mask – facial rejunevation

Gunakan 3 sudu air didihan beras. Tambah 1 sudu susu dan 1 sudu madu. Kacau dan jadikan kepekatan sesuai untuk mask.

Gunakan mask ini sehingga agak kering di wajah. Cuci muka dengan lebihan air beras yang didihkan tadi.

2. Sebagai Conditioner

Gunakan air tapaian rendaman beras untuk mencantik dan menguatkan rambut. Basahkan seluruh rambut dengan air beras ini dan urut kulit kepala selama 5minit. Biarkan selama beberapa minit. Jika banyak masa, boleh dibiarkan selama 20 minit dan bilas.

3. Sebagai Toner

Basahkan kapas muka dengan air beras dan sapukan pada kulit wajah selepas mencuci muka untuk mengecilkan liang pori dan kulit yang lebih tegang.

Toner yang natural ini akan meningkatkan pertumbuhan sel, menstimulasikan perjalanan darah dan membantu kulit menjadi lebih lembut dan cerah.

4. Sebagai Pembersih Dari Pangkal Rambut Hingga Hujung Kaki

Mandi dengan menggunakan air basuhan beras untuk mendapat faedah segala kebaikannya pada seluruh tubuh.

Air beras dapat menghilangkan parut dan membantu mencerahkan kulit dan meningkatkan perjalanan darah.

5. Meredakan Eczema

Gunakan air didihan beras dan sapukan pada kulit yang bermasalah 2-3 kali sehari.

Pelembap semulajadi dan juga kandungan kanji pada air beras membantu meredakan kegatalan, kemerahan dan keradangan pada dry eczema.

Nah, sekarang anda sudah tahu betapa mudah dan murahnya untuk mendapatkan kulit dan rambut idaman. Air beras adalah jawapan bagi kebanyakan masalah anda. Lepas ni jangan lagi dibuang air basuhan beras anda.

Cuma, sudah namanya pun amalan, makanya untuk mendapat hasil terbaik, haruslah bersabar dan consistent.

Ini adalah cara paling natural dan chemical free yang boleh kita adaptasikan dalam ritual harian. Insyaa-Allah hasilnya amat memberangsangkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: noorfaizahashim.com

Monday, June 03, 2019

Guna Tilam Di Belakang Kereta Akan Di Saman

Guna Tilam Di Belakang Kereta Akan Di Saman

Kenderaan yang menggunakan tilam pada kabin belakang untuk kanak-kanak berbaring ketika kereta sedang bergerak dan juga tidak memakai tali pinggang keledar, nampaknya telah mendapat perhatian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Tilam di kereta

Menurut ketua pengarah MIROS Dr. Siti Zaharah Ishak dalam laporan Utusan Online, penggunaan tilam di bahagian tempat duduk belakang kenderaan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

“Tular dalam media sosial mengenai penggunaan tilam di belakang kenderaan untuk pulang ke kampung dan itu merupakan perbuatan yang amat-amat dilarang walaupun ramai mendakwa ia untuk keselesaan dan sebagainya.

“Perbuatan yang menjadi trend itu berbahaya dan boleh disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Antara punca lain kemalangan jalan raya semasa sambutan musim perayaan adalah faktor manusia termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp atau Facebook dan mengambil gambar ‘selfie’ atau `wefie’ dengan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Menggunakan WhatsApp atau Facebook untuk menunjukkan keceriaan pulang ke kampung, tetapi malangnya walaupun cuma satu saat melakukan perbuatan itu boleh menyebabkan kemalangan,” jelasnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: paultan

Tudung Bawal Termahal Di Dunia Berharga RM50,000!

Tudung Bawal Termahal Di Dunia Berharga RM50,000!

Syarikat hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive menyerahkan tudung bernilai RM50,000 kepada pemilik butik ByQiss by Bawal Exclusive, Datin Hamizan Putih, yang akan dihantar kepada seorang pelanggan butik tersebut, ahli perniagaan wanita berumur 35 tahun berasal dari Kuantan, Pahang.

Bawal Exclusive 50K

Ini sekali gus menjadikan tudung bawal itu sebagai tudung termahal pernah dihasilkan di dunia, memadamkan rekod jualan sehelai tudung mereka sebelum ini bernilai RM33,000 pada tahun 2018 lalu.

Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, tudung tersebut dihasilkan sepenuhnya di Austria.

“Tudung ini diilhamkan daripada ‘padang pasir berbunga’ sesuai dengan personaliti pemiliknya dan ia mengambil masa selama tiga bulan bermula dari tempahan sehingga menyiapkan produk akhir.

“Lebih 10 warna batu kristal Swarovski yang kita gunakan. Harga RM50,000 itu adalah termasuk kos pereka profesional, kos di Austria lengkap semuanya,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com