Tuesday, June 04, 2019

Khasiat Air Beras Untuk Rambut Dan Kulit Yang Cantik


Nasi adalah makanan ruji kita dan banyak pula khasiat yang boleh dimanfaatkan dari bijirin ini selain untuk mengisi perut yang kelaparan dan salah satunya yang akan kita kupas dalam artikel ini ialah khasiat Air Beras.

Khasiat Air Beras

Tahukah anda, air yang digunakan semasa memasak nasi atau air basuhan beras adalah sangat baik untuk kesihatan rambut dan kulit kita. Pasti ramai yang sudah tahu petua ini tetapi berapa kerat saja yang mengamalkannya.

Memandangkan telah ramai yang beralih kepada produk di pasaran yang bersifat organik dan bebas kimia, saya rasa terpanggil pula untuk kembali kepada natural.

Hasilnya memang terbaik di mana rambut yang tak bermaya dan menipis akan kembali kukuh dan elastik serta keguguran rambut juga berkurangan, hanya dalam beberapa minggu saja dah nampak hasilnya.

Sejarah Penggunaan Air Beras

Amalan mandi dengan air beras adalah petua tradisional masyarakat di Asia. Pun begitu ia telah juga dibuktikan secara saintifik sebagai bahan yang berkesan dalam memelihara rambut dan merawat masalah kulit.

Ada sebuah perkampungan orang asli etnik Yao yang telah berusia 2000 tahun, dikenali oleh masyarakat moden hari ini sebagai 'The village of Rapunzels'.

Dalam masyarakat petani di perkampungan Huangluo China ini, kaum wanita mereka rata-ratanya memilki rambut yang panjang melebihi 3 kaki.

Rambut mereka juga lambat beruban dan kekal hitam sehingga berusia lewat 80an dan rahsia mereka tak lain tak bukan adalah air beras.

Selain itu, masyarakat Jepun yang dicatatkan dalam sejarah sejak 800AD, wanita nobel di zaman Hsein memiliki rambut panjang dan kulit yang halus, adalah hasil dari amalan menggunakan air beras.

KHASIAT AIR BERAS

Air beras mempunyai beberapa komponen yang sangat baik antaranya:

1. Inositol

Kajian membuktikan air beras mempunyai kandungan Inositol, sejenis karbohidrat yang membantu memperbaiki rambut yang rosak.

Inositol kekal dalam rambut walau setelah dibilas, membentuk satu lapisan yang melindungi rambut dari kesan geseran dan hasilnya, rambut akan menjadi lebih kuat dan elastik.

2. Asid Amino

Asid amino pula memperkuatkan akar rambut, melebat, melembut serta mengilatkan rambut.

3. Pitera

Pitera adalah komponen yang terhasil dari penapaian air beras pada suhu bilik, kaya dengan vitamin, mineral, asid amino dan asid organik.

Oleh kerana ia dihasilkan dari penapaian, maka bacaan PHnya sedikit berasid dan hampir sama dengan PH asal kulit dan rambut.

Pitera mempromosi pertumbuhan sel dan mengoptimumkan kesihatan kulit dan rambut.

4. Vitamin B1, C dan E dan mineral

Kandungan vitamin dan mineral dalam air beras dapat mengecilkan pori, mencerah dan menegangkan kulit.

5. Antioksidan

Beras merupakan sumber yang tinggi kandungan asid linoleic dan squalene, dua sumber antiosidan yang menggalakkan penghasilan kolagen dalam kulit.

Squalene melindungi dan mencegah kulit dari kedutan dan mencegah premature aging, jadi anda boleh menjadi awet muda juga.

Air beras juga mengandungi pelembap semulajadi, sangat baik bagi mengimbangi kulit yang berminyak.

6. Asid Para-Aminobenzoic (PABA) dan Asid Ferulic

Ini merupakan bahan pelindung UV apabila dikombinasikan dengan vitamin, cuma ia hanya berfungsi dengan air basuhan beras yang pertama.

Jadi, mungkin tidak begitu berkesan pelindungan UVnya. Dengan kata lain, anda masih perlu pakai sun block.

BAGAIMANA CARA MEMBUAT AIR BERAS?

Ada beberapa cara menyediakan air beras antaranya:

1 Air Didihan Beras

Bila anda masak nasi, lebihkan sukatan airnya. Tunggu sehingga mendidih, kemudian kaup air didihan lapisan atas sebanyak mana yang anda lebihkan tadi. Biarkan sejuk.

2. Air Tapaian Rendaman Beras

Rendam beras yang telah dibasuh dalam air 15-30 minit. Tapis air beras tersebut dan biarkan ia menapai pada suhu bilik selama 1-2 hari, kemudian pindahkan ke dalam peti sejuk untuk menghentikan penapaian.

Air beras ini harus dicairkan lagi dengan air biasa semasa hendak digunakan kerana ianya sangat pekat dan kuat.

3. Air Basuhan Beras

Rendam beras yang telah dibasuh dalam air selama 15-30 minit. Asingkan air beras tadi dan sedia untuk digunakan.

KEGUNAAN AIR BERAS

1. Sebagai Mask – facial rejunevation

Gunakan 3 sudu air didihan beras. Tambah 1 sudu susu dan 1 sudu madu. Kacau dan jadikan kepekatan sesuai untuk mask.

Gunakan mask ini sehingga agak kering di wajah. Cuci muka dengan lebihan air beras yang didihkan tadi.

2. Sebagai Conditioner

Gunakan air tapaian rendaman beras untuk mencantik dan menguatkan rambut. Basahkan seluruh rambut dengan air beras ini dan urut kulit kepala selama 5minit. Biarkan selama beberapa minit. Jika banyak masa, boleh dibiarkan selama 20 minit dan bilas.

3. Sebagai Toner

Basahkan kapas muka dengan air beras dan sapukan pada kulit wajah selepas mencuci muka untuk mengecilkan liang pori dan kulit yang lebih tegang.

Toner yang natural ini akan meningkatkan pertumbuhan sel, menstimulasikan perjalanan darah dan membantu kulit menjadi lebih lembut dan cerah.

4. Sebagai Pembersih Dari Pangkal Rambut Hingga Hujung Kaki

Mandi dengan menggunakan air basuhan beras untuk mendapat faedah segala kebaikannya pada seluruh tubuh.

Air beras dapat menghilangkan parut dan membantu mencerahkan kulit dan meningkatkan perjalanan darah.

5. Meredakan Eczema

Gunakan air didihan beras dan sapukan pada kulit yang bermasalah 2-3 kali sehari.

Pelembap semulajadi dan juga kandungan kanji pada air beras membantu meredakan kegatalan, kemerahan dan keradangan pada dry eczema.

Nah, sekarang anda sudah tahu betapa mudah dan murahnya untuk mendapatkan kulit dan rambut idaman. Air beras adalah jawapan bagi kebanyakan masalah anda. Lepas ni jangan lagi dibuang air basuhan beras anda.

Cuma, sudah namanya pun amalan, makanya untuk mendapat hasil terbaik, haruslah bersabar dan consistent.

Ini adalah cara paling natural dan chemical free yang boleh kita adaptasikan dalam ritual harian. Insyaa-Allah hasilnya amat memberangsangkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: noorfaizahashim.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon