Tuesday, May 07, 2019

Apa Kegunaan Gading Gajah Sehingga Diburu Sampai Hampir Pupus?


Menurut laporan National Geographic, populasi gajah di Afrika pada tahun 1800an adalah sebanyak 26 juta, tetapi disebabkan pemburuan dan industri gading yang rancak, akhirnya jumlah itu berkurang kepada hanya 600,000 ekor pada 1989 dan 111,000 ekor pada tahun 2016.

Gading Gajah

Daripada maklumat ini, sudah nyata pemburuan gading gajah menyebabkan populasi gajah di dunia menurun dan sedang diancam kepupusan.

Negara kita turut tidak terlepas, statistik sehingga tahun 2014 menunjukkan kita hanya ada 1,220 ekor gajah di Malaysia.

Persoalannya, kenapa gajah menjadi pilihan untuk diburu? Apa keistimewaan gading gajah sebenarnya?

Gajah diburu sejak beribu tahun

Sejak sekian lama gading gajah digunakan untuk membuat barang perhiasan dan bahan ukiran.

Dikatakan bahawa gading gajah menjadi pilihan kerana strukturnya yang tahan lama, mudah diukir dan tidak mudah patah.

Kajian juga mendapati, gading gajah telah digunakan semenjak zaman Mesir Purba dan beribu tahun dahulu apabila banyak arca dan ukiran yang dijumpai diperbuat dari gading gajah.

Perkara ini dibuktikan apabila ahli arkeologi menjumpai butang, chopstick, tombak, panah, sikat dan sebagainya diperbuat dari gading gajah.

Manakala di China pula, gading digunakan untuk mengukir patung dewa-dewi sehinggalah kepada batang paip untuk rokok dan candu.

Selain itu, ada juga masyarakat China percaya bahawa, gading gajah boleh membawa tuah kepada mereka. Bagi masyarakat Melayu pula, gading gajah selalunya dijadikan sebagai hulu keris.

Gading gajah juga dipercayai mempunyai nilai perubatan tersendiri di beberapa buah negara Asia, walaupun kajian saintifik menafikan dakwaan itu, tetapi permintaan terhadapnya masih tinggi.

Apa yang lebih menarik, sebelum kemunculan plastik pada awal abad ke- 20, penggunaan gading gajah adalah sangat meluas, termasuklah untuk membuat gigi palsu.

Selain tu, gading gajah juga digunakan untuk membuat piano keys untuk sekian lama hinggalah ia dihentikan pada 1982.

Harga sekilogram gading gajah boleh cecah RM 4,000!

Inilah punca utama kenapa gading gajah diburu. Jadi tidak kisahlah kalau sesiapa yang terlibat dalam perniagaan ini boleh untung duit berjuta-juta.

Menurut satu laporan, harga gading gajah meningkat sebanyak 3 kali ganda sehingga tahun 2014 di China iaitu lebih RM9,000 sekilo. Tapi harga ini mula jatuh sejak November 2015, kepada lebih RM 4,000 sekilo.

Apa yang menariknya adalah, industri gading gajah sangat aktif di China berbanding dengan negara-negara lain.

Antara punca utamanya adalah kerana sebelum ini negara China membenarkan pemerdagangan gading gajah.

Walaupun begitu, akhirnya kerajaan China bertindak mengharamkan pemerdagangan gading gajah secara beransur-ansur menjelang akhir 2017 (maknanya diharamkan bermula pada tahun 2018).

Sebenarnya, dengan nilai harga yang tinggi, gading gajah selalunya menjadi pilihan orang-orang kaya di China untuk

melambangkan kejayaan dan status mereka, menjadi punca hampir 70% gading gajah dunia dipasarkan di China.

Bagaimanapun, China masih membenarkan penjualan semula gading gajah yang dibeli sebelum ia dikuatkuasakan haram.

Selain China, ada juga beberapa negara yang aktif dalam pemerdagangan gading gajah. Antaranya termasuklah Filipina, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Penjualan gading gajah dan hidupan liar masih terbuka di Malaysia dan menurut laporan media, penjualan haiwan liar dan dilindungi ini sememangnya aktif dan terbuka, terutamanya di Facebook dan WhatsApp.

Laporan juga menyatakan ada lebih kurang 56 group atau page Facebook yang menjual haiwan-haiwan ini.

“Facebook kini menjadi medan perdagangan hidupan liar segelintir rakyat Malaysia yang mendorong kepada peningkatan perdagangan haram haiwan ikonik dan terancam.

Hasil pemantauan itu mendapati lebih 300 haiwan liar hidup ditawarkan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.

Antaranya, beruang madu (Helarctos malayanus), ungka, memerang, malah binturong (Arctictis binturong).” – Dipetik dari Harian Metro.

Mungkin kita boleh melihat bagaimana siasatan yang dilakukan oleh wartawan The Star dalam sindiket ini dan bagaimana begitu mudahnya haiwan-haiwan ini dijual beli.

“Wartawan The Star yang telah membuat satu perjanjian untuk membeli Helang Bondol atau Brahminy (Haliastur indus) iaitu salah satu spesies yang dilindungi sepenuhnya. Selepas lebih 20 pesanan menerusi WhatsApp, burung yang dipesan itu boleh dimiliki dalam masa dua hari.” – dipetik dari mStar.

Pengharaman Memburu Gading Gajah

Perdagangan gading gajah antarabangsa telah diharamkan pada tahun 1990, apabila populasi gajah dunia menampakkan penurunan yang serius.

Di Malaysia, kita sememangnya sudah ada undang-undang yang melarang pemburuan haram, menjual dan menyimpan haiwan-haiwan yang dilindungi.

Pada anda yang hendak membela, menyimpan atau memburu haiwan-haiwan yang dilindungi itu, kenalah mohon lesen dengan PERHILITAN.

Tetapi, untuk menjual dan memperdagangkan gading gajah tidak dibenarkan.

Kerajaan juga telah membuka Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah yang menjadi tempat khas untuk menempatkan gajah-gajah liar yang ditangkap atau dipindahkan dari habitatnya yang diteroka atau dibangunkan.

Tempat ini juga terbuka kepada orang awam, jadi pada sesiapa yang hendak melihat gajah, bolehlah datang sebab tiket masuk adalah percuma.

Tapi, apa yang sedihnya, Malaysia dilaporkan telah menjadi transit utama pengimport gading gajah dunia sejak tahun 2013.

Bagaimana untuk menamatkan isu ini?

Sebagaimana yang kita tahu, punca utama kenapa aktiviti pemburuan dan penjualan gading gajah masih berjalan adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap sumber tersebut, selain dari ketamakan dan tiadanya kesedaran di kalangan masyarakat.

Kajian mendapati 69% percaya, memiliki gading gajah dapat meningkatkan ‘status’ mereka, manakala 16% rakyat Thailand tidak bersetuju dengan sebarang langkah kerajaan mereka untuk mengharamkan segala aktiviti berkaitan gading gajah.

Oleh itu, kesedaran amat diperlukan, khususnya kepada rakyat Malaysia dalam usaha memulihara hidupan liar ini.

Mungkin kita boleh menyertai kempen-kempen yang dibuat oleh NGO-NGO seperti dari World Wildlife Fund (WWF) dan Malaysian Nature Society (MNS).

Ganjaran Melapor Aktiviti Haram

Untuk makluman, PERHILITAN akan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya dalang-dalang yang memperdagangkan hidupan liar.

Apatah lagi menurut statistik pada 2014, jumlah hidupan liar di Malaysia adalah sangat membimbangkan: Gajah (1,220 ekor), Harimau Belang (450 ekor), Seladang (270) dan Burung Upeh (hanya 10 ekor)!

Melihat dari statistik ini, nampaknya sudah tiba masanya untuk kita semua bertindak membasmi segala aktiviti haram ini.

Tambahan lagi, Majlis Ulama Indonesia (2014) dan Majlis Fatwa Negeri Terengganu (2015), telah memfatwakan ‘pemburuan haram binatang liar’.

Sebelum Nasi Menjadi Bubur

“Apabila pokok terakhir ditumbangkan, ikan terakhir dimakan dan sungai terakhir dicemarkan, ketika itu kita akan sedar yang anda tidak boleh makan duit.” – kata-kata orang Asli Amerika, dipetik dari Goodreads.

Kesimpulannya, selagi ada permintaan, selagi itu ada orang yang akan memburu serta menjualnya, kitaran kejam yang dunia perlu tempuhi selagi tiada kesedaran dalam masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon