Thursday, May 09, 2019

6 Fakta Kenapa Perlu Tinted Kereta Yang Ramai Tidak Tahu

6 Fakta Kenapa Perlu Tinted Kereta Yang Ramai Tidak Tahu

Janganlah hanya memasang tinted hitam di kereta anda bagi tujuan kecantikan semata-mata untuk menginginkan warna yang gelap tetapi tidak memikirkan soal kesihatan dan keselamatan. Dari segi kesihatan anda perlu menambahkan fungsi yang menghalang sinaran UV manakala untuk fungsi keselamatan anda perlu menambahkan fungsi yang membuatkan cermin anda sukar retak atau lambat pecah jika berlaku kecelakaan.

Fungsi Tinted Kereta
Gambar hiasan.

Jadi, kami ingin berkongsi tentang pemasangan tinted yang betul, berkualiti dan baik untuk keselamatan dan kesihatan anda.

Berikut adalah 6 sebab kenapa anda perlu memasang tinted gelap pada kereta.

1. Pemanduan yang lebih baik

Dengan pemasangan tinted hitam atau gelap pada cermin kereta akan dapat melindungi pemandu dan penumpang dari silau sinaran cahaya matahari yang sangat terik terutamanya di Malaysia.

Tinted hitam juga amat penting terutamanya buat pemandu yang mempunyai masalah rabun silau.

2. Perlindungan privasi

Pemasangan tinted gelap juga dianggap untuk perlindungan privasi, sekiranya mempunyai barangan berharga yang tanpa anda sedari tertinggal di dalam kereta.

Pencuri tidak akan menyedari adanya barang berharga di dalam kenderaan kerana keadaan cermin gelap yang agak sukar dilihat.

3. Mencegah dari sinaran UV

Di dalam beberapa tahun penggunaan, cat kereta juga akan menjadi pudar dan retak, disebabkan oleh tindak balas cahaya matahari yang mempunyai sinaran UV yang amat berbahaya yang mampu masuk ke dalam kereta yang tidak dipasang tinted.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa pemasangan tinted gelap tidak dapat menghalang sinaran UV, kerana ia hanya untuk aksesori kecantikan dan keselamatan.

Anda perlu menambah fungsi yang bertujuan menghalang sinaran UV bagi pemasangan tinted.

4. Ketahanan cermin lebih baik

Sekiranya kereta terlibat dengan kemalangan melakukan pemasangan tinted yang baik pada cermin hadapan keretanya, cermin tersebut tidak akan pecah berkecai tetapi cermin hanya retak dan ia akan minimumkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Jadi, amat penting untuk anda memasang tinted beserta fungsi keselamatan bagi meminimumkan kecederaan.

5. Suasana redup dalam kereta

Pemasangan tinted yang betul mampu mengurangkan haba masuk ke dalam kereta seterusnya tidak akan membuat anda berasa sangat panas.

6. Mengekalkan kesihatan pemandu

Pemasangan tinted gelap yang berkualiti juga akan mampu menangkis sinaran UV daripada masuk terus ke dalam kereta kerana sinaran ini amat berbahaya kepada kesihatan.

Contoh Pilihan Tinted Kereta Terbaik

American Standard Window Film iaitu ASWF's Dimension XVX70 adalah tinted gelap yang menggunakan teknologi Seramik. Ianya mempunyai spesifikasi seperti di bawah dengan tambahan ciri keselamatan.

Window Film Performance Data:
  • Light Transmission 35%
  • Solar Energy Rejected 53%
  • Infra Rejection 85%
  • U/V Rejected 99%
  • Visible Light Reflectance
  • Interior 13%
  • Exterior 13%

Harga? Anda bolehlah berkunjung dan tanya sendiri di bengkel yang ada membuat pemasangan.

Fakta Tinted Kereta

Mungkin ada di antara pemilik kereta menganggap semua tinted adalah sama. Asalkan cermin gelap, pasti kepanasan dapat dikurangkan.

Faktanya, bukan semua filem cermin gelap sama. Jika anda menggunakan filem penapis haba berkualiti rendah, efek warna akan cepat luntur selain tidak tahan lama.

Apa salahnya melabur sedikit untuk mendapatkan filem cermin lebih berkualiti. Filem penapis haba dengan ketebalan 4 mil atau 6 mil sudah cukup.

Cara Penjagaan Tinted Kereta Yang Betul

Bagaimana cara menjaga filem penapis haba supaya tahan lebih lama? Jawapannya, kewujudan pelbagai teknologi terkini, kebanyakan pengeluar sudah berani memberikan jaminan antara 5 hingga 10 tahun dan anda tidak digalakkan mengguna bahan cucian kuat ketika mencuci kenderaan.

Mencuci tingkap kereta dengan air biasa sudah mencukupi. Apa yang penting, kain pengelap kereta mesti bebas habuk kerana ia berpotensi menyebabkan kesan calar pada filem.

Jadi, anda mesti mengelak dari menggunakan kain pengelap yang terlalu kotor.

Kadangkala, calar tinted berpunca dari proses penggunaan dan keadaan sesebuah kenderaan akibat geseran pada getah disebabkan proses menaik dan menurunkan tingkap kuasa.

Ia bukan disebabkan kecacatan tinted seperti warna luntur, paparan cermin menjadi kabur atau terdapat buih.

Bagi anda yang sedang tercari-cari tinted terbaik penapis haba, kami harap artikel ini dapat membantu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ienaeliena

SBDJ Siri 67: Pelihara Ulat Tokak

SBDJ Siri 67: Pelihara Ulat Tokak

Mujurlah ingatan Datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.

Toyol jadi-jadian

“Ah, haji laknat,” pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.

Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan dinding dan terus melekat di situ.

Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat.

Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad.

Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim.

Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud.

Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar.

Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim.

Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.

Saya lihat darah membuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang.

Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud.

Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.

“Kau sudah melampau,” jerkah Datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun.

Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.

“Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud.

Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya.

Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari Datuk.

“Ah,” jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk Datuk.

Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan Datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati.

Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.

Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya.

Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.

“Kita tangkap dia,” kata Datuk.

Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut Datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh.

Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, Datuk tetap memaksa saya.

Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang.

Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.

Saya, Haji Salim dan Datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul.

Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci.

Selesai Haji Salim bercakap, Datuk pula mengambil peranan, memberikan penerangan selanjutnya.

Saya lihat, baik Datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui.

Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.

“Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu Datuk pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.

“Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.

Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.

“Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.

Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.

Anehnya, tidak ada seorang pun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut.

Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim.

Satu hal yang pasti, sama ada Datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.

“Bagaimana dengan luka tu masih terasa bisanya?” tanya Datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.

“Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.

“Kalau begitu, biarlah kami pulang,” ujar Datuk.

“Silakan, tapi…,” Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya.

Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh Datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.

Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, Datuk terus mengajukan pertanyaan.

“Kenapa Haji?”

“Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”

“Agaknya bisa parang panjang.”

“Bukan.”

“Kalau bukan itu, apa dia?”

“Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing.”

“Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar.”

“Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu.”

“Terpulanglah pada awak,” balas Datuk.

Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.

“Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,” Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.

“Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya.”

“Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”

“Baiklah.”

Saya dan Datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih.

Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya.

Saya terus berjalan mengekori Datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan.

Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud.

Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang.

Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.

MANDI

Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan Datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah.

Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.

Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakan.

Semuanya sudah di kumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.

Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim menuai.

Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya.

Sebabnya, lepas bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.

Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan.

Syaratnya bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api.

Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang.

Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel kelas rendah.

“Kau pergi sembahyang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek.

Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah Datuk sudah pun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.

Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada Datuk untuk bersalam.

Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Datuk.

Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.

Saya yakin orang inilah yang muncul di depan Datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak menghiraukannya.

Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana Datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.

Datuk menyambut salam darinya tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan Datuk, cepat-cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya.

Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang wajah Datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.

“Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah Datuk.

Bila dilihatnya Datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.

“Jangan begitu, akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.

“Maksud kamu?” soal Datuk.

“Kau menyeksa anak murid aku.”

“Siapa anak murid kamu?”

“Daud.”

“Daud?” ulang Datuk dengan rasa gugup.

“Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun, melangkah ke pintu.

Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya dan Datuk.

Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu.

Tanpa menegur saya Datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.

“Datuk nak ke mana nek?”

“Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”

“Ha, saya nak ikut,” jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.

Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar.

Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.

“Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.

Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya.

Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin Datuk merestui saya mengikutinya.

LEBAI

Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan Datuk dengan Lebai Din.

Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada Datuk. Semuanya di dengar oleh Datuk dengan teliti.

“Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikinya,” terang Lebai Din.

“Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab Datuk.

“Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak.”

“Saya berdoa Allah akan melindungi saya,” suara Datuk merendah.

Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din.

Saya dan Datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak.

Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.

Kulit buah getah berserakan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah.

Langkah Datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.

Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepak tunggul atau akar yang merayap di bumi.

Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok. Cahaya matahari tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang lebat dan berlapis-lapis.

Saya dan Datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah.

Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.

Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia.

Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang.

Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah padi.

Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan Datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta mengimbangi badan.

Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata.

Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama.

Saya lihat pintu dan tingkap pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.

Saya renung ke arah Datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok.

Saya terus mengekori Datuk hingga ke kaki tangga pondok lama.

Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu.

Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya.

Saya lihat ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah.

Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya.

Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.

Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.

“Apa hajat?” tanyanya pada Datuk.

“Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”

“Oh, awak salah orang.”

“Tidak.”

“Awak yakin.”

“Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”

Mendengar cakap Datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat.

Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama-lama terasa seram sekali.

Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis-lapis.

Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah.

Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam.

Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai.

Di bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya.

Bibir atas dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.

“Sial,” pekiknya lalu menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.

Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melentuk ke kiri, melentuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.

“Ya, aku datang,” saya dan Datuk pusing badan ke kiri.

Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada Datuk, segera Datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.

“Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi,” Datuk segera menyingsing lengan.

Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.

“Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat.

"Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

"Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”

“Kau silap kawan.”

“Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agama dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu.”

“Buktinya?”

“Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan.”

“Ya,” jawab orang itu.

Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam.

Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh, macam seorang pendekar.

“Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya tertanya dan terus berubah tempat.

Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga.

Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara.

Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan Datuk.

Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia.

Tupai itu jatuh atas tanah, menggeletek tidak tentu arah dan terus mati.

Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa Datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimilikinya sungguh hebat sekali.

Saya segera menghampiri Datuk. Saya mengajak Datuk pulang.

Bagi saya, kalau dengan Daud pun Datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya.

Saya tidak mahu melihat Datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk Datuk beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.

“Pulang saja tok.”

“Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku,” tengking Datuk. Saya termangu-mangu bila ditengking begitu.

Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak.

Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat nangka.

Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau.

Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang memperlihatkan senaman aerobik.

Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kali ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya.

Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.

“Bagaimana?” katanya dengan muncul dari arah belakang saya.

Kali ini badannya diselimuti dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan.

Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di kubur lama.

Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.

“Syaitannya cukup kuat,” kata Datuk sambil menggigit bibir.

Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya.

Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal.

Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang Datuk.

“Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata Datuk pada saya.

Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.

TERBENAM

Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan Datuk sudah pun berada di rumah.

Nenek memberitahu Datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar.

Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.

“Badannya tidak bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada Datuk.

Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.

“Kita bawa saja ke hospital,” kata isteri Haji Salim pada Datuk.

“Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat.

"Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim.

Sementara menanti barang-barang yang dipesan itu tiba, Datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka.

Saya lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan bau hapak.

“Haji,” seru Datuk.

Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah Datuk.

“Terasa bisa seluruh badan,” soal Datuk lagi.

“Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim. Datuk menarik nafas panjang.

Barang-barang yang dipesan oleh Datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut.

Perkara pertama yang Datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah Yasin, tiga kali berturut.

“Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan,” Datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air.

Perlahan-lahan Datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.

Selesai sahaja Datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar.

Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.

Tamat siri 67/284

BACA: SBDJ Siri 66: Pendekar Terbang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, May 08, 2019

Siapa Bayar Kos Majlis Perkahwinan, Pengantin Lelaki Atau Perempuan?

Siapa Bayar Kos Majlis Perkahwinan, Pengantin Lelaki Atau Perempuan?

Setiap pasangan pasti impikan majlis perkahwinan yang indah untuk menjadi kenangan seumur hidup, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, ia merupakan antara salah satu majlis yang penting.

Kos Majlis Perkahwinan

Di Malaysia, akan terdapat tiga majlis perkahwinan iaitu; majlis nikah beserta majlis resepsi iaitu bersanding dan bertandang. Persoalannya, siapa yang tanggung?

Walhal dalam agama Islam, sebenarnya cukup sekadar diadakan satu jamuan walimatul urus selepas upacara pernikahan pasangan pengantin.

Meskipun begitu, sudah pasti setiap pasangan yang ingin berkahwin itu mahukan majlis mereka indah dan meriah.

Jarang ada bakal pengantin yang inginkan majlis perkahwinan mereka setakat ‘cukup syarat’ dan ala kadar. Manakan tidak, majlis ini sekali seumur hidup!

Akan tetapi setiap majlis perkahwinan itu adalah bergantung kepada kemampuan setiap pasangan pengantin.

Jika inginkan yang mewah dan gilang-gemilang, maka kos yang perlu dikeluarkan pasti banyak, begitu juga sebaliknya.

Persoalannya sekarang, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dan perlu menampung kos perbelanjaan majlis perkahwinan? Adakah ianya ditanggung oleh pengantin lelaki ataupun pengantin perempuan? Dan perlukah diadakan jamuan makan-makan sebenarnya?

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengemukakan pandangannya berkenaan perkara ini dalam laman rasmi Pejabat Mufti WP.

Melalui perkongsiannya, kita akan lebih memahami siapa yang bertanggungjawab dan perlu mengeluarkan belanja untuk majlis kenduri atau walimatul urus di sebelah keluarga perempuan.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul.

Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin.

Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan.

Meskipun begitu, para ulama mempunyai dua pendapat yang berbeza kepada implikasi tuntutan tersebut.

Pendapat Pertama

Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.

Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.

Pendapat Kedua

Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad.

Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.

Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib.

Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.

Siapa yang bertanggungjawab dalam mengadakan majlis perkahwinan?

Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki.

Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga pengantin perempuan.

Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri.

Lalu beliau menyatakan, ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki), melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan."

Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami, berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas.

Ini kerana, baginda SAW menyatakan kepada beliau ﺃﻭﻟﻢ (lakukanlah walimah), namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf ﺃﻭﻟﻤﻮﺍ (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan).

Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki. Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh.

Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.

Akan tetapi, sekiranya majlis walimah dilakukan oleh keluarga pengantin perempuan, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri, ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki)."

Sebagai kesimpulan, hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya.

Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki.

Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: says

10 Manfaat Minyak Badam Untuk Kecantikan Anda Patut Amalkan

10 Manfaat Minyak Badam Untuk Kecantikan Anda Patut Amalkan

Selain jitu dengan kepelbagaian variasi nutrisi seperti Vitamin A, B dan E, khasiat dan manfaat minyak badam (almond) juga mengandungi asid lemak yang memiliki kemampuan untuk mengembalikan kelembapan serta keanjalan alami kulit.

Manfaat Minyak Badam

Berikut 10 fakta menakjubkan tentang minyak badam (almond) yang wajib kaum wanita ketahui, malah dipraktikkan selalu.

1. Katakan “TIDAK!” kepada Mata Panda

Atasi lingkaran hitam di sekitar kawasan mata dengan mengoleskan secara nipis minyak badam secara pusingan arah jam atau lawan arah jam di lokasi mata sebelum tidur pada malam hari secara teratur.

Berikan urutan ringan menggunakan jari manis dan biarkan ia semalaman, meresap dan menjalankan magisnya. Keesokannya, kulit di sekitar lingkaran mata, pasti akan terasa kenyal dan lebih terhidrat.

Tiada lagi mata panda atau mata ikan buntal, usah biarkan “daya penarik dari mata turun ke hati”, terjejas.

Sapukan minyak badam pada kadar yang kerap ya.

2. Wajah terlihat sentiasa awet muda

Salah satu fungsi minyak badam (almond) adalah untuk melancarkan peredaran darah kerana apabila minyak badam dioleskan pada wajah yang telah dibersihkan, ia dapat mengurangkan kerutan dan garis-garis sipi atau tegar penuaan yang biasanya muncul di sekitar mulut dan kawasan mata.

Usah benarkan, wajah anda tampak lebih “berusia” berbanding umur anda yang sebenar.

Pegang pada prinsip, ‘age is just a number’, anda pasti akan lebih mengukirkan senyuman tanpa segan-silu kerana tiada lagi garis-garis kedutan pada raut wajah. Bukankah begitu?

3. Tanggalkan cela solekan semudah ABC

Minyak badam (almond) juga dipercayai berfungsi sebagai pembersih solekan, sekali gus dapat menegangkan kulit yang kendur.

Oles minyak badam (almond) pada wajah terutama pada mata dan bibir, kemudian bersihkan sisa minyak dan kotoran dengan menggunakan kapas.

Ia pasti lebih bersih; usah biarkan saki-baki kotoran masih melekat pada roma wajah; oh tidak!

4. Ungkapkan “Selamat tinggal wahai kulit mati”

Atasi kulit yang terlihat kusam dengan perawatan skrub alami menggunakan minyak badam (almond).

Caranya, campur minyak badam dengan sesudu susu, sedikit perahan lemon dan sesudu gula kasar.

Oles ke seluruh permukaan kulit dan berikan urutan lembut dengan gerakan membulat agar kotoran dan sel kulit mati disingkir secara sempurna.

Biarkan tepekan itu selama beberapa saat sebelum dibilas dengan air suam.

5. Tidakkah anda mengidamkan rambut indah mengurai secara alami?

Bagi yang bermasalah rambut sarat dengan kepingan kelemumur dan habuk-habuk kulit kering, oleskan minyak badam (almond) pada helaian rambut dan kulit kepala dalam keadaan basah dan urut secara manja.

Usah terlalu banyak dan biarkan selama 15 minit, lalu bilas dengan syampu dan berbaldi air.

Umumnya kelemumur akan berkurangan selepas tiga kali rawatan. Bukan mitos, tapi fakta. Wajib cuba ya.

6. Pupur muka secara alami; bukan yang tipikal di farmasi

Minyak badam juga berfungsi sebagai pupur alami yang cukup praktikal. Caranya, tutup rambut yang telah dioleskan sedikit minyak badam (almond) dengan topi plastik (‘shower cap’) dan biarkan ia “berkahwin” selama beberapa saat.

Kemudian, bilas dengan air sejuk. Lakukan perawatan ini seminggu sekali untuk memperbaiki tekstur rambut.

7. Penyelamat bibir pecah atau ‘chapped lips’

Oleskan minyak badam (almond) pada bibir mungilmu setiap pagi, terutama sebelum anda memulakan sebarang solekan bibir agar bibir tidak pecah merekah dan kekal hidrat sentiasa.

Minyak badam juga dapat mencerahkan warna permukaan kulit bibir hinggakan bibir anda bakal terlihat lebih segar. Tidakkah anda ingin bibir yang merah menyala bak biji saga?

8. Kulit kepala tidak kemerahan dan menghalang iritasi

Cubalah, dengan menyapukan minyak badam (almond) pada kulit kepala dan sungguh pun anda menyarungkan hijab, perapian rambut, usahlah diabaikan.

9. Merawat tumit

Jika anda punya masalah kulit tumit merekah, kulit tangan dan kulit kaki kering, gunakan minyak badam. Usah biarkan ia melarat, belailah ia dengan sapuan secara nipis.

10. Meningkatkan daya ingatan

Mudah saja, hanya tambahkan minyak badam (almond) ke dalam susu Omega dan campur-baurkannya secara padu. Inshaa-Allah, memori anda bakal dipertingkatkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hijabista

Caj RM5K Jika Mahu Cermin Kereta Gelap Sepenuhnya!

Caj RM5K Jika Mahu Cermin Kereta Gelap Sepenuhnya!

Pemilik kenderaan di Malaysia tidak perlu lagi risau dikenakan saman oleh pihak berkuasa sekiranya kadar ketelusan cahaya tampak atau cermin gelap kereta mereka melebih had yang ditetapkan, selepas Kementerian Pengangkutan menetapkan tiada lagi had bagi cermin gelap untuk semua kenderaan persendirian.

Kadar cermin gelap

Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook, kelonggaran itu bagaimanapun, hanyalah untuk cermin kiri dan kanan penumpang serta belakang sahaja.

Sebelum ini, ketelusan cahaya tampak ditetapkan pada kadar 30 peratus seperti digariskan dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Sehubungan itu, peraturan baharu menetapkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan kenderaan pula adalah 70 peratus manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu terikat pada 50 peratus.

"Cermin di belakang dan cermin penumpang tidak ada had, boleh gelap. Sebab ramai yang minta supaya di longgarkan untuk memberikan lebih gelap supaya boleh menahan haba dan sebagainya.

"Kita sudah mengambil pertimbangan itu tetapi kita tak boleh berkompromi untuk cermin depan dan untuk cermin pemandu sebab itu yang lebih penting dan itu (had) kita kekalkan sedia ada," kata beliau.

Beliau turut menegaskan, kebenaran itu hanya tertakluk untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja.

Bagi kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, kadar ketelusan cahaya tampak atau peratusan cahaya tampak tidak boleh kurang daripada 70 peratus.

Mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin lebih gelap sama ada menerusi menggunakan lapisan filem atau penggunaan kaca lebih gelap yang menjadikan peraturan cahaya tampak adalah kurang, atas sebab khusus seperti faktor keselamatan atau kesihatan.

Tetapi, fi permohonan dan pemprosesan baharu sebanyak RM50 akan dikenakan ke atas setiap kelulusan menggunakan cermin yang lebih gelap bertujuan meningkatkan hasil kerajaan.

Cermin Gelap Penuh

Dalam pada itu, setiap permohonan bagi penggunaan cermin gelap sepenuhnya akan dikenakan bayaran RM5,000 dengan kelulusan untuk dua tahun dan perlu memohon semula dengan kadar caj sama selepas tamat sah laku itu.

Latar belakang kebanyakan mereka yang memohon atas faktor keselamatan adalah tan sri, datuk seri dan orang berkemampuan dan jika dikenakan bayaran, ia mampu memberi pendapatan kepada kerajaan.

Permohonan atas faktor kesihatan dikecualikan daripada bayaran tetapi perlu disahkan pakar kerubatan kerajaan.

Manakala pengecualian fi diberikan kepada permohonan atas faktor kesihatan yang disertakan dengan pengesahan bertulis pakar perubatan kerajaan sekiranya ada alahan atau penyakit kulit perlu elak cahaya matahari dan sebagainya dan akan diluluskan segera.

Peraturan baharu itu memberi tempoh sehingga 5 Ogos 2019 untuk pemilik kenderaan mengubahsuai filem penapisan tampak cahaya dan cermin gelap kereta masing masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

SBDJ Siri 66: Pendekar Terbang

SBDJ Siri 66: Pendekar Terbang

Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu, tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang-orang kampung. Akibatnya, orang-orang kampung berada dalam kecemasan.

Toyol jadi-jadian

“Entah siapa yang pandai buat ramalan mengarut tu,” rungut Haji Salim ketika saya mengunjungi tempat kerjanya.

Dari cara ia bercakap dan kerut wajahnya membayangkan rasa kesal yang mendalam.

“Kau lihat sendiri Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah dua minggu jugalah peristiwa hujan panas itu terjadi, tak ada pun perkara yang tak baik terjadi,” sambungnya lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk dibuat keris panjang.

Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan oleh Haji Salim itu memang benar.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, tidak terdapat makhluk berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh kampung menjelang waktu Maghrib.

Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.

“Kubur lama juga tidak dipuja orang lagi?” saya terkejut mendengar kata-kata Haji Salim.

Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi oleh kepanasan, saya tenung.

“Macam mana Pak Haji tahu?”

“Aku pergi sendiri dengan tidak memberitahu Datuk kamu.”

“Kerja tu merbahaya Pak Haji.”

“Aku tahu. Kalau aku pergi dengan Datuk kamu, aku tak boleh membalas dendam. Datuk kamu bertindak lambat sangat,” tambah Haji Salim lagi.

Saya menarik nafas panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh dendam pada orang-orang yang memuja kubur lama. Ia yakin, kematian cucu saudaranya angkara manusia pemuja syaitan.

“Kematian cucu saudaraku mesti dibalas,” ujarnya sambil menggenggam penumbuk.

Peluhnya yang meleleh dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air peluh itu bercampur dengan air peluh di dada lalu mengalir ke arah perutnya yang agak buncit sedikit dan kulitnya nampak kendur.

Saya terus memerhatikan ia membuat kerja. Secara tidak diduga, saya teringatkan Datuk yang sejak pagi lagi pergi ke kaki bukit memburu ayam hutan.

“Aku tahu, Datuk kamu sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa syarat dan petua,” Haji Salim merenung ke arah saya.

Cepat-cepat saya kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim mendapat sumber cerita yang baru ini.

Saya kira, Haji Salim cuma mahu bergurau atau cuba membuat ramalan kosong.

Sepanjang ingatan saya, belum pernah Datuk melakukan sesuatu kerja tanpa memberitahu saya.

Selangkah ia bergerak dalam usaha untuk kebaikan ia pasti memberitahu saya.

Kalau tidak beritahu pada saya, ia akan beritahu pada nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.

Bila Haji Salim berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri saya terhadap Haji Salim.

Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah mengintip segala kegiatan Datuk. Apakah Haji Salim meragui kejujuran Datuk?

Mungkin Haji Salim mahu memperlihatkan kelebihan yang ada pada dirinya pada Datuk.

Mungkin Haji Salim merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu satu rancangan Datuk yang disembunyikan dari pengetahuannya, timbul pertanyaan dalam diri saya.

Kalaulah apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih dahsyat akan terjadi bila dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian masing-masing.

“Aku yang meminta Datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah aku rayu baru ia setuju, ia melakukannya waktu tengah malam tanpa ada orang lain yang tahu, kecuali diri aku sendiri,” saya tersenyum.

Rasa sangsi dan bimbang yang bergolak dalam dada saya menemui jalan akhir.

“Hari ni hari Rabu. Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung Ulu Kelubi,” Haji Salim berhenti membakar besi. Ia mengelap peluh di tubuhnya dengan tuala kecil cap matahari.

“Apa halnya Pak Haji?”

“Orang tu menempah parang. Parangnya dah siap. Aku nak menghantarnya sekarang, apa kau nak ikut sama.”

“Boleh juga.”

“Orang ni aneh sikit Tamar. Matanya buta tapi ia tahu warna baju yang dipakai oleh orang yang datang berjumpa dengannya.”

“Hebat orang tu Pak Haji.”

“Tak tahulah aku nak kata, hebat atau tidak. Kau tengoklah sendiri.” Haji Salim ketawa.

Ia meninggalkan saya di rumah kerjanya. Haji Salim masuk ke bilik mandi. Kemudian pakai kain dan baju Melayu.

Dengan motosikal, kami menuju ke Kampung Kelubi. Saya ditugaskan oleh Haji Salim memegang parang.

Lebih kurang sepuluh minit kami melalui jalan raya, akhirnya kami melalui memasuki satu lorong kecil.

Tidak sampai lima minit melalui lorong yang sempit itu, kami sampai ke sebuah rumah papan kecil.

Haji Salim tongkat motosikal di bawah pokok mempelam.

Dalam perkiraan saya, jarak Kampung Kelubi dengan kampung saya kira sepuluh batu lebih. Kampung Kelubi berada dalam jajahan Larut dan Matang.

Haji Salim terus memberi salam. Salam Haji Salim dijawab. Bila saya merenung ke pintu rumah, seorang lelaki tercegat di situ, orangnya kecil, berkulit agak hitam, rambutnya kerinting.

“Naik, budak yang pakai baju merah dan berseluar putih tu siapa?” tanya orang itu pada Haji Salim. Saya tahu kata-kata itu ditujukan pada saya.

“Nanti sekejap lagi saya beritahu,” jawab Haji Salim dan terus melangkah ke kaki tangga.

Bila berada dalam rumah orang itu, saya duduk dekat Haji Salim. Orang itu terus menjentik parang yang diberikan oleh Haji Salim padanya dengan kuku ibu jari kiri.

“Besinya baik, tidak rapuh,” katanya sambil meletakkan parang itu di hujung lututnya.

Dari raut wajahnya, saya kira orang itu berusia antara 50-55 tahun. Haji Salim memanggilnya sebagai Lebai Din. Peramah dan suka berjenaka.

“Budak yang kamu bawa ni, berkulit cerah, rambut kerinting, ada parut di kepala,” Lebai Din terus memperkatakan diri saya.

Semua yang dikatakannya itu memang tepat. Meskipun matanya buta. Saya kagum dengan kebolehannya itu.

“Pak Lebai nak buat apa parang ni?” tanya saya.

“Nak menebas kebun getah, biar mudah aku menoreh.”

“Eh, buta pun boleh menoreh dan menebas kebun.”

“Apa kau fikir orang buta tak boleh kerja? Dalam hidup ni biar kita buta mata, jangan buta hati. Kalau dah buta hati, celik pun tak guna.”

Haji Salim ketawa mendengar cakap Lebai Din itu. Saya merasakan ungkapan itu satu sindiran buat saya yang celik.

Kalau saya tidak fikir yang berkata itu orang yang cacat anggotanya, mahu rasanya saya bertekak. Panas hati saya disindir dalam baik.

“Dia bukan menyindir, cakapnya itu penuh makna,” kata Haji Salim bila melihat saya dalam keadaan resah. Lebai Din tersenyum.

“Aku tahu budak tu marah. Tapi dia harus ingat, orang cepat marah selalu rugi. Hei budak kamu marahkan aku?” ujar Lebai Din dalam senyum yang memanjang.

“Saya tak marah.”

“Belajarlah dalam hidup untuk jadi orang yang tidak lekas marah. Aku tahu kamu budak pintar,” Lebai Din terus menepuk-nepuk kepala saya.

Haji Salim hanya memperhatikan sahaja telatah Lebai Din terhadap diri saya.

Tanpa diminta, Lebai Din menceritakan pada saya bahawa kedua belah matanya buta sejak kecil lagi.

Pada mulanya ia sakit mata dalam usia tujuh tahun. Ibunya membawa dia menemui dukun mata.

Entah di mana silapnya, sejak menemui dukun mata itu matanya terus sakit dan akhirnya menjadi buta.

Menurut cerita ibunya, dukun mata itu tersalah ramuan ubat. Mungkin dukun mata itu merasa bersalah lalu menjadikan ia anak angkat.

Semasa menjadi anak angkat dukun mata itulah ia belajar silat, mengenal bentuk tubuh dan kulit orang berdasarkan bau badan. Dari tekanan suara seseorang ia dapat membaca watak peribadi orang itu.

Memanglah Lebai Din orang buta yang hebat, pada tanggapan saya. Kalau ia bercerita tentang dirinya memang asyik kita mendengarnya.

“Itu kisah lalu,” katanya mengakhiri cerita dirinya sambil merenung ke arah saya.

Meskipun kedua belah kelopak matanya tercantum, saya masih dapat merasakan di sebalik kulit yang bercantum itu ada sepasang mata yang tajam boleh menembusi hati dan perasaan sesiapa yang berada di hadapannya.

“Sekarang ada kisah baru Haji,” Lebai Din memperkemaskan silanya. Ia meraba kepala lututnya.

“Cerita apa Pak Lebai?” sahut Haji Salim.

“Begini, sejak dua tiga minggu lalu, orang-orang di kampung ini heboh memperkatakan tentang seorang pendekar yang boleh terbang atas angin.”

“Siapa orangnya Pak Lebai?”

“Aku tak kenal.”

“Pernah Pak Lebai bercakap dengannya.”

“Ada sekali. Waktu aku sedang motong getah ia lalu, kemudian ia minta kebenaran dari aku untuk mendirikan pondok di kebun getah aku.”

“Aku izinkan. Bila aku izinkan dia tak mahu, dia minta kebenaran untuk dirikan pondok di sawah aku yang terpencil.”

“Habis Pak Lebai izinkan.”

“Aku izinkan. Apalah salahnya dia nak menumpang. Lagipun bumi ini Allah yang punya. Kita cuma diamanatkan untuk menjaganya semasa kita masih hidup.”

Haji Salim merenung wajah saya. Kemudian Haji Salim kerutkan kening sambil meraba-raba pangkal dagunya. Macam memikirkan sesuatu.

“Bila aku tanya kenapa dia tak mahu mendirikan pondok dalam kebun getah yang letaknya tidak jauh dari rumah aku, jawapannya meragukan,” Lebai Din berhenti bercerita. Ia termenung panjang.

Perbuatannya itu membuat saya tidak sabar lalu mengajukan pertanyaan.

“Apa dia jawapannya Pak Lebai?”

“Hai kau pun nak tahu jawapannya?”

“Ceritakanlah Lebai, saya juga nak tahu,” sahut Haji Salim dengan tenang.

“Katanya, dia ramai anak murid. Mengajar silat dari tengah malam hingga pagi, kalau dekat kampung nanti orang kampung marah,” Lebai Din memberikan keterangan. Saya dan Haji Salim anggukkan kepala.

“Dari cara orang tu bercakap berdasarkan gerak suaranya, dia memang tidak jujur. Kalau aku boleh mengintip mahu aku mengintipnya waktu malam.”

Sambung Lebai Din. Dari cara Lebai Din bercerita itu, ia seolah-olah minta Haji Salim mengintip gerak geri pendekar tersebut.

Lebih kurang sejam kami berada di rumahnya, kami pun minta diri. Kami tidak singgah di mana-mana. Terus pulang ke rumah.

Bila sampai di rumah Haji Salim, saya terkejut besar melihat Datuk berdiri di halaman rumah Haji Salim sambil memulas tangan kanan Daud ke belakang.

Daud saya lihat tunduk sambil menahan kesakitan. Wajah Datuk merah. Haji Salim segera menghampiri Datuk.

“Kenapa? Kenapa Daud dibuat macam tu,” suara Haji Salim lembut.

Wajahnya cemas. Datuk tidak menjawab. Daud ditolaknya hingga terjerumus ke bumi.

“Aku bunuh kamu, kalau kamu membuat perkara maksiat tu,” suara Datuk meninggi.

Datuk terus menumbuk pokok pisang melepaskan geramnya. Pokok pisang yang ditumbuk Datuk terus patah dua macam dipotong dengan parang. Datuk terus termenung panjang di situ.

Haji Salim segera menghampiri Daud yang baru bangun sambil meraba dadanya. Mukanya nampak pucat.

“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.

“Saya orang miskin. Kata orang dalam kubur lama ada harta karun, ada emas berlian, jadi saya cuba korek. Baru dua kali korek orang tua datang,” Daud merenung ke arah Datuk. Muka Daud nampak cemas sekali.

Haji Salim terus menarik Daud ke dalam ruang tempat kerjanya. Ia suruh Daud duduk di situ.

Kemudian Haji Salim terus menemui Datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Datuk dan Haji Salim terus menemui Daud.

“Sekarang aku mahu kau bercerita perkara yang benar,” kata Haji Salim pada Daud.

Datuk tidak berkata apa-apa. Ia cuma termenung dan berusaha menenangkan rasa marah yang membara dalam dirinya.

Daud terus bercerita. Kira-kira dua bulan yang lalu, ia diajak oleh seorang kawannya dari Pulau Pinang untuk memasuki satu kumpulan yang kerjanya mencari kubur lama untuk dipuja dengan tujuan mencari harta karun.

Menurut ketua kumpulan, setiap kubur lama terutama kubur raja-raja dahulu kala menyimpan harta karun kerana dipercayai orang-orang yang mati itu ditanam bersama-sama dengan hartanya.

Dalam usaha mencari harta karun itu, mereka sudah menjelajah ke seluruh tanah air. Mereka bergerak waktu malam.

“Siapa nama ketua kumpulan kamu,” soal Datuk.

“Kamal, orang Batu Maung. Tetapi, ketua nombor satu seorang dukun tua yang berulat kaki. Saya yang memberitahu mereka di sini ada kubur lama.”

“Patutlah kamu selalu keluar. Kata kamu kerja kontrak tetapi lain pula yang kamu lakukan,” potong Haji Salim.

“Ya, saya menipu,” sahut Daud.

Datuk terus merisik rahsia dari Daud. Daud mengakui dia pernah memakai Jubah Hitam dan berada di kubur lama melakukan pemujaan.

Tetapi, ia tidak pernah memotong lidah anak dara sunti. Cuma ia memberitahu pada kumpulannya tentang jumlah anak dara sunti yang terdapat di kampungnya.

“Kata dukun panglima di kampung kita ni susah sikit, ada penghalangnya. Penghalangnya besar dia ni,” Daud menudingkan jari telunjuknya ke arah Datuk.

Haji Salim menarik nafas panjang. Datuk tersenyum, ia sudah dapat mengawal perasaannya.

“Orang yang kau sebut sebagai Dukun Pendekar tu, boleh mengubat orang dan mengambil upah membuat orang,” tanya Datuk.

“Ya, semua kerja jahat dia boleh buat. Dia berdendamkan kamu,” jawab Daud. Datuk menarik nafas panjang.

“Begini saja Daud. Kau ceritakan pada kami tentang kehebatan Dukun Pendekar yang aku lihat pada kami.

"Kalau ia betul-betul hebat, kami ikut dia. Sama-sama kita cari harta karun. Aku tahu tempat kubur lama yang menyimpan harta,” Haji Salim memujuk Daud penuh sopan santun.

Pada mulanya, Daud keberatan mahu menceritakan kisah ketuanya itu.

Bila Haji Salim memperlihatkan kemampuannya menggenggam bara api dan mematahkan besi pejal, Daud terus membuka rahsia.

Kata Daud, kaki kanan Dukun Pendekar dihinggapi penyakit tokak, sudah berulat. Ulat-ulat tokak itu tidak pernah dibuang atau dibunuh.

Jika ulat-ulat itu jatuh, ia akan mengutipnya dibungkus dalam kain kuning.

Kemudian ulat-ulat dipelihara dalam balang besar dan diberi makan bangkai dan lidah manusia serta binatang.

Setiap kali Dukun Pendekar masuk gelanggang, tokak di kaki kanannya sukar untuk dikesan oleh para muridnya.

Ia pernah melihatkan kemampuannya di hadapan Daud dan anak-anak muridnya yang lain, berjalan dalam hujan lebat waktu malam dengan membawa pelita.

"Pelita yang dibawanya tidak padam.

Dia berjalan cukup laju, kalau ia mahu pergi ke sesuatu tempat, ia akan menyebut nama tempat.

"Selesai saja sebut nama tempat tersebut ia akan hilang dan dirinya akan berada di tempat yang disebutnya,” ujar Daud penuh rasa kekaguman.

“Lagi apa kebolehannya?” desak Datuk.

“Bila ia berhadapan dengan orang yang warak dan taat dengan hukum Allah, ia akan memperlihatkan dirinya sebagai orang yang tinggi dalam ilmu agama. Boleh menyebut ayat al-Quran dengan fasih.”

“Waktu siang, suka memencilkan dirinya di gua atau pondok buruk.”

Datuk dan Haji Salim berpandangan. Saya memicit jerawat batu di pipi kanan. Angin yang menerpa ke dalam ruang menjamah wajah saya. Terasa nyaman dan selesa. Beberapa helai daun kering kelihatan gugur di halaman.

Daud terus membisu, rambut panjangnya yang menyerkup dahi diangkatnya dengan telapak tangan kanan.

Parut di dahi sebelah kiri jelas kelihatan, nampak kehitam-hitaman sedikit.

“Orang tu sekarang duduk di mana?” suara Datuk agak meninggi.

Sepasang matanya tertumpu ke wajah Daud. Cepat-cepat Daud mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mampu Daud menentang sepasang biji mata Datuk yang berkaca-kaca itu.

“Orang tu, berada tak jauh dari sini. Jangan kacau, dia berjanji pada saya tidak mahu kacau orang-orang kampung kita,” kata Daud yang berbadan tegap dan tidak suka memakai baju.

“Buktinya?” tingkah Haji Salim.

“Dah dua minggu dia tak kacau,” balas Daud sambil merenung wajah Haji Salim.

Aneh sungguh sikap Daud. Cakap dengan Haji Salim berani, tentang muka dengan Datuk tidak berani.

Saya hanya memerhatikan telatah Daud dengan ekor mata sambil memicit jerawat yang mula membengkak di sudut dagu kanan.

Memicit jerawat memang menyeronokkan. Bila terasa sakit dilepaskan, kemudian diraba, digosok perlahan-lahan dan dipicit lagi.

“Boleh kau tunjukkan tempatnya pada kami,” nada suara Datuk mula lembut.

Kali ini Datuk tidak merenung ke arah Daud. Datuk renung dinding. Saya lihat Daud merenung muka Datuk.

Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia semacam memperkecil-kecilkan Datuk.

“Pendekar Kamal, tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi, kalau orang yang mahu menemuinya mempunyai niat tertentu.”

Daud segera bangun, melangkah dua tapak ke arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba-tiba perasaan saya jadi gementar.

Saya jeling ulas-ulas lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya cukup tinggi hampir lima kaki tujuh inci.

Saya jeling dadanya yang berbulu. Saya kira, kalau ia menghentakkan siku kanannya ke dada saya, pasti saya tersungkur.

“Saya tidak akan menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya saya tahu,” cara mendadak sahaja Daud menjerit. Ia terus menendang pelipat kaki saya.

Saya terus jatuh.

Daud terus menendang apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun. Belum pun sempat saya berdiri dengan betul, satu penendang hinggap di bahagian kanan perut saya.

Saya terus menggulung-gulung atas lantai menahan kesakitan. Perut terasa senak. Daud terus melompat dan menyambar lembing.

“Sesiapa yang mahu kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus,” Daud mengacukan mata lembing ke arah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim tenang sahaja.

Melihat Datuk dan Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula memperlihatkan taringnya.

Ia melompat atas pelantar lalu mengambil parang panjang. Lembing di tangan terus dibuang.

“Daud,” jerit Haji Salim.

Serentak itu Haji Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang lembut ke pipi kiri Daud.

Tidak saya duga sama sekali penampar yang lembut itu boleh menyebabkan Daud jatuh tersungkur.

Daud menggeletek macam ikan keli kena pukul. Mulut Daud kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur, tidak ubah macam bunyi lembu yang kena sembelih.

“Macam mana awak buat budak ni Haji?” tanya Datuk.

“Saya lepaskan bisa biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua saya, tua berisi.”

“Awak sudah keterlaluan.”

“Saya tahu. Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya dengan bisa tangan.”

“Awak yang melepaskan bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak tawarlah sendiri.”

Haji Salim mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke bibirnya.

Saya lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian jejarinya terus dicium.

Haji Salim rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan Daud yang menggeletar kembali macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak berbuih lagi.

Dengkurnya yang meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk termenung, tidak ubah macam ayam mabuk tahi.

“Budak tu belum cukup pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh seumur hidup,” Datuk mengingatkan Haji Salim. Saya lihat Haji Salim anggukkan kepala.

Ia meninggalkan kami di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Haji Salim di ruang dapurnya.

Haji Salim menemui kami kembali. Di tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri Daud. Kepala Daud digosoknya beberapa kali.

“Minum air ini,” ia memujuk.

Daud terus mengambil cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang, Daud terus meneguk air di cawan sampai habis.

Dalam sekelip mata sahaja, Daud terus bangun dan bertenaga kembali.

Mata Daud kelihatan merah.

Ia mula bertempik dan menyambar parang semula. Kali ini, terus menyerang dengan melulu. Saya terpaksa lari keluar.

Daud memilih Datuk sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang bertubi-tubi.

Setiap kali Daud melibaskan parang panjangnya, Datuk terpaksa melompat ke kiri, melompat ke kanan.

Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan melindungkan badannya dengan papan. Datuk terus bersembunyi di situ.

Melihat Datuk menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus menjerit-jerit sambil memukul dadanya dengan hulu parang.

Ia menoleh ke kanan lalu menyerang Haji Salim dengan bertubi-tubi. Macam Datuk juga, Haji Salim terpaksa mengelak ke mana sahaja, asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya.

Kekuatan Daud sungguh berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat. Telapak kakinya seolah-olah tidak memijak lantai. Wajahnya cukup garang dan menggerunkan sesiapa yang melihatnya.

“Jangan apa-apakan budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri awak dari kena parangnya,” jerit Datuk dari bawah pelantar mengingatkan Haji Salim.

Datuk tidak mahu Haji Salim bertindak sembarangan.

Tamat siri 66/284

BACA: SBDJ Siri 65: Darah Dalam Mulut Gadis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, May 07, 2019

Misteri Hand of Saint Teresa, Sarung Tangan Thanos Di Dunia Sebenar

Misteri Hand of Saint Teresa, Sarung Tangan Thanos Di Dunia Sebenar

Sebuah relik yang diambil dan dijaga oleh pihak gereja di Sepanyol yang berbentuk sarung tangan sama seperti Infinity Gauntlet milik Thanos, termasuk warna dan batu-batu permata yang menghiasinya, menjadi tular.

Hand of Saint Teresa

Nama relik ini adalah Hand of Saint Teresa of Avila dan sejarah berkenaan sarung tangan besi bertatahkan berlian ini tidak dapat dijejaki, tetapi ia adalah milik biarawati terkenal pada abad ke-16 M, Saint Teresa of Avila.

Kezuhudan dan ajarannya sangat mempengaruhi masyarakat tempatan sehinggakan tubuh badannya dimuliakan setelah kematiannya.

Beberapa bahagian tubuhnya dijaga oleh pelbagai pihak setelah berlaku peristiwa pembongkaran makamnya selepas sembilan bulan tempoh kematiannya.

Antara anggota badan yang dijaga adalah tangan miliknya yang kini berada di dalam jagaan pihak gereja Nuestra Señora de la Merced di Ronda, Sepanyol.

Relik ini bukan sahaja menjadi harta warisan suci Kristian Katolik, tetapi ia juga diiktiraf sebagai khazanah bernilai negara Sepanyol.

Sarung tangan ini pernah dicuri oleh seorang diktator-fasis Sepanyol iaitu, Francisco Franco pada tahun 1937.

Setelah kematian diktator tersebut pada tahun 1975, sarung tangan tersebut dikembalikan semula kepada pihak gereja pada tahun yang sama.

Kisah sarung tangan itu serta persamaan Infinity Gauntlet dan Hand of Saint Teresa tular di media sosial Twitter sehingga ia menarik banyak perhatian.

Salah satu ‘tweet’ mengesahkan, sarung tangan Hand of Saint Teresa membawa maksud ‘tangan yang suci’ tidak terlibat dalam apa-apa kejahatan ataupun rasuah, berbeza pula dengan Infinity Gauntlet yang dicipta oleh watak fiksyen Thanos untuk menghancurkan separuh populasi makhluk di dalam Marvel Universe.

Beberapa teori disimpulkan oleh para peminat Marvel yang pencipta watak Thanos dan Infinity Gauntlet, Jim Starlin menjadikan sejarah Saint Teresa sebagai inspirasinya.

Semoga sarung tangan ini tidak jatuh ke atas tangan yang salah. Mimpi ngeri mungkin menjadi realiti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Apa Kegunaan Gading Gajah Sehingga Diburu Sampai Hampir Pupus?

Apa Kegunaan Gading Gajah Sehingga Diburu Sampai Hampir Pupus?

Menurut laporan National Geographic, populasi gajah di Afrika pada tahun 1800an adalah sebanyak 26 juta, tetapi disebabkan pemburuan dan industri gading yang rancak, akhirnya jumlah itu berkurang kepada hanya 600,000 ekor pada 1989 dan 111,000 ekor pada tahun 2016.

Gading Gajah

Daripada maklumat ini, sudah nyata pemburuan gading gajah menyebabkan populasi gajah di dunia menurun dan sedang diancam kepupusan.

Negara kita turut tidak terlepas, statistik sehingga tahun 2014 menunjukkan kita hanya ada 1,220 ekor gajah di Malaysia.

Persoalannya, kenapa gajah menjadi pilihan untuk diburu? Apa keistimewaan gading gajah sebenarnya?

Gajah diburu sejak beribu tahun

Sejak sekian lama gading gajah digunakan untuk membuat barang perhiasan dan bahan ukiran.

Dikatakan bahawa gading gajah menjadi pilihan kerana strukturnya yang tahan lama, mudah diukir dan tidak mudah patah.

Kajian juga mendapati, gading gajah telah digunakan semenjak zaman Mesir Purba dan beribu tahun dahulu apabila banyak arca dan ukiran yang dijumpai diperbuat dari gading gajah.

Perkara ini dibuktikan apabila ahli arkeologi menjumpai butang, chopstick, tombak, panah, sikat dan sebagainya diperbuat dari gading gajah.

Manakala di China pula, gading digunakan untuk mengukir patung dewa-dewi sehinggalah kepada batang paip untuk rokok dan candu.

Selain itu, ada juga masyarakat China percaya bahawa, gading gajah boleh membawa tuah kepada mereka. Bagi masyarakat Melayu pula, gading gajah selalunya dijadikan sebagai hulu keris.

Gading gajah juga dipercayai mempunyai nilai perubatan tersendiri di beberapa buah negara Asia, walaupun kajian saintifik menafikan dakwaan itu, tetapi permintaan terhadapnya masih tinggi.

Apa yang lebih menarik, sebelum kemunculan plastik pada awal abad ke- 20, penggunaan gading gajah adalah sangat meluas, termasuklah untuk membuat gigi palsu.

Selain tu, gading gajah juga digunakan untuk membuat piano keys untuk sekian lama hinggalah ia dihentikan pada 1982.

Harga sekilogram gading gajah boleh cecah RM 4,000!

Inilah punca utama kenapa gading gajah diburu. Jadi tidak kisahlah kalau sesiapa yang terlibat dalam perniagaan ini boleh untung duit berjuta-juta.

Menurut satu laporan, harga gading gajah meningkat sebanyak 3 kali ganda sehingga tahun 2014 di China iaitu lebih RM9,000 sekilo. Tapi harga ini mula jatuh sejak November 2015, kepada lebih RM 4,000 sekilo.

Apa yang menariknya adalah, industri gading gajah sangat aktif di China berbanding dengan negara-negara lain.

Antara punca utamanya adalah kerana sebelum ini negara China membenarkan pemerdagangan gading gajah.

Walaupun begitu, akhirnya kerajaan China bertindak mengharamkan pemerdagangan gading gajah secara beransur-ansur menjelang akhir 2017 (maknanya diharamkan bermula pada tahun 2018).

Sebenarnya, dengan nilai harga yang tinggi, gading gajah selalunya menjadi pilihan orang-orang kaya di China untuk

melambangkan kejayaan dan status mereka, menjadi punca hampir 70% gading gajah dunia dipasarkan di China.

Bagaimanapun, China masih membenarkan penjualan semula gading gajah yang dibeli sebelum ia dikuatkuasakan haram.

Selain China, ada juga beberapa negara yang aktif dalam pemerdagangan gading gajah. Antaranya termasuklah Filipina, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Penjualan gading gajah dan hidupan liar masih terbuka di Malaysia dan menurut laporan media, penjualan haiwan liar dan dilindungi ini sememangnya aktif dan terbuka, terutamanya di Facebook dan WhatsApp.

Laporan juga menyatakan ada lebih kurang 56 group atau page Facebook yang menjual haiwan-haiwan ini.

“Facebook kini menjadi medan perdagangan hidupan liar segelintir rakyat Malaysia yang mendorong kepada peningkatan perdagangan haram haiwan ikonik dan terancam.

Hasil pemantauan itu mendapati lebih 300 haiwan liar hidup ditawarkan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.

Antaranya, beruang madu (Helarctos malayanus), ungka, memerang, malah binturong (Arctictis binturong).” – Dipetik dari Harian Metro.

Mungkin kita boleh melihat bagaimana siasatan yang dilakukan oleh wartawan The Star dalam sindiket ini dan bagaimana begitu mudahnya haiwan-haiwan ini dijual beli.

“Wartawan The Star yang telah membuat satu perjanjian untuk membeli Helang Bondol atau Brahminy (Haliastur indus) iaitu salah satu spesies yang dilindungi sepenuhnya. Selepas lebih 20 pesanan menerusi WhatsApp, burung yang dipesan itu boleh dimiliki dalam masa dua hari.” – dipetik dari mStar.

Pengharaman Memburu Gading Gajah

Perdagangan gading gajah antarabangsa telah diharamkan pada tahun 1990, apabila populasi gajah dunia menampakkan penurunan yang serius.

Di Malaysia, kita sememangnya sudah ada undang-undang yang melarang pemburuan haram, menjual dan menyimpan haiwan-haiwan yang dilindungi.

Pada anda yang hendak membela, menyimpan atau memburu haiwan-haiwan yang dilindungi itu, kenalah mohon lesen dengan PERHILITAN.

Tetapi, untuk menjual dan memperdagangkan gading gajah tidak dibenarkan.

Kerajaan juga telah membuka Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah yang menjadi tempat khas untuk menempatkan gajah-gajah liar yang ditangkap atau dipindahkan dari habitatnya yang diteroka atau dibangunkan.

Tempat ini juga terbuka kepada orang awam, jadi pada sesiapa yang hendak melihat gajah, bolehlah datang sebab tiket masuk adalah percuma.

Tapi, apa yang sedihnya, Malaysia dilaporkan telah menjadi transit utama pengimport gading gajah dunia sejak tahun 2013.

Bagaimana untuk menamatkan isu ini?

Sebagaimana yang kita tahu, punca utama kenapa aktiviti pemburuan dan penjualan gading gajah masih berjalan adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap sumber tersebut, selain dari ketamakan dan tiadanya kesedaran di kalangan masyarakat.

Kajian mendapati 69% percaya, memiliki gading gajah dapat meningkatkan ‘status’ mereka, manakala 16% rakyat Thailand tidak bersetuju dengan sebarang langkah kerajaan mereka untuk mengharamkan segala aktiviti berkaitan gading gajah.

Oleh itu, kesedaran amat diperlukan, khususnya kepada rakyat Malaysia dalam usaha memulihara hidupan liar ini.

Mungkin kita boleh menyertai kempen-kempen yang dibuat oleh NGO-NGO seperti dari World Wildlife Fund (WWF) dan Malaysian Nature Society (MNS).

Ganjaran Melapor Aktiviti Haram

Untuk makluman, PERHILITAN akan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya dalang-dalang yang memperdagangkan hidupan liar.

Apatah lagi menurut statistik pada 2014, jumlah hidupan liar di Malaysia adalah sangat membimbangkan: Gajah (1,220 ekor), Harimau Belang (450 ekor), Seladang (270) dan Burung Upeh (hanya 10 ekor)!

Melihat dari statistik ini, nampaknya sudah tiba masanya untuk kita semua bertindak membasmi segala aktiviti haram ini.

Tambahan lagi, Majlis Ulama Indonesia (2014) dan Majlis Fatwa Negeri Terengganu (2015), telah memfatwakan ‘pemburuan haram binatang liar’.

Sebelum Nasi Menjadi Bubur

“Apabila pokok terakhir ditumbangkan, ikan terakhir dimakan dan sungai terakhir dicemarkan, ketika itu kita akan sedar yang anda tidak boleh makan duit.” – kata-kata orang Asli Amerika, dipetik dari Goodreads.

Kesimpulannya, selagi ada permintaan, selagi itu ada orang yang akan memburu serta menjualnya, kitaran kejam yang dunia perlu tempuhi selagi tiada kesedaran dalam masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili

Memahami Pengembaraan Masa Avengers: Endgame

Memahami Pengembaraan Masa Avengers: Endgame

Salah satu tips untuk menjadi pemain catur yang baik adalah kebolehupayaan seseorang untuk melihat kesemua kemungkinan yang bakal berlaku di atas papan catur dan kerana itulah ia merupakan suatu permainan yang digilai oleh mereka yang meminati permainan berbentuk strategi.

Pengembaraan Masa Endgame

Dan kebanyakan pemain catur yang berjaya mempunyai kebolehan untuk melihat banyak kebarangkalian yang bakal terjadi serentak, menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan terbaik (best possible move) dalam pertarungan mereka.

Perkara yang sama juga terjadi sewaktu Dr. Strange menyerahkan time stone kepada Thanos dalam filem Infinity War.

Ramai yang bertanya “Kenapa?”, namun setelah melihat sekitar 14,000,605 kebarangkalian pada masa hadapan, dia ternyata menyerahkan batu hijaunya itu dan mengatakan kepada Tony Stark bahawa ia terpaksa dilakukan dan mereka kini berada dalam Endgame.

Apa Maksud Endgame?

Endgame dalam catur merujuk kepada fasa di mana kedua-dua orang pemain sudah hampir kehabisan buah.

Sewaktu dalam fasa Endgame, apa yang pemain catur akan lakukan adalah cuba untuk menggerakkan askar mereka untuk menaikkan taraf buah askar mereka ke peringkat lebih tinggi.

Dalam fasa Endgame juga, pemain akan mula melakukan pengorbanan, mengorbankan buah yang berpangkat besar, demi untuk mencapai matlamat asal dalam catur: iaitu untuk melakukan check mate terhadap Raja pihak lawan.

Kesedihan selepas Infinity War

Sewaktu Infinity War, watak Thanos berjaya melenyapkan separuh makhluk dalam alam semesta dengan bersumberkan 6 biji Infinity Stone, ditambah dengan satu petikan jari.

Di satu sudut yang lain, Hawkeye dan keluarganya sedang berkelah dan anak perempuannya dilihat mempunyai kelebihan yang sama seperti Hawkeye dalam sukan memanah.

Sewaktu sedang bergembira, seluruh ahli keluarga Hawkeye tiba-tiba hilang akibat penangan Thanos dan dia kehilangan seluruh ahli keluarganya hari itu.

Selepas Thanos Snap berlaku, team Avengers kemudiannya menerima ahli baru, iaitu Captain Marvel yang dengan bantuannya, mereka berjaya menyelamatkan Tony Stark dan Nebula dari terus sesat di angkasa yang luas.

Tidak berhenti di situ, mereka kemudiannya mencari Thanos di sebuah planet lain, di mana Thanos dilihat sedang menjadi petani yang berjaya.

Thanos ditangkap oleh Avengers, namun Thanos mengakui bahawa dia telah memusnahkan kesemua Infinity Stone tersebut selepas matlamat asalnya untuk menyaksikan kemusnahan separuh galaksi ini berjaya.

Thor, yang pada asalnya tidak berjaya membunuh Thanos sewaktu perang di Wakanda, kali ini memenggal kepala Thanos, tanpa banyak bicara.

Di satu sudut yang lain, sewaktu di dalam filem Ant Man and The Wasp, Scott Lang sedang berada dalam alam kuantum (Quantum Realm) bagi mencari sumber tenaga untuk diberikan kepada Ghost.

Pym dan anaknya yang ketika itu sedang mengawal mesin Quantum Realm juga terkesan akibat petikan jari Thanos dan mereka juga hilang menjadi debu.

Hasilnya, Scott Lang terperangkap di dalam Quantum Realm, sehinggalah seekor tikus secara tidak sengaja membebaskan Ant Man dari Quantum Realm, 5 tahun selepas Thanos Snap berlaku.

Menyedari bahawa 5 tahun telah berlalu dan dunia yang dia diami kelihatan suram dan tidak ramai orang, Scott mencari maklumat, sebelum menyedari bahawa berlakunya kematian besar-besaran sewaktu dia melawat satu Memorial Park.

Anak perempuannya adalah nama pertama yang dia cari, sebelum terjumpa namanya sendiri yang diisytihar mati akibat Thanos Snap.

Dia segera bergerak ke rumah bekas isterinya dan di sana, dia mendapati bahawa anaknya masih hidup dan kini, telah pun menjadi remaja.

Scott kemudiannya pergi ke markas Avengers, di mana pasukan Avengers yang kini diketuai oleh Black Widow masih lagi dalam kesedihan akibat kekalahan mereka terhadap Thanos.

Scott kemudian berjumpa Natasha dan Captain America, di mana dia menerangkan bahawa mereka boleh menukarkan semula apa yang telah terjadi dengan melakukan pengembaraan masa.

Masa, menurut Scott, adalah lain di Quantum Realm jika dibandingkan dengan masa di dunia. 5 tahun di dunia nyata terasa seperti 5 jam sahaja di sana.

Mereka bertiga kemudian meminta pandangan dua orang ahli Avengers paling pintar, Tony Stark dan Bruce Banner.

Teori Pengembaraan Masa

Sewaktu di rumah Tony, idea mereka ditolak mentah-mentah oleh Tony, mungkin kerana Tony faham risiko yang akan terjadi apabila pengembaraan masa berlaku.

Risikonya adalah: anak perempuannya mungkin tidak akan lahir sekiranya mereka tersilap langkah.

Perkara ini dikenali sebagai Grandfather Paradox dan ia merupakan satu bentuk causal loop yang tidak diketahui bagaimana pengakhirannya.

Kitarannya sebegini: katakan kau pergi ke masa lampau. Sewaktu berada di masa lampau, kau secara tidak sengaja membunuh atuk kau, menyebabkan mak atau ayah kau tidak lahir.

Akibat daripada mak atau ayah kau tidak lahir, kau juga sepatutnya tidak lahir maka, apabila kau tidak lahir, kau tidak akan mampu pergi ke masa lampau untuk menyebabkan kematian kepada datuk kau in the first place.

Sebab kau tidak mampu membunuh atuk kau, maka atuk kau akan hidup dan mak atau ayah kau akan hidup dan kau pun akan hidup juga.

Nampak rumit kan? Ia dipanggil closed timeline curve.

Tony Stark sedar bahawa untuk pengembaraan masa terjadi tanpa menjejaskan masa sekarang, dia perlu mencari satu model closed timeline curve mampu terjadi.

Sebab itu, sewaktu dia membuat model dengan dibantu oleh Friday, Tony mencuba model yang dipanggil sebagai Mobius Strip.

Secara topologinya, Mobius Strip adalah objek yang unik. Kita boleh menconteng pensil di satu bahagian Mobius Strip dan sekiranya kita terus menconteng di sepanjang Mobius Strip tersebut, kita akan kembali ke tempat asal kita bermula.

Sewaktu perbincangan dengan Banner pula, Captain America, Natasha dan Scott terkejut apabila mendapat tahu bahawa Banner telah berjaya berdamai dengan Hulk yang berada dalam badannya.

“Sebelum ini, aku menganggap bahawa Hulk merupakan penyakit, dan aku cuba mencari penawar. Sekarang tak lagi.” kata Professor Hulk.

Pengembaraan masa versi Marvel

Professor Hulk, Captain America, Natasha dan Scott kemudian mula melakukan pandu uji untuk melihat keberkesanan pengembaraan masa dalam Quantum Realm, namun mereka tidak berapa berjaya.

Selepas menyedari mereka tidak mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan, Tony Stark datang menghulur bantuan dengan alatan baru yang membolehkan mereka melakukan pengembaraan masa dengan jayanya.

Terdapat tiga keadaan di mana kita tidak tahu bagaimana masa berfungsi.

Keadaan pertama adalah apabila kita bergerak amat laju, menghampiri kelajuan cahaya.

Apabila bergerak amat laju, objek di sekeliling kita akan menjadi amat perlahan dan Einstein telah meletakkan limit kelajuan iaitu pada halaju cahaya; apa-apa yang melebihi kelajuan cahaya, kita takkan mampu cerap.

Maka teori ini digunapakai dalam konsep pengembaraan masa The Flash The Flashpoint Paradox.

Keadaan kedua adalah ketika graviti tinggi. Orang yang berada dalam medan graviti tinggi akan merasa masa yang berlainan dengan orang yang berada dalam medan graviti rendah.

Perkara ini digunapakai oleh Christopher Nolan dalam Interstellar, di mana Cooper bermula dengan anaknya masih kecil, namun selepas pengembaraan angkasanya berakhir, anak Cooper telah menjadi lebih tua dari dirinya sendiri.

Keadaan ketiga di mana kita tidak tahu bagaimana masa berfungsi adalah dalam skala Quantum.

Beberapa kajian saintifik yang dilakukan telah mengesahkan bahawa masa telah dapat dibalikkan pada skala Quantum, namun kajian itu mungkin boleh dijelaskan dengan lebih lanjut pada masa akan datang.

Dan Avengers: Endgame ternyata menggunapakai keadaan yang ketiga.

Kesemua ahli Avengers yang berbaki berkumpul di markas Avengers untuk mencuri batu-batu Infiniti sebelum batu tersebut dikumpulkan oleh Thanos. Scott Lang memanggil ini sebagai Time Heist.

Meminjam Infinity Stone

Mereka pergi ke beberapa lokasi berbeza dalam lipatan sejarah di mana batu tersebut masih wujud, kemudian “meminjamnya” untuk menghidupkan kembali orang yang telah mati dan memulangkan semula selepas semua perkara selesai.

Ant Man, Iron Man dan Captain America pergi ke zaman Avengers sedang bertarung dengan Loki di New York (Filem Avengers pertama) untuk mendapatkan Teserract dan Loki Scepter ( Space Stone dan Mind Stone).

Hulk, pada masa yang sama, pergi bertemu The Ancient One untuk meminjam Time Stone.

War Machine dan Nebula pergi ke planet di mana Quill pertama kali menjumpai Power Stone dalam filem Guardian of Galaxy pertama, manakala Thor dan Rocket pergi ke Asgard untuk mencari Reality Stone dari filem Thor Dark World.

Akhir sekali, Hawkeye dan Black Widow pergi ke planet yang menyimpan Soul Stone sepertimana dalam filem Infinity War.

Endgame pemula Marvel Cinematic Multiverse?

Pada hujung tahun 2018 lepas, Marvel telah berjaya mendapat hakcipta beberapa karya komik mereka seperti X Men dan Fantastic Four.

Jadi, mungkinkah dengan pengenalan terhadap konsep pengembaraan masa ini akan menyebabkan berkembangnya Marvel Cinematic Universe kepada Marvel Cinematic Multiverse?

Ayuh fahami logik penulis.

Menurut Professor Hulk, konsep pengembaraan masa yang berlaku dalam MCU adalah: apabila kita kembali ke masa lampau, masa lampau kita akan menjadi masa sekarang dan masa sekarang kita tadi akan menjadi masa lampau.

Agak rumit sebenarnya ayat itu, namun dalam filem Doctor Strange, Wong dan Mordo telah mengingatkan bahawa mengacau masa akan mengakibatkan timbulnya branch atau timeline baru.

Pengenalan konsep timeline (diambil dari konsep pengembaraan masa The Flash) harapnya dapat membantu.

Dalam filem Endgame, sewaktu mereka kembali ke masa lampau, terdapat beberapa ketika di mana mereka mengganggu timeline bagi perjalanan Infinity Saga yang asal.

1. Sewaktu di New York, Iron Man tidak sengaja telah melepaskan Loki dan adegan Loki terlepas itu kini akan membuka kepada timeline baru di mana Loki sekarang bersembunyi dari ditangkap oleh kumpulan Avengers.

Berkemungkinan besar ini adalah pemula kepada drama bersiri Loki yang Disney cadangkan nanti.

2. Sewaktu di planet yang menempatkan Soul Stone, Natasha telah mengorbankan dirinya sendiri demi untuk mendapatkan Soul Stone.

Akibatnya, jika Thanos pada timeline itu datang untuk mendapatkan Soul Stone, batu infinity itu tidak akan ada di planet tersebut, kerana ia telah diambil oleh pasukan Avengers.

Nasib akhir Soul Stone juga tidak diketahui, kerana batu yang dipulangkan ke masa lalu oleh Captain America adalah Space Stone, Mind Stone dan Time Stone.

Namun, menurut The Ancient One, kesemua Infinity Stone harus wujud bersama dalam satu timeline, jadi mungkin nanti akan ada anggota Avengers yang memulangkan Soul Stone di timeline tersebut.

3. Captain America messed up big time apabila dia bergaduh dengan dirinya sendiri pada masa lampau.

Berkemungkinan besar, Thor pada masa lampau yang kalah akan berada pada timeline yang sama dengan timeline Loki ketika melarikan diri, kerana pada asalnya Captain America lampau memang ingat itu Loki.

4. Timeline yang terhasil ini adalah timeline di mana Quill tidak pernah berjumpa dengan Power Stone dan akibatnya, berkemungkinan besar, team Guardian of Galaxy tidak wujud pada timeline tersebut.

5. Timeline di mana Thanos hilang sebab pergi ke masa hadapan dan mati. Ini adalah timeline paling aneh, kerana hakikatnya adalah Thanos pergi ke masa hadapan dan menjadi debu.

Di timeline yang sama, peristiwa besar di sepanjang Infinity Saga tidak akan berlaku, seperti petikan jari Thanos tidak akan berlaku, kerana Thanos telahpun mati sebelum dia sempat mengutip Infinity Stone!

6. Captain America juga telah menimbulkan kerumitan kerana dia kembali ke masa lampau dan tinggal di sana pada penghujung Endgame.

Ramai yang tanya, eh, kenapa Captain America jadi tua? Sebab dia telah pergi memulangkan tiga Infinity Stone (Time Stone dan Mind Stone di New York sewaktu Avengers pertama) dan Tesseract waktu zaman perangnya yang lalu.

Lepas memulangkan Teserract, Captain America berkemungkinan besar tinggal di zaman itu untuk membina kehidupan bersama kekasihnya, Peggy Carter.

Di sini, ada dua kebarangkalian terjadi: Peggy pada asalnya memang berkahwin dengan Captain America (tetapi merahsiakan perkahwinan tersebut) ataupun Captain America sendiri telah menyebabkan berlakunya pertambahan timeline baru.

Ramai peminat yang yakin dengan pandangan pertama, namun kita agak yakin bahawa jika Captain America masih hidup pada zaman pasca Perang Dunia Kedua, satu dunia akan tahu. Dia ikon Amerika kot.

Pertarungan Epik

Peperangan pada babak akhir sewaktu kesemua ahli Avengers berkumpul melawan Thanos dari masa silam itu amat epik.

Ia mengimbau kembali kenangan filem Lord of The Ring sewaktu angkatan tentera Wraith datang. Meremang bulu roma. Ditambah pula sewaktu Captain America menjerit, “Avengers, assemble”.

Kematian Thanos adalah suatu kematian yang telah diagak, namun kematian Natasha demi mendapatkan Soul Stone, dan kematian Tony Stark sewaktu menggunakan Infinity Stone bagi menghapuskan angkatan tentera Thanos, cukup tragis.

Benar kata orang, Robert Downey Jr adalah wajah Iron Man dan memberi beliau satu exit yang amat bermakna bagi peminat adalah satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Terdengar esak tangisan usai babak Avengers meratapi pemergian Tony Stark.

Jadi, apa selepas Endgame?

Jujurnya, Doctor Strange dilihat akan memainkan peranan besar bagi membetulkan timeline yang terjejas akibat kesemua time travel yang berlaku.

Mungkin selepas ini, akan ada timeline yang “bertemu” dengan timeline dari filem X Men? Kita tak tahu lagi.

Dan bagi watak-watak baru Marvel seperti Spiderman, Captain Marvel dan Black Panther, mereka ada legasi besar yang perlu diteruskan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots