Tuesday, June 04, 2019

Mati Katak Di Jalan Raya, Malaysia Tertinggi Di Dunia


Kemalangan demi kemalangan, seolah-olah membayangkan jalan raya tempat yang tidak selamat, malah mengundang risiko, tetapi mahu tidak mahu, jalan raya tetap menjadi kemudahan terpenting bagi kesejahteraan hidup.

Kemalangan maut

Rujuklah mana-mana rekod kemalangan maut, Malaysia mencatatkan mangsa kemalangan jalan raya dan kadar kematian yang tinggi bagi setiap penduduk negara berbanding mana-mana negara di seluruh dunia.

Apa punca kemalangan dan kematian di jalan raya, sehingga begitu tinggi?

Faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini ialah kecuaian pemandu atau masalah teknikal kenderaan.

Sementara faktor kombinasi pemandu dan jalan raya hanya menyumbang 28 peratus daripada keseluruhan punca kemalangan.

Tiga faktor utama dikenal pasti sebagai punca utama menyebabkan kemalangan jalan raya iaitu; kenderaan, pemandu dan jalan raya.

Tiada satu daripada tiga perkara itu, kemalangan tidak berlaku kerana apabila diamati, jika tiada pemandu, kemalangan pasti tidak akan berlaku. Oleh itu, faktor paling utama ialah pemandu.

Timbul pula persoalan, pemandu yang macam mana? Adakah mereka yang selalu berhati-hati dan bertanggungjawab menyebabkan kemalangan? Itu tidak mungkin.

Siapa lagi penyebab kemalangan? Pasti pemandu yang tidak bertanggungjawab dengan sikap suka mencelah, menghimpit, melanggar lampu isyarat, memecut sesuka hati di laluan tidak sepatutnya dan berlumba di jalan raya.

Ada juga punca kemalangan kerana sikap pemandu yang gemar memotong di laluan kecemasan, menukar lorong sewenang-wenangnya dan tidak memberikan tumpuan ketika memandu.

Bagi pemandu tidak bertanggungjawab, ia langsung tidak melakukan persediaan sebelum berada di jalan raya, tidak memeriksa kenderaan serta tidak memperdulikan keadaan jalan raya dan cuaca.

Sepatutnya tabiat negatif seperti itu perlu dihindarkan. Jalan raya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai satu kemudahan, bukan tempat yang menyimpan kenangan pahit sepanjang hayat.

Ramai yang sudah menjadi korban dan kini tiba masanya, kita sama-sama mengubah minda, daripada banyak melakukan kesilapan di jalan raya kepada kurang kesilapan, malah tiada langsung.

Ketika memandu, amalkan sikap selalu mencongak pada diri sendiri, kemungkinan yang bakal berlaku jika memecut, membelok atau memperlahankan kenderaan.

Jika kemungkinan itu tidak diingini carilah jawapan untuk mengelakkannya.

Pemandu bertanggungjawab sentiasa memastikan pemanduannya tidak berisiko, misalnya dalam perjalanan jauh, tidak alpa berhenti di kawasan rehat bagi menghilangkan penat.

Ada juga yang mengamalkan petua minum kopi terlebih dulu, mengaktifkan sistem audio, menyanyi atau bercakap-cakap dengan penumpang dan sesekali membuka cermin tingkap bagi menghindarkan kelesuan dan mengantuk.

Jika di London, mengikut kajian, aroma kopi menjadikan anda pemandu berhemah, bau kayu manis mengurangkan risiko insiden buli di jalan raya, tetapi bau makanan segera menjadikan pemanduan sebaliknya.

Pelbagai faktor perlu diambil kira apabila berada di jalan raya, seperti kenderaan dipastikan berfungsi dengan baik, emosi terkawal, kesihatan diri serta keadaan jalan dan cuaca.

Bagi umat Islam, sentiasalah basahkan bibir anda dengan zikir agar hati lebih tenang dan tenteram.

Malah, pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua, sehinggakan mereka yang berumah di tepi jalan raya perlu diambil kira, kerana mereka juga mahu selamat.

Jangan sesekali menganggap kerana kita berkenderaan lebih besar, tinggi dan panjang, seperti lori, bas dan pacuan empat roda, kita tidak akan mengalami apa-apa apabila bertembung dengan kenderaan lain. Pendek kata, jangan sombong.

Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama oleh itu, bertimbang rasalah ketika memandu.

Jangan pula apabila sudah menjadi mangsa, mulalah mempersalahkan pihak lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ukm

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon